Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mungkin mati tak cukup tidur

Posted: 22 Jun 2013 07:23 AM PDT

Los Angeles: Michael Jackson mungkin menjadi manusia pertama yang tidak mendapat tidur sewajarnya sehingga 60 hari yang membawa kepada kematiannya, kata seorang pakar.

Memberi keterangan dalam perbicaraan, pakar tidur dari Universiti Harvard, Dr Charles Czeisler berkata, disebabkan kekurangan tidur, Michael, 50, tetap berdepan risiko mati akibat serangan jantung walaupun dia tidak diberi ubat penahan sakit berlebihan. "Simptom dialami Michael konsisten dengan seseorang yang mengalami kekurangan tidur menyeluruh untuk tempoh yang sangat lama," katanya.


Czeisler memberi keterangan itu dalam saman dikemukakan keluarga Raja Pop berkenaan yang menuntut syarikat penganjur konsert, AEG Live, membayar pampasan £26 bilion (RM128.5 bilion).

Jumlah itu dianggap pendapatan yang diperoleh waris Michael jika dia tidak meninggal dunia pada Jun 2009.


Doktor peribadi Michael, Conrad Murray - yang digaji AEC - didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara. Mahkamah semalam turut diberitahu, pengambilan sesetengah ubat menyebabkan pengambilnya tidak mendapat tidur semula jadi dan dalam keadaan tertentu, mereka sebenarnya hidup dalam keadaan koma. Czeisler juga berkata, kegagalan Michael melakukan langkah baru tarian serta mengingati lirik lagunya juga disebabkan masalah tidak cukup tidur. "Petugas memberitahu, Michael kehilangan berat badan, paranoid dan ia adalah petanda seseorang yang tidak mendapat tidur sempurna," katanya. Czeisler berkata, kekurangan tidur kemungkinan besar disebabkan pengambilan ubat penahan sakit propofol. Bagaimanapun, keterangan Czeisler itu dibuat dengan hanya bergantung kepada keterangan dikemukakan peguam plaintif. Dia juga mengaku tidak melihat keterangan sebenar daripada kes itu, termasuk kenyataan daripada beberapa eksekutif AEG Live yang tidak melihat sebarang petanda luar biasa pada Michael.


Untuk mengkaji kes itu, Czeisler dibayar AS950 (RM3,043) sejam. - The Sun

Foto

Michael Jackson

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Dua bangunan runtuh dalam satu malam

Posted: 22 Jun 2013 07:11 AM PDT

Mumbai: Sebuah bangunan tinggal runtuh semalam, membunuh lima orang dalam insiden kedua seumpamanya dalam tempoh semalaman yang mendedahkan tahap pembinaan kurang bermutu di pusat kewangan di India.

Bangunan usang di kawasan pasar sibuk di pinggir Dahisar itu sudah dikosongkan sejak dua tahun lalu, tetapi penjaja sayur-sayuran tempatan menggunakannya sebagai tempat untuk berteduh pada waktu malam, kata pihak berkuasa.


Jurucakap polis berkata, sehingga petang semalam lima orang disahkan dan pihak berkuasa masih menunggu maklumat lanjut.

Ahli parlimen tempatan, Vinod Ghosalkar berkata, bangunan itu sudah dibiarkan kosong apabila ia diisytiharkan berbahaya oleh pihak berkuasa tempatan.


Bagaimanapun, pembangunan semula terhalang apabila berlaku pertikaian mahkamah membabitkan pemilik dan penyewanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Hamas: Lelaki tali barut Israel digantung mati

Posted: 22 Jun 2013 07:11 AM PDT

Gaza: Kerajaan Hamas berkata, dua lelaki didapati bekerjasama dengan Israel digantung sampai mati semalam, sesuai dengan peruntukan undang-undang di Gaza.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Hamas, dua lelaki terbabit dikenali sebagai AG yang berusia 49 tahun dan HK, 43.


Kenyataan itu mendakwa, kedua-dua mereka "bersubahat dengan penjajah." "Sebuah mahkamah tentera di Gaza menjatuhi hukuman gantung sampai mati selepas mereka disabitkan kesalahan 10 tahun lalu," kata kementerian itu.

Antara kesalahan yang disabitkan ialah "membunuh dan mengintip" bagi pihak Zionis Israel. Kementerian itu berkata, sejumlah wakil pertubuhan sivil menyaksikan pelaksanaan hukuman berkenaan.


Pada April 2012, Hamas menggantung tiga lelaki atas kesalahan "bersubahat" dengan Israel. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Amerika latih pemberontak

Posted: 22 Jun 2013 07:10 AM PDT

Washington: Badan perisikan Amerika Syarikat (AS), CIA dan pasukan operasi khas negara itu secara rahsia melatih pemberontak Syria selama berbulan-bulan.

Perkara itu diumumkan media terkemuka negara terbabit, Los Angeles Times yang mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan di AS dan ketua pemberontak Syria.

Ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) didakwa terbabit melatih pejuang antikerajaan Syria sejak mereka ditempatkan di pangkalan tentera di Jordan dan Turki akhir tahun lalu.

Menurut sumber yang dirahsiakan, ejen CIA melatih militia menggunakan pelbagai jenis senjata, termasuk pemusnah kereta kebal dan jet pejuang.


Kata sumber itu, sejak pangkalan baru tentera AS dibuka di padang pasir di Jordan November lalu, ejen CIA dan pasukan operasi khas mula melatih militia antikerajaan Syria secara rahsia.


"Latihan dijalankan secara berkumpulan dengan masing-masing terdiri daripada 20 hingga 45 orang setiap satu.

"Mereka dilatih selama dua minggu," katanya.

Sumber itu berkata, ketika waktu rehat ejen CIA meluangkan masa berbual-bual dengan pejuang antikerajaan.

Ketika itulah, katanya, ejen terbabit memperoleh banyak maklumat mengenai keadaan di Syria.

Sementara itu, seorang daripada komander pejuang antikerajaan, Yahya Bittar berkata, latihan diketuai jurulatih dari AS, Jordan dan Perancis.

Katanya, kira-kira 100 pejuang sudah dihantar ke medan tempur di Syria selepas menjalani latihan di Jordan selama sebulan.

Usaha menghubungi Rumah Putih untuk memberi ulasan kepada pendedahan itu gagal mendapat sebarang reaksi.

Laporan berkenaan disiarkan seminggu selepas Presiden Barack Obama mengarahkan CIA membekalkan senjata secara langsung kepada pejuang antikerajaan Syria dengan alasan bahawa Damsyik telah menggunakan senjata kimia ke atas rakyat negara itu. - Los Angeles Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

10 cedera bas tercampak dalam gaung

Posted: 22 Jun 2013 07:08 AM PDT

Bandar Lucena (Filipina): Sekurang-kurangnya 10 orang cedera apabila sebuah bas yang dalam perjalanan ke Manila jatuh ke dalam gaung di lebuh raya Quirino di Tagkawayan, Quezon sejurus selepas tengah malam semalam, kata polis.

Ketua polis Tagkawayan, Cif Inspektor William Angway berkata, bas itu menuruni jalan berbukit di Barangay San Vicente kira-kira jam 12.10 pagi apabila pemandunya tiba-tiba membelok bagi mengelak merempuh pembahagi jalan. Dia yang hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu tercampak ke dalam gaung sebelum terbalik.


Penduduk yang tinggal di sepanjang lebuh raya itu segera menghubungi polis yang kemudian bergegas ke tempat kejadian bersama petugas perubatan dan sukarelawan.

Penumpang yang cedera kemudian dibawa ke hospital Maria Eleazar di Tagkawayan untuk rawatan. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Indonesia umum harga minyak naik

Posted: 22 Jun 2013 07:08 AM PDT

Jakarta: Menteri Sumber Mineral dan Tenaga Indonesia, Jero Wacik mengumumkan kenaikan harga minyak di negara itu semalam.

"Harga baru untuk minyak premium ialah Rp6,500 (RM2.10) seliter berbanding Rp4,500 (RM1.45), manakala harga baru diesel ialah Rp5,500 (RM1.78) seliter daripada Rp4,500 (RM1.45) seliter," katanya kepada media, semalam. Pengumuman rasmi kerajaan itu dibuat empat hari selepas parlimen mengemukakan draf belanjawan 2013 yang dikaji semula dalam sidang pleno di Jakarta, Isnin lalu.


Dalam draf itu, kerajaan menyatakan cadangan menaikkan harga minyak.

Sementara itu, Menteri Pengurusan Ekonomi Hatta Rajasa yang turut hadir di sidang media sama berkata, rancangan untuk menaikkan harga minyak bertujuan untuk menyelamatkan ekonomi negara.


Katanya, disebabkan polisi baru itu, sebanyak Rp9.3 trilion (RM300.3 juta) wang diperuntukkan kepada golongan kurang berkemampuan. - The Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

63,000 masih terkandas

Posted: 22 Jun 2013 07:07 AM PDT

Dehradun: Pasukan penyelamat India bertungkus-lumus semalam untuk menyelamatkan puluhan ribu mangsa yang terkandas di utara India ketika jumlah kematian akibat banjir lumpur dan tanah runtuh menghampiri 600 orang.

Pada masa sama, penyelamat menemui sejumlah besar mayat dari sungai Ganges.


Hampir 63,000 orang kebanyakannya pengunjung upacara agama dan pelancong masih terkandas atau hilang selepas hujan lebat melanda negeri Uttarakhand di Himalaya.

Jurucakap penyelamat berkata limpahan air dari sungai menghanyutkan kediaman, bangunan dan seluruh kampung, selain memusnahkan jambatan dan jalan sempit yang menuju ke bandar keagamaan di negeri pergunungan yang dikenali sebagai "Negeri Tuhan" kerana kuil Hindunya. Setiausaha Dalam Negeri Uttarakhand, Om Prakash berkata, sebanyak 575 mayat ditemui setakat ini tetapi jumlah itu dijangka bertambah. "Berdasarkan rekod kami, 62,790 orang masih terkandas," katanya.


Menurutnya, sepasukan tujuh doktor dan pegawai penyelamat dalam perjalanan menuju ke tempat ziarah Hindu yang terkenal, Kedarnath bagi mengumpulkan mayat yang bergelimpangan di situ.


Puluhan helikopter dan beribu-ribu anggota tentera dikerah bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap hampir seminggu selepas hujan melanda.

Lebih banyak hujan dijangka berlaku di negeri itu dan juga beberapa bahagian di tengah India dalam tempoh beberapa hari akan datang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

AS rancang jual enam helikopter pada Thai

Posted: 22 Jun 2013 07:07 AM PDT

Washington: Amerika Syarikat merancang menjual enam helikopter tentera Lakota kepada Thailand dengan anggaran harga kira-kira AS$77 juta, kata pegawai Pentagon, kelmarin.

Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan yang mengendalikan penjualan senjata AS di luar negara, memaklumkan Kongres bahawa kerajaan Thai mengutarakan permohonan untuk membeli helikopter UH-72A itu.

Pesawat Lakota itu biasanya digunakan Pengawal Kebangsaan AS untuk misi tindak balas kecemasan dan keselamatan sempadan.

Laman web rasmi Military-Today.com berkata, Lakota UH-72A yang dinamakan sempena kaum Red Indian Amerika digunakan dalam perkhidmatan tentera AS pada 2007. Ia digunakan terutama untuk logistik dan misi sokongan bukan untuk pertempuran, selain berfungsi sebagai operasi pemindahan perubatan.


Helikopter itu mempunyai kapasiti 1,790 kilogram dan boleh membawa muatan maksimum 1,500 kilogram.


Pesawat berkenaan dikendali dua kru dan boleh membawa hingga lapan anggota tentera. Secara alternatif ia dapat membawa dua pengusung dan beberapa petugas perubatan.

Penjualan itu menjadi laluan untuk perjanjian senjata yang lebih besar, apabila AS berhasrat untuk mengalih tumpuan strategiknya ke rantau Asia Pasifik dan firma pertahanan Amerika cuba mencari keuntungan daripada pertambahan perbelanjaan di antara negara Asia.

"Thailand ialah sekutu pertahanan yang berharga buat Amerika Syarikat," kata jurucakap Pentagon Catherine Wilkinson mengesahkan rancangan penjualan itu.

Perjanjian itu dibuat selepas bekas setiausaha pertahanan Leon Panetta menandatangani kenyataan "visi bersama" di Thailand, dengan kedua-dua negara berikrar untuk memperbaharui hubungan ketenteraan yang sudah berlarutan sejak 1950-an.

Gergasi aeroangkasa Amerika Utara EADS dinamakan sebagai kontraktor utama untuk penjanjian pembelian helikopter itu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Aktres muda disimbah asid

Posted: 22 Jun 2013 07:06 AM PDT

Peshawar: Seorang aktres muda melecur teruk selepas menjadi mangsa serangan asid di barat laut Pakistan semalam, kata polis dan keluarga mangsa.

Remaja yang cuma dikenali sebagai Bushra, 18, popular selepas muncul dalam beberapa filem, drama dan teater diserang ketika tidur di kediamannya di bandar Nowshera, kira-kira 148 kilometer di barat laut Islamabad. Abang Bushra, Prevez Khan berkata, seorang lelaki memanjat tembok rumah mereka pada awal pagi menyimbah asid itu ke arah mangsa sebelum melarikan diri.


Pegawai polis tempatan Sultan Khan mengesahkan insiden itu.

Katanya, Bushra dikejarkan ke Hospital Lady Reading di Peshawar.


"Doktor berkata, 33 peratus daripada muka dan bahu Bushra melecur akibat serangan asid berkenaan," katanya.


Bagaimanapun, keadaan remaja terbabit kini semakin stabil setelah menerima rawatan.

Sementara itu, Pervez membuat laporan polis terhadap penerbit drama televisyen tempatan, Shaukat Khan, kerana mendakwa lelaki terbabit marah apabila Bushra menolak lamarannya. Serangan terhadap artis bukanlah asing di Pakistan. Pada 18 Jun 2012, seorang penyanyi kelahiran Lembah Swat, Ghazala Javed, ditembak mati bersama bapanya oleh sekumpulan lelaki bersenjata.


Ghazala - ketika itu berusia 24 tahun - dan bapanya ditembak ketika mereka keluar dari salun kecantikan di Peshawar.

Suami Ghazala dilaporkan bergaduh dengannya dan menjadi punca pembunuhan berkenaan. Penderitaan mangsa serangan asid menjadi fokus filem dokumentari 40 minit, Saving Face yang menjadi pemenang Oscar diterbit dan diarahkan wanita negara itu Sharmeen Obaid-Chinoy tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Penggodam muat naik nombor Presiden

Posted: 15 Jun 2013 10:09 AM PDT

Manila: Seorang penggodam memuat naik di Internet apa yang didakwanya nombor telefon peribadi milik Presiden Benigno Aquino.

Jurucakap presiden Ricky Carandang mengutuk tindakan itu sebagai 'vandalisme siber'.


Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada nombor itu benar-benar milik Benigno atau pendedahannya di web ke seluruh dunia mengancam keselamatan peribadi pemimpin berkenaan atau rahsia negara.

"Ia vandalisme siber. Kami akan menangani perbuatan itu," katanya.


Tiga nombor dimuat naik lewat kelmarin di laman Facebook pengguna bernama "#pR.is0n3r". Pemilik laman itu menggesa pengikutnya yang mencecah lebih 9,000 semalam supaya berkomunikasi secara langsung dengan presiden.


Ketiga-tiga nombor telefon kelihatannya tidak lagi berfungsi pagi semalam apabila didail petugas media. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

No comments:

Post a Comment