Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kuasa di tangan Amin

Posted: 24 Feb 2014 01:29 PM PST

Kuala Lumpur: Dipalit dengan pelbagai kontroversi berikutan campur tangan pihak pengurusan sehingga dilabelkan sebagai punca kegagalan skuad lebuh raya negara mendorong Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab untuk memberi kuasa penuh kepada jurulatih negara Aminuddin Sulaiman membuat pilihan pelumba.

Abu Samah berkata, pemilihan enam pelumba yang akan menggalas tugas di Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula Jumaat ini dibuat berdasarkan penilaian penuh Aminuddin.


Justeru, Abu Samah menegaskan beliau tidak mahu dipersalahkan dalam pemilihan pelumba negara sekiranya skuad kebangsaan gagal untuk menyerlah di LTdL.

"Saya tidak mahu kegagalan itu nanti dikaitkan dengan campur tangan pihak pengurusan seperti yang pernah timbul sebelum ini," katanya. Bagaimanapun, Abu Samah berharap skuad enam pelumba itu mampu melakar impak biarpun sedar penentuan juara akan ditentukan di puncak Genting Highlands. "Saya beri kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada Aminuddin untuk memilih pelumba yang dirasakan layak. Kalau beliau memilih pelumba A, maka kami akan memberikan lampu hijau untuk pelumba itu dipilih.


"Saya tidak mahu kalau gagal nanti ada yang mengatakan ada campur tangan daripada pihak pengurusan. Justeru keputusan memilih enam pelumba ini di bawah pemilihan Aminuddin sepenuhnya," katanya.


Perlumbaan berstatus Hors terbesar Asia itu akan memulakan saingannya membabitkan 10 peringkat di Pulau Langkawi, Jumaat ini.

Foto

BARISAN pelumba negara yang akan beraksi pada LTdL edisi ke-19.

Saingan membabitkan enam pasukan profesional Belkin Pro Cycling, Astana, Orica Greenedge, Katusha, Tinkoff-Saxo dan Europcar yang disifatkan sebagai perlumbaan paling berprestij sepanjang 19 edisi kejohanan itu.


Skuad negara akan diketuai Suhardi Hassan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Muhamad Rauf Nur Misbah, Mohd Nor Rizuan Zainal, Amirul Anuar Jefri dan Abdul Rashid Ibrahim. Abu Samah berkata, pemilihan enam pelumba itu diputuskan Aminuddin daripada 12 pelumba yang disenarai pendek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Misi sukar United

Posted: 24 Feb 2014 10:29 AM PST

London: Selepas impian menduduki empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris dilihat semakin tipis, Manchester United akan turun pada perlawanan pertama, pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi esok bertemu Olympiakos dengan mengharapkan keputusan positif.

Bukan sekadar satu-satunya harapan untuk memenangi piala pada musim ini, namun skuad bimbingan David Moyes itu mungkin perlu memenangi Liga Juara-Juara untuk layak secara automatik ke pentas Eropah musim depan.


United kini ketinggalan 11 mata di belakang Liverpool yang menduduki tangga keempat liga dan dengan hanya berbaki 11 perlawanan musim ini, untuk layak menerusi kedudukan empat terbaik saingan liga, tampak mustahil.

United hanya menang empat daripada 11 perlawanan sejak awal 2014, tetapi Liga Juara-Juara dilihat memberi harapan kepada mereka di sebalik aksi hambar dalam saingan domestik.


Mereka mengungguli Kumpulan A selepas mencatat empat kemenangan dan seri dua kali daripada enam perlawanan selain mencatat kemenangan meyakinkan 4-2 serta 5-0 ke atas Bayer Leverkusen.


Ketika Arsenal dan Manchester City tewas perlawanan pertama kepada Bayern Munich dan Barcelona, masih belum ada bayangan siapakah yang layak beraksi di pentas final, 24 Mei ini di Lisbon.

"Hanya satu pasukan akan menang dan ia sememangnya amat sukar.


"Ia adalah piala yang sukar dimenangi pemain lebih daripada sekali.

"Mungkin ada beberapa pemain yang pernah memenangi piala ini lebih daripada sekali, tapi ia sangat istimewa dan mahu dimenangi oleh setiap pemain pada setiap tahun.


"Namun setiap tahun ia semakin sukar kerana setiap pasukan mempamer aksi lebih baik. Jadi agak sukar jika anda mahu memenangi piala yang diimpikan oleh setiap pemain," kata penyerang Manchester United, Robin van Persie. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Klopp janjikan kebangkitan Dortmund

Posted: 24 Feb 2014 10:28 AM PST

Saint Petersburg, Russia: Borussia Dortmund akan turun pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan dihantui kekalahan pada saingan Bundesliga selain masalah kecederaan.

Naib juara Liga Juara-Juara tahun lalu itu tewas mengejut 0-3 kepada Hamburg Sabtu lalu serta kehilangan khidmat pemain tengah Sven Bender bagi tempoh 10 minggu kerana radang pelvis.


Jurulatih Dortmund, Juergen Klopp berjanji membantu pasukannya bangkit semula di Saint Petersburg.

"Keadaan pasti akan berbeza di sana," kata Kloop sebelum penerbangan ke Russia.


Zenit mempunyai barisan pemain yang mampu mengundang masalah kepada Dortmund antaranya penyerang Brazil, Hulk dan bekas pemain tengah Arsenal, Andrei Arshavin.


"Kami bersedia. Kelebihan kami adalah semangat juang tinggi semua pemain," kata pemain tengah Zenit, Anatoliy Tymoshchuk.

Pengarah sukan Zenit, Dietmar Beiersdorf menyaksikan perlawanan ketika Dortmund tewas kepada Hamburg.


"Sudah tentu Borussia Dortmund masih pasukan pilihan.

"Pasukan ini mempunyai reputasi bagus di Russia. Ia satu cabaran besar kepada kelab dan barisan pemain," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Mesin gol Reds

Posted: 24 Feb 2014 10:28 AM PST

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menghamburkan pujian terhadap Daniel Sturridge selepas penyerang England itu menyumbat dua gol ketika kemenangan dramatik 4-3 ke atas Swansea City, kelmarin.

Sturridge menyamai rekod bekas penyerang Manchester United, Ruud van Nistelrooy menjaringkan gol dalam lapan perlawanan Liga Perdana berturut-turut apabila dia membantu pasukan tangga keempat Liverpool merapatkan jurang kepada empat mata berbanding pendahulu Chelsea.


"Dia seorang penjaring gol sejati," kata Rodgers. "Dia kelihatan seperti boleh menyumbat gol dalam setiap perlawanan.

"Dia mempunyai keupayaan, kualiti dan syukurlah dia bermain buat kami di sini dan dia masih boleh meningkat." Ketika trio pencabar kejuaraan Chelsea, Arsenal dan Manchester City semuanya menang Sabtu lalu, Rodgers berkata, Liverpool amat tertekan.


"Ini satu tempoh dalam musim yang mana anda mesti menang," ujarnya. "Inilah yang dikatakan mengenai profesionalisme pada tahap ini.


"Terutamanya apabila anda berada di atas sana untuk mencabar. Apabila setiap kelab menang hari sebelumnya, sekalipun anda cuba mengekang tekanan itu, anda berasa anda mesti menang secara mental dan fizikal." Liverpool kelihatan meniti laluan mudah di Anfield selepas jaringan awal Sturridge dan Jordan Henderson membolehkan mereka mendahului 2-0.

Dua gol pantas bekas pemain tengah Liverpool, Jonjo Shelvey dan Wilfried Bony menyamakan kedudukan buat Swansea sebelum Sturridge meledak gol kedua sebelum rehat.


Bony membalas menerusi sepakan penalti pada minit ke-47 namun Henderson meraih gol keduanya sekali gus gol kemenangan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Laluan makin sukar: Sherwood

Posted: 24 Feb 2014 10:27 AM PST

Norwich, England: Kekalahan 0-1 Tottenham Hotspur kepada Norwich City kelmarin menyukarkan impian mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan, menurut pengurus Tim Sherwood.

Sherwood bagaimanapun enggan menyalahkan kunjungan Spurs ke Ukraine bagi kempen Liga Europa pada pertengahan minggu lalu sebagai punca kekalahan itu.


Robert Snodgrass tenang menyempurnakan gol pada babak kedua dan walaupun banyak peluang dicipta Tottenham, keputusan itu mungkin lebih teruk jika sepakan percuma jarak jauh pemain Scotland itu tidak terkena palang gol pada lewat permainan.

Spurs di tangga kelima dalam carta Liga Perdana, enam mata di belakang Liverpool yang menghuni kedudukan terakhir layak ke Liga Juara-Juara selepas mereka mengalahkan Swansea City 4-3 pada perlawanan menarik di Anfield.


"Ia tamparan paling hebat saya alami (sejak memegang jawatan itu) dan kami perlu mengembalikan semangat serta membuktikan apa yang kami boleh lakukan," kata Sherwood, yang mengambil alih daripada Andre Villas-Boas Disember lalu.


Ditanya mengenai jurang enam mata berbanding Liverpool, beliau berkata: "Ia kelihatan besar. Ia tamparan hebat buat kami, tapi kami perlu bangkit dan memerlukan karakter dalam bilik persalinan untuk mampu melakukannya." Spurs sudah kalah lima daripada sembilan perlawanan dilalui mereka selepas kempen Liga Europa, terbaru menentang Dnipropetrovsk Khamis lalu, namun beliau tidak mahu menjadikannya sebagai alasan kekalahan kelmarin. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Rebah di El Sadar

Posted: 24 Feb 2014 10:27 AM PST

Madrid: Atletico Madrid terlepas peluang menyertai Real Madrid di puncak La Liga apabila mereka kecundang 0-3 kepada Osasuna di El Sadar, awal pagi semalam.

Tuan rumah bermula sempurna apabila Alvaro Cejudo mengambil kesempatan berikutan kurang kawalan untuk merembat masuk sepakan voli seawal minit keenam.


Osasuna menggandakan kelebihan selepas 21 minit apabila tendangan kaki kiri Emiliano Armenteros menerjah jaring sebelum Roberto Torres melengkapkan jaringan dengan menanduk masuk gol ketiga sebaik sebelum rehat.

Atletico kini ketinggalan tiga mata di belakang Real, namun boleh menyamakan kedudukan itu apabila mereka menanti kunjungan Los Blancos di Vicente Calderon Ahad ini.


"Osasuna bekerja keras dan mengejutkan kami dengan dua serangan pertama mereka, yang disempurnakan dengan baik," jelas bos Atletico, Diego Simeone.


"Kami bertindak lebih baik pada babak kedua, tapi kami gagal mendapatkan gol yang mampu mengembalikan semula saingan kami.

"Apabila lawan lebih bagus saya mengucapkan tahniah kepada mereka. Osasuna bermain dengan amat bagus." Terdahulu, Athletic Bilbao mengekalkan kedudukan di tangga keempat apabila menang 2-0 ke atas Real Betis yang beraksi sembilan pemain di gelanggang lawan.


Iker Muniain meletakkan Athletic di depan sebelum Damien Perquis dan Lorenzo Reyes dibuang padang kerana meraih kad kuning kedua.

Penyerang muda berusia 20 tahun, Guillermo Fernandez memastikan tiga mata dengan gol pertamanya buat pasukan senior sembilan minit sebelum tamat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Tevez bantu Juve kekal takhta liga

Posted: 24 Feb 2014 10:26 AM PST

Rome: Carlos Tevez menjaringkan gol ke-14 liga untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Torino pada pertembungan jiran setempat sekali gus membantu Juventus mengekalkan pendahuluan sembilan mata di depan pasukan tangga kedua AS Roma, awal pagi semalam.

Roma yang beraksi kurang satu perlawanan mengurangkan jurang kepada enam mata selepas menang 1-0 ke atas Bologna di gelanggang lawan, kelmarin.


Bagaimanapun, jaringan menakjubkan Tevez yang menyambut hantaran Kwadwo Asamoah dari kiri sebelum mengatasi Daniele Padelli menerusi rembatan separa voli selepas setengah jam, ternyata cukup buat anak buah Antonio Conte meraih kemenangan ke-17 berturut-turut.

Torino tidak menundukkan Juventus dalam liga sejak menang 2-1 pada 1995 dan Juve tidak kalah dalam 16 perlawanan liga yang menyaksikan 43 gol.


Terdahulu, Adel Taarabt dan Adil Rami menjaringkan gol pada setiap babak untuk membantu AC Milan menang 2-0 ke atas Sampdoria yang beraksi dengan 10 pemain sekali gus membantu kebangkitan kelab gergasi Serie A itu.


Milan hanya kalah sekali dalam liga di bawah kendalian Clarence Seedorf dan kemenangan kedua mereka berturut-turut selepas kalah 1-3 kepada Napoli dua minggu lalu.

Lebih manis musuh setempat mereka Inter seri 1-1 dengan kelab bermasalah Cagliari di San Siro. Ia keputusan seri ke-10 Nerazzurri musim ini, catatan yang hanya dikongsi Cagliari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Day atasi saingan sengit Dubuisson

Posted: 24 Feb 2014 10:25 AM PST

Marana, Arizona: Jason Day mengatasi cabaran menakjubkan pemain Perancis, Victor Dubuisson sebelum meraih kejuaraan terbesar kariernya dengan kemenangan 1-up selepas 23 lubang pada perlawanan akhir Kejohanan Match Play Dunia WGC-Accenture, semalam.

Sesudah mendahului selesa 3-up selepas 12 lubang di Dove Mountain, pemain Australia itu dikejar Dubuisson yang melakar birdie pada lubang ke-13 dan 17, diikuti par menakjubkan dari bunker sebelah green pada lubang ke-18.


Dubuisson kemudian bersaing hebat pada lubang ke-19 dan 20 sebelum Day melengkapkan kemenangan dengan membenam birdie dari jarak empat kaki pada saingan lubang ke-23, lubang ke-15 par-empat.

Pemain Perancis itu yang terlepas green ke arah kanan tee melakukan pukulan lob tinggi 20 kaki melepasi lubang dan terlepas putt birdie sebelum pemain Australia itu memastikan kejuaraan.


"Saya tidak pernah menginginkan sesuatu yang buruk dalam kehidupan," kata Day, 26, selepas merangkul cek pemenang sebanyak AS$1.53 juta (RM5.02 juta).


"Perkara paling utama sejauh mana saya mahukan kemenangan? Saya berterusan mengingatkan diri sendiri malam tadi, membayangkan saya memeluk trofi itu. Saya bangga dapat menjulangnya," - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Seperti irama dan lagu

Posted: 24 Feb 2014 10:25 AM PST

Kuala Lumpur: Bagaikan irama dan lagu. Jika dipisahkan maka hilanglah irama dan pincanglah lagu.

Mungkin perumpamaan itu dapat disamakan dengan pasukan futsal wanita tempatan, REM FC yang sentiasa mewarnai pertandingan dalam negara walau di mana saja dianjurkan.


Begitu jugalah dengan penyertaan pasukan itu pada Karnival Futsal Harian Metro edisi Lembah Klang apabila mereka menghantar lima pasukan bagi menyertai pertandingan anjuran akhbar nombor satu negara itu.

Hasilnya daripada lima pasukan, REM FC A berjaya menjuarai kategori Terbuka Wanita selepas menewaskan Phoenix TGF A 1-0 pada aksi final di Uptown Sports Bandar Baru Bangi, kelmarin.


Pengurus REM FC Anis Maizura Ibrahim berkata, sasaran awal diletakkan pihak pengurusan kepada pasukannya hanya untuk layak ke separuh akhir.


Namun aksi cemerlang yang dipamerkan REM FC A serba sedikit menyelamatkan maruah skuadnya pada penampilan kali ini.

"Sebelum ini kami pernah muncul juara Grand Final Harian Metro pada 2012.


"Status sebagai juara itu tidak langsung memberi tekanan kerana kami hanya meletakkan sasaran awal untuk layak ke separuh akhir. "Selepas itu baru kami fikirkan bagaimana caranya merebut gelaran juara," katanya.

Menceritakan mengenai asal usul penubuhan REM FC, Anis berkata, beliau tidak menyangka dalam tempoh singkat pasukannya mampu melahirkan ramai pemain terbaik yang kini majoritinya mewakili pasukan negeri dan negara.


"Pasukan kami ditubuhkan pada 2010 dengan diasaskan oleh bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Ramlan Askolani dan nama REM FC itu diambil sempena nama beliau.


"Alhamdulillah, dalam tempoh empat tahun pasukan kami berjaya melahirkan ramai pemain wanita bagi mewakili negeri dan negara. "Jika tidak silap saya hampir 20 pemain kami yang kini bermain bersama pasukan negeri dan kelab profesional.


"Apapun, pencapaian ini bukan penamat bahkan kami akan terus berusaha melahirkan lebih ramai lagi pemain wanita berbakat untuk diketengahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Penat punca Bertam Ulu tewas

Posted: 24 Feb 2014 10:24 AM PST

Kuala Lumpur: Kepenatan menjadi punca Bertam Ulu FC gagal muncul juara kategori Terbuka Lelaki apabila tumpas kepada MAC di final Karnival Futsal Harian Metro edisi Lembah Klang, kelmarin.

Menurut ketua pasukan Jamaluddin Alias, mereka sebenarnya baru pulang dari Jakarta kerana mewakili Malaysia di Kejohanan Jemputan Antarabangsa Mai-Futsal sebelum menyertai kejohanan anjuran akhbar nombor satu itu.


Dalam saingan di Indonesia itu mereka tewas di peringkat awal.

"Balik saja dari Jakarta, kami terus datang ke sini untuk menyertai pertandingan ini kerana kami rasa tidak lengkap jika tidak menyertai kejohanan anjuran Harian Metro.


"Justeru, atas faktor keletihan itu saya berasakan kami tidak dapat mempersembahkan aksi terbaik di perlawanan akhir.


"Walaupun kami menguasai sebahagian besar aksi perlawanan, benteng pertahanan serta ketangkasan penjaga gol lawan banyak mengecewakan kami," katanya.

MAC menang aksi final di Uptown Sports itu menerusi sepakan penalti 4-3.


"Saya ucapkan tahniah kepada MAC atas kejayaan mereka. Mungkin kami boleh jumpa lagi di kejohanan akan datang. Siapa tahu, mungkin kali itu, kami pula pulang sebagai juara," katanya.

Selaku naib juara kategori Terbuka Lelaki, Bertam Ulu FC membawa pulang wang tunai RM3,000 serta pingat dan hadiah iringan.


Karnival Futsal Harian Metro Lembah Klang yang menawarkan hadiah keseluruhan RM26,900 itu menyaksikan Kumpulan AmBank sebagai penaja bersama manakala pembekal peralatan sukan Figos selaku rakan penaja.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

No comments:

Post a Comment