Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mujur dengar jeritan

Posted: 04 Jun 2013 12:02 PM PDT

Shah Alam: "Sewaktu sedang tidur, tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara orang menjerit meminta saya menyelamatkan diri. Saya tersentak bila melihat api marak membakar rumah jiran dan tanpa membuang masa saya terus menyelamatkan barangan di dalam rumah.

"Walaupun hanya mampu menyelamatkan beberapa barangan elektrik termasuk kereta, saya bersyukur kerana isteri yang kini sedang sarat mengandung anak sulung tiada di rumah sewaktu kejadian," kata Duren Azni Salamon antara mangsa kejadian tiga rumah papan terbakar di Jalan Berangan 2, Padang Jawa, di sini, semalam.


Duren, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, hanya dia seorang berada di rumah kerana baru pulang dari kerja di sebuah kilang.

Menurutnya, selepas terkejut dengan kebakaran yang berlaku, dia hanya terfikir untuk menyelamatkan diri dan dengan bantuan jiran, dia berjaya menyelamatkan barangan.


"Saya masih terkejut dengan kejadian ini. Pelbagai barangan keperluan untuk bayi kami yang akan lahir tidak lama lagi juga turut musnah. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya isteri yang sedang sarat mengandung ada di rumah sewaktu kejadian.


"Buat sementara waktu, saya akan menumpang di rumah abang di Bukit Kuda, Klang, sehinggalah saya dapat mencari rumah sewa baru," katanya yang baru enam bulan menetap di rumah berkenaan.

Foto

ANGGOTA bomba giat memadamkan api yang memusnahkan tiga kediaman papan, semalam.

Saksi kejadian, Rizwan Mohd Sapri, 38, berkata, dia mengetahui kebakaran rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya selepas mendengar jeritan jiran.


Beliau berkata, sebaik melihat rumah yang diperbuat daripada kayu itu mula dijilat api, dia segera membantu jirannya menyelamatkan barangan berharga selain memastikan penghuni rumah berkenaan sudah keluar menyelamatkan diri.

"Saya turut bergegas ke bahagian dapur dan mengeluarkan tong gas kerana bimbang letupan akan berlaku dan membahayakan nyawa mangsa dan penduduk yang tinggal berhampiran.


"Syukur semuanya berjaya menyelamatkan diri dan tidak berlaku sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa walaupun kebanyakan mangsa gagal menyelamatkan semua barangan mereka," katanya.


Dalam kejadian itu juga, sebuah kereta Honda Prelude dan motosikal musnah kerana tidak dapat diselamatkan memandangkan api yang marak dengan begitu cepat.


Difahamkan, seorang daripada penghuni sedang membuat kerja kimpalan di hadapan rumahnya sebelum berlakunya kebakaran itu dan dilaporkan melecur akibat kejadian itu dan sudah di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seksyen 15 Timbalan Penguasa Bomba Mohd Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 1.55 tengah hari dan tiba jam 2.03 petang.


Menurutnya, dua jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 dan Kota Anggerik dengan kekuatan empat pegawai dan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran jam 2.10 petang.


"Dalam kejadian itu, ketiga-tiga rumah musnah sama sekali kerana ia dibuat menggunakan kayu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


"Pihak forensik bomba sudah dihantar ke tempat kejadian untuk meneliti punca dan jumlah kerugian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

DBKL sambung projek terbengkalai

Posted: 04 Jun 2013 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Pembeli 48 rumah berkembar di Taman Rowther di sini, lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil membantu menyiapkan projek perumahan berkenaan yang sudah sekian lama terbengkalai, malah menanggung 60 peratus daripada kos pembinaannya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, projek berkenaan yang terbiar sejak tujuh tahun lalu siap 95 peratus, namun kemudahan seperti lampu jalan, siar kaki dan jalan tidak sempurna serta tidak mempunyai sijil menduduki (CF).


Menurutnya, kos anggaran sebanyak RM700,000 diperlukan bagi menyiapkan projek berkenaan membolehkan CF dikeluarkan seterusnya pembeli dapat memasuki rumah masing-masing.

"Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju memberikan deposit pemaju dalam Akaun Pemajuan Perumahan (HDA), sebanyak RM200,000 untuk tujuan itu dan DBKL akan mendahulukan baki kos RM500,000 supaya projek ini disiapkan segera.


"Projek dua tingkat dan tiga tingkat ini dijangka dimulakan pada 15 Jun dan selesai pada 31 Julai," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan bersama Pergerakan Belia India Muslim (GEPIMA) yang mewakili pembeli di lokasi terbabit, semalam.


Beliau berkata, dalam hal ini penduduk bersetuju membayar balik 40 peratus daripada kos yang didahulukan DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

'Saya sempat jumpa mereka, kongsi cerita'

Posted: 04 Jun 2013 11:59 AM PDT

Putrajaya: "Saya sempat bertemu kumpulan berkenaan di Kathmandu, Nepal serta berkongsi panduan dan maklumat berkenaan pendakian kepada mereka," kata jurulatih Everest FELDA 2013 Zainudin Lot yang turut bertemu kumpulan Ekspedisi Pendakian Kem Induk Everest dan Kala Patthar terdiri daripada kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada 27 Mei lalu.

Menurutnya, dia juga sempat berkongsi cerita dengan kumpulan ekspedisi berkenaan mengenai keadaan cuaca sepanjang perjalanan ke Kem Induk Everest (EBC). "Kami berkongsi cerita mengenai tips pendakian selain menasihatkan mereka supaya jangan terlalu risau, lakukan pendakian dengan tenang dan jangan kelam-kabut. "Selain itu, saya turut memberitahu mereka mengenai keadaan cuaca tidak berapa elok kerana hujan, berkabus, berawan dan berangin yang turut menjadi cabaran sepanjang pendakian," katanya ketika dihubungi semalam. Disebabkan itu, Zainudin terkejut selepas mendengar berita mengenai seorang daripada peserta pendakian itu yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat penyakit akut gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Kali ini dia bagi mati

Posted: 04 Jun 2013 11:58 AM PDT

Nusajaya: "Pasangan suami isteri itu memang kerap bergaduh dan beberapa kali mangsa dipukul teruk oleh suaminya menyebabkan kami sebagai jiran bersimpati dengan nasibnya.

"Namun, saya tidak menyangka kali ini dia dipukul sehingga mati," kata Liow, 30-an, jiran wanita warga Filipina yang mati akibat parah di kepala dan badan selepas dipukul suaminya di rumah mereka di Taman Bukit Indah, di sini, Sabtu lalu.


Vivian Biding Camarota, 32, disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi semalam, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Liow berkata, dia kerap mendengar jeritan mangsa ketika suami isteri itu bergaduh.


"Mereka memang kerap bertengkar dan berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. "Beberapa hari sebelum kejadian ibu kepada suami mangsa membawa dua anak mereka pulang ke kampung di Pekan Nanas, Pontian," katanya.


Menurutnya, pada Sabtu lalu, wanita itu ditemui terbaring dalam keadaan lemah oleh jiran di parkir rumah sebelum dibawa ke HSA untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada HSA kelmarin, memberitahu seorang wanita warga Filipina dalam keadaan tenat di wad ICU hospital itu.


"Siasatan awal mendapati mangsa dipukul suaminya Sabtu lalu di rumah mereka sebelum dikejarkan ke HSA menggunakan ambulans.

"Bagaimanapun, selepas tiga hari bertarung nyawa mangsa akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.38 pagi," katanya.


Menurut Noor Hashim, siasatan di rumah mangsa mendapati suspek yang juga suami mangsa sudah melarikan diri dan usaha mengesannya giat dijalankan.


"Sehubungan itu, polis berharap orang awam atau individu yang mengetahui lokasi suspek segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Sokong jika tak lemahkan UMNO

Posted: 04 Jun 2013 11:57 AM PDT

Putrajaya: "Semuanya mesti atas dasar UMNO. Jika melemahkan UMNO, saya tidak sokong," kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengulas cadangan dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menurutnya, beliau bukan individu yang layak menjawab pertanyaan itu, tetapi secara peribadi berpendapat sebarang keputusan akar umbi mesti tidak membawa kerosakan dan melemahkan parti. "Saya terbabit dalam pindaan Perlembagaan UMNO pada 2009. Ketika itu, kami meningkatkan jumlah perwakilan untuk memastikan pemilihan bukan saja telus malah lebih eksklusif. "Kami juga menghapuskan sistem kuota yang membolehkan sesiapa saja (ahli parti) bertanding. Atas semangat itu, akhirnya yang memutuskan perkara berkenaan perwakilan UMNO sendiri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Kementerian Pengangkutan, di sini, semalam. Hishammuddian yang juga Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan berkata, UMNO menunjukkan pencapaian baik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dari segi pertambahan kerusi dan mendapat kembali negeri yang tewas. Berikutan itu, katanya, sebarang perkara yang menjejaskan perpaduan dan menghalang UMNO perlu dikurangkan untuk kekal relevan. Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan dua jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan parti hujung tahun ini tidak dipertandingkan kerana gandingan Presiden Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menimbulkan masalah kepada parti dan negara, selain pertambahan jumlah kerusi pada PRU13.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

No comments:

Post a Comment