Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


13 jemaah umrah terbunuh

Posted: 09 Feb 2014 09:14 AM PST

Tiga belas jemaah terbunuh dan 130 yang lain cedera dalam kebakaran di sebuah hotel di bandar suci ini Sabtu lalu.

Dalam kenyataannyaa sebelum ini, pihak berkuasa Madinah berkata, kebakaran berlaku yang di Hotel Ishraq Al-Madina pada jam 2.33 petang (7.33 malam waktu Malaysia) meragut 15 nyawa.


Menurut saksi, mangsa terdiri daripada warga pelbagai negara, termasuk Mesir dan Turki.

Anggota penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam berjaya memadamkan kebakaran pada jam 5 petang.


Gabenor Makkah Putera Faizal bin Salman memantau sendiri kerja memadamkan kebakaran itu.


Sehubungan itu, siasatan untuk menentukan punca kebakaran dilancarkan.

Foto

Bagaimanapun, laporan awal menunjukkan ia berlaku akibat litar pintas ketika kerja penyelenggaraan oleh pihak hotel.


Tiga puluh mangsa yang cedera dirawat di tempat kejadian sementara bakinya dihantar ke Hospital King Fahd dan Hospital Ansar.

Menurut satu laporan, Hospital Ansar menerima empat mayat dan 91 mangsa yang cedera.


Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Madinah juga menyatakan, kebanyakan mangsa mati akibat lemas.


Terdapat 700 tetamu berada di hotel ketika kejadian.


Kebakaran itu menyebabkan pihak berkuasa memindahkan semua tetamu dan menutup jalan menuju ke hotel yang terletak di Jalan Shireen, tidak jauh dari Masjid Nabawi.


Sebahagian jemaah yang terperangkap di dalam hotel dilihat diluar bangunan itu, untuk memanjat ke bumbung dalam usaha menyelamatkan diri.


Usaha memadam kebakaran dan menyelamat mangsa dikatakan terganggu akibat orang ramai yang berkumpul di bawah dan sekitar hotel.


Lapan belas pasukan bomba dikerah memadamkan kebakaran itu sementara Persatuan Bulan Sabit Merah menghantar 14 pasukan bantuan cemas dan dibantu dengan lapan pasukan dari Jabatan Kesihatan Madinah.


Seorang jemaah dari India yang menetap di hotel bersebelahan berkata, dia melihat kepulan asap hitam keluar dari hotel berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari Masjid Nabawi jam 2.45 petang, "Kami melihat ramai orang melambai menerusi tingkap hotel, menjerit meminta tolong.


"Keadaan sungguh mencemaskan," katanya.


Terdapat laporan bertindih mengenai jumlah korban dalam kalangan rakyat Mesir.


Pegawai di pejabat Konsul Mesir di Jeddah, Ahmed Zaki berkata, pihaknya menerima laporan bahawa empat warga negara itu terbunuh.


Laporan lain pula menyatakan, 12 daripada yang terbunuh itu rakyat Mesir.


Duta Mesir Afifi Abdel-Wahab pula dipetik oleh sebuah stesen televisyen negara itu sebagai berkata, "semua yang mati ialah rakyat Mesir."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Flappy Bird berakhir

Posted: 09 Feb 2014 08:40 AM PST

Hanoi: Pencipta permainan terkenal untuk telefon pintar Flappy Bird memutuskan untuk menarik kembali permainan berkenaan daripada stor aplikasi bermula esok (hari ini).

Permainan yang boleh dimuat turun secara percuma itu sangat popular dalam kalangan pengguna iOS dan Android, tetapi pereka permainan warga Vietnam, Dong Nguyen tidak dapat "menerima" kejayaannya itu.


Dalam status di Twitternya, Nguyen menulis: "Saya memohon maaf kepada semua pengguna aplikasi permainan Flappy Bird, 22 jam dari sekarang, saya akan menariknya semula. Saya tidak mampu menanganinya lagi." Flappy Bird yang dilancarkan pada Mei 2013 untuk iOS menjadi sangat popular dan menduduki ranking pertama aplikasi permainan percuma Apple pada awal tahun 2014, waktu yang sama ia dilancarkan untuk Android.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Perut meletup terlebih makan

Posted: 09 Feb 2014 08:40 AM PST

Beijing: Seorang wanita berusia 58 tahun terpaksa melakukan pembedahan membuang perutnya yang 'meletup' selepas makan dan minum arak (terlalu banyak) ketika Festival Musim Bunga.

Portal web Modern Express memetik, seorang pakar nutrisi di Hospital Friendship Beijing sebagai berkata, wanita berkenaan dihantar ke sebuah hospital di Suzhou, wilayah Jiangsu, sejam selepas mengalami bengkak teruk pada perutnya akibat terlebih makan dan didiagnos menghidap gastrektasia.


Ketika pembedahan dilakukan, gas mengandungi alkohol etil dilepaskan dari perutnya dan terkena pisau pembedahan elektrik pakar bedah mengakibatkan kebakaran kecil berlaku. Ketua doktor di Hospital Nanjing Drum Tower Wang Hao berkata, kes seumpama itu ada kalanya berlaku sehingga 12 kali setahun di hospital tertentu.

Katanya, kejadian perut terbakar amat jarang berlaku, namun tidak mustahil disebabkan kadar alkohol yang tinggi di dalam organ mangsa.


"Lazimnya seseorang berhenti makan apabila rasa kenyang.


"Bagaimanapun, seseorang mungkin tidak mampu peka terhadap amaran badannya jika mencampurkan minuman beralkohol ketika makan besar mengakibatkan pemakanan berlebihan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Anjing kongsi susu badan

Posted: 09 Feb 2014 08:39 AM PST

Seorang wanita sanggup memberi susu badannya kepada seekor anak anjing yang hampir mati akibat enggan makan.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak sampai hati melihat anak anjing itu terlalu lemah kerana enggan makan.


"Melihat keadaannya saya rasa seolah-olah anjing itu akan mati dalam sejam jika tidak makan kerana terlalu lemah dan tidak mampu bergerak.

"Saya tidak tahu apa lagi nak buat. Rasanya tidak sanggup nak duduk saja dan melihat anjing itu mati perlahan-lahan," katanya kepada rangkaian berita tempatan KRDO-TV.


Menurutnya, haiwan itu yang paling kecil dalam sekumpulan anak anjing yang ditemuinya.


Wanita itu yang mempunyai anak perempuan berusia 15 bulan mengakui rasa 'pelik' ketika pertama kali membiarkan anak anjing itu menyusu badannya.

Namun dia tidak menyesali perbuatannya itu kerana yakin haiwan berkenaan pasti mati jika tidak mendapat susu.


Malah, anak anjing itu kini semakin sihat dan tidak lagi perlukan susunya.

Menurut KRDO, gambar wanita itu menyusukan anak anjing itu disebarkan di Internet selepas dia menyiarkan gambar di laman Facebook miliknya menjelaskan alasannya berbuat demikian.


Walaupun ramai yang mempertikaikan tindakannya, ada juga yang memujinya.


"Saya rasa dia sangat hebat kerana sanggup membantu seekor anak anjing yang lemah," kata seorang pengguna Internet di laman web KRDO.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Susilo dikecam beri parol kepada pengedar

Posted: 09 Feb 2014 08:37 AM PST

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam sekali lagi dikecam kerana berlembut dengan pesalah dadah berikutan keputusan untuk memberi parol kepada pengedar warga Australia, Schapelle Corby.

Schapelle sepatutnya layak untuk diberi parol selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman asalnya, iaitu pada 2017, jika tidak kerana pengurangan hukuman penjara lima tahun yang diberikan Susilo.


Keputusan memberikan parol kepada wanita Australia itu dibuat dua minggu selepas pengedar dadah warga Perancis, Michael Loic Blanc dibebaskan selepas diberi parol pada November lalu.

Pengerusi Pergerakan Antinarkotik Kebangsaan Henry Yosodiningrat berkata, keputusan Susilo itu menggambarkan Indonesia menghantar mesej yang salah kepada pengedar dadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Aquino baharui lesen memandu sendiri

Posted: 09 Feb 2014 08:36 AM PST

Manila: Presiden Benigno Aquino III memeranjatkan kakitangan Pejabat Pengangkutan Darat di sini apabila muncul jam 10.30 pagi dan berbaris untuk membaharui lesennya, dua hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-54.

Orang ramai yang berada di pejabat itu juga terkejut apabila Aquino berbaris bersama-sama mereka.


Dia yang tiba dengan Setiausaha Pengangkutan Joseph Abaya tidak meminta layanan istimewa.

Menurut sumber, Aquino hadir untuk membaharui lesen memandunya sendiri kerana ingin mengetahui sendiri proses berkenaan dan tahap kepuasan hati dalam kalangan orang ramai mengenai khidmat Jabatan Pengangkutan.


"Beliau terkejut dengan kecepatan proses pembaharuan lesen. Beliau menyangka kami memberinya layanan istimewa, tetapi selepas dijelaskan, beliau berpuas hati," kata Ketua Pusat Pelesenan, Lily Cadores.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Wanita tuduh Majlis Ulama sesat

Posted: 09 Feb 2014 08:36 AM PST

Jakarta: Ketika Majlis Ulama Indonesia (MUI) berusaha untuk meningkatkan fahaman umat Islam negara itu dan mengeluarkan buku mengenai kesesatan Syiah, tiba-tiba muncul sebuah buku yang menyesatkan majlis itu.

Buku berjudul "Apakah MUI Sesat" (Berdasarkan 10 Kriteria Aliran Sesat)ditulis oleh Emilia Renita Az, isteri Ketua Dewan Syura Ikatan Jamaah Ahlul Bait Indonesia (IJABI) Djalaluddin Rahmat.


Ketika dihubungi wartawan sebuah majalah Islam tempatan, Emilia mendakwa bukunya itu adalah jawapan kepada buku yang dikeluarkan MUI Pusat berjudul "Mengenal dan Mewaspadai Penyimpangan Syi'ah di Indonesia." Menurut Emilia, selama ini MUI sesuka hati menyesatkan orang ramai tanpa ada pihak yang berani mengkritiknya.

"Kali ini MUI dicabar oleh wanita Syiah," kata Emilia, baru-baru ini.


Menurutnya, buku "Apakah MUI Sesat" (Berdasarkan 10 Kriteria Aliran Sesat) itu adalah hasil kebangkitan Syiah yang dianggap tertindas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Batal dialog dengan Indonesia

Posted: 09 Feb 2014 08:35 AM PST

Kementerian Pertahanan Singapura dilapor membatalkan perbincangan dengan Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin (gambar) ketika berlangsungnya pertunjukan udara di republik itu hari ini.

Pembatalan itu dipercayai berkait dengan perbalahan mengenai penamaan kapal tentera laut Indonesia, KRI Usman Harun.


Ketua Pusat Komunikasi Awam Kementerian Pertahanan Sisriadi berkata, perbincangan itu sebelum ini ditetapkan berlangsung hari ini dan Sjafrie diundang sebagai delegasi utama untuk menyaksikan pameran berkenaan selain mengadakan perbincangan dua hala dengan pegawai Kementerian Pertahanan Singapura.

"Bagaimanapun, kami menerima laporan daripada atase pertahanan Indonesia di Singapura yang menyatakan perbincangan itu dibatalkan," kata Sisriadi, semalam.


Menurutnya, Singapura tidak menyebut secara khusus alasan pembatalan itu.


Dia berkata, pihaknya yakin ia berkait dengan penamaan KRI Usman Harun.

"Mereka hanya berkata keadaan dalam negeri Singapura tidak membolehkan perbincangan diadakan," kata Sisriadi.


Bagaimanapun, Sisriadi berkata, walaupun dengan perkembangan terbaru itu, kerjasama pertahanan Indonesia dengan Singapura tetap baik.

"Ini perkara kecil saja," katanya.


Kerajaan Singapura sebelum ini menyelar langkah Indonesia menamakan kapal tentera negara itu dengan nama Usman Harun yang diambil daripada dua nama anggota tentera laut Indonesia, Usman dan Harun.


Kedua-duanya terbabit dalam keganasan di Singapura ketika konfrontasi dengan Malaysia pada 1965 dan dihukum gantung oleh pihak berkuasa republik itu.


Bagaimanapun, Indonesia menganggap kedua-duanya perwira kerana melaksanakan arahan presiden ketika itu, Sukarno, dalam kempen 'Ganyang Malaysia' kerana membantah pembentukan Malaysia. Dalam pada itu, rakyat Singapura juga dilapor menggesa kerajaan negara itu melarang kapal tentera laut Indonesia memasuki perairan republik itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Bayi antara 9 dibunuh

Posted: 09 Feb 2014 08:33 AM PST

Guatemala City: Sembilan termasuk seorang bayi dan kanak-kanak perempuan maut kelmarin selepas kediaman mereka diserang di kawasan yang terkenal dengan pertelingkahan membabitkan pengedar dadah.

Seramai 20 lelaki menyerbu rumah mereka awal pagi Sabtu sebelum menembak mati penghuninya terdiri daripada enam dewasa selain budak perempuan berusia lima tahun dan bayi perempuan berusia tiga bulan terbabit.


Kejadian dilaporkan berlaku di perkampungan pertanian Peten.

Seorang lagi wanita yang parah dalam serangan itu disahkan meninggal dunia di hospital.


Menteri Keselamatan Mauricio Lopez berkata, kejadian dipercayai ada kaitan dengan pertelingkahan antara pengedar dadah tempatan.


"Kawasan terbabit dipenuhi konflik antara pelbagai kumpulan pengedar dadah dan kami percaya suspek juga terbabit dalam aktiviti itu," katanya.

Pegawai keselamatan masih melakukan siasatan lanjut serta menyoal saksi.


Setakat ini belum ada tangkapan dibuat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

11 korban cuaca buruk Tokyo

Posted: 09 Feb 2014 08:33 AM PST

Tokyo: Salji paling tebal melanda Tokyo dan kawasan lain di Jepun dalam beberapa dekad ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 maut dan 1,200 lagi cedera di seluruh negara.

Sehingga 27 sentimeter salji direkodkan di Tokyo lewat malam kelmarin - paling tinggi dalam tempoh 45 tahun menurut pakar kaji cuaca.


Ribut salji melanda di Tokyo hanya sehari sebelum pilihan raya gabenor kota itu.

Menurut pemerhati, cuaca buruk mungkin menjejaskan jumlah pengundi yang keluar membuang undi. Sehingga jam 6 petang waktu tempatan, jumlah warga kota yang keluar mengundi direkodkan kurang 10 peratus berbanding pilihan raya terdahulu.


Tekanan rendah di pesisiran Pasifik pada Sabtu melihatkan bandar raya Sendai diliputi salji setebal 35 sentimeter - paling teruk direkodkan sejak 78 tahun lalu.


Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 11 maut, manakala seorang dalam keadaan kritikal akibat kemalangan disebabkan cuaca buruk. Kebanyakannya berlaku selepas kenderaan dinaiki tergelincir akibat jalan yang licin dipenuhi ais. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

No comments:

Post a Comment