Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kelar anak di hospital

Posted: 24 Jan 2014 11:44 AM PST

Madrid: Seorang wanita warga Switzerland yang ditahan pihak berkuasa Sepanyol bersama anak lelakinya berusia 10 bulan mengelar leher bayi itu sehingga mati menggunakan pisau yang disembunyikan dalam lampinnya.

Polis Sepanyol berkata, Katharina Katit-Staheli, 40, ditahan Rabu lalu bersama anaknya di Torrevieja berdasarkan waran tangkap antarabangsa daripada polis Zurich kerana didakwa melarikan anaknya yang menghidap masalah otak tanpa kebenaran sebuah klinik pakar di Switzerland.


Kehilangan mereka dilaporkan bapa kanak-kanak terbabit berikutan Katharina tidak mempunyai hak penjagaan terhadap anaknya itu.

Kali terakhir Katharina dilihat bersama anaknya di Zurich pada 24 Disember tahun lalu dan dipercayai meninggalkan Switzerland dengan menaiki jip hitam.


Dalam satu kenyataan, polis berkata wanita itu dan anaknya ditemui sekitar jam 7 malam di sebuah pusat beli-belah.


Mereka dibawa ke hospital kerana kanak-kanak terbabit memerlukan rawatan.

Foto

KATHARINA dan anaknya yang menghidapi masalah otak.

Katharina kemudian meminta izin memandikan anaknya sebelum membunuhnya sekitar tengah malam.


Dia kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri, namun berjaya dihalang anggota polis. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Bieber menangis ditahan

Posted: 24 Jan 2014 11:43 AM PST

Miami: Justin Bieber menangis selepas ditahan kelmarin kerana memandu secara mabuk, melawan ketika ditangkap dan memandu tanpa lesen ketika berlumba 'drag' menggunakan Lamborghini kuningnya.

Sumber mendakwa bintang pop berusia 19 tahun itu sebenarnya lebih tertekan malah dilihat menangis walaupun gambar ketika di penjara menunjukkan Bieber tersengih.


Menurut RadarOnline, ketika gambarnya diambil sejurus selepas ditangkap Bieber dilihat mengomel dan ketawa sendirian dipercayai akibat masih dipengaruhi alkohol.

Walaupun dia lebih murung dan serius ketika dihadapkan ke mahkamah sebelum dibebaskan dengan jaminan AS$2,500 (RM8,331), Bieber kembali senyum seolah-olah tidak terkesan dengan penangkapannya, malah sempat melambai kepada peminatnya. Senyumannya seolah-olah menutup kegusaran yang dirasakan.


Malah ayahnya Jeremy yang juga hadir bersama peguamnya Roy Black, turut kelihatan tertekan.


Desas-desus mengatakan Jeremy sebenarnya memainkan peranan dalam kejadian yang membawa kepada penangkapan anaknya itu.

Foto

BIEBER nampak tersenyum dalam gambar ini namun sumber melaporkan dia menangis.

Sumber memberitahu TMZ, dia yang menutup jalan di tempat kejadian untuk membolehkan anaknya berlumba.


Malah dia dilihat dalam kelab malam SET bersama anaknya berkenaan sebelum kejadian selain ada berhampiran ketika Bieber ditahan.

Sebelum kejadian dia dilihat berseronok di kelab malam bersama model Chantel Jeffries dan beberapa rakan, malah mengakui menghisap ganja sepanjang hari selain mengambil Xanax (ubat antimurung) yang diberikan ibunya serta bir sebelum ditahan pada jam 4 pagi.


Ketika ditangkap Bieber bersikap kurang ajar dan memaki polis.


Menurut hos Access Hollywood Bill Bush, pengurus Bieber Scooter Braun dan pasukannya kini memberi kata dua supaya dia mendapat rawatan pemulihan dan psikoterapi yang sudah dipersetujui penyanyi itu. Sementara itu, Datuk Bandar Miami Beach Philip Levine berkata Bieber tidak akan mendapat layanan istimewa. Rakan Bieber Khalil Sharief, 19, yang juga penyanyi rap turut ditahan dalam perlumbaan sama dan dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak AS$1,000 (RM3,332) kerana memandu Ferrari miliknya dalam keadaan mabuk. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Terserah pada Yingluck

Posted: 24 Jan 2014 11:36 AM PST

Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam menyerahkan kepada Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memutuskan penangguhan pilihan raya negara itu.

Mahkamah berkenaan semalam memutuskan pilihan raya yang ditetapkan pada 2 Februari sebelum ini boleh ditangguhkan tetapi berkata menjadi tanggungjawab Yingluck dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya membuat keputusan itu.

Yingluck berdepan dengan tekanan supaya meletakkan jawatan selepas tunjuk perasaan antikerajaan berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Sembilan orang terbunuh dan ratusan yang lain cedera dalam serangan ke atas penunjuk perasaan baru-baru ini.


Parti pembangkang mengisytiharkan untuk memulaukan pilihan raya itu pada Februari ini manakala penunjuk perasaan berikrar mengganggu proses pengundian.

Mereka menuntut pembaharuan dilakukan bagi menangani rasuah dan pembelian undi sebelum pilihan raya diadakan.

Kerajaan sebelum ini menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pengundian dan menyatakan mengikut perlembagaan, pilihan raya mesti dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen yang dilakukan Disember lalu.

Pemimpin penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban kelmarin mengancam menutup semua laluan ke pusat mengundi bagi menghalang proses pilihan raya pada 2 Februari.

Sesetengah kawasan tidak mempunyai calon selepas penunjuk perasaan antikerajaan menghalang proses pendaftaran bulan lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Pejabat SPR dikepung penunjuk perasaan

Posted: 24 Jan 2014 11:35 AM PST

Bangkok: Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di 20 daerah di selatan Thai dikepung oleh penunjuk perasaan antikerajaan menjelang proses pengundian awal Ahad ini.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihanraya,Puchong Nutrawong berkata,agensi itu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu perundangan yang mungkin timbul akibat sekatan yang dibuat di tempat pengundian awal yang ditetapkan.

Petugas pilihanraya diberikan panduan dalam menangani situasi sekiranya berlaku sekatan di kawasan mereka bertugas.

Sementara itu, jurucakap penunjuk perasaan antikerajaan, Akanat Promphan berkata, pihaknya tidak akan mengganggu proses pengundian awal atau pilihanraya pada 2 Februari.


Namun mereka tetap meneruskan demonstrasi bagi menyampaikan mesej jelas menentang pilihan raya sebelum reformasi politik dilakukan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

80 peratus akan keluar mengundi

Posted: 24 Jan 2014 11:35 AM PST

Bangkok: Kajian pendapat yang dijalankan mendapati, 80 peratus rakyat akan keluar mengundi pada 2 Februari ini dan majoriti menolak rampasan kuasa tentera sekiranya perhimpunan bertukar ganas.

Kajian yang dijalankan ke atas 1,018 orang berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara antara 21 dan 23 Januari.

Sebanyak 52.6 peratus bersetuju kemelut politik yang melanda mempengaruhi keputusan mereka untuk keluar mengundi.

Kira-kira 34.3 peratus daripadanya mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat situasi sebelum membuat keputusan untuk mengundi dan 18.3 peratus lagi mengatakan konflik ini membuatkan mereka takut untuk mengundi.


Sementara itu, 47.4 peratus menyatakan pergolakan yang berlaku langsung tidak memberi kesan kepada mereka.


Daripada kumpulan ini 23.4 peratus mengatakan mereka sememangnya akan mengundi dan 24 peratus lagi merasakan mengundi adalah kewajipan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

48 Muslim disah dibunuh

Posted: 24 Jan 2014 11:34 AM PST

Yangon: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengesahkan sekurang-kurangnya 48 orang Islam maut ketika serangan puak beragama Buddha di sebuah perkampungan di barat Myanmar baru-baru ini.

Kerajaan negara itu menafikan kejadian berkenaan apabila ia pertama kali dilaporkan minggu lalu.


PBB dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan menerima laporan yang boleh dipercayai mengatakan sekurang-kurangnya 48 maut dalam dua serangan berasingan.

Laporan itu diperoleh hasil temuramah dengan saksi, mangsa dan pegawai tempatan.


Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Navi Pillay menyeru kerajaan Myanmar menjalankan siasatan penuh dan berkecuali terhadap kejadian itu bagi memastikan mangsa dan keluarga mereka menerima keadilan sewajarnya. "Saya mengecam keganasan di perkampungan Du Chee Yar Tan berkenaan.


"Kerajaan perlu membuat siasatan sewajarnya yang pasti membuktikan ketelusannya selain memperkukuhkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang Myanmar," katanya. Desas-desus awal mengenai kejadian itu berlaku ketika Myanmar menjadi tuan rumah bagi pertemuan menteri luar ASEAN.

Sehubungan itu, jurucakap Presiden Ye Htut menyatakan bantahan terhadap tuduhan PBB itu malah menegaskan fakta dinyatakan salah berikutan keadaan di Du Chee Yar Tan tenang.


Akhbar tempatan juga menyiarkan laporan setiap hari menafikan kejadian, malah laman web Kementerian Penerangan kelmarin mendakwa Ketua Menteri Rakhine Hla Maung Tin melawat perkampungan itu dan melihatnya dalam keadaan aman.

Kejadian di Du Chee Yar Tan, perkampungan di utara wilayah Rakhine, dianggap yang paling teruk setakat ini malah menjadikan jumlah kematian orang Islam di Myanmar direkodkan lebih daripada 280 orang manakala 250,000 lari meninggalkan kediaman mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Rampas RM73.5 juta dadah

Posted: 24 Jan 2014 11:34 AM PST

Manila: Polis semalam menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai 1.3 bilion peso (RM73.5 juta), rampasan terbesar kedua di bandar raya ini dalam masa 10 hari.

Ketua polis antidadah Filipina, Bartolome Tobias berkata, lelaki berkenaan berada di dalam van yang sarat dengan lima tong kayu berisi kira-kira 272 kilogram dadah itu ketika mereka dipintas.


Kejayaan itu adalah hasil maklumat orang ramai.

Minggu lalu, Biro Siasatan Kebangsaan menangkap empat lelaki Kanada yang disyaki menyeludup dadah dari Mexico dalam serbuan berasingan di beberapa kondominium mewah di Manila.


Kokain bernilai 100 juta peso (RM7.35 juta) turut dirampas dalam serbuan berkenaan. - AFP

Foto

ANGGOTA polis merampas tong berisi dadah selepas memintas sebuah van di selatan Manila, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Tentera Indonesia mati ditembak pemisah Papua

Posted: 24 Jan 2014 11:32 AM PST

Papua: Seorang anggota tentera Indonesia mati selepas ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di Puncak Jaya di sini, semalam.

Kejadian berlaku selepas anggota tentera menembak dan membunuh seorang lelaki dan merampas senjatanya di Pintu Angin, juga di Puncak Jaya.


"Seorang anggota kami ditembak mati oleh lelaki bersenjata ketika dia dan anggota polis dalam perjalanan ke tempat kejadian pertama," kata sumberkomander tentera Indonesia di Papua, Mejar Jeneral Zebua.

Mangsa, Sugiartu dikatakan mengiringi pegawai tentera dan polis ke lokasi tempat kejadian pertama apabila mereka diserang kumpulan berkenaan.


Menurut polis, kumpulan itu dipercayai anggota pemisah Papua dan diketuai oleh lelaki bernama Yambi, pemimpin tempatan Pertubuhan Pembebasan Papua. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Pemimpin NU meninggal

Posted: 24 Jan 2014 11:31 AM PST

Semarang: Pemimpin spiritual Nahdlatul Ulama (NU). Muhammad Achmad Sahal Mahfudz meninggal dunia di rumahnya di Kompleks Pesantren Maslakul Huda, Jawa Tengah, semalam.

Beliau yang berusia 76 tahun dikebumikan sebelum solat Jumaat, kata Timbalan Setiausaha Agung NU, Sulthan Fatoni.


Sehubungan itu, Sulthan berkata, pihaknya mengarahkan semua ahlu pertubuhan Islam itu melakukan solat ghaib.

"Di An Nahdlah (bangunan NU di Jakarta), kami akan melakukan tahlil selama tujuh hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

3 bom gegar Kaherah

Posted: 24 Jan 2014 11:29 AM PST

Kaherah: Letupan tiga bom selang beberapa jam di bandar ibu negara Mesir ini semalam meragut lima nyawa.

Serangan berkenaan yang disasarkan ke atas anggota polis dilakukan sehari sebelum ulang tahun ketiga kejatuhan bekas Presiden Hosni Mubarak.


Kementerian kesihatan berkata, letupan pertama berlaku pada jam 6.15 pagi (waktu tempatan) menyebabkan empat kematian manakala lebih 70 cedera.

Beberapa jam kemudian, sebuah bom kecil meletup berhampiran kereta peronda polis dekat stesen metro.


Seorang maut dalam kejadian itu.


Dua letupan itu mengakibatkan kerosakan teruk kepada bangunan ibu pejabat polis dan bahagian depan Muzium Kesenian Islam berhampiran.

Foto

ORANG ramai mengerumuni kawasan letupan di luar ibu pejabat polis di Kaherah, semalam.

Ia disusuli pula letupan ketiga di luar sebuah balai polis di jalan utama menuju ke piramid Giza.


Sementara itu, polis antirusuhan dipanggil mengawal keadaan selepas tempat kejadian dipenuhi ratusan orang dengan ada antara mereka menjerit mengutuk Ikhwanul Muslimin.

Ada juga yang membawa bendera Mesir dan gambar Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.


Kejadian berlaku sehari sebelum anggota polis dijadual untuk mengawal keadaan di sekitar Kaherah bersempena dengan ulang tahun ketiga kejatuhan Hosni selepas penyokong Ikhwan mengumumkan rancangan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap rejim yang kini memerintah Mesir.


Menteri Dalam Negeri Mohamed Ibrahim menjangka ramai yang akan mentyertai demonstrasi itu, hari ini.


Katanya, bom kedua menyasarkan kenderaan yang membawa beberapa anggota polis ke ibu pejabat itu.


"Kejadian itu menunjukkan pihak bertanggungjawab tidak mahu orang ramai meraikan ulang tahun 25 Januari itu," katanya.


Mangsa letupan, anggota polis Mahmud Mushref berkata, dia melihat kereta peronda terbabit meletup selepas merempuh pagar besi berhampiran ibu pejabat polis berkenaan.


"Ketika itu saya berada di tingkat tiga bersama ketua keselamatan.


"Kereta itu merempuh pagar berkenaan sebelum meletup," katanya.


Mahmud cedera di kepala akibat letupan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

No comments:

Post a Comment