Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dibakar ketika susukan anak

Posted: 02 Feb 2014 10:56 AM PST

New Delhi: Seorang ibu muda dibakar hingga mati bersama bayinya oleh suami dan keluarga lelaki itu kerana gagal membayar hantaran perkahwinan.

Polis di negeri Jharkhand di timur India berkata, Annu Devi, 22, dibakar hidup-hidup ketika menyusukan bayi perempuannya.


Polis menahan suaminya, Gunjan Masat yang didakwa menyimbah minyak tanah ke tubuh Devi dan bayi perempuan mereka sebelum membakar kedua-dua beranak itu. Menurut bapa Devi, Raghuni Rana pasangan itu berkahwin lebih setahun tetapi masalah timbul selepas Devi melahirkan bayinya.

"Mereka mahukan anak lelaki tetapi tidak menyedari yang mendapat anak perempuan bukan salah Devi.


"Mereka mula menyeksa anak saya dan saya tidak menyangka mereka sanggup membunuhnya.


'Mereka ada menuntut motosikal dan televisyen walaupun saya sudah memberikan mereka dua bighas (1.6 ekar) tanah sebagai hantaran perkahwinan," katanya. Bagi menutupi kematian Devi dan agar kelihatan seolah-olah seperti kemalangan, Gunjan meletakkan tubuhnya berhampiran pendiang api, selain turut meletakkan bekas air berhampiran tempat itu.

Foto

MAYAT Devi dan bayinya yang dibakar hingga mati oleh suami dan keluarga lelaki itu ketika di hospital.

Seorang penduduk melihat Devi dan bayi perempuannya terbaring di halaman rumah mentuanya.


Dia masih bernyawa ketika itu walaupun tubuhnya melecur 90 peratus. Dua beranak itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Abang ipar Devi yang didakwa turut terbabit dalam pembunuhan itu masih diburu polis. Superintendan polis di daerah itu, Nirmal Kumar Mishra berkata, semua tertuduh akan ditahan dan didakwa.


Hantaran perkahwinan menjadi alasan utama mengapa bayi lelaki lebih digemari berbanding dengan bayi perempuan dalam budaya India. Ribuan janin digugurkan setiap tahun selepas ujian ultra bunyi menunjukkan jantina janin berkenaan.


Wanita juga dibunuh berikutan isu hantaran perkahwinan setiap jam di India, menurut data dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. "Seramai 8,233 wanita muda, kebanyakan pengantin baru dibunuh dalam isu 'kematian hantaran perkahwinan' pada 2012," lapor biro itu tahun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Potong kemaluan kekasih kerana bimbang

Posted: 02 Feb 2014 10:53 AM PST

Shanghai: Seorang wanita di daerah Minhang di sini Khamis lalu memotong kemaluan teman lelakinya kerana mengesyaki dia akan memutuskan hubungan mereka.

Akhbar Internet xinmin.cn melaporkan, wanita berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Tu, lebih tua sembilan tahun daripada teman lelakinya, Xia.


Kerana keluarga Xia tidak merestui hubungan mereka, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk memutuskannya.

Xia enggan membawa pulang Tu untuk menemui keluarganya sempena Tahun Baru Cina.


Sebaik mengetahui Xia hanya membeli satu tiket untuk pulang bercuti, Tu menyangka kekasihnya akan memutuskan hubungan dengannya.


"Dia mencampurkan dadah dalam minuman Xia menyebabkan lelaki itu tidak sedarkan diri di atas katil. Tu kemudian mengambil pisau dan memotong kemaluan Xia," lapor akhbar itu. Saksi berkata, lelaki itu tiba di hospital kira-kira jam 3 pagi dengan ambulans bersama-sama seorang anggota polis yang membawa kemaluannya dalam termos berisi air.

Seorang wanita dipercayai Tu yang berlumuran darah dilihat berbual dengan pegawai perubatan sebelum dibawa menaiki kereta peronda.


Polis dan pihak hospital enggan menyatakan mengenai keadaan Xia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Gagal perbaharui pasport kerana nama

Posted: 02 Feb 2014 10:53 AM PST

London: Permohonan lelaki yang paling banyak mempunyai tatu di Britain untuk memperbaharui pasportnya ditolak disebabkan namanya yang luar biasa.

Mathew Whelan menukar namanya dua kali pada 2007 dan 2009. Kini dia menamakan dirinya "King of Ink Land King Body Art The Extreme Ink-Ite'.


Nama pelik itu tercatat pada lesen memandunya. Apabila dia memohon untuk memperbaharui pasportnya selepas membuat bayaran £72.50 (RM398), permohonannya ditolak. Whelan, 34, yang dikenali sebagai "Body Art" membelanjakan £25,000 (RM137,475) untuk menutupi 90 peratus badannya dengan tatu, termasuk mata putihnya.

Dia juga bercadang untuk membuat perjalanan ke luar negara kerana ditawarkan pekerjaan melakukan pengubahsuaian tubuh bersama MOD World International. "Saya membuat permohonan untuk memperbaharui pasport kerana sudah tamat tempoh. Saya kemudian menerima panggilan daripada pegawai di jabatan pasport dan mereka kata ada masalah.


"Mereka berkata, permohonan saya ditolak oleh bahagian dasar jabatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

5 cuba seludup 9.34 kg kokain dalam perut

Posted: 02 Feb 2014 10:52 AM PST

Abu Dhabi: Lima warga Nigeria ditangkap di Lapangan Terbang Abu Dhabi sepanjang 12 hari lalu kerana cuba menyeludup 441 kapsul kokain dalam perut mereka. Polis berkata, semua dadah itu seberat 9.34 kilogram (kg).

Menurut polis, kelima-lima lelaki itu ditahan selepas kelihatan keletihan yang amat sangat dan keliru sebaik tiba di lapangan terbang itu.Seorang daripada mereka menghidap sakit perut yang teruk.


Pengarah siasatan jenayah Dr Rashid Mohammad Bu Rasheed berkata, mereka tiba di Abu Dhabi dari Sao Paulo di Brazil dan lagos, Kano serta Abuja di Nigeria. Mereka cuba mengubah penerbangan mereka dalam usaha mengelirukan polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Lebih ramai mungkin mati

Posted: 02 Feb 2014 10:52 AM PST

Sumatera: Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho tidak menolak kemungkinan angka kematian akibat letupan gunung berapi Sinabung kelmarin mungkin meningkat.

Beliau berkata demikian kepada wartawan semalam selepas gerakan mencari mangsa dilancarkan, membabitkan 170 anggota penyelamat, termasuk tentera dan polis.


Mereka yang dilengkapi dengan gergaji berantai dan peralatan oksigen meredah debu tebal di kampung Sukameriah, 2.7 kilometer dari kawah Sinabung dan terletak di zon bahaya sekitar gunung berapi itu.

Sehingga semalam, 16 orang disahkan mati apabila gunung berkenaan menghamburkan batu dan debu setinggi 2,000 meter.


Pasukan pertama memasuki kampung berkenaan keluar semula 15 minit kemudian tanpa menemui sebarang mayat.


"Tidak ada tanda-tanda menunjukkan ada orang yang boleh terselamat. Banyak rumah musnah dan yang masih teguh dilitupi debu tebal. Sukar bagi kami meredah dalam debu setebal itu. Saya sendiri berasa lemas," kata anggota penyelamat, Gito kepada wartawan.

"Tidak ada mayat yang ditemui. Yang kami jumpa hanya beg milik mangsa. Telefon bimbit di dalamnya berbunyi," katanya.


Sementara itu, ketua pasukan penyelamat, Leftenan Kolonel Asep Sukarna berkata, dia yakin tidak ada orang yang terselamat dalam debu panas itu.

Menurutnya, debu panas dan keadaan cuaca mungkin menjejaskan gerakan mencari selanjutnya.


"Keadaan mendung hari ini (semalam). Kami bimbang kemungkinan kawasan ini hujan. Jika hujan, kawasan ini akan berlumpur dan sukar untuk berjalan, menyebabkan kami terpaksa menghentikan gerakan mencari dan menyelamat," kata Asep. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Tentera Filipina buru saki-baki anggota BIFF

Posted: 02 Feb 2014 10:51 AM PST

Awang: Tentera Filipina semalam berikrar untuk memburu saki-baki kumpulan serpihan pemisah Islam selepas menawan kem utama mereka dalam serangan sepanjang minggu.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, tindakan itu akan diambil meskipun ancaman daripada anggota kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) sudah berakhir ekoran operasi bermula Isnin lalu di kawasan pedalaman pulau Mindanao di selatan negara itu.


"Penyokong BIFF kini bergerak dalam kumpulan lebih kecil dan operasi seterusnya perlu dilakukan," kata Zagala kepada wartawan.

Menurutnya, operasi susulan akan dilakukan bersama anggota utama kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang baru-baru ini menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina.


Serangan besar-besaran ke atas BIFF dilakukan dua hari selepas perjanjian itu ditandatangani.


BIFF menarik diri daripada MILF kerana menentang rundingan damai dan baru-baru ini melancarkan serangan dalam usaha untuk menggagalkan proses damai.

Di kem tentera di bandar Awang, tentera Filipina mempamerkan senjata yang ditemui di kem BIFF, termasuk bahan membuat bom dan gambar yang menunjukkan kanak-kanak dilatih menjadi askar untuk kumpulan itu.


Turut dirampas daripada kem kumpulan itu ialah pakaian celoreng dengan lambang MILF.

Bagaimanapun, naib presiden MILF bagi hal ehwal politik, Ghazali Jaafar berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Anggota pemisah ditembak mati

Posted: 02 Feb 2014 10:51 AM PST

Jakarta: Pasukan keselamatan Indonesia kelmarin menembak mati seorang anggota pemisah di timur Papua.

Bertindak hasil maklumat awam, polis dan tentera menyerbu tempat pertemuan anggota Pergerakan Pembebasan Papua (OPM) dekat pantai di Yapen Waropen, kata jurucakap polis Papua, Pudjo Sulistyo kepada media, semalam.


"Mereka terbabit dengan insiden tembakan dengan polis sebelum ini dan mencetuskan kekacauan di kawasan itu," katanya. Seramai 11 anggota OPM ditahan dan polis turut merampas senjata api bersama bendera prokemerdekaan 'Bintang Pagi' kumpulan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Tiada keganasan

Posted: 02 Feb 2014 10:50 AM PST

Bangkok: Pilihan raya Thai secara keseluruhannya berjalan tanpa keganasan semalam meskipun penunjuk perasaan antikerajaan cuba menggagalkannya dan memaksa ratusan pusat mengundi ditutup.

Kebanyakan pusat mengundi dibuka di seluruh negara dan proses pengundian agak lancar tanpa sebarang keganasan dilaporkan.

Ia sekali gus meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku pertumpahan darah sehari selepas kejadian tembakan di Bangkok yang mencederakan tujuh orang.

Perhatian tertumpu di Bangkok, tempat 488 dari 6,600 pusat pengundian terpaksa ditutup dan beberapa pergaduhan tercetus antara penunjuk perasaan antikerajaan dengan penyokong kerajaan.


Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, penutupan itu menjejaskan 6 juta pengundi berdaftar.


Dalam beberapa kes, penunjuk perasaan membina sekatan untuk menghalang pengundi daripada memasuki pusat pengundian dan ada yang menyekat penghantaran kertas undi dan kelengkapan pilihan raya ke pusat mengundi bagi menghalang proses pilihan raya.

Ratusan pusat pengundian di selatan Thailand yang menjadi kubu kuat penunjuk perasaan antikerajaan turut menghadapi masalah sama.

Pengundi yang marah dengan tindakan berkenaan berdiri di luar pusat mengundi yang ditutup sambil menunjukkan kad pengenalan dan melaungkan 'pilihan raya!'

"Kami mempunyai hak mengundi dan mereka tidak berhak menghalang," kata seorang penduduk Bangkok Sasikarn Wannachokechai, 51.

Dalam satu kejadian, pengundi di Din Daeng bertempur dengan penunjuk perasaan apabila seorang pengundi cuba merempuh sekatan.

Seorang wartawan mendakwa melihat seorang penunjuk perasaan melepaskan tembakan dalam kekecohan itu.

Pengundi yang menuntut hak untuk mengundi, menyerbu pejabat daerah Din Daeng yang gagal menjalankan pengundian di pusat yang ditetapkan.

"Kami mahu mengundi. Kami rakyat Thailand, kami di sini menjalankan hak kami," kata Narong Meephol, 63, sambil menunjukkan kad pengenalannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Pengundi buat kotak, kertas undi sendiri

Posted: 02 Feb 2014 10:50 AM PST

Bangkok: Penyokong pilihan raya di daerah Ratchathewi di ibu negara Thai ini membuat sendiri kotak dan kertas undi sendiri semalam selepas kotak dan kertas undi sebenar gagal tiba di pusat mengundi.

Menurut laporan, sejumlah penduduk daerah berkenaan mengadakan kegiatan pilihan raya mereka apabila tidak ada pegawai pilihan raya mahupun daerah hadir di pusat mengundi mereka.


Pengundi juga memasang sepanduk besar dengan mesej berbunyi: "Pegawai daerah Ratchathewi tidak mahu mengadakan pilihan raya. Kerana itu kami mengadakan pilihan raya sendiri." Menurut Akta Pilihan Raya Thai, pengundi tidak dibenarkan mengguna kertas undi selain daripada yang disediakan pihak berkuasa. Mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda sebanyak 200,000 baht (RM20,000) dan digugurkan hak mengundi selama 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Suthep mahu heret Yingluck ke mahkamah

Posted: 02 Feb 2014 10:50 AM PST

Bangkok: Pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap perdana menteri sementara Yingluck Shinawatra kerana membazirkan 3.8 bilion baht (RM380 juta) wang pembayar cukai selepas kerajaannya gagal mengadakan pilihan raya sepenuhnya.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) itu ketika bercakap di Lumpini semalam memberitahu penunjuk perasaan, tidak ramai yang keluar mengundi di pusat pembuangan undi.

"Hanya 16 ke 17 orang yang turun di beberapa pusat pengundian terutama di Wilayah selatan Chumphon, Surat Thani, Ranong, Krabi, Phuket, Songkhla, Satun, Yala dan Pattani," kata Suthep.

Jawatankuasa Pilihan Raya tidak dapat mengumumkan keputusan kerana jumlah yang keluar mengundi sangat rendah.


PDRC tidak menghalang orang ramai untuk keluar mengundi dan tidak melakukan sekatan di pusat mengundi.


Suthep berkata mereka hanya mengawal tempat yang menyimpan kertas undi.

"Selepas penunjuk perasaan mendapat kemenangan, PDRC akan mengambil tindakan ke atas Yingluck yang membazirkan RM380 juta tanpa mengambil kira bantahan terhadap pilihan raya ini," kata Suthep.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

No comments:

Post a Comment