Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Anak maut dihempap TV

Posted: 01 Feb 2014 03:41 PM PST

Butterworth: Sambutan Tahun Baru Cina yang sepatutnya meriah buat sepasang suami isteri bertukar duka apabila anak perempuan tunggal mereka maut selepas dihempap televisyen bersaiz 29 inci di rumah pasangan itu di Taman Chai Leng Park, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, Chew Hii Zhen berusia tiga tahun mati dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat cedera di kepala dan muka selepas dihempap televisyen.


Menurut sumber, ketika itu nenek mangsa mahu merakam foto cucunya dan kanak-kanak berkenaan berdiri di depan televisyen yang diletakkan di atas kabinet yang berketinggian kira-kira satu meter.

"Bagaimanapun, belum sempat merakam foto, tiba-tiba kabinet berkenaan condong, menyebabkan mangsa jatuh dalam keadaan mukanya tersembam ke lantai sebelum televisyen menghempap kepalanya.


"Kejadian itu berlaku di ruang tamu rumah mereka dan ibu mangsa yang berada di dapur berlari untuk menyelamatkan anaknya, namun keadaan kanak-kanak terbabit ketika itu kritikal," katanya.


Menurutnya, ketika kejadian, bapa kanak-kanak terbabit yang bekerja sebagai tukang paip tiada di rumah dan datuk mangsa segera membawa cucunya ke hospital.

Foto

IBU bapa mangsa masih bersedih ketika menunggu mayat anak mereka dibedah siasat.

Bagaimanapun, setibanya di hospital, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


"Pemeriksaan awal mendapati ada kesan hempap di bahagian kanan muka kanak-kanak terbabit dan mata kanannya lebam akibat impak kuat daripada televisyen yang menimpanya.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat, namun ahli keluarganya hanya akan menuntut mayat esok (hari ini)," katanya.


Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di HSJ mendapati ahli keluarga mangsa iaitu ibu bapanya serta datuk dan neneknya masih bersedih dengan kejadian dan enggan ditemubual.


Nenek mangsa yang ketika itu dilihat tidak dapat menahan kesedihan hanya mampu meraung dan memanggil nama cucunya sebelum ditenangkan anak dan menantunya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintendan Baharom Abu mengesahkan menerima laporan dan juga kejadian.


Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02

Pecut hingga 268km/j

Posted: 01 Feb 2014 01:40 PM PST

Kuala Lumpur: Bagaikan di litar lumba, ada pemilik kereta mewah memandu hingga mencapai kelajuan 268 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya tanpa memikirkan keselamatan pengguna lain.

Berdasarkan semakan Metro Ahad dengan pihak berkuasa, rekod pemanduan paling laju sepanjang 2013 dicatat sebuah kereta Lotus dipandu seorang rakyat tempatan pada Julai lalu pada laluan had laju 110 kmj.

Selain pemandu tempatan, banyak kes pemanduan melebihi had laju dicatat kenderaan mewah dari negara jiran yang mengambil kesempatan menguji kehebatan jentera mereka sebaik memasuki lebuh raya negara ini.

Pemandu kenderaan mewah terbabit seolah-olah tidak takut undang-undang jalan raya di negara ini kerana bagi mereka, membayar saman sudah memadai.


Ini terbukti apabila statistik diperoleh daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Januari sehing­ga Ogos 2013 mendapati 456,488 saman dikeluarkan bagi kesalahan memandu melebihi had laju di seluruh negara, sebahagiannya membabitkan kenderaan mewah.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02

Terlalu laju punca utama nahas

Posted: 01 Feb 2014 01:38 PM PST

Kuala Lumpur: Kajian dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati punca utama kemalangan di lebuh raya disebabkan kenderaan dipandu terlalu laju sehingga hilang kawalan.

Ketua Pengarah MIROS Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, punca lain termasuk memandu meng­gunakan telefon bimbit, kecuaian serta kenderaan tidak diselenggara dengan betul sebelum pemanduan.

Menurutnya, pihak­nya menyokong had laju ditetap­kan kerajaan kerana ia sesuai dengan struktur jalan raya di negara ini dan dapat mengelak kemala­ngan jika pemanduan dilakukan mengikut had laju.

Katanya, jika memandu mengikut had laju ditetapkan, impak kepada kemalangan kurang dan kemungkinan tidak membabitkan kemalangan nyawa.


Bagi menangani masalah itu, Dr Wong berkata, Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memadai untuk mengajar pesalah trafik supaya tidak mengulangi kesalahan sama.


"Memandu melebihi had laju bukan saja membahayakan nyawa sendiri, tetapi juga orang lain. Saya percaya sistem denda seperti KEJARA mampu mendidik pemandu kenderaan supaya lebih bertimbang rasa di jalan raya," katanya.

Menurutnya, di peringkat antarabangsa, sistem kompaun mengikut pendapatan diamalkan di Switzerland dianggap adil tetapi kurang sesuai dilaksanakan di Malaysia.

"Mengikut sistem itu, pesalah trafik yang mempunyai pendapatan tinggi dikenakan kompaun lebih tinggi berbanding pesalah bergaji rendah.

"Itu boleh dikatakan adil kerana pemilik kenderaan mewah tidak akan lagi mengulangi kesalahan sama kerana bimbang mengalami kerugian daripada saman yang perlu dibayar.

"Namun di negara ini ia akan mendatangkan masalah kerana sistem itu akan membebankan banyak pihak, termasuk pihak berkuasa yang terpaksa menyemak latar belakang pendapatan pesalah sebelum mengeluarkan kompaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02

Gerudi tanah padam api

Posted: 01 Feb 2014 12:58 PM PST

Dungun: Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa menggerudi tanah untuk mendapatkan air dalam usaha memadam kebakaran 2.1 hektar hutan tanah gambut di Kampung Tok Kah, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa Bomba Norazizi Che Noh berkata, kaedah itu dibuat bagi menambah air memandangkan kebakaran hutan yang bermula sejak lima hari lalu itu semakin merebak.


"Sehingga jam 3 petang ini (semalam) hampir 2 hektar kawasan berjaya dipadam dengan menggunakan air daripada parit berhampiran, namun kami terpaksa menggerudi tanah di kawasan sekitar untuk menambah punca air.

"Kita khuatir tanah gambut ini terbakar semula dan kini berusaha memadam baki kawasan terbakar," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Katanya, kebakaran itu menyebabkan kawasan berdekatan, termasuk bandar Dungun, diselubungi asap tebal sehingga mengehadkan jarak pandangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02

Ditetak cuba perkosa isteri jiran

Posted: 01 Feb 2014 12:58 PM PST

Alor Setar: Seorang lelaki warga Bangladesh cedera di kaki kanan selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki apabila dipercayai cuba merogol isterinya di Kampung Teluk Wanjah, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12 tengah hari apabila lelaki berusia 40-an terbabit dikatakan merentap pakaian wanita berusia 50 tahun itu, menyebabkan mangsa menjerit meminta bantuan suaminya yang berada di belakang rumah.


Sumber berkata, suspek dikatakan masuk ke rumah wanita terbabit yang juga jirannya menerusi pintu depan tanpa menyedari suami mangsa berusia 60-an membelah buah kelapa di belakang rumah.

Menurutnya, sebelum kejadian, suspek dilihat mundar-mandir di depan rumah mangsa dengan berseluar panjang sebelum suspek didapati berkain pelikat.


"Lelaki berkenaan masuk ke dalam rumah lalu merentap pakaian mangsa, menyebabkan wanita itu menjerit sebelum suaminya muncul dari belakang lalu menetak kaki kanan suspek dengan parang.


"Suspek kemudian menumbuk dada suami wanita terbabit sehingga rebah sebelum melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan kerana cubaan rogol.


Katanya, suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/02

No comments:

Post a Comment