Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cuti di lorong hanyir

Posted: 05 Oct 2014 02:38 PM PDT

Kuala Lumpur: Cuti umum Aidiladha 'dimanfaatkan' sepenuhnya segelintir warga asing dengan menjadikan rumah persundalan di Jalan Alor dan Jalan Thambipillay, Brickfields, di sini, sebagai lokasi melampiaskan nafsu.

Malah, tinjauan yang dilakukan semalam juga menguatkan lagi laporan bersiri Harian Metro Jumaat lalu mengenai empat kawasan pelacuran kelas rendah di ibu negara iaitu Lorong Haji Taib, Pasar Pudu, Jalan Alor dan Brickfields di ibu kota yang dipenuhi pelacur wanita tempatan dan warga asing serta pondan yang beroperasi 24 jam sejak puluhan tahun dulu.

Dalam laporan itu mendakwa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya mencontohi Datuk Bandar Surabaya yang bertindak berani menutup Gang Dolly yang menjadi antara lokasi pelacuran tertua di Asia Tenggara.

Tinjauan selama sejam Harian Metro bermula jam 12.30 tengah hari mendapati hampir semua lorong hanyir itu dipenuhi warga asing, kebanyakannya dipercayai buruh kontrak terdiri daripada warga pelbagai negara.

Foto

WARGA asing menunggu giliran di luar premis persundalan.


Kebanyakan mereka yang datang secara individu atau berkumpulan dilihat keluar masuk bersilih ganti di bangunan lama dua tingkat itu.


Malah, di setiap rumah tumpangan dipenuhi warga asing yang beratur menunggu giliran.

Pemerhatian Harian Metro mendapati sepanjang laluan itu 'lorong gelap' itu beberapa bapa ayam lengkap dengan walkie-talkie memerhati penuh minat setiap pelanggan dan sekiranya pelanggan terdiri daripada warga tempatan, mereka akan mula berhubung antara satu sama lain sebelum mengekori dari jauh.

Semua kawasan itu pernah diserbu polis termasuk premis disita DBKL, namun masih beroperasi seperti biasa berikutan sentiasa ada permintaan daripada pelanggan.

Peniaga di Brickfields yang mahu dikenali sebagai Chandra, 30, berkata, setiap kali musim perayaan kawasan pelacuran bagaikan pesta dengan kesesakan luar biasa membabitkan kehadiran begitu ramai lelaki warga asing itu.

"Itu adalah pemandangan biasa di sini berikutan kawasan ini memang terkenal dengan aktiviti pelacuran.

"Sepatutnya pihak DBKL menutup terus rumah pelacuran berkenaan supaya kawasan bebas daripada aktiviti tidak bermoral," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Tiada hati perut

Posted: 05 Oct 2014 02:36 PM PDT

Melaka: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menanggung azab apabila bukan saja dipukul dengan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang, malah turut ditumbuk dan kepalanya dihentak pada kerusi kayu di Paya Rumput, di sini.

Bagaimanapun, penderitaan yang dialami mangsa selama lebih tiga bulan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki itu berakhir apabila nenek angkat kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis pada 30 September lalu selepas tidak tahan melihat nasib menimpa mangsa yang dipukul setiap hari.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.15 malam itu, kekasih bapanya berusia 31 tahun seolah-olah naik hantu apabila didakwa memukul mangsa menggunakan getah paip dan menghentak kepalanya pada kerusi kayu hanya kerana dikatakan gagal menjaga anak lelaki wanita itu yang berusia dua tahun sehingga terjatuh dan menangis.

Nenek angkat mangsa, Hanisah Abdullah, 55, berkata, wanita yang juga anak angkatnya itu dan bapa mangsa berusia 36 tahun tinggal di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu, dengan membawa kanak-kanak berkenaan serta anak lelakinya berusia dua tahun selepas berpindah dari Masai, Johor.

Foto

HANISAH memegang cucu angkatnya yang cedera didera.


"Ketika awal mereka berpindah ke sini, saya melihat tangan kanan mangsa berbalut simen dan apabila ditanya, anak angkat saya mengatakan kanak-kanak itu terjatuh di tangga, tetapi mangsa memaklumkan kepada saya bahawa tangannya patah kerana dipukul.


"Pada awalnya tiada benda pelik berlaku, namun seminggu selepas Aidilfitri, anak angkat saya mula sering memukul mangsa hanya disebabkan perkara kecil termasuk ketika makan dan duduk menonton televisyen," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Dakwanya, lebih malang bukan saja menjadi mangsa pukul wanita itu, kanak-kanak berkenaan turut sering dipukul bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sehingga mengakibatkan mangsa sentiasa dalam ketakutan setiap kali melihat pasangan berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Perkosa darah daging

Posted: 05 Oct 2014 02:36 PM PDT

Kapar: Seorang lelaki layak digelar 'bapa syaitan' apabila tergamak memperkosa anak perempuannya berusia sembilan tahun sejak setahun lalu.

Sumber polis berkata, perbuatan lelaki berusia 30-an itu terbongkar selepas ibu mangsa bertanya sama ada suspek pernah membuka seluar anak perempuannya itu pada Jumaat lalu.

Menurutnya, mangsa mengaku suspek ada membuka seluar sebelum merogolnya di rumah sejak setahun lalu.

"Mangsa pada mulanya tidak mahu menceritakan kejadian dialami kerana pernah diugut suspek.

"Mangsa akhirnya mengaku suspek merogolnya terutama ketika ibu mangsa tiada di rumah," katanya.

Sumber itu berkata, ibu mangsa kemudian segera membuat laporan polis petang Jumaat lalu selepas yakin dengan maklumat diberikan anak perempuannya itu.

"Susulan laporan diterima itu, polis berjaya menahan suspek tidak lama kemudian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Pengsan terjun lubang selamat anak

Posted: 05 Oct 2014 02:34 PM PDT

Bukit Mertajam: "Saya terjun dan sempat mengangkat kedua-dua anak yang ketika itu terapung dalam lubang dipenuhi air sebelum rebah tidak sedarkan diri," kata Anisatunnajah Mohd Esa, 32, ibu dua beradik yang maut selepas lemas dalam lubang digali untuk pembinaan rumah di Kampung Pelet, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dua beradik berkenaan, Muhammad Shazriel Naufal Rahizal, 4, dan adiknya, Nur Shazreen, 2, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM), di sini.

Kejadian menyayatkan hati itu berlaku hanya 50 meter dari rumah mereka dan dua beradik terbabit keluar selepas hujan lebat untuk bermain di kawasan berkenaan.
Ketika itu Muhammad Shazriel Naufal membawa payung manakala adiknya pula mengekorinya.

Foto

AHLI keluarga mengusung jenazah Muhammad Shazriel Naufal dan Nur Shazreen.

Foto

LUBANG tempat dua beradik terbabit yang lemas di Kampung Pelet, Bukit Mertajam.

Lubang terbabit digali untuk pembinaan rumah bapa saudara mereka di kawasan berkenaan yang menjadi tempat dua beradik itu bermain setiap hari.

Bagaimanapun, mereka kemungkinan tergelincir dalam lubang sedalam dua meter itu sebelum kelibat dua beradik berkenaan dilihat abang mereka yang berusia tujuh tahun dan terus memaklumkan kepada ibu bapanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Imam rebah di mimbar

Posted: 05 Oct 2014 02:33 PM PDT

Segamat: Seorang imam, Ali Suang, 75, yang menyampaikan teks khutbah Aidiladha tiba-tiba terduduk di kerusi di atas mimbar dan sempat mengucap kalimah syahadah di pangkuan isterinya sebelum disahkan meninggal dunia di Surau Al-Muhtadeen, Taman Seri Kenangan, Batu Anam di sini, jam 8.40 pagi semalam.

Sebelum kejadian, arwah membaca khutbah kedua selepas solat sunat Aidiladha apabila tiba-tiba terduduk di kerusi di atas mimbar sebelum kepalanya terlentuk ke arah dinding.

Pengerusi Surau Al-Muhtadeen yang juga jirannya, Abdullah Ismail, 67, berkata, melihatkan kejadian itu, jemaah bergegas membawanya turun dari mimbar ke bahagian tengah surau sebelum cuba memberikan bantuan pernafasan.

Menurutnya, pada masa sama, seorang jemaah mengambil alat bacaan tekanan darah manakala jemaah lain memaklumkan kejadian itu kepada isteri arwah, Fatimah Ahmad, 65, di rumah mereka terletak 50 meter dari surau berkenaan.

Foto

AHLI keluarga dan rakan ketika pengebumian jenazah arwah di Tanah Perkuburan Islam Paya Luas Batu Anam.


"Selain itu, ada juga jemaah menghubungi Pusat Kesihatan Kecil Batu Anam sebelum pasukan perubatan tiba bersama ambulans dan hasil pemeriksaan mendapati arwah disahkan sudah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kilauan emas kabur

Posted: 05 Oct 2014 01:04 PM PDT

Incheon: Badminton sering kali dijadikan sandaran terbaik Malaysia untuk memecah kebuntuan memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik.

Tidak terkecuali bagi Sukan Olimpik Rio 2016 namun persoalannya temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin mendedahkan lagi kelemahan kem badminton negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terlalu bergantung kepada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei hinggakan seolah-olah tiada usaha untuk mencari penggantinya dan khidmatnya akan ditagih selagi termampu.

Chong Wei akan berusia 34 tahun sebelum ke Rio dan dia mungkin sukar mempertahankan dua pingat perak yang dimenanginya pada temasya di Beijing 2008 dan London 2012.

Foto


Dua beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (lelaki) dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei (wanita) boleh disandarkan meraih pingat namun mereka belum cukup matang dan konsisten untuk mencabar beregu handalan dunia.


Sasaran BAM meraih dua perak di Incheon jauh meleset apabila sekadar mengutip empat gangsa menerusi Chong Wei, V Shem-Wee Kiong, Vivian-Khe Wei dan berpasukan lelaki.

Lin Dan juara dunia lima kali dari China, mampu sekali lagi meranapkan impian Chong Wei selepas menewaskan musuh utamanya itu dua kali pada perlawanan penentuan emas Sukan Olimpik.

Bukan Lin Dan saja mampu mencabar keinginan Chong Wei memecah badi kejuaraan utama sebaliknya rakan senegara Lin Dan yang juga juara dunia Chen Long.

"Chong Wei masih boleh beraksi pada Sukan Olimpik. Cuma adakah dia bertanding untuk merebut emas atau sekadar mengintai pingat tanpa mengira warna apa.

"Saya rasa kalau bercakap mengenai memburu emas, dia masih berpeluang walaupun agak sukar. Tapi jika untuk meraih pingat, saya yakin dia masih boleh.

"Anda perlu realistik kerana dengan usia yang makin meningkat, laluan buatnya tidak semudah dulu. Ia pasti sukar berbanding Olimpik 2008 dan 2012," jelas jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Danyal sokong perubahan

Posted: 05 Oct 2014 12:58 PM PDT

Incheon: Satu perubahan drastik perlu dilakukan berikutan kegagalan atlet kontinjen negara memenuhi sasaran lapan pingat emas pada temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin.

Chef de Mission negara Datuk Danyal Balagopal Abdullah bersetuju perubahan perlu bagi membaiki kelemahan susulan aksi hambar pada temasya edisi ke-17 itu.

Malaysia hanya meraih lima emas, 14 perak dan 14 gangsa berbanding sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa di Guangzhou empat tahun lalu.

"Jelas ada kemerosotan prestasi dalam sukan terjun dan ia perlu ditangani. Mungkin ada cara yang kita lakukan tidak betul.


"Kita perlu membetulkannya dan mendapatkan pandangan pakar. Kita sudah berada di tahap tertinggi dalam berbasikal dan memanah juga mencapai tahap terbaik dan kita perlu membaiki sana sini untuk terus meningkat," ujar Danyal.


Beliau juga menegaskan pentingnya memberikan tumpuan kepada acara Sukan Olimpik namun sukan lain tidak boleh dibiarkan kerana ia membantu menaikkan imej negara.

"Kita perlu mengkaji semula cara kita membangunkan sukan. Kita tidak meraih sebarang pingat dalam acara olahraga, renang dan gimnastik yang jika digabung menawarkan lebih 100 pingat emas. Jadi ia memalukan.

"Jika program di peringkat akar umbi sudah dilakukan, di manakah hasilnya? Ini bermakna sesuatu yang tidak betul atau tiada fokus terhadap usaha ini.

"Apa yang kita perlu lakukan adalah bersedia menghadapi Olimpik 2020 di Tokyo seperti persediaan kita menjelang Sukan Komanwel 1998." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Hanya lima sukan menyerlah

Posted: 05 Oct 2014 12:57 PM PDT

Incheon: Jika pingat menjadi perkiraan, lima jenis sukan iaitu skuasy, karate, pelayaran, menembak dan memanah dianggap cemerlang pada temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin.

Menerusi lima sukan itu, lima emas dihasilkan dua menerusi skuasy, dua karate dan satu pelayaran.

Skuad skuasy negara memang sudah bertaraf dunia apatah lagi menampilkan ratu skuasy dunia Datuk Nicol David yang melengkapkan pingat emas keenam pada temasya Sukan Asia selepas memenangi acara individu dan berpasukan wanita.

Sayang sekali skuad lelaki gagal merebut emas berpasukan berikutan kesilapan taktikal yang menyaksikan pemain veteran Azlan Iskandar tumbang pada perlawanan pertama pertembungan final menentang India.


Karate membanggakan dengan dua emas menerusi Lim Chee Wei (individu kata lelaki) dan Syakilla Salni Jefry Krishnan (kumite wanita) kerana skuad kali ini menampilkan peserta muda yang menguasai temasya Sukan SEA Myanmar tahun lalu dengan tujuh emas.


Pelayaran pula menamatkan penantian emas selama lapan tahun selepas Faizal Norizan-Ahmad Syukri Aziz mengungguli acara 420 lelaki.

Menembak juga tidak kurang hebatnya apabila Nur Suryani Taibi (50m rifle prone wanita) dan Muhammad Ezuan Nasir Khan (50m rifle prone lelaki) merangkul pingat perak, mengulangi pencapaian penembak Peter Lim pada 1986 di Seoul.

Skuad memanah recurve lelaki terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin patut dipuji kerana mencatat sejarah meraih pingat perak sulung dalam sukan itu.

Bowling, terjun, berbasikal dan badminton boleh dikategorikan dalam tahap sederhana manakala sepak takraw, bola sepak, hoki, olahraga dan wushu antara sukan yang gagal menyerlah.

Sekalipun gagal mempertahankan sekurang-kurangnya pingat perak seperti dimenangi empat tahun lalu, skuad hoki bagaimanapun boleh dipuji berikutan persembahan yang lebih bermutu berbanding pada Sukan Komanwel Glasgow.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Cabaran penerjun lebih kompetitif

Posted: 05 Oct 2014 12:56 PM PDT

Incheon: Ada nada bimbang berikutan kegagalan skuad terjun negara bertindak baik pada temasya Sukan Asia Incheon berakhir kelmarin.

Negara lain makin meningkat manakala Malaysia bagaikan di takuk lama.

Tuan rumah Korea Selatan dan jirannya Korea Utara makin memberikan tumpuan kepada sukan itu sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mengulangi pencapaian di Guangzhou, empat tahun lalu.

Skuad itu meraih empat perak dan lima gangsa pada 2010 namun di Incheon, mereka hanya mampu merangkul dua perak dan tiga gangsa.

Foto

PANDELELA gagal raih emas.


Jurulatih terjun Yang Zhuliang akur Malaysia tidak boleh lagi mengambil mudah saingan di peringkat Asia kerana cabaran kini lebih kompetitif.


"Tiada siapa memberi perhatian kepada Malaysia di Guangzhou empat tahun lalu. Penerjun kita tidak diberi harapan tinggi tapi keadaan berbeza kali ini.

"Kita berjaya melayakkan diri dalam sembilan daripada 10 kuota pada Sukan Olimpik London dua tahun lalu dan kita negara kedua terbaik Asia di belakang China.

"Pandelela Rinong juga menang gangsa Sukan Olimpik. Selain China, tiada negara Asia lain pernah meraih pingat di Olimpik, jadi kejayaan Malaysia mula menarik tumpuan mereka yang mahu menjadi seperti kita," kata Zhuliang.

Jurulatih dari China itu menegaskan kualiti penerjun negara makin meningkat sekalipun pingat diraih berkurangan.

Dua perak negara disumbang Ooi Tze Liang-Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan Cheong Jun Hoong-Wendy Ng dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

Tze Liang yang memenangi emas 3m papan anjal Sukan Komanwel Glasgow turut merangkul gangsa dalam 10m platform seirama bersama Chew Yi Wei manakala Pandelela-Leong Mun Yee (10m platform seirama wanita) dan Jun Hoong (3m papan anjal wanita) menokok dua lagi gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Taraf atlet negara tercicir: Kok Chi

Posted: 05 Oct 2014 12:53 PM PDT

Kuala Lumpur: Selepas gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) di Sukan Komanwel Glasgow Julai lalu, kontinjen negara mengulangi episod sama di temasya Sukan Asia Incheon apabila tidak mampu memenuhi sasaran pingat yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Malaysia hanya memungut lima emas, 14 perak dan 14 gangsa sepanjang dua minggu aksi sukan terbesar Asia itu berlangsung, tersasar jauh daripada KPI yang ditetapkan badan induk sukan negara yang mahukan lapan pingat emas di bawa pulang dari bumi Korea Selatan.

Namun, di sebalik prestasi hambar barisan kontinjen negara itu Chef de Mission Chef Datuk Danyal Balagopal Abdullah tetap menyifatkan pencapaian itu bukanlah suatu kegagalan mutlak, tetapi beranggapan atlet negara kurang bernasib baik biarpun sudah menunjukkan kesungguhan masing-masing bagi memburu sasaran itu.

Nada serupa turut dikongsi Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi (gambar) yang berpandangan semua atlet sudah mencurahkan segala-galanya namun akur taraf atlet negara agak tercicir berbanding negara lain yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kalau berdasarkan kepada sasaran pingat emas yang kurang daripada lapan kita sasarkan itu sememangnya nampak seperti kita gagal, tapi bagi saya kita hampir mencapainya.

"Kita kena memahami dan melihat kepada faktor nasib juga, kerana kadang-kadang kita boleh memenangi sesuatu acara tetapi tewas disebabkan oleh perkara lain.

"Contoh seperti Azizulhasni Awang yang berjaya menamatkan perlumbaan acara keirin di tempat kedua, tapi tiba-tiba dia dipersalahkan oleh pengadil.

"Begitu juga dengan atlet pelayaran dan juga bowling yang menerima nasib kurang baik kali ini, walaupun prestasi mereka sebenarnya sama hebat dengan atlet lain.

Jadi bagi saya, secara prinsipnya kita tidaklah gagal di sana dan masih ada ruang untuk mereka perbaiki aksi pada temasya akan datang," katannya.

Dalam perkembangan sama, Kok Chi menyeru agar semua pihak kembali fokus dan bersatu membentuk barisan kontinjen lebih mantap menjelang Sukan SEA Singapura yang dijadualkan berlangsung sekitar pertengahan tahun depan.

"Temasya Sukan SEA Singapura makin hampir tidak kurang lapan bulan daripada sekarang.

Kita harus memantapkan program selepas ini untuk bangkit memberi saingan lebih kuat kepada negara-negara jiran terutama Thailand dan mengembalikan maruah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Semua salah PSM

Posted: 05 Oct 2014 12:53 PM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan di Sukan Asia Inchoen tanggungjawab kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)!

Itu kesimpulan Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia, Rommi Suhendra Norsal selepas skuad negara sekadar pulang dengan dua pingat gangsa menerusi acara regu dan berpasukan, pencapaian terburuk sejak ia pertama kali diperkenalkan pada Sukan Asia 1990.

Selain dilabelkan sukan paling memalukan oleh ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, kegagalan pengurus pasukan, Mohd Zamri Abdul Rahman hadir ke Incheon turut mencetuskan persoalan sehingga memaksa bekas ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan menggalas bebanan tugas yang tidak sepatutnya.

"Kegagalan ini perlu dipertanggungjawab sepenuhnya kepada kepimpinan PSM.

Selama ini peminat hanya melihat kekalahan adalah berpunca daripada pemain namun sekarang terbukti ia adalah akibat daripada pentadbiran dan pengurusan yang lemah," kata bekas tekong negara itu.

Katanya, situasi yang berlaku menunjukkan kelemahan PSM dan badan induk berkenaan seharusnya bersedia dengan melantik penolong pengurus atau sebagainya bagi menguruskan perkara berkaitan pemain namun tanggungjawab berkenaan dilepaskan kepada Jamaluddin.

"Ia sesuatu yang tidak patut berlaku apabila ketua jurulatih perlu memikirkan soal mengenai makan-minum, kebajikan dan sebagainya, sedangkan beliau seharusnya memberikan tumpuan yang penuh dalam merencanakan strategi dan percaturan di gelanggang.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Danyal yang mengatakan sukan ini memalukan.

Ini kerana Malaysia pernah meraih pencapaian yang lebih tinggi dengan musuh negara hanyalah Thailand namun kini tewas kepada negara baru belajar," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Angkara bonus?

Posted: 05 Oct 2014 12:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Kekalahan mengejut 0-4 Selangor kepada FELDA United FC (FUFC) hampir menutup peluang Merah Kuning ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini walaupun masih berbaki tempoh 90 minit untuk saingan suku akhir kedua Jumaat ini.

Malah ada yang melihat kekalahan teruk berkenaan turut mempunyai kaitan dengan pembayaran bonus kepada pemain yang berjaya melayakkan pasukan muncul lapan pasukan terbaik.

"Bonus berkenaan mungkin antara yang menyumbang kekalahan berkenaan. Pemain dijanjikan bayaran kira-kira RM20,000 seorang sebelum saingan suku akhir bermula namun sebaliknya yang berlaku.

"Sehingga kini bonus berkenaan masih tidak kelihatan," menurut sumber.

Foto

PENYERANG Selangor, Paulo Rangel (tengah) dikawal ketat.


Bagaimanapun dia menjelaskan ia bukanlah punca tunggal menyumbang kekalahan berkenaan kerana pemain Selangor sudah memberikan aksi terbaik namun ternyata lawan lebih bagus pada aksi di Stadium Shah Alam, malam itu.


"Tiga pemain import lawan (Zah Rahan Krangar, Edward Junior Wilson dan Makeche Ndumba) berjaya memainkan peranan dan impak besar yang menyumbang kepada kemenangan pelawat," jelasnya.

Pengendali FUFC, Irfan Bakti Abu Salim berkemungkinan besar sudah boleh membaca corak permainan dan perancangan taktikal jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic yang tidak melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama yang digunakannya sejak awal musim ini.

Irfan sebaliknya bertindak menurunkan dua penyerang import, tidak seperti biasa apabila hanya menurunkan seorang penyerang import, bagi mengasak kubu Selangor selain terlebih dulu bertindak merehatkan Indra Putra Mahayuddin dan pertahanan dari Russia, Yaroslav Krushelnitskiy.

Percaturan berkenaan ternyata berbaloi apabila Ndumba meledak hatrik disusuli satu jaringan Wilson untuk membawa bekalan selesa untuk suku akhir kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Tok Gajah perlu manfaat peluang

Posted: 05 Oct 2014 12:43 PM PDT

Kuantan: Skuad Tok Gajah diingat supaya memanfaatkan segala peluang yang ada pada suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh berkata, terikat 1-1 pada aksi pertama tidak memberikan tekanan kepada pemain untuk mencatat kemenangan sekali gus layak ke separuh akhir piala berprestij itu.

Katanya, semangat juang tinggi dipersembahkan ketika seri di Stadium Darul Makmur membuktikan kekurangan seorang pemain tidak menjejaskan misi mempertahankan piala berprestij itu.

"Saya percaya semua pemain akan memastikan baki 90 minit di Shah Alam menjadi milik Tok Gajah.

"Segalanya diharap menjadi lebih baik buat pasukan kerana prestasi semasa kini berada pada tahap terbaik biarpun PDRM mahu layak ke pusingan seterusnya," katanya.

Mengulas jentera serangan yang tumpul, Che Nasir berkata, keadaan itu akan lebih baik untuk memastikan gawang The Cop dibolosi terutama sentuhan berbisa Dickson Nwakaeme.

Katanya, jentera tengah dan pertahanan diharap lebih kreatif dan bersedia kerana PDRM dijangka mengamalkan aksi bertahan jika dilihat kepada gol tempat lawan.

"Justeru, semua pemain perlu bijak memanfaatkan segala peluang kerana sebarang kesilapan akan mengundang padah buat pasukan.

"Saya turut mengingatkan pemain supaya kekal fokus sepanjang permainan sehingga wisel penamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Fauzi mahu kekal momentum

Posted: 05 Oct 2014 12:43 PM PDT

Seremban: Pemain tengah PDRM Mohd Fauzi Majid yang menjaringkan gol tunggal pasukan ketika mengikat Pahang 1-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Jumaat lalu bertekad mengulangi aksi cemerlang pada suku akhir kedua, hujung minggu ini.

Biarpun mengakui sedikit terkilan selepas harapan meraih kemenangan tidak kesampaian, pemain berkenaan mahu melupakan segera kekecewaan dan menggesa rakan sepasukan memberi fokus pada perlawanan kedua.

Menurut Fauzi, pemain skuad Sang Saka Biru perlu kembali memberikan persembahan terbaik dan tidak mengulangi kesilapan yang boleh menjejaskan impian ke separuh akhir.

"Kami beraksi di bawah keupayaan sebenar di Kuantan hingga memberi ruang kepada pemain Tok Gajah menjaringkan gol penyamaan.

"Jika bukan kerana kecekapan penjaga gol Azizon Abd Kadir, sudah tentu kami tewas sekaligus memberi laluan berliku menghadapi suku akhir kedua nanti," katanya.

Menurutnya, biarpun begitu, dia bersyukur dapat memanfaatkan peluang menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

Katanya, semua pemain perlu mengambil iktibar daripada persembahan di Kuantan apabila turun beraksi pada saingan suku akhir kedua nanti, jika tidak mahu impian mara ke separuh akhir terjejas.

Dia percaya peluang The Cops melakar kejutan untuk berada kelompok empat pasukan terbaik masih ada kerana memiiki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Serang kilat!

Posted: 05 Oct 2014 12:41 PM PDT

Kuala Terengganu: Pengendali skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim mahu anak buahnya kekal fokus sambil memperkemas corak permainan berdepan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia hujung minggu ini.

Sekalipun gagal mencatat kemenangan selepas diikat 0-0 di Kuala Terengganu, beliau mengakui perluang kedua-dua pasukan masih seimbang.

"Tidak ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri termasuk juga di Stadium Larkin.

"Malah tekanan tuan rumah akan bertambah memburu jaringan dan tumpuan mereka hanyalah memburu gol.

"Disinilah peluang buat pemain Terengganu mencuri kesempatan atas kecuaian lawan dengan melancarkan serangan kilat meledak gol," katanya.

Beliau berpuas hati dengan komitmen dan persembahan pemain dan semangat mereka kini semakin berkobar.

"Seperti saya katakan mereka pasti akan bermain berhabis-habisan untuk menang.

"Mereka akan menyerang dan tidak lagi banyak mengawal bola di posisi tengah jadi inilah peluang kami membuat kejutan," katanya.

Apa yang penting, kata Abdul Rahman pemain Terengganu tidak harus tenggelam dengan sorakan dan tindakan provokasi penyokong Johor DT.

"Saya mahu pemain tenang, fokus dan tidak terbawa-bawa gelagat penonton.

"Misi kita adalah layak ke separuh akhir dan hanya itu perlu difikirkan pemain," katanya.

Foto

PEMAIN Terengganu perlu manfaat tekanan dihadapi Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kahwin diri sendiri

Posted: 05 Oct 2014 12:21 PM PDT

London: Seorang wanita yang bosan berpacaran dan hidup membujang, menjadi orang pertama berkahwin dengan dirinya sendiri.

Grace Gelder berkata, dia melamar dirinya di bangku sebuah taman dan akhirnya mengadakan majlis perkahwinan dengan dihadiri 50 tetamu.

Grace, yang bekerja sebagai jurugambar berkata, selepas enam tahun membujang, dia 'menjalinkan hubungan dengan dirinya.'

Menurutnya, ia lebih mudah dan selesa daripada menjalinkan hubungan dengan orang lain.

Foto

GRACE membaling bunga kepada tetamunya selepas melangsungkan perkahwinan.


Terdorong dengan lagu oleh penyanyi Björk berjudul Isobel, yang senikatanya antara lain berbunyi 'My name's Isobel, married to myself' (Nama saya Isobel, berkahwin dengan diri saya), Grace yang menetap di London berkata, lirik itu sesuai dengan dirinya dan mengambil keputusan untuk berkahwin dengan dirinya sendiri.


Bermula dengan melamar dirinya di atas bangku di taman Bukit Parlimen, London November lalu, hingga majlis perkahwinan itu baru-baru ini, Grace berkata, kisah cintanya berjalan lancar.

Seperti pengantin lain, dia membeli baju, cincin dan menyatakan ikrar taat setia kepada pasangannya. Grace akhirnya berkahwin di sebuah ladang di Devon, dengan kehadiran kakak dan rakannya.

Dia mengakhiri upacara perkahwinan itu dengan mengucup cermin.

Bercakap kepada wartawan mengenai perkahwinannya, Grace berkata, memang ada yang berkata dia gila.

"Tetapi saya tidak kisah kerana saya bahagia dengan pasangan saya yang juga diri saya," katanya.

Dia dikahwinkan oleh rakannya, Tiu, yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Saya yakin Grace akan menjalani kehidupan lebih bahagia selepas ini," kata Tiu.

Menurut Grace, sebulan sebelum majlis perkahwinannya, dia menghadapi masalah sehingga terpaksa diyakinkan bahawa apa yang dilakukannya itu tepat.

Meskipun undang-undang tidak mengiktiraf perkahwinan seumpama itu, Grace berkata, dia bangga kerana tidak lagi membujang.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Anak tiri, ibu tiri jadi suami isteri

Posted: 05 Oct 2014 12:15 PM PDT

DABO (Perancis): Seorang bekas anak tiri dan ibu tiri akhirnya melangsungkan perkahwinan mereka selepas beberapa bulan terbabit dalam isu undang-undang dengan pihak berkuasa Perancis mengenai hak mereka untuk berkahwin.

Elisabeth Lorentz, 48, berkahwin dengan Eric Holder yang tiga tahun lebih muda daripadanya di daerah Alsace-Lorraine, timur laut Perancis.

Wanita itu sebelum ini berkahwin dengan bapanya tetapi pasangan itu tidak ada hubungan darah.

Undang-undang Perancis melarang perkahwinan antara anak tiri dengan ibu bapa tiri walaupun selepas ibu atau bapa tiri itu sudah bercerai.

Foto

Elisabeth (kiri) dan bekas anak tirinya, Holder.


Pasangan itu merayu hingga ke Istana Elysee. Mereka menerima sepucuk surat pada Mei lalu yang ditandatangani oleh Presiden Francois Hollande, mengesahkan perkahwinan seperti itu dilarang di negara berkenaan.


Bagaimanapun, mereka memperoleh hak untuk berkahwin daripada mahkamah tempatan Alsace-Lorraine.

Pejabat pendakwa raya di Paris membantah keputusan itu tetapi tidak merayu.
"Akhirnya kami berkahwin," kata Elisabeth.

Bekas suaminya yang juga bapa kepada pengantin lelaki antara 100 tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan itu.

"Dia tidak pernah melarang kami berkahwin," kata pengantin perempuan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Nyaris maut kepala tersekat

Posted: 05 Oct 2014 12:14 PM PDT

Fuzhou: Seorang kanak-kanak pengsan dan nyaris maut selepas kepalanya tertersepit pada cermin tingkap kereta.

Kejadian berlaku ketika dia ditinggalkan seorang diri oleh ibunya yang keluar membeli-belah di sini, kelmarin.

Mujur polis cepat tiba dan menyelamatkannya di depan ibunya yang cemas.

Kanak-kanak itu yang boleh berbangga kerana sudah mempunyai lesen untuk melayakkan dirinya menyertai puluhan kanak-kanak lain yang terperangkap akibat kecuaian ibu bapa masing-masing, memberitahu wartawan di hospital, dia tidak sengaja tertekan butang kawalan tingkap ketika dia menjulur kepalanya. - Agensi

Foto

KEADAAN kanak-kanak yang pengsan setelah kepalanya tersekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Khinzir gigit kemaluan lelaki

Posted: 05 Oct 2014 12:11 PM PDT

Sichuan: Seorang peniaga babi yang cedera parah selepas kemaluannya digigit seekor haiwan itu di sebuah ladang baru-baru ini, memperoleh pampasan daripada seorang penternak, semalam.

Kejadian berlaku apabila lelaki itu memasuki kandang babi untuk membeli haiwan berkenaan.

Dia diserang sebaik memasuki kandang itu dan seekor babi menggigit kemaluannya hingga memaksa dia dimasukkan ke hospital.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, jika kecederaan lelaki itu diukur pada skala satu hingga 10, ia mencecah tahap maksimum, 10.


Peniaga itu menyaman penternak terbabit dengan menuntut ganti rugi 90,000 yuan (RM48,000).


Mahkamah bagaimanapun, mengarahkan penternak itu membayar 16,000 yuan (RM8,500). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Peguam untuk tertuduh

Posted: 05 Oct 2014 12:07 PM PDT

Bangkok: Sepasukan peguam dihantar untuk membantu dua warga Myanmar yang dituduh membunuh dua pelancong Britain dan merogol seorang daripada mereka di Koh Tao.

Langkah itu diambil berikutan timbulnya kebimbangan bahawa kedua-dua pekerja asing itu mungkin tidak terbabit dalam pembunuhan itu.

Aktivis hak asasi pekerja asing di Thailand, Andy Hall berkata, dia menghantar sepasukan peguam untuk menemui kedua-dua warga Myanmar itu.

"Kami menghantar pasukan peguam untuk menemui tertuduh, memberi nasihat mengenai hak mereka dan menyediakan penterjemah," katanya.

Foto


Menurut Hall, minat untuk terbabit dalam kes itu didorong oleh laporan mengenai penderaan fizikal yang dialami tertuduh walaupun mengaku dia tidak mempunyai bukti mengenai penderaan itu atau bukti yang menunjukkan hasil ujian DNA oleh polis tidak tepat.


Ketua Polis Thai, Jeneral Somyot Pumpunmuang semalam menegaskan sekali lagi bahawa kedua-dua suspek bukan kambing hitam.

Polis mempunyai bukti kukuh terhadap rakyat Myanmar berkenaan.

Somyot berkata, polis mengambil masa lama sebelum menahan suspek kerana terpaksa menunggu keputusan ujian DNA dan meneliti rakaman video lebih 300 kamera keselamatan di sekitar tempat kejadian.

Dua warga Britain, Hannah Witherridge dan David Miller ditemui mati berhampiran hotel tempat mereka menginap pada 15 September lalu.

Pekerja Myanmar itu yang dinamakan Win dan Saw didakwa merogol Hannah sebelum membunuhnya dan Somyot Jumaat lalu memberitahu wartawan, DNA mereka sama dengan yang ditemui pada tubuh mangsa.

Pihak berkuasa juga berkata, rakaman CCTV menyokong kes mereka.

Telefon bimbit Hannah ditemui di tempat kediaman lelaki berkenaan sementara puntung rokok yang ditemui di tempat kejadian sama dengan yang ditemui pada Saw dan Win, dirakam CCTV membeli rokok jenama itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Gunung Sinabung meletus empat kali

Posted: 05 Oct 2014 12:05 PM PDT

Jakarta: Gunung Sinabung meletus empat kali, memuntahkan debu setinggi 3,000 meter ke udara sepanjang malam, semalam.

Kejadian itu tidak mendorong pihak berkuasa memindahkan penduduk di sekitar gunung yang terletak di Karo, Sumatera Utara.

Jurucakap Agensi Menangani Bencana Indonesia (BPNP) berkata, pihaknya masih mengekalkan tahap berjaga-jaga peringkat tiga yang tidak memerlukan penduduk berpindah.

Sementara itu, di Pemalang, Jawa Tengah, Pusat Vulkanologi berkata, aktiviti Gunung Slamet sejak 12 Ogos lalu masih belum stabil.

Pihak berkuasa tempatan berkata, gunung berkenaan bergegar berterusan sepanjang awal pagi semalam, sama seperti kelmarin.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Bakar anak selepas isteri minta cerai

Posted: 05 Oct 2014 12:05 PM PDT

Bandung: Seorang kanak-kanak berusia setahun mati selepas dibakar bapanya yang membantah tindakan ibunya meminta cerai.

Jurucakap polis daerah Padalarang di sini, Rendra Okto berkata, lelaki berkenaan menyimbah dirinya dan anaknya, Raditia dengan minyak tanah sebelum menyalakan api.

"Si suami berang selepas isterinya menuntut cerai.

Pasangan berkenaan sebelum itu bergaduh kerana masalah rumah tangga.

"Lelaki itu kemudian mendukung Radita dan menyimbah minyak tanah pada tubuh mereka untuk menakutkan isterinya.

Tetapi wanita itu masih enggan berbaik semula.

"Berang dengan kedegilan isterinya, lelaki itu menyalakan mancis dan api serta-merta menyambar tubuh dia dan anaknya yang masih kuyup dengan minyak tanah," kata Rendra.

Menurutnya, wanita itu sempat merampas Radita daripada dakapan suaminya tetapi ketika itu, hampir seluruh tubuhnya sudah melecur.

Radita meninggal dunia di hospital semalam, sementara bapanya yang juga melecur teruk dilapor kritikal.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Jokowi korban 20 lembu, 44 kambing

Posted: 05 Oct 2014 12:04 PM PDT

Jakarta: Presiden terpilih Joko Widodo (Jokowi) mengorbankan 20 ekor lembu dan 44 ekor kambing sempena Aidiladha tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan selepas solat hari raya di Jakarta, semalam.

Menurut bakal presiden itu, haiwan korban itu untuk penduduk Jakarta kecuali seekor lembu yang diserahkan kepada penduduk sebuah kampung di Solo.

"Saya menyerahkan haiwan itu di kampung di sekitar Jakarta dan seekor di Solo," kata Jokowi.

Foto

DUA wanita Indonesia sempat berselfie sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha di sebuah masjid di Jakarta, semalam.


Beliau juga berkata, jumlah lembu yang dikorbankan di kampung itu berdasarkan jumlah penduduknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Lapan belas maut lombong emas runtuh

Posted: 05 Oct 2014 12:03 PM PDT

Jakarta: Lapan belas orang terbunuh selepas sebuah lombong emas haram runtuh di barat Borneo.

Kejadian berlaku tengah hari kelmarin di kawasan berbukit, tempat melombong emas secara haram dilakukan secara berleluasa.

"Kami melakukan operasi mencari dan menyelamat sehingga malam," kata seorang pegawai tempatan, Leonardus Sabar Umbara, semalam.

Dua daripada 16 mangsa itu ialah wanita.

Melombong emas secara haram di Indonesia meningkat sejak beberapa tahun lalu kerana harga logam itu yang semakin mahal dan kematian di kalangan pelombong adalah perkara biasa.

Julai lalu, tanah runtuh di sebuah lombong emas haram di Papua meragut sembilan nyawa.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Tiada penyelesaian

Posted: 05 Oct 2014 12:03 PM PDT

Hong Kong: Pemimpin pelajar di bandaraya ini menyeru penunjuk perasaan prodemokrasi untuk meninggalkan lokasi protes mereka dan bergabung dengan kumpulan penunjuk perasaan lebih besar di lokasi lain.

Gesaan itu dibuat ketika mereka bersiap sedia untuk berdepan dengan kemungkinan bertempur sekali lagi dengan polis.

Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Hong Kong sejak minggu lalu, mendesak pemimpin pro-Beijing bandaraya itu, Leung Chun-ying meletak jawatan dan menuntut hak untuk mengundi calon pilihan mereka dalam pilihan raya pada 2017 nanti.

Puluhan penunjuk perasaan di Mong Kok dilihat menangis selepas diarah berkemas dan menuju ke daerah Admiralty, bersebelahan dengan daerah perniagaan utama bandaraya itu.


"Kami akan kembali. Berjuang hingga ke akhirnya," laung kumpulan pelajar berkenaan.


Daerah Mong Kok yang sibuk itu menyaksikan pertempuran terburuk antara kumpulan pro-Beijing dan penunjuk perasaan prodemokrasi sejak beberapa hari lalu.

Ramai penduduk Hong Kong meluahkan rasa marah dan kecewa kerana kegagalan polis menangani tunjuk perasaan itu.

Ada di antaranya mendakwa pasukan keselamatan bersekongkol dengan kumpulan penjenayah, gagal melakukan penahanan dan membantu kumpulan penyerang melarikan diri.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06