Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Esok, masalah selesai'

Posted: 26 Feb 2014 09:55 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama mencetuskan pelbagai persoalan dan drama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kemungkinan besar bakal menemui jawapan mengenai masa depan mereka, esok.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria mengesahkan satu mesyuarat khas yang hanya menyentuh Kien Keat-Boon Heong dan dipengerusikannya akan diadakan pada Jumaat ini.

Tanpa mahu menyatakan dengan lebih lanjut berhubung intipati mesyuarat itu, Norza bagaimanapun memberi bayangan satu keputusan akan dicapai dalam usaha menyelesaikan krisis membabitkan pasangan utama negara itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan membabitkan semua aspek dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk barisan kejurulatihan serta ISN (Insitut Sukan Negara) yang sebelum ini mengadakan ujian kecergasan ke atas mereka.

Foto

GANDINGAN baru Boon Heong (kanan) juga bakal ditentukan.


"Mesyuarat akan menyentuh aspek undang-undang dan penajaan pemain. Saya harap segala-galanya dapat dimuktamadkan pada mesyuarat itu nanti.


"Kemungkinan besar juga mesyuarat itu akan memutuskan siapa gandingan terbaru Boon Heong," katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam Arena Metro melaporkan desakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang berharap BAM segera mencari jalan penyelesaian berhubung masa depan Kien Keat yang sudah menghantar surat mengundur diri daripada skuad kebangsaan serta Boon Heong yang seperti mahu mengikut jejak langkah gandingannya itu.

Mengulas mengenai gesaan Zolkples itu, Norza berkata, beliau menyahut baik saranan berkenaan.

"Sejak dulu lagi saya sentiasa mahukan masalah dihadapi setiap pemain, termasuk Kien Keat-Boon Heong diselesaikan dengan segera.

"Saya setuju dengan pendapat Zolkples dan inilah yang kita mahu lakukan iaitu mencari penyelesaian pantas berhubung perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

MHC mungkin panggil Kevin

Posted: 26 Feb 2014 09:21 AM PST

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pemain berbakat dari Malaysia yang berpangkalan di Jerman, Kevin Lim ke dalam skuad hoki negara sekiranya tidak berdepan masalah dengan status kewarganegaraan.

Kevin mempunyai asal usul Malaysia dengan bapanya Git San berasal dari Pulau Pinang manakala ibunya, Dagmar warga negara Jerman.

Berusia 28 tahun, pemain yang mewakili Kelab Hoki Berlin itu pernah menyertai skuad kebangsaan Jerman pada 2005.

Setiausaha Agung MHC Datuk Johari Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa untuk memanggil Kevin menyertai skuad negara kerana perlu menyemak status kewarganegaraan pemain itu.

Foto

KEVIN kini berpangkalan di Jerman.


"Apa yang boleh saya katakan ialah sehingga kini masih belum ada kata putus mengenai pemain ini kerana status kewarganegaraan perlu disemak dulu.


"Semua ini perlu dilakukan kerana kami tidak mahu timbul sebarang masalah apabila memanggil pemain itu menyertai skuad negara.

"Apapun, dia juga perlu menjalani proses pemilihan terlebih dulu untuk menyertai skuad negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

SIC mahu lobi anjur F1 Malaysia selepas 2015

Posted: 26 Feb 2014 09:19 AM PST

Jakarta: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan terus melobi untuk menyambung kontrak penganjuran Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia yang bakal berakhir pada 2015 kerana perlumbaan terulung jentera empat roda dunia itu memberi impak positif kepada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, penganjuran F1 masih relevan kepada negara dan tiada sebab bagi SIC untuk tidak menganjurkan perlumbaan itu yang selama ini mendapat sokongan penuh kerajaan Malaysia.

"Penganjuran F1 yang ketiga terbesar selepas Sukan Olimpik dan Piala Dunia FIFA. Untuk menganjurkan F1 memerlukan kos besar dan sokongan kerajaan. Kita memerlukan acara seperti ini untuk menyerlahkan Malaysia malah penganjurannya beri impak kepada ekonomi negara," katanya dalam sidang media mempromosikan GP F1 Malaysia 2014 di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Nor Aznan Sulaiman.

Foto

RAZLAN (kanan) tumpu raih hak penganjuran F1.

Malaysia akan menganjurkan pusingan kedua GP F1 2014 dari 28 hingga 30 Mac. Perlumbaan pembuka tirai itu bakal berlangsung di GP Australia dari 14 hingga 16 Mac.

Razlan berkata setakat ini, SIC tidak mendapat tekanan mana-mana pihak termasuk Supremo F1, Bernie Ecclestone, namun mereka perlu membuat persiapan bagi membolehkan Malaysia terus diberikan hak menganjurkan perlumbaan berkenaan.

Katanya melalui kajian yang dilakukan, GP F1 Malaysia yang bakal memasuki edisi ke-16 tahun ini, memberi pulangan lumayan kepada negara.

Beliau berkata pada setiap tahun, perlumbaan F1 di Malaysia menarik lebih 100,000 penonton dan daripada jumlah itu antara 30 dan 35 peratus, pelancong asing.

"Mengikut kajian, setiap pelancong membelanjakan purata RM7,000 sepanjang berada di Malaysia. Perbelanjaan itu termasuk tiket perlumbaan, penginapan dan makanan," katanya.

Razlan berkata selain Indonesia yang mencatat antara kehadiran penonton asing kelima terbesar menyaksikan perlumbaan itu dalam tempoh tiga tahun lalu, SIC turut mempromosi GP F1 Malaysia 2014 di Australia, India, Vietnam dan Filipina serta akan bakal ke Singapura tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Futra sokong Shapian

Posted: 26 Feb 2014 09:14 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas pemain sepak takraw negara Mohd Futra Abd Ghani menyokong hasrat Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali merebut jawatan tertinggi badan induk itu.

Katanya kegagalan skuad takraw negara sejak di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Ismail perlu diperbaiki dengan idea baru.

"Tanyalah sesiapa sekalipun, saya ataupun seluruh masyarakat sepak takraw, kami menyokong penuh niat Shapian yang mahu bertanding jawatan Presiden PSM.

"Sokongan kami sebagai bekas pemain negara atas rekod cemerlang Shapian ketika memegang Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu. Kami semua nampak apa yang beliau lakukan.

Foto


"Buktinya sudah ada, mereka juara Sukan Malaysia (SUKMA), juara Piala Emas Khir Johari dan banyak lagi.


"Apa yang lebih membanggakan, beliau sentiasa mengadakan program akar umbi dalam melahirkan lebih ramai permata baru buat sukan sepak takraw," katanya.

Bekas apit kanan negara itu berkata, ketokohan Shapian amat diperlukan PSM dalam mengembalikan maruah negara yang sudah lama hilang.

Futra mengakui Shapian berani apabila tampil bertanding walaupun sedar Ahmad akan cuba mempertahankan jawatannya dengan apa cara sekalipun.

"Kami bekas pemain nampak kemampuan Shapian dan akan sentiasa memberi sokongan penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Gelaran Olimpian tak halang Jironi bersara

Posted: 26 Feb 2014 09:12 AM PST

Kuala Lumpur: Meskipun dinobat selaku pemenang Anugerah Olimpian Lelaki negara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, bekas pelari jarak sederhana negara Mohd Jironi Riduan tidak akan mengubah pendiriannya untuk bersara dalam arena sukan olahraga.

Jironi diangkat sebagai Olimpian negara selepas memenangi dua pingat emas acara 800 dan 1,500 meter lelaki pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

"Sebelum Sukan SEA lagi saya sudah memikirkan untuk bersara, malah saya sudah beritahu hasrat ini awal-awal kepada MSN (Majlis Sukan Negara).

"Dengan komitmen kerja selaku guru di SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail), saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mengutamakan tugas hakiki itu," katanya yang mengajar di sekolah berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Pencapaian meraih dua emas itu penamat yang cukup baik dalam karier saya, jadi tidak mungkin saya kembali beraksi lagi," katanya.

Kemenangan Jironi itu sekali gus mengharumkan sukan olahraga selepas kali terakhir dimenangi bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhammad pada 2003.

Sementara itu, perenang negara Christina Loh muncul pemenang Anugerah Olimpian Wanita selepas meraih dua pingat emas menerusi acara 100 dan 200m kuak dada wanita, juga pada temasya Sukan SEA di Myanmar, tahun lalu.

Jironi serta Christina masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta pingat tajaan Coca-Cola.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Kim Swee lega Mat Yo kembali

Posted: 26 Feb 2014 09:10 AM PST

Kelana Jaya: Penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha yang sebelum ini mencetuskan kontroversi gagal melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, akhirnya hadir pada sesi latihan Harimau Malaya semalam.

Pengendali sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee jelas gembira dengan kehadiran penyerang yang mesra dengan gelaran Mat Yo itu sekali gus memudahkannya merancang strategi terbaik untuk aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Selayang, Sabtu ini.

"Segala masalah Mat Yo sudah selesai selepas dia sendiri menghubungi pengurus pasukan (Datuk Seri Subahan Kamal).

"Dia mengambil keputusan bersama pasukan dan sanggup menangguhkan hasrat menunaikan umrah ke satu tarikh yang lain. Mat Yo menunjukkan reaksi matang.

Foto

NORSHAHRUL tangguh hasrat menunaikan umrah.


"Selepas Alex (Azamuddin Akil) tersisih, kini saya ada alternatif lain di bahagian serangan," katanya.


Penyerang Johor Darul Ta'zim itu sebelum ini gagal melaporkan diri bersama skuad negara kerana difahamkan mahu mengerjakan umrah pada 3 Mac ini selain mempunyai alasan peribadi yang lain.

Aksi persahabatan dengan Filipina, Sabtu ini adalah masa terbaik Kim Swee menilai pemainnya sebelum bertemu Yaman bagi aksi kelayakan Piala Asia, 5 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Desailly tawar diri

Posted: 26 Feb 2014 09:08 AM PST

Kuala Lumpur: Pemenang Piala Dunia 1998, Marcel Desailly secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membimbing skuad Harimau Malaya seandainya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menawarkan jawatan penting itu kepadanya.

Ditemui pada sidang akhbar Anugerah Laureus semalam, bekas pertahanan kental skuad kebangsaan Perancis itu menyatakan sudah bersedia untuk beralih kepada bidang kejurulatihan selepas lebih 20 tahun terbabit dalam kancah bola sepak.

Antara kelab pernah diwakili pemain yang mewakili Perancis dari 1993 hingga 2004 itu adalah Nantes, Marseille, AC Milan, Chelsea, Al-Gharafa dan Qatar SC.

Kini, pada usia 45 tahun, Desailly yang turut menjadi sebahagian daripada penyumbang kejayaan Perancis mendominasi saingan Euro 2000, yakin segala pengalamannya sebagai pemain itu mampu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik, terutama di peringkat Asia.

Foto

DESAILLY (kiri) hadir pada sidang akhbar Anugerah Laureus semalam.


"Saya sudah bersedia melanjutkan karier sebagai jurulatih. Saya tahu pasukan kebangsaan anda pernah mengecapi kejayaan pada 2010 (Piala AFF Suzuki), namun saya juga yakin FAM memerlukan lebih banyak kejayaan.


"Saya berharap akan menjadi individu yang dapat mengubah mentaliti untuk terus melakar kejayaan dalam skuad Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Desailly sedar, sekiranya beliau diberi kepercayaan membimbing skuad negara, ia bukanlah tugas mudah.

"Sebenarnya belum ada sebarang rundingan (dengan FAM), tapi saya gembira kerana dikaitkan dengan jawatan ini.

"Saya tahu mereka masih melakukan penilaian ke atas calon tertentu dalam usaha membawa pasukan anda ke tahap lebih tinggi," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan usaha FAM untuk mendapatkan seorang jurulatih berkualiti bagi menggantikan Datuk K Rajagobal, antaranya termasuk bekas pengendali Jepun, Phillipe Troussier.

Namun badan induk itu terpaksa melupakan Troussier kerana difahamkan beliau menolak beberapa syarat yang ditetapkan.

Ketika ini, Harimau Malaya dibimbing pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee yang sedang bersiap sedia untuk aksi persahabatan menentang Filipina Sabtu ini dan menentang Yaman bagi kelayakan Piala Asia, empat hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

LTdL medan nilai aksi pelumba tempatan

Posted: 26 Feb 2014 09:06 AM PST

Kuala Lumpur: Sejauh mana kemampuan pelumba tempatan bakal dinilai apabila saingan perlumbaan terbesar Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) membuka tirai secara rasmi di Pulau Langkawi, hari ini.

Dibarisi 12 pelumba tempatan yang akan beraksi atas tiket pasukan kebangsaan dan pasukan benua Terengganu Cycling Team (TSG), cabaran yang dihadapi sudah pastinya tidak mudah, terutama dengan kehadiran enam pasukan profesional buat julung kali dalam perlumbaan berstatus Hors itu.

Senario sama akan ditempuh pelumba negara dengan juara edisi ke-19 LTdL tahun ini bakal ditentukan di puncak Genting Highlands ketika jurulatih Aminuddin Sulaiman meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik daripada 21 pasukan bertanding.

Namun siapakah penakluk puncak Genting hanya akan diketahui pada peringkat ketiga dengan beberapa nama seperti Fabio Duarte (Team Colombia) dan Pieter Weening (Orica-GreenEDGE) menjadi sebutan selepas pelumba Wang Meiyin dari pasukan Hengxiang Cycling Team melakar kejutan tahun lalu.


Bagaimanapun bagi kapten negara, Suhardi Hassan, dia tetap yakin dengan barisan pelumba negara di samping semangatnyauntuk mengerah kudrat membantu skuad negara walaupun hakikatnya tampak sukar.


Berusia 32 tahun dan menjadi pelumba paling berusia dalam skuad negara, dia akan dibantu Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd Nor Rizuan Zainal, Amirul Anuar Jefri dan Abdul Rashid Ibrahim.

"Jurulatih meletakkan sasaran tempat ke-15, tapi kami akan cuba mendapatkan keputusan lebih baik. Saya akan memberi motivasi kepada pelumba muda negara selain merancang strategi di laluan landai.

"Namun penentu hala tuju nanti adalah di puncak Genting Highlands dan berharap rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

John yakin Jijoe serlah

Posted: 26 Feb 2014 09:05 AM PST

Kuala Lumpur: Saingan Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali, Colombia membuka tirai hari ini dengan tiga wakil negara akan berusaha melakar keputusan terbaik termasuk membawa pulang tiga pingat.

Biarpun saingan dilihat sukar, ketua jurulatih negara John Beasley tetap optimis dengan kemampuan pelumba negara terutama Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa.

Peningkatan yang dipamerkan Fatehah menunjukkan pelumba itu mempunyai peluang, namun pengalaman mungkin menjadi pemisah dan penentu kejayaannya.

Namun Beasley meluahkan keyakinan terhadap Azizulhasni dengan anak jati Terengganu itu dilihat mampu mengembalikan maruahnya terutama selepas dua kali penyertaannya dalam acara keirin dalam siri Piala Dunia Klasik, dibatalkan.


Bagi Azizul yang disapa Jijoe, Kejohanan Dunia tempat untuknya menguji tahap kemampuan sebagai persediaan untuk ke Sukan Asia dan Komanwel.


"Peluang itu ada, tapi belum dapat dipastikan sama ada cerah atau tidak. Apa yang penting, saya perlu bekerja keras dan fokus 100 peratus terhadap perlumbaan dan berharap nasib menyebelahi saya nanti," katanya.

Wakil negara, Jupha Somnet terlebih dulu membuka tirai perlumbaan dalam acara scratch awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Durakovic kecewa gagal raih mata penuh

Posted: 26 Feb 2014 09:05 AM PST

Kuala Lumpur: "Kami sepatutnya menang mudah." Demikian luahan kecewa pengendali Selangor Mehmet Durakovic selepas menyaksikan anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Arema FC pada perlawanan pertama Kumpulan F saingan Piala AFC, kelmarin.

Menjangkakan barisan pemainnya mampu meraih tiga mata penuh, Durakovic sebaliknya terpaksa menerima hakikat hanya satu mata diraih selepas kapten Arema Ahmad Bustami menafikan gol pendahuluan Selangor yang disumbang Paulo Rangel.

Namun Durakovic tidak menyalahkan 100 peratus anak buahnya, sebaliknya tetap berpuas hati dengan keputusan itu kerana sekurang-kurangnya mereka berjaya mencipta peluang.

"Saya kecewa kerana kami sepatutnya mampu meraih tiga mata, tapi inilah bola sepak, apa saja boleh berlaku.

"Selagi kami berjaya mencipta peluang, saya tidak risau dengan kemampuan barisan pemain saya.

"Jika ada peluang untuk menjaringkan gol tapi pemain gagal menyempurnakannya, apa lagi boleh kami lakukan.

Mungkin pada perlawanan seterusnya mereka mampu menjaringkan gol," kata Durakovic.

Selepas berakhir perlawanan pertama, Selangor kini menduduki tangga kedua Kumpulan F di belakang Hanoi T&T yang membelasah Maziya SC 5-1 dalam satu lagi perlawanan kelmarin.

Selangor akan turun pada aksi kedua peringkat kumpulan bertemu Maziya SC di Stadium Nasional, Maldives pada 11 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mangga mulut anak

Posted: 26 Feb 2014 08:32 AM PST

Lagos (Nigeria): Seorang lelaki ditahan semalam selepas didakwa mengunci mulut anaknya dengan kunci mangga semata-mata untuk memaksa budak itu berhenti menjerit ketika dia memukul mangsa hingga mati.

Chris Elvis, 30, didakwa menuduh anaknya, Godrich Elvis, 4 'Ogbanje' atau 'Anak Syaitan' dan menyalahkan budak itu menjadi punca kepada nasib malang yang menimpa dirinya sejak beberapa hari lalu.

Mengikut fail mahkamah, pengawal keselamatan itu memukul anaknya, melecurkan seluruh tubuh mangsa dengan seterika dan menguncinya dalam tong plastik.

Ibu kanak-kanak itu menghubungi polis sebaik menemui anaknya yang mati dalam keadaan yang mengerikan selepas pulang dari pasar.

Foto

KEADAAN mayat Godrich Elvis yang dimangga mulutnya sebelum dibunuh bapanya.


Chris berpura-pura gila ketika ditahan, tetapi dia di sahkan normal, lapor International Business Times.


Dia ditahan selepas dituduh membunuh.

"Kamu, Chris Elvis, pada 10 Februari 2014 sekitar jam 5 petang di nombor 7, Jalan Adetola Adelaja , Meiran Lagos, melakukan pembunuhan ke atas Godrich Elvis, berusia empat tahun menggunakan seterika untuk melecur badan dan meletakkannya di dalam tong plastik serta mengunci tong itu dengan mangga justeru melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 221 Undang-undang Jenayah Negeri Lagos, Nigeria 2011," menurut kertas pertuduhan ke atas Chris.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Kaya tiba-tiba

Posted: 26 Feb 2014 08:17 AM PST

California: Satu pasangan yang membawa anjing mereka bersiar-siar terjumpa 'harta karun' yang dianggarkan bernilai AS$10 juta (RM 32.7 juta) dalam bentuk wang emas yang kelihatan seperti baru tertanam berhampiran sebatang pokok.

Hampir semua 1,427 syiling emas dari tahun 1874 hingga 1894 berada dalam keadaan baik dan kelihatan seperti baru, kata pengasas bersama Professional Coin Grading Service of Santa Ana, David Hall.

Walaupun nilai sekeping syiling emas itu hanya sekitar RM88,519, ada di antaranya sangat jarang ditemui dan pakar menyatakan nilainya mungkin mencecah RM3.3 juta sekeping. - AP

Foto
Foto

SYILING emas yang kelihatan seperti baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Baju 'lucah' Piala Dunia ditarik balik

Posted: 26 Feb 2014 08:14 AM PST

Rio de Janeiro: Brazil memaksa penarikan semula penjualan baju sempena Piala Dunia yang dikatakan mempunyai corak tidak senonoh yang boleh merosakkan imej negara itu.

Berikutan aduan badan pelancongan negara itu, penaja rasmi kejohanan, Adidas menarik semula pengeluaran baju berkenaan yang sudah berada di pasaran Amerika Syarikat.

Satu daripada reka bentuk baju berkenaan menampilkan corak hati dengan tulisan 'I love Brazil', tetapi bentuknya menyerupai bahagian belakang wanita.

Satu lagi corak mempunyai gambar poskad dengan pemandangan Gunung Sugarloaf di Rio de Janeiro dan seorang wanita berbikini memegang bola dengan tulisan bertindih 'Lookin' to score'.

Foto

REKA bentuk imej pada kemeja-T yang mengundang kontroversi dan rasa tidak senang hati kerajaan Brazil


Badan pelancongan negara itu berkata, "Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengiklanan pada produk yang mengaitkan imej Brazil dengan seks."


Mereka juga menggesa Adidas menghentikan pengeluaran baju berkenaan.

Menteri Wanita Brazil, Eleonora Menicucci berkata "Tindakan jenama besar dalam dunia sukan seperti Adidas mengeluarkan kemeja-T dengan imej dan frasa yang mengaitkan Brazil dengan pelancongan seks sangat tidak boleh diterima."

Adidas dalam kenyataan balas memberitahu mereka sudah menghentikan pengeluaran produk itu.

"Penting untuk umum mengetahui produk ini adalah edisi khas yang hanya terdapat di Amerika Syarikat," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Pembantu Bieber curi kamera

Posted: 26 Feb 2014 08:11 AM PST

Georgia: Pengawal peribadi dan pemandu bintang remaja terkenal, Justin Bieber ditahan berhampiran Atlanta kerana didakwa mencuri kamera seorang jurugambar.

Jurucakap Polis Sandy Springs Kapten Steve Rose berkata, Bieber berada di kompleks hiburan di utara Georgia pada petang Selasa apabila pengawal peribadinya Hugo Hesny, 32, terbabit dalam pergaduhan dengan jurugambar yang didakwanya berada terlalu dekat dengan penyanyi itu.

Kapten Steve berkata, Hugo dan pemandu Bieber, Terrance Johnson, 49, mengekori jurugambar itu ke tapak letak kereta sebelum merampas kamera berkenaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Video Katy hina Islam

Posted: 26 Feb 2014 08:11 AM PST

Bradford: Seorang lelaki Islam di England mendesak YouTube membuang klip video terbaru Katy Perry yang memaparkan penyanyi itu 'menghancurkan' seorang lelaki memakai kalung dengan kalimah Allah.

Dalam klip video berjudul 'Dark Horse', Perry menjadi ratu Mesir purba yang ingin memilih pasangan.

Setiap lelaki yang menjadi calon pasangannya membawa hadiah yang tidak disukai ratu lalu mereka disumpah menjadi pasir.

Kontroversi tercetus apabila Shazad Iqbal mendakwa calon pertama di dalam video klip berkenaan memakai kalung kalimah Allah.

Foto

LELAKI dengan kalimah Allah (dalam bulatan yang sudah dikaburkan) dalam klip video Katy Perry.

Foto

PERRY dalam klip video terbarunya 'Dark Horse'.


Dia melancarkan petisyen mendesak YouTube menghalang penyiaran video klip berkenaan atas alasan ia 'menghina Islam.'


Petisyen online itu berjaya mengumpul 40,000 tandatangan dari seluruh dunia termasuk Australia, Arab Saudi, Pakistan and Bangladesh.

Shazad berkata: "Video klip berkenaan mencetuskan kontroversi kerana ia menghina Islam, melalui paparan yang menunjukkan dia menghancurkan lelaki itu.

"Penghinaan jelas dilihat dalam video itu kerana Katy Perry yang kelihatan seolah-olah mewakili penentang Tuhan membakar lelaki dalam video itu dan perkataan kalimah Allah."

Selepas menandatangani petisyen itu, Bilal Khan dari Birmingham berkata, "Saya rasa meluat dengan industri muzik kerana membenarkan perkara ini berlaku. Muzik sepatutnya menyebarkan kasih sayang dan bukan kebencian."

"Video ini benar-benar menghina agama Islam," kata Taufik Hidayat dari Bandung, Indonesia yang turut menyokong Shazad.

Dark Horse ialah single ketiga Katy Perry dalam album terbarunya 'Prism' yang turut menampilkan penyanyi rap Amerika Juicy J.

Lagu dengan genre pop yang diterapkan elemen hip hop itu berada di tangga pertama carta U.S. Billboard Hot 100 ketika ini.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

China kekurangan topeng muka

Posted: 26 Feb 2014 08:09 AM PST

Beijing: Jerebu yang semakin teruk melanda utara China menyebabkan syarikat penjual topeng muka online di negara itu kehabisan stok.

Semalam adalah hari keenam tahap jerebu di ibu negara China ini diletakkan di paras 'oren' - tahap yang kedua tertinggi dalam skala pengukur jerebu.

Pencemaran udara yang teruk itu yang turut mengehadkan jarak penglihatan kepada beberapa ratus meter saja selain menyebabkan kesukaran untuk bernafas meningkatkan jualan produk antipencemaran.

Syarikat menjual topeng kini terpaksa bergelut untuk memenuhi permintaan.

Foto

SEBUAH arca di Universiti Peking dipakaikan topeng muka oleh sekumpulan pelajar nakal.


Daripada 29 model topeng yang dibekalkan oleh 3M, syarikat Amerika Syarikat yang membekalkan barangan industri dan kelengkapan menerusi Tmall.com, 26 sudah habis dijual.


Syarikat Totobobo yang mengeluarkan topeng lutsinar di Singapura terpaksa mengeluarkan notis di Tmall untuk memaklumkan stok baru hanya boleh diperoleh pada April.

Satu lagi syarikat pembekal, Vogmask pula hanya tinggal topeng muka untuk kanak-kanak saja.

"Saya cuba mendapatkan topeng muka dan pembersih udara dalam keadaan jerebu yang semakin buruk ini, tetapi mendapati ia sudah habis," kata seorang pengguna. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

170 penentang Bashar terbunuh

Posted: 26 Feb 2014 07:55 AM PST

Damsyik: Lebih 170 pejuang penentang rejim Bashar, termasuk warga Saudi, Qatar dan Chechnya terbunuh semalam selepas diserang hendap tentera Syria berhampiran bandar raya ini.

Serangan itu, yang dilihat paling buruk terhadap kumpulan pejuang sejak beberapa bulan lalu, berlaku di timur Ghouta, kubu kuat pejuang yang menjadi sasaran serangan senjata kimia pada Ogos 2013 hingga menyebabkan ratusan penduduk terbunuh.

Agensi berita rasmi Syria SANA melaporkan, satu unit tentera mengesan anggota Barisan al-Nusra dan Liwa al-Islam berhampiran Damsyik dan membunuh 175 daripada mereka serta mencederakan beberapa yang lain.

"Warga Saudi, Qatar dan Chechen adalah antara yang mati," menurut laporan itu.

Foto

DUA gambar yang diedarkan Agensi Berita Syria (SANA) menunjukkan mayat kumpulan pejuang bergelimpangan selepas ditembak mati dalam serang hendap di pinggir Damsyik, semalam.

Foto

DUA gambar yang diedarkan Agensi Berita Syria (SANA) menunjukkan mayat kumpulan pejuang bergelimpangan selepas ditembak mati dalam serang hendap di pinggir Damsyik, semalam.

Televisyen Syria sebelum itu melaporkan, 'puluhan pengganas' terbunuh, kebanyakannya bukan rakyat asing dalam serang hendap yang disusun rapi selepas tentera menerima maklumat mengenai pergerakan kumpulan itu.

Tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad juga dilapor merampas senjata kumpulan berkenaan.

Stesen televisyen dan media rasmi Syria sering menggunakan perkataan pengganas untuk merujuk kepada kumpulan penentang.

Barisan al-Nusra ialah rangkaian rasmi al-Qaeda di Syria, komited untuk menggulingkan Bashar dan menubuhkan sebuah negara Islam.

Sumber kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria di Damsyik mengesahkan puluhan orang terbunuh dalam serangan hendap itu.

"Puluhan pejuang Islam terbunuh dan cedera dalam serang hendap tentera Bashar yang dibantu anggota Hizbullah berhampiran kampung Otaybeh di Ghouta Timur," kata kumpulan yang berpejabat di London itu.

Sumber keselamatan kerajaan berkata, kebanyakannya rakyat Jordan atau Saudi dan mereka menyeberang masuk ke Syria dari Jordan pada awal hari kejadian.

Menurut sumber itu, serang hendap berlaku jam 5 pagi (11 pagi waktu Malaysia) dan 156 pejuang terbunuh. Sepuluh lagi ditawan.

Tentera Bashar sering melakukan serang hendap di kawasan Otaybeh sejak kebelakangan ini.

Peperangan di Syria sejak Mac 2011 sudah meragut lebih 140,000 nyawa dan memaksa jutaan penduduk menjadi pelarian.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Hizbullah ikrar balas serangan Israel

Posted: 26 Feb 2014 07:51 AM PST

Beirut: Hizbullah semalam berikrar akan bertindak balas 'bila tiba waktunya' terhadap serangan udara Israel di Lubnan, Isnin lalu.

"Isnin lalu pesawat Israel mengebom kedudukan Hizbullah di sempadan Lubnan-Syria berhampiran Janta di Lembah Bekaa.

"Serangan terbaru ini adalah pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan dan jajahan Lubnan.

Kami tidak akan berdiam diri sebaliknya menanti waktu dan masa paling baik untuk bertindak balas," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut mengucap kesyukuran kerana kejadian tidak mengakibatkan kecederaan atau kematian selain menafikan serangan menyasarkan senjata dan peluru.

Pegawai Israel bagaimanapun mengelak mengulas kejadian itu.

namun mengakui wujud polis melarang penghantaran senjata dari Syria ke Hizbullah.

Serangan Isnin lalu itu kali pertama dilakukan Israel terhadap Hizbullah di Lubnan sejak perang 2006 yang mengakibatkan lebih 1,200 rakyat Lubnan - kebanyakannya orang awam - dan 160 rakyat Israel yang majoritinya askar terbunuh.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Tentera Russia dikerah berjaga-jaga

Posted: 26 Feb 2014 07:51 AM PST

Moscow: Presiden Vladimir Putin semalam mengarahkan latihan kecemasan bagi menguji kesediaan pasukan keselamatannya di timur Russia. yang dilihat menayangkan kuasa tentera dalam pada ketegangan dengan kuasa Barat membabitkan Ukraine.

Putin mengarahkan beberapa latihan seumpama itu di beberapa wilayah Russia sejak kembali memegang jawatan presiden pada 2012 kononnya untuk memastikan tenteranya perlu sentiasa bersedia.

Bagaimanapun, krisis di negara jirannya Ukraine menimbulkan kegusaran terhadap aktiviti latihan berkenaan.

"Sejajar arahan Presiden Persekutuan Russia, anggota tentera Daerah Ketenteraan Barat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

"Bagi latihan itu, mereka mesti bersedia mengebom kawasan yang asing," kata Menteri Pertahanan Sergei Shoigu.

Kenyataannya yang dibuat ketika mesyuarat Kementerian Pertahanan dilaporkan agensi berita Interfax.

Menurut Shoigu, latihan itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat yang berakhir pada 3 Mac selain membabitkan pusat kawalan pasukan Pertahanan Udara dan Angkasa Russia, pasukan payung terjun serta beberapa unit lain di tengah Russia.

Menurutnya, latihan peringkat pertama yang dijadualkan selama dua hari membabitkan ujian di laut dan darat.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Amaran Sultan Brunei

Posted: 26 Feb 2014 07:50 AM PST

Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam memerintahkan pengguna media sosial menghentikan kritikan terhadap perancangannya melaksanakan perundangan hudud di negara itu.

Baginda yang juga antara lelaki terkaya dunia membuat amaran itu ketika menyampaikan ucapan baru-baru ini.

"Mereka tidak boleh dibenarkan terus mengeluarkan kenyataan menghina undang-undang Islam.

"Jika ada elemen yang membolehkan mereka dihadapkan ke mahkamah maka fasa pertama pelaksanaan Perintah Kanun Keseksaan Syariah April ini akan terpakai terhadap mereka," katanya.

Baginda mengumumkan Oktober lalu Brunei akan mula melaksanakan hukum hudud bermula 1 April ini.

Isu itu banyak dibantah dan didebatkan di laman media sosial terutama sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


1.2 juta mula terasa

Posted: 26 Feb 2014 10:37 AM PST

Kuala Lumpur: Kira-kira 1.2 juta pengguna dari 300,000 isi rumah di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula mengalami kesan terputus bekalan air atau tekanan rendah, ekoran pengurangan pengeluaran air terawat oleh lima loji rawatan air (LRA) atas arahan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, semalam.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, ia membabitkan tujuh wilayah sekitar Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.


"Rezab bekalan air sedia ada yang sangat kecil dan dalam keadaan biasa sudah tidak mampu untuk menampung paras permintaan pengguna kerana kelima-lima loji rawatan air terbabit membekalkan 60 peratus daripada keperluan air terawat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap sumber air mentah kerajaan Selangor telah mengeluarkan surat arahan pada 24 Februari lalu kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang mengurus tiga loji berkenaan agar mengurangkan pengambilan air mentah sebanyak 200 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Selangor.


Loji terbabit ialah LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 3 dan LRA Sungai Rasa manakala LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Rantau Panjang diurus Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.


Pada masa sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah mengarahkan SYABAS menyediakan pelan pengagihan bekalan air berjadual bagi pengguna yang terbabit untuk dibentangkan kepada SPAN, hari ini.

Foto

PENDUDUK Kampung Leboh Dagang, Banting mengisi air yang dibekalkan SYABAS, semalam.

"Jika pelan pengagihan bekalan air berjadual ini diluluskan SPAN, ia akan diumumkan kepada pengguna secara bersama oleh pihak SPAN dan SYABAS pada 28 Februari ini untuk dilaksanakan mulai Ahad ini," kata Priscilla. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Peralat remaja seleweng diesel

Posted: 26 Feb 2014 10:17 AM PST

Banting: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di daerah ini didapati mula mempelbagaikan helah mereka termasuklah memperalatkan remaja sebagai orang tengah bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa berikutan kekerapan operasi penguat kuasaan sejak kebelakangan ini.

Helah terbaru itu dikesan selepas sepasukan anggota polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang didapati sedang mengisi diesel di dalam sebuah lori tiga tan dipandunya di sebuah stesen minyak di Sungai Jarom, dekat sini kira-kira jam 10 malam Isnin lalu.


Lebih mengejutkan, remaja terbabit turut tidak memiliki lesen memandu kenderaan berat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azman Abdul Razak berkata, remaja terbabit ditahan selepas dia didapati mengisi minyak dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan polis yang melakukan rondaan di stesen minyak itu memeriksanya.


Katanya, selepas diperiksa, anggota terbabit mendapati lori tiga tan itu sudah diubah suai dan bahagian belakangnya diletakkan tangki besi yang mampu memuatkan sekurang-kurangnya 10,000 liter diesel.


"Belum sempat mengisi penuh, remaja itu dicekup bersama 1,250 liter diesel. Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan susulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

31 URB dilancar

Posted: 26 Feb 2014 10:17 AM PST

Petaling Jaya: Sebanyak 31 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dilancarkan untuk meningkatkan lagi kekuatan pihak polis memerangi jenayah di Petaling Jaya dan Sungai Buloh.

Sebanyak 14 motosikal digunakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya manakala 17 lagi di IPD Sungai Buloh.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya akan menggunakan URB di kawasan yang dikenal pasti. "Pendekatan ini adalah satu daripada usaha polis untuk membanteras jenayah. "Ini sekali gus memberikan harapan serta keyakinan kepada masyarakat selain menyampaikan mesej yang jelas, tepat dan padat kepada penjenayah bahawa polis sentiasa ada untuk memerangi jenayah di kawasan mereka," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran URB di Dewan MBSA Subang Bestari, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Kongsi gelap di belakang

Posted: 26 Feb 2014 10:14 AM PST

Kuala Lumpur: Kekerasan, ugutan dan memalukan mangsa serta keluarga adalah modus operandi utama digunakan sindiket along bagi mendapatkan kembali wang dan kadar bunga daripada peminjam.

Timbalan Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, kumpulan terbabit akan menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan bagi mendapatkan kembali wang mereka.


"Malah, saya akui ada beberapa kes lampau apabila mangsa dikurung di kondominium, flat, rumah oleh konco along dan dipukul. "Mereka (peminjam) kemudiannya dibebaskan sama ada diselamatkan polis ataupun selepas keluarga membayar wang pinjaman berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana, di sini, semalam.

Antara kaedah memalukan yang digunakan kumpulan along itu bagi mendapatkan semula wang adalah menyimbah cat, memasang poster, menampal gambar di sekitar kawasan perumahan selain membuat kecoh di tempat kerja. Menurutnya, tindakan kumpulan along mengurung peminjam adalah kerana sikap mangsa itu sendiri yang sering melarikan diri selepas gagal melunaskan hutang mengikut perjanjian asal.


"Selalunya, jika pinjaman RM1,000 peminjam hanya akan diberikan RM900. Peminjam pula diminta membayar RM13 setiap hari selama 100 hari. Kadar bunga yang dikenakan adalah 40 peratus.


"Malah, ada kadar bunga yang lebih tinggi dikenakan dan puratanya antara 3 hingga 50 peratus mengikut latar belakang peminjam itu sendiri," katanya.

memberitahu penjaja kecil, pekerja kilang, remaja dan ahli perniagaan menjadi sasaran kumpulan along untuk memberikan pinjaman selain kaki judi.


Ditanya wartawan adakah sindiket along ini mempunyai sokongan daripada pihak luar, Abd Jalil berkata, kumpulan terbabit diketahui bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap.

"Ahli kepada kumpulan kongsi gelap ini akan menjadi konco along untuk melakukan kutipan wang kepada peminjam sama ada secara harian, mingguan ataupun bulanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Penyelamat budak nyaris diculik dikesan

Posted: 26 Feb 2014 10:12 AM PST

Kota Bharu: Polis berusaha mengenal pasti dua lelaki bermotosikal yang menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang nyaris menjadi mangsa culik di depan sekolahnya di Panchor, Pengkalan Chepa, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, dua lelaki itu diperlukan untuk membantu siasatan kejadian.


"Saya arahkan pihak polis mengenal pasti dua lelaki yang menyelamatkan mangsa itu untuk membantu siasatan.

"Sehingga kini mereka masih belum tampil ke hadapan untuk membantu siasatan," katanya.


Menurut Jalaluddin, siasatan terperinci dilakukan untuk mengenal pasti dalang kejadian itu.


"Perkara ini tidak boleh pandang remeh. Siasatan terperinci dijalankan termasuk menyiasat latar belakang keluarga mangsa," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun bernasib baik apabila muncul dua hero menyelamatkannya daripada diculik di depan sekolah dan membawanya pulang ke rumah sebelum beredar tanpa bertemu ahli keluarganya.


Dalam kejadian jam 5.30 petang itu kanak-kanak terbabit yang baru tamat sesi persekolahan menunggu keluarganya sebelum dia dihampiri kereta dinaiki dua lelaki.

Seorang daripadanya yang berbadan besar keluar dari kereta sebelum menarik tangan kanak-kanak itu yang melawan dan menjerit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gol Rangel tak cukup

Posted: 25 Feb 2014 09:47 AM PST

Selayang: Hajat Selangor yang ingin memungut tiga mata penuh tidak kesampaian apabila hanya berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan wakil dari Indonesia, Arema FC pada pertemuan sulung kempen Piala AFC yang di saksikan kira-kira 12,000 penyokong setia Merah Kuning di Stadium Selayang, malam tadi.

Pengendali Selangor Mehmet Durakovic menunaikan janjinya sebelum ini apabila menurunkan kesemua empat awang importnya dengan buruan kemenangan penuh menjadi pertaruhan.

Kelibat 'Messi Indonesia' Andik Vermasyah, nyata sukar dikekang barisan pertahanan Arema yang diketuai Victor Igbonefa apabila mereka terpaksa menyekat pemain kebangsaan Indonesia itu dengan terjahan keras.

Penjaring terbanyak Liga Super yang juga penyerang Red Giants, Paulo Rangel tidak menunggu lama untuk meletakkan tuan rumah di depan. Berpunca gerakan kilat Selangor dari tengah padang, Andik bergerak solo sebelum melorongkan bola kepada Rangel yang mudah menyempurnakan hantaran itu buat tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-8.

Foto

RANGEL (gambar) jaring gol pembukaan perlawanan.


Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Suharno kembali menyusun rentak bagi mencari gol penyamaan. Namun segala usaha wakil dari Indonesia itu hanya gagal lantaran ketangkasan Hamsani Ahmad di gawang gol Selangor.


Bersambung babak kedua, Arema melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah.

Akhirnya gol yang di cari-cari menjelma. Kapten Arema, Ahmad Bustami menyelamatkan maruah pasukannya apabila sepakan percuma diambilnya terus menerjah ke jaring Selangor pada minit ke-72 untuk kedudukan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Dalam satu lagi pertemuan membabitkan kumpulan sama, pasukan SHB DA Nang membelasah Naziya Sports 5-1. Berikutan kemenangan itu pasukan Myanmar itu mendahului carta kumpulan F dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

TRW tempang tanpa tiga awang import

Posted: 25 Feb 2014 09:43 AM PST

Kota Bharu: Kelantan memulakan aksi pertama saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan 'langkah tempang' apabila turun tanpa tiga pemain import ketika berdepan Yangon United di Stadium Thuwunna, Myanmar hari ini.

Pasukan kendalian Steve Darby itu kehilangan dua penyerang, Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe serta pemain tengah, Mohamed Shawky Aly yang dibelenggu kecederaan. Ketiga-tiganya tidak dibawa ke Myanmar.

Bagaimanapun, Darby berkata, ketiadaan tiga pemain berkenaan tidak menjejaskan persiapan The Red Warriors (TRW) untuk memulakan aksi pertama di pentas antarabangsa musim ini menerusi saingan AFC.

Katanya, berikutan ketiadaan Ghaddar dan Forkey Doe, beliau menaruh kepercayaan terhadap dua penyerang tempatan, Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Fakri Saarani untuk merobek gawang tuan rumah.


"Kami kehilangan dua penyerang dan seorang pemain tengah kerana kecederaan. Saya terpaksa menurunkan pemain lain untuk mengisi kekosongan posisi itu dan saya harap pemain yang diberikan kepercayaan nanti dapat beraksi cemerlang.


"Saya yakin dengan Ahmad Shakir dan Ahmad Fakri kerana mereka sudah mendapat sentuhan jaringan, namun saya berharap pemain ini selesa beraksi dalam saingan AFC," katanya.

Kelantan meneruskan cabaran dalam saingan AFC buat kali ketiga berturut-turut, termasuk musim ini dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada 2012 ketika di bawah bimbingan bekas jurulatih, Bojan Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Terpaksa lupakan Alex

Posted: 25 Feb 2014 09:43 AM PST

Kelana Jaya: Datuk Ong Kim Swee akhirnya memutuskan untuk menggugurkan pemain Pahang Azamuddin Mohd Akil (gambar), bukan saja bagi aksi perlawanan persahabatan menentang Filipina, Sabtu ini, malah bagi perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Al-Ain, UAE, 5 Mac depan.

Keputusan itu dibuat selepas pemain yang mesra dengan panggilan Alex itu masih belum pulih daripada kecederaan kaki kanannya yang memaksa pengendali sementara Harimau Malaya itu mengambil langkah berkenaan.

"Selepas berbincang dengan doktor, Alex tak sempat untuk pulih. Dia masih sakit di bahagian kecederaan lamanya.

"Jadi saya buat keputusan untuk menggugurkannya daripada senarai ke Yaman," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Foto


Kim Swee bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menggantikan Alex dengan pemain lain kerana sudah kesuntukan masa selain meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain sedia ada.


"Masa amat suntuk untuk saya memanggil pemain lain. Ada beberapa pemain yang mampu menggalas tugas Alex, termasuklah Fakri (Ahmad Fakri Saarani) serta Baddrol (Bakhtiar) di bahagian kiri dan kanan.

"Jadi kami mempunyai pengganti dalam skuad sedia ada," katanya.

Apapun, Kim Swee menegaskan setiap pemain harus merebut peluang untuk diturunkan dan mereka yang diberi kepercayaan, harus membuktikan sesuatu.

"Saya juga akan mencuba kombinasi beberapa pemain di bahagian tengah pada pertemuan dengan Filipina nanti sebelum bertemu dengan Yaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

'Bincanglah dulu'

Posted: 25 Feb 2014 09:40 AM PST

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong mahu keputusan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dihormati.

Sambil menyifatkannya sebagai jalan terbaik untuk pasangan itu mencari angin baru bagi mengembalikan prestasi cemerlang mereka semula, beliau berharap Kien Keat yang sudah menghantar surat menarik diri daripada skuad kebangsaan berkuat kuasa 1 Mac serta Boon Heong yang seperti mahu mengikut jejak langkah rakannya itu, perlu terlebih dulu kembali berbincang dengan pengurusan BAM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Kedua-dua gandingan negara itu kini mencuri tumpuan selepas masing-masing secara terbuka menyatakan sudah tawar hati untuk berada dalam skuad kebangsaan kerana seperti tiada hala tuju selepas Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dikatakan mengambil terlalu lama untuk membuat keputusan mengenai masa depan mereka.

"Sejak dulu lagi saya konsisten menyatakan sekiranya Kien Keat-Boon Heong mahu keluar dari BAM dengan tujuan untuk mencari angin baru dengan bernaung di mana-mana kelab, saya tiada halangan dan menyokong tindakan mereka.

Foto

BOON Heong (kiri) mahu ikut jejak Kien Keat.


"Mungkin kerana sudah lama berada dalam BAM, mereka berdua inginkan satu suasana yang baru. Mungkin juga betul kata Kien Keat mereka seperti sudah tiada hala tuju.


"Saya fikir kedua-duanya masih mampu memberi sumbangan besar kepada negara. Cuma sejak kebelakangan ini saja prestasi kedua-dua pemain ini agak mengecewakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Zolkples berkata, untuk tidak menjadikan isu ini terus melarat, beliau berharap pengurusan BAM di bawah kepimpinan Tengku Mahaleel perlu segera mencari jalan penyelesaian terbaik.

Ini kerana, beliau bimbang jika persiapan skuad negara bagi menghadapi saingan selepas ini, terutamanya Sukan Komanwel, terjejas.

"Kita mempunyai banyak saingan antarabangsa tahun ini seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Untuk Sukan Asia, sasaran kita mungkin tidak terlalu tinggi, tapi di Sukan Komanwel, kita negara tradisi yang sentiasa memenangi pingat emas menerusi acara perseorangan dan beregu lelaki.

"Saya tidak mahu dengan timbulnya masalah seperti ini, ia akan memberi kesan negatif pada masa akan datang," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Boon Heong menyatakan sudah tawar hati untuk berada dalam skuad kebangsaan tetapi tetap mahu menunggu kata putus Tengku Mahaleel menerusi mesyuarat dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Iskandar perlu tumpu pelajaran dulu

Posted: 25 Feb 2014 09:38 AM PST

Kuala Lumpur: Kejayaannya merangkul pingat perak sekali gus melakar rekod baru kebangsaan ketika temasya Sukan SEA Myanmar lalu, membolehkan atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi (gambar) melayakkan diri beraksi di Sukan Asia Incheon, Korea 18 September ini.

Jurulatihnya Mansahar Abdul Jalil berkata, Iskandar menunjukkan peningkatan yang menggalakkan terutama dalam latihan dan akan turun beraksi dalam pertandingan kompetitif pertamanya tahun ini pada 15 Mac di Terbuka Kuala Lumpur.

Bagaimanapun untuk menghantar Iskandar berlatih dan menjalani latihan di luar negara mungkin terpaksa dilupakan seketika kerana Iskandar perlu menamatkan terlebih dulu pengajiannya yang kini berada dalam tahun terakhir Pra Universiti.

"Pada mulanya memang ada perancangan menghantar Iskandar berlatih dan berlatih di luar negara tapi selepas meneliti semua aspek dan berbincang dengan pengurusan tertinggi KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) perancangan untuk ke luar negara terpaksa ditangguhkan dulu.

Foto


"Adalah penting buat Iskandar menghabiskan pelajarannya kerana dia berada di tahun terakhir dan selepas itu cuba memperbaiki pencapaian di Sukan SEA 2015 dengan memecahkan rekod kejohanan 5.20 meter," katanya.


Penyertaan atlet Johor itu pada temasya Sukan Asia nanti adalah lebih kepada mencari pengalaman pada usianya yang masih muda, 20 tahun.

Namun Mansahar yakin Iskandar mampu menghadapi semua halangan dan sebagai persediaan awal. Iskandar dijadualkan menyertai beberapa pertandingan di luar negara seperti Kejohanan Dalam Dewan Taiwan, Jemputan Korea, Terbuka Thailand dan beberapa kejohanan berdekatan.

Iskandar melakar merekod kebangsaan di Sukan SEA Myanmar dengan catatan 5.10m sekali gus membolehkannya merangkul perak. Catatan itu juga melepasi syarat kelayakan tempat keenam di Sukan Asia.

Bagaimanapun sekiranya berhasrat beraksi di Sukan Komanwel, Iskandar perlu melepasi ketinggian 5.25m yang dilihat mungkin sukar direalisasikan dalam masa terdekat ini, namun jika diberi peluang, Mansahar yakin anak didiknya itu mampu melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

SIC tarik minat penyokong India

Posted: 25 Feb 2014 09:36 AM PST

New Delhi: Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) selaku penganjur Grand Prix Formula Satu (F1) PETRONAS Malaysia 2014 mahu menarik peminat sukan permotoran India untuk datang menyaksikan Pusingan 2 Kejohanan Dunia itu bulan depan.

Dengan ketiadaan penganjuran Grand Prix India tahun ini, Litar Sepang menjadi venue terbaik untuk mereka memberi sokongan kepada pasukan F1 India - Sahara Force.

"Dengan Sahara Force membawa bendera India, sudah tentu mereka mahu menyokong pasukan mereka di litar," Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dipetik Financial Express sebagai berkata di Mumbai kelmarin.

Beliau berkata, selain kemudahan penerbangan terus disediakan Penerbangan Malaysia dan AirAsia dari beberapa destinasi di India ke Sepang, Malaysia turut menyediakan pelbagai tarikan kepada pelancong negara itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


Sahara Force mengemukakan gandingan baru yang membabitkan pemandu Jerman, Nico Hulkenberg dan Sergio Perez dari Mexico.


Perez memandu untuk McLaren musim lalu menggantikan Paul di Resta manakala Hulkenberg kembali semula mewakili Sahara Force, mengambil alih tempat Adrian Sutil yang berpindah ke pasukan Sauber musim ini.

Pusingan 1 bermula di Grand Prix Australia dari 14 hingga 16 Mac.

Razali berkata, FI di Sepang turut menyediakan pelbagai karnival termasuk pesta makanan.

Beliau berkata, buat pertama kali pameran 3D akan diadakan untuk memapar kembali sejarah F1 di Malaysia sejak 15 tahun lalu.

"Kami akan memasang lebih 30 panel 3D yang akan direka bentuk seperti 'Walls of Fame' untuk membawa peminat mengembara ke dunia Formula 1," katanya.

Selain itu peminat antara lain berpeluang bertemu pemandu F1, menyaksikan demonstrasi pemanduan jentera lumba dan menghadiri konsert di Menara Berkembar PETRONAS selama dua hari mulai 28 Mac. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

'PSM dibuai mimpi'

Posted: 25 Feb 2014 09:15 AM PST

Kuantan: Ketandusan kejohanan peringkat kebangsaan dalam tempoh 10 tahun (2003-2013) menjadi faktor utama sukan sepak takraw yang sebelum ini gah bertukar hambar, malah menerima aib setiap kali bersaing di pentas antarabangsa.

Selepas kekalahan memalukan kepada Korea Selatan pada aksi final Siri Super ISTAF di India, tamparan sama berlaku pada temasya Sukan SEA Myanmar 2013 apabila pasukan negara hanya mampu meraih pingat perak, tewas kepada Thailand selain gangsa di Sukan SEA Indonesia 2011.

Bekas tekong kebangsaan Suhaimi Abdul Rahman berkata, tidak mustahil pasukan negara mampu melakar kejayaan di peringkat antarabangsa seperti yang pernah dikecapi sebelum ini sekiranya pembangunan akar umbi dilakukan.

Menurutnya, selepas program melahirkan pemain berbakat diadakan ia seharusnya disusuli dengan mengadakan lebih banyak kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan yang akan menjadi gelanggang pemilihan barisan pemain negara.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) gagal menjalankan tugas diamanahkan, akibatnya pasukan sepak takraw negara kini seolah-olah dipandang sebelah mata dan tidak dihormati lagi.

"Saya kecewa apabila PSM pimpinan Datuk Ahmad Ismail dilihat seperti dibuai mimpi dan angan-angan kosong yang tidak berpenghujung, mereka seolah-olah selesa di zon selamat hingga melupakan tugas dan amanah dipikul.

"Banyak kejohanan besar tidak diadakan dalam tempoh 10 tahun hingga menyaksikan sukan sepak takraw yang mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini bertukar hambar berbanding sukan lain," katanya semalam.

Justeru, Suhaimi berkata, sudah tiba masanya Ahmad mengundurkan diri secara terhormat bagi membuka laluan kepada individu lain yang lebih layak dan mampu menjalankan tugas sebagai presiden baru PSM.

Rakannya, Jamry Ederis berkata, sudah tiba masanya semua ahli gabungan membuka mata melihat sejauh mana pencapaian PSM dalam tempoh 10 tahun di bawah pimpinan Ahmad.

"Untuk mengelak sukan sepak takraw terus menerus meniti laluan mengaibkan, perubahan drastik perlu dilakukan kerana sudah cukup masa membaiki kesilapan yang diberikan sebelum ini.

"Peluang mengembalikan imej sukan sepak takraw tidak mampu ditunaikan jadi lebih baik dia (Ahmad) berundur bagi memberi peluang kepada individu lain membuktikan kebolehan," katanya yang pernah bermain sebagai apit kiri kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Larrazabal, Olesen terpilih jadi kapten Pasukan Eropah

Posted: 25 Feb 2014 09:15 AM PST

Kuala Lumpur: Miguel Angel Jimenez dari Sepanyol memilih Pablo Larrazabal dan Thorbjorn Olesen sebagai pemain pilihan kapten untuk beraksi bersama Pasukan Eropah dalam kejohanan golf Piala EurAsia anjuran DRB-Hicom bulan depan.

Pemain Sepanyol dan Denmark itu akan menyertai lapan pemain yang melayakkan diri secara automatik untuk membarisi Pasukan Eropah menentang Pasukan Asia yang diketuai pemain veteran Thailand Thongchai Jaidee dalam saingan di Glenmarie Golf and Country Club, Shah Alam dari 27 hingga 29 Mac.

Larrazabal yang mengatasi beberapa pemain terkemuka dalam Kejohanan Golf HSBC Abu Dhabi baru-baru ini, berkata, dia gembira menerima undangan rakannya itu.

"Saya sungguh gembira mendapat undangan Miguel.

Pengalaman bermain untuk pasukan Eropah adalah sesuatu yang amat berharga dan saya akan cuba meraih kemenangan dalam kejohanan Piala EurAsia pertama ini," kata pemain kelahiran Barcelona berusia 30 tahun itu dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak penganjur semalam.

Perasaan Larrazabal itu dikongsi Olesen, 24, yang menduduki tempat kelima Kejohanan Dubai Desert Classic baru-baru ini dan berkongsi tempat ketiga dalam kejohanan Qatar Masters dua minggu lalu.

"Saya sungguh gembira apabila orang seperti Miguel berpendapat saya mampu membawa sesuatu untuk pasukannya.

Pengalaman bermain dengan pasukan Seve Trophy yang meraih kemenangan tahun lalu bersama pemain hebat seperti Miguel dan Thomas (Bjorn), sudah tentu memberi kelebihan kepada saya," katanya.

Dua pemain itu akan menyertai lapan pemain lain - Thomas Bjorn (Denmark), Jamie Donaldson, Stephen Gallacher dan Graeme McDowell (United Kingdom), Victor Dubuisson (Perancis), Gonzalo Fernandez-Castaño (Sepanyol), Joost Luiten (Belanda) dan Jimenez sendiri untuk menghadapi kejohanan itu.


- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Spekulasi berakhir

Posted: 25 Feb 2014 09:12 AM PST

Johor Bahru: Bekas pengendali Kelantan Bojan Hodak secara rasmi dilantik pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berkuat kuasa serta-merta.

Pengesahan itu menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang diedarkan semalam.

"Cesar Ferrando Jiminez kekal selaku ketua jurulatih Johor DT. Pengalaman luas Hodak dalam kancah Liga Malaysia dan pernah membimbing pasukan tempatan serta berjaya menjuarai beberapa piala pasti dapat membantu Jiminez dari segi maklumat dan pemahamannya lantas membolehkan beliau menggunakan kemahiran dan pengalaman di Eropah ke dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Kehadiran Hodak juga membantu Jiminez dalam memberi maklumat mendalam mengenai pasukan dan pemain pihak lawan.

Foto


"Jiminez akan terus menggalas tanggungjawab menyusun taktikal pasukan, falsafah permainan dan pembangunan bola sepak bagi pasukan Johor DT," kata kenyataan PBNJ itu.


Menurut kenyataan itu lagi, gabungan kedua-dua jurulatih berpengalaman itu pasti memberi persaingan lebih sengit pada saingan Liga M dengan Harimau Selatan akan lebih mantap mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Sementara itu, Hodak dan Jiminez senada ketika memberi komen berhubung kombinasi mereka bersama Johor DT.

"Kami berdua sangat teruja dengan perkembangan terbaru ini dan seterusnya akan bekerja keras bagi meletakkan bola sepak Johor di tahap lebih tinggi," kata Hodak.

Jiminez yang ditemui ketika sesi latihan Johor DT kelmarin berpendapat beliau yakin kombinasi itu adalah yang terbaik dan paling mustahak mereka akan terus berada pada tahap permainan yang mantap.

"Saya alu-alukan kedatangan Hodak untuk membantu Johor DT. Sebagai jurulatih saya bersikap profesional. Johor akan lebih mantap dalam memburu kemenangan pada setiap perlawanan dan kami dalam satu keluarga sentiasa bekerjasama antara satu sama lain," kata Jiminez.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Johor DT II tagih magis Magic

Posted: 25 Feb 2014 09:10 AM PST

Johor Bahru: Sentuhan magis jurulatih baru Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II), Rajko Magic menjadi sandaran terbaru buat skuad itu yang akan bergandingan bersama Azmi Mohamed mengharungi saingan Liga Perdana, bersambung 7 Mac ini.

Magic, 59, dari Croatia pernah membimbing kelab Liga Super China, Shandong Luneng Taishan FC akan turut dibantu bekas jurulatih Tampines Rovers, Nenad Bacina dan bekas jurulatih kecergasan Kedah, Antonio Sisic.

Kelibat ketiga-tiga mereka kelihatan ketika menyaksikan aksi Harimau Muda B menentang Tanjong Pagar United FC pada perlawanan Liga Singapura di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.

Pengurus Onn Jabbar@Jaafar berkata, langkah untuk mendapatkan khidmat Magic lebih terarah bagi meningkatkan mutu permainan skuad Merah Biru yang agak merudum malah kehadiran jurulatih dari luar mampu beri suntikan baru kepada pasukan.

Katanya, tiada penyingkiran membabitkan mana-mana jurulatih Johor DT II sebaliknya semua jurulatih sedia ada dikekalkan dan ia juga beri kesan positif untuk mempelajari teknik dan taktikal baru bakal diserapkan Magic.

"Azmi masih jurulatih Johor DT II dan beliau akan membantu Magic membuat persiapan skuad itu mengharungi saingan Liga Perdana menentang FELDA United, di tempat lawan pada 7 Mac ini.

"Kami dibarisi pemain muda dan langkah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat tepat bagi memastikan mereka mendapat didikan daripada jurulatih berpengalaman selain Azmi juga akan menimba ilmu daripada Magic," katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad Merah Biru kini menghuni tangga keenam selepas lima perlawanan dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan serta satu seri dan kehadiran Magic bakal mengubah nasib pasukan itu kembali memburu kelompok teratas liga.

Onn juga menjelaskan skuad Johor DT II adalah pasukan `back-up' kepada Johor DT dan pastinya kelibat pemain muda amat ditagih untuk dilengkap dengan teknik permainan berkualiti sambil dibantu pemain berpengalaman seperti Shahril Ishak dan Braulio Rodriguez.

"Apa yang saya harapkan Johor DT II kembali beri tentangan sengit dalam Liga Perdana malah saya optimis pengalaman luas Magic akan beri kekuatan kepada pasukan itu," kata Onn.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sakit ditipu 'pakar'

Posted: 25 Feb 2014 10:03 AM PST

Changsha (China): Seorang lelaki terpaksa melalui pengalaman menyakitkan ketika doktor mengeluarkan 42 butir permata dari badannya selepas dia diperdaya 'pakar perubatan' alternatif.

Zou Feng - dari wilayah Hunan - berkata, selepas mengadu sakit belakang seorang jiran menyarankan dia bertemu seorang tokoh yang mahir dalam perubatan tradisional.

Lelaki berusia 61 tahun itu mengunjungi 'pakar' terbabit pada 2011 dan diberitahu penyakitnya itu luar biasa sehingga ia hanya boleh disembuhkan dengan menanam permata di bawah kulitnya.

Kata Zou, 'pakar' berkenaan membuat tebukan kecil pada kulit dan memasukkan permata itu sebelum luka berkenaan dijahit.

Foto

ZOU menjalani pembedahan membuang 42 butir permata dari badannya.


"Pesakit lain berkata, kaedah itu berkesan dan saya mahu mencubanya.


"Memang pada peringkat awal selepas dia memasukkan 42 butir permata ke dalam badan, saya berasa sedikit lega," katanya.

Bagaimanapun, Zou mula menghadapi masalah baru - dia sukar berjalan dan bukan saja belakangnya sakit, malah semua sendi.

Bimbang keadaan semakin parah, Zou pergi semula ke klinik 'pakar' berkenaan tetapi kecewa apabila orang yang dicari sudah berpindah.

"Justeru, saya pergi mendapatkan rawatan di hospital biasa," katanya.

Sementara itu, Dr Sying Wan dari Hospital Ortopedik Nianlun di ibu negeri Hunan, Changsha berkata, dia tidak pernah menemui kes seperti dialami Zou.

"Mula-mula saya tak tahu apa objek ada dalam badan Zou ketika melihat salinan x-ray sehinggalah dia menceritakan apa yang berlaku," katanya.

Menurut Dr Sying, setiap butir permata itu menyebabkan tulang Zou mati, termasuk di sendi pinggulnya yang tidak dapat diselamatkan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Polis Israel ceroboh al-Aqsa

Posted: 25 Feb 2014 10:02 AM PST

Baitulmaqdis: Polis Israel semalam menceroboh masuk ke halaman Masjid al-Aqsa di sini, kononnya untuk menangkap penunjuk perasaan Palestin yang melontar batu ke arah mereka.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld memberitahu media, pihaknya terpaksa menggunakan bom asap bagi menyuraikan penunjuk perasaan itu yang membantah rancangan Yahudi untuk merampas kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Temple Mount (Haram al-Sharif) dalam kalangan penganut Yahudi, daripada penduduk Islam Palestin.

Menurutnya, dua anggota polis cedera terkena batu yang dilontar itu.
"Polis dikerah ke Temple Mount tetapi ia tidak mengganggu pengunjung ke kawasan berkenaan," katanya.

Foto

SEORANG wanita Palestin bertengkar dengan anggota keselamatan Israel yang menceroboh kawasan sekitar Masjid al-Aqsa, semalam.

Parlimen Israel dijangka membahaskan rang undang-undang baru yang diusul anggota Parlimen Moshe Feiglin, ahli konservatif parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengisytiharkan kedaulatan negara Yahudi ke atas kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa.

Bagaimanapun, tiada undian dibuat pada akhir perbahasan itu. Netanyahu menentang undang-undang berkenaan dan pengkritik berkata, ia tidak akan mendapat banyak sokongan.

Halaman Masjid al-Aqsa atau Haram al-Sharif menjadi kawasan penting kepada umat Islam dan penduduk Yahudi.

Terletak di atas plaza tembok barat, ia menempatkan Kubah Batu dan Masjid al-Aqsa yang menjadi tempat suci ketiga umat Islam.

Ia juga menempatkan kuil pertama dan kedua Yahudi.

Kawasan itu berada di timur Baitulmaqdis yang ditadbir pihak berkuasa agama Islam.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Mesir musnah terowong di Gaza

Posted: 25 Feb 2014 10:00 AM PST

Ramallah: Tentera Mesir memusnahkan beberapa lagi terowong yang digunakan untuk menyeludup di sepanjang laluan Salah Eddin yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, baru-baru ini.

Agensi berita Palestin, Ma'an memetik kenyataan sumber keselamatan Mesir sebagai berkata, tentera memusnahkan 10 terowong di sepanjang laluan yang bersempadan dengan Rafah minggu lalu.

Sumber itu berkata, tentera sudah memusnahkan 1,113 terowong sejak kerajaan Mesir memulakan kempen menentang kumpulan militan yang dilancarkan awal Ogos tahun lalu di utara Semenanjung Sinai.

Menurut sumber itu, tentera Mesir membentuk zon penampan seluas dan sedalam 13 kilometer di sepanjang sempadan terbabit dalam usaha untuk mencegah penyeludupan dan pencerobohan serta mengelak serangan militan terhadap pasukan keselamatannya di Semenanjung Sinai.

Terowong berkenaan didakwa ditaja kerajaan Hamas yang mentadbir Gaza dan digunakan untuk menyeludup barangan keperluan penduduk wilayah itu dari Mesir.

Ia disifatkan sebagai 'penyambung hayat' utama bagi 1.7 juta penduduk Gaza.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Ubah kediaman jadi rumah pelacur

Posted: 25 Feb 2014 10:00 AM PST

Riyadh: Polis Arab Saudi semalam menahan seorang wanita tempatan, dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya kerana disyaki mengubah kediaman mereka menjadi sarang maksiat.

Wanita terbabit yang berusia 50-an melacurkan anak perempuannya, manakala anak lelakinya dipaksa mencari pelanggan yang kebanyakannya pekerja asing.

Akhbar melaporkan wanita itu yang mengenakan bayaran SR500 (RM437) untuk khidmat pelacur di kediamannya di utara bandar Hafr al-Batin dipantau penguat kuasa Suruhanjaya Pencegah Maksiat sejak beberapa bulan lalu.

"Penguat kuasa akhirnya berjaya memasuki kediaman wanita itu bersama-sama pelanggan warga asing yang ditahan sebelum ini.

"Dia enggan membenarkan rakyat tempatan memasuki rumahnya, tetapi warga asing terbabit meyakinkannya bahawa pegawai penguat kuasa itu juga mahu mencari keseronokan," lapor akhbar harian berbahasa Arab, Sabq.

Apabila mereka masuk dan memberinya sejumlah wang, anggota penguat kuasa lain menyerbu kediaman itu dan menahan wanita terbabit dan ketiga-tiga anaknya, lapor Sabq.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Polis wanita mati selepas kena tampar

Posted: 25 Feb 2014 09:59 AM PST

Riyadh: Seorang polis wanita Saudi mati selepas ditampar oleh rakannya ketika bergaduh.

Pemeriksaan menunjukkan mangsa diserang darah tinggi ketika kejadian.

Anggota itu baru tiba untuk tugas syif malam di balai polis di Makkah apabila dia bertengkar dengan seorang lagi anggota polis wanita.

"Mangsa ditampar di muka menyebabkan dia rebah.

Rakannya yang lain mengejarkan dia ke hospital tetapi dia mati tidak lama selepas itu.

"Doktor berkata dia mengalami tekanan darah tinggi," lapor akhbar tempatan, Makka.

Rakan yang menampar mangsa ditahan tetapi laporan forensik berkata, tindakannya menampar mangsa tidak boleh menyebabkan dia mati.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Saudi mahu musnah tapak rumah nabi

Posted: 25 Feb 2014 09:59 AM PST

Kaherah: Pihak berkuasa Arab Saudi dikatakan merancang memusnahkan kawasan yang dipercayai menjadi tapak rumah tempat Nabi Muhammad (SAW) lahir sebagai sebahagian daripada projek pembangunan.

"Lokasi bersejarah terakhir di negara itu ialah tempat kelahiran Nabi Muhammad (SAW) dan ia amat penting kepada masyarakat Islam sedunia," kata sejarawan dan Pengarah Eksekutif Yayasan Penyelidikan Warisan yang berpangkalan di Britain, Dr Irfan al-Alawi.

"Ramai tidak menyedari terdapat rancangan memusnahkan kawasan itu," katanya.

Menurutnya, rancangan terbaru untuk memusnahkan tapak itu yang kini menempatkan perpustakaan kecil dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks moden, termasuk kediaman imam dan istana diraja.

Perpustakaan kecil yang dibina pada 1950-an itu terletak di atas atas tapak yang dipercayai ulama sebagai tempat kelahiran Nabi Muhammad (SAW).


Pemimpin Saudi yang menafikan Nabi Muhammad dilahirkan di situ menentang sebarang rancangan pemuliharaan kawasan sejarah yang mempunyai kaitan dengan Rasulullah atas alasan ia akan dijadikan tempat penyembahan.


Keluarga diraja Saudi tahun lalu menolak rancangan awal untuk menggantikan kawasan bersejarah itu dengan stesen kereta api untuk kegunaan jemaah haji atau membina perpustakaan baru.

Bagaimanapun, syarikat yang terbabit dalam pembinaan sekitar Masjidil Haram berkata, sebuah kompleks moden, termasuk sebuah istana dan kediaman imam akan dibina di kawasan itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Petani bakar diri kerana tuntut tanah

Posted: 25 Feb 2014 08:34 AM PST

Dispur: Bosan dengan kegagalan menyelesaikan pertikaian mengenai pemilikan tanah, seorang petani Assam membakar dirinya sendiri dan mati, semalam.

Prabin Boro, 45, mencurah petrol pada badannya sebelum menyalakan api selepas kerajaan negeri Assam enggan mengeluarkan surat pemilikan kepada penduduk kawasan pergunungan di Guwahati.

Dia dikejarkan ke Hospital Kolej Perubatan Gauhati kerana mengalami melecur pada seluruh tubuh, tetapi disahkan mati tidak lama kemudian.

Isterinya, Purnima, berkata, Boro ada memberitahu rancangannya untuk mengorbankan dirinya untuk kepentingan orang lain.

Foto

KERAJAAN negeri memutuskan menolak permohonan penduduk yang tinggal di sekitar Guwahati.

Foto

AKSI bunuh diri memang sering berlaku dalam sejarah India dan 800 pelajar pernah membakar diri antara tempoh 2012 hingga 2013.


"Saya memujuknya supaya jangan meneruskan rancangan itu kerana kami perlu membesarkan tiga anak sedia ada.


"Bagaimanapun Boro berikrar untuk menjadikan dirinya korban atas perjuangan yang lebih besar supaya orang ramai diberi hak ke atas tanah masing-masing," katanya.

Purnima kini memulakan proses perundangan ke atas dua ahli politik - Ketua Menteri Assam, Tarun Gogoi dan menterinya, Prithibi Majhi - kerana mendakwa mereka bertanggungjawab atas kematian Boro.

Selepas berita kematian Boro tersebar, orang ramai mengadakan protes di seluruh Assam membantah keputusan kerajaan.

Media tempatan melaporkan, lebih 60 aktivis ditangkap ketika menghalang laluan di lebuh raya dan jalan kereta api utama negeri itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

WhatsApp bakal perkenal mesej suara

Posted: 25 Feb 2014 08:29 AM PST

Barcelona: Perkhidmatan mesej popular untuk telefon pintar, WhatsApp , tidak lama lagi menawarkan kemudahan panggilan suara.

Ketua Pegawai Eksekutif WhatsApp Jan Koum berkata perkhidmatan panggilan suara itu akan mula disesuaikan untuk telefon Android dan iPhone musim panas ini sebelum diikuti untuk telefon BlackBerry, Microsoft dan Nokia.

"Kami akan memperkenalkan mesej suara dalam WhatsApp pada suku kedua tahun ini," katanya di sebuah kongres dunia semalam.

Kata Koum, dia yakin perkhidmatan itu adalah yang terbaik berbanding produk lain.

"Kami menggunakan jalur lebar paling kecil," katanya.


Ketika ini WhatsApp memang mempunyai fungsi suara tetapi cuma dalam bentuk rakaman.

Kali ini ia dicipta supaya dapat berfungsi secara langsung.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Tiang konkrit hempap pekerja

Posted: 25 Feb 2014 08:28 AM PST

Bangkok: Sekurang-kurangnya 11 pekerja maut dan 18 lagi cedera apabila sebatang tiang konkrit bersaiz besar tumbang di satu tapak pembinaan di pinggir Bangkok, kata polis.

Dua daripada mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital tempatan.

Pegawai polis daerah Bang Phli, Apiwat Kasorn berkata, kebanyakan mayat sudah dikeluarkan dari runtuhan di tempat kejadian.

Sehingga petang semalam, satu mayat masih belum ditemui.

Foto

PEYELAMAT mencari mangsa yang tertimbus selepas sebatang tiang konkrit tumbang di Bang Pli, semalam.


Kata Apiwat, pekerja terbabit sedang membina sebuah hospital awam dan terletak di kawasan bersempadan dengan Bangkok.


"Tujuh mangsa mati di tempat kejadian dan empat lagi di hospital," katanya.
Menurut Apiwat, ada antara korban warga asing.

Sepasukan penyelamat sukarela pula menyatakan 10 orang terbunuh.
Jurucakapnya berkata, mereka menggunakan jengkaut untuk mengalihkan sisa runtuhan dan mencari mayat.

Kumpulan hak asasi buruh sudah memberi amaran mengenai standard keselamatan rendah di sektor pembinaan Thailand.

Turut dipertikaikan, gaji rendah yang diberi kepada buruh, terutama di kalangan warga luar dari Myanmar, Kemboja dan Laos.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Tapak protes diserang

Posted: 25 Feb 2014 08:25 AM PST

Bangkok: Satu letupan dan tembakan berlaku berhampiran tapak protes antikerajaan semalam selepas pemimpin tunjuk perasaan memberi amaran, penyokong kerajaan merancang membawa militan bersenjata ke Bangkok.

Menurut Ketua Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanathabutr, kejadian berlaku di Taman Lumpini pada awal pagi.

Sumber perubatan mendakwa dua lelaki cedera dalam kejadian itu.

Kata Paradorn, letupan dan tembakan itu berlaku pada jam 1 pagi.

"Bagaimanapun kami tidak tahu di mana dan dari mana ia dilakukan," katanya.


Satu letupan lain juga berlaku berhampiran pejabat Parti Demokrat tetapi tiada kecederaan dilaporkan.


Selepas berminggu-minggu menghalang beberapa laluan utama di Bangkok, protes antikerajaan sesekali diganggu dengan serangan bom dan tembakan.

- Reuters Ahad lalu tiga orang maut dalam letupan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26