Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Imigresen serbu KLCC

Posted: 23 Feb 2014 12:36 PM PST

Kuala Lumpur: Hajat sepasang kekasih warga Indonesia bersiar-siar sempena cuti hujung minggu untuk melihat keindahan Menara Berkembar PETRONAS terbantut apabila ditahan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, semalam.

Pasangan berusia 20-an itu antara 350 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula jam 10 pagi di sekitar pusat beli-belah itu.


Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata, daripada jumlah itu, 170 PATI termasuk empat kanak-kanak ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

"Warga Bangladesh yang ditahan seramai 70 orang diikuti Myanmar (60), Indonesia (20) dan negara lain (20).


"Operasi bersepadu besar-besaran itu turut disertai 250 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan, semalam. Menurutnya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri sah, tinggal lebih masa di negara ini, dokumen palsu serta pemegang kad pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak diiktiraf.


"Semua yang ditahan berusia antara 20 dan 40 tahun.

Foto

ANTARA warga asing yang ditahan.

"Operasi seumpama ini tidak semestinya dijalankan di kawasan tumpuan pelancong, sebaliknya turut diperluaskan ke kawasan kilang, perumahan dan perindustrian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

'Masuklah ikut jalan ditetapkan'

Posted: 23 Feb 2014 12:11 PM PST

Kuala Lumpur: "Malaysia sudah mempermudahkan urusan permohonan visa untuk masuk ke negara ini tetapi masuklah melalui jalan yang ditetapkan," kata Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi.

Menurutnya, peraturan tidak pernah menghalang rakyat negara lain untuk melawat atau bekerja di negara ini, namun mereka perlu membuat permohonan visa dan permit.


"Malah, 2014 adalah Tahun Melawat Malaysia dan kita amat mengalu-alukan kehadiran pelancong sebagai satu cara mempertingkatkan lagi ekonomi negara. "Namun, pada masa sama, keselamatan juga perlu diambil kira melalui penguatkuasaan yang akan terus dijalankan dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas operasi penguatkuasaan bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Kuala Lumpur City Centre di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga 21 Februari lalu, sebanyak 794 operasi sudah dijalankan membabitkan lebih 9,000 anggota pelbagai agensi penguatkuasaan.


"Dalam tempoh itu, seramai 21,624 warga asing diperiksa dan menahan 5,508 PATI. Tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 2,156 orang diikuti Myanmar (786), Bangladesh (596), Filipina (589), Nepal (355), India (276) dan Pakistan (242).


"Tangkapan juga dilakukan terhadap 59 majikan kerana melakukan kesalahan termasuk menggaji dan melindungi PATI. Kami sudah mengusir seramai 5,261 PATI ke negara asal masing-masing selepas siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Mati 2 jam lepas samun

Posted: 23 Feb 2014 12:11 PM PST

Manjung: Tiga penjenayah dipercayai warga asing dengan seorang daripada mereka memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson Magnum 357, ditembak mati anggota polis dalam satu kejadian di Kampung Buruk Bakul, Beruas, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, pasukan Cantas Khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesan kenderaan PROTON Waja dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori dan memintas kenderaan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, secara tiba-tiba seorang suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis sehingga terkena cermin sisi di tempat duduk belakang kenderaan.

"Ketika itu, kenderaan pasukan Cantas Khas menghimpit kenderaan suspek menyebabkannya terbabas ke tepi jalan. Suspek terus melepaskan beberapa das tembakan sebelum tiba-tiba dua suspek bersenjata parang keluar dari kenderaan itu dan cuba menyerang pasukan Cantas Khas.

Foto

ANTARA barangan ditemui dalam kenderaan suspek.


"Dalam usaha mempertahankan diri, pasukan Cantas Khas melepaskan tembakan ke arah suspek menyebabkan ketiga-tiganya maut di tempat kejadian," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Masuk bilik rentap rantai leher

Posted: 23 Feb 2014 12:09 PM PST

Manjung: "Saya hanya terdengar suami menjerit memberitahu ada orang masuk ke bilik tidur kami. Sebelum sempat berbuat apa-apa, penjenayah memakai topeng dan bersenjata sebilah pisau meluru ke arah saya lalu merentap rantai leher," kata Fatimah Abdul Samad, 75.

Fatimah bersama suaminya, Harun Ibrahim, 63, menjadi mangsa sekumpulan tiga penjenayah yang menyamun barang kemas dan wang tunai dengan keseluruhannya bernilai lebih RM2,120 dalam kejadian di Kampung Serapoh, Parit, dekat sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, Fatimah yang sedang tidur di bilik tidur rumahnya dikejutkan dengan kehadiran tiga penjenayah yang dipercayai memecah masuk menerusi tingkap besi belakang rumahnya.

Menurut Fatimah, ketika kejadian, dia dan suaminya sedang tidur sebelum suami terjaga dan memaklumkan sekumpulan tiga lelaki masuk ke dalam rumah mereka.


"Sebaik tersedar, saya dapati penjenayah itu mengacukan pisau ke arah saya sebelum merentap rantai leher. Seorang lagi memukul lengan kanan suami menggunakan alat pemotong besi. "Saya yang ketakutan ketika itu tidak dapat melakukan apa-apa hanya mampu berdoa semoga kami tidak dicederakan," katanya. Katanya, dia tidak dapat mengecam suspek kerana kejadian berlaku sangat pantas dan ketika kejadian itu rumah dalam keadaan gelap.


"Ini kejadian pertama berlaku pada kami. Saya tidak menyangka penjenayah berkenaan masuk melalui tingkap besi belakang rumah kami sebelum bertindak merentap rantai leher dan melarikan wang tunai," katanya.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu menghubungi anak lelakinya yang berada di Kuala Lumpur berhubung kejadian itu, sebelum anaknya menghubungi polis melaporkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, dia cedera di leher dan pergelangan tangan kiri bersyukur selepas mendapat tahu kumpulan penjenayah berkenaan dikesan dan ditumpaskan anggota polis dalam kejadian di Kampung Buruk Bakul, Beruas tiga kilometer dari rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Maut kena tiga bedilan

Posted: 23 Feb 2014 12:08 PM PST

Chukai: Tindakan seorang penjenayah menyerang anggota polis membawa padah apabila lelaki itu maut ditembak tiga das dalam satu serbuan di kawasan bekas tapak pelupusan di depan Lapangan Terbang Kertih di Kilometer 3 Jalan Kertih-Ranggon, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, sepasukan anggota polis yang menerima maklumat awam menyerbu kawasan terbabit dan suspek yang berusia 31 tahun itu dikatakan menyerang polis menggunakan parang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, anggota polis cuba mempertahankan diri melepaskan tiga das tembakan serta satu daripada tembakan itu terkena perut suspek dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, tiga lagi rakan suspek yang turut berada di tempat kejadian melarikan diri.


Katanya, suspek penjenayah yang dikehendaki kerana mempunyai lapan rekod jenayah berkaitan kes curi serta samun di sekitar Dungun dan Kemaman selain terbabit kes dadah.


"Siasatan awal mendapati, suspek dari Kemasik, dekat sini, melakukan jenayah terakhir menyamun stesen minyak di Kertih minggu lalu.

"Suspek dikesan selepas polis menerima maklumat orang awam dan tiga lagi rakan suspek yang berada di tempat kejadian melarikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

No comments:

Post a Comment