Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nicol ke separuh akhir

Posted: 03 Feb 2014 10:27 AM PST

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David berada pada landasan terbaik untuk memenangi gelaran kedua musim ini apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Cleveland Classic 2014.

Dalam saingan suku akhir di Kelab Raket Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat, awal hari ini, Nicol tidak menghadapi masalah menundukkan pilihan kelima, Camille Serme dari Perancis dengan 11-5, 11-6, 11-6.


Nicol, 30, yang melakarkan kejuaraan pertama tahun ini ketika Kejohanan Juara-Juara di New York, Amerika Syarikat pada 26 Januari lalu, akan berdepan dengan bekas naib juara remaja dunia 2009, Nour El Tayeb di separuh akhir hari ini.

Dalam satu lagi saingan suku akhir, Nour, pemain Mesir berusia 20 tahun itu, melakukan kejutan besar dengan menyingkirkan pemain pilihan ketiga yang juga rakan senegara, Raneem El Weleily, dengan keputusan 8-11, 11-9, 11-4, 12-10. - BERNAMA

Foto

NICOL

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Chamberlain tetap bisa

Posted: 03 Feb 2014 09:54 AM PST

London: Arsene Wenger percaya Alex Oxlade-Chamberlain membuktikan beliau tidak silap dengan menjaringkan dua gol dari bahagian tengah ketika menang 2-0 ke atas Crystal Palace.

Oxlade-Chamberlain, 20, mengalami kecederaan lutut ketika kalah 1-3 pada hari pembukaan di tangan Aston Villa dan kemudian terlepas aksi lima bulan berikutnya musim ini.


Namun dia kembali dalam kesebelasan utama Arsenal menentang Palace awal pagi semalam dan menjaringkan kedua-dua gol dari bahagian tengah untuk membantu melonjakkan pasukannya kembali ke puncak carta Liga Perdana Inggeris.

Ketika Aaron Ramsey dan Jack Wilshere tidak beraksi kerana kecederaan, kepulangan bekas pemain Southampton itu tepat pada masanya dengan pertembungan genting liga menentang Liverpool dan Manchester United semakin hampir.


"Saya sering percaya dia boleh bermain di sayap dan tengah," jelas Wenger.


"Saya sudah katakan banyak kali masa depannya adalah di bahagian tengah dan dia membuktikan saya tidak silap hari ini dengan menjaringkan gol dan menerusi kualiti persembahannya.

Foto

CHAMBERLAIN (kanan) jaring gol kedua Arsenal.

"Dia mengambil masa sedikit untuk kembali kerana dia cedera menentang Aston Villa.


"Secara keseluruhan, saya gembira dia cergas sepenuhnya. Anda boleh melihatnya malah ketika perlawanan hampir tamat dia masih bertenaga." Palace berjaya mengekang kreativiti bahagian tengah Arsenal pada babak pertama perlawanan yang dijangka mudah dimenangi pasukan tuan rumah.

Namun dua minit pada babak kedua, Oxlade-Chamberlain menerima umpanan bijak Santi Cazorla sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol lawan Julian Speroni.


Dia memastikan kemenangan pada minit ke-72 selepas bertukar hantaran dengan Olivier Giroud dan merembat masuk dari jarak 15 ela. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Kallstrom rehat sebulan

Posted: 03 Feb 2014 09:53 AM PST

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendedahkan pemain baru yang dipinjam Kim Kallstrom terpaksa berehat sekitar sebulan kerana kecederaan belakang dialaminya sebelum menyertai kelab itu.

Berikutan banyak kecederaan di bahagian tengah, Wenger mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Sweden berusia 31 tahun itu dari Spartak Moscow pada hari terakhir jendela perpindahan Januari.pada Jumaat lalu.


Namun, laporan menyusul selepas itu menyatakan Kallstrom cedera belakangnya ketika bermain bola tampar pantai dan mungkin tidak boleh beraksi buat Arsenal sekitar enam minggu.

Bercakap selepas kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana kelmarin, Wenger menafikan Kallstrom cedera teruk namun mengakui dia mungkin diketepikan hingga hujung bulan ini.


"Ia agak mudah dan kami perlu menyatakan kebenaran," jelas Wenger. "Dia tiba di sini dan terjatuh dua hari sebelumnya.


"Pertamanya, amat sukar untuk mengenal pasti pemain yang boleh tampil secara pinjaman percuma dan kemudian kami melakukan pemeriksaan belakangnya dan kami mendapati ada sedikit keretakan.

"Kami banyak menangani masalah keretakan kecil ini. Apabila Spartak Moscow bersetuju berkongsi kosnya iaitu selagi dia cedera mereka akan membayar gajinya, maka saya membuat keputusan.


"Kami mengambil Kallstrom atau mungkin tiada siapa dan keputusan itu dibuat pada jam 5 petang Jumaat lalu." Ditanya bila Kallstrom boleh cergas beraksi, Wenger membalas: "Saya fikir paling awal hujung Februari, paling lewat pertengahan Mac." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Tak marah Toure

Posted: 03 Feb 2014 09:48 AM PST

West Bromwich, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mahukan pasukannya terus bermain bola sepak dari bawah sekalipun kesilapan pertahanan Kolo Toure menyebabkan mereka seri 1-1 dengan West Brom kelmarin.

Hantaran silang Toure membolehkan pemain gantian West Brom, Victor Anichebe menyamakan kedudukan di The Hawthorns selepas Liverpool mendahului lebih awal menerusi Daniel Sturridge.


Namun Rodgers menegaskan beliau masih menggesa pemainnya menekankan corak pegangan bola sekalipun ia bermakna mereka keciciran dua mata berharga dalam usaha layak ke Liga Juara-Juara.

"Kolo berasa amat kecewa, tapi saya katakan kepadanya itulah yang kadang kala perlu dikorbankan apabila anda cuba bermain bola sepak," jelas Rodgers.


"Dalam tempoh 18 bulan terakhir kami sudah mempamerkan keazaman dan keberanian untuk bermain bola sepak. Sebahagian daripadanya adalah membentuk permainan dari bawah.


"Malangnya, buat kali pertama musim ini kami dihukum kerana itu. Kolo pemain berpengalaman, jadi dia sedar ia satu kesilapan. Hatinya hancur luluh kerana dia seorang pemain yang prihatin.

"Kami akan terus bermain sebegitu. Ia hanya mengenai satu kesilapan, tapi begitulah cara kami bekerja dan bermain. Tiada siapa yang harus dipersalahkan.


"Sayangnya kami kehilangan dua mata berharga, tapi kami akan tunggu dan lihat sama ada satu mata itu mampu membantu kami hujung musim ini." Rodgers turut memberi reaksi mengenai kritikan terhadap kegagalan kelab itu mengukuhkan skuad ketika jendela perpindahan pemain Januari selepas usaha membawa pemain sayap Ukraine, Yevhen Konoplyanka gagal pada saat akhir.

"Kelab ini melakukan sedaya yang termampu untuk membawa pemain itu dalam segenap aspek," tegas Rodgers. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Trio The Saints pukau Hodgson

Posted: 03 Feb 2014 09:46 AM PST

London: Trio Southampton, Adam Lallana, Jay Rodriguez dan Rickie Lambert terus mengukuhkan peluang mereka dipilih menganggotai skuad England pada Piala Dunia di Brazil Jun ini.

Ketika pengurus England, Roy Hodgson menonton aksi mereka, trio itu mempamerkan satu lagi aksi memukau apabila masing-masing menyumbat satu gol dalam tempoh 11 minit untuk mengatasi kelab bergelut Liga Perdana, Fulham 3-0 Sabtu lalu.


Lallana memulakan rentak gemilang Saints pada minit ke-64 dengan gol ketujuhnya dalam liga musim ini apabila dia berganding dengan Lambert menembusi kubu Fulham sebelum meledakkan gol melepasi Maarten Stekelenburg.

Giliran Lambert menjadi penjaring gol selepas itu bagi melengkapkan gol ke-100 buat Southampton dalam aksi liga sebelum Rodriguez menyempurnakan satu tendangan lencong dari penjuru kotak penalti.


"Jelas kami mempunyai hubungan baik kerana sudah beraksi bersama agak lama dan menyeronokkan bermain di samping mereka," kata Lambert.


"Mereka bertindak bagus sepanjang musim dan ia membuatkan tugas saya lebih mudah dan bertuah beraksi di samping dua pemain ini.

"Ia memang menjadi dan saya tidak fikir ia akan berubah selagi kami terus bermain sebegini." Kebangkitan trio berbakat itu yang menjaringkan 24 gol Southampton dalam liga musim ini pasti menggembirakan Hodgson yang terus menyaksikan persembahan hebat pemainnya sebelum memutuskan siapa berhak dipilih menyertai penerbangan ke Brazil. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Pengadil terpedaya

Posted: 03 Feb 2014 09:44 AM PST

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mendakwa pemain Athletic Bilbao, Carlos Gurpegi sengaja berlakon hingga menyebabkan Cristiano Ronaldo dibuang padang ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 awal pagi semalam.

Pemain yang baru dinobat pemenang Ballon d'Or itu diarahkan meninggalkan padang 15 minit sebelum tamat kerana mengasari Gurpegi selepas tidak diberikan sepakan penalti oleh pengadil.


Keputusan seri di tempat lawan itu menyebabkan Real ketinggalan tiga mata kepada pendahulu La Liga, Atletico Madrid yang melonjak ke tangga teratas selepas membelasah Real Sociedad 4-0 pada perlawanan lebih awal.

Ronaldo kini mungkin digantung bagi satu lagi perlawanan penting liga menentang Villarreal minggu depan dan Ancelotti yakin bintang serangannya itu tidak perlu dilayangkan kad merah.


"Ianya sukar buat saya memberikan penilaian kerana tidak berada di tempat kejadian namun imej menunjukkan dia sengaja berlakon secara keterlaluan," kata pengurus dari Itali itu.


Pertahanan Brazil, Marcelo lebih keras dalam kritikannya berhubung keputusan itu.

Foto

RONALDO (tengah) bertelagah dengan pemain Bilbao.

"Sukar jika anda kehilangan seorang pemain dengan cara yang tidak adil. Jelas keputusan itu tidak adil dan ia menjadikannya sangat sukar ketika harapan kami untuk memenangi setiap perlawanan," katanya.


"Athletic pasukan yang amat bagus, kami tidak bernasib baik hari ini." Selepas diberikan tekanan oleh Athletic pada 45 minit pertama, Madrid kelihatan akan meraih kemenangan ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan apabila hantaran silang Ronaldo disudahkan Jese Rodriguez.

Bagaimanapun, jaringan, menakjubkan Ibai Gomez membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan sebelum insiden Ronaldo dengan Gurpegi berlaku. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Juventus ratah Inter

Posted: 03 Feb 2014 09:43 AM PST

Milan: Juara bertahan Juventus mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu Serie A dengan mengatasi Inter Milan 3-1 awal pagi semalam untuk mengungguli 'Derby d'Italia'.

Inter bertandang ke Turin dengan harapan untuk sekurang-kurangnya mengulangi keputusan seri 1-1 dengan kelab kendalian Antonio Conte di Milan ketika awal musim.


Namun Juve, yang sudah menjaringkan 16 gol dalam lima perlawanan liga sebelum ini, hadir memberikan cabaran dan mencipta sejumlah peluang awal menjaringkan gol sebelum tandukan terbang Stephan Lichsteiner susulan sepakan lambung Andrea Pirlo memberikan tuan rumah gol pendahuluan pada minit ke-15.

Juve menambah tekanan dan hanya kecekapan penjaga gol Samir Handanovic membantu Inter tidak dibolosi hingga tamat separuh masa pertama.


Juve menggandakan jaringan dua minit pada babak kedua menerusi pertahanan Giorgio Chiellini disusuli tindakan pantas Arturo Vidal membolehkan Juve mendahului 3-0 pada minit ke-55 apabila menyambut bola lantunan percubaan Paul Pogba.


Usaha Inter pada lewat perlawanan sia-sia walaupun menjaringkan gol pada minit ke-71 apabila Rolando menewaskan Marco Storari di gawang Juve untuk gol sagu hati menerusi persembahan hambar anak buah Walter Mazzarri.

Mazzarri berkata: "Secara keseluruhan saya tidak boleh terlalu menghentam. Kami sedar Juve akan tampil dengan agresif dan memberikan tekanan sejak awal.


"Namun cara kami melepaskan gol kedua amat menyakitkan. Jika kami tidak melepaskannya, perlawanan pasti berubah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Neymar berang isu penipuan cukai

Posted: 03 Feb 2014 09:43 AM PST

Rio de Janeiro: Bintang Brazil, Neymar membidas "rakan" kelmarin selepas diheret berhubung siasatan penipuan cukai mengenai perpindahannya ke Barcelona tahun lalu.

Pihak berkuasa Brazil dan Sepanyol sedang menyiasat perpindahan yang berlaku pada Mei tahun lalu yang awalnya dilaporkan bernilai 57.1 juta euro (RM258 juta).


Sejak beberapa minggu lalu wujud pelbagai dakwaan yang menyatakan perjanjian itu berjumlah 86 juta euro (RM388.8 juta), termasuk 40 juta euro (RM180.8 juta) yang dilaporkan untuk N&N, firma keluarga Neymar yang diuruskan bapanya.

Bapanya minggu lalu menafikan sebarang perjanjian prakontrak bersama Barcelona hingga anaknya meninggalkan Santos untuk menyertai kelab gergasi La Liga itu, namun mengakui menerima 10 juta euro (RM45.2 juta) pada 2011 untuk menjamin perpindahan menjelang 2014.


Neymar menyertai kelab Catalunya itu hujung musim lalu namun pendakwa raya Brazil mengandaikan ada kemungkinan berlakunya penipuan cukai menyebabkan Neymar tampil bersuara.


"Saya berdiam diri hingga kini! Namun saya tidak boleh terus mendengar semua dakwaan mengenai perpindahan saya.

"Saya menghubungi bapa dan menyatakan hasrat untuk menjelaskan perkara ini namun beliau mahu menguruskannya sendiri serta meminta saya menumpukan terhadap permainan saja," kata Neymar menerusi akaun Instagram miliknya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Jadikan iktibar

Posted: 03 Feb 2014 09:42 AM PST

Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Radzi tidak mahu mimpi ngeri berulang ketika melayan kunjungan Sabah dalam saingan kalah mati pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

The Red Warriors (TRW) yang dikejutkan dengan kekalahan pertama 1-2 di tangan PKNS FC di gelanggang keramat sendiri dalam aksi Liga Super 28 Januari lalu, ternyata tidak mahu kejadian itu berulang ketika bertemu Sabahawks nanti.


Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, kekalahan kepada PKNS tempoh hari menjadi iktibar kepada pasukannya supaya tidak memandang mudah keupayaan lawan malah menyifatkan beraksi di gelanggang sendiri bukan jaminan untuk mendapatkan mata penuh.

Katanya, Kelantan yang turun selaku juara bertahan perlu mempamerkan aksi terbaik sekali gus menuntut rakan sepasukan melupakan kekalahan pertama kepada PKNS dan bangkit mempertahankan Piala FA.


"Yang pasti kita sudah tidak mahu kalah di stadium sendiri lagi dan kami tidak boleh menghampakan penyokong. Sebagai juara bertahan kami perlu mempamerkan aksi terbaik untuk mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu.


"Kekalahan kepada PKNS perlu dilupakan dan saya mahu rakan sepasukan bangkit untuk membuktikan kami masih mampu memberi saingan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Foto

PIYA (dua dari kanan) azam kekang cabaran lawan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan Steve Darby berkata, mereka mungkin menggunakan khidmat pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang kini dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan hamstring.


Katanya, kehadiran Shawky Aly bakal menguatkan jentera tengah selain mengharapkan gandingan mantap pemain dari Mesir itu dengan Mohd Badhri untuk mencorakkan permainan termasuk melancarkan serangan bagi membolosi gawang lawan.

"Shawky sudah pulih namun saya perlu menilainya sehingga latihan terakhir sebelum perlawanan dan jika keadaannya memuaskan tidak mustahil saya menurunkannya malam esok (malam ini). Kami amat memerlukannya untuk menguatkan bahagian tengah malah ketiadaannya sebelum ini juga menjejaskan pasukan. Saya mahu mereka bangkit dan menang malam esok (malam ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Elak laluan sukar

Posted: 03 Feb 2014 09:40 AM PST

Kuala Lumpur: Juara lima kali Piala FA, Selangor tidak mahu memilih laluan sukar dalam menempah tiket ke suku akhir apabila menentang Sarawak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya dengan berharap perlawanan kalah mati itu mampu dimenangi Merah Kuning dalam tempoh 90 minit.

Itu permintaan pengendali Merah Kuning, Mehmet Durakovic kepada anak buahnya susulan keadaan cuaca yang bakal mempengaruhi perlawanan pusingan kedua Piala FA yang dijadualkan berlangsung petang ini.


"Jurulatih berpesan agar kami berusaha menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit. Cuaca panas dan kering selain kualiti padang di MBPJ akan memberi kesan, jadi kami perlu menamatkan segera perlawanan ini dan memastikan tiket suku akhir mampu diraih.

"Kami perlu bijak menyimpan tenaga dalam situasi ini namun kami tetap bersedia seandainya perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan atau ditentukan menerusi sepakan penalti. Kami turut menjalani latihan sepakan penalti hari ini (semalam)," kata kapten Merah Kuning, Mohd Bunyamin Omar.


Selangor yang kini turut mendahului Liga Super melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menyingkirkan Harimau Muda C 2-0 di pusingan pertama manakala Sarawak menewaskan Pulau Pinang 2-1.


Durakovic dijangka tidak mempunyai masalah untuk menurunkan kesebelasan terbaiknya pada pertemuan yang dijangka sengit itu kerana lawan kendalian Robert Alberts turut dilihat mampu melakar kejutan dengan kehadiran sejumlah pemain yang berkualiti seperti Joseph Kalang Tie, Ashri Chuchu dan barisan pemain importnya.

"Saya turut berharap semua pemain Selangor yang masih belum diturunkan dapat bersabar kerana pastinya mereka akan mendapat peluang untuk beraksi apabila tiba masanya susulan jumpa pemain dalam skuad kami yang terhad. Seandainya terdapat pemain yang melakukan kesilapan, kecederaan dan penggantungan, pastinya peluang akan diberikan jurulatih namun paling penting semua pemain perlu bersatu demi pasukan," kata pemain pertahanan itu.


Pemenang perlawanan akan menanti pertemuan keputusan Sime Darby FC menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

No comments:

Post a Comment