Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


3 mata agenda penting

Posted: 24 Jun 2013 08:33 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak bersedia memperjudikan nasib pasukannya apabila beliau tampak tersepit merangka strategi terbaik bagi menghadapi dua perlawanan penting dalam tempoh lima hari.

Biarpun aksi final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT), Sabtu ini lebih bernilai untuk dipertahankan buat Kelantan namun pengendali dari Croatia itu menegaskan, perlawanan dengan Pahang pada aksi Liga Super malam ini juga tidak kurang pentingnya.


Jika dicongak, peluang skuad The Red Warriors itu mengekalkan gelaran Liga Super sudah tertutup kerana ketinggalan 10 mata dengan pendahulu LionsXII yang mengumpul 39 mata ketika aksi berbaki tiga perlawanan.

Namun tiga mata penuh ke atas Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV tetap dicari Hodak kerana mahu memastikan juara bertahan itu mampu menamatkan kempen di kedudukan terbaik.


Justeru, beliau sanggup menurunkan barisan terbaik menentang skuad kendalian Dollah Salleh itu walaupun bakal berdepan risiko pemain mengalami kecederaan, kepenatan dan mungkin digantung perlawanan untuk aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.


"Saya tidak boleh tukar ramai pemain dan tidak akan merehatkan mereka melainkan yang mengalami kecederaan.

Foto

PEMAIN Kelantan gigih berlatih.

"Setiap perlawanan penting kerana kami mahu menamatkan saingan liga di tempat terbaik," kata Hodak ketika sesi latihan semalam.


Bukan mudah untuk Kelantan menundukkan Pahang yang menduduki tangga kelima, satu anak tangga mengatasi mereka memandangkan tumpuan pemain tuan rumah kini terganggu.

"Perlawanan dengan Pahang ini sukar kerana pemain saya lebih memberi tumpuan kepada final Piala FA.


"Saya terpaksa mengarahkan pemain supaya menghadapi perlawanan liga ini seperti final Piala FA kerana setiap perlawanan yang kita lalui penting." Semua pemain Kelantan bebas daripada penggantungan kecuali dua penyerang, Dickson Nwaekame dan Indra Putra Mahyuddin yang masih belum cergas bagi perlawanan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Azzuddin mula tugas baru 1 Julai

Posted: 24 Jun 2013 08:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad akan memulakan tugas baru sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mulai 1 Julai ini.

Penerimaan jawatan itu dimaklumkan beliau selepas menerima surat rasmi pelantikan daripada Presiden AFF Sultan Haji Ahmad Shah, kelmarin.


Sempena pelantikan itu juga, Azzuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua media yang banyak memberikan kerjasama sepanjang bertugas sebagai Setiausaha Agung FAM.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pengarang, penerbit serta wartawan sukan media cetak dan elektronik. "Mereka banyak memberi kerjasama dan bantuan membuat liputan sukan bola sepak negara sejak mula memegang jawatan Setiausaha Agung FAM bermula pada 17 September 2007 hingga 23 Jun 2013. "Saya mengambil iktibar daripada kritikan negatif serta menerima pandangan membina dan menerima hakikat apa saja isu sekiranya wujud perbezaan pendapat dan fahaman," katanya dalam kenyataan, semalam.


Azzuddin turut memohon ribuan maaf andai terkasar bahasa dan tersalah laku terhadap mana-mana pihak sepanjang menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM.


"Saya harap mendapat kerjasama dan bantuan daripada semua pihak apabila memegang jawatan baru nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

UMNO Tanah Merah taja tiket

Posted: 24 Jun 2013 08:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak 4,000 tiket percuma final Piala FA untuk ahli Persatuan Anak-Anak Tanah Merah Di Perantauan (PERTAMA) dan Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (PERMATA) akan diedarkan di Perodua Noble Twin (M) Sdn Bhd di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur, hari ini.

Tiket percuma tajaan UMNO Bahagian Tanah Merah bersama PERTAMA dan PERMATA itu boleh diambil di Perodua Noble Twin bersebelahan LRT Jalan Jelatek mulai jam 10 pagi hingga 9 malam berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.


"Semangat serta sokongan tidak berbelah bahagi peminat kepada pasukan The Red Warriors perlu dihargai. Kita mengambil peluang ini untuk membalas jasa peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan," kata Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.

"Tanpa peminat, sukan bola sepak tidak akan berkembang. Ini kali keenam kami memberikan tiket percuma kepada peminat," katanya merujuk kepada aksi final Kelantan di Piala Malaysia dan Piala FA sejak beberapa musim lalu.


Peminat yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pemberian tiket itu boleh menghubungi Akmal di talian 03-42577009 atau 013-2074241.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Koryo jagoan Koko Krunch

Posted: 24 Jun 2013 08:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Kelab Taekwondo Koryo membuktikan mereka yang terbaik dalam kalangan terbaik apabila muncul juara Kejohanan Taekwondo Remaja Nestle Koko Krunch merebut Piala Cabaran Tunku Imran di Stadium Badminton Kuala Lumpur, kelmarin.

Koryo muncul juara keseluruhan selepas mendominasi peringkat Zon Selatan dan Tengah.


Di Zon Selatan, Koryo menang 11 pingat emas dan di Zon Tengah kelmarin, mereka menang 4 emas 7 perak dan 12 gangsa untuk muncul juara.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tunku Imran Tuanku Ja'afar menyampaikan Piala Cabaran itu kepada Koryo.


Tunku Imran berkata, kejohanan itu yang berlangsung di empat zon dan Singapura, tahun ini, memberikan suntikan semangat kepada pembangunan peringkat akar umbi sukan taekwondo.


"Sejak kejohanan bermula pada 2006, persembahan peserta meningkat setiap tahun. Tahniah kepada Nestle Koko Krunch atas komitmen mereka terhadap taekwondo dan saya harap kejohanan ini, antara pertandingan paling lama di peringkat akar umbi, akan terus berkembang," kata Tunku Imran yang juga Presiden Taekwondo Malaysia (WTF).

Pengurus Perniagaan Cereal Partners Malaysia Nirmalah Thurai berkata, keputusan dicapai di kejohanan itu memberi pulangan berbaloi buat pembabitan syarikatnya dalam sukan itu.


"Sejak 2006, sokongan terhadap kejohanan ini meningkat setiap tahun. Tahun ini, 2,200 peserta mengambil bahagian dan kemasukan Singapura di grand final memberi peluang kepada peserta Malaysia merasai aksi pertandingan peringkat antarabangsa," kata Nirmalah.

Zon Tengah kelmarin menyaksikan 570 peserta mewakili 25 kelab Malaysia dan sembilan pemenang emas dari Singapura, bertarung bagi kejohanan Bawah 12.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

KBS bina dua Kompleks Mini

Posted: 24 Jun 2013 08:08 AM PDT

Alor Setar: Kementerian Belia dan Sukan akan membina Kompleks Mini Sukan di Serdang/Bandar Baharu dan Jerlun menelan kos RM3 juta dan RM5 juta bagi memberi kemudahan sukan terbaik kepada rakyat negeri ini.

Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kedah Aziz Hamid berkata, pembinaan kedua-dua Kompleks Mini itu dijangka siap awal 2014.


Menurutnya, kompleks itu dilengkapi dewan badminton, futsal, sepak takraw, bola jaring, padang bola sepak dan trek joging. "Kita juga menyiapkan padang bola sepak tiruan di Peremba, Jalan Kilang Tebu yang kini 50 peratus sedia dan apabila siap sepenuhnya, akan dibuka kepada orang ramai," katanya.

Menurutnya, terdapat 121 gelanggang futsal di negeri ini yang secara tidak langsung dapat menarik minat golongan remaja dan belia membabitkan diri dalam sukan itu.


"Kita lihat futsal mampu meningkatkan semangat kesukanan serta berupaya melahirkan pemain berpotensi untuk digilap sebagai pemain berkaliber.


"Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah akan mencari peruntukan bagi tujuan membaik pulih dan menyelenggara gelanggang futsal yang mengalami kerosakan.

"Selain itu, kita turut menganjurkan Liga Sukan Untuk Semua yang terbuka kepada semua peringkat usia membabitkan sukan futsal, bola jaring dan sepak takraw," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

MATRADE, NSTP erat hubungan

Posted: 24 Jun 2013 08:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan bola tampar lelaki Kelab Sukan New Straits Times Press (NSTP) menewaskan Kelab Sukan Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) 25-23, 26-24, 15-13, baru-baru ini.

Bagaimanapun bagi kategori wanita, MATRADE menewaskan NSTP 25-11, 25-18.

Perlawanan persahabatan itu diadakan di Arena Sukan, Menara MATRADE bertujuan mengeratkan hubungan komersil antara kedua-dua pihak.

Pasukan NSTP diterajui Pengurus Kanan Unit Sektor Awam Jabatan Pengiklanan Wan Rafilin Wan Md Noor manakala MATRADE, Pengarah Kanan Unit Komunikasi Korporat Khairul Annuar Halim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Seri Gedong puas dalam kecewa

Posted: 24 Jun 2013 08:06 AM PDT

Sungai Petani: Walaupun masih gagal menggenggam gelaran juara keseluruhan, kontinjen Sekolah Kebangsaan Seri Gedong (SKSG) masih mampu tersenyum atas pencapaian mereka di Kejohanan Balapan dan Padang Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Petani 2013, baru-baru ini.

Beberapa cubaan untuk memintas kuasa olahraga PKG Sungai Petani, SK Petani Jaya (SKPJ) masih buntu dan sebab itu SKSG tetap berpuas hati di kedudukan ketiga daripada 15 sekolah yang bertanding.


Pengurus Yassin Ismail berkata, penampilan lesu atletnya ketika bersaing memberi impak kepada pungutan pingat keseluruhan.

"Kami hanya mampu meraih 3 emas, 4 perak dan 1 gangsa. Agak mengecewakan kerana kontinjen kami ketinggalan hanya satu emas kepada SK Taman Seri Wang sebagai naib juara dan juara, SKPJ (tiga emas).


"Sebelum kejohanan, kami meramalkan sekurang-kurangnya tujuh emas bakal dikutip namun ia tidak berlaku. Ini mungkin disebabkan kegagalan atlet memberikan saingan kepada pesaing masing-masing.


"Namun kami tetap bangga berupaya menempatkan sekolah di kedudukan ketiga terbaik," katanya yang turut dibantu Mohd Noor Saad dan Ruslina Sulaiman.

Ain Salsabila Hassan berjaya menyumbangkan dua emas melalui acara 80 meter dan lompat jauh manakala satu daripada Iman Nur Kamil bagi acara lompat jauh lelaki.


Menurutnya, selepas ini kontinjen SKSG akan memilih secara terperinci atlet dikenal pasti lebih bermutu bagi membawa cabaran sekolah merampas kejuaraan dimiliki SKPJ tiga tahun berturut-turut itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Pengalaman berguna ragbi B-18 SMSAH

Posted: 24 Jun 2013 08:05 AM PDT

Jitra: Pasukan ragbi Bawah 18 Tahun Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) yang mewakili Daerah Kubang Pasu muncul naib juara Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK), baru-baru ini.

Sekalipun memberikan tentangan sengit, SMSAH akhirnya dikecewakan aksi lebih bertenaga Daerah Kota Setar yang menang 20-10.


Pengurus pasukan Mazlan Abdul Majid menyifatkan pencapaian itu cukup membanggakan pihak sekolah.

"Saya harap semua pemain kembali menumpukan perhatian dalam latihan di samping meningkatkan semangat juang tinggi untuk memburu kemenangan pada setiap kejohanan disertai.


"Pemain harus bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha menaikkan nama sekolah di persada sukan tanah air," katanya.


SMSAH menjadi juara MSSD Kubang Pasu selepas menewaskan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, 28-14.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Kenari Kid tampil wira cilik

Posted: 24 Jun 2013 08:05 AM PDT

Alor Setar: Pasukan Kedah Kenari Kid Kuah, Langkawi muncul juara kategori bawah 10 tahun selepas mengalahkan Hicom A, 2-0 pada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Bawah 14 dan 10 Tahun Piala Kedah Kenari Kid Bukit Pinang di Padang Bola Sepak Kem 513 Askar Wataniah (AW), Bukit Pinang, baru-baru ini.

Tempat ketiga dimenangi Kenari Kid Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).


Dengan kemenangan itu, pasukan Kedah Kenari Kid Kuah, Langkawi membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM200 dan pingat, naib juara dan ketiga RM100 berserta pingat.

Sementara itu, pasukan Kulim FC muncul juara kategori B-14 selepas mengalahkan Kelab Padang Durian, 3-1. Tempat ketiga diraih Kenari Kid Bukit Pinang.


Kulim FC turut membawa pulang piala pusingan, pingat dan wang tunai RM200 manakala naib juara dan tempat ketiga RM100 dan pingat.


Pertandingan anjuran Kedah Kenari Kid Bukit Pinang itu disertai 30 pasukan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kedah Aminuddin Omar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Ubah lokasi perlawanan!

Posted: 24 Jun 2013 08:03 AM PDT

Johor Bahru: Keputusan menukar lokasi penganjuran Kejohanan Pusingan Ketiga Saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2013 yang dijadual berlangsung pada 29 Jun hingga 7 Julai ini hanya akan diketahui dalam masa terdekat, bergantung keadaan jerebu negeri ini.

Lokasi penganjuran kejohanan terpaksa ditukar andai masalah jerebu di Johor Bahru berlarutan dengan indeks pencemaran udara (IPU) mencecah paras 150.


Sebelum ini, kejohanan itu dijadual berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, di sini.

Setiausaha Pengelola kejohanan merangkap Pengerusi Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Majid Manjit Abdullah berkata, kejohanan tetap diteruskan mengikut tarikh ditetapkan walaupun negara masih berdepan masalah jerebu.


"Penentuan lokasi kejohanan akan dilakukan dalam masa dua hari membabitkan persetujuan bersama Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan setakat ini tiada bantahan lokasi kerana tahap pencemaran masih di bawah 100.


"Kami akan menjalankan pemantauan tahap jerebu, namun berdasarkan maklumat diterima tahap IPU di sekitar Johor Bahru semakin pulih," katanya kepada media sempena majlis pelancaran dan penyampaian cek penajaan kejohanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Zulkurnain Kamisan serta Timbalan Presiden MHC M Gobinathan.


Kejohanan itu menerima penajaan keseluruhan berjumlah RM740,000 membabitkan sumbangan kerajaan negeri, RM200,000, Tenaga Nasional Berhad, Majlis Sukan Negara dan DRB Hicom, masing-masing RM100,000 manakala Gabungan AQSR Sdn Bhd, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Wazlian Group, masing-masing RM50,000 serta Nestle Product Sdn Bhd, RM40,000.

Pada masa sama Majid berkata, persiapan kejohanan itu berjalan sepenuhnya membabitkan penyertaan lapan pasukan yang mengesahkan tiket menyertai kejohanan itu.


Kejohanan itu satu daripada pentas Malaysia memburu tiket ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.


Skuad hoki negara berada dalam Kumpulan B bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan manakala Kumpulan A membabitkan Jerman, Korea Selatan, Argentina dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

No comments:

Post a Comment