Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sakit ditipu 'pakar'

Posted: 25 Feb 2014 10:03 AM PST

Changsha (China): Seorang lelaki terpaksa melalui pengalaman menyakitkan ketika doktor mengeluarkan 42 butir permata dari badannya selepas dia diperdaya 'pakar perubatan' alternatif.

Zou Feng - dari wilayah Hunan - berkata, selepas mengadu sakit belakang seorang jiran menyarankan dia bertemu seorang tokoh yang mahir dalam perubatan tradisional.

Lelaki berusia 61 tahun itu mengunjungi 'pakar' terbabit pada 2011 dan diberitahu penyakitnya itu luar biasa sehingga ia hanya boleh disembuhkan dengan menanam permata di bawah kulitnya.

Kata Zou, 'pakar' berkenaan membuat tebukan kecil pada kulit dan memasukkan permata itu sebelum luka berkenaan dijahit.

Foto

ZOU menjalani pembedahan membuang 42 butir permata dari badannya.


"Pesakit lain berkata, kaedah itu berkesan dan saya mahu mencubanya.


"Memang pada peringkat awal selepas dia memasukkan 42 butir permata ke dalam badan, saya berasa sedikit lega," katanya.

Bagaimanapun, Zou mula menghadapi masalah baru - dia sukar berjalan dan bukan saja belakangnya sakit, malah semua sendi.

Bimbang keadaan semakin parah, Zou pergi semula ke klinik 'pakar' berkenaan tetapi kecewa apabila orang yang dicari sudah berpindah.

"Justeru, saya pergi mendapatkan rawatan di hospital biasa," katanya.

Sementara itu, Dr Sying Wan dari Hospital Ortopedik Nianlun di ibu negeri Hunan, Changsha berkata, dia tidak pernah menemui kes seperti dialami Zou.

"Mula-mula saya tak tahu apa objek ada dalam badan Zou ketika melihat salinan x-ray sehinggalah dia menceritakan apa yang berlaku," katanya.

Menurut Dr Sying, setiap butir permata itu menyebabkan tulang Zou mati, termasuk di sendi pinggulnya yang tidak dapat diselamatkan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Polis Israel ceroboh al-Aqsa

Posted: 25 Feb 2014 10:02 AM PST

Baitulmaqdis: Polis Israel semalam menceroboh masuk ke halaman Masjid al-Aqsa di sini, kononnya untuk menangkap penunjuk perasaan Palestin yang melontar batu ke arah mereka.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld memberitahu media, pihaknya terpaksa menggunakan bom asap bagi menyuraikan penunjuk perasaan itu yang membantah rancangan Yahudi untuk merampas kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Temple Mount (Haram al-Sharif) dalam kalangan penganut Yahudi, daripada penduduk Islam Palestin.

Menurutnya, dua anggota polis cedera terkena batu yang dilontar itu.
"Polis dikerah ke Temple Mount tetapi ia tidak mengganggu pengunjung ke kawasan berkenaan," katanya.

Foto

SEORANG wanita Palestin bertengkar dengan anggota keselamatan Israel yang menceroboh kawasan sekitar Masjid al-Aqsa, semalam.

Parlimen Israel dijangka membahaskan rang undang-undang baru yang diusul anggota Parlimen Moshe Feiglin, ahli konservatif parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengisytiharkan kedaulatan negara Yahudi ke atas kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa.

Bagaimanapun, tiada undian dibuat pada akhir perbahasan itu. Netanyahu menentang undang-undang berkenaan dan pengkritik berkata, ia tidak akan mendapat banyak sokongan.

Halaman Masjid al-Aqsa atau Haram al-Sharif menjadi kawasan penting kepada umat Islam dan penduduk Yahudi.

Terletak di atas plaza tembok barat, ia menempatkan Kubah Batu dan Masjid al-Aqsa yang menjadi tempat suci ketiga umat Islam.

Ia juga menempatkan kuil pertama dan kedua Yahudi.

Kawasan itu berada di timur Baitulmaqdis yang ditadbir pihak berkuasa agama Islam.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Mesir musnah terowong di Gaza

Posted: 25 Feb 2014 10:00 AM PST

Ramallah: Tentera Mesir memusnahkan beberapa lagi terowong yang digunakan untuk menyeludup di sepanjang laluan Salah Eddin yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, baru-baru ini.

Agensi berita Palestin, Ma'an memetik kenyataan sumber keselamatan Mesir sebagai berkata, tentera memusnahkan 10 terowong di sepanjang laluan yang bersempadan dengan Rafah minggu lalu.

Sumber itu berkata, tentera sudah memusnahkan 1,113 terowong sejak kerajaan Mesir memulakan kempen menentang kumpulan militan yang dilancarkan awal Ogos tahun lalu di utara Semenanjung Sinai.

Menurut sumber itu, tentera Mesir membentuk zon penampan seluas dan sedalam 13 kilometer di sepanjang sempadan terbabit dalam usaha untuk mencegah penyeludupan dan pencerobohan serta mengelak serangan militan terhadap pasukan keselamatannya di Semenanjung Sinai.

Terowong berkenaan didakwa ditaja kerajaan Hamas yang mentadbir Gaza dan digunakan untuk menyeludup barangan keperluan penduduk wilayah itu dari Mesir.

Ia disifatkan sebagai 'penyambung hayat' utama bagi 1.7 juta penduduk Gaza.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Ubah kediaman jadi rumah pelacur

Posted: 25 Feb 2014 10:00 AM PST

Riyadh: Polis Arab Saudi semalam menahan seorang wanita tempatan, dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya kerana disyaki mengubah kediaman mereka menjadi sarang maksiat.

Wanita terbabit yang berusia 50-an melacurkan anak perempuannya, manakala anak lelakinya dipaksa mencari pelanggan yang kebanyakannya pekerja asing.

Akhbar melaporkan wanita itu yang mengenakan bayaran SR500 (RM437) untuk khidmat pelacur di kediamannya di utara bandar Hafr al-Batin dipantau penguat kuasa Suruhanjaya Pencegah Maksiat sejak beberapa bulan lalu.

"Penguat kuasa akhirnya berjaya memasuki kediaman wanita itu bersama-sama pelanggan warga asing yang ditahan sebelum ini.

"Dia enggan membenarkan rakyat tempatan memasuki rumahnya, tetapi warga asing terbabit meyakinkannya bahawa pegawai penguat kuasa itu juga mahu mencari keseronokan," lapor akhbar harian berbahasa Arab, Sabq.

Apabila mereka masuk dan memberinya sejumlah wang, anggota penguat kuasa lain menyerbu kediaman itu dan menahan wanita terbabit dan ketiga-tiga anaknya, lapor Sabq.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Polis wanita mati selepas kena tampar

Posted: 25 Feb 2014 09:59 AM PST

Riyadh: Seorang polis wanita Saudi mati selepas ditampar oleh rakannya ketika bergaduh.

Pemeriksaan menunjukkan mangsa diserang darah tinggi ketika kejadian.

Anggota itu baru tiba untuk tugas syif malam di balai polis di Makkah apabila dia bertengkar dengan seorang lagi anggota polis wanita.

"Mangsa ditampar di muka menyebabkan dia rebah.

Rakannya yang lain mengejarkan dia ke hospital tetapi dia mati tidak lama selepas itu.

"Doktor berkata dia mengalami tekanan darah tinggi," lapor akhbar tempatan, Makka.

Rakan yang menampar mangsa ditahan tetapi laporan forensik berkata, tindakannya menampar mangsa tidak boleh menyebabkan dia mati.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Saudi mahu musnah tapak rumah nabi

Posted: 25 Feb 2014 09:59 AM PST

Kaherah: Pihak berkuasa Arab Saudi dikatakan merancang memusnahkan kawasan yang dipercayai menjadi tapak rumah tempat Nabi Muhammad (SAW) lahir sebagai sebahagian daripada projek pembangunan.

"Lokasi bersejarah terakhir di negara itu ialah tempat kelahiran Nabi Muhammad (SAW) dan ia amat penting kepada masyarakat Islam sedunia," kata sejarawan dan Pengarah Eksekutif Yayasan Penyelidikan Warisan yang berpangkalan di Britain, Dr Irfan al-Alawi.

"Ramai tidak menyedari terdapat rancangan memusnahkan kawasan itu," katanya.

Menurutnya, rancangan terbaru untuk memusnahkan tapak itu yang kini menempatkan perpustakaan kecil dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks moden, termasuk kediaman imam dan istana diraja.

Perpustakaan kecil yang dibina pada 1950-an itu terletak di atas atas tapak yang dipercayai ulama sebagai tempat kelahiran Nabi Muhammad (SAW).


Pemimpin Saudi yang menafikan Nabi Muhammad dilahirkan di situ menentang sebarang rancangan pemuliharaan kawasan sejarah yang mempunyai kaitan dengan Rasulullah atas alasan ia akan dijadikan tempat penyembahan.


Keluarga diraja Saudi tahun lalu menolak rancangan awal untuk menggantikan kawasan bersejarah itu dengan stesen kereta api untuk kegunaan jemaah haji atau membina perpustakaan baru.

Bagaimanapun, syarikat yang terbabit dalam pembinaan sekitar Masjidil Haram berkata, sebuah kompleks moden, termasuk sebuah istana dan kediaman imam akan dibina di kawasan itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Petani bakar diri kerana tuntut tanah

Posted: 25 Feb 2014 08:34 AM PST

Dispur: Bosan dengan kegagalan menyelesaikan pertikaian mengenai pemilikan tanah, seorang petani Assam membakar dirinya sendiri dan mati, semalam.

Prabin Boro, 45, mencurah petrol pada badannya sebelum menyalakan api selepas kerajaan negeri Assam enggan mengeluarkan surat pemilikan kepada penduduk kawasan pergunungan di Guwahati.

Dia dikejarkan ke Hospital Kolej Perubatan Gauhati kerana mengalami melecur pada seluruh tubuh, tetapi disahkan mati tidak lama kemudian.

Isterinya, Purnima, berkata, Boro ada memberitahu rancangannya untuk mengorbankan dirinya untuk kepentingan orang lain.

Foto

KERAJAAN negeri memutuskan menolak permohonan penduduk yang tinggal di sekitar Guwahati.

Foto

AKSI bunuh diri memang sering berlaku dalam sejarah India dan 800 pelajar pernah membakar diri antara tempoh 2012 hingga 2013.


"Saya memujuknya supaya jangan meneruskan rancangan itu kerana kami perlu membesarkan tiga anak sedia ada.


"Bagaimanapun Boro berikrar untuk menjadikan dirinya korban atas perjuangan yang lebih besar supaya orang ramai diberi hak ke atas tanah masing-masing," katanya.

Purnima kini memulakan proses perundangan ke atas dua ahli politik - Ketua Menteri Assam, Tarun Gogoi dan menterinya, Prithibi Majhi - kerana mendakwa mereka bertanggungjawab atas kematian Boro.

Selepas berita kematian Boro tersebar, orang ramai mengadakan protes di seluruh Assam membantah keputusan kerajaan.

Media tempatan melaporkan, lebih 60 aktivis ditangkap ketika menghalang laluan di lebuh raya dan jalan kereta api utama negeri itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

WhatsApp bakal perkenal mesej suara

Posted: 25 Feb 2014 08:29 AM PST

Barcelona: Perkhidmatan mesej popular untuk telefon pintar, WhatsApp , tidak lama lagi menawarkan kemudahan panggilan suara.

Ketua Pegawai Eksekutif WhatsApp Jan Koum berkata perkhidmatan panggilan suara itu akan mula disesuaikan untuk telefon Android dan iPhone musim panas ini sebelum diikuti untuk telefon BlackBerry, Microsoft dan Nokia.

"Kami akan memperkenalkan mesej suara dalam WhatsApp pada suku kedua tahun ini," katanya di sebuah kongres dunia semalam.

Kata Koum, dia yakin perkhidmatan itu adalah yang terbaik berbanding produk lain.

"Kami menggunakan jalur lebar paling kecil," katanya.


Ketika ini WhatsApp memang mempunyai fungsi suara tetapi cuma dalam bentuk rakaman.

Kali ini ia dicipta supaya dapat berfungsi secara langsung.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Tiang konkrit hempap pekerja

Posted: 25 Feb 2014 08:28 AM PST

Bangkok: Sekurang-kurangnya 11 pekerja maut dan 18 lagi cedera apabila sebatang tiang konkrit bersaiz besar tumbang di satu tapak pembinaan di pinggir Bangkok, kata polis.

Dua daripada mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital tempatan.

Pegawai polis daerah Bang Phli, Apiwat Kasorn berkata, kebanyakan mayat sudah dikeluarkan dari runtuhan di tempat kejadian.

Sehingga petang semalam, satu mayat masih belum ditemui.

Foto

PEYELAMAT mencari mangsa yang tertimbus selepas sebatang tiang konkrit tumbang di Bang Pli, semalam.


Kata Apiwat, pekerja terbabit sedang membina sebuah hospital awam dan terletak di kawasan bersempadan dengan Bangkok.


"Tujuh mangsa mati di tempat kejadian dan empat lagi di hospital," katanya.
Menurut Apiwat, ada antara korban warga asing.

Sepasukan penyelamat sukarela pula menyatakan 10 orang terbunuh.
Jurucakapnya berkata, mereka menggunakan jengkaut untuk mengalihkan sisa runtuhan dan mencari mayat.

Kumpulan hak asasi buruh sudah memberi amaran mengenai standard keselamatan rendah di sektor pembinaan Thailand.

Turut dipertikaikan, gaji rendah yang diberi kepada buruh, terutama di kalangan warga luar dari Myanmar, Kemboja dan Laos.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

Tapak protes diserang

Posted: 25 Feb 2014 08:25 AM PST

Bangkok: Satu letupan dan tembakan berlaku berhampiran tapak protes antikerajaan semalam selepas pemimpin tunjuk perasaan memberi amaran, penyokong kerajaan merancang membawa militan bersenjata ke Bangkok.

Menurut Ketua Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanathabutr, kejadian berlaku di Taman Lumpini pada awal pagi.

Sumber perubatan mendakwa dua lelaki cedera dalam kejadian itu.

Kata Paradorn, letupan dan tembakan itu berlaku pada jam 1 pagi.

"Bagaimanapun kami tidak tahu di mana dan dari mana ia dilakukan," katanya.


Satu letupan lain juga berlaku berhampiran pejabat Parti Demokrat tetapi tiada kecederaan dilaporkan.


Selepas berminggu-minggu menghalang beberapa laluan utama di Bangkok, protes antikerajaan sesekali diganggu dengan serangan bom dan tembakan.

- Reuters Ahad lalu tiga orang maut dalam letupan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/26

No comments:

Post a Comment