Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


4 lelaki anggota bola sepak wanita kebangsaan Iran

Posted: 10 Feb 2014 07:58 AM PST

Teheran: Pemain bola wanita Iran semalam diwajibkan menjalani ujian pemeriksaan jantina selepas empat pemain dalam pasukan kebangsaan wanita negara itu disahkan lelaki.

Petugas perubatan akan menjalankan pemeriksaan secara rawak ketika sesi latihan dan pemain yang gagal dalam pemeriksaan itu, selain tidak dapat membuktikan jantina mereka akan diharamkan daripada menyertai perlawanan.

Pihak berkuasa bola sepak Iran mengumumkan pemeriksaan rawak itu selepas mendapati beberapa pemain, termasuk empat dalam pasukan kebangsaan wanita sebenarnya lelaki yang belum menjalani pembedahan menukar jantina atau mereka yang mengalami masalah kekeliruan jantina.

Pembedahan menukar jantina dibenarkan di negara itu sejak 1979 apabila Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa membenarkan tindakan sedemikian.

Foto

PEMAIN bola sepak wanita Iran beraksi dalam satu perlawanan.


Pemain yang tidak dapat membuktikan mereka wanita dilarang menyertai perlawanan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Wanita Tokyo mogok seks

Posted: 10 Feb 2014 07:55 AM PST

Tokyo: Sekumpulan wanita melancarkan mogok seks terhadap lelaki yang mengundi gabenor baru bandar raya ini yang memenangi pilihan raya kelmarin.

Kumpulan itu bertindak demikian selepas Yoichi Masuzoe mendakwa wanita tidak layak memegang jawatan kerajaan kerana tidak boleh membuat keputusan kritikal ketika haid memandangkan mereka tidak normal ketika itu.

Kempen di Twitter itu yang menggesa 'wanita bersatu untuk tidak melakukan seks dengan lelaki yang mengundi untuk Masuzoe' memperoleh 3,000 pengikut sejak dilancarkan minggu lalu.

Bagaimanapun, bekas menteri kesihatan yang disokong parti pemerintahan berkenaan memenangi pilihan raya gabenor, menewaskan dua calon yang berjanji untuk mengakhiri kuasa nuklear.

Foto

MASUZOE


Pengasas kumpulan itu yang tidak dikenali berkata dalam profil mereka: "Kami sudah berusaha untuk menghalang Masuzoe yang mengeluarkan kenyataan menghina wanita, daripada dipilih. Kami tidak akan melakukan seks dengan lelaki yang mengundinya."


Dalam wawancara 1989, Masuzoe berkata, wanita menjengkelkan apabila datang haid.

"Wanita tidak stabil ketika datang bulan. Kita tidak boleh mengharapkan mereka membuat keputusan kritikal ketika itu," katanya dalam satu kenyataan.

Laman web kedua yang turut dilancarkan Rabu lalu oleh sekumpulan wanita yang cuba untuk menghalangnya daripada menjadi Gabenor Tokyo menarik 75,000 pengikut, lapor media.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Padah nak dilihat kaya

Posted: 10 Feb 2014 07:53 AM PST

Beijing: Gara-gara hendak dilihat kaya, seorang lelaki meminjam wang 110,000 yuan (RM60,600) sebelum cuba membunuh diri selepas menyedari dia tidak mampu membayarnya semula.

Lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Yang, meminjam wang berkenaan dengan mengguna kad kreditnya supaya dia dilihat kaya oleh anggota keluarganya pada sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Yang membelanjakan wang itu dengan berjudi bersama rakan serta membeli hadiah untuk anggota keluarga.

Menurutnya dia tidak menyedari jumlah yang dibelanjakannya sehingga menerima mesej daripada bank.


Kerana tidak layak untuk meminjam lebih banyak dan menyedari dia tidak mampu melangsaikan hutangnya, Yang memilih untuk membunuh diri.


Semalam, lelaki itu terjun di sebuah sungai di Fuzhou tetapi diselamatkan oleh seorang lelaki tua yang berenang di situ ketika kejadian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Hubungan makin tegang

Posted: 10 Feb 2014 07:51 AM PST

Singapura: Pegawai pertahanan Indonesia menarik diri daripada acara Singapore Airshow ketika hubungan kedua-dua negara menegang ekoran keputusan Jakarta menamakan sebuah kapal perang mereka dengan dua anggota komando yang melakukan pengeboman maut pada 1965.

Penarikan diri itu dibuat kesan kritikan Singapura minggu lalu yang mengingatkan, Jakarta mungkin mengguris semula "luka lama."

Kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura menyatakan, komander tentera Indonesia dan pegawai kanan lain menyatakan mereka tidak menghadiri acara itu yang bermula semalam.

Tiada sebarang alasan diberikan.


Media juga tidak dimaklumkan sama ada Pasukan Aerobatik Jupiter yang mewakili Indonesia turut memboikot pertunjukan udara berkenaan.


Indonesia menamakan sebuah kapal tentera laut negara itu sebagai KRI Usman Harun sebagai menghargai dua komando mereka, Osman Mohamed Ali dan Harun Said.

Osman dan Harun dihantar ke Singapura untuk melakukan serangan bom di bangunan McDonald House pada 1965 sebagai sebahagian daripada kempen konfrontasi terhadap Malaysia.

Singapura ketika itu masih berada dalam Malaysia.

Kedua-dua mereka kemudian ditahan dan dibicarakan sebelum hakim mendapati mereka bersalah.

Osman dan Harun kemudian dijatuhi hukuman mati tiga tahun kemudian.

Sementara itu Menteri Politik Dan Keselamatan, Djoko Suyanto berkata, Indonesia mempunyai prosedur sendiri untuk menentukan seseorang itu wira atau tidak.

"Ia tidak dipengaruhi persepsi mana-mana negara luar," katanya.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Jakarta ragui kemampuan Jokowi

Posted: 10 Feb 2014 07:50 AM PST

Jakarta: Majoriti penduduk Jakarta masih meragui kemampuan gabenor bandar raya itu, Joko Widodo (Jokowi) jika dia terpilih sebagai Presiden Indonesia tahun ini.

Tinjauan pendapat Lingkaran Survei Nasional (LSN) mendapati 67,8 peratus responden mengaku kurang optimis terhadap kemampuan Jokowi membawa Indonesia menjadi lebih baik berbanding sekarang.

Penganalisis utama LSN, Dipa Pradipta berkata, hanya 28.0 peratus meyakini keupayaan Jokowi.

"Antara punca mereka tidak meyakini Jokowi adalah kerana latar belakangnya yang kurang berpengalaman dalam mentadbir.

"Sebelum ini Jokowi hanya dikenali menjadi Datuk Bandar Solo selama tujuh tahun sebelum dipilih sebagai Gabenor Jakarta 16 bulan lalu," katanya.

Dia berkata, 12.4 peratus responden menganggap Jokowi belum mempunyai pengalaman mencukupi untuk dilantik sebagai pemimpin di peringkat nasional.

Bagi orang ramai, katanya, 10.8 peratus responden berpendapat ada tokoh lain yang lebih berkemampuan seperti pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya, Prabowo Subianto, bekas naib presiden negara itu, Jusuf Kalla, atau Ketua umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Soekarnoputri.

Kaji selidik itu dijalankan LSN antara 10 hingga 26 Januari lalu di lima daerah Jakarta membabitkan 790 responden.

Foto

JOKOWI meninjau lokasi banjir di Jakarta, baru-baru ini.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

TNI tegur Singapura anggap Osman, Harun pengganas

Posted: 10 Feb 2014 07:49 AM PST

Jakarta: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jen Moeldoko mengingatkan Indonesia supaya berhenti menganggap Osman Mohamed Ali dan Harun Said sebagai "pengganas."

"Saya tak dapat menerima jika mereka digelar pengganas.

"Mereka adalah tentera laut dan bertindak atas kepentingan negara," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat tertutup dengan sebuah suruhanjaya parlimen semalam.

Menurut Moeldoko, TNI tegas dalam keputusan mereka menamakan sebuah kapal perang sebagai KRI Usman Harun dan menolak sebarang campur tangan negara luar.


"Pada asasnya TNI bersedia bekerjasama dengan sesiapa saja tetapi kami tidak akan tunduk jika ia membabitkan kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Babak baru hidup pengedar dadah

Posted: 10 Feb 2014 07:48 AM PST

Kerobokan: Pengedar dadah warga Australia, Schapelle Corby menutup kepalanya bagi mengelak dirakam jurugambar ketika dia diiring meninggalkan penjara semalam untuk memulakan babak baru dalam hidupnya.

Schapelle menikmati kebebasan selepas menghabiskan sembilan daripada 20 tahun hukuman penjara dikenakan ke atasnya pada 2005.

Schapelle, 36, menyembunyikan wajahnya ketika dibawa menaiki bas mini di luar Penjara Kerobokan di Bali.

Dia yang ditangkap bersama ganja disembunyikan dalam peralatan meluncur ombak ketika tiba di Bali pada 2004 kemudian bergegas meninggalkan lokasi itu bagi menyempurnakan proses akhir pembebasannya.

Selepas bertemu pegawai yang akan mengawasi parolnya - sehingga 2017 - Schapelle dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna hitam ke sebuah resort mewah popular di Seminyak.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Penduduk dibenarkan pulang

Posted: 10 Feb 2014 07:48 AM PST

Jakarta: Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) tetap dengan keputusannya menghantar pulang penduduk yang tinggal di luar lingkaran lima kilometer dari Gunung Sinabung di Karo walaupun berlaku letusan yang mengakibatkan 16 maut, minggu lalu.

Ketuanya Syamsul Maarif berkata, agensi itu diberi lampu hijau oleh Pusat Vulkanologi Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) untuk menghantar pulang semula penduduk yang dijadualkan bermula kelmarin.

Sebanyak 17 perkampungan terletak kira-kira lima kilometer dalam lingkaran gunung berapi itu yang mula meletus September lalu.

Bagi fasa pertama, penduduk di empat perkampungan mula dihantar pulang iaitu Batu Karang, Rimo Kayu, Cimbang dan Ujung Payung.

Foto

PENDUDUK membawa barang peribadi selepas dibenarkan pulang dari pusat pemulihan yang menjadi tempat tinggal mereka sejak dua bulan lalu.


"Kami sudah meminta pemerintah Karo memaklumkan ketua kampung terbabit," katanya.


Jurucakap BNPB Sutopo Purwo Nugroho berkata, setiap ketua keluarga dibenarkan pulang beberapa hari lalu untuk membersihkan kediaman masing-masing.

Sehingga Ahad lalu, penduduk dipindahkan membabitkan 9,991 keluarga di 42 pusat pemindahan.

Sementara itu, penduduk 17 perkampungan dalam lingkaran lima kilometer gunung berapi itu tidak dibenarkan pulang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Tentera laut Filipina tembak mati enam militan

Posted: 10 Feb 2014 07:46 AM PST

Manila: Tentera laut Filipina semalam membunuh sekurang-kurangnya enam militan Islam dan menawan kubu mereka di selatan negara itu.

Komander tentera laut Kolonel Jose Cenabre berkata semalam, pihaknya yang turut dibantu penduduk kampung melancarkan serangan itu selepas melakukan pemantauan terhadap beberapa militan Abu Sayyaf di sebuah kem di dalam hutan berhampiran pekan Talipao dekat pulau Jolo.

Tiga daripada mereka mati dalam kejadian tembak-menembak manakala tiga lagi disahkan meninggal dunia selepas dibedil dengan bom.

Abu Sayyaf masih menahan tebusan, termasuk dua pemerhati burung dari Eropah yang diculik tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut sumber tiada tawanan ditemui dalam kejadian berkenaan.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Isteri polis ditembak sebelum dibakar

Posted: 10 Feb 2014 07:45 AM PST

Bangkok: Isteri seorang anggota polis ditembak mati dan dibakar di depan orang ramai yang sedang membeli-belah di sebuah pasar dalam kejadian yang dipercayai bermotifkan dendam.

Wanita berusia 28 tahun itu ditembak mati petang semalam ketika berjalan ke keretanya di kawasan Ratapanyang, Pattani.

Menurut polis, mayat mangsa kemudian dibakar di khalayak ramai namun tiada saksi yang tampil kerana bimbang turut menjadi mangsa penyerang terbabit yang disyaki kumpulan pemisah.

Menurut anggota polis tempatan, sebuah nota yang ditinggalkan di tempat kejadian mengatakan kejadian itu sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan tiga beradik lelaki beragama Islam yang berusia tiga, lima dan sembilan tahun.

"Kami akan terus membunuh selagi anda berada di tempat kami," menurut kandungan surat itu.

Kumpulan pemisah menganggap pihak berkuasa Thai bertanggungjawab atas kematian tiga kanak-kanak itu walaupun tiada bukti sahih berhubung dakwaan mereka.

Tiga beradik itu mati ditembak di depan rumah mereka di Narathiwat.

Ayah dan ibu mereka yang hamil turut ditembak namun terselamat.

Menurut pensyarah Universiti Prince of Songkhla di Pattani Srisompob Jitpiromsri berkata, kematian tiga beradik itu menjadi pencetus keganasan baru yang pasti sukar dikawal melainkan pihak berkuasa berjaya membawa pelakunya ke muka pengadilan.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

No comments:

Post a Comment