Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Taasub jadi Barbie

Posted: 20 Feb 2014 01:46 PM PST

California: Seorang wanita yang taasub dengan patung mainan Barbie menggunakan terapi hipnosis dalam usaha mengurangkan kadar IQ dirinya.

"Saya hanya mahu jadi seperti Barbie sebenar yang tidak mempunyai akal fikiran. Kalau boleh, saya tak suka menjadi manusia, saya mahu menjadi plastik secara keseluruhan," kata Blondie Bennett, 38.


Blondie membuat lima pembedahan untuk membesarkan payudara dan beberapa prosedur lain dalam mencapai matlamatnya.

Kini, dia menjalani sesi terapi hipnosis dua hingga tiga kali seminggu untuk menjadikan dirinya dungu dan katanya tindakan itu berhasil.


"Selepas 20 sesi, saya mula rasa pening dan sering keliru sepanjang masa," katanya Dia memberitahu Barcroft TV walaupun dia menyukai rupanya kini, ramai orang tidak dapat menerima perubahannya termasuk rakan dan keluarga.


"Barbie" yang menganggur itu mendapat "tajaan" sewa rumah dari seseorang yang dikenalinya dalam Internet sebagai pertukaran kepada gambar seksinya dengan pakaian ala Barbie.

Foto

BLONDIE tidak suka jadi manusia.

"Orang ramai boleh kata apa saja tetapi inilah saya. Saya mahu transformasi secara menyeluruh, luaran dan dalaman," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Budak 6 tahun mahu beli kereta untuk teman wanita

Posted: 20 Feb 2014 01:43 PM PST

Beijing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilihat minggu lalu bersama-sama "teman wanitanya" di sebuah kedai dengan membawa duit yang banyak untuk membeli kereta elektrik.

Dia yang pergi ke kedai berkenaan Khamis lalu meminta pengurus kedai memberinya kereta elektrik yang paling mahal.


Pekerja kedai itu berkata, "Saya nampak dia mengeluarkan satu sampul dan menyatakan yang dia tidak cukup duit. "Dia membawa hampir 10,000 yuan (RM5,430)," menurut pekerja kedai berkenaan.

"Saya tidak boleh menjualnya kepada kanak-kanak, Saya suruh dia membawa ibu bapanya. Tetapi dia berkata, ayahnya bercuti. Dia mahu mencuba kenderaan itu," katanya.


Masih belum dapat dipastikan dari mana kanak-kanak itu mendapat wang berkenaan tetapi melihat pada sampul merah yang dibawanya, duit itu mungkin dikumpulnya hasil pemberian anggota keluarga ketika Tahun Baru China atau diambil daripada ibu bapanya. Orang ramai yang berada di situ merakam gambar kanak-kanak berkenaan mencuba pelbagai jenis motosikal bersama "teman wanitanya" tetapi pekerja kedai berkenaan enggan menjual kenderaan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Tikam bapa suruh ke sekolah

Posted: 20 Feb 2014 01:42 PM PST

Xinhua: Seorang remaja 14 tahun didakwa menikam bapanya di sebuah kafe Internet di Hunan selepas dipujuk supaya pergi ke sekolah.

Remaja itu didakwa bertengkar dengan bapanya yang datang ke kafe berkenaan untuk memujuknya agar pergi ke sekolah.


Berang dengan tindakan bapanya, dia mengeluarkan pisau dan menikam lelaki itu, menyebabkan bapanya mati di tempat kejadian.

Kafe Internet di China dikaitkan dengan beberapa kes kematian dan pembunuhan sejak dua tahun lalu, termasuk lelaki berusia 24 tahun yang membunuh teman wanitanya dan kemudian menghabiskan masa bermain permainan komputer sepanjang malam.


Ada juga kes remaja di Hunan yang menyamun dan menikam seorang wanita sebelum melarikan diri ke kafe Internet untuk menulis status memberitahu "semuanya berjalan lancar".

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Sasar perniagaan Shinawatra

Posted: 20 Feb 2014 01:41 PM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan yang berkempen sejak beberapa bulan lalu untuk menyingkirkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra semalam mengalihkan kemarahan mereka terhadap kekayaan keluarganya, termasuk menerusi Facebook dan media sosial lain.

Kira-kira 500 penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat SC Asset Corp, syarikat pemaju hartanah yang dikuasai oleh keluarga Shinawatra sambil mengibarkan bendera Thai dan meniup wisel.


"Kami akan menjejaskan semua perniagaan Shinawatra. Jika anda sayangkan negara anda, henti gunakan produk Shinawatra dan bertindak apa saja supaya perniagaan mereka musnah," menurut pemimpin tunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban. Yingluck menjadi pengerusi eksekutif syarikat berkenaan sebelum mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya 2011.

Saham SC Asset jatuh 5 peratus semalam, menyusuli kejatuhan sama sehari sebelumnya. Saham M-Link Asia Corp, pengedar telefon bimbit yang juga ada hubungan dengan keluarga Yingluck, juga merosot 10 peratus sepanjang dua hari lalu.


Sementara itu, masalah semakin meningkat bagi Yingluck yang kini mengetuai kerajaan sementara Thai.


Lebih 1,000 petani, sebahagian besarnya menaiki trak, semalam berkonvoi menuju ke Bangkok. Bekas anggota Parlimen Chada Thaiseth berkata, dia akan mengetuai petani berkenaan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Foto

PENUNJUK perasaan antikerajaan mengepung pejabat milik SC Asset Corp ketika mengadakan demonstrasi, semalam.

"Kami belum buat keputusan sama ada akan bekhemah di situ tetapi tidak akan meninggalkan Bangkok sehingga kami menerima bayaran bagi setiap butir padi yang dijual," katanya dalam satu kenyataan.


Tidak dapat dipastikan sama ada petani berkenaan berhasrat mengadakan tunjuk perasaan di lapangan terbang itu yang dikepung selama lapan hari oleh penentang anti-Thaksin pada 2008.

Agensi antirasuah Thai kelmarin mengemukakan tuduhan cuai terhadap Yingluck berkait dengan skim subsidi padi yang mencetuskan kemarahan golongan kelas pertengahan dan menyebabkan ribuan petani tidak menerima bayaran.


Dalam pada itu, polis tidak meneruskan tindakan terhadap penunjuk perasaan yang masih menyekat beberapa persimpangan utama jalan raya di tengah Bangkok sejak pertempuran meletus Selasa lalu yang meragut nyawa empat orang awam dan seorang polis selain mencederakan puluhan yang lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Nafi tuduhan NACC

Posted: 20 Feb 2014 01:40 PM PST

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra semalam membela dirinya selepas satu panel antirasuah mengemukakan tuduhan dia cuai dalam menjalankan tugas.

Yingluck yang berdepan dengan tunjuk perasaan jalanan besar-besaran untuk memaksa dia meletak jawatan mempersoalkan kepantasan Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) menyiasat isu skim subsidi padi.


"Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak bersalah terhadap tuduhan NACC," katanya.

"Meskipun saya dilemparkan dengan tuduhan jenayah serta berkemungkinan disingkirkan dari jawatan, yang menjadi hasrat mereka yang mahu menggulingkan kerajaan, saya bersedia untuk bekerjasama bagi mencari kebenaran," katanya.


NACC mendakwa Yingluck tidak mempedulikan amaran bahawa skim subsidi itu menggalakkan rasuah dan akan menyebabkan kerugian besar. Beliau dipanggil untuk mendengar tuduhan itu pada 27 Februari depan.


Yingluck menggesa panel itu supaya tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan yang mungkin diselar oleh masyarakat kerana ia menguntungkan mereka yang mahu menggulingkan kerajaan. Menurutnya, beliau hairan kerana kes itu disiasat dengan begitu pantas sedangkan dakwaan serupa terhadap kerajaan sebelum ini masih belum disiasat.

Pengkritik berkata, skim kontroversi itu menjamin bayaran beras melebihi pasaran hanya membuka ruang untuk menggalakkan rasuah, membazir wang rakyat dan menyebabkan ribuan guni beras negara itu tidak terjual.


Mereka menuduh keluarga Yingluck menggunakan wang cukai rakyat untuk membeli kesetiaan pengundi luar bandar menerusi skim itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Lelaki mengaku sembah syaitan serah diri

Posted: 20 Feb 2014 01:40 PM PST

Bangkok: Seorang lelaki yang mengaku menyembah syaitan menyerah diri kepada polis semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh seorang pemuzik pada 9 Januari lalu.

Ketua Polis Bangkok Leftenan Jeneral Camronwit Toopgrajank berkata, Prakan Hanpan, 26, dituduh menikam Sam-ong Triasattha 30 kali.


Prakan bagaimanapun berkata, dia bertindak kerana mempertahankan diri.

Sam-ong, 36, adalah penyanyi utama kumpulan black metal 'Surrender of Divinity.' Prakan berkata, mereka bergaduh selepas mangsa mengkritik amalannya menyembah syaitan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Abhisit mengaku turut bersalah

Posted: 20 Feb 2014 01:39 PM PST

Bangkok: Pemimpin Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva mengakui dia dan partinya turut bersalah kerana kegagalan politik Thailand hingga mencetuskan keganasan dengan yang terbaru beberapa hari lalu.

Dengan menggesa tokoh berkecuali mengetuai proses pembaharuan politik negara itu, Abhisit berkata, Thailand kini dilihat oleh dunia sebagai negara yang akan berterusan terperangkap.


Menurutnya, rakyat Thai sudah terlalu lama menderita kerana 'kerajaan yang gagal.' "Selaku pemimpin Parti Demokrat,' saya perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan politik. Tetapi pada masa sama saya tidak boleh berundur daripada menunaikan tanggungjawab untuk membantu mengetuai negara ini keluar dari kebuntuan yang ada sekarang," kata Abhisit dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Polis tahan tekong cuai

Posted: 20 Feb 2014 01:39 PM PST

Denpasar: Polis Indonesia semalam menahan tekong bot yang membawa sekumpulan penyelam wanita Jepun dalam satu ekspedisi malang di Bali yang menyaksikan seorang mati.

Menurut, jurucakap polis marin Bali, Handoyo Supeno, lelaki berkenaan didakwa atas tuduhan cuai yang menyebabkan kematian dengan meninggalkan penyelam skuba warga Jepun itu di laut terbuka ketika mengendalikan ekspedisi.


Dia memberitahu demikian selepas misi mencari penyelam yang terakhir Shoko Takahashi dihentikan.

Kumpulan tujuh penyelam wanita yang memulakan ekspedisi Jumaat lalu di sebuah pulau di timur Bali tersesat dan dihanyutkan dalam ribut yang melanda sebelum lima daripada mereka berjaya berpaut pada batu karang dan diselamatkan tiga hari kemudian oleh nelayan tempatan. Mayat penyelam keenam ditemui terapung berhampiran pantai kelmarin.


Ketua penguatkuasa polis marin Bali, Supeno berkata tekong bot yang tidak didedahkan namanya itu menjadi suspek berikutan soal siasat yang dijalankan terhadap empat orang yang diselamatkan.


Mereka memberitahu selepas 30 minit menyelam dan kembali ke permukaan, Bot Ocean Express yang mereka naiki sebelum itu tidak kelihatan.

Foto

EMPAT penyelam skuba warga Jepun yang berjaya diselamatkan menghadiri sidang akhbar di sebuah hospital di Denpasar, semalam untuk menceritakan kepada wartawan mengenai pengalaman ngeri mereka.

"Kami menamakan tekong bot sebagai suspek kerana kecuaiannya yang menyebabkan kematian," katanya.


Polis turut menjalankan siasatan terhadap seorang jurulatih yang terbabit dalam ekspedisi berkenaan, wanita warga Jepun yang berpangkalan di Bali, Saori Furukawa pemilik syarikat skuba yang mengendalikan ekspedisi berkenaan.

Bagaimanapun, Supeno berkata kemungkinan untuk Saori dinamakan suspek tipis kerana dia mempunyai kelayakan untuk menjadi jurulatih Ketua pasukan mencari dan menyelamat Bali, Didi Hamzar berkata petang semalam operasi mencari seorang lagi penyelam yang hilang dihentikan selepas gagal menemui mangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Diplomat dijel palsu pembelian tart, wain

Posted: 20 Feb 2014 01:38 PM PST

Singapura: Seorang diplomat kanan republik ini dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan semalam kerana memalsukan perbelanjaan untuk membeli tart nanas dan wain yang dijadikan hadiah kepada tetamu kenamaan asing.

Bekas pengarah protokol di Kementerian Perhubungan Luar, Lim Cheng Hoe, 61, mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan perbelanjaan.

Peguam negara sebelum ini memfailkan 60 pertuduhan menaikkan jumlah perbelanjaan dalam dokumen tuntutan kepada kerajaan bagi hadiah yang dibeli untuk diberikan kepada pegawai asing ketika lawatan keluar negara berjumlah SGD88,997 (RM232,412).

Mengikut kertas pertuduhan, dia membuat tuntutan untuk lebih 10,000 kotak tart nanas dan 248 botol wain tetapi hanya 2,200 kotak dan 89 wain yang dibeli untuk dijadikan hadiah.


Lim meminta resit kosong dari pembekal dan menambah sendiri jumlah pembelian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Mangsa Gunung Berapi Kelud boleh pulang

Posted: 20 Feb 2014 01:38 PM PST

Kediri: Penduduk kampung sekitar lereng Gunung Kelud semalam dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas tahap berjaga-jaga dikurangkan kepada tiga, semalam.

Ketua Pusat Data Maklumat Badan Pengurusan Bencana Kebangsaan Sutopo Purwo Nugroho berkata, data aktiviti vulkanik sejak Jumaat lalu hingga semalam tidak menunjukkan sebarang tanda gempa .


Bagaimanapun, badan berkenaan tetap menasihatkan penduduk yang pulang supaya berhati-hati, lebih-lebih lagi di kawasan radius lima kilometer dari kawah gunung berkenaan.

"Mereka perlu berwaspada dengan ancaman lahar hujan atau kejadian lain yang mungkin berlaku," kata Sutopo.


Sehubungan itu, katanya, keluarga yang menjadi mangsa letusan Gunung Kelud itu Khamis lalu, akan diberi bantuan untuk membaik pulih rumah dan ladang mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

No comments:

Post a Comment