Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Selamat tinggal BAM!

Posted: 21 Feb 2014 09:25 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama diselubungi dengan khabar angin mengenai masa depannya bersama Tan Boon Heong, Koo Kien Keat membuat keputusan mengejut semalam apabila menghantar surat keluar dari skuad negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria ketika dihubungi mengesahkan perkara itu sambil menyatakan surat yang dihantar Kien Keat itu berkuat kuasa 1 Mac depan.

"Benar, Kien Keat sudah menghantar surat itu hari ini (semalam) kepada BAM," katanya.

Bagaimanapun Mohamad Norza berkata, nasib Kien Keat tetap akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan (CSR) yang dipengerusikan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff minggu depan.

Foto

KIEN Keat (kanan) keluar dari BAM semalam sekali gus menjadikan nasib Boon Heong jadi tanda tanya.


"Walaupun dia (Kien Keat) sudah menghantar surat, semuanya tetap akan dibincangkan pada mesyuarat CSR hujung bulan ini.


"Kami sudah mendapat laporan semua pihak termasuk ISN (Institut Sukan Negara). Siapa gandingan Boon Heong juga akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti," katanya.

Secara peribadi Mohamad Norza berkata, beliau menerima keputusan Kien Keat itu tetapi juga berharap ada jalan penyelesaian terbaik diambil pada mesyuarat CSR itu nanti.

Kien Keat memulakan karier profesional pada usia 17 tahun dan beraksi saingan Piala Thomas 2004 bersama Chan Chong Ming. Mereka berdua meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia 2005.

Pemain berusia 29 tahun itu mula bergandingan dengan Boon Heong pada 2006 dan sejak itu, pelbagai kejayaan diraih termasuk menduduki ranking pertama dunia pada 2010.

Namun selepas itu, karier kedua-duanya agak merudum dengan kemuncaknya tersingkir seawal pusingan pertama pada saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan lalu sehingga mendorong BAM membekukan mereka berdua daripada menyertai mana-mana kejohanan termasuklah saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung 4 hingga 9 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Suhardi perah kudrat

Posted: 21 Feb 2014 08:59 AM PST

Kuala Lumpur: Kudrat pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2005, Suhardi Hassan dituntut kembali bagi memperkuatkan barisan pelumba negara yang akan bersaing dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-19.

Perlumbaan yang akan bermula secara rasminya di Langkawi pada 27 Februari ini menyaksikan kombinasi muka lama dan baru dengan Suhardi yang menggalas tugas kapten akan menjadi 'abang' kepada pelumba negara.

Pemilihan Suhardi yang dianggap sebagai pelumba paling senior bukanlah satu kejutan apabila dia mempamerkan peningkatan mendadak dengan beraksi cemerlang ketika Jelajah Filipina, minggu lalu bagi membolehkannya disenaraikan jurulatih kebangsaan Aminuddin Sulaiman.

Bagi Aminuddin, skrip sama seperti tahun sebelumnya iaitu puncak Genting Highlands yang bakal menjadi hala tuju kejuaraan, menjadi faktor untuk dirinya menyenaraikan Suhardi yang akan bergandingan dengan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi dan Mohammad Rauf Nur Misbah.

Foto

SUHARDI galas tugas kapten pelumba negara.


"Pengalaman yang Suhardi miliki boleh membantu skuad ini terutama ketika pendakian atau pemecahan.


"Dia juga dilihat boleh mengemudi barisan pelumba terutama muka baru iaitu Amirul Anuar Jefri untuk meraih mata di zon pecutan selain dia sendiri mampu melakukan kejutan sekiranya berlaku pemecahan ketika perlumbaan berlangsung," kata Aminuddin selepas majlis pengumuman pelumba negara dan tajaan UFL di sini, semalam.

Selaku ketua pasukan, Suhardi menggalas tugas besar untuk membimbing pelumba muda selain mencapai sasaran ditetapkan - untuk berada dalam kedudukan 15 terbaik keseluruhan dan tiga terbaik Asia.

Skuad negara mempertaruhkan tiga pelumba pendaki Fauzan, Rauf dan Rizual selain menampilkan dua muka baru Amirul dan Abdul Rashid Ibrahim yang berpotensi di zon pecutan.

Pengumuman itu dilakukan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab di Ibu Pejabat LTdL, Bukit Jalil, semalam.

Sementara itu Abu Samah memaklumkan, tiada campur tangan dalam pemilihan kali ini dan Aminuddin diberi kuasa penuh memilih pelumba.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Tugas sukar pilih pemenang: Moses

Posted: 21 Feb 2014 08:58 AM PST

Kuala Lumpur: Memilih pemenang tujuh kategori dalam Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 satu tugas yang mencabar bagi jawatankuasa pemilihan, kata Pengerusi Akademi Sukan Dunia Laureus, Edwin Moses.

Beliau berkata, ini kerana sukar untuk mengiktiraf pencapaian atlet dan pasukan dalam kalendar sukan antarabangsa bagi 2013 berikutan kehebatan calon dalam bidang sukan masing-masing.

"Kami tidak mempunyai idea siapa yang bakal berada dalam senarai pemenang," kata Moses selepas melawat Istana Budaya di Jalan Tun Razak di sini, venue anugerah pada 26 Mac ini, di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membawa Moses melawat venue anugerah edisi ke-15 itu.

Moses, pemenang emas acara 400 meter lari berpagar pada Sukan Olimpik Montreal 1976 dan Sukan Olimpik Los Angeles pada 1984, berkata, pihaknya akan mengumumkan nama calon dalam tujuh kategori berbeza, Rabu ini.

Tujuh kategori itu ialah Atlet Lelaki Terbaik Dunia, Atlet Wanita Terbaik Dunia, Pasukan Terbaik Dunia, Anugerah Cemerlang Dunia, Anugerah Kemunculan Semula Dunia, Anugerah Kesukanan Dunia untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan Anugerah Aksi Kesukanan Dunia Laureus.

Kuala Lumpur menjadi negara Asia Tenggara pertama diberi penghormatan menjadi tuan rumah Anugerah Sukan Dunia Laureus, anugerah berprestij yang menghimpunkan ramai bintang sukan terkemuka.

"Jika melihat kategori pasukan, mungkin pasukan ragbi All-Blacks dari New Zealand dan pasukan bola keranjang Miami Eagles dari Amerika Syarikat dicalonkan atas pencapaian baik tahun lalu.

"Bagi kategori individu, pelumba Formula Satu (F1), Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull memiliki rekod mantap apabila muncul juara dunia untuk tiga tahun berturut-turut," katanya.

Mengenai lawatannya ke Istana Budaya, Moses menyifatkan venue itu sebagai unik, sambil menjanjikan majlis anugerah tersebut akan menjadi satu kenangan.

- BERNAMA

Foto

MOSES (kiri) ketika sidang media Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

MGF perlu dibantu

Posted: 21 Feb 2014 08:56 AM PST

Kuala Lumpur: Jurulatih gimnastik negara Nurul Fatiha Abd Hamid (gambar) bersetuju negara kini ketandusan atlet pelapis yang berwibawa dalam sukan gimnastik.

Kelmarin, Arena Metro mendedahkan mengenai kegagalan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dalam melahirkan atlet pelapis negara dengan sukan ini dulunya antara yang banyak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Saya akui prestasi pasukan gimnastik negara kita tidak sehebat dulu.

Selepas berakhirnya Sukan Komanwel pada 1998, ada saja wakil atlet dari negara kita yang menyertai pelbagai kejohanan hingga ke Olimpik.

"Sekarang memang nampak penurunan, sama ada acara gimrama atau artistik.

Saya tak boleh nak komen lebih, cuma apa yang saya lihat ketika ini kurangnya kerjasama pihak lain dalam membangunkan sukan ini.

"Persatuan negeri dan badan swasta perlulah membantu MGF.


Jika semua pihak bekerjasama dan kurangkan masalah di peringkat dalaman, saya yakin sukan ini dapat bangkit kembali," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Tambah Fatihah, kurangnya kejohanan di dalam negara turut menjadi punca utama sukarnya bakat baru dicungkil.

"Bila kurangnya kejohanan di peringkat remaja, susah sebenarnya bagi kita mengesan remaja atau mereka yang berpotensi untuk diketengahkan.

"Saya harap pihak MGF selepas ini lebih serius dalam membentuk pelan pembangunan lebih berkesan kerana misi utama kita sekarang membentuk barisan gimnas yang hebat ke arah Sukan SEA 2017 apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

"Walaupun, masih awal, kerja-kerja itu harus bermula sekarang supaya negara kita boleh mendominasi acara ini nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

MHC bida tuan rumah Piala Remaja Asia

Posted: 21 Feb 2014 08:51 AM PST

Kuala Lumpur: Malaysia sudah membuat bidaan untuk menganjurkan kejohanan hoki Piala Remaja Asia pada tahun depan yang menjadi pentas kelayakan untuk setiap pasukan benua ini beraksi di pentas Piala Dunia Remaja 2016.

Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Mohd Johari Abdul Aziz berkata, permohonan untuk bidaan itu sudah diserahkan kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF) baru-baru ini yang mempunyai hak untuk menentukan negara mana layak menganjurkan kejohanan itu.

"Memandangkan kita tidak menganjurkan kejohanan besar tahun depan, MHC dengan persetujuan Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) bersetuju membida menjadi tuan rumah saingan Piala Remaja Asia tahun depan.

"Kami berharap bidaan ini akan menjadi kenyataan dan sekali lagi bakal menyaksikan pasukan Asia lain beraksi di negara ini," katanya.

Mohd Johari berkata, mengikut perancangan awal, MHC akan menganjurkan kejohanan itu di Kuantan, Pahang sebagai pilihan pertama dengan Melaka diletakkan pilihan kedua.

"Kita tidak meletakkan lokasi kejohanan itu pada permohonan yang dihantar kepada AHF, sekadar menyatakan berminat untuk menganjurkannya," katanya.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan kejohanan itu adalah pada 2012 di Melaka yang menyaksikan skuad negara di bawah bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah ketika itu mencipta sejarah apabila muncul juara buat kali pertama.

Piala Remaja Asia satu-satunya saingan yang menawarkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2016 di India.

Foto

JOHARI (kanan) pada mesyuarat lembaga eksekutif MHC di The Royal Chulan Hotel dipengerusikan Tengku Abdullah (dua dari kanan).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

SSBJ gagal manfaat kelebihan

Posted: 21 Feb 2014 08:49 AM PST

Kuala Lumpur: Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) gagal memanfaatkan kelebihan satu gol apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan terikat 1-1 ketika bertemu Persatuan Old La Sallians Klang (Olak-PKT) pada perlawanan play off Piala Milo di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Keputusan seri itu bagaimanapun cukup untuk Olak-PKT layak beraksi pada saingan Divisyen Satu musim depan dan melangkah ke suku akhir untuk merebut gelaran keseluruhan, minggu depan.

Olak-PKT sudah beraksi di Divisyen Dua sejak 2009 dan selepas menewaskan Nur Insafi 4-1 pada Khamis lalu di Dalam Kumpulan X, mereka perlu menunggu sama ada layak untuk beraksi pada final play off Divisyen Dua.

Bagi BJSS, mereka perlu menewaskan Nur Insafi hari ini dengan jaringan empat gol untuk bertemu juara Kumpulan Y pada perlawanan play off.

BJSS berada di depan pada minit ke-20 selepas Abdul Syafiq menjaringkan gol padang tetapi Olak-PKT menyamakan kedudukan menerusi Shafieq Dzulkifly dari jarak dekat lima minit sebelum tamat perlawanan.

"Kami beraksi kurang matang selepas mendahului lawan dan perlu beraksi lebih baik jika mahu melangkah ke final Ahad ini (esok) dan perlu menewaskan Nur Insafi bagi membolehkan kami layak beraksi dalam Divisyen Satu, tahun depan," kata jurulatih BJSS S Prakash.

Enam pasukan dari Divisyen Dua dibahagikan kepada dua Kumpulan iaitu X dan Y dengan juara pada saingan round robin itu layak beraksi pada final esok manakala naib juara kumpulan melangkah ke suku akhir Piala Milo dan turut layak beraksi di Divisyen Satu tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

'Negara nombor satu'

Posted: 21 Feb 2014 08:48 AM PST

Kelana Jaya: "Tugasan negara lebih penting daripada masalah peribadi, sepatutnya pemain perlu berbangga apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan kerana ia satu penghormatan."

Itu pandangan diberikan bekas pemain negara Khalid Ali mengenai isu penyerang Norhshahrul Idlan Talaha yang gagal menghadiri latihan skuad kebangsaan Rabu lalu.

Menurut Khalid, pemain yang menyarung jersi negara selama 9 tahun dalam tempoh 1976-1985, beliau tidak mengetahui situasi sebenar dilalui Norshahrul sehingga tidak melaporkan diri bersama skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Namun berdasarkan pengalamannya sebagai pemain, beliau amat menghargai setiap tugasan diberikan dan akan sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk bersama skuad kebangsaan.

Foto

SAFEE (kanan) giat berlatih berlatih bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan dengan Filipina.


"Dulu apabila pemain dipanggil menyertai skuad kebangsaan, kami akan berasa cukup berbangga kerana itu satu penghormatan besar. Jika ada pemain mempunyai masalah, ketepikan atau selesaikan dulu kerana tugas bersama skuad kebangsaan penting, kita tidak boleh ambil mudah.


"Bayangkan daripada 29 juta rakyat Malaysia, kita antara 25 pemain yang dipanggil untuk mewakili negara. Itu satu penghormatan yang cukup besar. Mungkin dia (Norshahrul) ada masalah dan alasan tersendiri jadi terpulang kepadanya untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ketiadaan Norshahrul, 27, menjalani latihan skuad kebangsaan Rabu lalu mencetuskan persoalan sama ada dia benar-benar berminat ataupun mempunyai alasan benar-benar kukuh untuk meminta pengecualian.

Pengurus pasukan Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan Norshahrul tidak dapat bersama skuad kebangsaan bukan saja atas alasan menunaikan umrah pada 3 Mac, tetapi turut mempunyai alasan peribadi yang tidak dapat didedahkannya kepada umum.

Khalid mengakui ketiadaan Norshahrul yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta'zim memberikan satu kerugian besar kepada Harimau Malaya yang bakal berdepan Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa pada 1 Mac dan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman, 5 Mac.

"Skuad negara memang memerlukan khidmatnya kerana dia penyerang terbaik ketika ini seperti Safee (Sali) dan Amri (Yahyah). Tapi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak boleh ambil tindakan kepadanya kerana tugas mewakili negara ini sukarela, tiada undang-undang untuk memaksa seseorang pemain mewakili negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Safee sedia galas tugas tanpa Mat Yo

Posted: 21 Feb 2014 08:42 AM PST

Kelana Jaya: Penyerang negara Mohd Safee Sali bersedia menggalas tugas penting biarpun terpaksa melupakan hasrat untuk kembali bergandingan bersama dengan Norshahrul Idlan Talaha yang diberikan pelepasan daripada menyertai skuad kebangsaan.

Safee, 30, yakin sudah kembali mendapat keyakinan selepas beraksi dalam beberapa perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M) selepas beberapa kali dihimpit kecederaan musim lalu.

"Ketiadaan Mat Yo (Norshahrul) dirasai kerana dia dengan saya sudah membentuk persefahaman yang lama, tapi saya percaya jurulatih mempunyai pilihan pemain lain bagi menggantikan tempat Mat Yo," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan.

Selepas ketiadaan rakan sepasukannya di Johor DT itu, Safee kemungkinan bakal bergandingan bersama Bobby Gonzales, Mohd Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani atau Baddrol Bakhtiar yang berada dalam senarai pemain penyerang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee kali ini.

Menurut Safee, dia tidak mempunyai masalah bergandingan dengan mana-mana pemain kerana apa yang penting dapat diturunkan dalam misi getir menentang Yaman dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac ini selepas diketepikan ketika Malaysia menang 2-1 di Stadium Shah Alam pada pertemuan pertama tahun lalu.

Sebelum aksi dengan Yaman, Safee mahu mendapatkan kembali sentuhan berbisanya jika diberi peluang bermain menentang Filipina pada perlawanan persahabatan antarabangsa 1 Mac ini.

"Bagi saya keyakinan itu sangat penting dan sudah bersedia untuk beraksi tidak kira diturunkan dalam kesebelasan utama atau simpanan.

Apa yang pasti pertemuan dengan Filipina menjadi medan terbaik untuk menguji keupayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Red Giants turun barisan terkuat

Posted: 21 Feb 2014 08:41 AM PST

Kuala Lumpur: Keempat-empat awang import Selangor disahkan bakal diturunkan pada pertemuan sulung Red Giants dalam kempen Piala AFC menentang wakil Indonesia, Arema Cronus di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa ini.

Penolong jurulatih Selangor P Maniam berkata, hasil daripada perbincangan bersama ketua jurulatih Mehmet Durakovic kesemua pemain import skuad Merah Kuning akan disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan itu.

"Kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan cergas.

Tidak ada kecederaan serius yang mengganggu pasukan ketika ini.

Kami juga akan menurunkan empat import kita bagi pertemuan itu nanti kerana peraturan pertandingan membolehkannya.

"Kelab Arema itu kelab kuat di Indonesia.


Jadi kita perlu turunkan barisan terkuat dalam memburu kemenangan di halaman sendiri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selangor musim ini diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import baru iaitu Paulo Rangel, Steve Pantelidis, Junior Aparecido dan Andik Vermansyah yang dilihat permata baru buat bekas juara Piala Malaysia 32 kali itu.

Kehadiran penyerang dari Brazil Paulo Rangel dalam pasukan Selangor nyata pembelian cukup berbaloi apabila penyerang itu muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan lima gol setakat ini.

"Kita mahukan permulaan yang baik dalam kempen AFC, jadi sasaran utama kita kemenangan.


Kehadiran kembali tiga pemain yang menjalani latihan skuad kebangsaan ketika ini ketua pasukan Bunyamin Omar, Farizal Marlias serta S Kunalan pasti menambah kekuatan pasukan," katanya.

Selain Selangor yang mewakili negara pada kempen Piala AFC kali ini, juara Piala FA musim lalu Kelantan bakal turun menentang Yangon United di Myanmar, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

Rangel gila 'thrash-metal'

Posted: 21 Feb 2014 08:37 AM PST

Jika tidak bola sepak, cerita yang keluar dari mulutnya mesti mengenai muzik dan pembelajaran harian anak-anaknya di sekolah.

Bagi Maria Cristina Rangel, dia bangga memiliki suami seperti Paulo Rangel yang bersifat penyayang selain tidak cepat melenting setiap kali melayan kerenah anak-anak apabila berada di rumah.

"Balik saja daripada latihan bola sepak, dia terus pulang ke rumah untuk berehat bersama keluarga. Perkara pertama yang dilakukannya ialah menemui anak-anak, makan beberapa biji pisang dan menikmati jus buah-buahan.

"Dia tidak merokok atau melepak di luar bersama rakan-rakan. Dia seorang bapa dan suami yang bertanggung­jawab. Saya menyenangi tingkah laku­nya di luar dan dalam padang. Saya tidak fanatik terhadap bola sepak tetapi saya suka melihat Paulo menjaringkan gol dan membantu pasukannya menang. Jangan kata saya penyokong mana-mana kelab di Brazil kerana saya peminat Sela­ngor," katanya sambil ketawa mengenai suaminya itu yang mesra dengan panggilan 'Amor' atau 'Sayang'.

Foto

RANGEL bersaing dengan pemain Pahang, Azamuddin Akil pada perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Foto

KELUARGA bahagia Rangel serta Maria bersama anak mereka.

Foto

MARIA membelek album foto perkahwinan mereka.


Maria, 32, berasal dari Maranhao yang terletak di timur laut Brazil. Tempat kelahirannya itu pernah menjadi lokasi penggambaran filem sains fiksyen tekno India bertajuk Enthiran dibintangi Aishwarya Rai dan Rajnikanth pada 2010.


Dia mendirikan rumah tangga bersama Paulo lapan tahun lalu. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Pedro, 7, dan Anna, 3. Maria juga memiliki se­orang anak perempuan berusia 13 tahun, Bianca hasil perkahwinan pertamanya.

Paulo berasal dari Belem, tempat kelahiran kapten legenda Brazil, Socrates dan adiknya, Rai begitu dikenali peminat bola sepak di serata dunia.

"Saya rasa tidak perlu bercerita mengenai pertemuan kami kerana ia berlaku disebabkan bola sepak. Paulo banyak bermain di luar Brazil terutamanya di Portugal, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perak dan sekarang, Selangor. Sejak berkahwin, saya mengikutnya ke mana saja dia pergi. Saya tidak suka tinggal berseorangan. Paulo mesti ada bersama dua anak kami.

"Pedro juga diberi pendidikan bersesuaian dengan latar pe­ngembaraan kami. Dia akan memasuki sekolah antarabangsa minggu depan.

"Dia juga meminati bola sepak dan kelab Flamengo seperti Paulo," katanya.
Kata Maria, Paulo meng­gemari muzik 'thrash-metal', 'heavy-metal' dan muzik subgenre Samba dikenali 'Pagode'.

"Dia meminati kumpulan Sepultura berasal dari Brazil serta Steve Har­ris yang juga pemain gitar bass Iron Maiden. Selain itu, Paulo meminati perlumbaan Formula Satu (F1). Dia bercadang membeli tiket menyaksikan perlumbaan musim ini di Sepang pada penghujung Mac. Dia suka permotoran, meskipun Brazil tidak lagi menghasilkan juara dunia seperti Nelson Piquet, mendiang Ayrton Senna dan bekas pemandu Ferrari, Rubens Barrichello tetapi Paulo mahu melihat Felipe Massa mewakili pasukan Wil­liams bertarung di Sepang musim ini."

Ditanya penampilan suaminya bersama Selangor dengan enam gol setakat ini, Maria berkata: "Dia masih ingat pasukan Perak tapi sebagai pemain profesional, fokus sekarang bersama Selangor. Bagi­nya, kehadiran ribuan pe­nyokong Perak dan Selangor di stadium sendiri sama hebat seperti di Brazil dan Portugal. Paulo mahu melihat Malaysia maju kerana kedudukan negara ini di garisan Khatulistiwa, dengan cuaca, hujan dan buah-buahan sama seperti di Brazil.

"Bagi Paulo, Malaysia ada infrastruktur, memiliki stadium dan penyokong fanatik, jadi kekuatan mental pemain dan pengurusan perlu diberi perhatian lebih serius. Dia hanya mengatakan kanak-kanak di sini mewah bermain bola berjenama sedangkan kanak-kanak di Brazil terpaksa meng­gulung stokin lama bapa atau datuk sehingga cukup menjadi saiz sebiji bola untuk disepak di lorong-lorong. Senario itu tidak kelihatan di sini".

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

No comments:

Post a Comment