Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'AFC, FIFA kami datang'

Posted: 07 Feb 2014 12:01 PM PST

Kuala Terengganu: Terengganu sedang menimbang kemungkinan membawa isu kemenangan 3-0 yang diberi kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ke pengetahuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas dengan pengurusan T-Team bagi membincangkan langkah sewajarnya berhubung keputusan berkenaan.


"Saya tidak mahu putuskan lagi perkara ini, segala-galanya bergantung kepada mesyuarat berkenaan, sama ada bersetuju membawa isu ini ke AFC dan FIFA atau sebaliknya, terserah kepada ahli mesyuarat itu untuk menentukannya," katanya.

Akhbar semalam melaporkan keputusan FAM yang dianggap tidak adil itu mencetuskan kemarahan penolong jurulatih T-Team Azlan Johar yang mengharapkan perlawanan ulangan diadakan di gelanggang berkecuali.


Selain itu, rata-rata peminat yang dipetik dalam Facebook turut mengecam tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi kemenangan percuma itu kepada Johor DT. Sehubungan itu, mereka mahukan keadilan seperti mana membabitkan perlawanan Pahang dengan Johor DT dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA 28 Mei tahun lalu apabila FAM memutuskan aksi ulangan diadakan di gelanggang berkecuali.


"PBSNT akan ikut keputusan mesyuarat khas T-Team. Bagaimanapun saya difahamkan pemain import yang terbabit dengan 'isu tumbuk dan terajang' di terowong pemain di Larkin, akan membawa kes ini ke pengetahuan FIFA," katanya.

Foto

Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Abdul Rasid Jusoh berkata, mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Wan Ahmad Nizam itu bakal dihadiri pakar undang-undang.


"Banyak perkara yang akan dibincangkan nanti, tapi kami akan buat keputusan terbaik mengikut undang-undang demi masa depan pasukan dan pembangunan bola sepak negara.

"Apa saja keputusan sama ada kes ini akan dilaporkan kepada AFC atau FIFA tertakluk kepada mesyuarat khas itu nanti," katanya yang turut mengharapkan pemainnya bangkit ketika melayani kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini.


Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah memutuskan memberi kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas mendapati T-Team bersalah kerana enggan meneruskan aksi babak kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Cabar anak buah teruskan momentum

Posted: 07 Feb 2014 11:52 AM PST

London: Arsene Wenger melontarkan cabaran kepada Arsenal supaya terus mendominasi perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila pendahulu liga itu berdepan ujian mencabar menentang Liverpool di gelanggang lawan hari ini.

Skuad kendalian Wenger itu kekal di tangga teratas selepas pasukan tangga kedua Manchester City mensia-siakan peluang untuk merampas kedudukan berikutan kekalahan 0-1 di tangan Chelsea awal pagi Selasa lalu dan Gunners boleh mengukuhkan kedudukan dengan meraih kemenangan di Anfield.


Arsenal yang memiliki kelebihan dua mata ke atas City dan pasukan ketiga Chelsea sebelum ini diperlekehkan oleh pengkritik bola sepak kerana tidak percaya dengan kekuatan mental pasukan itu untuk menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa trofi utama.

Bagaimanapun Wenger yakin pemainnya kini sudah bersedia membawa pulang trofi ke Stadium Emirates dan dua perlawanan selepas ini peluang terbaik mereka menyampaikan mesej itu kepada pencabar kejuaraan.


Arsenal yang akan melayan kunjungan Manchester United minggu depan sudah mengalahkan Liverpool pada saingan liga musim ini dan mereka bertandang ke Merseyside dalam misi merekod kemenangan keempat dalam lima pertemuan di Anfield.


"Ini bulan yang cukup penting buat kami," kata Wenger yang berharap pemain tengah England Jack Wilshere boleh kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan buku lali.

"Apabila anda berada dalam posisi terbaik untuk merebut kejuaraan dan saingan semakin hampir ke penghujung, setiap perlawanan dan mata yang diraih sangat penting.


"Kami berusaha keras untuk mendapatkan posisi ini, jadi kami mahu menikmatinya dan melakukan yang terbaik.

"Saya memberitahu anda bulan lalu tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan kerana banyak pasukan berkualiti dalam Liga Perdana.


"Sejauh mana anda mampu memberikan aksi yang terbaik ia bakal menentukan keputusan perlawanan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Rodgers yakin Liverpool mampu tewaskan Arsenal

Posted: 07 Feb 2014 11:51 AM PST

Liverpool, England: Brendan Rodgers yakin Liverpool sudah bersedia menewaskan pasukan hebat Liga Perdana ketika mereka mempersiapkan diri menjelang pertembungan dengan pendahulu Arsenal di Anfield hari ini.

Skuad kendalian Rodgers itu hanya sekali mengalahkan Gunners dalam tujuh pertemuan di Anfield dan sekali dalam 12 perlawanan di gelanggang sendiri dan di tempat lawan namun pengurus Reds itu percaya anak buahnya mempunyai keyakinan tinggi untuk mengalahkan mana-mana pasukan.


Pengurus itu mengakui keyakinan itu tiada ketika beliau tiba di Anfield pada 2012.

"Saya fikir kami pasukan mantap kerana cara kami bermain dan usaha yang ditunjukkan pemain. Pasukan lawan perlu berada di tahap terbaik apabila menentang kami," kata Rodgers.


"Apabila saya tiba di sini, kami berdepan tekanan untuk menang. Mungkin sebelum ini kami tidak mempunyai keyakinan untuk memenangi perlawanan.


"Sekarang dengan tahap dan persembahan konsisten, kami sudah memiliki keyakinan untuk memenangi setiap perlawanan terutama di Anfield. Keyakinan itu anda boleh lihat menerusi keputusan kami.

"Kami selalu menghormati setiap pasukan lawan apatah lagi pasukan pendahulu liga tapi kami akan turun beraksi dengan misi untuk memberikan aksi terbaik dan menang." Rodgers berkata, salah seorang pemain yang pasti diturunkan adalah penyerang Luis Suarez yang cuba dipancing Arsenal untuk berpindah ke Stadium Emirates Stadium hujung musim lalu.


"Saya fikir dia membuat impak yang besar," kata Rodgers. "Dia mungkin tidak menjaringkan gol tapi melakukannya pada perlawanan musim lalu ketika saya di sini. Dia memberi sumbangan besar kepada pasukan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Enggan cicir mata

Posted: 07 Feb 2014 11:51 AM PST

Norwich, England: Manchester City akan segera bangkit untuk mengukuhkan statusnya mereka selaku pencabar kejuaraan apabila turun menentang Norwich di Carrow Road, hari ini.

Rekod 20 perlawanan tanpa kalah termasuk 18 kemenangan City lebur apabila tumpas 0-1 di tangan pencabar kejuaraan Chelsea di Eastlands awal pagi Selasa lalu.


Ketika pengurus City, Manuel Pellegrini mempertahankan prestasi pasukannya, keputusan itu memberi kesan kepada peluang mereka memenangi kejuaraan apabila gagal merampas kedudukan liga dan membenarkan skuad di tangga ketiga kendalian Jose Mourinho berkongsi mata dengan mereka.

Kedudukan liga dijangka akan berubah minggu ini apabila pendahulu Arsenal yang kini hanya mendahului dua mata dengan City berkunjung ke Liverpool manakala Chelsea melayan Newcastle hari ini.


City mungkin ketinggalan lima mata di belakang Gunners sebelum mereka memulakan aksi di Norfolk dan Pellegrini sedar satu lagi kekalahan akan memberi kesan terhadap misi mereka menjulang kejuaraan.


Selepas permulaan sukar pada awal musim, prestasi City di gelanggang lawan tampak konsisten apabila mereka memenangi lima perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana.

Foto

TIGA pemain City mengekang asakan Gary Cahill (dua dari kanan) pada pertemuan di Eastlands.

Selepas kecewa dengan kekalahan kepada Chelsea, kunjungan ke Norwich dan aksi di laman sendiri menentang Sunderland menjadi peluang terbaik buat Pellegrini dan pemainnya mencipta kebangkitan.


Pemain tengah City, Fernandinho menyatakan dia akan kembali semula dalam tempoh 15 hari lagi selepas mengalami kecederaan pangkal paha yang menyaksikannya diketepikan bagi pertemuan dengan Chelsea.

Dalam kenyataannya di Twitter: "Saya mahu menafikan khabar angin. Saya kembali semula bermain dalam tempoh 15 hari atau lebih awal daripada itu." Kedudukan pemain tengah Brazil itu kekal menjadi tanda tanya sama ada dia akan turun menentang Barcelona pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara pada 18 Februari ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Vidic bakal sertai Inter?

Posted: 07 Feb 2014 11:50 AM PST

London: Kapten Manchester United, Nemanja Vidic akan meninggalkan kelab juara Liga Perdana itu hujung musim ini dalam apa yang diharapkan pertahanan Serbia itu mampu menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

"Saya memutuskan akan berpindah hujung musim ini," katanya. "Ini tahun terakhir dalam kontrak saya dan saya sudah bermain lapan tahun yang menakjubkan di sini." Media Britain melaporkan pemain berusia 32 tahun itu tidak ditawarkan sambungan kontrak di Old Trafford dan Vidic menegaskan dia tidak mahu beraksi dengan kelab lain di England.


"Saya mahu mencabar diri sendiri sekali lagi dan cuba melakukan yang terbaik selepas ini," jelas Vidic.

"Saya tidak bercadang kekal di England kerana satu-satunya kelab yang saya mahu sertai di sini adalah Manchester United dan saya bertuah menjadi sebahagian daripada kelab ini buat beberapa tahun.


"Saya mendapat tawaran untuk berpindah dan akan memilih yang terbaik buat saya dan keluarga." Di bawah peraturan Bosman, Vidic boleh berunding dengan kelab di luar England dan spekulasi memuncak mengatakan dia akan menyertai kelab gergasi Itali, Inter Milan.


Vidic tiba di Old Trafford pada 2005 dengan harga £7 juta (RM38 juta) dari kelab Russia, Spartak Moscow. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Real tanpa Ronaldo

Posted: 07 Feb 2014 11:48 AM PST

Madrid: Real Madrid terpaksa beraksi tanpa pemenang Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo apabila mereka melayan kunjungan pasukan tangga kelima Villarreal ke Santiago Bernabeu awal pagi esok ketika bintang Portugal itu diketepikan kerana menjalani penggantungan.

Ronaldo dibuang padang ketika pasukannya seri 1-1 dengan Athletic Bilbao di gelanggang lawan hujung minggu lalu dan buat sementara digantung tiga perlawanan La Liga, sekalipun penggantungan itu mungkin dikurangkan selepas Real mengumumkan hasrat membuat rayuan.


Dua mata yang keciciran menentang Bilbao membolehkan Atletico Madrid mendahului tiga mata di depan Real dan Barcelona di puncak carta liga.

Bagaimanapun, Real mendapat suntikan semangat selepas menundukkan Atletico 3-0 pada separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol kelmarin untuk membalas dendam kekalahan kepada Los Rojiblancos pada final tahun lalu.


Pemain Croatia, Luka Modric sekali lagi menyerlah di bahagian tengah Real pada pertengahan minggu dan percaya rakan sepasukannya perlu meningkat setahap menentang Villarreal disebabkan ketiadaan Ronaldo.


"Tidak adil kerana dia tidak melakukan sesuatu yang teruk tapi tiada apa kami boleh buat mengenainya. Kami perlu bekerja lebih keras apabila Cristiano tiada kerana dia seorang pemain yang amat penting," katanya.

Foto

RONALDO

Los Blancos bagaimanapun lega kerana Gareth Bale kembali cergas diturunkan di tempat Ronaldo. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Ujian getir tunggu AS Roma

Posted: 07 Feb 2014 11:44 AM PST

Milan: Pencabar kejuaraan Serie A, AS Roma berdepan ujian getir menentang Lazio esok manakala Juventus berkunjung ke Verona yang berhasrat menyukarkan laluan anak buah Antonio Conte.

Roma ketinggalan sembilan mata di belakang Juventus di puncak liga namun bermain kurang satu perlawanan selepas pertemuan laman sendiri menentang Parma minggu lalu ditangguhkan apabila hujan lebat menyebabkan perlawanan tidak boleh diteruskan.


Ketika perlawanan itu belum dijadualkan semula, anak buah Rudi Garcia dijangka mengekalkan rentak selepas menang 3-2 ke atas Napoli pada separuh akhir pertama Piala Itali, kelmarin.

Kemenangan itu lengkap dengan gol menakjubkan daripada pemain Belanda, Kevin Strootman dan dua gol Gervinho, termasuk gol kemenangan pada minit ke-88 menyebabkan Presiden Roma, James Pallotta menghamburkan pujian terhadap penyerang Ivory Coast itu.


"Aksinya terlalu mengujakan, dia berlari terlalu pantas sehingga pemain lawan tidak boleh mengejarnya," kata Pallotta.


Kekalahan terakhir Roma adalah 0-3 di tangan Juve di San Siro awal tahun ini namun Giallorossi sudah menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir liga sejak itu.

Garcia berkata, selepas perlawanan itu Gervinho masih boleh meningkat, beliau turut menjangkakan Strootman akan mempamerkan bakat sebenarnya - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Tunggu tiga tahun lagi

Posted: 07 Feb 2014 11:43 AM PST

Miami: Pasukan baru milik David Beckham di Miami hanya boleh turun padang seawal-awalnya pada 2017, menurut pelabur jutawan mengenai projek itu sekali gus menafikan ia boleh bermula lebih awal.

Ahli perniagaan Peru, Marcelo Claure, rakan kongsi utama Beckham untuk memiliki pasukan bola sepak itu berkata, terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan membina sebuah kelab baru.


Komuniti bola sepak Miami yang tidak memiliki pasukan bola sepak lebih sedekad, menaruh harapan francais itu mungkin boleh bermula pada 2016.

"Tiga tahun diperlukan. Itu pun jika semuanya berjalan lancar seperti kami harapkan," kata Claure, selepas Beckham mengesahkan perkara itu kelmarin dan berkata beliau mahu membawa kembali bola sepak ke Miami.


Beckham, Claure dan pasukan mereka dilaporkan membayar AS$25 juta (RM83 juta) bagi francais Major League Soccer itu.


"Tiga tahun adalah sasarannya kerana kami membina sebuah pasukan bola sepak baru," jelas Claure.

"Kami perlu memilih jurulatih, terbabit dengan komuniti, memilih nama, jersi dan perlu meyakinkan pemain ternama beraksi buat kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Tok Gajah sondol Johor DT

Posted: 07 Feb 2014 11:42 AM PST

Kuantan: Jaringan Mohd Hafiz Kamal pada minit akhir perlawanan membolehkan Pahang menewaskan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) 3-2 di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Jaringan pemain kelahiran Manjung, Perak itu juga membolehkan Pahang meraih tiga mata berharga ketika pelawat berasa mereka membawa pulang satu mata ke Johor.


Namun, pada perlawanan itu penyerang import dari Argentina, Matias Conti terlebih dulu menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran Mohd Hafiz pada minit ke-13.

Gol itu ternyata memberi semangat buat skuad Tok Gajah untuk menambah jaringan dan peluang terbaik diperoleh menerusi Mohd Fauzi Roslan tetapi tandukannya terkena palang walaupun penjaga gol Johor DT, Norazlan Razali sudah tertewas pada minit ke-20.


Begitu juga R Gopinathan turut berpeluang menambah jaringan buat tuan rumah namun bola berjaya ditepis Norazlan.


Di sebalik asakan tuan rumah, Johor DT mula menemui rentak permainan apabila melakukan serangan ke kubu lawan menerusi Nazrin Nawi tetapi bola tendangan pemain tengah itu terus ke dakapan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd Khalid pada minit ke-33.

Namun, ketika Pahang menjangkakan mereka melangkah ke bilik persalinan dengan mendahului lawan 1-0, bekas pemain Argentina, Pablo Aimar menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan dari luar kotak penalti.


Sebaik bersambung babak kedua, Pahang hanya menunggu tiga minit untuk kembali mendahului hasil jaringan Mohd Fauzi selepas bola tandukan Damion Stewart terkena palang dan melantun ke arah penyerang berkenaan.

Kemasukan Safee Sali untuk memberi impak di bahagian serangan JDT ternyata tepat pada masanya apabila dia menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-73.


Serangan bertali arus yang dipersembahkan kedua-dua pasukan turut menyaksikan berlaku ketegangan tetapi keadaan masih lagi terkawal sekali gus merancakkan perlawanan.


Namun, ketika Johor DT seakan-akan membawa pulang satu mata, Hafiz memastikan tiga mata berharga buat skuad Tok Gajah pada minit terakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Bujang Senang mengganas lagi!

Posted: 07 Feb 2014 11:42 AM PST

Kuala Lumpur: Sarawak terus garang dengan meraih kemenangan kedua di Lembah Klang apabila menjadikan PKNS FC sebagai mangsa.

Selepas menyingkirkan Selangor pada pusingan kedua Piala FA, Selasa lalu, anak buah Roberts Alberts melebarkan rentak kemenangan apabila meraih tiga mata hasil menundukkan PKNS 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.


Pemain pertahanan, Ronny Harun yang mencetuskan kemenangan menerusi lontaran jauh ketika menewaskan Selangor terus membawa tuah buat Ngap Sayot.

Dua lontarannya berjaya dimanfaatkan Milorad Janjus pada minit ke-9 disusuli Gabor Gyepes pada minit ke-15 untuk membolehkan pasukan pelawat mendahului 2-0 sekali gus menggembirakan kira-kira 2,000 penyokong Sarawak yang hadir.


Perlawanan berlangsung sengit apabila tuan rumah bermotivasi tinggi meneruskan kemenangan kelima berturut-turut dalam kancah Liga Super dan Piala FA namun sentuhan penyudah Patrick Ronaldinho dan Karlo Primorac tumpul.


Walaupun PKNS kendalian Wan Jamak Wan Hassan lebih menguasai babak kedua, Mohd Fadzley Rahim yang menggantikan Sani Anuar Kamsani yang digantung perlawanan, bekerja keras memastikan gawang Sarawak tidak dibolosi.

Sarawak turut berpeluang mematikan terus semangat melawan tuan rumah dengan peluang dimiliki Janjus pada minit ke-59 namun rembatannya melambung tinggi.


Kemenangan ini membolehkan Sarawak meraih kemenangan kedua dalam Liga Super selepas mengalami dua kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

No comments:

Post a Comment