Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Nak derma, boleh bincang...'

Posted: 20 Jun 2013 10:03 AM PDT

Kuala Lumpur: "Setiap tahun (kewangan) kami diaudit dan laporan dikeluarkan setiap tahun".

Itu reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ditanya mengenai wang tajaan Liga Malaysia (Liga M) berjumlah RM30 juta semusim yang diterima badan induk negara itu.


Tajaan RM30 juta itu ditimbulkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa susulan masalah kewangan yang menghimpit beberapa ahli gabungan FAM dengan beliau mempersoalkan ke mana perbelanjaan membabitkan dana berkenaan disalurkan.

"Saya tidak terbabit dalam urusan kewangan FAM namun saya tahu terdapat penajaan yang diagihkan kepada semua seperti diputuskan. Kalau nak tanya lebih maklumat, anda perlu tanya Jawatankuasa Kewangan FAM," katanya.


Bagaimanapun beliau mengaku jumlah RM30 juta tidak mencukupi kerana Presiden FAM Sultan Ahmad Shah turut terpaksa mengeluarkan duit sendiri.


"Kalau ada Tan Sri atau Datuk yang mahu menderma, kita boleh bincang." Mengenai dakwaan terbaru Annuar yang mempersoal penghantaran Harimau Muda A ke Eropah sekali gus dilihat sebagai membuka peluang kepada ejen berkenaan membuat urus niaga menguntungkan selain menjadi alasan kepada pegawai dan isteri berulang-alik atas alasan pergi melihat pasukan berlatih, Tengku Abdullah berkata, beliau tidak berani membuat spekulasi.

Foto

TENGKU Abdullah (kanan) ketika majlis minum petang bersama skuad hoki negara, semalam.

"Saya tidak terbabit dalam hal ini, kita hanya putuskan dasar persatuan. Ini semua pengurusan, saya tidak tahu. Saya tidak suka tuding jari dan tuduh-menuduh, bukan cara saya." Mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang hanya mahu berjumpa dengan pemimpin FAM yang boleh membuat keputusan seperti dirinya, Tengku Abdullah sedia bertemu siapa saja untuk sebarang urusan.


"Siapalah saya, saya sedia berjumpa sesiapa sekalipun."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

RSP Smart Kids B tunjuk belang

Posted: 20 Jun 2013 09:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Remaja Semangat Pejuang (RSP) Smart Kids B dari Klang mempamerkan aksi bertenaga untuk muncul juara selepas membenam cabaran CT Nur Nilam A, 4-0 pada final Kejohanan Futsal B12 'U R MY BRO' 2013 di Kompleks Sukan NPNG, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Pada separuh akhir, CT Nur Nilam terpaksa 'bermandi peluh' sebelum menang 3-2 ke atas Premier Footbal Kids Academy B (PKFA B) dari Batu Caves selepas terikat 1-1 manakala RSP Smart Kids B tidak menghadapi masalah mengalahkan Anak Panglima Melayu Selayang Baru (APMS), 4-0.


Program ini adalah inisiatif Kelab Sukan SportsUnite dalam usaha mempromosi perpaduan melalui sukan yang bertemakan 'U R MY BRO'. Milo, Revive, Figos, Munchy's dan McDonalds turut memberi kerjasama erat memeriahkan kejohanan.

Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian dan wajib menyenaraikan sekurang-kurangnya dua pemain berlainan kaum.


Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal berkata: "Kami hargai semua yang terbabit terutama penaja kerana tidak jemu memberi sokongan kepada program ini. Pujian juga harus diberikan kepada kanak-kanak, ibu bapa, jurulatih kerana menunjukkan semangat kesukanan tinggi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

16 pasukan rentap Liga PASFA

Posted: 20 Jun 2013 09:55 AM PDT

Kuantan: Sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Pertubuhan Peladang Pahang (PASFA) 2013 kali pertama dianjurkan dari 28 hingga 30 Jun ini.

Daripada jumlah itu, 14 pasukan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) manakala masing-masing satu PASFA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


Pengerusi PASFA Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid berkata, penganjuran kejohanan itu lebih kepada mengenal pasti dan memilih pemain berkaliber yang akan menyarung jersi pasukan PASFA.

Menurutnya, ini kerana Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan pada hujung tahun ini.


"Apabila kejohanan peringkat kebangsaan dianjurkan, sudah pasti PASFA akan menyenaraikan barisan pemain terbaik bukan saja meraih kejayaan buat PASFA, malah mengharumkan nama Pahang.


"Sebagai imbuhan awal, setiap pasukan yang menyertai kejohanan bola sepak ini diberi peruntukan RM10,000 bagi membentuk sebuah pasukan mantap," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kejohanan itu di pejabat PASFA, baru-baru ini.

Pada kejohanan itu, juara membawa pulang piala pusingan, RM5,000 dan pingat manakala naib juara RM3,000 dan pingat dan tempat ketiga serta keempat, masing-masing RM1,000 dan pingat.


Kejohanan itu akan diadakan di padang Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), padang Inderapura dan padang Taman Garuda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Futsal Hari Penyayang YSB

Posted: 20 Jun 2013 09:55 AM PDT

Alor Setar: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) akan menganjurkan Pertandingan Futsal Hari Penyayang sempena Karnival Amal Hari Penyayang di Perkarangan Stadium Darul Aman pada 28 dan 29 Jun ini.

Pengurus Besar YSB Misbah Abdul Hamid berkata, antara kategori dipertandingkan Terbuka Lelaki (30 tahun ke bawah), Terbuka Wanita (30 tahun ke bawah) dan Sekolah Menengah Lelaki (15 hingga 18 tahun).


Yuran penyertaan bagi kategori Terbuka Lelaki RM50, Terbuka Wanita (RM50) dan Sekolah Menengah Lelaki (RM20).

Juara Terbuka Lelaki akan membawa pulang trofi dan RM1,000 manakala naib juara menerima trofi dan RM800, ketiga, trofi dan RM600 dan keempat, trofi dan RM400.


Juara Terbuka Wanita akan memperoleh trofi dan RM800 manakala naib juara, trofi dan RM600, ketiga, trofi dan RM400 dan keempat, trofi dan RM200.


Bagi Sekolah Menengah Lelaki, juara membawa pulang trofi dan RM600 manakala naib juara, trofi dan RM500), ketiga, trofi dan RM400 dan keempat, trofi dan RM300.

Menurutnya, borang penyertaan boleh dimuat turun melalui facebook 'YSB' mulai 10 Jun. Untuk maklumat lanjut hubungi Urusetia Pertandingan di talian 04-7304112 /04-7311870 /04-7348053.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Terengganu kecewa

Posted: 20 Jun 2013 09:54 AM PDT

Kuala Terengganu: Kontinjen Terengganu melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) kerana membatalkan acara sukan berkuda endurance pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 7 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Rozi Mamat berkata, pada asalnya acara itu memang ada dalam jadual dipertandingkan tapi dibatalkan pada saat akhir.


"Perkara ini tidak patut berlaku kerana kita sudah membuat persediaan sejak awal lagi. Kalau kenu dan berbasikal tidak dipertandingkan, tidak mengapa kerana ia sudah dimaklumkan lebih awal. Tapi endurance dimaklumkan pada saat-saat akhir berikutan penarikan diri beberapa pasukan lain.

"Bagi Terengganu ini satu beban kerana kita sudah bersedia untuk sukan endurance dengan mengambil masa panjang dan membabitkan perbelanjaan jutaan ringgit. "Orang tahu komitmen Terengganu dalam sukan ini dengan program pembangunan bukan saja untuk Terengganu, malah menyumbang untuk negara," katanya selepas majlis penyerahan bendera Terengganu kepada Ketua Kontinjen Sukma Mohamad Kamil Othman.


Rozi berharap MSN perlu menyediakan garis panduan jelas yang boleh diikuti badan sukan peringkat negeri kerana pembangunan apa jua jenis sukan dilaksanakan di peringkat negeri.


"Yang menjadi masalah bukan pingat walaupun pingat yang menjadi keutamaan kontinjen tapi kita mengambil masa bertahun-tahun menyediakan atlet dengan menghantar mereka menyertai kejohanan luar negara, beli peralatan selain kuda dari luar negara yang menelan belanja besar.

"Bukan kita nak persoal MSN tapi ia kena beri penjelasan dari awal, kalau tak nak main, tak apa kerana menyediakan atlet bukan ambil masa dua tiga bulan, tapi sepanjang masa." Beliau berkata, MSN harus bertegas mengenai perkara ini supaya tidak berulang kepada negeri lain pada masa depan.


Katanya dalam sukan Endurance, skuad Terengganu mempunyai enam peserta yang mampu meraih dua emas. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Larian Hari Olimpik ditunda akibat jerebu

Posted: 20 Jun 2013 09:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Larian Hari Olimpik yang dijadual berlangsung di Padang Merbok, Ahad ini, ditunda berikutan keadaan jerebu dan kualiti udara yang semakin merosot.

Majlis Olimpik Malaysia, selaku penganjur acara itu berkata, keputusan menangguhkan acara tahunan itu diputuskan selepas berunding dengan penganjur bersama, McDonald's Malaysia.


"Kami kesal dengan sebarang kesulitan dihadapi peserta tapi kami mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan semua termasuk keluarga dan kanak-kanak yang dijangka menyertai acara ini," kata MOM semalam.

Bagaimanapun, MOM tidak menyebut tarikh baru acara itu.


Larian Hari Olimpik diperkenal pada 1987 untuk memperingati penubuhan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 23 Jun 1894 oleh Baron Pierre de Coubertin.


Populariti acara larian itu terus berkembang di peringkat antarabangsa daripada 45 anggota Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dalam edisi pertama kepada lebih 100 NOC ketika ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Masih kabur!

Posted: 20 Jun 2013 09:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Masa depan ketua jurulatih negara Paul Revington masih kabur apabila tetap dengan pendiriannya untuk menimbang semula kedudukannya selepas saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia awal bulan depan berakhir.

Jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu yang sudah 10 bulan dilantik dengan kontrak empat tahun, menegaskan mahu memberi fokus kepada persiapan skuad negara terlebih dulu agar impian memastikan tiket ke Piala Dunia 2014 mampu direalisasikan.


"Perkara yang berlaku beberapa bulan lalu mengganggu tumpuan saya untuk bekerja dengan baik. Malah perkara yang berlaku sejak dua atau tiga hari lalu juga banyak membantu saya memahami situasi ini. Lebih baik jika semua pihak memberikan fokus kepada kejohanan di Johor terlebih dulu.

"Selepas itu, semua pihak mempunyai masa untuk menyelesaikan perkara ini. Saya fokus untuk menghadapi kejohanan ini, malah semalam (kelmarin) saya sifatkan latihan yang bagus bersama pemain negara," kata Revington yang hadir bersama barisan pemain negara dalam perjumpaan bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.


Tengku Abdullah ketika ditanya mengenai 'ribut' yang melanda skuad negara, berharap semua pihak melupakan segala masalah dan memandang ke depan terutamanya menghadapi kejohanan penting di Johor yang bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai.


"Saya harap kita dapat fokus kepada kejohanan ini dengan jurulatih turut bersetuju untuk bersama skuad negara dalam kejohanan ini kerana beliau mengetahui kedudukan dan status pasukan. "Biar kita pamerkan aksi terbaik dulu, lepas itu baru bincang masa depannya. Biarkan apa yang berlaku berlalu namun kami akan mengambil tindakan drastik jika perlu. Harapan kita hanya satu iaitu melangkah ke Piala Dunia.

"Ini yang saya mahu pemain faham kerana ia arah tuju hoki negara, kita mahu peningkatan pasukan yang secara tidak langsung mampu mempopularkan hoki," katanya yang turut tidak menolak kemungkinan memberikan bonus andai sasaran mampu dicapai.


Tengku Abdullah turut tidak mahu mengulas lanjut mengenai tindakan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC Manjit Majid Abdullah yang bertindak membuat cadangan memecat jurulatih skuad remaja negara Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Pengarah Program Pembangunan 1Mas Lim Chiow Chuan bagi memujuk Revington agar menarik kembali surat peletakan jawatannya.

"Bagus apabila beliau menarik semula cadangan berkenaan. Harap tiada siapa lagi membuat komen yang tidak diperlukan," katanya.


Ditanya mengenai sebarang tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak, Tengku Abdullah berkata: "Tunggu selepas kejohanan, kita fokus dulu terhadap saingan di Johor." Skuad negara dilanda kontroversi apabila Revington bertindak menghantar surat peletakan, Sabtu lalu kerana mendakwa campur tangan jurulatih lain dalam mengendalikan skuad negara disusuli cadangan Jawatankuasa Kejurulatihan MHC untuk memecat Dharma dan Chiow Chuan, dua jurulatih yang didakwa bertindak sedemikian, sekali gus mengundang campur tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Mengenai situasi jerebu yang melanda Johor, Tengku Abdullah berkata, beliau akan memantau situasi itu.


"Memang bimbang. Saya harap kerajaan dapat berbuat sesuatu." Skuad negara dijangka mengumumkan dua lagi pemain hari ini bagi melengkapkan senarai 18 pemain untuk mengharungi cabaran di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Azzuddin mula 'bersuara'

Posted: 20 Jun 2013 09:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Tolong bersikap profesional!. Itu permintaan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad terhadap Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang dilihat berterusan memberi tekanan terhadap badan induk bola sepak negara itu.

Selepas mempersoalkan cara penggunaan wang tajaan berjumlah RM30 juta semusim untuk Liga Malaysia, Annuar kelmarin turut mempersoal peruntukan kewangan untuk program latihan Harimau Muda di Eropah dan kunjungan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ke Australia baru-baru ini yang turut mengundang kritikan pelbagai pihak.


"Sepatutnya beliau bertanya isu yang dibangkitkan kepada wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mempunyai jawatan di FAM. Ingin saya tegaskan dana membabitkan dua program itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Exco," katanya.

KAFA turut mempunyai wakil menerusi Datuk Afandi Hamzah yang dipilih sebagai Naib Presiden FAM selain terbabit secara langsung dalam aspek membabitkan Harimau Muda A kerana beliau pengurus skuad itu yang kini berada di Austria.


Selain Afandi, KAFA turut mempunyai Datuk Rosmadi Ismail yang juga ahli Exco FAM. "Beliau boleh mendapatkan maklumat menerusi mereka ataupun andai terdapat soalan berbangkit, kedua-dua wakil KAFA itu boleh menyuarakan pandangan dan soalan," katanya.


Pucuk pimpinan FAM sebelum ini diberi tekanan pelbagai pihak termasuk ahli gabungan yang sudah menyuarakan hasrat untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Tunda perlawanan jika jerebu

Posted: 20 Jun 2013 09:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memutuskan sama ada perlawanan Liga Malaysia di kawasan dilanda jerebu boleh dilangsungkan atau sebaliknya, hari ini.

Keadaan jerebu beberapa negeri di Semenanjung seperti Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor selain Singapura dilapor berada pada tahap tidak sihat dan situasi terbabit mencetuskan kebimbangan andai perlawanan dilangsungkan mengikut jadual.


"Kami menunggu laporan beberapa pihak sebelum membuat keputusan muktamad. Kami akan bermesyuarat esok (hari ini) bagi menentukan sama ada perlawanan dapat diteruskan atau sebaliknya. "Terdapat beberapa pilihan dengan salah satunya menangguhkan perlawanan," kata Pengerusi JKPT FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Antara perlawanan yang dijangka tidak dapat diteruskan membabitkan pertemuan getir pendahulu Liga Super, LionsXII yang dijadual menentang pasukan di kedudukan kedua, Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Jalan Besar, esok susulan jerebu teruk yang melanda republik itu walaupun tiket untuk perlawanan itu dilapor habis dijual.


Malah saingan separuh akhir Piala Liga domestik republik itu yang sepatutnya berlangsung semalam turut ditangguhkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berikutan masalah sama.


Saingan Liga Super dan Perdana berbaki beberapa perlawanan kembali menyambung aksi selepas berehat beberapa minggu dengan sembilan perlawanan dijadual berlangsung hari ini manakala tiga perlawanan Liga Super, esok.

Antara perlawanan yang membabitkan pertemuan Selangor menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam selain Johor menentang Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan NS Betaria bertemu Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Tagih semangat malam

Posted: 20 Jun 2013 09:52 AM PDT

Kuala Terengganu: Kapten Terengganu Muhamad Faizal Mohamad mengharapkan tuah bermain pada waktu malam buat pertama kali di laman sendiri musim ini sebagai pemangkin semangat untuk skuadnya mencatat kemenangan ke atas Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bekas pertahanan Harimau Muda A itu turut meminta rakan sepasukan melupakan episod malang tewas dalam perebutan tempat ke final Piala FA musim ini.


"Buat pertama kali kami bermain pada waktu malam di laman sendiri musim ini, justeru sudah tentu kami ingin melakar kemenangan berharga.

"Selain itu, saya harap rakan sepasukan sudah melupakan kekalahan kepada lawan sama bulan lalu dan kembali fokus untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas liga," katanya. Sementara itu, jurulatih Terengganu E Elavarasan bakal melakukan sedikit perubahan apabila tiga tonggak utama termasuk dua awang import, Vincent Bikana, Jean-Emmanuel Effa Owana dan penyerang Abdul Manaf Mamat terpaksa diketepikan akibat penggantungan.


Menurutnya, ketiadaan tiga pemain itu tidak menggusarkan kerana Terengganu masih mempunyai beberapa pemain yang mampu menggalas tugas ditinggalkan tiga pemain itu.


"Terengganu akan membariskan kesebelasan terbaik apabila melayan kunjungan Kelantan," katanya.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 50 tahun itu meminta anak buahnya tidak terlalu yakin dan fokus untuk memastikan tiga mata berjaya dikutip di laman sendiri.


"Saya harap pemain memperagakan aksi terbaik sekali gus membalas dendam kekalahan Piala FA."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

No comments:

Post a Comment