Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


FAM jamin pilih calon terbaik

Posted: 22 Feb 2014 07:57 AM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan mencari calon terbaik mengisi jawatan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, FAM sedang mencari dan masih menemuduga beberapa jurulatih seperti janji dibuat sebelum ini.

"Sekiranya kita mendapat cepat, kita akan membuat pengumuman secepat mungkin. Ini kerana kita perlu membuat persediaan secepat mungkin bagi menyiapkan pasukan menghadapi saingan Piala AFF Suzuki untuk kejuaraan yang akan berlangsung di Singapura atau Vietnam nanti.

"Jika boleh, kami mahu pemilihan ketua jurulatih terbabit menepati syarat kita dan kehendak FAM.

Foto

TENGKU Abdullah (dua dari kanan) diiringi (dari kiri) Hamidin, Naib Presiden FAM Datuk Affandi Hamzah dan Naib Presiden Datuk Seri Subahan Kamal melancarkan kempen cegah keganasan bolasepak di Wisma FAM.


"Kami mahu memilih jurulatih yang menepati syarat kami dan kehendak FAM. Apabila kami sudah menyenarai pendek dan memilih jurulatih terbabit, FAM akan membuat pengumuman secepat mungkin. Buat masa ini, kita akan mengekalkan Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih 'caretaker' skuad bola sepak kebangsaan sekarang sehinggalah notis lanjut dikeluarkan. Jurulatih terbabit mesti memiliki kriteria ditetapkan FAM," katanya selepas selesai mesyuarat exco jawatankuasa eksekutif FAM dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kompleks FAM, Kelana Jaya, semalam. Tengku Abdullah melancarkan majlis FAM menyokong kempen One Goal AFC & World Vision Malaysia demi nutrisi kanak-kanak yang lebih baik merentasi Asia.


Hamidin berkata, FAM juga sedang dalam proses meningkatkan kualiti pengadilan bola sepak tempatan yang sering menjadi kecaman peminat.

"FAM sudah membeli dua peralatan baru yang akan tiba yang ditempah daripada luar negara yang akan terus digunakan minggu depan. Ia akan menjalani percubaan pada perlawanan persahabatan sebelum digunakan sepenuhnya.

"Penggunaan peralatan itu dijangka digunakan sepenuhnya tahun depan jika ia didapati berkesan.

"Kami memandang serius isu pengadilan kerana kami faham pasukan membelanjakan jutaan ringgit meningkatkan pasukan mereka dan kami mahu memastikan kualiti pengadilan berada pada tahap terbaik pada setiap perlawanan."

Dalam satu sidang akhbar, Tengku Abdullah berkata, FAM akan memperkenalkan bendera dan logo baru anti-keganasan (Love Football, Stop Hooliganism) setiap kali sebelum sepak mula perlawanan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

"Langkah itu dibuat bagi membendung gejala tidak sihat dalam bola sepak. Ia akan diguna pakai semua perlawanan bersama logo One Goal AFC & World Vision Malaysia."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Gilap bakat pemain golf

Posted: 22 Feb 2014 07:53 AM PST

Kuala Lumpur: Meskipun golf tidak berada dalam senarai 19 sukan teras di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN), itu tidak bermakna ia terlepas daripada radar pentadbir sukan kebangsaan itu.

Setiap perkembangan sentiasa diamati malah apabila sukan berkenaan disenaraikan dalam Sukan Olimpik Rio bersama ragbi, sudah pasti mereka turut menanti jika ada yang layak ke Olimpik nanti.

"Jika ada yang layak, sudah pasti kita akan bantu," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas mengenai isu terbabit.

Jelasnya, meskipun program sukan terbabit dikendalikan persatuan, MSN turut membantu menerusi geran tahunan dan tambahnya atlet yang layak pasti akan menerima elaun, kemudahan latihan dan bantuan berkaitan bagi memastikan mereka mampu beraksi cemerlang setanding antarabangsa.

Foto

GAVIN pemain amatur paling menyerlah ketika ini.

Foto

NICHOLAS


Malah banyak lagi sukan yang tidak 'bernaung' di bawah MSN tetapi menurutnya, MSN akan tetap membantu mana-mana sukan yang berjaya menempah tiket ke Olimpik.


Biarpun realitinya masih jauh tetapi beliau yakin negara tidak ketandusan bakat baru dan berpotensi meskipun pembangunan sukan golf tidak sehangat Korea Selatan mahupun Thailand yang menyaksikan ramai bakat golf bersilih ganti menunjukkan sisi kompetitif mereka setanding pemain golf barat.

"Kita kini mempunyai pemain seperti Nicholas Fung dan Gavin Kyle Green yang mempunyai potensi sebenar. Gavin pemain amatur yang beraksi di Amerika Syarikat manakala Nicholas pula berada di ranking 235 dunia (akhir 2013)," kata Zolklples.

"Mungkin ini bukan zaman Shaaban Hussin atau Airil Rizman tetapi dengan adanya pemain muda ini mereka mampu berada dalam ranking golf dunia."

Di Sukan SEA Myanmar misalnya, Gavin meraih perak acara lelaki dan membantu pasukannya meraih gangsa dalam acara berpasukan lelaki.

Beliau mengharapkan kejohanan seperti CIMB Classic dan Terbuka Malaysia akan terus berupaya menggilap pemain tempatan asalkan mereka mampu bertahan hingga ke pusingan keempat.

"Apa yang saya lihat, pemain kita hanya cemerlang pada dua hari pertama tetapi merosot pada dua hari terakhir. Pemain golf kita sepatutnya mempunyai mental yang kuat untuk beraksi apatah lagi jika bermain di laman sendiri.

"Kita perlu kuat mental dan fizikal jika mahu bergelar juara. Lihat saja Kiradech Aphibarnrat, biarpun bertubuh gempal masih mampu menjuarai Terbuka Malaysia."

Begitupun, menurut Zolkples, tidak mustahil golf berada dalam sukan teras satu hari nanti asalkan mereka membuktikan bahawa mereka juga mempunyai atlet bertaraf dunia seperti badminton dan terjun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Medan anak watan pamer belang

Posted: 22 Feb 2014 07:50 AM PST

Kuala Lumpur: Pada 1994, impian menyaksikan pemain Malaysia menjulang gelaran kejohanan Terbuka Malaysia hampir menjadi kenyataan apabila P Gunasegaran bertarung hebat menerusi pertarungan penentuan tiga penjuru dengan pemain New Zealand Frank Nobilo dan Sweden Joakim Haeggman. Bagaimanapun, dia gagal pada lubang ketujuh, menyaksikan gelaran dibawa pulang Haeggman.

Menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 17 hingga 20 April 2014 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), kita masih ternanti-nanti kelibat juara daripada kalangan anak tempatan. Mampukah misteri itu dirungkai musim ini?

Ikuti temubual dengan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Foto

MOHD Anwar tiga dari kiri) bergambar bersama pemain negara yang menyertai Terbuka Malaysia.

SOALAN (S): Kejohanan Terbuka Malaysia sudah menjangkau lebih 50 tahun, apa pandangan Tan Sri mengenai perkara ini?

JAWAPAN (J): Kejohanan Terbuka Malaysia adalah satu pertandingan yang sudah mendapat pengiktirafan Jelajah Eropah dan Asia, ia sudah menjadi satu pertandingan yang boleh dibanggakan Malaysia dan pertandingan unggul di rantau ini. Apabila Jelajah Eropah dan Asia menghantar pemain berkaliber untuk menyertainya, secara tidak langsung pemain tempatan kita dapat bersaing bersama mereka.

Menerusi pertandingan ini juga, 22 pemain profesional kita bertanding, bermakna inilah pertandingan yang banyak memberi peluang kepada anak watan profesional kita bersaing dan mengambil bahagian. Jika mengambil contoh kejohanan lain, nampaknya tidak banyak peluang pemain profesional tempatan menyertainya. Ia lebih kepada pemain profesional luar negara.

Dalam pada itu kita juga memberi peluang kepada empat pemain amatur yang menunjukkan prestasi dan memenangi beberapa pertandingan amatur dalam negara dan mereka diberi peluang bertanding.

Kita rasa pendedahan ini akan meningkatkan prestasi mereka apabila bertanding dengan pemain profesional ternama. Ini adalah satu-satunya pendekatan yang baik dan tahun lalu, Gavin Kyle Green yang walaupun seorang amatur, tetapi prestasinya menunjukkan dia adalah yang terbaik berbanding pemain profesional. Dia layak ke aksi hari terakhir.

Saya rasa Gavin akan bertanding tahun ini dan akan menampilkan kejutan kerana dia menduduki ranking 10 ke bawah amatur dunia.

(S):Sepanjang penganjuran Terbuka Malaysia, bagaimana Tan Sri melihat prestasi pemain kita?

(J): Kalau mengikut tahun lepas, tidak ramai yang layak hingga ke hari terakhir kejohanan. Saya berhasrat untuk melihat lebih ramai daripada kalangan 22 pemain kita melepasi 'cut' yang membolehkan mereka bermain di hari terakhir.

Pada masa sama kita masih belum mempunyai sebarang juara Terbuka Malaysia dari kalangan pemain tempatan.

Selagi prestasi pemain kita tidak meningkat ke tahap antarabangsa, saya rasa ia satu perkara yang sulit untuk menjadi juara Terbuka Malaysia. Pada pandangan saya, belum ada pemain profesional kita mampu memberi kejutan sampai ke tahap lima teratas atau 10 teratas dalam pertandingan ini. Kalau kita lihat pemain Jelajah Eropah atau Asia, mereka menunjukkan prestasi amat tinggi.

(S): Pencapaian terbaik kita?

(J): Belum mencapai 20 tangga teratas, kalau mencapai 15 atau 10 tangga teratas, ia sudah boleh dianggap terbaik. Kita boleh membawa pemain ke Jelajah Asia dan Eropah. Ini kerana jika mereka mendapat kedudukan yang baik, secara automatik mereka akan dijemput ke Jelajah Asia atau Eropah. Itulah gunanya kejohanan ini. Ranking amat tinggi dan sebab itulah Eropah mahu menghantar pemain mereka dan setakat ini Lee Westwood, bekas pemain nombor satu dunia sudah mengesahkan akan bertanding, tetapi senarai akhir masih belum diputuskan dan kita akan umumkan daripada semasa ke semasa.

(S): Saya juga ingin bertanyakan mengenai Sukan Olimpik Rio di mana golf juga tersenarai. Adakah kita mampu untuk layak ke Olimpik buat masa ini?

(J): Setakat ini, jika kita benar-benar mahu layak, pemain kita mestilah berada di bawah 100 ranking dunia, itu yang menjadi halangan. Baru-baru ini, pemain kita Nicholas Fung baru berada dalam lingkungan 200 pemain terbaik dunia. Jika berada dalam 100 ke bawah, sudah pasti peluang kita lebih cerah untuk bermain di Olimpik.

(S): Jadi apakah strategi persatuan memastikan atlet kita layak ke Olimpik, mungkin bukan untuk kali ini tetapi pada edisi berikutnya?

(J): Dengan barisan pemain muda, saya rasa kita akan memiliki pemain yang boleh menentukan mereka layak ke Olimpik 2020. Saya rasa dengan program dan latihan lebih teratur selain memberi pendedahan di peringkat antarabangsa akan dapat membantu menaikkan ranking mereka di bawah 100 dan memudahkan mereka layak ke Olimpik.

Itu menjadi indeks Penentu Prestasi (KPI) kita untuk memulakan program dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya program ini tidak terletak di bahu Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA), tetapi program ini harus menjadi program nasional untuk mendapatkan pemain berbakat untuk digilap dari sekarang hingga Olimpik 2020. Ia satu usaha integrasi, mereka yang berkepentingan dalam golf dan KBS.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Kalau berani jadilah pengadil

Posted: 22 Feb 2014 07:14 AM PST

BERCAKAP mengenai bola sepak, pasti kita tidak terlepas daripada menyentuh soal pengadil - individu paling penting dalam setiap perlawanan.

Suka atau tidak, pengadil itulah juga yang akan menentukan setiap keputusan dan sudah pastinya, apa saja yang diputuskan olehnya tidak akan disenangi segelintir pihak tidak kira pemain, pegawai pasukan hatta penyokong.

Pengadil - sekali pandang tugasnya kelihatan mudah kerana hanya perlu meniup wisel dan memberikan sepakan percuma, penalti mahupun apa saja keputusan lain tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar faham dan mengerti betapa sukarnya untuk menyarung seragam selaku individu yang tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa mereka adalah orang paling penting dalam menentukan hala tuju perlawanan.

Selaku orang tengah yang tidak memihak kepada pasukan sedang bertanding, pengadil juga perlu membuat keputusan secara segera berdasarkan logik semasa kerana mereka tidak seperti kita yang berpeluang melihat ulang tayang semua insiden yang berlaku di atas padang.

Foto

PENGADIL perlawanan kerap kali disalahkan penyokong.


Bukan mudah bagi seseorang pengadil itu untuk menjalankan tugasnya dan ia belum lagi dikira dengan berapa banyak kata-kata penghinaan, maki-hamun serta pelbagai ejekan yang harus ditelan setiap pengadil.


Sebagai pegawai di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya amat mengharapkan semua perlawanan berlangsung dengan semangat kesukanan tetapi sejak kebelakangan ini, apa yang kami lihat ialah pengadil pasti dijadikan 'kambing hitam' oleh sesetengah jurulatih apabila pasukan mereka tewas.

"Pengadil salah membuat keputusan, pengadil itu dan pengadil ini." Semuanya salah pengadil tetapi berapa ramaikah di antara kita yang berani menyahut cabaran bergelar seorang pengadil bola sepak?

Kata pepatah, 'menyalahkan orang lain adalah lebih mudah berbanding menyalahkan diri sendiri' dan itulah yang berlaku di pentas bola sepak kita sekarang kerana setiap kali pasukan yang kita sayang itu kalah, maka kita lebih senang menyalahkan orang lain di atas kekurangan itu.

Paling mudah, salahkan saja pengadil kerana mereka amat jarang dapat membalas balik setiap tuduhan tetapi cuba tanyakan pada diri sendiri, mampukah kita memikul tugas seperti yang sedang mereka lakukan?

Pengadil juga manusia biasa dan kami di FAM tidak menolak kemungkinan ada di antara keputusan pengadil tidak begitu tepat tetapi sebagai badan induk kebangsaan, kami mohon supaya semua pihak menerima keputusan dengan hati terbuka.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa masalah kekurangan pengadil bertaraf kebangsaan serta FIFA kini semakin meruncing lantaran kerjaya itu tidak lagi berupaya menarik perhatian awam kerana masing-masing tidak lagi sanggup menadah telinga mendengar maki-hamun penyokong.

Itu belum lagi dikira jumlah keselamatan pengadil yang diancam pihak tidak bertanggungjawab hanya kerana pasukan kesayangan mereka tidak menang.

Justeru, saya mempelawa mana-mana individu yang merasakan mereka mampu bergelar pengadil bola sepak supaya tampil untuk sama-sama bergelumang dengan dunia bola sepak Malaysia dan secara kebetulan, peluang untuk menjadi pengadil ketika ini terbuka luas.

Syaratnya juga mudah iaitu mereka yang berminat perlu berusia di bawah 25 tahun. Mengapa 25 tahun? Jawapannya cukup mudah kerana pada usia sebegitu, potensi mereka untuk pergi lebih jauh termasuk bergelar pengadil FIFA adalah lebih tinggi.

Berani?

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Legasi Hashim kembali

Posted: 22 Feb 2014 07:12 AM PST

Kuala Lumpur: Mungkinkah pasangan kembar Muhammad Hafizi dan Muhammad Hafifi Hashim, 24, mampu melangkah jauh untuk bergelar jaguh beregu negara satu hari nanti?

Apatah lagi status adik kepada jaguh badminton negara Roslin dan juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim sudah membentuk 'acuan' dan laluan tersendiri untuk menjadi wira badminton masa depan.

Kejayaan memenangi pingat emas acara beregu di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), baru-baru ini secara tidak langsung mendedah potensi yang ada dalam pasangan terbabit.

"Memang ramai yang sudah tahu kami adik Roslin dan Hafiz, tetapi mungkin ada yang terkejut dengan tahap permainan kami," kata Hafizi yang lahir dua minit lebih awal daripada Hafifi.

Foto

HAFIZI (kiri) dan Hafifi mahu kumpul seberapa banyak mata.

Foto

SENTIASA fokus ketika latihan.

Foto

KEJAYAAN Hafiz mendorong semangat kedua adik kembarnya.


Jelas Hafifi, kedua-dua mereka tidak meletak sebarang sasaran dalam pertandingan itu, tetapi selepas menang perlawanan demi perlawanan, keyakinan untuk terus berjuang semakin meningkat, justeru bersyukur dengan kemenangan itu.


Mula bermain sejak sekolah rendah lagi, kedua-dua mereka bagaimanapun beraksi sebagai beregu ketika berusia 14 tahun apabila mara ke separuh akhir Sirkit Remaja Kebangsaan dan gandingan mereka kekal hingga sekarang.

Kejayaan Roslin, Hafiz serta seorang lagi abang mereka Muhammad menyemarakkan impian kembar kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu untuk mengikut jejak 'senior' mereka itu apatah lagi pada awalnya mereka lebih berminat bermain bola sepak.

"Begitupun ayah menasihati kami untuk mengikut jejak abang kerana mereka lebih dulu mencipta nama apatah lagi ketika bola sepak ketika itu tidak menjanjikan kehidupan lebih baik berbanding sekarang. Meskipun keadaan sudah jauh berubah, tetapi sudah rezeki kami dalam badminton," kata Hafizi.

"Kejayaan Roslin ternyata menggembirakan keluarga begitu juga dengan Hafiz yang menjuarai Seluruh England ketika kami di tingkatan satu. Ia memberi semangat kepada kami, lebih-lebih lagi ada abang menyokong dari belakang.

Pasangan terbabit yang mengagumi gaya permainan beregu Denmark, Mathias Boe/Carsten Mogensen terus mengorak langkah apabila kini menyertai Kelab Badminton Jaguh Tangkis (JTBC) yang banyak membantu mereka mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

"Kami mempunyai peluang melakukan 'sparring' dengan pemain yang sebelum ini pernah mewakili negara seperti Arif Latif, pasangan beregu Zakry Latif/Fairuzizuan Tazari selain Razif Latif/Vountus Indramawan apatah lagi banyak menerima tunjuk ajar daripada mereka," kata Hafizi.

Nyata bergelar beregu adik-beradik apatah lagi kembar banyak membawa kelebihan kepada mereka. Bukan saja dengan wajah seiras tetapi dengan gaya permainan pasti mampu mengelirukan lawan.

"Jika Hafifi tidak bermain dengan baik, saya boleh 'cover' dia dan begitulah sebaliknya, tetapi jika dua-dua tidak bermain dengan baik, habislah," gurau Hafizi.

"Yang pasti, tiada masalah memupuk persefahaman kerana naluri kami sama, cuma masih ada yang perlu kami perbaiki untuk menjadi beregu yang baik," jelas Hafifi yang seperti abangnya suka memancing dan bermain futsal jika ada masa terluang.

Kini, Hafizi dan Hafifi mahu mengikut satu lagi langkah yang dibuka abang mereka iaitu beraksi di pentas luar negara. Kejohanan di Hanoi dan Osaka akan menjadi pentas sulung bersaing dengan pemain antarabangsa.

"Matlamat kami adalah untuk mengutip sebanyak mungkin mata bagi membolehkan kami menyertai lebih banyak kejohanan besar. Secara tidak langsung membolehkan kami belajar corak permainan pemain luar negara," kata Hafifi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Pencarian juara futsal diteruskan!

Posted: 22 Feb 2014 07:09 AM PST

Kuala Lumpur: Pencarian juara bagi kategori Terbuka Wanita dan Lelaki bawah 17 tahun Karnival Futsal Harian Metro edisi Lembah Klang diteruskan hari ini dengan 115 pasukan bakal berentap di Kompleks Sukan Uptown Sports, Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Selain Terbuka Wanita dan Lelaki Bawah 17 Tahun, lapan pasukan daripada kategori Terbuka Lelaki yang sudah melayakkan diri ke saingan suku akhir akan turut meneruskan aksi hari ini selepas berjaya mengharungi rintangan awal semalam.

Karnival Futsal Harian Metro yang memasuki edisi kelapan sejak mula diperkenalkan pada 2006, masih mendapat tempat di hati peminat futsal dan ia dibuktikan dengan penyertaan 234 pasukan bagi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan.

Hari ini, kategori Lelaki bawah 17 tahun dan Terbuka Wanita akan berlangsung tepat jam 9 pagi dengan peringkat pertama dilangsungkan secara liga manakala format kalah mati akan hanya dilaksana apabila pertandingan memasuki pusingan kedua.

Foto

PEMAIN memanaskan badan sebelum kejohanan bermula.

Foto

PENGUNJUNG dan peserta mencuba nasib menyepak bola masuk ke dalam lubang dalam acara sampingan.

Foto

PENGUNJUNG dihiburkan dengan pertunjukan badut.


Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan mara ke pusingan kedua.


Penampilan beberapa pasukan yang sering menyertai karnival bagi kategori Lelaki bawah 17 tahun seperti Court Soccer, Bertam Ulu, RG Jr KPFM dan Adam FC pasti memberi kelebihan kepada mereka untuk melangkah lebih jauh dalam saingan kali ini.

Namun sejarah sudah membuktikan, pengalaman tidak memberi jaminan untuk sesebuah pasukan itu mara lebih jauh jika tiada kesungguhan dan semangat kental untuk mengharungi saingan yang sememangnya cukup sukar.

Bermakna, tidak mustahil juga bagi pasukan yang bakal membuat penampilan pertama memberi kejutan dan berpeluang cerah untuk bergelar juara.

Manakala bagi kategori Terbuka Wanita, nama seperti Rem FC yang menghantar lima pasukan sudah cukup sinonim dengan karnival ini.

Pasukan itu bagaimanapun dijangka menerima tentangan sengit dari pasukan yang juga tidak asing lagi seperti Phoenix TGF yang diletakkan bersama-sama dengan Rem FC B dalam kumpulan 3.

Namun Drazquin dari Ipoh dan Rebel Pahang dilihat mampu untuk mencelah memberi tentangan dalam usaha mereka bergelar juara kategori Wanita Terbuka.

Karnival Futsal Harian Metro Lembah Klang yang menawarkan hadiah keseluruhan RM26,900 dianjurkan dengan kerjasama AmBank sebagai penaja bersama selain Figos selaku rakan penaja.

Juara Terbuka Lelaki akan membawa pulang RM5,000, Terbuka Wanita (RM3,000) manakala Lelaki Bawah 17 (RM2,000).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Patah kaki angkara bola

Posted: 22 Feb 2014 07:05 AM PST

Melaka: "Kaki saya pernah patah sebab main bola," kata penyanyi rock terkenal Datuk Ramli Sarip, 62, sekali gus membuka cerita mengenai kegilaannya terhadap sukan nombor satu itu.

Kaki kirinya 'patah tebu' akibat berlaga dengan pemain lawan ketika aksi persahabatan bola sepak antara kilang tempatnya bekerja di Singapura pada 1976 tetapi insiden hitam itu tidak pernah luput daripada ingatannya walaupun ia sudah berlaku lebih 37 tahun lalu.

Menceritakan kembali kejadian berkenaan, dia yang hanya pada mulanya sekadar mahu datang sebagai penonton, diminta rakan lain untuk turut bermain dan akibatnya, Ramli terpaksa berehat hampir setahun.

"Peristiwa malang itu bagaimanapun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus bermain walaupun tidak terpilih mewakili pasukan Kota Singa akibat terlalu sibuk dengan dunia muzik bersama kumpulan Sweet Charity.

Foto

RAMLI (kanan) bersama Idris dalam satu persembahan di Melaka.


"Saya pernah beraksi di depan puluhan ribu penonton ketika bersama kumpulan berkenaan dan rakan artis dalam satu perlawanan amal di Kuantan, Pahang sekitar 80-an serta beberapa aktiviti sama di sekitar Kuala Lumpur selepas itu," katanya.


Ramli berkata, peluang sesekali melepas geram dengan menendang bola tidak akan dilepaskan begitu saja tambahan pula minatnya terhadap bola sepak cukup mendalam.

"Bagi saya, bola sepak dan muzik tidak boleh dipisahkan walaupun pendekatannya agak berbeza berikutan kedua-duanya menuntut penggiatnya lebih berdisiplin dan mematuhi apa juga prosedur dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan kepada semua yang terbabit," katanya.

Justeru, konsertnya 'Blues Buat Teman' pada 15 Mac yang bakal diadakan di Hotel Hatten, Bandar Hilir itu turut bertujuan mengisi dana pasukan Melaka United (MU) yang beraksi di Liga FAM musim ini selain menyumbang kepada rakan muziknya yang mengalami masalah kesihatan termasuk Yazit Ahmad dari kumpulan Search yang mengidap komplikasi buah pinggang.

Malah, konsert terbabit dianggap sebagai pentas buatnya mengutarakan isu kesejahteraan penyokong bola sepak untuk tidak terbabit dengan insiden pergaduhan dan salah laku yang boleh merosakkan agenda pembangunan sukan berkenaan.

"Saya kesal dengan kejadian pergaduhan penyokong yang berlaku baru-baru ini dan saya mahu turut sama berusaha membantu apa yang terdaya bagi membanteras gejala samseng bola sepak yang merugikan pembangunan sukan.

"Saya juga mencadangkan penubuhan Yayasan Kelab Penyokong dengan setiap ahli memiliki insuran kemalangan diri yang perlu diperkenalkan bagi membela ahli terbabit dalam kejadian tidak diingini," katanya yang turut meminati sukan sepak takraw.

Katanya, beliau turut mengharapkan lebih banyak kerjasama antara kumpulannya dengan skuad MU pada masa depan dalam misi membantu perkembangan pasukan terbabit sambil mengharapkan lebih ramai artis tampil bersama pasukan bola sepak di negara ini sekali gus dapat menyumbang kepada kemeriahan liga Malaysia.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Harun berkata pembabitan Ramli bersama MU menjadi antara medium terpenting mendidik peminat supaya tidak terbabit dengan gejala tidak sihat ketika di dalam dan luar stadium.

Katanya, beliau juga mengharapkan pasukan itu akan cemerlang di pentas liga FAM sekali gus layak ke Liga Perdana 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Sherwood ucap terima kasih pada peminat

Posted: 22 Feb 2014 06:40 AM PST

London: Ketua jurulatih Tottenham Hotspur, Tim Sherwood mengucapkan 'terima kasih' kepada peminat bertandang ke Ukraine menentang Dnipro Dnipropetrovsk pada perlawanan Liga Europa meskipun terdapat keganasan di ibu kota Kiev.

Spurs hadir dengan seramai 100 penyokong mereka yang berkunjung ke Dnipro Arena bagaimanapun kecewa selepas tunduk 1-0 kepada skuad Ukraine dikendalikan oleh bekas pengurus Tottenham, Juande Ramos, menerusi jaringan penalti Yevhen Konoplyanka.

"Pemain tidak menjangkakan sebarang peminat akan bertandang ke sana disebabkan masalah tercetus di Kiev tetapi saya memberitahu mereka pasti ada peminat datang kerana mereka sentiasa berada bersama kami," kata Sherwood, yang mengendali kali pertama skuad itu pada perlawanan pertama 32 pasukan saingan Eropah itu, katanya dalam laman web kelab itu (www.tottenhamhotspur.com).

"Mereka memang jenis akan berkunjung ke stadium lawan sejak saya bermain pada usia muda.


"Pemain juga terharu dan berterima kasih kerana memiliki kelompok peminat mewakili kami seperti mana di kelab bola sepak itu, jadi kami mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang datang ke Dnipro dan kami faham ia bukan satu perjalanan yang mudah buat mereka."


Spurs, berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris dengan 50 mata selepas 26 perlawanan, akan memanggil semula Hugo Lloris, Kyle Walker, Younes Kaboul, Mousa Dembele, Aaron Lennon dan Emmanuel Adebayor untuk perlawanan di Norwich City hari ini selepas semua pemain terbabit direhatkan ketika menentang Dnipro.

Skuad Sherwood akan beraksi tanpa pemain pertahanan mengalami kecederaan, Vlad Chiriches dan pemain bergerak bebas, Erik Lamela menghadapi skuad kendalian Chris Hughton tetapi pemain tengah Brazil, Sandro semakin hampir bermain semula dalam kesebelasan utama selepas mengalami kecederaan betis. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Nadal mara mudah

Posted: 22 Feb 2014 06:40 AM PST

Rio de Janeiro: Pilihan utama kejohanan, Rafael Nadal mara ke separuh akhir Terbuka Rio, menewaskan pemain Portugal Joao Sousa 6-1, 6-0 semalam meskipun menghadapi sakit belakang.

Nadal, pemain nombor satu dunia yang menyertai kejohanan pertamanya sejak tewas di final Terbuka Australia menampilkan aksi terbaiknya di Brazil dan akan menentang rakan senegara dari Sepanyol, Pablo Andujar di separuh akhiri.

Andujar menewaskan seorang lagi wakil Sepanyol, Tommy Robredo 6-1, 6-1.

Dalam satu lagi pertemuan separuh akhir, pilihan kedua David Ferrer akan menghadapi pemain bukan pilihanAlexandr Dolgopolov.

Foto


Ferrer menewaskan pemain tuan rumah Thomaz Bellucci 4-6, 6-3, 6-3 manakala Dolgopolov dari Ukraine mara selepas menewaskan pilihan ketiga Fabio Fognini 6-1, 6-1.


Ferrer menjuarai 21 gelaran perseorangan ATP dan diramalkan menjadi pilihan ke final menentang Nadal yang menjuarai 61 gelaran termasuk 13 Grand Slam.

"Saya fikir, saya sudah perbaiki segala-galanya," kata Nadal.

"Saya bermain dengan sempurna. Saya mempamerkan permainan terbaik dalam kejohanan ini dan bukan itu saja, saya bermain di tahap tinggi.

"Saya lakukan perkara yang sebelum ini tidak mampu saya lakukan beberapa hari lalu. Pergerakan saya semakin baik. Saya rasa lebih bertenaga, lebih agresif."

Ditanya mengenai masalah belakang, Nadal enggan mengulas perkara itu.

"Kita bukan hendak bercakap mengenai masalah belakang setiap hari. Saya sudah berada di suku akhir."

Nadal mengalami sakit belakang ketika melakukan latihan pemanas badan untuk perlawanan akhir di Melbourne sebelum tewas kepada Stanislas Wawrinka dalam perlawanan yang menjadikannya pemain pilihan untuk menjuarainya.

Dia berehat beberapa minggu dan menggunakan kejohanan di Rio sebagai persediaan untuk kejohanan gelanggang tanah liat selama tiga bulan menjelang Terbuka Perancis.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

McDowell terus pamer aksi mantap

Posted: 22 Feb 2014 06:38 AM PST

Marana, Amerika Syarikat: Graeme McDowell mempamerkan aksi membanggakan buat hari ketiga berturut-turut dengan menewaskan Hunter Mahan dalam aksi 21 lubang untuk mara ke suku akhir Kejohanan Match Play Kejohanan Golf Dunia semalam.

McDowell, juara terbuka Amerika Syarikat 2010 dari Ireland Utara menang lubang ke-17 dan 18 untuk mengikat kedudukan, melakukan pukulan putt sejauh 19 kaki pada lubang ke-20 dan satu lagi putt di lubang terakhir untuk mara ke perlawanan berikutnya.

"Pada mulanya saya sangkakan peluang saya sudah berakhir kali ini, saya tidak terfikir peluang masih ada," kata McDowell.

"Saya bagai menggunakan 'sembilan nyawa' dan kemudiannya satu lagi peluang hadir." McDowell beraksi 58 lubang dan tidak mendahului dalam mana-mana perlawanan sehinggalah di lubang terakhir.

"Saya tidak rasa malu, tetapi saya seperti 'merompak' mereka," kata McDowell.

Mahan, pemenang Match Play 2012 dan naib juara 2013 menampilkan ulangan pertembungan epik Piala Ryder 2010 dengan McDowell yang menewaskan pemain Amerika Syarikat itu 3 dan 1 di Celtic Manor untuk memastikan kejuaraan milik Eropah.

McDowel mara ke suku akhir menentang pemain Perancis, Victor Dubuisson yang mengecewakan juara Masters 2012 Masters Bubba Watson, lima hari selepas pemain AS itu meraih kemenangan di Riviera, iaitu kemenangan pertama sejak dia menyarung Jaket Hijau di Augusta National.

"Kami tidak bermain dengan baik tetapi saya berjaya mendapatkan beberapa par untuk memastikan kemenangan," kata pemain Perancis itu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

No comments:

Post a Comment