Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


1.2 juta mula terasa

Posted: 26 Feb 2014 10:37 AM PST

Kuala Lumpur: Kira-kira 1.2 juta pengguna dari 300,000 isi rumah di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula mengalami kesan terputus bekalan air atau tekanan rendah, ekoran pengurangan pengeluaran air terawat oleh lima loji rawatan air (LRA) atas arahan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, semalam.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, ia membabitkan tujuh wilayah sekitar Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.


"Rezab bekalan air sedia ada yang sangat kecil dan dalam keadaan biasa sudah tidak mampu untuk menampung paras permintaan pengguna kerana kelima-lima loji rawatan air terbabit membekalkan 60 peratus daripada keperluan air terawat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap sumber air mentah kerajaan Selangor telah mengeluarkan surat arahan pada 24 Februari lalu kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang mengurus tiga loji berkenaan agar mengurangkan pengambilan air mentah sebanyak 200 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Selangor.


Loji terbabit ialah LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 3 dan LRA Sungai Rasa manakala LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Rantau Panjang diurus Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.


Pada masa sama, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah mengarahkan SYABAS menyediakan pelan pengagihan bekalan air berjadual bagi pengguna yang terbabit untuk dibentangkan kepada SPAN, hari ini.

Foto

PENDUDUK Kampung Leboh Dagang, Banting mengisi air yang dibekalkan SYABAS, semalam.

"Jika pelan pengagihan bekalan air berjadual ini diluluskan SPAN, ia akan diumumkan kepada pengguna secara bersama oleh pihak SPAN dan SYABAS pada 28 Februari ini untuk dilaksanakan mulai Ahad ini," kata Priscilla. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Peralat remaja seleweng diesel

Posted: 26 Feb 2014 10:17 AM PST

Banting: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di daerah ini didapati mula mempelbagaikan helah mereka termasuklah memperalatkan remaja sebagai orang tengah bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa berikutan kekerapan operasi penguat kuasaan sejak kebelakangan ini.

Helah terbaru itu dikesan selepas sepasukan anggota polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang didapati sedang mengisi diesel di dalam sebuah lori tiga tan dipandunya di sebuah stesen minyak di Sungai Jarom, dekat sini kira-kira jam 10 malam Isnin lalu.


Lebih mengejutkan, remaja terbabit turut tidak memiliki lesen memandu kenderaan berat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azman Abdul Razak berkata, remaja terbabit ditahan selepas dia didapati mengisi minyak dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan polis yang melakukan rondaan di stesen minyak itu memeriksanya.


Katanya, selepas diperiksa, anggota terbabit mendapati lori tiga tan itu sudah diubah suai dan bahagian belakangnya diletakkan tangki besi yang mampu memuatkan sekurang-kurangnya 10,000 liter diesel.


"Belum sempat mengisi penuh, remaja itu dicekup bersama 1,250 liter diesel. Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan susulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

31 URB dilancar

Posted: 26 Feb 2014 10:17 AM PST

Petaling Jaya: Sebanyak 31 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dilancarkan untuk meningkatkan lagi kekuatan pihak polis memerangi jenayah di Petaling Jaya dan Sungai Buloh.

Sebanyak 14 motosikal digunakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya manakala 17 lagi di IPD Sungai Buloh.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya akan menggunakan URB di kawasan yang dikenal pasti. "Pendekatan ini adalah satu daripada usaha polis untuk membanteras jenayah. "Ini sekali gus memberikan harapan serta keyakinan kepada masyarakat selain menyampaikan mesej yang jelas, tepat dan padat kepada penjenayah bahawa polis sentiasa ada untuk memerangi jenayah di kawasan mereka," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran URB di Dewan MBSA Subang Bestari, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Kongsi gelap di belakang

Posted: 26 Feb 2014 10:14 AM PST

Kuala Lumpur: Kekerasan, ugutan dan memalukan mangsa serta keluarga adalah modus operandi utama digunakan sindiket along bagi mendapatkan kembali wang dan kadar bunga daripada peminjam.

Timbalan Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, kumpulan terbabit akan menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan bagi mendapatkan kembali wang mereka.


"Malah, saya akui ada beberapa kes lampau apabila mangsa dikurung di kondominium, flat, rumah oleh konco along dan dipukul. "Mereka (peminjam) kemudiannya dibebaskan sama ada diselamatkan polis ataupun selepas keluarga membayar wang pinjaman berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana, di sini, semalam.

Antara kaedah memalukan yang digunakan kumpulan along itu bagi mendapatkan semula wang adalah menyimbah cat, memasang poster, menampal gambar di sekitar kawasan perumahan selain membuat kecoh di tempat kerja. Menurutnya, tindakan kumpulan along mengurung peminjam adalah kerana sikap mangsa itu sendiri yang sering melarikan diri selepas gagal melunaskan hutang mengikut perjanjian asal.


"Selalunya, jika pinjaman RM1,000 peminjam hanya akan diberikan RM900. Peminjam pula diminta membayar RM13 setiap hari selama 100 hari. Kadar bunga yang dikenakan adalah 40 peratus.


"Malah, ada kadar bunga yang lebih tinggi dikenakan dan puratanya antara 3 hingga 50 peratus mengikut latar belakang peminjam itu sendiri," katanya.

memberitahu penjaja kecil, pekerja kilang, remaja dan ahli perniagaan menjadi sasaran kumpulan along untuk memberikan pinjaman selain kaki judi.


Ditanya wartawan adakah sindiket along ini mempunyai sokongan daripada pihak luar, Abd Jalil berkata, kumpulan terbabit diketahui bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap.

"Ahli kepada kumpulan kongsi gelap ini akan menjadi konco along untuk melakukan kutipan wang kepada peminjam sama ada secara harian, mingguan ataupun bulanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

Penyelamat budak nyaris diculik dikesan

Posted: 26 Feb 2014 10:12 AM PST

Kota Bharu: Polis berusaha mengenal pasti dua lelaki bermotosikal yang menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang nyaris menjadi mangsa culik di depan sekolahnya di Panchor, Pengkalan Chepa, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, dua lelaki itu diperlukan untuk membantu siasatan kejadian.


"Saya arahkan pihak polis mengenal pasti dua lelaki yang menyelamatkan mangsa itu untuk membantu siasatan.

"Sehingga kini mereka masih belum tampil ke hadapan untuk membantu siasatan," katanya.


Menurut Jalaluddin, siasatan terperinci dilakukan untuk mengenal pasti dalang kejadian itu.


"Perkara ini tidak boleh pandang remeh. Siasatan terperinci dijalankan termasuk menyiasat latar belakang keluarga mangsa," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun bernasib baik apabila muncul dua hero menyelamatkannya daripada diculik di depan sekolah dan membawanya pulang ke rumah sebelum beredar tanpa bertemu ahli keluarganya.


Dalam kejadian jam 5.30 petang itu kanak-kanak terbabit yang baru tamat sesi persekolahan menunggu keluarganya sebelum dia dihampiri kereta dinaiki dua lelaki.

Seorang daripadanya yang berbadan besar keluar dari kereta sebelum menarik tangan kanak-kanak itu yang melawan dan menjerit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/27

No comments:

Post a Comment