Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Esok, masalah selesai'

Posted: 26 Feb 2014 09:55 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama mencetuskan pelbagai persoalan dan drama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kemungkinan besar bakal menemui jawapan mengenai masa depan mereka, esok.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria mengesahkan satu mesyuarat khas yang hanya menyentuh Kien Keat-Boon Heong dan dipengerusikannya akan diadakan pada Jumaat ini.

Tanpa mahu menyatakan dengan lebih lanjut berhubung intipati mesyuarat itu, Norza bagaimanapun memberi bayangan satu keputusan akan dicapai dalam usaha menyelesaikan krisis membabitkan pasangan utama negara itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan membabitkan semua aspek dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk barisan kejurulatihan serta ISN (Insitut Sukan Negara) yang sebelum ini mengadakan ujian kecergasan ke atas mereka.

Foto

GANDINGAN baru Boon Heong (kanan) juga bakal ditentukan.


"Mesyuarat akan menyentuh aspek undang-undang dan penajaan pemain. Saya harap segala-galanya dapat dimuktamadkan pada mesyuarat itu nanti.


"Kemungkinan besar juga mesyuarat itu akan memutuskan siapa gandingan terbaru Boon Heong," katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam Arena Metro melaporkan desakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang berharap BAM segera mencari jalan penyelesaian berhubung masa depan Kien Keat yang sudah menghantar surat mengundur diri daripada skuad kebangsaan serta Boon Heong yang seperti mahu mengikut jejak langkah gandingannya itu.

Mengulas mengenai gesaan Zolkples itu, Norza berkata, beliau menyahut baik saranan berkenaan.

"Sejak dulu lagi saya sentiasa mahukan masalah dihadapi setiap pemain, termasuk Kien Keat-Boon Heong diselesaikan dengan segera.

"Saya setuju dengan pendapat Zolkples dan inilah yang kita mahu lakukan iaitu mencari penyelesaian pantas berhubung perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

MHC mungkin panggil Kevin

Posted: 26 Feb 2014 09:21 AM PST

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pemain berbakat dari Malaysia yang berpangkalan di Jerman, Kevin Lim ke dalam skuad hoki negara sekiranya tidak berdepan masalah dengan status kewarganegaraan.

Kevin mempunyai asal usul Malaysia dengan bapanya Git San berasal dari Pulau Pinang manakala ibunya, Dagmar warga negara Jerman.

Berusia 28 tahun, pemain yang mewakili Kelab Hoki Berlin itu pernah menyertai skuad kebangsaan Jerman pada 2005.

Setiausaha Agung MHC Datuk Johari Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa untuk memanggil Kevin menyertai skuad negara kerana perlu menyemak status kewarganegaraan pemain itu.

Foto

KEVIN kini berpangkalan di Jerman.


"Apa yang boleh saya katakan ialah sehingga kini masih belum ada kata putus mengenai pemain ini kerana status kewarganegaraan perlu disemak dulu.


"Semua ini perlu dilakukan kerana kami tidak mahu timbul sebarang masalah apabila memanggil pemain itu menyertai skuad negara.

"Apapun, dia juga perlu menjalani proses pemilihan terlebih dulu untuk menyertai skuad negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

SIC mahu lobi anjur F1 Malaysia selepas 2015

Posted: 26 Feb 2014 09:19 AM PST

Jakarta: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan terus melobi untuk menyambung kontrak penganjuran Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia yang bakal berakhir pada 2015 kerana perlumbaan terulung jentera empat roda dunia itu memberi impak positif kepada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, penganjuran F1 masih relevan kepada negara dan tiada sebab bagi SIC untuk tidak menganjurkan perlumbaan itu yang selama ini mendapat sokongan penuh kerajaan Malaysia.

"Penganjuran F1 yang ketiga terbesar selepas Sukan Olimpik dan Piala Dunia FIFA. Untuk menganjurkan F1 memerlukan kos besar dan sokongan kerajaan. Kita memerlukan acara seperti ini untuk menyerlahkan Malaysia malah penganjurannya beri impak kepada ekonomi negara," katanya dalam sidang media mempromosikan GP F1 Malaysia 2014 di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Nor Aznan Sulaiman.

Foto

RAZLAN (kanan) tumpu raih hak penganjuran F1.

Malaysia akan menganjurkan pusingan kedua GP F1 2014 dari 28 hingga 30 Mac. Perlumbaan pembuka tirai itu bakal berlangsung di GP Australia dari 14 hingga 16 Mac.

Razlan berkata setakat ini, SIC tidak mendapat tekanan mana-mana pihak termasuk Supremo F1, Bernie Ecclestone, namun mereka perlu membuat persiapan bagi membolehkan Malaysia terus diberikan hak menganjurkan perlumbaan berkenaan.

Katanya melalui kajian yang dilakukan, GP F1 Malaysia yang bakal memasuki edisi ke-16 tahun ini, memberi pulangan lumayan kepada negara.

Beliau berkata pada setiap tahun, perlumbaan F1 di Malaysia menarik lebih 100,000 penonton dan daripada jumlah itu antara 30 dan 35 peratus, pelancong asing.

"Mengikut kajian, setiap pelancong membelanjakan purata RM7,000 sepanjang berada di Malaysia. Perbelanjaan itu termasuk tiket perlumbaan, penginapan dan makanan," katanya.

Razlan berkata selain Indonesia yang mencatat antara kehadiran penonton asing kelima terbesar menyaksikan perlumbaan itu dalam tempoh tiga tahun lalu, SIC turut mempromosi GP F1 Malaysia 2014 di Australia, India, Vietnam dan Filipina serta akan bakal ke Singapura tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Futra sokong Shapian

Posted: 26 Feb 2014 09:14 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas pemain sepak takraw negara Mohd Futra Abd Ghani menyokong hasrat Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali merebut jawatan tertinggi badan induk itu.

Katanya kegagalan skuad takraw negara sejak di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Ismail perlu diperbaiki dengan idea baru.

"Tanyalah sesiapa sekalipun, saya ataupun seluruh masyarakat sepak takraw, kami menyokong penuh niat Shapian yang mahu bertanding jawatan Presiden PSM.

"Sokongan kami sebagai bekas pemain negara atas rekod cemerlang Shapian ketika memegang Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu. Kami semua nampak apa yang beliau lakukan.

Foto


"Buktinya sudah ada, mereka juara Sukan Malaysia (SUKMA), juara Piala Emas Khir Johari dan banyak lagi.


"Apa yang lebih membanggakan, beliau sentiasa mengadakan program akar umbi dalam melahirkan lebih ramai permata baru buat sukan sepak takraw," katanya.

Bekas apit kanan negara itu berkata, ketokohan Shapian amat diperlukan PSM dalam mengembalikan maruah negara yang sudah lama hilang.

Futra mengakui Shapian berani apabila tampil bertanding walaupun sedar Ahmad akan cuba mempertahankan jawatannya dengan apa cara sekalipun.

"Kami bekas pemain nampak kemampuan Shapian dan akan sentiasa memberi sokongan penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Gelaran Olimpian tak halang Jironi bersara

Posted: 26 Feb 2014 09:12 AM PST

Kuala Lumpur: Meskipun dinobat selaku pemenang Anugerah Olimpian Lelaki negara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, bekas pelari jarak sederhana negara Mohd Jironi Riduan tidak akan mengubah pendiriannya untuk bersara dalam arena sukan olahraga.

Jironi diangkat sebagai Olimpian negara selepas memenangi dua pingat emas acara 800 dan 1,500 meter lelaki pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

"Sebelum Sukan SEA lagi saya sudah memikirkan untuk bersara, malah saya sudah beritahu hasrat ini awal-awal kepada MSN (Majlis Sukan Negara).

"Dengan komitmen kerja selaku guru di SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail), saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mengutamakan tugas hakiki itu," katanya yang mengajar di sekolah berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Pencapaian meraih dua emas itu penamat yang cukup baik dalam karier saya, jadi tidak mungkin saya kembali beraksi lagi," katanya.

Kemenangan Jironi itu sekali gus mengharumkan sukan olahraga selepas kali terakhir dimenangi bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhammad pada 2003.

Sementara itu, perenang negara Christina Loh muncul pemenang Anugerah Olimpian Wanita selepas meraih dua pingat emas menerusi acara 100 dan 200m kuak dada wanita, juga pada temasya Sukan SEA di Myanmar, tahun lalu.

Jironi serta Christina masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta pingat tajaan Coca-Cola.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Kim Swee lega Mat Yo kembali

Posted: 26 Feb 2014 09:10 AM PST

Kelana Jaya: Penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha yang sebelum ini mencetuskan kontroversi gagal melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, akhirnya hadir pada sesi latihan Harimau Malaya semalam.

Pengendali sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee jelas gembira dengan kehadiran penyerang yang mesra dengan gelaran Mat Yo itu sekali gus memudahkannya merancang strategi terbaik untuk aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Selayang, Sabtu ini.

"Segala masalah Mat Yo sudah selesai selepas dia sendiri menghubungi pengurus pasukan (Datuk Seri Subahan Kamal).

"Dia mengambil keputusan bersama pasukan dan sanggup menangguhkan hasrat menunaikan umrah ke satu tarikh yang lain. Mat Yo menunjukkan reaksi matang.

Foto

NORSHAHRUL tangguh hasrat menunaikan umrah.


"Selepas Alex (Azamuddin Akil) tersisih, kini saya ada alternatif lain di bahagian serangan," katanya.


Penyerang Johor Darul Ta'zim itu sebelum ini gagal melaporkan diri bersama skuad negara kerana difahamkan mahu mengerjakan umrah pada 3 Mac ini selain mempunyai alasan peribadi yang lain.

Aksi persahabatan dengan Filipina, Sabtu ini adalah masa terbaik Kim Swee menilai pemainnya sebelum bertemu Yaman bagi aksi kelayakan Piala Asia, 5 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Desailly tawar diri

Posted: 26 Feb 2014 09:08 AM PST

Kuala Lumpur: Pemenang Piala Dunia 1998, Marcel Desailly secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membimbing skuad Harimau Malaya seandainya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menawarkan jawatan penting itu kepadanya.

Ditemui pada sidang akhbar Anugerah Laureus semalam, bekas pertahanan kental skuad kebangsaan Perancis itu menyatakan sudah bersedia untuk beralih kepada bidang kejurulatihan selepas lebih 20 tahun terbabit dalam kancah bola sepak.

Antara kelab pernah diwakili pemain yang mewakili Perancis dari 1993 hingga 2004 itu adalah Nantes, Marseille, AC Milan, Chelsea, Al-Gharafa dan Qatar SC.

Kini, pada usia 45 tahun, Desailly yang turut menjadi sebahagian daripada penyumbang kejayaan Perancis mendominasi saingan Euro 2000, yakin segala pengalamannya sebagai pemain itu mampu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik, terutama di peringkat Asia.

Foto

DESAILLY (kiri) hadir pada sidang akhbar Anugerah Laureus semalam.


"Saya sudah bersedia melanjutkan karier sebagai jurulatih. Saya tahu pasukan kebangsaan anda pernah mengecapi kejayaan pada 2010 (Piala AFF Suzuki), namun saya juga yakin FAM memerlukan lebih banyak kejayaan.


"Saya berharap akan menjadi individu yang dapat mengubah mentaliti untuk terus melakar kejayaan dalam skuad Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Desailly sedar, sekiranya beliau diberi kepercayaan membimbing skuad negara, ia bukanlah tugas mudah.

"Sebenarnya belum ada sebarang rundingan (dengan FAM), tapi saya gembira kerana dikaitkan dengan jawatan ini.

"Saya tahu mereka masih melakukan penilaian ke atas calon tertentu dalam usaha membawa pasukan anda ke tahap lebih tinggi," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan usaha FAM untuk mendapatkan seorang jurulatih berkualiti bagi menggantikan Datuk K Rajagobal, antaranya termasuk bekas pengendali Jepun, Phillipe Troussier.

Namun badan induk itu terpaksa melupakan Troussier kerana difahamkan beliau menolak beberapa syarat yang ditetapkan.

Ketika ini, Harimau Malaya dibimbing pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee yang sedang bersiap sedia untuk aksi persahabatan menentang Filipina Sabtu ini dan menentang Yaman bagi kelayakan Piala Asia, empat hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

LTdL medan nilai aksi pelumba tempatan

Posted: 26 Feb 2014 09:06 AM PST

Kuala Lumpur: Sejauh mana kemampuan pelumba tempatan bakal dinilai apabila saingan perlumbaan terbesar Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) membuka tirai secara rasmi di Pulau Langkawi, hari ini.

Dibarisi 12 pelumba tempatan yang akan beraksi atas tiket pasukan kebangsaan dan pasukan benua Terengganu Cycling Team (TSG), cabaran yang dihadapi sudah pastinya tidak mudah, terutama dengan kehadiran enam pasukan profesional buat julung kali dalam perlumbaan berstatus Hors itu.

Senario sama akan ditempuh pelumba negara dengan juara edisi ke-19 LTdL tahun ini bakal ditentukan di puncak Genting Highlands ketika jurulatih Aminuddin Sulaiman meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik daripada 21 pasukan bertanding.

Namun siapakah penakluk puncak Genting hanya akan diketahui pada peringkat ketiga dengan beberapa nama seperti Fabio Duarte (Team Colombia) dan Pieter Weening (Orica-GreenEDGE) menjadi sebutan selepas pelumba Wang Meiyin dari pasukan Hengxiang Cycling Team melakar kejutan tahun lalu.


Bagaimanapun bagi kapten negara, Suhardi Hassan, dia tetap yakin dengan barisan pelumba negara di samping semangatnyauntuk mengerah kudrat membantu skuad negara walaupun hakikatnya tampak sukar.


Berusia 32 tahun dan menjadi pelumba paling berusia dalam skuad negara, dia akan dibantu Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd Nor Rizuan Zainal, Amirul Anuar Jefri dan Abdul Rashid Ibrahim.

"Jurulatih meletakkan sasaran tempat ke-15, tapi kami akan cuba mendapatkan keputusan lebih baik. Saya akan memberi motivasi kepada pelumba muda negara selain merancang strategi di laluan landai.

"Namun penentu hala tuju nanti adalah di puncak Genting Highlands dan berharap rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

John yakin Jijoe serlah

Posted: 26 Feb 2014 09:05 AM PST

Kuala Lumpur: Saingan Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali, Colombia membuka tirai hari ini dengan tiga wakil negara akan berusaha melakar keputusan terbaik termasuk membawa pulang tiga pingat.

Biarpun saingan dilihat sukar, ketua jurulatih negara John Beasley tetap optimis dengan kemampuan pelumba negara terutama Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa.

Peningkatan yang dipamerkan Fatehah menunjukkan pelumba itu mempunyai peluang, namun pengalaman mungkin menjadi pemisah dan penentu kejayaannya.

Namun Beasley meluahkan keyakinan terhadap Azizulhasni dengan anak jati Terengganu itu dilihat mampu mengembalikan maruahnya terutama selepas dua kali penyertaannya dalam acara keirin dalam siri Piala Dunia Klasik, dibatalkan.


Bagi Azizul yang disapa Jijoe, Kejohanan Dunia tempat untuknya menguji tahap kemampuan sebagai persediaan untuk ke Sukan Asia dan Komanwel.


"Peluang itu ada, tapi belum dapat dipastikan sama ada cerah atau tidak. Apa yang penting, saya perlu bekerja keras dan fokus 100 peratus terhadap perlumbaan dan berharap nasib menyebelahi saya nanti," katanya.

Wakil negara, Jupha Somnet terlebih dulu membuka tirai perlumbaan dalam acara scratch awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Durakovic kecewa gagal raih mata penuh

Posted: 26 Feb 2014 09:05 AM PST

Kuala Lumpur: "Kami sepatutnya menang mudah." Demikian luahan kecewa pengendali Selangor Mehmet Durakovic selepas menyaksikan anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Arema FC pada perlawanan pertama Kumpulan F saingan Piala AFC, kelmarin.

Menjangkakan barisan pemainnya mampu meraih tiga mata penuh, Durakovic sebaliknya terpaksa menerima hakikat hanya satu mata diraih selepas kapten Arema Ahmad Bustami menafikan gol pendahuluan Selangor yang disumbang Paulo Rangel.

Namun Durakovic tidak menyalahkan 100 peratus anak buahnya, sebaliknya tetap berpuas hati dengan keputusan itu kerana sekurang-kurangnya mereka berjaya mencipta peluang.

"Saya kecewa kerana kami sepatutnya mampu meraih tiga mata, tapi inilah bola sepak, apa saja boleh berlaku.

"Selagi kami berjaya mencipta peluang, saya tidak risau dengan kemampuan barisan pemain saya.

"Jika ada peluang untuk menjaringkan gol tapi pemain gagal menyempurnakannya, apa lagi boleh kami lakukan.

Mungkin pada perlawanan seterusnya mereka mampu menjaringkan gol," kata Durakovic.

Selepas berakhir perlawanan pertama, Selangor kini menduduki tangga kedua Kumpulan F di belakang Hanoi T&T yang membelasah Maziya SC 5-1 dalam satu lagi perlawanan kelmarin.

Selangor akan turun pada aksi kedua peringkat kumpulan bertemu Maziya SC di Stadium Nasional, Maldives pada 11 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

No comments:

Post a Comment