Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Besi tembusi rusuk kanan

Posted: 03 Feb 2014 10:00 AM PST

Kuala Lumpur: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, cedera parah dengan rusuk kanannya tertusuk besi tiang pagar stesen minyak selepas plaza tol Jalan Duta Lebuhraya Utara Selatan menghala utara manakala seorang anggota berpangkat lans koperal cedera ringan apabila van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di situ, petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 petang, kedua-dua mereka dalam perjalanan ke Lumut untuk berkursus dengan menaiki van pasukan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa yang menaiki van PERODUA Rusa itu baru melepasi plaza tol apabila sebuah kereta tiba-tiba keluar dari lalu masuk ke stesen minyak berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari plaza tol.

"Kenderaan dipandu Lans Koperal Azri Abu Yamin, 31, itu cuba mengelak kenderaan berkenaan, tetapi gagal lalu terbabas menyebabkan van melanggar pagar dawai stesen minyak dan bergesel dengan sebuah kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

Foto

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Foto

MANGSA menahan kesakitan akibat tertusuk besi pagar dawai.

Foto

BESI pagar yang tembusi rusuk kanan mangsa.


"Pemandu van cedera ringan tetapi Inspektor Mohammad Azri Ismail, 34, cedera parah di rusuk kanan akibat tertusuk besi tiang pagar hingga tembus ke belakang badan," katanya.


Beliau berkata, pemandu dua kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

"Kedua-dua anggota polis itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Mohamad Azri yang cedera parah, menjalani pembedahan dan dia kini masih dalam pemantauan akibat kecederaannya serius.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

'Makan dan curi' kebas RM1,000

Posted: 03 Feb 2014 09:56 AM PST

Kapar: Makan dan curi antara petua dipercayai digunakan pencuri yang memecah masuk rumah penduduk dalam dua kejadian berasingan di Kampung Sungai Serdang, di sini, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian pertama jam 3 pagi, mangsa, Abdul Rahman Mohd Yahya, 28, berkata, dia dan keluarganya selesai mengadakan kenduri tahlil arwah bapanya pada malam kejadian dan kebanyakan ahli keluarganya tidur nyenyak kerana keletihan.

Kesempatan itu digunakan lelaki untuk memecah masuk rumahnya melalui tingkap belakang rumah.

"Ada ahli keluarga terdengar bunyi di belakang rumah. Setelah diamati, ada kelibat seorang lelaki sedang memasukkan lauk ke dalam bekas manakala nasi dan ikan rebus sudah dimasukkan ke dalam pinggan.


"Saya dan beberapa ahli keluarga cuba menangkap pencuri itu, namun mereka sempat melarikan diri melalui tingkap yang diumpil sebelum menghilangkan diri dalam semak bersama bekas berisi makanan, antaranya sup ayam dan kek," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, selepas kira-kira 30 minit, pencuri berkenaan sekali lagi datang dan mengumpil pintu kayu di tepi rumah, namun gagal kerana dia dan ahli keluarga menyedarinya.

Dalam kejadian kedua kira-kira 4 pagi, lelaki dipercayai suspek sama memecah masuk rumah seorang lagi penduduk yang terletak kira-kira 200 meter daripada rumah pertama.

Suspek memasuki rumah mangsa melalui tingkap dan mencari barangan berharga. Dia berjaya melarikan beg sandang berisi telefon bimbit serta wang tunai yang semuanya dianggarkan berjumlah RM1,000.

Mangsa, Mohd Anas Jumat, 28, berkata, kek yang disimpan dalam peti sejuk terut hilang dilarikan pencuri berdasarkan penemuan bekas makanan tidak jauh dari rumahnya.

Mereka membuat laporan polis di Balai Polis Kapar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Kali ke-3 gagal halang lelaki mahu mati awal

Posted: 03 Feb 2014 09:52 AM PST

Miri: "Sudah dua kali dia cuba membunuh diri, namun kami dapat menghalangnya tetapi semalam kami gagal," kata Mary Jau, 31, anak kepada seorang lelaki warga emas yang ditemui tergantung dalam bilik tidurnya di di Taman Ceria Permyjaya di sini, semalam.

Mangsa, Jau Jok, 61, berbangsa Kayan ditemui tergantung menggunakan tali nilon yang diikat pada jeriji tingkap oleh menantu lelakinya sebaik membuka pintu bilik jam 10.30 pagi.

Difahamkan, warga emas terbabit mempunyai masalah mental selain menghidap kencing manis sejak beberapa tahun lalu dan dikatakan bersikap pelik termasuk sering memberitahu mahu mati awal sejak kebelakangan ini.

Mary berkata, dia hanya menyedari kejadian itu sebaik suaminya, Francis Ngo, 33, menjerit memberitahu bapanya menggantung diri sebelum bergegas membuat pemeriksaan.


"Terkejut selain seolah-olah tidak percaya dengan apa dilihat, saya memanggil bapa beberapa kali, namun tiada tindak balas," katanya.


Katanya, ketika kejadian dia berehat dalam bilik dan tidak mengesyaki apa-apa walaupun menyedari bapanya belum keluar dari bilik kerana menyangkakan dia masih tidur.

"Bapa memang mempunyai masalah mental dan menunjukkan sikap pelik sejak kebelakangan ini apabila sering bercakap seorang diri dan ada kalanya memberitahu ada seseorang mahu membunuhnya.

"Kelmarin, dia memberitahu tidak sihat dan mahu mati awal, tetapi seperti biasanya kami cuba menenangkannya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

3 jaga masih direman hingga 6 Februari depan

Posted: 03 Feb 2014 09:37 AM PST

Shah Alam: Tiga pengawal keselamatan berusia antara 24 dan 37 tahun masih ditahan reman sehingga 6 Februari untuk siasatan kejadian rompak dan bakar van milik syarikat keselamatan membabitkan kerugian RM3.36 juta di di Ijok, Kuala Selangor pada 28 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, semua pengawal keselamatan itu ditahan kerana keterangan diberikan mereka meragukan.

"Setakat ini tangkapan masih kekal dengan tiga pengawal keselamatan berkenaan dan polis menjejak suspek terbabit dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian jam 10 pagi, 28 Januari lalu, empat penjenayah menunggu kenderaan membawa sembilan beg berisi wang itu di stesen minyak.


Apabila van keselamatan itu singgah di stesen minyak berkenaan untuk memindahkan wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dua penjenayah menyerbu masuk dan merampas pump gun milik pengawal keselamatan sebelum melarikan van bersama empat pengawal keselamatan.


Mereka membawa van itu ke ladang sawit satu kilometer dari tempat kejadian sebelum memindahkan wang dan membakar van itu.

Dalam perkembangan lain, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap sembilan lelaki Nepal yang ditahan kerana pergaduhan menyebabkan seorang lelaki Bangladesh maut manakala tiga lagi cedera.

Menurutnya, semua mereka ditahan reman tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, Khamis lalu, mangsa dikenali sebagai Amin Nur, 30-an, maut dibelasah sekumpulan lelaki Nepal yang tinggal berhampiran.

Mangsa disahkan meninggal sebaik tiba di Klinik Kesihatan Ijok untuk rawatan manakala tiga yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pecah pintu belakang

Posted: 03 Feb 2014 09:36 AM PST

Petaling Jaya: Sekumpulan perompak mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina untuk menceroboh masuk sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Bandar Utama, di sini, dan melarikan barang kemas yang masih belum diketahui nilainya.

Kejadian itu hanya disedari pengurus premis kira-kira jam 10 pagi semalam ketika mahu membuka kedai dan terkejut melihat peti keselamatan dirosakkan sebelum mendapati barang kemas lesap.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 10.40 pagi semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek memasuki premis melalui pintu belakang kedai yang dipecahkan sebelum merosakkan peti keselamatan menggunakan gas oxy.

Foto

ANGGOTA forensik memeriksa kedai emas yang dirompak.


"Premis terbabit ditutup jam 3 petang Khamis lalu sempena Tahun Baru Cina dan beroperasi semula hari ini (semalam).


"Pihak polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini," katanya.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

No comments:

Post a Comment