Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harimau diperlekeh

Posted: 07 Jun 2013 09:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad kebangsaan seolah-olah diperlekehkan media tempatan di Canberra, Australia selepas kecundang 2-3 dalam aksi persahabatan menentang Canberra FC kelmarin.

Akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk "pemain sambilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan" (part-timers steal win over internationals) selain menggambarkan kelab divisyen dua Australia itu tidak gentar menentang skuad berstatus kebangsaan.


Ini mungkin hadiah alu-aluan buat skuad Datuk K Rajagobal yang gemar memilih Australia sebagai destinasi kem latihan sedangkan beberapa pemerhati bola sepak seperti Khalid Ali mempertikaikannya kerana membuang duit dan masa kerana kelab yang ditentang bukan daripada liga utama kebangsaan.

Apa yang mengecewakan, sedang Singapura dan pasukan jiran lain berlumba memperbaiki ranking dengan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A, Rajagobal termasuk pengurus Datuk Seri Subahan Kamal berkeras mahu ke Australia.


Inilah hasilnya. Satu pasukan kelab terdiri daripada pemain bekerja sambilan mengaibkan sebuah pasukan kebangsaan yang juga bekas juara Piala AFF. Cukup memalukan imej Malaysia.


Persoalannya, siapakah individu atau agensi yang mengaturkan siri perlawanan Malaysia di sana dengan kelab-kelab pemain sambilan yang kemudian diiktiraf pula Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apapun yang nyata, sekalipun berdepan kelab yang pemainnya mungkin bekerja sebagai mekanik, peladang, penternak biri-biri atau jurujual insuran, skuad Rajagobal ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.

Foto

KESEBELASAN utama negara ketika menentang Canberra FC kelmarin.

Alex Oloriegbe membuka jaringan pada minit ke-28 disusuli Ryan Keir pada minit ke-34 yang mudah menolak bola untuk membolosi gawang negara yang dikawal Norazlan Razali.


Rajagobal dalam reaksinya tetap puas hati dan menyifatkan perlawanan itu cukup kompetitif.

"Bagi saya ini satu perlawanan yang kompetitif dan secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan pemain. Pemain menunjukkan karektor yang bagus walaupun ketinggalan dua gol dan babak kedua kita bangkit untuk bermain lebih agresif," kata Rajagobal.


Jelas Rajagobal, aksi menentang Canberra FC yang pertama untuk skuad kebangsaan selepas perlawanan persahabatan menentang Palestin pada Mac dan pemain gagal menjelmakan persembahan yang diharapkan pada separuh masa pertama.


Penyerang Johor Darul Takzim (DT), Safee Sali yang dimasukkan pada babak kedua mencetuskan kebangkitan skuad negara apabila meledak dua gol pada minit ke-61 dan 85 sekali gus membuktikan sentuhannya masih berbisa walaupun sering memanaskan bangku simpanan ketika bersama kelab di saingan domestik.


"Saya puas hati dengan aksi Safee kerana kemampuannya menjaringkan dua gol. Saya harap dia serta pemain lain dapat mempamerkan rentak lebih baik dalam perlawanan seterusnya." Bagaimanapun harapan meraih keputusan seri tidak kesampaian apabila penyerang gantian Philippe Bernabo memastikan kemenangan tuan rumah apabila menewaskan Mohd Farizal Marlias di gawang skuad negara selepas dijatuhkan pada masa kecederaan separuh masa kedua.


Skuad negara dijadual meneruskan baki dua aksi persahabatan menentang kelab divisyen dua Australia dengan Sydney Olympic menanti pada Selasa diikuti Sydney United dua hari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

'Kami terkilan'

Posted: 07 Jun 2013 08:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad perahu layar negara berasa seolah-olah dipinggirkan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana mendakwa lewat menerima peruntukan tahunan daripada badan induk pentadbir sukan negara itu.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah terkilan dengan sikap MSN yang seperti menganak tirikan skuad pelayaran hingga mereka terpaksa menangguh beberapa program penting sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Myanmar pada 11 hingga 22 Disember ini.


"Kami terpaksa menunda beberapa program penting bagi persiapan pelayar ke Myanmar disebabkan lewat mendapat peruntukan kewangan dan jumlah diterima tidak cukup untuk menampung kos program persediaan atlet yang disusun sejak tahun lalu," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana belum mendapatkan peralatan pelayaran yang dipohon sejak awal tahun lagi.


"Kami perlu mengganti segera semua kelengkapan dan perahu layar sedia ada kerana kesemuanya sudah berusia hampir lima tahun dan tidak sesuai lagi digunakan untuk kejohanan besar seperti Sukan SEA.


"Jika bantuan itu lambat disalurkan, saya risau pelayar negara hilang keyakinan akibat terganggu dengan kelengkapan yang uzur berbanding pelayar negara lain yang sudah pasti menggunakan peralatan serba baharu." Beliau harap pihak terbabit tidak akan menuding jari kepada MYA jika skuad pelayar negara gagal meraih sebarang pingat di Myanmar.

Pada temasya Sukan SEA Indonesia 2011 skuad pelayaran negara hanya mampu membawa pulang dua pingat perak dan sebutir pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

350 remaja rebut kejuaraan badminton

Posted: 07 Jun 2013 08:42 AM PDT

Kuantan: Seramai 350 pemain badminton remaja terbaik seluruh negara akan berentap pada Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan 100 Plus - Grand Prix Akhir 2013 di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, Kuantan dari 12 hingga 16 Jun ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Badminton Pahang (PBP) dengan kerjasama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu bagi melengkapkan siri sirkit membabitkan tiga zon iaitu utara yang berlangsung di Perlis, Melaka (Selatan) dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).


Setiausaha Kejohanan Razak Muda berkata, format pertandingan adalah menggabungkan penyertaan pelatih BAM dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang diadakan secara liga dalam kumpulan iaitu kategori Bawah 12, Bawah 14 dan Bawah 18 Tahun lelaki dan wanita.

Menurutnya, kejohanan selama lima hari itu diharap bakal melahirkan pemain berwibawa yang mampu mengibarkan cabaran negara di pentas antarabangsa pada masa depan.


"Pada final ini, hadiah wang tunai keseluruhan RM22,000 ditawarkan kepada pemenang sebagai insentif persatuan. Oleh itu, kejohanan ini diharap memberi peluang kepada semua peminat sukan badminton di Pahang untuk menyaksikan kehebatan pemain remaja," katanya.


Razak berkata, kali terakhir Pahang menjadi tuan rumah ialah pada 2010 dan pihaknya percaya akan memastikan penganjuran kali ini adalah yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Tepati ramalan

Posted: 07 Jun 2013 08:41 AM PDT

Kuantan: Pasukan Selangor dan Kelantan menepati ramalan awal apabila melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Belia FAM 2013 selepas masing-masing membenam lawan separuh akhir di padang Akademi Bola Sepak Negara, Gambang, semalam.

Skuad Merah Kuning yang menang besar 4-1 ke atas Terengganu di suku akhir kelmarin, meneruskan pesta gol apabila mudah menjinakkan Perak, 5-1.


Gol pasukan bimbingan Muhammad Adam Abdullah itu disumbang penyerang lincah, Muhamad Alif Haikal Mohd Sabri pada minit ke-24 dan 78 diikuti K Kannan (m-52), R Thivagar (m-71) dan V Sasikumar (m-90).

Kelantan pula yang mendapat sentuhan jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan selesa menewaskan Sabah, 3-1 menerusi dua gol jaringan Muhammad Amirul Ashraf Din pada minit kelima dan 66 diikuti jaringan Muhamad Naim M Yusof (m-15).


Bagi Muhammad Adam, semangat tinggi anak buahnya yang meletakkan sasaran untuk melangkah ke perlawanan akhir menjadi pendorong buat mereka beraksi cemerlang.


"Saya tidak sangka kami mampu menghasilkan lima gol terutama apabila saingan sengit diberikan lawan hingga memaksa kedudukan terikat satu sama pada babak pertama.

"Kebangkitan pemain tidak dapat disekat lawan pada babak kedua dan kami berjaya menghasilkan empat gol," katanya.


Jurulatih Kelantan, Tengku Hazman menganggap jadual perlawanan ketat menjurus kepada punca yang menyaksikan pemainnya keletihan sekali gus gagal mempamerkan permainan sebenar.

"Bagaimanapun, saya tetap memuji kesungguhan pemain apabila berjaya mencatat kemenangan selesa ke atas Sabah yang turun dengan matlamat sama iaitu mahu bergelar juara musim ini.


"Kini tumpuan kami menjurus kepada perlawanan akhir malam esok (ini) dan walaupun kehilangan empat pemain utama kerana kecederaan, saya tetap yakin kami mampu memberikan saingan sengit buat Selangor," katanya.


Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Darul Makmur, jam 8.30 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Sasar dua emas

Posted: 07 Jun 2013 08:41 AM PDT

Seremban: Pasukan Muay Thai Negeri Sembilan mensasarkan dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia ke-16 (SUKMA XV1) Kuala Lumpur 2013, bermula 28 Jun hingga 7 Julai.

Pengurus pasukan Ahmad Fikri Che Muhamad Nor berkata, Negeri Sembilan menyandarkan harapan kepada 11 atlet, lapan lelaki dan tiga perempuan.


Katanya, pihaknya sudah membuat persiapan rapi sejak awal tahun ini dengan mengadakan latihan intensif di Dewan Majlis Sukan Negeri (MSN) di bawah bimbingan jurulatih Mohd Faizal Mohd Hanif dan Borhan Budong.

"Kami sudah membuat persiapan rapi dan kini masih meneruskan latihan dan setakat ini komitmen semua atlet amat membanggakan, malah prestasi mereka juga amat memberangsangkan dan saya yakin prestasi itu akan terus meningkat menjelang cabaran sebenar nanti.


"Setakat ini kami menetapkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas walaupun saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh dengan pencapaian lebih baik.


"Harapan kami untuk membantu kontinjen Negeri Sembilan mengutip lebih banyak pingat emas pada temasya kali ini sekali gus menduduki kelompok terbaik keseluruhan," katanya.

Menurutnya, pasukan Muay Thai Negeri Sembilan memulakan cabaran dari 2 hingga 6 Julai di South City Plaza, Seri Kembangan dan pihaknya yakin atlet sudah sedia fizikal dan mental untuk menggalas tanggungjawab diamanahkan.


"Saya harap semua atlet terus fokus kepada usaha memberikan persembahan terbaik sekali gus merealisasikan kutipan pingat emas disasarkan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Ada potensi

Posted: 07 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kuantan: Jurulatih bola sepak pantai negara Marcello Serpa berpendapat pemain negara memiliki kemahiran dan kualiti untuk menjadi pemain berkaliber.

Namun jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata, untuk menjadi pemain yang hebat dan mampu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman, mereka perlu meningkatkan lagi prestasi.


Menurutnya, selain memiliki kemahiran, untuk bergelar sebuah pasukan yang hebat, pemain juga perlu memiliki semangat berpasukan dan setiakawan tinggi.

"Berdasarkan pemerhatian saya, pemain Malaysia memang ada kualiti dan jika latihan intensif dilakukan, pemain akan cepat menyesuaikan diri dan boleh beraksi cemerlang.


"Sebab itu saya mahu mereka perbaiki kelemahan sekali gus dapat bermain sebagai satu pasukan," katanya.


Serpa ditemui selepas mengadakan klinik bersama 19 pemain bawah 21 tahun Pahang yang terpilih menggalas cabaran negeri ke SUKMA 2013 di Kuala Lumpur, Julai ini.

Sebelum ini, seramai 19 pemain itu dipilih menerusi kejohanan bola sepak pantai dianjurkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang turut dinilai bekas pemain kebangsaan Azman Adnan dan jurulatih Pahang, Dollah Salleh.


Sementara itu, pengurus pasukan bola sepak pantai SUKMA Pahang Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, pasukan itu mendapat sentuhan jurulatih dari Brazil Julio Cesar.

Menurutnya, kehadiran Cesar diharap mampu membentuk sebuah pasukan mantap sekali gus mencatat kejayaan membanggakan pada temasya sukan itu.


"Pada masa sama, acara bola sepak pantai kali pertama dianjurkan dalam SUKMA dan semestinya kejayaan manis mampu diraih. Cesar adalah bekas penolong jurulatih kelab Flamingo dan kami yakin dengan kemampuannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Perlis harap MB terajui PFA

Posted: 07 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kangar: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berharap Menteri Besar Azlan Man da pat menerajui PFA bagi mengembalikan kegemilangan pasukan Singa Utara sebagai pasukan digeruni dalam arena bola sepak tanah air.

Setiausaha Kehormat PFA Dr Ammar Hassan berkata, taring Singa Utara sudah lama tumpul dan perlu diasah supaya kembali menyertai senarai skuad terbaik sukan bola sepak negara.


Menurutnya, Ahli Majlis Mesyuarat PFA bersetuju memilih Menteri Besar sebagai Presiden pada mesyuarat agong kerana beliau calon tunggal yang berkelayakan bagi menerajui kepemimpinan berkenaan.

"Kami harap pelantikan Menteri Besar sebagai Presiden secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kewangan dihadapi PFA sekali gus menyelesaikan tunggakan bayaran bulanan gaji pemain bolasepak negeri.


"Ini kerana masalah kewangan yang kian meruncing menyebabkan gaji pemain tertunggak dua bulan dan tidak dapat dijelaskan dalam waktu terdekat.


"Kami anggar RM220,000 diperlukan untuk perbelanjaan setiap bulan bagi mengurus dan membayar gaji pemain," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas PFA, semalam.

Mesyuarat itu turut membincangkan pengambilan pemain import selain menyusun semula pentadbiran PFA bagi meyakinkan agensi korporat untuk menaja pasukan Singa Utara seterusnya meningkatkan mutu sukan itu di Perlis.


Sementara itu, PFA mencadangkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk hadir dan merasmikan Mesyuarat Agung PFA yang dijadual pada 16 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

TRW idam lunas dendam

Posted: 07 Jun 2013 08:39 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan bukan hanya mahu mengekalkan kejuaraan Piala FA pada perlawanan akhir yang bakal berlangsung tiga minggu lagi tapi pada masa sama mahu mencatat kemenangan pertama ke atas Johor Darul Takzim (DT) sekali gus melunaskan dendam tewas sebelum ini.

Pengurus pasukan Azman Ibrahim berkata, The Red Warriors (TRW) akan berjuang mati-matian untuk merangkul piala pertama tahun ini. "Kani perlu kekalkan kejuaraan Piala FA bagi menebus kekecewaan selepas gagal mengekalkan kejuaraan Liga super musim ini.


"Piala FA harapan kami mendapatkan piala pertama musim ini dan akan berjuang mati-matian untuk mendapatkannya.

"Kami bukan saja akan turun dengan misi mempertahankan kejuaraan, malah menewaskan Johor DT selepas dua pertemuan sebelum ini hanya mampu seri dan tewas kepada mereka," katanya.


Kelantan melayakkan diri ke final selepas menundukan Terengganu manakala Johor DT pula menyingkirkan Pahang.


Selain itu, Azman yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pasukannya kini giat menjalani latihan bagi persediaan menghadapi perlawanan akhir itu.

Beliau turut mengaku Kelantan berdepan tugas sukar kerana pasukan kendalian Fandi Ahmad itu dibarisi ramai pemain kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Azraai lega tonggak utama kembali pulih

Posted: 07 Jun 2013 08:38 AM PDT

Ipoh: Jurulatih Perak Mohd Azraai Khor Abdullah lega pemain tonggak yang mengalami kecederaan semakin pulih untuk mencurah keringat dalam baki empat perlawanan Liga Super 2013 bersambung 22 Jun ini.

"Ramai sudah pulih kecuali Mohd Syazwan Roslan dan pemain yang baru dipinjam, R Surendren.


"Saya dalam proses menguji tahap pemulihan mereka kerana tidak mahu kecederaan berulang dalam baki kempen kami.

"Kami miliki tugas berat dalam baki empat perlawanan kerana bertemu pasukan handalan yang menduduki enam tangga teratas liga, Pahang, Kelantan, Lions XII dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.


Azraai berkata, beliau perlu pastikan setiap pemain yang diturunkan berada pada tahap terbaik serta bersedia membawa cabaran pasukan . Jurulatih itu berkata, dua perlawanan persahabatan secara timbal balik dengan sebuah kelab Indonesia dibatalkan kerana masalah teknikal.


Justeru Perak mengatur perlawanan persahabatan dalam tempoh rehat ini demi menguji pemain yang mengalami kecederaan.

"Kami bertemu PKNS pada 12 Jun dan Sime Darby (17 Jun) di Ipoh. Dua perlawanan ini pentas menguji pemain cedera." Perak yang menduduki tangga kesembilan dengan mengutip 22 mata perlu mengutip empat mata daripada empat perlawanan terakhir untuk mengelak dipintas dua pasukan terbawah, T-Team dan Negeri Sembilan yang masing-masing hanya mampu mengutip maksimum 24 dan 22 mata jika menang semua baki perlawanan.


"Kami mahu sebanyak mata yang mungkin untuk menamatkan cabaran di kedudukan lebih terhormat.

"Lebih penting saya beritahu pemain, setiap pasukan akan membuat pecutan terakhir ke garisan penamat dan kami tidak boleh leka dan bermain sambil lewa."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Tidak praktikal

Posted: 07 Jun 2013 08:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiada halangan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) namun lebih baik ahli gabungan menggunakan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Ogos ini untuk menyelesaikan isu berbangkit.

Itu pandangan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad susulan cadangan diutarakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang menggesa ahli gabungan FAM mengemukakan usul untuk mengadakan EGM bagi membincangkan isu yang berbangkit.


"Kongres FAM sudah ditetapkan pada 17 Ogos dan saya fikir lebih baik ahli gabungan menggunakannya untuk meluahkan isu yang dimaksudkan berbanding memanggil EGM yang mengambil masa lebih lama untuk diadakan," katanya.

Jelasnya, ahli gabungan FAM perlu menghantar notis tiga bulan sebelum tarikh EGM ditetapkan ketika Kongres FAM hanya berbaki kira-kira dua bulan lagi.


"Tiada masalah untuk mengadakannya (EGM). Namun ia memerlukan persetujuan satu perlima daripada ahli gabungan bagi membahaskan usul.


"Terpulang kepada ahli gabungan FAM untuk meneruskan EGM atau menyelesaikan isu berbangkit di Kongres FAM. Ini boleh diadakan walaupun selepas Kongres FAM berlangsung andai ia diingini ahli gabungan," katanya.

Annuar menerusi laporan media semalam mencadangkan ahli gabungan FAM supaya berani bersuara dan mencadangkan usul untuk mengadakan EGM bagi menyelesaikan isu yang menjadi pertikaian selain ahli boleh memutuskan segala dasar secara kolektif.


Kredibiliti dan kewibawaan FAM sejak kebelakangan ini kembali menjadi tumpuan apabila dikritik Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan cara badan induk bolasepak negara itu menangani kes separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor DT.

Malah Tunku Ismail menerusi kenyataannya beberapa hari lalu membidas FAM yang dilihat gagal memberikan layanan adil kepada ahli gabungan, membuat keputusan dan peraturan sewenang-wenangnya serta tidak membenarkan individu atau persatuan menyuarakan pandangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

No comments:

Post a Comment