Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Lari' tinggal hutang RM30,000

Posted: 19 Feb 2014 11:01 AM PST

Puchong: "Kalau sudah tak nak duduk di sini sekalipun, sekurang-kurangnya tolonglah jelaskan yuran penyelenggaraan bulanan yang tertunggak," itu permintaan pengurus bahagian pengurusan Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, di sini, Adenan Ibrahim, 34, selepas 10 pemilik rumah di kawasan itu meninggalkan kediaman masing-masing secara serentak, tujuh tahun lalu.

Lebih malang apabila terdapat pemilik rumah yang tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan rumah mereka dalam keadaan rosak dan kotor sehingga memberi rasa tidak selesa kepada jiran.

Menurut Adenan, setiap pemilik rumah hanya perlu membayar yuran penyelenggaraan bulanan RM36 bagi memudahkan pihak pengurusan membaiki sebarang kerosakan di kawasan pangsapuri.

"Sudahlah mereka tidak pernah membayar yuran penyelenggaraan sejak menetap di sini, malah tergamak pula tinggalkan rumah dalam keadaan tidak terurus.

Foto

SEBUAH pangsapuri yang tidak terurus selepas ditinggalkan pemilik.


"Tolonglah fikirkan keselesaan dan keselamatan penduduk lain dan sila tampil untuk jelaskan yuran yang tertunggak hampir RM30,000 sejak tujuh tahun lalu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Difahamkan, 10 pemilik itu juga cuba dikesan pihak pengurusan melalui maklumat yang diberikan ketika membeli rumah, namun gagal apabila nombor telefon yang diberikan tidak aktif lagi.

Katanya, pihak pengurusan pangsapuri itu sentiasa bersedia memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk, namun sikap penduduk yang enggan dan menangguh membayar wang penyelenggaraan menyukarkan pihaknya.

"Apabila kami rujuk kepada pihak pemaju, mereka tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana kediaman itu sudah dibeli dan tidak berada di bawah tanggungjawab mereka lagi.

"Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pula hanya boleh bertindak menyita rumah yang ditinggalkan berikutan pemilik rumah gagal membayar cukai pintu sejak ditinggalkan," katanya.

Lebih membimbangkan apabila ada remaja melakukan perkara terkutuk selain menjadi tempat bermalam bagi penagih dadah di unit yang ditinggalkan itu.

"Sampai bila kami perlu berdepan risiko bahaya daripada tindakan penduduk yang tidak bertanggungjawab meninggalkan rumah selama bertahun-tahun?

"Jika tidak mahu menetap di sini, sewakan kepada orang lain kerana ramai yang ingin menyewa rumah di kawasan bandar dan tolonglah kami supaya tiada lagi rumah kosong dalam pangsapuri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Kerja roboh rumah setinggan kecoh

Posted: 19 Feb 2014 10:58 AM PST

Kuala Lumpur: Kerja meroboh tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul di sini kecoh selepas mendapat bantahan daripada daripada penduduk kampung berkenaan, pagi semalam.

Mereka mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah dan menganggap tindakan itu dilakukan tergesa-gesa.

Anggota penguat kuasa DBKL, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota polis turut berada di lokasi bagi mengawal keadaan sebaik kerja meroboh bermula jam 9 pagi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Ramlee Ahmad berkata, kali terakhir penduduk diberi notis mengenai kerja meroboh rumah itu pada Oktober tahun lalu.

Foto

PENDUDUK Kampung Chubadak Tambahan berehat di hadapan rumah selepas kerja meroboh ditangguhkan.


"Mereka tidak menerima sebarang notis daripada pihak berkuasa untuk berbuat demikian, malah sehingga kini pihak pemaju juga tidak memberi sebarang jaminan terhadap tuntutan yang dibuat," katanya.


Katanya, pegawai yang hadir mendakwa dia menerima arahan berbuat demikian bagaimanapun apabila diminta mengemukakan bukti mereka hanya berdiam diri.
"Sudahlah tidak diberikan notis, cara mereka datang juga seperti kami ini penduduk setinggan yang merampas tanah orang," katanya.

Difahamkan, mahkamah sudah memutuskan tanah berkenaan bukan setinggan dan menjadi milik penduduk kampung berkenaan.

Ramlee berkata, berikutan keputusan itu, pihak pemaju atau pihak lain yang ingin mendapatkan tanah berkenaan perlu membayar ganti rugi atau pampasan seperti dipersetujui antara kedua pihak.

Berikutan bantahan penduduk itu, kerja meroboh berkenaan ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Bayi mati di rumah pengasuh

Posted: 19 Feb 2014 10:57 AM PST

Putrajaya: Seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika dijaga pengasuh di Presint 9, di sini, semalam.

Bayi berusia lima bulan itu didapati tidak sedarkan diri oleh pengasuhnya jam 11 pagi, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya (HPj), di sini untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, mangsa dihantar ibunya yang tinggal di Presint 11 jam 7 pagi, dan ketika itu bayi terbabit dalam keadaan sihat.

"Bagaimanapun, pada jam 11 pagi, ibu mangsa mendapat panggilan telefon daripada pengasuh memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.


"Dia bergegas ke rumah pengasuh sebelum menghantar anaknya ke bahagian kecemasan HPj untuk pemeriksaan, namun doktor mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

458 pembakaran terbuka

Posted: 19 Feb 2014 10:56 AM PST

Putrajaya: Sebanyak 458 kes pembakaran terbuka dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga semalam apabila 68 daripadanya sudah dikenakan tindakan kompaun, manakala 22 lagi dikeluarkan notis amaran.

JAS dalam satu kenyataan berkata, pembakaran terbuka itu membabitkan kawasan hutan (103 kes), pertanian (199 kes), industri (17 kes), pembinaan (14 kes), tapak pelupusan sampah (7 kes), kawasan belukar (92 kes) dan pembakaran terbuka kecil lain (26 kes). "Tindakan diambil mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 apabila mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Mewah duit kad klon

Posted: 19 Feb 2014 10:48 AM PST

Shah Alam: Dua lelaki warga asing dengan seorang daripadanya berstatus pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) manakala seorang lagi masuk ke negara ini sebagai pelancong mampu mengaut wang jutaan ringgit dengan mengklon kad juruwang automatik (ATM) sebelum mengeluarkan wang dari mesin ATM bank tempatan.

Kedua-dua warga Sri Lanka berusia 28 dan 38 tahun itu dikesan menggunakan akaun bank individu tertentu di luar negara diperoleh melalui pihak ketiga sebelum menggunakan akaun itu mengeluarkan wang menggunakan kad ATM diklon di beberapa bank tempatan di negara ini.

Kad ATM itu pula kad yang menggunakan jalur magnetik. Hanya terdapat beberapa bank tempatan yang masih menggunakan kad lama itu manakala selebihnya menggunakan kad yang bercip. Difahamkan, kebanyakan mangsa sindiket dianggotai dua lelaki itu membabitkan rakyat asing dan bukan warga tempatan.

Sindiket antarabangsa itu dipercayai bergiat aktif di Lembah Klang sejak dua bulan lalu dan dikesan memiliki kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) kerana mereka boleh memasukkan data pemegang akaun bank luar negara yang diperoleh dari pihak ketiga termasuk menukar nombor PIN kad bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang dengan mudah.

Foto

CHONG menunjukkan kad ATM palsu yang dirampas.


Bagaimanapun, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila dicekup sepasukan anggota polis di sebuah kondominium di Taman Cempaka, Ampang, kira-kira jam 8 malam, Isnin lalu.


Bersama-sama suspek, polis turut merampas 2,217 kad ATM palsu pelbagai nama, kotak keselamatan (58), mesin pencetak (1), pembaca data kad (2) dan masing-masing sebuah telefon bimbit serta komputer riba.

Difahamkan, kejayaan polis itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia namun polis masih menyiasat sama ada terdapat pemegang akaun bank tempatan yang turut menjadi mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, suspek dipercayai mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi rakan jenayah yang dipercayai warga asing.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

No comments:

Post a Comment