Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lepas geram pada telinga budak

Posted: 08 Feb 2014 09:27 AM PST

Beijing: Seorang wanita ditahan semalam kerana memotong kedua-dua telinga dan mengelar rahang anak saudaranya hanya kerana berselisih faham dengan ibu bapa mangsa.

Zhang Qihui, 35, ditahan selepas mencederakan mangsa yang berusia enam tahun.
Agensi berita Xinhua semalam melaporkan, kejadian berlaku di Hubei pada 28 Januari lalu, tetapi Zhang hanya ditangkap semalam.


Xinhua melaporkan, ayah budak lelaki terbabit (yang tidak disiarkan identitinya) enggan meminjamkan wang kepada adiknya yang juga suami Zhang.

Foto

GAMBAR mangsa yang disebarkan di laman sosial menimbulkan kemarahan pengguna Internet.

Wang itu diperlukan bagi membantu pasangan suami isteri terbabit membina rumah.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada kegagalan meminjam wang menjadi punca Zhang menyerang mangsa.


Difahamkan, Zhang menyerang kanak-kanak itu menggunakan pisau selepas memujuk mengikutnya ke lorong di belakang rumah mereka.

Gambar muka mangsa yang berlumuran darah akibat kecederaan teruk tersebar di laman sosial dan menimbulkan kemarahan pengguna Internet.

"Tindakan psiko dan tidak berhati perut!

"Sanggup dia lakukan sebegitu terhadap budak yang tiada kaitan langsung dengan pergaduhan orang dewasa di sekelilingnya.

"Kasihan kanak-kanak ini dan ibu bapanya," kata pengguna Internet.

Ramai menuntut supaya suspek dihadapkan segera ke muka pengadilan.

Akibat kecederaan parah, doktor hanya mampu mencantum semula satu daripada telinga mangsa.

Kejadian itu berlaku enam bulan selepas seorang kanak-kanak lain, Bin Bin, dikorek matanya oleh ibu saudaranya.

Dalam kejadian Ogos lalu, orang ramai dari dalam dan luar negara mendermakan wang bagi membolehkan Bin Bin mendapat mata palsu.

Ibu saudara Bin Bin bagaimanapun membunuh diri beberapa hari selepas serangan itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

'Ciuman ikhlas, bunga sudah OK'

Posted: 08 Feb 2014 09:23 AM PST

London: Kaum lelaki tidak perlu bersusah payah mencari hadiah terbaik untuk kekasih atau pasangan masing-masing sempena Hari Valentine kerana kajian menunjukkan kebanyakan wanita menganggap ciuman ikhlas lebih bermakna.

Kajian firma AXA membabitkan 5,000 orang responden menunjukkan satu dalam 10 lelaki membeli hadiah untuk Hari Valentine kerana menganggapnya satu tanggungjawab.

Sebaliknya, wanita yang diselidik rata-rata tidak meminta hadiah mahal, malah 65 peratus lebih sukakan bunga berbanding 34 peratus yang mahukan pakaian dalam seksi.

Untuk sisi 'malang', kajian itu mendapati satu daripada lima wanita tidak pernah menerima bunga daripada pasangan mereka.

Wanita dan lelaki bagaimanapun sependapat ciuman sebelum ke tempat kerja sebagai rutin penting.

Selain itu, kad Valentine juga nampaknya tidak penting apabila lebih ramai wanita (63 peratus) lebih gemar menerima pesanan ringkas yang menggoda.

Menurut pakar psikologi Donna Dawson, kajian itu membuktikan perkara paling bermakna dalam hubungan sebenarnya tidak memerlukan pembiayaan.

"Tiada alasan untuk tidak menunjukkan betapa kita cintakan pasangan.

"Cukuplah usapan dan belaian selain melakukan sesuatu yang bermakna," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Teknologi digital 'hidupkan semula' Hoffman

Posted: 08 Feb 2014 09:23 AM PST

Los Angeles: Pembikin filem Hunger Games akan menggunakan teknologi digital untuk menyiapkan 'lakonan' Philip Seymour Hoffman yang tidak sempat dilengkapkan sebelum kematiannya minggu lalu.

Menurut sumber, satu babak utama yang memerlukan watak Hoffman tidak sempat disiapkan, namun pihak studio yakin mampu mengatasi masalah itu menggunakan teknologi terkini.

Sementara itu, Rob Legato yang berpengalaman luas dalam kesan khas mengakui penggunaan teknologi banyak membantu pembuat filem kontemporari.

"Memang mustahil untuk mendapatkan Hoffman yang asli dengan bakat lakonannya, namun tidak mustahil imejnya ditiru khusus untuk mengisi beberapa babak," katanya.

Jurucakap studio Lionsgate bagaimanapun enggan mengulas laporan itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

GOLKAR sokong nama Usman, Harun

Posted: 08 Feb 2014 09:22 AM PST

Jakarta: Ahli Parlimen Parti GOLKAR Tantowi Yahya semalam menyatakan sokongan kepada rancangan kerajaan menamakan kapal tentera laut Indonesia dengan dua komando yang menjalani hukuman mati di Singapura.

Hos televisyen dan penyanyi itu berkata, langkah berkenaan adalah penghormatan daripada Tentera Laut Indonesia kepada anggota terbabit serta pasukan mereka yang berjasa kepada negara.

"Justeru GOLKAR menyokong keputusan menamakan kapal itu KRI Usman Harun," katanya kepada media semalam.

Beberapa hari lalu Indonesia menyatakan rancangan menamakan sebuah kapal tentera laut mereka dengan dua anggota komando yang didakwa melakukan pengeboman di bangunan MacDonald House di Singapura pada 10 Mac 1965.

Tiga maut dan lebih 30 lagi cedera dalam kejadian berkenaan.

Mahkamah kemudian mendapati Osman Mohamed Ali dan Harun Said bersalah atas tuduhan itu dan menjalani hukuman mati pada 17 Oktober 1968.

Tantowi berkata, tiada alasan Singapura mempertikaikan kedua-dua anggota terbabit.

"Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sendiri pernah memberikan penghormatan dengan menabur bunga di kubur Osman dan Harun Said di Taman Makam Pahlawan pada 1973," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Doa Aquino letak jawatan pada hari lahir

Posted: 08 Feb 2014 09:22 AM PST

Manila: Semalam ketika Presiden Filipina meraikan hari lahirnya yang ke-54, dia berdoa supaya rakyat negara itu bangkit semula daripada kesedihan akibat pelbagai bencana menimpa tahun lalu.

Namun sekumpulan orang lain mempunyai doa lain untuknya - supaya dia meletak jawatan.

Kira-kira 100 penyokong parti politik AnakPawis dan pertubuhan Kadamay berkumpul di depan rumah Presiden Benigno Aquino di Quezon City untuk mendesak dia berundur daripada jawatannya.

Menurut mereka, Aquino gagal menguruskan pelbagai isu seperti masalah pengambilan tanah syarikat ladang tebu Hacienda Luisita milik anggota keluarganya, kenaikan tambang pengangkutan awam serta tarif elektrik.

Kelmarin Aquino menyatakan dia akan menghabiskan masa dengan keluarga terdekat sempena sambutan hari lahirnya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Misteri taburan kondom terjawab

Posted: 08 Feb 2014 09:21 AM PST

Bandung: Bagi penduduk Kampung Merdeka, mereka ada masalah jelek sejak beberapa ketika dulu - taburan kondom terpakai yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Biasanya, kondom terpakai itu ditemui di sepanjang Jalan Ermawar setiap pagi.

Bosan bersabar, akhirnya awal pagi semalam mereka melaksanakan pelan dirancang lebih awal untuk mencari siapa dalang di sebalik perbuatan tidak senonoh dan menjijikan itu.

Semuanya terjawab kira-kira jam 1.30 pagi (waktu tempatan) apabila mereka menahan seorang lelaki dari Cibeunying Kolot, Cigadung, bernama Subandoro.

Lelaki terbabit ditangkap ketika sedang berasmara dengan seorang mak nyah dalam sebuah kereta.

Sumber berkata, penduduk kampung menyerang dan membelasah Subandoro, 30, sebelum seorang ketua masyarakat setempat, Heru, tampil meleraikan keadaan.

Ketika disoal siasat, Subandoro mendakwa dia mabuk ketika itu.

"Subandoro juga nyaris mencederakan seorang daripada penduduk kampung yang membelasahnya kerana terkejut dan panik," katanya.


Menurut sumber, Subandoro sering mendapatkan khidmat mak nyah untuk memuaskan nafsu setiap kali mabuk sedangkan dia sudah beristeri.

"Dia mengaku salah dan malu dengan perbuatannya," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Siapa cepat dia dapat: Yingluck

Posted: 08 Feb 2014 09:21 AM PST

Bangkok: Yingluck Shinawatra semalam berjanji untuk melunaskan hutang kerajaan kepada penanam padi yang belum menerima bayaran atas penjualan produk mereka.

Perdana menteri sementara itu berkata, kerajaannya tidak pernah mengabaikan kesusahan hidup golongan petani - yang menjadi penyokong tegar keluarga Shinawatra - tetapi mereka berdepan kekangan undang-undang.

"Kami menghadapi kesukaran membuat bayaran kerana kerajaan yang ada bersifat sementara," katanya.

Petani Thailand berdepan masalah penurunan harga padi ketara sebelum ini dan Yingluck memperkenalkan skim membeli bahan itu secara langsung pada harga lebih tinggi.

Bagaimanapun masalah timbul apabila padi itu gagal dijual dan kerajaan tidak mempunyai dana membuat bayaran kepada petani.

Yingluck berkata, dia mengarahkan Kementerian Perdagangan serta Kementerian Kewangan mempercepat pemprosesan bayaran bagi meringankan beban petani.

Dia turut mengecam apabila isu itu dipolitikkan musuhnya.


"Bayaran akan dibuat berdasarkan siapa cepat dia dapat," katanya.

Di sebalik janji itu, Yingluck tidak pula menyatakan tarikh sebenar pembayaran akan mula dibuat.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Jangan bimbang, Mesir aman, stabil

Posted: 08 Feb 2014 09:20 AM PST

Kaherah: Pelawak satira terkenal Mesir kembali menghiburkan penonton televisyen negara itu semalam dalam penampilan pertama sejak rancangan itu diharamkan tiga bulan lalu.

Berjanji untuk tidak membincangkan topik politik dalam rancangannya kali ini, Bassem Youssef berkata, dia cuba memperkatakan isu lain.

Bagaimanapun, katanya, semua perbicangan isu di Mesir akhirnya akan kembali kepada nama Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang mengetuai rampasan kuasa terhadap Presiden Mohamed Mursi pada Julai tahun lalu.

Bassem 'cuba' meneroka pelbagai topik - daripada masakan hingga sukan - sebelum bertanya kepada penonton: "Apa yang akan kita bincangkan sekarang?" Dia kemudian merumuskan tiada apa yang boleh diperkatakan dan membuka televisyen Mesir bagi mencari idea.

Penonton kemudian ditunjukkan pelbagai program di televisyen seperti rancangan bual bicara dan tarian gelek yang semua memuji Abdel Fattah.

Apabila klip itu tamat, pelawak yang pernah mendapat pendidikan sebagai pakar bedah jantung itu mengeluarkan pistol mainan dan mengacu objek itu ke kepalanya.


Rancangan Program kendalian Bassem itu disiarkan stesen swasta Mesir, CBC, apabila ditarik balik November lalu kerana jenakanya mempersenda Abdel Fattah.


Dia juga mengkritik kerajaan sokongan tentera Mesir ketika ini.

Kali ini Program disiarkan satu stesen swasta, MBC Masr.

Apabila Bassem mengingatkan rakyat Mesir tidak perlu takut kepada sesiapa, imej Abdel Fattah muncul di belakangnya.

"Lebih baik jangan kata apa-apa kepada dia.

"Ini bukan takut, tapi hormat," katanya dengan pantas.

Menurut Bassem, Mesir tidak perlukan satira politik.

Ini kerana katanya: "Dunia sedang aman dan negara masih stabil."- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Siswi maut angkara dasar konservatif

Posted: 08 Feb 2014 09:20 AM PST

Riyadh: Kematian seorang siswi di sebuah universiti Arab Saudi kelmarin membangkitkan kemarahan orang ramai di media sosial.

Pengguna Internet menyelar pihak berkuasa kerana enggan membenarkan sebuah ambulans memasuki kawasan Fakulti Sains Sosial Universiti Raja Saud atas alasan perbezaan jantina.

Media tempatan melaporkan, petugas kecemasan dilarang merawat Amna Bawazeer, 24, yang mengalami serangan jantung kerana tiada mahram mengiringi mereka.

Akibat sekatan itu, Amna meninggal dunia di universiti berkenaan.

Pengguna Twitter melontarkan kecaman kepada petugas fakulti berkenaan dan meminta mereka bertanggungjawab atas kematian Amna.


Namun pengurusan Universiti Raja Saud menempelak kembali dengan mendakwa, Amna mengalami masalah jantung sejak berusia empat tahun.


Amna meninggal dunia walaupun cuba diselamatkan kakitangan kecemasan universiti berkenaan.

Pada 2002, 15 remaja perempuan terbunuh dalam kebakaran di Makkah selepas polis syariah menyekat laluan mereka untuk menyelamatkan diri kerana tidak berpakaian sepatutnya.

Saksi berkata, anggota kecemasan dilarang membantu kerana kanak-kanak berusia antara 12 dan 14 tahun itu atas alasan mereka tidak memakai tudung atau berjubah.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

Valerie, teman saman majalah Closer

Posted: 08 Feb 2014 09:19 AM PST

Paris: Bekas pasangan Presiden Perancis, Valerie Trierweiler, akan menyaman majalah Closer kerana menyiarkan gambarnya bercuti di sebuah pantai tropika.

Keputusan itu diumum bekas Wanita Pertama Perancis itu dalam kenyataan medianya semalam.

Gambar Valerie, 48, dan dua temannya berbikini di pantai Mauritius disiar majalah berkenaan semalam - empat minggu selepas penerbitan sama membongkar skandal sulit bekas kekasih Valerie, Presiden Francois Hollande dengan seorang aktres.

Menurut Closer, Valerie dan dua wanita itu menyewa sebuah vila mewah - AS$2,000 (RM6,700) satu malam - di pinggir pantai.


Percutian itu dilakukan sejurus selepas Valerie menyertai misi amal ke kawasan miskin di sekitar India.


Rakan Valerie yang menyertai percutian itu - wartawan Valerie de Senneville dan aktres Saida Jawad - juga akan memfail saman terhadap Closer mengikut undang-undang privasi Perancis.

Valerie meninggalkan Istana Elysee selepas hubungannya dengan Hollande berakhir.

Perpisahan itu berlaku gara-gara kehadiran kekasih baru presiden itu, Julie Gayet. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/09

No comments:

Post a Comment