Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Patung purba bergerak sendiri

Posted: 23 Jun 2013 10:18 AM PDT

Manchester: Satu patung purba dari Mesir yang dipamerkan di sebuah muzium menimbulkan kegemparan apabila ia bergerak dan dipercayai ada kaitan dengan kewujudan semangat dalam objek itu yang cuba keluar dari situ.

Patung batu berusia 4,000 tahun itu dilaporkan berpusing perlahan-lahan sehingga 360 darjah walaupun berada dalam kotak kaca yang dikunci rapi. Patung setinggi kira-kira 25.5 sentimeter itu mula dipamerkan kepada orang awam sejak 80 tahun lalu dan didakwa menjadi persembahan kepada dewa Osiris.


Masyarakat Mesir purba menganggap Osiris sebagai dewa kematian. Hanya beberapa kakitangan Muzium Manchester dibenarkan mengakses patung berkenaan. Seorang daripada mereka ialah kurator artifak Campbell Price, 29, yang menjadi individu pertama mengesan keanehan berkenaan. Kata Price, kebanyakan pakar Mesir purba tidak percaya kepada benda karut, tetapi dia masih tertanya-tanya bagaimana kedudukan patung itu boleh berubah sendiri. "Pada satu hari saya dapati patung ini menghadap ke arah lain dan sehari kemudian, ia beralih ke arah lain.

"Tiada objek lain yang dipamerkan di muzium ini beralih kedudukan dan ia sangat luar biasa," katanya. Menurut Price, masyarakat Mesir purba percaya patung dewa seperti itu boleh menjadi tempat alternatif kepada roh seseorang selepas kematiannya. "Tetapi mereka pun akan terkejut jika patung seperti ini bergerak sendiri," katanya.


Disebabkan kejadian aneh itu, kakitangan muzium kemudian memasang kamera untuk merakamkan keadaan patung berkenaan setiap saat selama seminggu.


Berdasarkan rakaman itu, mereka terkejut apabila mendapati patung berkenaan membuat pusingan 360 darjah. Antara penjelasan yang dapat difikirkan ialah, kesan gegaran daripada tapak kaki pengunjung muzium, atau akibat trafik di luar bangunan.

Foto

PATUNG Osiris yang misteri.

Foto

KEDUDUKAN asal patung Mesir purba di Muzium Manchester membelakangi pengunjung.

Foto

PATUNG ini hampir melengkapkan pusingan 360 darjah.

Bagaimanapun, ia masih gagal menjelaskan mengapa patung itu tidak pernah bergerak sendiri sebelum ini. Price berkata, selama beberapa dekad patung itu diletakkan dalam bekas kaca dan ia tidak pernah bergerak sendiri. Sesetengah pihak percaya patung itu membawa sumpahan firaun dan membawa kecelakaan kepada sesiapa yang mencurinya dari kubur zaman silam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Trak dihiasi bangkai haiwan

Posted: 23 Jun 2013 10:08 AM PDT

Montgomery (Alabama); Jika anda mahukan pengalaman menaiki kenderaan yang unik, sebuah trak ini mungkin dapat memenuhi keinginan itu.

Tidak seperti kenderaan biasa, ia dihiasi berpuluh-puluh bangkai haiwan yang diawet, termasuk kepala buaya, rakun, kucing liar dan katak.


Gambar kenderaan itu dirakam jurufoto Diane Dodd ketika dia melalui kawasan savana di selatan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kata Diane, dia tidak sempat berbual-bual dengan pemandu trak aneh berkenaan. "Dia kelihatan seperti seorang pemburu," katanya.


Diane berkata, kegiatan berburu dilakukan ramai orang di AS, terutama di Georgia. "Mungkin trak itu cara mereka menzahirkan seni berburu," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

9 pelancong ditembak mati

Posted: 23 Jun 2013 10:07 AM PDT

Peshawar: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah hotel di kawasan terpencil di utara Pakistan semalam dan membunuh sembilan pelancong asing.

Turut dibunuh seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu pelancong.


Pegawai kanan polis di wilayah Gilgit-Baltistan, Ali Sher berkata, lima pelancong Ukraine, tiga dari China dan seorang warga Russia serta pemandu mereka terbunuh dalam serangan berhampiran kem pangkalan di kaki Gunung Nanga Parbat - sebuah destinasi pelancongan popular di kalangan pendaki. "Sekumpulan lelaki tidak dikenali memasuki hotel dihuni pelancong terbabit dan melepaskan tembakan," katanya.

Menurut Ali, penyerang itu melarikan diri sebaik saja selesai menembak mati pelancong terbabit.


Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi semalam. Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, sejumlah besar anggota pasukan keselamatan dihantar ke kawasan itu sebaik saja insiden berkenaan dilaporkan. "Mayat mangsa pula terpaksa dipindahkan menggunakan helikopter kerana kawasan itu terpencil dan tiada laluan untuk pengangkutan darat," katanya. Sementara itu, sebuah kumpulan militan dikenali sebagai Jundullah mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. Jurucakapnya, Ahmed Marwat berkata, warga asing terbabit adalah musuh mereka.


"Kami akan terus melakukan serangan sebegini pada masa depan," katanya yang bercakap melalui telefon. Jundullah turut mengaku bertanggungjawab dalam siri serangan ke atas masyarakat minoriti Syiah Pakistan sebelum ini.

Antara serangan ganas mereka ialah pembunuhan 18 penumpang bas pada Februari 2012 di utara Pakistan. Gilgit-Baltistan yang terletak bersempadan dengan China dan Kashmir dianggap satu daripada kawasan yang agak selamat di Pakistan.


Bagaimanapun, beberapa siri serangan militan menyasarkan kumpulan minoriti Syiah dikesan berlaku sejak beberapa tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Anak kapal pulang beg berisi wang

Posted: 23 Jun 2013 10:06 AM PDT

Dubai: Sikap jujur anak kapal sebuah syarikat penerbangan membolehkan sebuah beg berisi wang tertinggal dalam pesawat dikembalikan dengan selamat kepada pemiliknya, semalam.

Jurucakap polis berkata, beg itu milik seorang penumpang dari Singapura yang menaiki penerbangan transit melalui bandar raya Dubai.


"Anak kapal menemui beg itu dan menyerahkannya kepada polis.

"Pihak polis berjaya mengesan pemilik beg berkenaan," katanya.


Disebabkan pemilik beg itu sudah berlepas, polis mengusahakan agar dia dibawa semula ke Dubai untuk mengambil barangnya. "Sebelum itu kami cuba menghubungi telefon bimbit penumpang terbabit berkali-kali, tetapi dia asyik mematikan telefonnya. "Kami kemudian menghantar e-mel kepada individu terbabit dan beberapa jam kemudian, penumpang itu membalas kiriman berkenaan dan menyatakan kegembiraannya kerana beg itu ditemui," katanya. Jurucakap polis itu berkata, lelaki terbabit tidak percaya beg itu akan diperolehnya semula.


"Sejurus selepas mendapat pengesahan, penumpang terbabit mengambil tiket menaiki pesawat dan tiba di Dubai menuntut beg itu," katanya.

Akhbar tempatan melaporkan, penumpang itu menaiki pesawat dari Singapura melalui Dubai.


Selain wang tunai, beg berkenaan turut mengandungi barang kemas. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Warga emas bunuh empat rakan sekerja

Posted: 23 Jun 2013 10:05 AM PDT

Beijing: Seorang lelaki China ditahan kerana membunuh enam orang, termasuk empat daripada mereka rakan sekerjanya dalam kejadian berpunca daripada salah faham di sebuah kilang kimia di Shanghai.

Media, semalam melaporkan, suspek berkenaan berusia 62 tahun dan dikenali sebagai Fan.


Agensi berita Xinhua melaporkan, Fan didakwa memukul seorang rakan sekerjanya di kilang berkenaan sehingga mati kelmarin sebelum melarikan diri bersama selaras senapang memburu.

Dia kemudian membunuh seorang pemandu dan seorang pengawal berek tentera sebelum kembali ke kilang berkenaan dan menembak mati tiga lagi pekerja di situ. Sumber berkata, Fan ditangkap polis lewat petang kelmarin.


Katanya, suspek mengamuk kerana terbabit dalam "pertikaian ekonomi" dengan rakan sekerjanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Dua beradik diculik militan

Posted: 23 Jun 2013 10:05 AM PDT

Manila: Kumpulan bersenjata yang ada hubungan dengan al-Qaeda menculik dua wanita adik beradik yang melawat kawasan pergunungan berbahaya di selatan Filipina ketika membuat rakaman mengenai kehidupan petani Islam.

Nadjoua dan Linda Bansil diculik oleh kira-kira 10 lelaki bersenjata di bandar Patikul, wilayah Sulu, tempat mereka merakam kegiatan penanam kopi.


Sekurang-kurangnya tiga rakan mereka yang berada dalam van, melarikan diri dengan menaiki motosikal atau ditinggalkan kumpulan bersenjata itu.

Ketua Polis Patikul, Inspektor Kanan Christopher Gutierrez berkata, pihaknya berusaha menjejaki penculik dan mangsa dan mungkin melancarkan gerakan menyelamat dengan bantuan tentera.


Jurucakap tentera, Kolonel Jose Cenabre berkata, lelaki berkenaan adalah anggota Abu Sayyaf, kumpulan yang terkenal kerana kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan, memenggal mangsa dan kekejaman lain.


Menurut Gutierrez, mangsa yang menjadi tetamu seorang sultan yang berpangkalan di Sulu tidak menyelaraskan lawatan mereka dengan polis sebelum membuat lawatan berkenaan.

Mereka dilapor melawat Gunung Sinumaan, tempat Abu Sayyaf mempunyai sebuah kem dan dalam perjalanan pulang ke Jolo apabila ditahan oleh lelaki bersenjata terbabit.


Kedua-dua beradik itu dilahirkan di Algeria tetapi dibesarkan di Filipina dan terbabit dalam pembikinan filem bebas. Satu daripada hasil kerja mereka ialah sebuah filem pendek mengenai Orang Laut Filipina yang hidup miskin, telah mendapat pujian, kata seorang anggota keluarga yang enggan dikenali.

Abu Sayyaf menahan beberapa tebusan di kawasan hutan Sulu, termasuk dua peminat burung warga Eropah dan seorang wartawan Jordan yang diculik tahun lalu.


Wartawan veteran Jordan, Baker Atyani dan dua pembantunya warga Filipina diculik Jun tahun lalu oleh kumpulan Abu Sayyaf yang mereka ingin ditemuramah di hutan Patikul. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Lelaki Guinea cuba seludup gading RM1 juta dicekup

Posted: 23 Jun 2013 10:04 AM PDT

Bangkok: Seorang lelaki warga Guinea ditangkap pihak berkuasa kastam di Lapangan Terbang Suvarnabhumi semalam selepas ditemui bersama-sama sumbu badak bernilai lebih 10 juta baht (RM1 juta).

Pengarah Biro Siasatan Jabatan Kastam, Paisarn Cheunjit berkata, pihak menemui sumbu seberat 9.6 kilogram tersembunyi dalam bagasi lelaki berkenaan, Doukoure N'Faly, 31.


Menurut Paisarn, suspek tiba di lapangan terbang dengan pesawat Syarikat Penerbangan Habsyah dari Entebbe, Uganda.

Doukoure memberitahu penyiasat bagasi itu bukan miliknya, sebaliknya dipunyai oleh rakan senegaranya yang tiba lebih awal di Bangkok.


Menurut suspek, rakannya terlupa membawa bagasi itu bersamanya dan memintanya membawanya ke Thailand dan akan membayar semua perbelanjaan dan mendakwa ini kali pertama dia melawat Thailand.


Harga sumbu badak amat mahal kerana didakwa mempunyai khasiat perubatan di samping kepercayaan ia boleh menjadi ubat untuk merangsang nafsu seks.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Kastam Thai rampas 200 kereta mewah

Posted: 23 Jun 2013 10:03 AM PDT

Sadao: Pihak berkuasa kastam di sini semalam berkata, mereka merampas kira-kira 200 kereta mewah sepanjang beberapa tahun lalu yang diseludup dari Malaysia menerusi daerah ini dan Padang Besar.

Ia termasuk kereta curi atau yang dipandu pemilik kereta atau syarikat sewa kereta dan kemudian melaporkan kenderaan itu hilang akibat dicuri kerana mahu menuntut insurans.


Timbalan Ketua Kastam Sadao, Siwakrit Jenwipich berkata, sebahagian kereta dirampas itu menggunakan nombor plat kerabat diraja.

Dia berkata, kastam Sadao kini mengetatkan peraturan menjual kereta yang dirampas bagi menghalang penjual kereta mewah dan pegawai yang rasuah daripada membelinya pada harga lebih rendah.


Ketua Pejabat Kastam Wilayah 4, Prayuth Maneechote pula berkata, pihaknya merampas 35 kereta mewah yang diseludup dari Malaysia di Padang Besar dan lima di Sadao. Ia termasuk sebuah Daimler, Mercedes Benz dan Jaguar.


Menurutnya, antara kelemahan yang membolehkan peniaga kereta mewah membawa kenderaan itu memasuki daerah berkenaan ialah dengan membawa pelancong. Kereta itu kemudian dijual di Thailand lengkap dengan dokumen, tetapi dilapor hilang di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Sahabat Syria janji bekal senjata

Posted: 23 Jun 2013 09:53 AM PDT

Doha: Kuasa dunia yang menyokong penentang Syria memutuskan untuk membekalkan mereka dengan bantuan ketenteraan, sebahagiannya secara sulit.

Rancangan itu bertujuan membolehkan mereka menangani serangan kejam tentera Presiden Bashar al-Assad dan melindungi rakyat Syria.


Bercakap di Doha, diplomat kanan Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani berkata, mesyuarat menteri luar 'Sahabat Syria' mengambil keputusan sulit mengenai langkah praktikal bagi mengubah keadaan di Syria.

Mereka bersetuju membekalkan keperluan dan kelengkapan yang perlu dengan kadar segera. "Setiap negara akan mengadakan caranya tersendiri untuk membekalkan kelengkapan ketenteraan bagi membolehkan penentang menangani serangan tentera Bashar," menurut kenyataan mesyuarat berkenaan.


Menteri dari Britain, Mesir, Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Turki, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat menghadiri mesyuarat itu.


Washington dan Doha menggesa supaya bantuan ditingkatkan bagi mengakhiri apa yang disifatkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry sebagai ketidakseimbangan yang memihak kepada Bashar.

Kerry berkata, negaranya tetap komited kepada rancangan damai termasuk satu persidangan di Geneva dan kerajaan peralihan dipilih Bashar dan kumpulan penentang.


Bagaimanapun, katanya, kumpulan penentang memerlukan banyak sokongan untuk membolehkan mereka ke Geneva.

Hamad menyokong kenyataan Kerry dengan berkata, perang saudara di Syria tidak boleh dicapai kecuali ada keseimbangan di darat.


Tentera Pembebasan Syria (FSA) berkata, Khamis lalu mereka sudah menerima beberapa senjata jenis baru yang boleh mengubah hala tuju pertempuran.


Pada masa sama, mereka berkata, kumpulan itu memerlukan senjata antipesawat dan antikereta kebal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Iran sekat serangan siber Zionis

Posted: 23 Jun 2013 09:52 AM PDT

Teheran: Iran semalam berkata, ia berjaya menyekat serangan siber ke atas rangkaian komputer sektor minyaknya.

Agensi kerajaan yang bertanggungjawab memerangi sabotaj berkata dalam laman webnya, paydarymelli.ir, serangan itu menyasarkan rangkaian Kementerian Minyak dan Syarikat Minyak Kebangsaan Iran pada Jumaat.


Menurutnya, pakar berjaya menyekat serangan itu dan menggagalkan usaha penggodam mengakses maklumat rahsia kerana sistem keselamatan yang ketat. Iran sering melaporkan penemuan virus pada rangkaian komputer kerajaan, nuklear, minyak dan perindustrian serta menuduh Israel dan Amerika Syarikat bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

No comments:

Post a Comment