Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Barca tumbang!

Posted: 02 Feb 2014 02:29 PM PST

Madrid: Valencia mencetus kekalahan pertama Barcelona dalam liga di Nou Camp sejak April 2012 apabila mempamerkan kebangkitan sebelum menang 3-2 awal pagi semalam.

Alexis Sanchez memberikan tuan rumah jaringan pendahuluan namun dua jaringan sebelum dan selepas waktu rehat menerusi Dani Parejo dan Pablo Piatti memberikan kelebihan kepada pelawat.

Lionel Messi dengan pantas menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti namun Paco Alcacer melakukan rembatan leret untuk jaringan kemenangan menewaskan Victor Valdes lima minit kemudian.

Hari malang Barca lengkap apabila Jordi Alba dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki 13 minit.

Foto

PEMAIN Valencia ceria selepas menang ke atas Barcelona, semalam.


Ia keputusan yang mengejutkan dicetuskan Valencia selepas dominasi Barca pada setengah jam awal perlawanan dan Juan Antonio Pizzi memuji reaksi balas anak buahnya selepas rehat.


"Kami sedar pada rehat separuh masa bahawa kami perlu bersaing dengan lebih lagi dan kami membaikinya pada babak kedua," katanya.

"Kami berjaya mendominasi perlawanan pada babak kedua. Kami tidak menerima tentangan yang banyak di barisan pertahanan dan setiap serangan balas kami kelihatan berbahaya."

Manakala pengendali Barca, Gerardo Martino, mengakui anak buahnya menerima padah kerana gagal memastikan kemenangan sejak awal permainan.

"Saya bimbang kami tidak mengukuhkan kelebihan awal kami kerana perlawanan tidak tamat hingga pengadil meniup wisel penamat dan ia seperti kami menamatkan perlawanan selepas hanya setengah jam," katanya.

"Minggu ini (lalu) saya ada katakan pada peringkat ini, anda terpaksa menanggung padah jika melakukan kesilapan dan hari ini (awal pagi semalam) kami mengakui melakukan banyak kesilapan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Psikologi Mourinho

Posted: 02 Feb 2014 10:42 AM PST

Manchester, England: Status Manchester City selaku pasukan pilihan juara Liga Perdana bakal diuji apabila skuad Chelsea kendalian Jose Mourinho bertandang ke utara bagi pertembungan hebat di Stadium Etihad.

City melonjak ke tangga teratas liga selepas membelasah Tottenham Hotspur 5-1 minggu lalu dan berjaya menjaringkan 115 gol dalam semua pertandingan musim ini sekali gus dilabel sebagai pasukan terbaik di England.


Dengan lima kemenangan liga berturut-turut, Chelsea terus bersaing hebat namun dikecewakan dengan keputusan seri 0-0 di gelanggang sendiri kepada West Ham pada pertengahan minggu lalu yang menyaksikan mereka ketinggalan tiga mata dengan pencabar utama.

Mourinho sebelum ini menyatakan City sebagai pasukan pilihan kejuaraan bagaimanapun menjelang pertembungan awal pagi esok, beliau mula menyalakan api permusuhan antara kedua-dua pasukan.


Pengurus Chelsea itu menafikan kenyataan pengurus Tottenham, Tim Sherwood bahawa City adalah pasukan terbaik di dunia dan mendakwa anak buah Manuel Pellegrini itu hanya bernasib baik kerana mendapat kelebihan keputusan pengadil.


Spurs, Newcastle dan Liverpool menghasilkan gol tetapi tidak dibenarkan pengadil kerana dikatakan ofsaid ketika tewas kepada City dan Mourinho berkata: "Mereka bernasib baik. Realitinya banyak keputusan penting memihak kepada mereka.

"Menentang Liverpool, Raheem Sterling menghasilkan 'gol'. Penalti kepada (Luis) Suarez tidak diberikan. Menentang Newcastle pula, gol Cheick Tiote tidak dikira.


"Dalam perlawanan dengan Tottenham, (Michael) Dawson sepatutnya menjaringkan gol, (Danny Rose) pula menerima kad merah dan mereka mendapat penalti. Banyak keputusan memihak kepada mereka. Saya mengulangi kenyataan ini kerana saya tidak mahu disalahertikan, ia cuma satu kebetulan.

"Pengadil berusaha memberikan yang terbaik, tapi kadang kala mereka juga melakukan kesilapan dan biasanya kesilapan ini hanya berpihak kepada satu pasukan saja. Dalam kes City ini, semuanya memihak kepada mereka." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Pardew tak panik

Posted: 02 Feb 2014 10:41 AM PST

Newcastle, England: Pengurus Newcastle United, Alan Pardew tetap tenang walaupun sudah ada desakan buatnya meletakkan jawatan berikutan kekalahan kedua berturut-turut dalam pertembungan setempat menentang Sunderland.

Kelab Wearside itu merekod tiga kemenangan berturut-turut dalam pertembungan liga Tyne-Wear untuk kali pertama selepas lebih 90 tahun hasil kemenangan 3-0 yang menyebabkan penyokong tuan rumah menjerit 'anda akan dipecat pagi ini (semalam)!' ke arah Pardew.


Newcastle masih selesa di tangga pertengahan liga dan berpeluang meraih tempat ke Liga Europa apabila tamat kempen musim ini.

Bagaimanapun sasaran itu mula pudar berikutan empat kekalahan berturut-turut.


Penyokong tidak gembira dengan penjualan Yohan Cabaye ke Paris Saint-Germain dengan harga £19 juta (RM104 juta) serta kegagalan kelab itu membawa masuk beberapa pemain baru meletakkan Pardew dalam situasi tertekan selepas mereka kecundang di St James' Park kelmarin.


Pardew menandatangani kontrak lumayan dua tahun lalu untuk kekal bersama kelab hingga 2020 dan beliau berkata: "Saya faham dengan kekecewaan penyokong. Ia kekalahan ketiga berturut-turut dalam perlawanan setempat dan kedua di laman sendiri.

"Anda perlu menerima kritikan. Kami hilang Cabaye dan kami gagal mengambil pemain baru jadi ia minggu yang sukar." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Tak kisah!

Posted: 02 Feb 2014 10:41 AM PST

Stoke-on-Trent, England: Pengurus Manchester United, David Moyes (gambar) tidak bimbang mengenai persembahan pasukannya sekalipun juara bertahan itu mengalami kekalahan kelapan dalam Liga Perdana musim ini kepada Stoke City di Stadium Britannia, kelmarin.

Charlie Adam menyumbat dua gol dengan Robin van Persie menjaringkan gol penyamaan bagi membolehkan Potters melakar kemenangan pertama ke atas United sejak 1984 dan menyulitkan lagi harapan penyandang juara itu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.


Anak buah Moyes mungkin menamatkan hujung minggu sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat jika pasukan musuh Liverpool menundukkan West Brom malam tadi dan merapatkan kedudukan itu jelas kelihatan sukar dengan hanya berbaki 14 perlawanan.

Namun pengurus United itu jelas tidak kisah dengan kekalahan 1-2 pasukannya, kekalahan keempat mereka pada 2014 dalam semua pertandingan.


Beliau menegaskan gol pembukaan Adam pada babak pertama yang tertampan oleh Michael Carrick dan kualiti pemain tengah Stoke itu bagi gol kedua sebagai alasan kenapa United tidak terlalu kecewa dengan persembahan mereka.


"Saya fikir persembahan kami amat bagus," katanya. "Saya fikir kami bermain dengan baik jadi saya tidak fikir persoalan mengenai persembahan buruk diterima akal.

"Kami mencipta banyak peluang, bermain bagus, kalah menerusi sepakan percuma 30 ela dari gol yang tertampan pemain kami dan melepaskan gol bertaraf dunia. Saya berasakan kami pasukan yang lebih bagus.


"Mereka menyumbat gol, kami menyamakan kedudukan, saya fikir kami lebih mengungguli permainan dan seharusnya meraih keputusan lebih baik daripada ini." Dengan Jonny Evans dikeluarkan pada minit ke-11, jaringan Adam dan kemudian kecederaan kepala dialami Phil Jones, Moyes patut berasa beliau tidak bernasib baik.

"Saya fikir kami tidak bertuah," jelasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Jones, Zaha buat Solskjaer senyum

Posted: 02 Feb 2014 10:40 AM PST

Cardiff, Wales: Muka baru Kenwyne Jones dan Wilfried Zaha kedua-duanya menyerlah pada penampilan sulung mereka untuk membantu Cardiff menang 2-1 ke atas Norwich di halaman sendiri, kelmarin.

Pemain gantian Zaha mencipta gol penyamaan dijaringkan Craig Bellamy selepas rehat sebelum Jones merembat masuk gol kemenangan dua minit kemudian.


Terdahulu, Robert Snodgrass meletakkan Norwich di depan selepas lima minit.

Ia memberikan Ole Gunnar Solskjaer kemenangan pertama dalam Liga Perdana sejak mengambil alih kelab Wales itu sekali gus membolehkan mereka mengelak daripada tangga tercorot.


Zaha bermula di bangku simpanan pada perlawanan sulungnya selepas berpindah secara pinjaman dari Manchester United, namun masuk beberapa minit sebelum rehat menggantikan Peter Whittingham.


Pertahanan Brazil, Fabio dan penyerang Trinidad, Jones turut diberikan peluang tampil julung kali menyarung jersi Cardiff dengan kapten Mark Hudson diketepikan kerana kecederaan hamstring.

Bos Norwich, Chris Hughton membawa masuk Alexander Tettey, Jonas Gutierrez dan Johan Elmander. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Perancis pastikan tempat

Posted: 02 Feb 2014 10:40 AM PST

Paris: Perancis, Switzerland dan Jerman mara ke suku akhir Piala Davis ketika Sepanyol dan Serbia terkeluar daripada pertandingan yang berusia 114 tahun itu.

Perancis sukar digugat apabila mengatasi Australia 3-0 dengan Jerman menewaskan Sepanyol yang turun tanpa kelibat pemain nombor satu dunia Rafael Nadal dan Switzerland menewaskan juara 2010 dan finalis tahun lalu Serbia dengan pungutan mata yang sama.


Namun Republik Czech terpaksa menunggu hingga semalam untuk memastikan usaha mereka memburu kejuaraan ketiga berturut-turut berada di landasan tepat apabila menyingkirkan Belanda 2-1 di Ostrava.

Di gelanggang tanah liat di Mouilleron-le-Captif, Richard Gasquet dan Jo-Wilfried Tsonga menghadiahkan mata penting buat Perancis menerusi kemenangan 5-7, 7-6 (7/4), 6-2, 7-5 ke atas Chris Guccione dan Lleyton Hewitt.


"Kami bermain perlawanan beregu yang hebat," kata Tsonga. "Ia bukan satu perkara luar biasa kerana kami bermain semua pertandingan peringkat remaja bersama." Perancis berada dalam kedudukan selesa selepas Gasquet menewaskan pemain remaja Australia, Nick Kyrgios 7-6 (7/3), 6-2, 6-2, sebelum Tsonga menyingkirkan Hewitt 6-3, 6-2, 7-6 (7/2).


Perancis mara ke kelompok lapan terbaik bersama Jerman yang nyata sukar digugat apabila menewaskan juara lima kali, Sepanyol 3-0 di Frankfurt.

Perlawanan suku akhir dijadualkan dari 4 hingga 6 April ini.


Tommy Haas dan Philipp Kohlschreiber memerlukan hampir tiga setengah jam sebelum menang 7-6 (7/5), 6-7 (9/11), 7-6 (9/7), 6-3 ke atas beregu Sepanyol, Fernando Verdasco dan David Marrero.

Kohlschreiber dan Florian Mayer meletakkan tuan rumah mendahului 2-0.


Mata penting Switzerland pula disumbangkan oleh pasangan Marco Chiudinelli dan Michael Lanmer yang menewaskan Nenad Zimonjic dan Filip Krajinovic 7-6 (7/3), 3-6, 7-6 (7/2), 6-2. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Anastasia ketepi cabaran Maria

Posted: 02 Feb 2014 10:39 AM PST

Paris: Anastasia Pavlyuchenkova berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan WTA Paris selepas menyingkirkan rakan senegara dan pilihan utama dari Russia, Maria Sharapova awal pagi semalam.

Anastasia yang berada di ranking ke-26 dunia menamatkan cabaran juara Terbuka Perancis 2012 di Stade Coubertin 4-6, 6-3, 6-4.


Bekas juara remaja itu akan bertemu pilihan ketiga dari Itali, Sara Errani yang menerima tentangan sengit daripada pemain tuan rumah Alize Cornet sebelum menang dalam satu pertarungan maraton selama tiga jam 7/6 (7/3), 3/6, 7/6 (7/5) pada satu lagi aksi separuh akhir.

Pada awal perlawanan, Anastasia terlebih dulu ketinggalan 0-3 kemudian 1-4 sebelum pemain berusia 22 tahun itu menyelamatkan dua mata 'break' selepas mematahkan servis Maria yang menduduki ranking kelima dunia untuk kedudukan 4-4.


Dia bagaimanapun tewas set pertama apabila melakukan dua unforced error.


Dia seterusnya bangkit dan menewaskan Maria pada permainan pertama di set kedua dan diikuti dengan dua break dalam aksi separuh akhir itu.

Pasangan itu beraksi di set penentuan dengan Maria terus mencuba dan menyamakan kedudukan 5-5 namun dua kesalahan yang dilakukan membolehkan rakan senegaranya merangkul kemenangan.


"Saya membiarkan dia mendapat kembali keyakinannya," kata Maria.

Pemenang yang dilatih oleh bapanya sendiri berkata: "Kunci utama permainan itu adalah servis." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Watson terajui Terbuka Phoenix

Posted: 02 Feb 2014 10:39 AM PST

Phoenix, AS: Bubba Watson yang memburu kemenangan pertama sejak menjuarai Masters AS pada 2012 membenam tiga bawah par 68 untuk menjadi pendahulu tunggal pada Terbuka Phoenix semalam.

Watson berkongsi kedudukan pada pusingan pertama dan kedua kejohanan yang menawarkan AS$6.2 juta (RM20.7 juta) dalam Jelajah PGA AS itu.


Dia menamatkan cabaran 54 lubang dengan mendahului dua pukulan dengan jumlah keseluruhan 15 di bawah par 198.

"Saya berdepan satu lagi hari yang sukar tapi saya melihat ia sesuatu yang baik untuk masa depan," kata Watson selepas menamatkan saingan dengan empat birdie dan satu bogey.


Watson mendahului dua pukulan mengatasi Kevin Stadler yang melengkapkan pusingan ketiga dengan 67 untuk jumlah keseluruhan 200 pukulan.


Ryan Moore melonjak kedudukan untuk berkongsi tempat ketiga dengan 201 pukulan, tujuh bawah 64. Dia menyertai pemain Jepun, Hideki Matsuyama yang mencatatkan 68 dan Harris English, 69. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Kehangatan futsal kembali

Posted: 02 Feb 2014 10:39 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas selesai edisi Sabah tahun lalu, Karnival Futsal Harian Metro kini beralih ke Lembah Klang dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM26,900.

Bakal berlangsung di Uptown Sports, Kajang, kejohanan anjuran akhbar nombor satu negara yang akan diadakan pada 22 dan 23 Februari ini, mempertandingkan tiga kategori - Terbuka Lelaki, Wanita dan Lelaki Bawah 17.


Saingan yang menyaksikan kerjasama AmBank sebagai penaja bersama selain Figos selaku rakan penaja terbuka kepada semua, cuma bagi kategori Lelaki Bawah 17, mereka harus dilahirkan selepas 1996.

Yuran penyertaan RM200 dikenakan bagi Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita (RM150) dan Lelaki Bawah 17 (RM100).


Juara Terbuka Lelaki akan membawa pulang RM5,000, Terbuka Wanita (RM3,000) manakala Lelaki Bawah 17 (RM2,000).


Justeru, penganjur memohon kerjasama pasukan berminat supaya segera menghantar borang penyertaan.

Setiap pasukan perlu menggunakan borang asal yang dikeluarkan setiap hari dalam akhbar Harian Metro sebelum tarikh tutup pada 18 Februari ini.


Bayaran hendaklah dibuat menerusi AmBank dengan slip pembayaran asal serta borang lengkap dikirim kepada The New Straits Times Press (M) Berhad, Bendahari Futsal Harian Metro 2014, Jabatan Kewangan, Tingkat 5, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Pembayaran perlu dilakukan melalui kiriman wang pos atau draf bank atau datang sendiri ke alamat tertera.


Sebarang maklumat atau pertanyaan berhubung Karnival Futsal Harian Metro, hubungi nombor telefon tertera dalam borang penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

Jasin Height ketepikan lawan

Posted: 02 Feb 2014 10:38 AM PST

Melaka: Pasukan bola sepak Jasin Height berjaya menewaskan Rim Sejati 1-0 pada perlawanan pembukaan Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim di Stadium Mini Jasin, baru-baru ini.

Perlawanan seimbang sepanjang permainan bagaimanapun menyaksikan Jasin Height lebih bernasib baik mencipta gol tunggal untuk meraih tiga mata berharga membabitkan penyertaan 10 pasukan.


Kejohanan anjuran Pemuda UMNO Jasin dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu turut disertai Rim Bersatu, Chabau, Kemendor A dan B, MAYC Simpang Bekoh, Simpang Kerayong FC, Chohong FC dan Jiran Muda Seri Kesang.

Majlis perasmian disempurnakan ADUN Rim, Datuk Ghazale Muhamad. Hadir sama Yang Dipertua MPJ Hazudin Hashim dan Ketua Pemuda Jasin, Imanuddin Ab Aziz serta Pengerusi Biro Sukan Rim, Zulkifli Kalil.


Ghazale berkata, empat pasukan teratas dalam saingan liga sepusingan itu akan bertemu pada separuh akhir bagi menentukan dua pemenang mara ke final Jun ini.


Beliau berkata, kejohanan itu juga pentas mendedahkan pasukan di DUN kepada saingan kompetitif dengan juara meraih RM2,000 diikuti kedua dan ketiga masing-masing RM1,500 dan RM750.

Menurutnya, sokongan semua pihak terutama daripada penduduk setempat selain agensi awam dan swasta diyakini mampu melahirkan pemain terbaik dari DUN Rim untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03

No comments:

Post a Comment