Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kebulur pulang kampung

Posted: 11 Feb 2014 11:45 PM PST

Pelabuhan Klang: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia sanggup menggadai nyawa menaiki bot kayu yang digunakan untuk mengangkut bakau dalam usaha mereka menyeludup keluar ke negara asal sebelum perbuatan mereka dikesan dalam satu serbuan di muara Sungai Langat, Sepang, Ahad lalu.

Kejadian jam 12.30 malam dikesan sepasukan anggota Cawangan Marin Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor selepas mereka menemui 31 lelaki dan 10 wanita membabitkan dua wanita mengandung berusia antara 20 hingga 50-an yang dalam perjalanan keluar dari muara ke Selat Melaka.


Difahamkan, perjalanan ke Indonesia sejauh 45 kilometer (km) yang mengambil masa beberapa jam menggunakan bot berkuasa rendah itu tidak menghalang kumpulan warga Indonesia berkenaan pulang kerana percaya ia sukar dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan itu nyata meleset kerana mereka tidak terlepas pandangan agensi penguatkuasaan yang sering memantau pergerakan keluar masuk kapal di perairan negara.


Pengarah JKDM Selangor Badaruddin Mohamed Rafik berkata, lima anggotanya yang sedang melakukan rondaan rutin, terserempak bot dipandu tiga lelaki yang juga tekong bot ketika mereka baru saja tiba di muara sungai berkenaan untuk ke negara jiran.


Menurutnya, bot berkenaan ditemui dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka diarahkan berhenti dan diperiksa.

Foto

BADARUDDIN (kanan) menunjukkan rakaman video pendatang warga Indonesia yang ditahan.

"Selepas diperiksa, anggota JKDM menemui kumpulan pendatang tersorok di satu kawasan sebelum mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum dibawa ke lokap JKDM. "Ketika ditahan mereka didapati dalam keadaan letih serta lapar kerana mungkin bersembunyi tanpa makan dan minum sebelum menaiki bot selain terpaksa berhimpit dalam bot sepanjang 15 meter itu," katanya dalam sidang media di Wisma Kastam di Westport, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

'25 hantu dalam badan'

Posted: 11 Feb 2014 07:52 PM PST

Shah Alam: Ibu kepada pensyarah Zara Eleena memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi memaklumkan konon dirinya (wanita itu) sakit disebabkan ada 25 hantu dalam badannya dan perlu 'berubat'.

Saksi keempat pendakwaan, Normaliah Mahmood, 53, berkata, Mohamad Zul Shahril atau dikenali Shah yang juga teman lelaki anak tunggalnya memaklumkan cara 'mengubati' dirinya dengan tidur selain menyelongkar rumah mereka termasuk memeriksa barang kemas miliknya dipercayai untuk mencari hantu.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin, suri rumah itu berkata, dia mula mengenali Shah ketika lelaki itu datang ke rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong 15 Februari 2012 selepas dia mengadu sakit kepada Zara Eleena.

"Selepas mengadu sakit, saya terdengar Zara Eleena atau panggilan mesranya Yaya menghubungi seseorang menyoal di manakah orang itu berada sebelum Shah datang bersama dua lagi lelaki tidak diingati.

Foto

Normaliah hadir ke Mahkamah Tinggi, semalam. - FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat


"Ketika itu, Shah kata saya ada sakit dengan 25 hantu pada diri saya, walhal saya tak bela dan saya takut dengan hantu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

Ugutan pistol tiruan bongkar kes bunuh

Posted: 11 Feb 2014 12:45 PM PST

Klang: Gara-gara mengugut rakan lama menggunakan pistol tiruan, dua beradik ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Meru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, kedua-dua beradik berusia 23 dan 26 terbabit dikatakan mengugut rakan mereka berusia 35 tahun pada Ogos tahun lalu dipercayai berikutan dendam di depan kediaman mangsa di Meru, dekat sini.


Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek berada dalam rumah. "Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol di atas almari dalam sebuah bilik manakala satu lagi ditemui dalam sebuah bilik berasingan dalam almari.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pistol itu adalah tiruan dan dua beradik itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes bunuh dan samun. Ujian saringan air kencing mereka juga mendapati mereka positif dadah jenis syabu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, semalam.


Katanya, kedua-dua suspek berkenaan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pemandu lori dan mereka dipercayai terbabit dengan kegiatan kongsi gelap dan direman sehingga 23 Februari depan untuk siasatan lanjut.


Dalam perkembangan lain, Mohamad Shukor berkata, pihaknya kini sedang memburu seorang lelaki berusia 40-an dipercayai terbabit dalam lapan kes penipuan cabutan bertuah di daerah Klang Utara.

"Lelaki terbabit menyamar sebagai pengurus pusat beli-belah sekitar Lembah Klang sebelum membawa mangsa ke kawasan Klang Utara untuk mengeluarkan wang di mesin wang automatik (ATM).


"Modus operandi adalah menyasarkan lelaki lingkungan 40-an yang baru selesai membeli-belah dan memberitahu mereka memenangi cabutan bertuah menerusi nombor resit pembelian yang sama dengan nombor enjin kenderaan ditawarkan pusat beli-belah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

Datuk pulang bercuti kerugian RM120,000

Posted: 11 Feb 2014 12:44 PM PST

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan berstatus Datuk kerugian lebih RM120,000 selepas rumahnya 'disamun' dua pembantu rumahnya sendiri, kelmarin.

Kejadian itu hanya disedari jam 7 pagi apabila mangsa berusia 60 tahun yang baru pulang dari luar negara ke rumahnya di Taman Duta, di sini, mendapati dua pembantu rumahnya iaitu seorang warga Indonesia dan Vietnam berusia 20-an sudah melarikan diri.


Menurut sumber, selepas menyedari kehilangan dua pembantu rumahnya, mangsa melakukan pemeriksaan sebelum mendapati wang tunai RM50,000 dan barang kemas bernilai lebih RM70,000 lesap.

Beliau berkata, mangsa kemudian melakukan pemeriksaan di sekeliling rumahnya sebelum menemui kain selimut yang diikat di tingkap di bahagian belakang rumah dipercayai digunakan untuk melarikan diri.


Katanya, sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Dalam laporannya, mangsa mendakwa sebelum keluar rumah, dua pembantu rumahnya yang sudah bekerja sejak lebih setahun lalu berada di dalam keadaan baik, malah tiada apa yang mencurigakannya.

Sumber itu berkata, sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk di rumah berkenaan.


"Siasatan awal juga mendapati, dua wanita terbabit berpakat untuk mencuri barangan dan wang tunai majikannya itu sebelum melarikan diri," katanya.

Katanya, mereka melarikan diri melalui tingkap belakang rumah kerana mengelakkan perbuatan mereka itu disedari pengawal di hadapan rumah berkenaan.


"Usaha mengesan dua pembantu rumah terbabit sedang giat dijalankan walaupun mereka (suspek) masih belum dikesan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

'Segeralah bertaubat'

Posted: 11 Feb 2014 12:42 PM PST

Kuala Terengganu: "Dia (Haslinda) sepatutnya bersyukur kerana Allah masih memberinya peluang kembali ke pangkal jalan. Jadi, saya menasihatkan dia supaya segera bertaubat kerana dosanya amat besar."

Itu kata Imam Besar Masjid Negeri Terengganu Aizi Saidi Abdul Aziz mengenai kejadian menimpa Haslinda yang sebelum ini menggunakan batu mani gajah sebagai tangkal untuk memikat dan mengikis wang lelaki.


Menurutnya, Haslinda wajib kembali kepada ajaran Islam sebenar kerana perbuatan menggunakan tangkal adalah syirik kerana batu mani itu menjadi istimewa dengan bantuan syaitan.

"Percaya kepada kuasa yang ada pada makhluk boleh menandingi kekuasaan Allah sebenarnya perbuatan menyalahi hukum agama dan perlu pulang ke pangkal jalan," katanya.


Pengamal Perubatan Tradisional Azman Ahmad, 38, pula berkata, kebiasaannya pengamal ilmu hitam akan menyeru semangat yang dipuja pada jenglot atau dikenali juga anak kerak untuk menimbulkan gangguan kesihatan dan pemikiran mangsanya.


"Jenglot biasanya diamalkan pengamal perubatan dari tanah seberang dan patung itu perlu dipuja untuk menghidupkan kuasanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

No comments:

Post a Comment