Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak makan saman

Posted: 07 Jun 2013 10:13 AM PDT

Batu Caves: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan tegas terhadap 17 pemilik gerai makanan di Jalan Samudera Utama selepas didapati bersalah menyebabkan halangan terhadap parit dan jalan raya di situ.

Ketua operasi, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Siti Fatimah Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan awam berhubung kesesakan jalan di situ akibat operasi gerai berkenaan yang terletak di bahu jalan.


"Sebenarnya ini bukan kali pertama MPS mengambil tindakan termasuk menyita dan kompaun ke atas penjaja berkenaan.

"Tahun ini saja, sudah dua kali kami mengambil tindakan kompaun, tetapi penjaja masih berdegil dan terus beroperasi di sini.


"Mereka tidak menyedari tindakan membuka gerai makanan di tepi jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana pelanggan memberhentikan kenderaan di bahu jalan walaupun di sini jelas tiada kemudahan parkir (di bahu jalan)," katanya.


Dalam operasi sekitar jam 10 pagi semalam, seramai 25 anggota penguat kuasa MPS turun padang dan menyita beberapa peralatan yang digunakan penjaja termasuk 18 unit khemah, 14 unit meja, tong gas dan kerusi.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita gerai makanan di Jalan Samudera Utama, semalam.

Foto

GERAI peniaga di tepi longkang dirobohkan.

"Berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Seksyen 46 (1), MPS mengeluarkan 17 kompaun berjumlah RM8,500 kerana penjaja didapati melakukan halangan pada longkang utama di situ.


"Tindakan mereka meletakkan barang di atas longkang menyebabkan kerja pembersihan sukar dilakukan menyebabkan longkang di situ kotor.

"Penjaja perlu menjejaskan kompaun yang dikenakan bagi membolehkan mereka mengambil semula barang yang disita oleh MPS hari ini (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Keramat Mall jadi Mini UTC

Posted: 07 Jun 2013 10:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Persepsi orang ramai terhadap kompleks perniagaan Keramat Mall yang disifatkan sebagai projek gajah putih bakal berubah apabila bangunan itu akan dijadikan Mini Pusat Tranformasi Bandar (UTC).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, perkara itu akan memanfaatkan orang ramai selain peniaga yang sudah dan bakal beroperasi di situ.


"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kewangan bersetuju membuka tingkat bawah kompleks bagi dijadikan Mini UTC supaya ia dapat memberi kemudahan kepada semua khususnya penduduk setempat.

"Sebelum ini, Mini UTC sudah diwujudkan di Bandar Baru Sentul dan mendapat sambutan dan keputusan ini adalah yang terbaik buat masa ini," katanya yang juga mahu Keramat Mall dijadikan kompleks aktif bagi aktiviti perniagaan pada masa sama menjadi pusat sehenti bagi pelbagai kemudahan.


Beliau berkata, baru-baru ini DBKL sudah membincangkan perihal ini bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) bagi membolehkan pelaksanaannya disusun rapi.


Lawatan ke tapak itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi menilai kesesuaian lokasi dan kemudahan sedia ada. "Kami akan mengadakan lawatan bersama kedua-dua pihak bagi melihat lokasi dan kapasiti ruangan yang ada supaya menepati projek ini," katanya.

Beliau berkata, seramai 23 peniaga sedia ada boleh menarik nafas lega kerana ia akan menarik lebih ramai pengunjung untuk ke kompleks itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Sarjan sekeluarga diarah berbogel

Posted: 07 Jun 2013 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dan ahli keluarganya berdepan detik cemas apabila bergelut dengan sekumpulan empat penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Seksyen 6 Wangsa Maju, di sini, hingga pistol miliknya dirampas.

Ketika kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa di rumah bersama isteri dan seorang anak perempuan sebelum secara tiba-tiba empat lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang masuk ke kediamannya.


Menurut sumber, kumpulan penjenayah itu mengarahkan semua mangsa ke tingkat atas sebelum menggeledah rumah.

"Dalam keadaan kelam-kabut dan cemas itu, anggota polis berkenaan cuba mempertahankan diri dengan mengambil pistol miliknya yang disimpan bersama 30 peluru di atas almari, namun tindakannya itu disedari kumpulan penjenayah terbabit.


"Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek hingga menyebabkan pistolnya dirampas dan berang dengan tindakan mangsa itu, penjenayah terbabit bertindak membogelkan semua mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Sumber berkata, selain pistol milik mangsa, suspek turut merampas beberapa barang berharga termasuk wang tunai sebelum melarikan diri menaiki kenderaan diletakkan di kawasan berhampiran rumah mangsa.

"Suspek sempat mengambil telefon bimbit jenis Sony Xperia dan iPhone 4, rantai emas serta jam tangan selain wang tunai kira-kira RM2,000.


"Semua suspek melarikan diri dengan kenderaan tidak dapat dipastikan jenis dan kerugian mangsa dianggarkan RM6,000," katanya.

Difahamkan, anggota polis itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Samseng silap orang

Posted: 07 Jun 2013 10:07 AM PDT

Kuantan: Hanya kerana menggayakan fesyen rambut yang sama, seorang remaja cedera apabila dibelasah lima lelaki bersenjatakan pemukul besbol yang menyangka mangsa abangnya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Teluk Chempedak, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu bernasib baik hanya cedera ringan apabila sempat memberitahu identitinya yang sebenar menyebabkan kelima-lima suspek itu berhenti memukulnya kerana menyedari tersilap sasaran.


Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya berusia 22 tahun dan dua lagi rakan mereka termasuk seorang gadis makan di sebuah restoran di pantai peranginan itu.

"Sebaik selesai makan, abang mangsa kemudian beredar ke tandas manakala seorang lagi rakannya ke kereta kerana mahu mengambil barang. Mangsa yang hanya tinggal berdua di meja makan berkenaan, dihampiri lima lelaki yang tanpa usul periksa terus menolak mangsa.


"Mangsa yang terjatuh daripada kerusi dibelasah bertubi-tubi dan kepalanya turut dipukul dengan pemukul besbol sebelum salah seorang suspek bertanyakan identiti mangsa.


"Sejurus mendengar identiti mangsa, suspek baru menyedari bahawa mereka tersilap sasaran sedangkan sasaran sebenar adalah abang mangsa yang sedang berada di dalam tandas ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, kelima-lima suspek terbabit yang berusia 19 hingga 20 tahun bergegas meninggalkan tempat kejadian sebelum mangsa dibantu orang awam untuk dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Seorang lagi kena dakwa

Posted: 07 Jun 2013 10:06 AM PDT

Tawau: Seorang lagi lelaki didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Penjara Tawau di sini, semalam.

Dalam perbicaraan terbabit, Totoh Hismullah turut didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan pengganas. Setakat ini, 30 individu sudah didakwa berhubung kejadian pencerobohan di Lahad Datu oleh kumpulan pengganas bersenjata dengan pelbagai pertuduhan termasuk melindungi pengganas serta merekrut anggota kumpulan pengganas.


Semua mereka yang didakwa bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Pada perbicaraan semalam, tiada pengakuan bersalah daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi P Ravintran.


Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail ketika ditemui berkata, perbicaraan akan bersambung 27 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.


Katanya, semua individu yang akan didakwa sudah diwakili peguam dilantik kerajaan Filipina.

"Bagi kes anggota polis Koperal Hassan Ali Basari, ia akan dibicarakan pada 24 Jun sehingga 27 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.


"Bagi tertuduh lain, mereka turut dibicarakan pada 27 Jun depan di Mahkamah sama," katanya di pekarangan Penjara Tawau, semalam.

Menurutnya, semua tahanan akan dibawa ke Kota Kinabalu dalam masa terdekat sebelum perbicaraan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

No comments:

Post a Comment