Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


TRW belum selamat

Posted: 11 Feb 2014 09:32 AM PST

Kota Bharu: Kelantan membawa bekalan kurang selesa apabila sekadar menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Bermula babak pertama, Kelantan berjaya mendahului pasukan pelawat seawal minit ke-3 menerusi sepakan percuma kapten Mohd Badhri Radzi yang bijak menewaskan penjaga gol, Remezey Che Ros.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan mula mengatur gerakan sebelum memperoleh sepakan percuma yang diambil Mohd Fauzan Dzulkifli yang berjaya ditanduk Patrick Ronaldinho namun percubaan itu terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha PKNS untuk menyamakan kedudukan berhasil menerusi gerakan penyerang import Karlo Primorak yang bijak melorongkan bola sebelum disudahkan Ronaldinho.

Foto

PEMAIN Kelantan meraikan jaringan Badri (tengah).


Formasi 4-4-2 yang digunakan ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby menampakkan kelainan dengan menyaksikan tuan rumah banyak mengasak, malah Ahmad Fakri Saarani hampir meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-40 selepas menerima hantaran pemain sayap, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria namun percubaannya dinafikan Remezey.


Tiga minit sebelum tamat babak pertama, pemain sayap Kelantan, Tengku Hasbullah Raja Hassan berjaya melakukan susulan dengan merembat masuk selepas Remezey menepis percubaan Mohamad Ghaddar.

Sepuluh minit selepas babak kedua bermula menyaksikan penguasaan bola kedua-dua pasukan agak seimbang apabila tiada serangan berbahaya dilakukan, namun pada minit ke-69, Tengku Hasbullah hampir menjaringkan gol ketiga Kelantan selepas menerima lorongan cantik Mohd Badhri namun rembatannya sedikit tersasar ke kiri gawang.

Kemasukan penyerang gantian, Ahmad Shakir Ali pada minit ke-73 menggantikan Tengku Hasbullah seperti membawa tuah apabila pemain berkenaan menjaringkan gol ketiga Kelantan pada minit ke-75 selepas Mohd Badhri sekali lagi bertindak cemerlang dengan hantarannya.

Bagaimanapun, PKNS merapatkan kedudukan apabila pemain import, Kim Dong Chen menjaringkan gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-82.

Percubaan PKNS untuk menyamakan kedudukan tidak berhasil malah keputusan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan. The Red Warriors (TRW) akan ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk aksi timbal balik pada 18 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

FELDA, Sarawak buntu jaringan

Posted: 11 Feb 2014 09:28 AM PST

Kuala Lumpur: Felda United dan Sarawak terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kedua-dua pasukan itu gagal memecahkan kebuntuan pada aksi suku akhir pertama Piala FA itu walaupun kedua-duanya mempamerkan corak permainan menyerang.

Nyata ketiadaan tiga tonggak utama akibat penggantungan - Junior Eldstal, Gabor Gyepes dan Sani Anuar Kamsani - menjejaskan misi anak buah Roberts Alberts meraih kemenangan ketiga di Lembah Klang.

Felda United terlebih dulu mempunyai peluang membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin yang menggegar palang.

Ia disusuli peluang kedua buat bekas pemain Kelantan itu pada minit ke-30 namun masih belum mampu menewaskan Fadzley Abd Rahim di gawang.

Sarawak yang mendapat sokongan padu kira-kira 2,000 penyokong tidak mengalah apabila turut mengatur serangan yang diketuai kapten pasukan, Joseph Kalang Tie.

Peluang terbaik Sarawak hadir menerusi sepakan percuma penyerang importnya, Milorad Janjus yang dinafikan Mohd Farizal Harun di gawang tuan rumah.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Kuching pada Selasa depan bagi aksi suku akhir kedua bagi menempah tiket ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

PDRM buat Tok Gajah cemas

Posted: 11 Feb 2014 09:27 AM PST

Seremban: Pahang menerima tentangan hebat apabila terikat 1-1 dengan pasukan dari Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan suku akhir pertama Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Malah, skuad Tok Gajah menerima tentangan sengit seawal perlawanan dimulakan apabila jentera depan PDRM lebih banyak melakukan percubaan ke pintu gol.

Biarpun turun selaku pasukan `underdog', skuad bimbingan Dollah Salleh terutama barisan depan yang diterajui Chad Charles Souza dan Bobby Gonzales menunjukkan kemampuan apabila berjaya mencabar benteng lawan.

Selepas beberapa percubaan terutama menerusi Souza tidak menepati sasaran dan diselamatkan penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan, akhirnya mereka berjaya memecah kebuntuan apabila Souza menjaringkan gol pertama pada minit ke-13.


Gol itu berpunca daripada sepakan percuma diambil Mohd Sabre Mat Abu yang menyaksikan bola melantun ke kaki Souza dan dia terus merempat deras menewaskan Mohd Khairul.


Jaringan itu meningkatkan lagi semangat pemain PDRM dan mereka terus melakukan serangan demiserangan ke kubu skuad Tok Gajah.

Mereka berpeluang melebarkan jurang namun percubaan solo AShfaq Ali pada minit ke-26, sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Pahang.

Biarpun Pahang cuba bangkit, mereka gagal melepasi pertahanan PDRM yang dikawal kemas gandingan Mohd Afif Amiruddin, Rafael Souza Silva, Mohd Fekry Tajudin dan Mohd Sabre sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Pahang dilihat memperkemaskan jentera serangan sebaik aksi bersambung dan kemasukan Dickson Nwakaeme nyata mengubah corak persembahan skuad juara Piala Malaysia itu, namun dua peluang diperolehnya pada minit ke-59 dan 66, tidak menepati sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

Aksi tanpa penonton

Posted: 11 Feb 2014 09:08 AM PST

Kelana Jaya: Beraksi di stadium kosong tanpa penyokong mungkin antara tindakan tegas yang boleh diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika keganasan penyokong berada di tahap kritikal.

Namun badan induk bola sepak tanah air itu tidak akan bertindak melulu dalam menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana persatuan atau kelab termasuk Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang turut terbabit dengan dua insiden keganasan penyokong pada awal musim Liga Malaysia (Liga-M).

"Kita tidak boleh menjatuhkan hukuman sesuka hati, tapi bila sampai sesuatu kawasan itu tidak selamat, akan ada kemungkinan (perlawanan tanpa penyokong) tapi proses kena ada, tidak boleh sewenang-wenangnya kita nak adakan perlawanan di stadium kosong.

"Keganasan ini hanya membabitkan segelintir penyokong, sudah tentu PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor ), persatuan dan penyokong lain tak mahu keganasan ini terjadi, jadi kita perlukan kerja sama semua pihak. Kita tidak mahu jatuh hukum kerana berlakunya satu-dua insiden membabitkan pasukan Johor, kita kena lihat perkara ini secara global," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.


Selepas saingan Liga-M bermula pertengahan bulan lalu, penyokong Harimau Selatan sudah terbabit dengan dua insiden keganasan antara penyokong Perak dan Pahang yang kini masih lagi dalam siasatan FAM.


Hamidin berkata, mereka memandang serius isu samseng bola sepak oleh segelintir penyokong dan bersedia mengetatkan kawalan keselamatan selain akan melancarkan kempen anti keganasan.

"Kami akan memperketatkan kawalan keselamatan di dalam stadium dan juga di luar stadium. Keganasan ini hanya membabitkan segelintir penyokong dan pasukan dan polis sudah mengenal pasti pihak yang terbabit dan siasatan sedang dijalankan supaya ia tidak menular lebih jauh. FAM mahu menjadikan Liga Malaysia selamat daripada perkara yang tidak diingini.

"Kita akan melancarkan kempen anti keganasan dalam masa terdekat melalui iklan di stadium atau di tempat-tempat lain," katanya selepas Mesyuarat Pengurus-Pengurus Pasukan Piala Futsal Felda-FAM 2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kejohanan futsal itu yang akan berlangsung selama lima hari di Stadium Malawati, Shah Alam bermula esok bakal menyaksikan persaingan lapan pasukan terbaik lelaki dan wanita dari Liga Futsal Kebangsaan 2013 yang berakhir baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

'T-Team boleh rujuk FAM'

Posted: 11 Feb 2014 09:08 AM PST

Kelana Jaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia mengambil tindakan susulan jika T-Team membuat laporan rasmi berhubung tindakan pemainnya, Muhammad Irfan Abdul Ghani (gambar) yang secara mengejut mahu meninggalkan kelab dari Terengganu itu.

Setiausaha Agung badan induk bola sepak negara itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, biasanya pembatalan kontrak sebelah pihak tidak dibenarkan namun pihaknya perlu menunggu maklum balas daripada T-Team yang mengesahkan sudah menerima surat peletakan Irfan walaupun mempunyai kontrak selama dua tahun.

"Saya tak pasti berapa lama tempoh kontrak Irfan dengan T-Team, saya perlu menunggu jawapan daripada mereka.

T-Team boleh mengambil tindakan seperti apa yang tertulis di dalam kontrak.

Semua kemungkinan boleh terjadi, sudah tentu mana-mana kontrak (batal) sebelah pihak tidak dibenarkan.

Foto


Andai ada pertikaian T-Team boleh buat aduan dan Jawatankuasa Status FAM boleh mengambil tindakan sewajarnya," kata Hamidin.

Irfan, 25, mencetuskan kontroversi apabila beliau menghilangkan diri selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai T-Team dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ketika aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Dalam sidang media itu, Irfan mendakwa tiada insiden pergaduhan berlaku di dalam terowong ketika pemain dan pegawai kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan serta pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues tidak mengalami kecederaan di hidung kerana ditumbuk seperti yang didakwa T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

'Semuanya benar'

Posted: 11 Feb 2014 09:06 AM PST

Johor Bahru: Pemain pertahanan T-Team Muhammad Irfan Abdul Ghani (gambar) semalam bersumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darul Larkin minggu lalu adalah benar.

Pada masa sama, Irfan turut memaklumkan dia bukan lagi pemain T-Team kerana berhenti daripada menyarung jersi pasukan itu dengan alasan mahu menjaga ibu dan seorang adiknya yang tidak sihat.

Irfan berkata, dia tampil dan sanggup mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran dengan penuh rela dan tanpa paksaan bagi menegakkan kebenaran.

"Dengan ini saya bersumpah semua kenyataan yang dibuat adalah benar," katanya sambil menyentuh al-Quran menggunakan tangan kanannya.

Foto


Terdahulu, Irfan membaca satu kenyataan berkanun dan berkata, pada 1 Februari lalu, dia terbabit dalam satu perlawanan bola sepak antara T-Team dan Johor DT di Stadium Larkin sebagai pemain simpanan.


Katanya, ketika rehat separuh masa, dia terdengar kekecohan di dalam terowong semasa dalam perjalanan ke bilik persalinan.

"Saya tidak nampak apa yang berlaku di dalam terowong dan ketika berada di bilik persalinan, saya terdengar pemain T-Team Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan (T-Team), Stefano Impagliazzo mendakwa dipukul di terowong.

"Daripada pemerhatian saya di dalam bilik persalinan, saya dapat melihat tiada sebarang tanda Evaldo dan Stefano dipukul.

"Ketika di bilik persalinan juga, jurulatih T-Team (Mohd Azraai Khor Abdullah) tidak mencadangkan perlawanan tidak diteruskan, tapi hanya penolong jurulatih, Azlan Johar yang membuat keputusan itu," katanya.

Menurut Irfan, selepas perlawanan tidak diteruskan, pasukan T-Team terus ke hotel dan mengemas barang sebelum pulang ke Kuala Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di Kuala Terengganu, Azlan mengarahkan semua pemain dan pemain simpanan supaya membuat laporan polis pemain T-Team dipukul pegawai Johor FA.

"Disebabkan saya tidak menyaksikan kejadian itu, saya tidak membuat laporan polis.

"Dan saya membuat perakuan ini secara sedar menurut peruntukan Akta Perakuan Berkanun 1960.

"Pada masa sama, saya membuat surat berhenti sebagai pemain T-Team bermula 4 Februari lalu kerana sikap tidak profesional pengurusan pasukan itu berkaitan kejadian yang berlaku di Stadium Larkin," katanya.

Irfan kemudiannya menyerahkan salinan surat berhenti berkenaan kepada wakil media yang hadir pada sidang media berkenaan.

Menurutnya, dia akan pulang ke rumah keluarganya di Kulai untuk menjaga ibunya yang berusia 54 tahun dan seorang adik yang kurang sihat.

Katanya, selepas membuat sidang media pertama pada 5 Februari lalu, ada pegawai T-Team menghubunginya supaya bertemu Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Said).

"Saya ingin berbuat demikian namun tidak berkesempatan buat masa ini. Saya juga tidak menerima sebarang ancaman daripada mana-mana pihak kecuali beberapa kenyataan penyokong T-Team di Twitter.

"Peletakan jawatan ini disebabkan masalah kesihatan ibu serta adik saya dan kejadian itu hanyalah kebetulan.

"Memang benar saya perlukan wang untuk menjaga ibu dan sekarang ini boleh dikatakan saya mencari kerja baru," katanya yang mempunyai kontrak bersama T-Team sehingga hujung 2015.

Katanya, sebelum membuat laporan polis dan sidang media pada 5 Februari lalu, dia meninggalkan pelbagai barangannya di rumah sewa di Terengganu sebelum meminta rakannya membawa barangan berkenaan ke Johor Bahru.

Kelmarin, pemain T-Team Khairan Ezuan Razali dan penolong jurulatih Azlan Johar bersumpah di depan al-Quran bagi membuktikan kenyataan mereka bahawa Rodrigues ditumbuk ketika di dalam terowong itu adalah benar.

Upacara itu disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini meminta pemain dan pegawai T-Team beragama Islam bersumpah menggunakan al-Quran bagi membuktikan kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

Irfan pengecut: PBSNT

Posted: 11 Feb 2014 09:04 AM PST

Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menerima surat berhenti Muhammad Irfan Abdul Ghani menyifatkan pemain pertahanan T-Team itu sebagai 'pengecut'.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya akan meneliti surat itu dan akan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, semalam.

Difahamkan pemain itu hanya menghantar surat berhenti melalui kiriman pos berdaftar sebagai pemain T-Team kelmarin.

Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di sini itu.

Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor 'hilang' selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Bahru minggu lalu.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai 'pengecut' kerana menghilangkan diri begitu saja.

"Selepas membuat kenyataan di Johor itu, kita sudah cek (periksa)...

pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini dikosongkan).

"Maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri dan saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bagus," katanya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain import ini ada undang-undang sendiri.


Dia ada ejen dan sebagainya.


Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka.

Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.

"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

PBNJ tetap enggan sumpah

Posted: 11 Feb 2014 09:03 AM PST

Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menerusi kenyataan media diedarkan semalam, menetapkan pendirian tidak akan mengikut langkah T-Team untuk melakukan sumpah al-Quran.

Walaupun Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta pegawai dan pemain Johor Darul Ta'zim (Johor DT) turut sama melakukan sumpah berkenaan, PBNJ berpendirian tiada keperluan untuk mengikut saranan itu dan ia bukanlah jalan terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

PBNJ dalam kenyataan itu turut mengulangi komitmen akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan yang dijalankan.

"Setakat ini semua pemain dan pegawai dalam pasukan sudah memberi kenyataan masing-masing kepada pasukan polis yang terbabit dalam siasatan.


"PBNJ juga akan memastikan semua pemain dan pegawai akan memberi keterangan lanjut sekiranya diperlukan pihak polis," kata dalam kenyataan itu.


Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan turut memberi pandangan betapa tiada keperluan untuk pegawai dan pemain Johor DT melakukan sumpah al-Quran.

Zulkurnain berkata, semua siasatan dijalankan secara profesional dan beliau mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

'Kalau boleh, elakkanlah...'

Posted: 11 Feb 2014 09:02 AM PST

Kuala Lumpur: "Jangan main-main dengan ayat Quran!" Demikian nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) kepada semua pasukan, termasuk Johor Darul Ta'zim (Johor DT) serta T-Team yang ketika ini mencuri tumpuan dengan isu bersumpah berikutan insiden dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Tengku Abdullah berkata, tindakan untuk melakukan sumpah seelok-eloknya perlu dielakkan, namun FAM tidak mampu menghalang pihak terbabit daripada melakukannya bagi membuktikan kebenaran masing-masing.

Namun menurutnya, tindakan bersumpah tidak akan sama sekali menghentikan siasatan FAM terhadap insiden itu.

"Biarlah mereka nak bersumpah atau tidak. (Yang pasti) FAM tetap akan buat ketetapan. Tapi kalau boleh janganlah sampai suruh bersumpah," katanya ketika ditemui pada sidang media semalam.

Foto


Kelmarin, menerusi laporan Arena Metro, T-Team mengotakan janji untuk bersumpah dengan menggunakan al-Quran seperti yang diminta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.


Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan penolong jurulatih T-Team Azlan Johar, diikuti pemain tengah Khairan Ezuan Razali.

Ketika melakukan sumpah itu, mereka berdua menyatakan insiden pemain import Evaldo Rodrigues ditumbuk di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam 1 Februari lalu adalah benar.

Semalam di Johor Bahru, bekas pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani bersumpah kenyataannya menafikan adanya pergaduhan membabitkan pasukan T-Team dan JDT, adalah benar.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, tiada keperluan untuk Johor DT mengangkat sumpah di depan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden itu, sebaliknya mereka mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

Hai-O sedia tawar khidmat

Posted: 11 Feb 2014 09:01 AM PST

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar sedia menawarkan khidmatnya kepada jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina dan Yaman bagi kelayakan Piala Asia 2015.

Kelmarin, Arena Metro melaporkan Kim Swee mengakui kemungkinan besar terpaksa mengambil kira faktor pengalaman pemain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa sebagai kriteria utamanya dalam menyenaraikan nama pemain bagi sesi latihan pusat pada 16 Februari ini berikutan aksi hambar pemain sedia ada dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Nama besar pemain tempatan yang sering dipanggil mewarnai skuad Harimau Malaya seperti Mohd Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Azamuddin Akil dan Ahmad Fakri Saarani kurang menyerlah apabila hanya mengumpul satu gol serta ada juga yang memanaskan bangku simpanan saja.

"Kalau dipanggil menyertai skuad negara sudah tentu saya tidak akan menolak. Dari dulu lagi prinsip saya mudah, jika ada jurulatih yang memberi peluang itu bermakna mereka menghargai bakat yang ada pada seseorang.

Foto


"Prinsip itulah yang saya pegang dari dulu hingga sekarang. Saya akan terima dan akan cuba sebaik mungkin membantu pasukan negara mencapai kejayaan," katanya yang mesra disapa Hai-O.


Pemain berusia 34 tahun itu yang pernah menjaringkan gol tunggal negara ketika tewas 4-1 dalam perlawanan menentang Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 tahun lalu, menganggap gol itu antara jaringan terbaiknya sepanjang bergelar profesional.

"Masih jelas di ingatan jaringan saya ketika bertemu gergasi England itu. Saya harap boleh jaringkan gol seperti itu selepas ini untuk pasukan negara.

"Insya-Allah dengan pengalaman di peringkat antarabangsa yang ada, saya yakin masih boleh memberi sumbangan berkesan kepada pasukan kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/12

No comments:

Post a Comment