Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gol Rangel tak cukup

Posted: 25 Feb 2014 09:47 AM PST

Selayang: Hajat Selangor yang ingin memungut tiga mata penuh tidak kesampaian apabila hanya berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan wakil dari Indonesia, Arema FC pada pertemuan sulung kempen Piala AFC yang di saksikan kira-kira 12,000 penyokong setia Merah Kuning di Stadium Selayang, malam tadi.

Pengendali Selangor Mehmet Durakovic menunaikan janjinya sebelum ini apabila menurunkan kesemua empat awang importnya dengan buruan kemenangan penuh menjadi pertaruhan.

Kelibat 'Messi Indonesia' Andik Vermasyah, nyata sukar dikekang barisan pertahanan Arema yang diketuai Victor Igbonefa apabila mereka terpaksa menyekat pemain kebangsaan Indonesia itu dengan terjahan keras.

Penjaring terbanyak Liga Super yang juga penyerang Red Giants, Paulo Rangel tidak menunggu lama untuk meletakkan tuan rumah di depan. Berpunca gerakan kilat Selangor dari tengah padang, Andik bergerak solo sebelum melorongkan bola kepada Rangel yang mudah menyempurnakan hantaran itu buat tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-8.

Foto

RANGEL (gambar) jaring gol pembukaan perlawanan.


Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Suharno kembali menyusun rentak bagi mencari gol penyamaan. Namun segala usaha wakil dari Indonesia itu hanya gagal lantaran ketangkasan Hamsani Ahmad di gawang gol Selangor.


Bersambung babak kedua, Arema melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah.

Akhirnya gol yang di cari-cari menjelma. Kapten Arema, Ahmad Bustami menyelamatkan maruah pasukannya apabila sepakan percuma diambilnya terus menerjah ke jaring Selangor pada minit ke-72 untuk kedudukan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Dalam satu lagi pertemuan membabitkan kumpulan sama, pasukan SHB DA Nang membelasah Naziya Sports 5-1. Berikutan kemenangan itu pasukan Myanmar itu mendahului carta kumpulan F dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

TRW tempang tanpa tiga awang import

Posted: 25 Feb 2014 09:43 AM PST

Kota Bharu: Kelantan memulakan aksi pertama saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan 'langkah tempang' apabila turun tanpa tiga pemain import ketika berdepan Yangon United di Stadium Thuwunna, Myanmar hari ini.

Pasukan kendalian Steve Darby itu kehilangan dua penyerang, Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe serta pemain tengah, Mohamed Shawky Aly yang dibelenggu kecederaan. Ketiga-tiganya tidak dibawa ke Myanmar.

Bagaimanapun, Darby berkata, ketiadaan tiga pemain berkenaan tidak menjejaskan persiapan The Red Warriors (TRW) untuk memulakan aksi pertama di pentas antarabangsa musim ini menerusi saingan AFC.

Katanya, berikutan ketiadaan Ghaddar dan Forkey Doe, beliau menaruh kepercayaan terhadap dua penyerang tempatan, Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Fakri Saarani untuk merobek gawang tuan rumah.


"Kami kehilangan dua penyerang dan seorang pemain tengah kerana kecederaan. Saya terpaksa menurunkan pemain lain untuk mengisi kekosongan posisi itu dan saya harap pemain yang diberikan kepercayaan nanti dapat beraksi cemerlang.


"Saya yakin dengan Ahmad Shakir dan Ahmad Fakri kerana mereka sudah mendapat sentuhan jaringan, namun saya berharap pemain ini selesa beraksi dalam saingan AFC," katanya.

Kelantan meneruskan cabaran dalam saingan AFC buat kali ketiga berturut-turut, termasuk musim ini dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada 2012 ketika di bawah bimbingan bekas jurulatih, Bojan Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Terpaksa lupakan Alex

Posted: 25 Feb 2014 09:43 AM PST

Kelana Jaya: Datuk Ong Kim Swee akhirnya memutuskan untuk menggugurkan pemain Pahang Azamuddin Mohd Akil (gambar), bukan saja bagi aksi perlawanan persahabatan menentang Filipina, Sabtu ini, malah bagi perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Al-Ain, UAE, 5 Mac depan.

Keputusan itu dibuat selepas pemain yang mesra dengan panggilan Alex itu masih belum pulih daripada kecederaan kaki kanannya yang memaksa pengendali sementara Harimau Malaya itu mengambil langkah berkenaan.

"Selepas berbincang dengan doktor, Alex tak sempat untuk pulih. Dia masih sakit di bahagian kecederaan lamanya.

"Jadi saya buat keputusan untuk menggugurkannya daripada senarai ke Yaman," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Foto


Kim Swee bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menggantikan Alex dengan pemain lain kerana sudah kesuntukan masa selain meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain sedia ada.


"Masa amat suntuk untuk saya memanggil pemain lain. Ada beberapa pemain yang mampu menggalas tugas Alex, termasuklah Fakri (Ahmad Fakri Saarani) serta Baddrol (Bakhtiar) di bahagian kiri dan kanan.

"Jadi kami mempunyai pengganti dalam skuad sedia ada," katanya.

Apapun, Kim Swee menegaskan setiap pemain harus merebut peluang untuk diturunkan dan mereka yang diberi kepercayaan, harus membuktikan sesuatu.

"Saya juga akan mencuba kombinasi beberapa pemain di bahagian tengah pada pertemuan dengan Filipina nanti sebelum bertemu dengan Yaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

'Bincanglah dulu'

Posted: 25 Feb 2014 09:40 AM PST

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong mahu keputusan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dihormati.

Sambil menyifatkannya sebagai jalan terbaik untuk pasangan itu mencari angin baru bagi mengembalikan prestasi cemerlang mereka semula, beliau berharap Kien Keat yang sudah menghantar surat menarik diri daripada skuad kebangsaan berkuat kuasa 1 Mac serta Boon Heong yang seperti mahu mengikut jejak langkah rakannya itu, perlu terlebih dulu kembali berbincang dengan pengurusan BAM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Kedua-dua gandingan negara itu kini mencuri tumpuan selepas masing-masing secara terbuka menyatakan sudah tawar hati untuk berada dalam skuad kebangsaan kerana seperti tiada hala tuju selepas Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dikatakan mengambil terlalu lama untuk membuat keputusan mengenai masa depan mereka.

"Sejak dulu lagi saya konsisten menyatakan sekiranya Kien Keat-Boon Heong mahu keluar dari BAM dengan tujuan untuk mencari angin baru dengan bernaung di mana-mana kelab, saya tiada halangan dan menyokong tindakan mereka.

Foto

BOON Heong (kiri) mahu ikut jejak Kien Keat.


"Mungkin kerana sudah lama berada dalam BAM, mereka berdua inginkan satu suasana yang baru. Mungkin juga betul kata Kien Keat mereka seperti sudah tiada hala tuju.


"Saya fikir kedua-duanya masih mampu memberi sumbangan besar kepada negara. Cuma sejak kebelakangan ini saja prestasi kedua-dua pemain ini agak mengecewakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Zolkples berkata, untuk tidak menjadikan isu ini terus melarat, beliau berharap pengurusan BAM di bawah kepimpinan Tengku Mahaleel perlu segera mencari jalan penyelesaian terbaik.

Ini kerana, beliau bimbang jika persiapan skuad negara bagi menghadapi saingan selepas ini, terutamanya Sukan Komanwel, terjejas.

"Kita mempunyai banyak saingan antarabangsa tahun ini seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Untuk Sukan Asia, sasaran kita mungkin tidak terlalu tinggi, tapi di Sukan Komanwel, kita negara tradisi yang sentiasa memenangi pingat emas menerusi acara perseorangan dan beregu lelaki.

"Saya tidak mahu dengan timbulnya masalah seperti ini, ia akan memberi kesan negatif pada masa akan datang," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Boon Heong menyatakan sudah tawar hati untuk berada dalam skuad kebangsaan tetapi tetap mahu menunggu kata putus Tengku Mahaleel menerusi mesyuarat dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Iskandar perlu tumpu pelajaran dulu

Posted: 25 Feb 2014 09:38 AM PST

Kuala Lumpur: Kejayaannya merangkul pingat perak sekali gus melakar rekod baru kebangsaan ketika temasya Sukan SEA Myanmar lalu, membolehkan atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi (gambar) melayakkan diri beraksi di Sukan Asia Incheon, Korea 18 September ini.

Jurulatihnya Mansahar Abdul Jalil berkata, Iskandar menunjukkan peningkatan yang menggalakkan terutama dalam latihan dan akan turun beraksi dalam pertandingan kompetitif pertamanya tahun ini pada 15 Mac di Terbuka Kuala Lumpur.

Bagaimanapun untuk menghantar Iskandar berlatih dan menjalani latihan di luar negara mungkin terpaksa dilupakan seketika kerana Iskandar perlu menamatkan terlebih dulu pengajiannya yang kini berada dalam tahun terakhir Pra Universiti.

"Pada mulanya memang ada perancangan menghantar Iskandar berlatih dan berlatih di luar negara tapi selepas meneliti semua aspek dan berbincang dengan pengurusan tertinggi KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) perancangan untuk ke luar negara terpaksa ditangguhkan dulu.

Foto


"Adalah penting buat Iskandar menghabiskan pelajarannya kerana dia berada di tahun terakhir dan selepas itu cuba memperbaiki pencapaian di Sukan SEA 2015 dengan memecahkan rekod kejohanan 5.20 meter," katanya.


Penyertaan atlet Johor itu pada temasya Sukan Asia nanti adalah lebih kepada mencari pengalaman pada usianya yang masih muda, 20 tahun.

Namun Mansahar yakin Iskandar mampu menghadapi semua halangan dan sebagai persediaan awal. Iskandar dijadualkan menyertai beberapa pertandingan di luar negara seperti Kejohanan Dalam Dewan Taiwan, Jemputan Korea, Terbuka Thailand dan beberapa kejohanan berdekatan.

Iskandar melakar merekod kebangsaan di Sukan SEA Myanmar dengan catatan 5.10m sekali gus membolehkannya merangkul perak. Catatan itu juga melepasi syarat kelayakan tempat keenam di Sukan Asia.

Bagaimanapun sekiranya berhasrat beraksi di Sukan Komanwel, Iskandar perlu melepasi ketinggian 5.25m yang dilihat mungkin sukar direalisasikan dalam masa terdekat ini, namun jika diberi peluang, Mansahar yakin anak didiknya itu mampu melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

SIC tarik minat penyokong India

Posted: 25 Feb 2014 09:36 AM PST

New Delhi: Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) selaku penganjur Grand Prix Formula Satu (F1) PETRONAS Malaysia 2014 mahu menarik peminat sukan permotoran India untuk datang menyaksikan Pusingan 2 Kejohanan Dunia itu bulan depan.

Dengan ketiadaan penganjuran Grand Prix India tahun ini, Litar Sepang menjadi venue terbaik untuk mereka memberi sokongan kepada pasukan F1 India - Sahara Force.

"Dengan Sahara Force membawa bendera India, sudah tentu mereka mahu menyokong pasukan mereka di litar," Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dipetik Financial Express sebagai berkata di Mumbai kelmarin.

Beliau berkata, selain kemudahan penerbangan terus disediakan Penerbangan Malaysia dan AirAsia dari beberapa destinasi di India ke Sepang, Malaysia turut menyediakan pelbagai tarikan kepada pelancong negara itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


Sahara Force mengemukakan gandingan baru yang membabitkan pemandu Jerman, Nico Hulkenberg dan Sergio Perez dari Mexico.


Perez memandu untuk McLaren musim lalu menggantikan Paul di Resta manakala Hulkenberg kembali semula mewakili Sahara Force, mengambil alih tempat Adrian Sutil yang berpindah ke pasukan Sauber musim ini.

Pusingan 1 bermula di Grand Prix Australia dari 14 hingga 16 Mac.

Razali berkata, FI di Sepang turut menyediakan pelbagai karnival termasuk pesta makanan.

Beliau berkata, buat pertama kali pameran 3D akan diadakan untuk memapar kembali sejarah F1 di Malaysia sejak 15 tahun lalu.

"Kami akan memasang lebih 30 panel 3D yang akan direka bentuk seperti 'Walls of Fame' untuk membawa peminat mengembara ke dunia Formula 1," katanya.

Selain itu peminat antara lain berpeluang bertemu pemandu F1, menyaksikan demonstrasi pemanduan jentera lumba dan menghadiri konsert di Menara Berkembar PETRONAS selama dua hari mulai 28 Mac. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

'PSM dibuai mimpi'

Posted: 25 Feb 2014 09:15 AM PST

Kuantan: Ketandusan kejohanan peringkat kebangsaan dalam tempoh 10 tahun (2003-2013) menjadi faktor utama sukan sepak takraw yang sebelum ini gah bertukar hambar, malah menerima aib setiap kali bersaing di pentas antarabangsa.

Selepas kekalahan memalukan kepada Korea Selatan pada aksi final Siri Super ISTAF di India, tamparan sama berlaku pada temasya Sukan SEA Myanmar 2013 apabila pasukan negara hanya mampu meraih pingat perak, tewas kepada Thailand selain gangsa di Sukan SEA Indonesia 2011.

Bekas tekong kebangsaan Suhaimi Abdul Rahman berkata, tidak mustahil pasukan negara mampu melakar kejayaan di peringkat antarabangsa seperti yang pernah dikecapi sebelum ini sekiranya pembangunan akar umbi dilakukan.

Menurutnya, selepas program melahirkan pemain berbakat diadakan ia seharusnya disusuli dengan mengadakan lebih banyak kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan yang akan menjadi gelanggang pemilihan barisan pemain negara.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) gagal menjalankan tugas diamanahkan, akibatnya pasukan sepak takraw negara kini seolah-olah dipandang sebelah mata dan tidak dihormati lagi.

"Saya kecewa apabila PSM pimpinan Datuk Ahmad Ismail dilihat seperti dibuai mimpi dan angan-angan kosong yang tidak berpenghujung, mereka seolah-olah selesa di zon selamat hingga melupakan tugas dan amanah dipikul.

"Banyak kejohanan besar tidak diadakan dalam tempoh 10 tahun hingga menyaksikan sukan sepak takraw yang mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini bertukar hambar berbanding sukan lain," katanya semalam.

Justeru, Suhaimi berkata, sudah tiba masanya Ahmad mengundurkan diri secara terhormat bagi membuka laluan kepada individu lain yang lebih layak dan mampu menjalankan tugas sebagai presiden baru PSM.

Rakannya, Jamry Ederis berkata, sudah tiba masanya semua ahli gabungan membuka mata melihat sejauh mana pencapaian PSM dalam tempoh 10 tahun di bawah pimpinan Ahmad.

"Untuk mengelak sukan sepak takraw terus menerus meniti laluan mengaibkan, perubahan drastik perlu dilakukan kerana sudah cukup masa membaiki kesilapan yang diberikan sebelum ini.

"Peluang mengembalikan imej sukan sepak takraw tidak mampu ditunaikan jadi lebih baik dia (Ahmad) berundur bagi memberi peluang kepada individu lain membuktikan kebolehan," katanya yang pernah bermain sebagai apit kiri kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Larrazabal, Olesen terpilih jadi kapten Pasukan Eropah

Posted: 25 Feb 2014 09:15 AM PST

Kuala Lumpur: Miguel Angel Jimenez dari Sepanyol memilih Pablo Larrazabal dan Thorbjorn Olesen sebagai pemain pilihan kapten untuk beraksi bersama Pasukan Eropah dalam kejohanan golf Piala EurAsia anjuran DRB-Hicom bulan depan.

Pemain Sepanyol dan Denmark itu akan menyertai lapan pemain yang melayakkan diri secara automatik untuk membarisi Pasukan Eropah menentang Pasukan Asia yang diketuai pemain veteran Thailand Thongchai Jaidee dalam saingan di Glenmarie Golf and Country Club, Shah Alam dari 27 hingga 29 Mac.

Larrazabal yang mengatasi beberapa pemain terkemuka dalam Kejohanan Golf HSBC Abu Dhabi baru-baru ini, berkata, dia gembira menerima undangan rakannya itu.

"Saya sungguh gembira mendapat undangan Miguel.

Pengalaman bermain untuk pasukan Eropah adalah sesuatu yang amat berharga dan saya akan cuba meraih kemenangan dalam kejohanan Piala EurAsia pertama ini," kata pemain kelahiran Barcelona berusia 30 tahun itu dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak penganjur semalam.

Perasaan Larrazabal itu dikongsi Olesen, 24, yang menduduki tempat kelima Kejohanan Dubai Desert Classic baru-baru ini dan berkongsi tempat ketiga dalam kejohanan Qatar Masters dua minggu lalu.

"Saya sungguh gembira apabila orang seperti Miguel berpendapat saya mampu membawa sesuatu untuk pasukannya.

Pengalaman bermain dengan pasukan Seve Trophy yang meraih kemenangan tahun lalu bersama pemain hebat seperti Miguel dan Thomas (Bjorn), sudah tentu memberi kelebihan kepada saya," katanya.

Dua pemain itu akan menyertai lapan pemain lain - Thomas Bjorn (Denmark), Jamie Donaldson, Stephen Gallacher dan Graeme McDowell (United Kingdom), Victor Dubuisson (Perancis), Gonzalo Fernandez-CastaƱo (Sepanyol), Joost Luiten (Belanda) dan Jimenez sendiri untuk menghadapi kejohanan itu.


- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Spekulasi berakhir

Posted: 25 Feb 2014 09:12 AM PST

Johor Bahru: Bekas pengendali Kelantan Bojan Hodak secara rasmi dilantik pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berkuat kuasa serta-merta.

Pengesahan itu menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang diedarkan semalam.

"Cesar Ferrando Jiminez kekal selaku ketua jurulatih Johor DT. Pengalaman luas Hodak dalam kancah Liga Malaysia dan pernah membimbing pasukan tempatan serta berjaya menjuarai beberapa piala pasti dapat membantu Jiminez dari segi maklumat dan pemahamannya lantas membolehkan beliau menggunakan kemahiran dan pengalaman di Eropah ke dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Kehadiran Hodak juga membantu Jiminez dalam memberi maklumat mendalam mengenai pasukan dan pemain pihak lawan.

Foto


"Jiminez akan terus menggalas tanggungjawab menyusun taktikal pasukan, falsafah permainan dan pembangunan bola sepak bagi pasukan Johor DT," kata kenyataan PBNJ itu.


Menurut kenyataan itu lagi, gabungan kedua-dua jurulatih berpengalaman itu pasti memberi persaingan lebih sengit pada saingan Liga M dengan Harimau Selatan akan lebih mantap mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Sementara itu, Hodak dan Jiminez senada ketika memberi komen berhubung kombinasi mereka bersama Johor DT.

"Kami berdua sangat teruja dengan perkembangan terbaru ini dan seterusnya akan bekerja keras bagi meletakkan bola sepak Johor di tahap lebih tinggi," kata Hodak.

Jiminez yang ditemui ketika sesi latihan Johor DT kelmarin berpendapat beliau yakin kombinasi itu adalah yang terbaik dan paling mustahak mereka akan terus berada pada tahap permainan yang mantap.

"Saya alu-alukan kedatangan Hodak untuk membantu Johor DT. Sebagai jurulatih saya bersikap profesional. Johor akan lebih mantap dalam memburu kemenangan pada setiap perlawanan dan kami dalam satu keluarga sentiasa bekerjasama antara satu sama lain," kata Jiminez.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Johor DT II tagih magis Magic

Posted: 25 Feb 2014 09:10 AM PST

Johor Bahru: Sentuhan magis jurulatih baru Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II), Rajko Magic menjadi sandaran terbaru buat skuad itu yang akan bergandingan bersama Azmi Mohamed mengharungi saingan Liga Perdana, bersambung 7 Mac ini.

Magic, 59, dari Croatia pernah membimbing kelab Liga Super China, Shandong Luneng Taishan FC akan turut dibantu bekas jurulatih Tampines Rovers, Nenad Bacina dan bekas jurulatih kecergasan Kedah, Antonio Sisic.

Kelibat ketiga-tiga mereka kelihatan ketika menyaksikan aksi Harimau Muda B menentang Tanjong Pagar United FC pada perlawanan Liga Singapura di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.

Pengurus Onn Jabbar@Jaafar berkata, langkah untuk mendapatkan khidmat Magic lebih terarah bagi meningkatkan mutu permainan skuad Merah Biru yang agak merudum malah kehadiran jurulatih dari luar mampu beri suntikan baru kepada pasukan.

Katanya, tiada penyingkiran membabitkan mana-mana jurulatih Johor DT II sebaliknya semua jurulatih sedia ada dikekalkan dan ia juga beri kesan positif untuk mempelajari teknik dan taktikal baru bakal diserapkan Magic.

"Azmi masih jurulatih Johor DT II dan beliau akan membantu Magic membuat persiapan skuad itu mengharungi saingan Liga Perdana menentang FELDA United, di tempat lawan pada 7 Mac ini.

"Kami dibarisi pemain muda dan langkah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat tepat bagi memastikan mereka mendapat didikan daripada jurulatih berpengalaman selain Azmi juga akan menimba ilmu daripada Magic," katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad Merah Biru kini menghuni tangga keenam selepas lima perlawanan dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan serta satu seri dan kehadiran Magic bakal mengubah nasib pasukan itu kembali memburu kelompok teratas liga.

Onn juga menjelaskan skuad Johor DT II adalah pasukan `back-up' kepada Johor DT dan pastinya kelibat pemain muda amat ditagih untuk dilengkap dengan teknik permainan berkualiti sambil dibantu pemain berpengalaman seperti Shahril Ishak dan Braulio Rodriguez.

"Apa yang saya harapkan Johor DT II kembali beri tentangan sengit dalam Liga Perdana malah saya optimis pengalaman luas Magic akan beri kekuatan kepada pasukan itu," kata Onn.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

No comments:

Post a Comment