Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Zamri mahu tebus duka

Posted: 20 Feb 2014 01:15 PM PST

Kuala Lumpur: Episod duka ketika temasya Sukan SEA Myanmar sudah berlalu dan kini tiba masanya buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh mengerah kudrat untuk membuktikan dia mampu melakukan apa saja demi maruah negara di Le Tour de Langkawi (LTdL).

Diberi kepercayaan untuk menggantikan pelumba import dari Uzbekistan, Muradjan Halmuratov dalam pasukan TSG, Zamri bertekad membalas kepercayaan yang diberikan dengan membantu pasukan TSG memburu kemenangan peringkat.


Bertugas sebagai pelumba domestik yang akan bergandingan bersama Mohd Saiful Anuar Aziz yang dipilih menggantikan Mohd Shahrul Mat Amin, Zamri yakin dengan kemampuan pelumba tempatan terutama anak jati Terengganu dalam misi memburu kejuaraan biarpun dengan kehadiran enam Pro Team.

Dia yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan berkata, pengguguran Muradjan bukan kerana tidak mempercayai kemampuannya namun TSG lebih selesa bersama pelumba tempatan yang pastinya tiada masalah komunikasi selain sudah mengetahui kemampuan masing-masing.


"Semua anak jati Terengganu senang bersama dan dari segi komunikasi ia tampak lebih mudah buat kami. Kami sudah tahu apa kelemahan dan kelebihan yang dimiliki. Jika ada pelumba import perlu masa untuk mengenalinya. Apapun keputusan ini dibuat kerana kami mahukan yang terbaik untuk pasukan.


"Saya akan cuba sedaya yang mungkin untuk membawa pelumba pecut TSG ke barisan depan terutama di 10 atau 5 kilometer terakhir biarpun sedar cabaran di peringkat itu pastinya sukar kerana ramai pelumba profesional," katanya.

Foto

Mohd Zamri Salleh

Tidak meletakkan sebarang sasaran peribadi Zamri berkata, kehadirannya untuk membantu dua pakar pecut TSG iaitu Anuar Manan dan adiknya, Mohd Harrif. Kemampuan yang dimiliki Anuar tidak perlu dipertikaikan manakala keupayaan Harrif selepas kembali ke tanah air dari Melbourne semakin menyerlah sebagai pelumba pecut.


Tugas sebagai pelumba pendaki pula akan disandarkan kepada Adiq Husainie Othman dan Saufi Mat Senan.

LTdL dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Edisi ke-19 ini akan bermula pada 27 Februari dan berakhir 8 Mac dengan jarak keseluruhan 1,495.9km membabitkan 10 peringkat.


Perlumbaan ini berstatus 2HC (hor category) dan sekali lagi menjadi perlumbaan terbesar dalam kalendar Jelajah Asia UCI.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Taktik Bayern memalukan: Wenger

Posted: 20 Feb 2014 12:38 PM PST

London: Arsene Wenger menuduh Bayern Munich bermain dengan taktik memalukan ketika Arsenal yang beraksi 10 pemain berdepan penyingkiran daripada Liga Juara-juara selepas kecundang 0-2 di tangan penyandang juara itu.

Keputusan itu sukar diterima Wenger, yang berang dengan apa yang disifatkannya lakonan berlebihan pemain Bayern untuk mempengaruhi pengadil Itali, Nicola Rizzoli.


Penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny dibuang padang pada minit ke-37 sekali gus memberikan pasukan lawan sepakan penalti selepas dia mengasari Arjen Robben.

"Robben hanya berlakon," kata Wenger. "Dia sudah cukup berpengalaman dalam hal ini dan Bayern menggunakan setiap sentuhan terhadap pemain mereka.


"Kami tidak biasa dengannya di England. Kekasaran yang diberikan tidak mungkin diberikan dalam Liga Perdana.


"Apa saya kesalkan, beliau memutuskan Wojciech melakukan kekasaran itu, tapi jelas tiada niat langsung untuk melakukan kekasaran.

"Saya amat kecewa. Ia perlawanan yang hebat hingga rehat babak pertama.


"Kad merah itu mengubah perlawanan. Sehingga itu ia amat berkualiti tapi pada babak kedua ia jelas membosankan," ujar Wenger. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Bayern lebur ego Gunners

Posted: 20 Feb 2014 12:37 PM PST

London: Bayern Munich berada dalam kedudukan selesa untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas jaringan menakjubkan Toni Kroos menjadi dorongan kemenangan 2-0 penyandang juara itu ke atas Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain, awal pagi semalam.

Pep Guardiola nyata bertuah pada perlawanan pertama, pusingan kedua penuh dramatik di Stadium Emirates itu, namun kehebatan mereka akhirnya terungkai apabila Kroos menghasilkan saat-saat magis dan Thomas Mueller menjaringkan gol kedua pemusnah pada lewat permainan.


Bayern terselamat berikutan kegagalan pemain Arsenal, Mesut Ozil menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelapan dan mereka juga mensia-siakan peluang menerusi tendangan penalti David Alaba yang terkena tiang.

Namun penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny dibuang padang dalam insiden yang menjurus kepada sepakan penalti Bayern dan pelawat akhirnya mempamerkan keunggulan mereka menerusi pemain tengah Jerman, Kroos (minit ke-54) dan Mueller (m-88).


Bayern dijangka melunaskan tugas itu pada perlawanan kedua 11 Mac ini, namun Arsenal masih boleh mengharapkan kejutan selepas menang 2-0 di Munich pada peringkat sama musim lalu, sekalipun keputusan itu tidak cukup menghalang anak buah Arsene Wenger tersingkir berdasarkan gol di tempat lawan.


"Arsenal lebih bagus berbanding kami dalam 20 minit pertama. Selepas kad merah terhadap penjaga gol mereka, permainan berubah.

Foto

"Sukar bila anda lihat sembilan pertahanan bermain dalam kotak penalti. Tapi kami menguasai situasi ini, bermain dengan sabar dan mendapat gol," kata jurulatih Bayern, Guardiola.


Bayern tampil di utara London sebagai pilihan utama untuk memenangi kedua-dua perlawanan itu malah pertandingan itu akhirnya untuk melengkapkan satu lagi kempen mengagumkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Costa pemusnah Milan

Posted: 20 Feb 2014 12:37 PM PST

Milan: Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa menanduk masuk gol pada lewat permainan untuk membolehkan kelabnya menang 1-0 ke atas AC Milan awal pagi semalam sekali gus mencerahkan semula harapan kelab gergasi Sepanyol itu untuk layak ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara.

Milan terpaksa bekerja keras menafikan serangan bertubi-tubi anak buah Diego Simeone sepanjang perlawanan di San Siro, namun selepas tiga cubaan Milan terkena palang gol pada separuh masa pertama, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan tunggal Costa pada minit ke-83.


Costa menanduk masuk gol tunggal mengatasi penjaga gol Christian Abbiati selepas sepakan sudut ditanduk ke belakang oleh pertahanan Milan, Ignazio Abate.

Atletico yang ketika ini setaraf kelab elit Sepanyol yang lain, berpeluang layak ke saingan suku akhir buat kali pertama sejak 1997 apabila bertemu lawan sama di Vicente Calderon, dua minggu lagi.


Pasukan pelawat bermula baik apabila beraksi cemerlang dengan Costa berjaya memperoleh beberapa peluang terbaik sekali gus memberi amaran kepada Milan.


Bagaimanapun Atletico gagal meneruskan momentum mereka selepas anak buah Clarence Seedorf hampir menggegar gawang lawan sebanyak tiga kali.

Foto

COSTA (tiga dari kiri) jaring gol kemenangan Atletico.

"Selepas bermula baik, kami mula beraksi hambar dan jentera serangan tidak terlalu tajam.


"Milan hampir menjaringkan gol, terutama selepas penjaga gol Thibaut Courtois menyelamatkan cubaan Andrea Poli. Kami agak perlahan tapi pada separuh masa kedua, saya cuba memperkuatkan bahagian tengah dan akhirnya ia mengubah corak permainan.

"Kami tidak mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi yang penting berjaya melakar kemenangan," kata Simeone. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

'Pemburuan tiket suku akhir kami belum berakhir'

Posted: 20 Feb 2014 12:20 PM PST

Milan: Jurulatih AC Milan Clarence Seedorf berkata, pemburuan tiket suku akhir Liga Juara-Juara masih belum berakhir di sebalik kekalahan 0-1 pasukannya kepada Atletico Madrid, awal pagi semalam.

Milan terpaksa bekerja keras menafikan cubaan anak buah Diego Simeone sepanjang pertembungan dramatik di San Siro itu dan terpaksa menelan pahit kekalahan itu meskipun mempunyai tiga percubaan terkena palang pada babak pertama.


Ketika Milan agak keletihan, penyerang Atletico Diego Costa menanduk masuk pada minit ke-83.

Dua minggu lagi sebelum pertemuan timbal balik kedua-dua pasukan di Stadium Vicente Calderon, Diego Simeone kini adalah pasukan pilihan untuk layak ke suku akhir buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada 1997.


Namun Milan enggan mengaku kalah. Seedorf yang tampil kali pertama selaku jurulatih pada saingan Liga Juara-Juara menegaskan, saingan belum berakhir.


"Secara keseluruhan, mereka menunjukkan semangat juang tinggi dan saya juga dapat saksikan persembahan cemerlang pemain secara individu," kata pengendali dari Belanda itu.

"Akhirnya kami agak keletihan dan terpaksa menerima hakikat kekalahan tipis ini. Keputusan kali ini memihak kepada lawan tapi ia masih belum berakhir.


"Saya mengetahui situasi apabila beraksi di Vicente Calderon, tapi saya yakin kami mampu melakukannya," jelasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Barcelona hadapi tuduhan jenayah cukai

Posted: 20 Feb 2014 12:20 PM PST

Madrid: Pihak pendakwa raya Sepanyol semalam memfailkan dakwaan jenayah cukai terhadap Barcelona ketika urusan pembelian bintang Brazil, Neymar.

Pendakwa raya percaya Barcelona mempunyai hutang cukai keseluruhan sebanyak 9.1 juta euro (RM41.2 juta) dalam dua perjanjian dengan yang pertama pada 2011 dan kedua pada 2013 dalam usaha mendapatkan pemain itu beraksi bersama Barcelona dari Santos.


Barcelona membayar sebanyak 10 juta euro (RM45.2 juta) kepada syarikat yang dikuasai ibu bapa pemain itu, N&N pada 2011 dengan tujuan utama adalah mendapatkan tandatangannya pada 2014.

Bagaimanapun, rancangan itu tertangguh selama setahun dalam usaha melengkapkan urusan perpindahan itu hingga Mei tahun lalu.


Dakwaan itu menyatakan banyak angka menimbulkan keraguan dalam soal urusan kontrak pemain itu yang perlu disiasat sekiranya ia mempunyai unsur-unsur jenayah.


Barcelona menegaskan mereka tidak melanggar undang-undang sepanjang urusan pembelian pemain itu dan akan mempertahankan reputasi kelab itu yang sudah tercalar.

"Pihak kelab menghormati tindakan ini dan kami juga akan bertindak selaras dengan undang-undang yang ditetapkan," kata kelab itu dalam satu kenyataan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Fulham tagih magis Magath

Posted: 20 Feb 2014 12:20 PM PST

London: Fulham akan melupakan drama di luar padang dan menumpukan usaha mengelakkan turun divisyen apabila mereka berkunjung ke West Brom bagi aksi Liga Perdana malam esok.

Kelab barat London itu di tangga tercorot dengan 20 mata, empat mata daripada zon selamat dan melantik Felix Magath (gambar) dari Jerman Jumaat lalu sebagai pengurus ketiga mereka musim ini berikutan pemecatan Martin Jol dan Rene Meulensteen.


Kelab itu mengesahkan minggu ini penolong jurulatih Ray Wilkins dan pengarah teknikal Alan Curbishley dilepaskan beberapa minggu selepas dilantik, manakala jurulatih pasukan utama Mick Priest dan Jonathan Hill turut meninggalkan Craven Cottage.

Fulham yang beraksi dalam Liga Perdana sejak 2001, meraih hanya satu mata daripada enam perlawanan terakhir dan membawa masuk Magath dengan harapan beliau mampu mengatasi kemerosotan pasukan.


"Kami akan mendapat banyak pengalaman Jerman daripadanya dan saya yakin beliau akan membantu kami meraih sasaran kekal dalam Liga Perdana," kata pemain tengah dari Jerman, Lewis Holtby.


Pemain termahal Kostas Mitroglou mungkin melakukan penampilan sulungnya selepas kurang cergas sebaik tiba dari kelab juara Greece, Olympiakos Piraeus.

Foto

Felix Magath

West Brom berada di luar zon penyingkiran menerusi perbezaan gol dan di sebalik seri 1-1 dengan pendahulu Chelsea sebelum ini, mereka belum menang di bawah pengurus baru Pepe Mel.


Manchester City pula akan cuba melupakan kepahitan kekalahan di tangan Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin apabila mereka menanti kunjungan Stoke malam esok, perlawanan terakhir mereka sebelum bertemu Sunderland pada final Piala Liga 2 Mac ini.

Mereka kini di tangga ketiga dengan 54 mata, tiga di belakang Chelsea dan dua berbanding Arsenal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Van Gaal idam urus kelab Liga Perdana

Posted: 20 Feb 2014 12:19 PM PST

Florianopolis, Brazil: Jurulatih Belanda, Louis van Gaal berkata, England mungkin destinasi berikutnya dalam karier gemilangnya berikutan laporan mengaitkannya dengan Tottenham.

Bekas jurulatih Ajax, Barcelona dan Bayern Munich itu berkata, perpindahan ke Liga Perdana akan menjadi 'satu cabaran menarik' selepas beliau mengemudi Belanda pada Piala Dunia.


Van Gaal yang berada di Brazil bagi seminar dua hari jurulatih Piala Dunia, menjadi calon pilihan hangat mengambil alih jawatan di White Hart Lane berikutan pemecatan Andre Villas-Boas awal musim ini.

Bagaimanapun jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, beliau bersikap terbuka mengenai tawaran dari kelab Inggeris lain.


"Saya amat berminat ke England kerana saya sudah menjadi jurulatih di Sepanyol, Jerman dan Belanda. Jadi saya fikir England mungkin destinasi berikutnya," jelas Van Gaal.


"Spurs? Ia bergantung kepada keadaan dan kekosongan. Saya lebih suka memberikan tumpuan kepada Piala Dunia dulu," katanya, yang merujuk kepada kerusi panas Spurs kini diisi Tim Sherwood. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Olak hampiri suku akhir

Posted: 20 Feb 2014 12:15 PM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Old La Sallians Klang (Olak-PKT) tinggal selangkah lagi untuk menempah tiket suku akhir Piala Milo dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia selepas menewaskan Nur Insafi 4-1 pada perlawanan play off di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Mereka memerlukan keputusan seri apabila bertemu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) hari ini untuk layak ke suku akhir.


"Setiap pemain mempamer persembahan yang bagus dan gol awal amat membantu kami. Kami melakukan beberapa perubahan dan ia jelas membuahkan hasil.

"Saya harap kami dapat mencatatkan kemenangan esok (hari ini) bertemu SSBJ untuk memastikan tempat di final," kata pengurus Olak-PKT Joseph de Silva.


Sementara itu pada satu lagi perlawanan membabitkan pertemuan dua pasukan Pantai Timur, Majlis Sukan Pahang (MSP) mencatat kemenangan tipis 3-2 ketika bertemu Bakat Majlis Sekolah-Sekolah Kelantan (Bakat-MSSK).


Bakat-MSSK berada di depan pada minit ke-12 menerusi jaringan Ashraf Mohd Noor tetapi MSP menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Aidil Adha Shah.

Foto

AKSI sengit pemain kedua-kedua pasukan.

Namun Ashraf sekali lagi meletakkan Bakat-MSSK di depan pada minit ke-37 sebelum Irfan Wafiq Hishamudin menyamakan kedudukan untuk MSP pada minit ke-61.


Ketika kedudukan bakal berkesudahan 2-2, Mohd Alif Nor Faizal muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Bakat-MSP pada minit akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Perak buru pengganti Terkers

Posted: 20 Feb 2014 12:15 PM PST

Kuala Lumpur: Skuad yang dilabel budak sekolah pada peringkat awal saingan Liga Super apabila menyenaraikan hampir 98 peratus muka baru daripada skuad Piala Presiden Perak, ternyata bukan kayu pengukur sebenar kepada peluang anak buah Abu Bakar Fadzim bersaing dengan pasukan lain.

Selepas mengharungi lima perlawanan liga, kejayaan terbesar mereka dicipta menerusi kejutan menundukkan gergasi Pantai Timur, Kelantan 2-1 serta hampir menggugat juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang dalam saingan Piala FA.


Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim atau lebih mesra disapa Burn mengakui ketumpulan di bahagian serangan sering menghampakan kem Perak biarpun menguasai perlawanan. Justeru, Abu Bakar berkata, beliau akan mengambil kesempatan pada jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mencari penyerang import baru.

"Penyerang yang kita ada ketika ini amat mengecewakan. Saya terpaksa menggugurkan seorang pemain import bagi mempertajamkan pasukan dan mungkin Zelimir Terkers terpaksa diganti kerana pergerakannya agak terbatas.


"Dengan faktor usia dan cuaca, saya lihat dia tidak mampu menyesuaikan diri bersama pasukan. Jadi kami akan cuba mencari seorang pemain import lain untuk digandingkan bersama dua lagi import iaitu Kyaw Zayar Win dan Eliel Da Cruz Guardiano.


"Apa-apapun keputusan rasmi kena tunggu selepas kami balik dari Indonesia kerana saya akan mengenal pasti calon import terbaik sepanjang perlawanan persahabatan di negara itu untuk didaftarkan bagi menggantikan tempat Terkers," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Foto

PEMAIN Perak, Eliel Da Crus (kanan) mengasak pertahanan Kelantan, Tuan Mohamad Faim di Stadium Perak, baru-baru ini.

"Pemain import yang hadir kali ini kebanyakannya datang ke Ipoh dengan dibawa ejen, tapi saya akan pilih hanya yang terbaik," katanya.


Terkers yang berusia 33 tahun dan berasal dari Bosnia pernah menabur bakti bersama beberapa kelab Eropah, antaranya NK Zagreb dari Crotia. Setakat ini, dia belum berjaya mencetak sebarang gol buat Perak.

Abu Bakar berkata, The Bos Gaurus akan ke Indonesia bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan bertemu Sriwijaya FC dan pasukan bawah 21 Palembang dari 26 Februari hingga 2 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

No comments:

Post a Comment