Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rehan gesa Ahmad undur

Posted: 05 Feb 2014 10:21 AM PST

Ipoh: Bekas pemain kebangsaan, Rehan Md Din, 47, meluahkan rasa kecewa dengan pencapaian skuad takraw negara di samping mendesak pemimpin Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail melepaskan jawatan secara terhormat bagi memberi laluan kepada muka baru.

Rehan yang juga pemenang pingat emas acara antara regu dan berpasukan pada Sukan SEA Manila 1991, berkata sebagai bekas pemain dia turut kecewa dengan prestasi merudum skuad takraw kebangsaan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.


Menurutnya, prestasi mengecewakan skuad kebangsaan membuktikan pengurusan PSM gagal memainkan peranan menyediakan perancangan berkesan dalam usaha melahirkan pelapis berkualiti demi kemajuan sukan berkenaan.

"Saya kecewa dengan prestasi skuad takraw yang semakin merudum pada beberapa temasya Sukan Asia dan Sukan SEA lalu. Ini secara tidak langsung menunjukkan pengurusan PSM gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.


"Justeru, perlu ada perubahan dan idea baru demi memastikan kemajuan sukan takraw negara," katanya.


Dia yang kini bekerja sendiri dan menetap di negeri ini memenangi satu pingat emas antara regu dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur 1989, dua emas antara regu dan berpasukan Sukan Asia di Beijing 1990, serta dua emas Piala Pesta Sukan Merdeka di Brunei 1990. Rehan yang sudah bersara daripada sukan berkenaan sejak 1991 berpendapat kualiti pemain sedia ada masih boleh digilap, namun kekurangan kejohanan di peringkat negeri dan antarabangsa menyebabkan pemain negara gagal bersaing dengan musuh tradisi Thailand termasuk beberapa pasukan negara Asia Tenggara lain ketika beraksi di temasya sukan besar.

Foto

ROMMI (tengah) bercakap pada sidang media Siri Jelajah Jom Bangkit di Ipoh, semalam.

Menurutnya, pihak pengurusan PSM seolah-olah melupakan jasa dan keringat bekas pemain kebangsaan sepertinya apabila tidak langsung mendengar pandangan atau menagih khidmat mereka.


"Sebagai bekas pemain saya langsung tidak diberi peluang untuk memberi pandangan atau mencurah pengalaman memenangi emas dalam acara takraw.

"Saya berasakan khidmat saya langsung tidak diperlukan. Jika pengurusan baru kelak memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pengalaman dan pandangan saya sedia membantu bagi meningkatkan mutu sepak takraw negara," katanya pada sidang media Siri Jelajah Jom Bangkit anjuran Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia (KRKBPSTM), di sebuah hotel, di sini, semalam.


Hadir sama Presiden KRKBPSTM, Rommi Suhendra Norsal, penggiat sukan serta sekumpulan peminat sukan takraw negara.


Rommi ketika ditemui berkata siri jelajah di utara tanah air itu sebelum ini diadakan di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat dan bekas pemain sepak takraw kebangsaan.


"Kami tidak bekerjasama dengan mana-mana kementerian ataupun pertubuhan. Program ini dijalankan atas dasar cintakan takraw dan mahu mengembalikan maruah sukan ini. Ia mendapat sambutan baik peminat dan bekas pemain kebangsaan seperti Adnan Saidin dan Salim Yusof," katanya yang merancang meneruskan program berkenaan ke Selatan, Pantai Timur tanah air dan Borneo tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

'Mata legenda baru United'

Posted: 05 Feb 2014 09:49 AM PST

London: Ryan Giggs percaya Juan Mata boleh menjadi salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman Manchester United.

United memecahkan rekod perpindahan kelab untuk membawa Mata ke Old Trafford dan pemain dari Sepanyol itu beraksi baik setakat ini.


Mata memainkan peranan dalam mencipta gerakan gol pembukaan Robin van Persie pada aksi pertama ketika mengalahkan Cardiff dan turut mencipta jaringan buat bintang Belanda itu menghasilkan gol menentang Stoke walaupun United tumpas di tangan Potters.

Sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah kelab itu, Giggs tahu apa yang perlu dimiliki seseorang pemain untuk menjadi ikon United.


Lantas pemain Wales itu tidak ragu-ragu ketika ditanya mengenai kemungkinan Mata, 25, boleh menjadi pemain legenda United.


"Saya fikir dia boleh," kata pemain tengah itu. "Dia sememangnya memiliki bakat.

"Saya tidak mahu memberikan banyak tekanan kepadanya tapi saya tidak lihat kenapa dia tidak boleh melakukannya." Ketika perjalanan Mata masih jauh untuk menyamai pencapaian Giggs, Paul Scholes, David Beckham dan pemain lain, skuad United kendalian David Moyes yakin kehadiran Mata boleh terus memberikan impak.


Mungkin keputusan masih belum memberangsangkan selepas kekalahan kepada Stoke Sabtu lalu menyaksikan United ketinggalan tujuh mata dengan pasukan di tangga keempat tapi kehadirannya berjaya menaikkan semangat pemain.

"Pemain juga seperti penyokong," kata Giggs. "Apabila mereka melihat kelab membawa masuk pemain baru yang berkualiti, ia akan mencetuskan perasaan teruja dan anda boleh merasainya ketika latihan. Ia menaikkan semangat semua pemain.


"Kami bermain menentangnya selama tiga tahun sebelum ini dan tahu mengenai kualiti dimilikinya. Dia tiada masalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan dan pandai berbahasa Inggeris, lebih bagus berbanding pemain lain!" - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Swansea pecat Laudrup

Posted: 05 Feb 2014 09:48 AM PST

London: Swansea City mengumumkan pemecatan pengurus Michael Laudrup semalam, hampir setahun selepas beliau mengemudi kelab Wales itu merangkul trofi utama sulung mereka.

Pengendali dari Denmark berusia 49 tahun itu mencorak kemenangan 5-0 ke atas Bradford City pada final Piala Liga musim lalu, namun menurut kelab itu, mereka terpaksa bertindak kerana "ketidaktentuan berpanjangan" berhubung masa depannya.


Hubungan Laudrup dengan kelab itu dilaporkan tegang hujung musim lalu dan persembahan hambar akhir-akhir ini menyaksikan Swansea merudum ke zon penyingkiran Liga Perdana.

"Ia satu keputusan yang kami ambil dengan rasa berat hati," kata Pengerusi Swansea, Huw Jenkins dalam satu kenyataan.


"Tapi ia satu keputusan yang diambil demi kebaikan kelab Swansea dan penyokong kami.


"Kali pertama dalam hampir 10 tahun kelab ini berpisah dengan seorang pengurus dengan cara ini, tapi kami perlu melenyapkan ketidaktentuan berpanjangan yang menyelubungi kelab dan masa depan Michael bersama kami." Menurut Swansea, bekas kapten Garry Monk akan bekerja sebagai ketua jurulatih di samping jurulatih pasukan utama Alan Curtis buat sementara waktu.

Laudrup muncul pengurus Liga Perdana ketujuh kehilangan jawatan musim ini selepas Paolo Di Canio (Sunderland), Ian Holloway (Crystal Palace), Martin Jol (Fulham), Steve Clarke (West Brom), Andre Villas-Boas (Tottenham) dan Malky Mackay (Cardiff). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Miller pemusnah

Posted: 05 Feb 2014 09:48 AM PST

London: Pasukan dari divisyen tiga, Sheffield United menjaringkan gol pada minit akhir masa tambahan untuk menyingkirkan kelab Liga Perdana Fulham daripada kempen Piala FA dengan kemenangan 1-0, awal pagi semalam.

Perlawanan ulangan pusingan keempat yang berlangsung dalam hujan di Craven Cottage itu hampir berakhir dengan penentuan sepakan penalti sebelum Shaun Miller menghasilkan gol kemenangan dramatik pada minit ke-120.


Tandukan jarak dekat Miller selepas mendapat hantaran Harry Maguire membolehkan United mencatat dua kemenangan berturut-turut menentang pasukan dari liga utama selepas mengalahkan Aston Villa pada pusingan ketiga.

"Ia sukar dipercayai," kata Miller. "Saya gembira berjaya menjaringkan gol yang ditujukan khas kepada anak saya yang lahir beberapa minggu lalu. Saya lakukan untuknya." Ia satu lagi keputusan mengecewakan buat Fulham yang kini terperosok di tangga tercorot Liga Perdana selepas kalah empat perlawanan liga berturut-turut.


"Kami tahu kami bertanggungjawab atas kekalahan ini," kata pengurus Rene Meulensteen yang akan membawa Fulham bertemu bekas kelab lama Manchester United bagi aksi liga Ahad ini.


"Pada akhirnya, itulah yang kami perlu lakukan. Kami perlu melihat sesama sendiri dan berkata, 'kita perlu bangkit dan keluar daripada kekecewaan ini.' "Jika anda bercakap mengenai perlawanan ini dan anda berkata 'Adakah kami dalam situasi sukar?' Mungkin benar.

Foto

MILLER (duduk) menanduk gol tunggal perlawanan.

"Jika benar kami dalam situasi sukar, ia tidak boleh bertambah teruk dan ia boleh menjadi baik semula jadi kami perlu berusaha keras." Sheffield United menduduki tangga kedua tercorot dalam liga selepas hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan, namun skuad kendalian Nigel Clough kini boleh memberi tumpuan kepada aksi di laman sendiri menentang Preston atau Nottingham Forest pada pusingan kelima. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

FA Inggeris tolak rayuan Carroll

Posted: 05 Feb 2014 09:47 AM PST

London: Penyerang West Ham, Andy Carroll akan menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas rayuan untuk membatalkan kad merah yang diterimanya ditolak oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris semalam.

Carroll, 25, dilayangkan kad merah ketika pasukannya menang 2-0 ke atas Swansea Sabtu lalu selepas mengasari Chico Flores pada awal babak kedua aksi Liga Perdana di Upton Park.


Pengurus West Ham, Sam Allardyce mendakwa Flores sekadar berlakon dan mengesahkan mereka akan mengemukakan rayuan ke atas layangan kad merah itu, bagaimanapun FA tetap mengekalkan keputusan pengadil Howard Webb mengarahkan Carroll meninggalkan padang.

"Pemain West Ham, Andy Carroll akan digantung tiga perlawanan berkuat kuasa serta-merta selepas rayuannya ditolak oleh Suruhanjaya Bebas Peraturan," menurut FA dalam satu kenyataan.


"Seperti yang dinyatakan dalam Peraturan dan Undang-Undang FA, Suruhanjaya Bebas Peraturan patuh dengan keputusan untuk membuang pemain berdasarkan kesalahan yang jelas.


"Keputusan suruhanjaya itu tidak boleh dirayu." Pemain termahal West Ham, Carroll hanya bermain dalam empat perlawanan liga musim ini akibat kecederaan dan kini terpaksa diketepikan bagi perlawanan menentang Aston Villa, Norwich dan Southampton. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

PSG kemaruk juara berganda

Posted: 05 Feb 2014 09:41 AM PST

Paris: Zlatan Ibrahimovic meledak gol pada awal dan lewat permainan sekali gus mencerahkan peluang Paris St-Germain sekurang-kurangnya meraih kejuaraan berganda domestik ketika pendahulu Ligue 1 itu mengatasi Nantes 2-1 untuk layak ke final Piala Liga, awal pagi semalam.

Ibrahimovic menjaringkan gol pertamanya dalam pertandingan itu musim ini untuk meletakkan PSG di depan selepas hanya lima minit di Stade de la Beaujoire.


Olivier Veigneau menyamakan kedudukan sembilan minit sebelum tamat namun Ibrahimovic tampil bergaya menyumbat gol keduanya pada perlawanan itu dan ke-31 musim ini, pada minit terakhir untuk membantu juara tiga kali itu mara ke final di Stade de France, April ini.

"Ia memang satu perlawanan piala, skripnya sering kali sebegitu," jelas jurulatih PSG, Laurent Blanc.


"Pada babak pertama kami mendahului 1-0. Kami berpeluang menggandakan kedudukan tapi tidak berjaya.


"Pada babak kedua Nantes lebih banyak mengasak, lebih banyak memegang bola serta mencipta beberapa peluang selain menjaringkan gol penyamaan.

Foto

IBRAHIMOVIC teraju pasukan ke final di Stade de France.

"Namun pada 10 minit terakhir pasukan saya meningkatkan tahap permainan.


"Kami berada di final, itulah yang kami nanti-nantikan dan kami melakukannya." Ketika PSG sudah tersingkir pada Piala Perancis, Blanc menurunkan pasukan kuat yang menampilkan hanya tiga perubahan berbanding pasukan yang menundukkan Bordeaux 2-0 Jumaat lalu.

Menanti PSG pada perlawanan akhir adalah pemenang antara Lyon dan pasukan Ligue 2, Troyes. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Syor Evra yakinkan Berbatov

Posted: 05 Feb 2014 09:41 AM PST

Monaco: Dimitar Berbatov menjelaskan syor daripada bekas rakan sepasukan di Manchester United, Patrice Evra meyakinkannya untuk menyertai AS Monaco secara pinjaman pada hari terakhir jendela perpindahan pemain Januari lalu.

Penyerang Bulgaria itu menyertai kelab yang menghuni tangga kedua Ligue 1 itu, secara pinjaman dari kelab Liga Perdana, Fulham hingga hujung musim ini sebagai pengganti kepada bintang Colombia, Radamel Falcao yang berehat lama kerana kecederaan lutut.


Pemain berusia 33 tahun itu hadir dari kelab bermasalah di England ke kelab pencabar kejuaraan di Perancis, dengan pertemuan menentang pendahulu Ligue 1, Paris St-Germain hujung minggu ini di Stade Louis II.

"Rakan saya Patrice Evra memberitahu banyak perkara bagus mengenai kelab ini. Apabila Monaco menelefon saya, saya kata kenapa tidak. Saya ingin menikmati satu pengalaman baru," kata Berbatov yang beraksi di samping pertahanan kiri Perancis itu di Old Trafford antara 2008 hingga 2012.


Bagaimanapun, dia berkata, kehadiran jurulatih Itali, Claudio Ranieri, seorang lagi yang dikenalinya ketika beraksi di England, turut menjadi faktor meyakinkannya untuk berpindah ke negara baru.


"Saya memutuskan untuk ke sini kerana ia sebuah pasukan yang hebat. Beliau pernah bekerja di England, jadi ia satu keputusan yang mudah untuk dibuat. Saya tidak pernah berada di Perancis tapi saya fikir bola sepaknya terlalu bagus.

"Ia satu pengalaman dan pengembaraan baru buat saya. Saya berpeluang berlatih dengan rakan sepasukan baru dan ia amat istimewa kerana saya lihat betapa berbakatnya pemain dimiliki Monaco." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Peluang Udinese cerah

Posted: 05 Feb 2014 09:40 AM PST

Rome: Udinese melangkah setapak lagi dalam usaha mara ke final Piala Itali kali pertama sejak 1922 apabila menang 2-1 ke atas Fiorentina pada separuh akhir pertama, awal pagi semalam.

Kapten Udinese, Antonio Di Natale membuka jaringan buat tuan rumah sebelum Fiorentina menyamakan kedudukan menerusi pemain Peru, Juan Manuel Vargas seminit sebelum rehat babak pertama.


Bagaimanapun, Udinese mempunyai kelebihan apabila penyerang Colombia, Luis Muriel menjaringkan gol dengan satu cubaan menarik lapan minit sebelum tamat.

Fiorentina masih berpeluang mengatasi defisit itu pada separuh akhir kedua minggu depan.


Mereka turut akan diperkuatkan dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan Jerman, Mario Gomez, yang terlepas aksi lima bulan terakhir kerana kecederaan. Dia dijadualkan kembali turun berlatih hari ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Kejutan Didaqt

Posted: 05 Feb 2014 09:39 AM PST

Kuantan: Selepas lima tahun menyepi, Muhammad Didaqt Musaddiq membuat kejutan apabila muncul juara kategori terbuka lelaki kejohanan Luncur Ombak Antarabangsa sempena Festival Tioman 2014 di Pulau Tioman, kelmarin.

Peluncur berusia 18 tahun dari Kampung Cherating Lama, Kuantan itu menewaskan Mohd Nazrin Nasruddin, 23, (Malaysia) dan Ismail Miglah, 24, (Maldives) untuk membawa pulang wang tunai RM1,500, medal dan papan luncur manakala tempat kedua dan ketiga masing masing menerima RM700 dan RM500 serta medal.


Muhammad Didaqt berkata, dia yakin juara selepas mengadakan latihan secara konsisten selama tiga bulan di Bali, Indonesia sebelum kejohanan bermula.

"Saya gembira dan teruja muncul juara kerana bukan sesuatu yang mudah menewaskan pesaing yang setiap tahun menyertai pelbagai pertandingan luncur ombak berbanding saya 'berehat' selama lima tahun.


"Sebagai peluncur berpengalaman walaupun masih muda, saya optimis mampu menewaskan pesaing kerana latihan keras yang dilakukan selepas mendaftar diri untuk menyertai pertandingan," katanya yang menduduki tempat kedua terbuka lelaki Pertandingan Luncur Ombak Antarabangsa-Billabong Pro Am (PBSC) sebelum berundur pada 2008.


"Persaingan memang sengit kerana masing-masing mahu menonjolkan kemahiran ber aksi, tapi dengan pengalaman terutama ketika latihan di Bali saya masih mampu menewaskan mereka terutama peserta Maldives yang juga peluncur profesional.

Foto

JUARA setiap kategori (dari kiri) Timothy Brent, Nur Hawani, Muhammad Didaqt dan Ali Javeed bergambar dengan hadiah dimenangi.

"Saya tidak mahu meletakkan masalah peribadi sebagai penghalang utama untuk menempatkan diri sebagai peluncur profesional di pentas antarabangsa kerana perjalanan saya masih panjang memandangkan usia masih muda," kata penerima Anugerah Peluncur Malaysia Terbaik sempena Kejohanan Luncur Ombak Terengganu Rip Curl Pro 2012.


Kejohanan edisi ketiga selama tiga hari anjuran Tioman Boardriders Event Management yang berlangsung di Kampung Juara itu disertai 60 peluncur termasuk 18 peserta dari Brazil, Australia, Maldives, Singapura, Jerman dan Sudan mempertandingkan lima kategori iaitu terbuka lelaki dan wanita, terbuka master, Bodyboard dan Stand Up Paddle (SUP)menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM25,000.

Bagi kategori terbuka wanita, Nur Hawani Norrizan, 33 dari Kuala Lumpur muncul juara manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi rakannya, Shasha Fazana Saharani, 32, dan peluncur Jerman, Viviane Ehret, 23, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500, RM400 dan RM300 serta medal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Solok Gaung C unggul

Posted: 05 Feb 2014 09:39 AM PST

Melaka: Pasukan Solok Gaung C muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang diadakan di Gelanggang Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, di sini, kelmarin.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang RM300 serta medal.


Tempat kedua dimenangi Rumah Awam Bukit Lintang A (RABL A) yang menerima RM200 serta medal manakala tempat ketiga diraih RABL B, RM100 serta medal.

Solok Gaung B, keempat, RM50 dan medal. Kejohanan sehari itu dianjurkan Biro Belia dan Sukan DUN Ayer Molek dan Penyelaras Pemuda UMNO DUN Ayer Molek dengan kerjasama Pemuda Umno Bahagian Bukit Katil. Tujuh belas pasukan dari sekitar DUN berkenaan menyertai kejohanan berkenaan.


Majlis perasmian dan penutup disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Wira Md Yunos Husin.


Md Yunos berkata, sambutan amat memberangsangkan sekali gus memperlihatkan sokongan baik warga DUN Ayer Molek khususnya kalangan belia dan remaja.

"Selain itu, kejohanan ini secara tidak langsung mampu mencungkil bakat remaja yang boleh diketengahkan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

No comments:

Post a Comment