Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ditembak serang polis

Posted: 21 Feb 2014 12:08 PM PST

Klang: "Ketika mendukung cucu, saya terkejut apabila sebuah lori yang dipandu laju dikejar seorang anggota polis yang menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi. Tiba-tiba lori itu berhenti dan pemandunya bergegas keluar sebelum bergelut dengan anggota polis berkenaan.

"Tidak lama selepas itu, pemandu lori terbabit cuba melarikan diri sebelum anggota polis berkenaan melepaskan tembakan. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, saya bersama cucu dan seorang lagi jiran terus menyorok ke dalam rumah," kata seorang wanita yang melihat kejadian tembakan di hadapan rumahnya di Jalan Samarinda 5C, Taman Kandis Permai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, seorang lelaki berusia 30 tahun cedera di kaki selepas ditembak ketika bergelut dengan anggota polis yang cuba menahannya. Ketika pergelutan itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan senjata tajam.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, sebaik lelaki terbabit ditembak di kawasan hadapan rumahnya, dia melihat dua lagi rakan lelaki itu melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum sepasukan anggota polis tiba.

Foto

ANGGOTA forensik memeriksa lori dinaiki suspek.

Foto

KELONGSONG peluru yang ditemui.


Beliau berkata, kecekapan polis yang berjaya menahan lelaki itu wajar dipuji kerana sekiranya terlepas mungkin lelaki berkenaan akan membahayakan nyawa penduduk berdekatan.


Difahamkan, lori tiga tan dinaiki lelaki itu bersama dua lagi rakannya dilaporkan hilang di Pandamaran, Ahad lalu dan cuba ditahan polis yang sedang mengawal lalu lintas sempena acara merentas desa di sebuah sekolah di Jalan Kebun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, sebaik melihat kelibat anggota trafik bertugas, suspek tidak memberhentikan lori sebaliknya terus melarikan diri ketika cuba ditahan.

Beliau berkata, suspek terus memandu melawan arus di sepanjang Jalan Kebun sebelum masuk ke kawasan Taman Kandis Permai yang terletak tujuh kilometer dari sekolah berkenaan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, suspek memberhentikan lorinya dan cuba menyerang anggota polis trafik menggunakan senjata tajam seakan pisau dalam usahanya untuk meloloskan diri.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis trafik terbabit melepaskan satu das tembakan dan mengenai kaki suspek sebelum rebah. Bagaimanapun, tiada kecederaan lain dilaporkan manakala anggota terbabit hanya luka di tangannya," katanya.

Kamarul Zaman berkata, suspek kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil dan polis tidak menolak kemungkinan suspek turut terbabit dengan kegiatan curi kenderaan di sekitar Klang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam lori itu turut menemui peralatan mencuri kenderaan antaranya mata gergaji yang diubah suai untuk menjadi pisau dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 375A KK kerana curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

'Saya ambil 'ubat', bukan dadah'

Posted: 21 Feb 2014 12:04 PM PST

Klang: "Saya hanya ambil ubat penahan sakit sebab badan terasa seperti mahu demam, bukannya dadah," itu alasan seorang pemandu lori yang didapati memandu di bawah pengaruh dadah dalam Ops Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol Bukit Raja, di sini, semalam.

Dalam operasi empat jam bermula jam 8.30 malam itu, lima penunggang motosikal dan seorang pemandu lori dikesan memandu di bawah pengaruh dadah apabila ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati mereka positif bahan larangan itu.

Pemandu lori yang enggan dikenali itu menafikan keputusan ujian saringan air kencing yang dibuat ke atasnya yang disyaki positif dadah methaphetamine sebaliknya mendakwa dia hanya mengambil ubat penahan sakit kerana badannya terasa tidak sihat.

Menurut pemandu lori berusia 28 tahun itu, ketika dalam perjalanan dari Simpang Renggam, Johor menuju ke Pelabuhan Klang, di sini, dia berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya kerana mengantuk kesan daripada mengambil ubat penahan sakit itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Adenan Md Isa berkata, hasil pemeriksaan ke atas 431 kenderaan, lima penunggang motosikal dan seorang pemandu lori ditahan kerana didapati positif dadah manakala sebanyak 182 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya cermin gelap, tiada lesen serta tidak menggunakan laluan motosikal.

"Daripada jumlah pemeriksaan itu, masing-masing sebuah teksi dan motosikal disita kerana didapati melanggar spesifikasi yang ditetapkan.

"Operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi kerajaan itu bukan saja bertujuan mengesan pemandu ingkar undang-undang lalu lintas, tetapi turut mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah," katanya ketika ditemui sebaik tamat operasi.

Operasi yang dijalankan turut membabitkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Foto

ANGGOTA JPJ memeriksa kenderaan ketika Ops Bersepadu di Plaza Tol Bukit Raja, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Cabut lari tinggal DVD

Posted: 21 Feb 2014 12:02 PM PST

Kuala Lumpur: Seorang penjual cakera padat video digital (DVD) cetak rompak yang menjual bahan haram itu di kaki lima depan sebuah premis di Setiawangsa di sini, sempat melarikan diri sebaik mendapat maklumat daripada dua lelaki yang tonto bermotosikal yang menyedari kejadian pihak berkuasa, petang kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua lelaki bertindak sebagai 'pemantau' itu dilihat berlegar-legar di kawasan sekitar terutama simpang masuk utama lokasi sebelum melihat ketibaan kenderaan penguat kuasa menuju premis itu.

Panik dengan keadaan itu, penjual DVD yang dikatakan baru memulakan perniagaan itu segera melarikan diri dan meninggalkan barangan yang dijual.

Tindakan peniaga dan tonto berkenaan disedari sepasukan lapan pegawai dan anggota dari Bahagian Kawalan Filem (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasanya Asman Ab Rahaman, jam 4.45 petang.

Pemeriksaan lanjut, sejumlah 455 DVD pelbagai filem dianggarkan bernilai RM4,550 dirampas kerana didapati tidak mempamerkan sijil perakuan B.

Pengarah BKF KDN WPKL Omar Mohd Bahari berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat penduduk setempat mengenai kewujudan aktiviti penjualan bahan itu secara terbuka di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan aduan diterima, DVD tidak sah berkenaan dijual individu tertentu terutama di depan premis bangunan dengan hanya membuka kaunter atau gerai dipercayai bagi memudahkan penjualnya melarikan diri.

"Memandang serius perkara itu, kami segera menjalankan serbuan dan pemeriksaan menyeluruh di kawasan dimaksudkan," katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun gagal menahan penjual gerai itu, pihaknya merampas ratusan bahan haram berkenaan sebelum dibawa ke Kompleks KDN Jalan Duta untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 18 (4) (a) Akta Akta Penapisan Filem 2002," katanya.

Omar berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang aktiviti penjualan haram berkenaan daripada berleluasa.

Foto

ANGGOTA KDN merampas 455 DVD haram yang dijual di kaki lima.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Jiran seksa 4 jam

Posted: 21 Feb 2014 12:01 PM PST

Kuala Lumpur: 'Empat jam dalam neraka' itulah yang dilalui seorang wanita apabila dibelasah dan dicabul sekumpulan lelaki yang mendakwa dia menjadi dalang kepada satu kejadian samun di Taman Puncak Jelapang, Ipoh, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa N Vaniswari, 35, ditarik sekumpulan lelaki termasuk jirannya keluar dari rumahnya sebelum diseret hingga ke halaman rumah jirannya itu.

Wanita itu terus dibelasah oleh kira-kira 30 lelaki yang berada di tempat kejadian dengan menggunakan rotan, tongkat, selipar dan kabel elektrik serta penyapu selain dihamburkan dengan kata-kata kesat.

Tidak cukup dengan itu, ada juga beberapa lelaki dalam keadaan mabuk membelasah dan mengambil kesempatan meraba kemaluan serta buah dadanya tanpa segan silu walaupun disaksikan orang ramai.

Kumpulan lelaki itu terus mengeluarkan kata-kata lucah sehingga mereka berani mengarahkan mangsa meniduri satu persatu lelaki dalam kumpulan berkenaan.

Menurut mangsa, kumpulan itu mendakwa dirinya sebagai dalang kepada kejadian samun di rumah jirannya beberapa hari lalu dan memintanya supaya membayar ganti rugi RM11,000.

Katanya, dia merayu untuk dilepaskan dan meminta supaya kumpulan berkenaan segera melaporkan kepada polis supaya tindakan boleh diambil terhadapnya sekiranya dia bersalah.

"Kumpulan itu tidak menghiraukan rayuan saya.

Sebaliknya saya terus diseksa termasuk menendang bahagian kemaluan dan belakang badan.

"Seorang lelaki yang tidak saya kenali turut dibawa ke hadapan saya.

Lelaki terbabit dipaksa mengaku saya adalah dalang kepada kejadian berkenaan, tetapi lelaki itu enggan menyebabkan dia turut dibelasah," katanya, semalam.

Menurutnya, penyeksaan terhadap dirinya berlanjutan sehingga jam 12 tengah malam apabila seorang daripada kumpulan itu berkata bahawa pihak polis akan tiba di lokasi itu pada bila-bila masa.

Foto

VANISWARI menunjukkan kesan luka akibat dipukul.


Katanya, kumpulan terbabit terus meninggalkannya dalam keadaan kesakitan sebelum adik lelakinya memapah balik ke rumah dalam keadaan tidak bermaya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum dirujuk ke wad kecemasan Hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

"Saya merayu kepada polis supaya mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab kerana sehingga kini, saya masih trauma dan ketakutan selepas apa yang menimpa diri saya ini.

"Kumpulan ini juga ada memberi amaran membunuh saya sekiranya saya membuat laporan polis berhubung kejadian ini," katanya.

Jurucakap polis mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Korban sungai berlumpur

Posted: 21 Feb 2014 12:00 PM PST

Segamat: Mayat tiga daripada lapan pelajar yang lemas di Sungai Muar berhampiran pekan Buloh Kasap, di sini, sudah ditemui setakat jam 7 malam tadi.

Mangsa pertama, Mohd Hafzul Daniel Norhashim, 16, ditemui pada jam 3.29 petang diikuti Mohd Zikri Zaidi, 14, pada jam 3.41 petang dan Nazrul Aminuddin Zamri, 15, pada jam 4.22 petang.

Ketiga-tiga mangsa ditemui kira-kira dua meter dari lokasi mereka dikatakan kali terakhir dilihat.

Lima mangsa yang masih belum ditemui ialah Mohd Zaki Zaidi, 16, Mohd Izuan Hakimi Amin, 13, Mohd Shafiq Md Sukur, 16, Mohd Nazreen Zainal, 14, dan Mohd Hafizuddin Kamal, 16.

Foto

MENTERI Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat, menenangkan ibu mangsa lemas, Suhaili Shaharuddin di lokasi kejadian, semalam.

Foto

SEORANG ibu mangsa, Fauziah Ahmad yang kesedihan dipapah keluarganya di lokasi kejadian, semalam.


Kelapan-lapan mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap di sini.


Sementara itu, Ketua Unit Skuba Johor Penguasa Kanan Bomba Mohd Aizat Mamat berkata, operasi menyelamat bermula jam 9.48 pagi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah dan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Segamat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

No comments:

Post a Comment