Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kos LTdL jimat hampir RM2j

Posted: 04 Feb 2014 11:09 AM PST

Kuala Lumpur: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 mencipta satu lagi sejarah apabila buat pertama kali sepanjang 19 edisinya, perbelanjaan penganjuran tahun ini berjaya dikurangkan hampir RM2 juta.

Selepas melakarkan sejarah apabila buat pertama kali berjaya membawa enam pasukan Pro Tour bersaing dalam perlumbaan terbesar Asia, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal menjanjikan kemeriahan LTdL tetap sama biarpun perbelanjaan dapat dikurangkan.


Pengurangan bajet penganjuran itu didorong beberapa faktor antaranya kekuatan barisan perunding yang berjaya membawa pasukan Pro Tour dengan jumlah bayaran lebih rendah selain pengalaman serta pengkhususan kerja mereka terbabit dalam LTdL.

"Selepas 18 penganjuran inilah kali pertama kami berjaya mengurangkan perbelanjaan. Bagaimanapun penganjuran LTdL bukan untuk mencari untung sebaliknya membantu kerajaan membelanjakan jumlah wang itu secara berhemah.


"Kami bukan syarikat swasta yang menganjurkan perlumbaan ini untuk mencari keuntungan, tapi saya mempunyai sasaran sendiri dan jika boleh mahu menjadikan LTdL ini dianjurkan tanpa bantuan kerajaan, itu sasaran sebenar saya," katanya. Emir yang ditemui ketika Majlis Tajaan dari Telekom Malaysia (TM) berkata, tahun lalu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam usaha menganjurkan LTdL dengan tahun ini kos berkenaan dikurangkan kepada RM18 juta dan tidak menolak kemungkinan KBS sekadar mengeluarkan RM15 juta selepas ditolak tajaan syarikat swasta lain.


Mengimbau kembali sejarah penganjuran LTdL, perlumbaan berstatus Hors itu hampir terkubur pada 2007 apabila bergelut dengan masalah hutang.

Foto

KETUA Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman (tengah) menyerahkan tajaan kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah (tiga dari kiri) di Bukit Jalil, semalam.

LTdL hampir digantung Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) yang memberi amaran kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menggantung keanggotaan negara sebagai ahli gabungannya atau menggantung hak negara menganjurkan sebarang kejohanan berbasikal pada masa akan datang jika hutang itu tidak diselesaikan.


Ia disebabkan penganjurnya iaitu syarikat swasta First Cartel Sdn Bhd yang dilanda hutang tertunggak RM10.2 juta dan bermula detik itu kerajaan mengambil alih sepenuhnya penganjuran LTdL demi maruah negara. LTdL salah satu daripada lima kejohanan utama dunia yang diiktiraf UCI dan mendapat pengiktirafan 'Hors Classe' dan pengiktirafan tertinggi kejohanan peringkat 'Continental'.

Sementara itu, TM meneruskan komitmen dengan pelumba terbaik tempatan yang berjaya muncul sebagai Raja Pecut, Raja Bukit dan pelumba tempatan terbaik akan membawa pulang pakej bernilai RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

'T-Team putar cerita sebenar'

Posted: 04 Feb 2014 10:33 AM PST

Johor Bahru: Jurulatih Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Cesar Ferrando Jimenez semalam membuat laporan polis berhubung insiden di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.

Peguam dilantik Johor DT, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Sentral itu bertujuan menjelaskan perkara sebenar membabitkan insiden berkenaan.


Katanya, dalam laporan itu, Jimenez mendakwa beliau menjadi mangsa serangan jurulatih kecergasan T-Team Stefano Impagliazzo dan pemain import T-Team Evaldo Rodrigues.

"Jimenez sudah membuat laporan polis menyatakan dia sebenarnya yang diserang jurulatih kecergasan T-Team (Impagliazzo) dan juga seorang pemain pasukan itu yang memakai jersi nombor 16 (Rodrigues).


"Kolar baju T Jimenez ditarik jurulatih kecergasan T-Team itu manakala pemain dengan jersi nombor 16 itu menolaknya.


"Selain daripada insiden itu, tiada apa yang berlaku. Tapi, perkara itu kemudian diputarbelitkan T-Team," katanya ketika ditemui di depan Balai Polis Sentral, semalam.

Foto

JIMENEZ (kanan) bersama Baljit (tengah) dan Mohd Fahmy menunjukkan laporan polis semalam.

Selain Jimenez, turut hadir Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya dan Naib Presiden 2 PBNJ, On Jabar.


Menurut Baljit, pihaknya menyerahkan kes itu kepada polis dan bersedia memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

Katanya, polis akan menyiasat laporan itu mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan niat dan ugutan jenayah.


"Pihak kami akan melihat perkara ini dengan teliti dan akan mengambil tindakan selanjutnya jika ada sebarang fitnah atau tohmahan yang tidak berasas," katanya.


Pada aksi pusingan kedua Piala FA Sabtu lalu, pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan selepas tamat separuh masa pertama atas alasan bimbangkan keselamatan mereka. Ketika itu, Johor DT sedang mendahului 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

'Kami hanya kuda kecil'

Posted: 04 Feb 2014 09:01 AM PST

Manchester, England: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menggambarkan pasukannya sebagai 'kuda kecil' dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekalipun meraih kemenangan membanggakan ke atas Manchester City di Stadium Etihad, awal pagi semalam.

Chelsea berkunjung ke Manchester menyedari kekalahan akan menyebabkan mereka ketinggalan enam mata di belakang Citizens, namun mereka menang 1-0 menerusi rembatan kencang Branislav Ivanovic pada babak pertama sekali gus menyamakan pungutan mata dengan pencabar mereka itu.


Kedua-dua kelab kini ketinggalan dua mata di belakang Arsenal dengan berbaki 14 perlawanan sebelum musim berakhir, namun Mourinho menegaskan pasukannya masih belum lengkap.

Ditanya jika perebutan kejuaraan kini satu perlumbaan tiga penjuru, beliau membalas: "Dua kuda dan satu kuda kecil, yang masih memerlukan susu dan belajar bagaimana untuk melompat. Kuda yang boleh berlumba musim depan." Apabila dimaklumkan Chelsea memiliki peluang menjuarai liga, beliau menjawab: "Saya tidak bersetuju.


"Kami kehilangan mata di laman sendiri menentang West Brom dan West Ham, kami kecundang di Stoke dan Newcastle.


"Kami sebuah pasukan yang sedang berkembang, tapi corak persembahan seperti ini membantu pasukan untuk meningkat. Secara taktikal dan mental, saya fikir ia amat fantastik." City memenangi semua 11 perlawanan laman sendiri dalam liga sebelum ini, menjaringkan 42 gol selain memenangi 17 daripada 18 perlawanan di Etihad dalam semua pertandingan, hanya kalah di tangan juara Eropah, Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

Foto

IVANOVIC (tengah) jaring gol tunggal perlawanan.

Mereka lebih banyak menguasai pegangan bola menentang Chelsea namun pelawat ternyata lebih berbisa.


Selepas menangani tekanan awal tuan rumah, Chelsea mendahului pada minit ke-32 apabila pertahanan Serbia, Ivanovic merembat leret masuk dari luar kotak penalti dan pelawat turut menyaksikan tiga percubaan terkena palang gol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Kinnear letak jawatan

Posted: 04 Feb 2014 09:00 AM PST

London: Joe Kinnear meletakkan jawatan selaku pengarah bola sepak Newcastle United menerusi pengumuman yang dibuat kelab Liga Perdana itu semalam.

Kinnear, 67, diberikan kontrak selama tiga tahun pada Jun tahun lalu dan bertanggungjawab mengenai perpindahan pemain namun beliau hanya berjaya mengambil dua pemain secara pinjaman, Loic Remy dan Luuk de Jong.


Penyokong Newcastle juga berang dengan keputusan kelab menjual bintang tengah Yohan Cabaye kepada Paris Saint-Germain minggu lalu tanpa membawa masuk sebarang pengganti.

"Newcastle United mengesahkan Joe Kinnear sudah meletakkan jawatan petang tadi (semalam) sebagai pengarah bola sepak berkuat kuasa serta-merta," jelas Newcastle menerusi satu kenyataan semalam.


"Kelab ini tidak akan memberi sebarang penjelasan lanjut mengenainya." Kinnear sebelum ini menghabiskan masa selama lima bulan selaku pengurus kelab itu sebelum meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan pada 2009 dan bukanlah individu popular dalam kalangan penyokong Magpies.


Beliau memulakan tugas selaku pengurus kelab itu dengan kontroversi berbalah dengan wartawan akhbar ketika sidang media dan dikritik kerana didakwa menggunakan pengaruhnya untuk kembali ke Newcastle tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Pellegrini tak cemas

Posted: 04 Feb 2014 09:00 AM PST

Manchester, England: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini menganggap kesilapan pemainnya mensia-siakan banyak peluang menjadi punca kekalahan 0-1 kepada Chelsea di laman sendiri awal pagi semalam.

City melakukan 25 percubaan dalam aksi menentang pencabar kejuaraan di Stadium Etihad namun hanya tiga percubaan tepat ke sasaran dalam tempoh 90 minit permainan.


Pelawat dilihat lebih mengancam apabila tiga daripada 18 percubaan berjaya mencemaskan Joe Hart di gawang City dan tiga lagi percubaan terkena palang.

City turut berpeluang menyamakan kedudukan di hujung permainan menerusi percubaan David Silva dan Steven Jovetic namun gagal menewaskan Petr Cech.


Pellegrini mengakui ketiadaan Sergio Aguero dan Fernandinho yang mengalami kecederaan amat dirasai.


Pasukan tuan rumah juga tidak dapat menurunkan pemain tengah Samir Nasri dan Javi Garcia serta penjaring terbanyak Sergio Aguero akibat kecederaan yang menjejaskan persembahan mereka.

Foto

PERTAHANAN Chelsea, Gary Cahill (dua dari kanan) bersaing merebut bola dengan pemain City, Vincent Kompany (tiga dari kanan) ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Etihad, semalam.

"Sememangnya Fernandinho pemain penting buat kami," katanya.


"Bukan hanya Fernandinho, anda mesti memiliki Samir Nasri, Aguero, Javi Garcia kerana jika Fernandinho tidak boleh bermain, Javi Garcia boleh bermain di posisinya." City tidak pernah gagal menghasilkan gol di gelanggang sendiri dalam kempen liga sejak seri 0-0 dengan Birmingham City pada November 2010 namun Pellegrini tidak cemas dengan kekalahan itu.

"Ia perlawanan yang penting untuk Chelsea bukan kami," katanya.


"Jika kami menang, kami akan berada enam mata di depan mereka.Kami kini dua mata di belakang Arsenal dan masih mempunyai 39 mata untuk direbut." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Meulensteen yakin selamatkan musim Fulham

Posted: 04 Feb 2014 08:59 AM PST

London: Pengurus Fulham, Rene Meulensteen menganggap pasukannya perlu memenangi separuh daripada baki perlawanan Liga Perdana dalam perebutan untuk terus kekal bersaing dalam liga utama itu.

"Kami perlu menang separuh daripada 14 baki perlawanan itu," katanya yang menyaksikan Fulham kini ketinggalan empat mata daripada zon selamat menjelang perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA di laman sendiri menentang Sheffield United awal pagi esok sebelum berkunjung ke Manchester United, Ahad ini.


Kelab barat London itu kalah 0-3 di tangan Southampton dalam kempen liga pada aksi di gelanggang sendiri Sabtu lalu yang mengakibatkan mereka terperosok di tangga terbawah liga.

Meulensteen, 49, membawa masuk tujuh pemain dan melepaskan lapan pemain sebelum pasukannya kalah dalam empat perlawanan berturut-turut liga bagaimanapun pengendali dari Belanda itu tidak berasa tertekan.


"Anda tahu mengenai bola sepak dan saya fikir saya tidak perlu bimbang," katanya sambil menegaskan ramai pengurus Liga Perdana berdepan risiko kehilangan jawatan mereka.


"Mungkin 16 pengurus dalam bahaya tapi itulah lumrah dalam bola sepak," jelas Muelensteen yang gagal menghalang kemerosotan Fulham sejak menggantikan rakan senegaranya dari Belanda, Martin Jol dua bulan lalu.

Pemain baru yang dibawa masuk sebelum tarikh tutup perpindahan pemain baru-baru ini, Kostas Mitroglou, John Heitinga, Larnell Cole dan Ryan Tunnicliffe tidak diturunkan ketika gandingan Southampton dari England Adam Lallana, Rickie Lambert dan Jay Rodgriguez menghasilkan gol pada babak kedua di Craven Cottage. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Impak pemain gantian

Posted: 04 Feb 2014 08:58 AM PST

Madrid: Pemain gantian Jeremy Perbet (gambar) menyumbat dua gol bagi membantu Villarreal mengatasi Osasuna 3-1 pada pertembungan La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Perbet dan Manu Trigueros menjaringkan gol pada awal babak kedua untuk membolehkan Yellow Submarine mendahului 2-0 dan gol kedua pemain Perancis itu membuktikan penguasaan mereka sekalipun Oriol Riera menyumbat gol sagu hati pada lewat perlawanan.


Kemenangan itu membolehkan pasukan tangga kelima Villarreal berada tiga mata di belakang Athletic Bilbao dalam perlumbaan merebut tiket terakhir ke Liga Juara-Juara manakala Osasuna dua mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-16.

Tandukan awal Ikechukwu Uche menerusi sepakan sudut Manu Trigueros tersasar dan kemudian merembat lemah dari jarak 20 ela yang mudah diselamatkan penjaga gol Andres Fernandez.


Perlawanan itu kehilangan sinarnya apabila Uche dikeluarkan kerana cedera sebelum rehat.


Bagaimanapun penggantinya Perbet melakukan impak hanya seminit babak kedua berlangsung apabila dia menyambut hantaran Moises Gomez sebelum merembat leret melepasi Fernandez.

Foto

Jeremy Perbet

Percubaan Gomez tersasar sebelum Trigueros yang menerima lorongan cantik Giovani Dos Santos menjadikan kedudukan 2-0 menerusi tendangan leret dari jarak 20 ela.


Giovani kemudian terlepas peluang buat Villarreal, namun tidak lama kemudian mereka mendapat gol ketiga apabila lorongan Jonathan Pereira membolehkan Perbet merembat ke penjuru gol susulan sepakan sudut.

Osasuna akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol tiga minit sebelum tamat apabila Riera bijak menyepak masuk hantaran silang Emiliano Armenteros, namun ia sudah terlambat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Gol menarik Lopez julang Sampdoria

Posted: 04 Feb 2014 08:58 AM PST

Genoa, Itali: Pemain Argentina, Maxi Lopez melakukan kemunculan semula menakjubkan bersama kelab Serie A, Sampdoria apabila menjaringkan gol hebat bagi memastikan kemenangan 1-0 ke atas musuh setempat Genoa, awal pagi semalam.

Gol pemain berusia 29 tahun itu adalah gol pertamanya sejak kembali daripada kekecewaan beraksi bersama kelab pencabar Serie A, Catania menyaksikan pemenang melonjak dari zon penyingkiran sekali gus ke kedudukan pertengahan liga.


Mereka unggul lapan mata berbanding pasukan ketiga tercorot Livorno dan kemenangan itu meneruskan kebangkitan mereka sejak Sinisa Mihajlovic dari Serbia mengambil alih sebagai jurulatih hujung November lalu.

Gol Lopez membantu Sampdoria membalas dendam kekalahan 0-3 pada pertembungan jiran setempat pertama Genoa awal musim ini dan membolehkan mereka merapatkan kedudukan kepada dua mata berbanding lawan.


Lopez yang sukar menyesuaikan diri dengan sebuah kelab sejak dia berpindah ke Eropah selepas meninggalkan River Plate menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-24 apabila melakukan hantaran satu dua dengan Eder sebelum merembat masuk.


Lopez turut beraksi bersama Barcelona, Mallorca, FC Moscow, Gremio dan Catania dalam tempoh sembilan tahun terakhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Gomez makin pulih, kembali berlatih

Posted: 04 Feb 2014 08:57 AM PST

Rome: Penyerang Jerman, Mario Gomez kembali berlatih dengan pasukan utama kelab Serie A, Fiorentina lima bulan selepas cedera lutut kanannya, umum kelab itu semalam.

"Mario Gomez sudah melengkapkan proses pemulihannya dan boleh meneruskan latihan pada Rabu (hari ini) bersama pasukan," jelas Fiorentina dalam laman web rasmi mereka.


Gomez mengalami kecederaan itu pada pertengahan September lalu dalam penampilan ketiganya bersama kelab itu dengan ramalan awal menyatakan dia hanya berehat beberapa minggu.

Pemain berusia 28 tahun itu tiba di Fiorentina musim panas lalu dari Bayern Munich dengan kontrak empat tahun serta anggaran yuran perpindahan 15.5 juta euro (RM69.7 juta).


Dia berpindah ke Serie A selepas menjaringkan 75 gol dalam 115 perlawanan Bundesliga bersama Bayern, namun dia menghabiskan hampir sepanjang musim 2012-13 di bangku simpanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

Shakir benam Sabah

Posted: 04 Feb 2014 08:55 AM PST

Kota Bharu: Kelantan terpaksa berhempas pulas untuk menjinakkan Sabah dengan kemenangan tipis 2-1 bagi melayakkan diri ke suku akhir saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Penyerang gantian, Ahmad Shakir Ali menjadi penyelamat The Red Warriors (TRW) apabila menjaringkan gol kemenangan tuan rumah di penghujung perlawanan.


Bermula babak pertama, Kelantan beraksi garang apabila mula mengasak kubu Sabah seawal minit ke-5 menerusi gerakan pemain Tengku Hasbullah Raja Hassan yang melorongkan bola kepada penyerang import Mohamad Ghaddar namun percubaan pemain Lubnan itu sedikit tersasar ke kiri gawang.

Minit ke-13, tuan rumah terus garang, malah kali ini menerusi pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang merembat kencang dari luar kotak penalti namun percubaannya itu sekadar menggegarkan palang gol.


Tiga minit berselang, giliran pelawat mengatur serangan balas menerusi penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman yang melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun tersasar ke kiri gawang.


Minit ke 22, Rozaimi sekali lagi berpeluang meletakkan Sabah di depan namun rembatan kencangnya melepasi palang gol.

Foto

SHAWKY (kiri) jaringkan gol pembukaan buat Kelantan.

Bagaimanapun di hujung babak pertama, tuan rumah berjaya memecah kebuntuan apabila Shawky Aly menolak masuk ke gawang ketika berlaku kekalutan di dalam kotak penalti sekali gus membolehkan Kelantan berada di depan sehingga tamat babak pertama.


Sepuluh minit selepas babak kedua bermula, Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi jaringan ketua pasukan, Rosdin Wasli yang menolak masuk sepakan percuma Mitrovic Srecko.

Minit ke-72, penyerang gantian, Ahmad Shakir berpeluang menjaringkan gol kedua Kelantan selepas menerima hantaran lintang Mohd Badhri Radzi namun percubaannya tidak menemui sasaran. Ahmad Shakir sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang pada minit ke-82 untuk meletakkan Kelantan di depan apabila gagal menyudahkan umpanan Ghaddar di dalam kotak penalti.


Bagaimanapun peluang ketiga yang diperoleh Ahmad Shakir di hujung perlawanan dimanfaatkan sepenuhnya pemain berkenaan yang merembat kencang bola muntah dari dakapan penjaga gol, Irwan Jamil untuk memastikan kemenangan Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

No comments:

Post a Comment