Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penyamun kecewa

Posted: 11 Jun 2013 01:08 PM PDT

Kuala Lumpur: Sepuluh penyamun berputih mata apabila cubaan mereka melarikan mesin juruwang dari sebuah restoran di Taman Connought, Cheras, di sini, sia-sia berikutan mesin berkenaan sudah dikosongkan pemiliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam semalam, 10 penyamun bersenjatakan parang dan topi keledar itu hanya menyamun RM950 milik dua pekerja restoran dan melarikan mesin juruwang.


Menceritakan kembali kejadian itu, pemilik restoran yang mahu dikenali sebagai Teh, 38, berkata, kumpulan penyamun itu menaiki dua Proton Wira dan tiba di premisnya selepas mereka tamat perniagaan.

"Ketika kejadian, saya menggoreng sayur manakala dua pekerja dan seorang pelanggan minum di luar kedai. Dengan tiba-tiba saya mendengar bunyi bising di luar kedai dan bertindak bersembunyi di bawah dapur.


"Mereka hanya menyamun dua pekerja dan pelanggan," katanya.


Menurutnya, sebelum kejadian dia sudah mengosongkan mesin juruwang dan meminta isterinya membawa pulang hasil jualan untuk hari berkenaan dan ketika kumpulan itu tiba di premis, mesin berkenaan sudah kosong.

Foto

MESIN juruwang dilarikan penyamun di sebuah restoran, semalam.

"Mereka membawa lari mesin itu tanpa menyedari ia sudah kosong dan turut meminta dua pekerja saya mengeluarkan wang. Apabila seorang daripada mereka memberikan wang ratusan ringgit, dia dipuji manakala seorang lagi dipukul di kepala kerana hanya mempunyai RM20.


"Semua penyamun itu berusia 20-an dan hanya mengambil masa 10 minit untuk menyamun," katanya.

Susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Pondok Polis Taman Connought untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Padah hantar komputer curi untuk dibaiki

Posted: 11 Jun 2013 01:04 PM PDT

Shah Alam: Penemuan sebuah komputer riba yang sedang dibaiki di sebuah kedai komputer di pekan Sungai Besar, di sini, membawa kepada penahanan suspek yang mencuri barangan elektronik berkenaan di sebuah rumah di daerah ini sebulan lalu.

Pada mulanya, mangsa yang berusia 18 tahun pergi ke kedai berkenaan untuk meninjau barangan komputer kira-kira jam 4 petang kelmarin dan terkejut mendapati komputer ribanya yang hilang terdapat di kedai berkenaan.


Selepas yakin komputer riba miliknya, mangsa bertanya kepada pemilik kedai dan dia mengakui komputer itu dihantar seorang remaja lelaki untuk diformat semula.

Tanpa membuang masa, mangsa menghubungi polis memaklumkan penemuan komputer riba miliknya sebelum polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun di sekitar Sabak Bernam, kelmarin, berdasarkan maklumat yang terdapat pada resit dikeluarkan kedai berkenaan kepada suspek.


Lebih mengejutkan, polis turut menahan tiga lagi remaja termasuk pasangan kembar berusia lingkungan 18 dan 19 tahun yang juga rakan suspek di dalam bilik hotel di pekan Sabak Bernam dan difahamkan mereka sudah tiga hari menginap dan bilik berkenaan turut dijadikan 'port' menyimpan barang curi.


Bersama-sama suspek, polis menemui empat komputer riba, telefon bimbit (4), barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai selain menemui peralatan pecah masuk rumah dan semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM25,000.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, suspek ditahan reman bermula semalam sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Tumbuk bapa mabuk

Posted: 11 Jun 2013 01:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Ayah pukul emak, anak pula tumbuk ayah. Itulah drama mengaibkan membabitkan tiga beranak yang berakhir dengan seorang daripada mereka cedera dan terpaksa menerima tiga jahitan di kepala dalam kejadian di rumah mereka di Kepong Baru, di sini, kelmarin.

Insiden jam 8 malam itu bermula dengan si suami berusia lewat 40-an pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, menyebabkan isterinya menegur sikap buruknya itu dan meminta dia berhenti minum arak.


Bagaimanapun, teguran wanita berusia 40-an itu sekadar membangkitkan api kemarahan suaminya menyebabkan dia dipukul bertalu-talu dengan penyapu. Sumber polis berkata, ketika wanita itu meraung kesakitan akibat dipukul suaminya, anak lelaki mereka yang berusia 22 tahun pulang ke rumah dan segera meminta ayah berhenti memukul emaknya.

"Si anak berulang kali meminta ayah berhenti memukul ibunya, namun ia langsung tidak diendahkan, malah dia diberi amaran supaya diam serta jangan masuk campur.


"Simpati melihat ibunya terus dipukul sehingga lebih 10 minit, si anak akhirnya hilang sabar dan nekad menumbuk muka ayahnya, menyebabkan lelaki itu rebah," katanya kepada Harian Metro semalam.


Menurutnya, tersentak dengan tindakan anaknya, lelaki terbabit berlari ke dapur sebelum keluar semula ke ruang tamu sambil memegang pisau dan mengacukannya ke arah isteri dan anaknya.

"Bagi menyelamatkan diri selepas diancam ayahnya, si anak mencapai penyapu yang digunakan ayahnya sebelum itu dan memukul ayahnya, menyebabkan suspek terpaksa keluar dan terus meninggalkan rumah," katanya.


Sumber itu berkata, pemuda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun segera membawa emaknya ke sebuah hospital berhampiran selepas melihat kepala wanita itu berdarah.

Menurutnya, wanita terbabit menerima tiga jahitan selepas cedera akibat dipukul dengan penyapu dan dua beranak itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.


"Dalam laporan dibuat, dua beranak itu menyatakan wanita terbabit sering dipukul suaminya yang juga kaki botol sejak enam bulan lalu," kata sumber itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Tewas dengan mainan psikologi

Posted: 11 Jun 2013 01:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Setahun dipukau jampi dan mantera tidak boleh dijadikan alasan kekal dalam perangkap lelaki hidung belang sekiranya mangsa sedar dirinya dijadikan alat pemuas nafsu.

Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh berkata, wanita bernama Nurul, 28, yang dipaparkan kisahnya di muka depan Harian Metro semalam dipercayai bukan saja dikuasai jampi mantera, tapi berkemungkinan besar terpengaruh dengan janji manis lelaki berumur 50-an terbabit.


"Meneliti cerita mangsa, dia ada mendakwa sedar perlakuan lelaki digelar Abang Aji berkenaan, namun tidak tampil meminta nasihat mahupun pertolongan dari mana-mana pihak.

"Dari situ, saya yakin mangsa sebenarnya turut dipermain dari sudut psikologi hingga menyebabkan wujudnya kebergantungan dalam hubungan mereka. Ini sekali gus membuka peluang kepada lelaki itu terus mempergunakan mangsa," katanya.


Menjelas lanjut, Hushim berkata, banyak kes seumpama itu berlaku di negara ini, namun sering dianggap remeh oleh golongan muda, terutama wanita.


"Kalau dinilai secara kasar, wanita hari ini cukup mudah terpengaruh dengan lelaki berperwatakan alim serta lemah lembut. Mereka cepat percaya dan terbuka dalam berkongsi masalah dengan kelompok berkenaan.

"Kelemahan ini biasanya memberi kesempatan luas kepada lelaki tidak bertanggungjawab untuk mencipta peluang menipu serta memperdaya mangsa.


"Dalam kebanyakan kes, mangsa tewas dengan mainan psikologi. Mereka bagaimanapun bangkit apabila berdepan ugutan besar yang boleh mengancam nyawa mahupun mencabar maruah diri serta keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

2 lori dibakar, 27 lagi dipecahkan cermin

Posted: 11 Jun 2013 01:00 PM PDT

Nibong Tebal: Seorang ahli perniagaan kerugian kira-kira RM150,000 selepas dua lori miliknya dibakar, manakala 27 lagi dipecahkan cermin hadapan dalam kejadian di stor simpanan lori itu di Jalan Tasek, Sungai Bakap, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat berkata, polis percaya kejadian itu dilakukan suspek yang sama dengan kejadian menimpa mangsa, Mei lalu.


"Pada Mei lalu, suspek yang sama turut memecahkan beberapa cermin hadapan lori di stor itu dan kali ini suspek didapati semakin berani apabila bertindak membakar dua lori terbabit," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya ada seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh di tempat itu dan melihat sekumpulan lelaki memecah masuk ke stor itu sebelum bertindak memecahkan cermin hadapan 27 lori yang diletakkan di situ.


"Selepas memecahkan cermin lori, kumpulan lelaki itu keluar sebelum masuk semula dan membakar pula dua lori yang diletakkan di hadapan stor itu," katanya.


Menurutnya, pengawal keselamatan yang ketakutan itu bertindak menghubungi majikannya sebelum menghubungi polis.

"Polis tidak menolak kemungkinan ini adalah ugutan bermotifkan dendam perniagaan. Hasil siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat ke tempat kejadian juga mendapati ada kesan curahan petrol serta cucuhan api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

No comments:

Post a Comment