Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Usah risau Lukman!

Posted: 18 Feb 2014 10:07 AM PST

Kuala Lumpur: Lukman Hakim Ramlan yang menjadi atlet pertama layak secara merit ke Sukan Asia tahun ini tidak perlu risau kerana Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan memastikan peserta lompat jauh itu mendapat perhatian sewajarnya.

Timbalan Presiden KOM Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, Lukman akan dipanggil dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masa depannya.


Katanya, semangat ditunjukkan Lukman yang sanggup menangguhkan pelajarannya sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada sesi latihan sesuatu yang patut dipuji.

"Tidak ramai atlet yang mempunyai semangat sedemikian. Semangat ditunjukkannya satu petanda positif, jadi kita perlu cepat dalam membuat perancangan untuknya. "Namun masa depan Lukman banyak bergantung kepada Pengarah Kejurulatihan baru, Robert J Ballard yang akan menentukan hala tujunya.


"Tapi perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat minggu depan dan Lukman juga bakal dipanggil untuk membolehkan kami berbincang mengenai masa depannya," katanya. Lukman melakarkan kejutan dengan menjadi atlet olahraga pertama melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan 18 September hingga 27 Oktober ini.


Melakarkan lompatan sejauh 7.53 meter, Lukman melepasi syarat kelayakan 7.52m untuk layak secara merit ke temasya kedua terbesar itu ketika beraksi pada temasya Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT), minggu lalu.

Foto

LUKMAN lepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Tumpuan Reds tak terjejas

Posted: 18 Feb 2014 09:50 AM PST

Liverpool, England: Kapten Liverpool, Steven Gerrard percaya kekecewaan disingkirkan oleh Arsenal dalam saingan Piala FA tidak akan menjejaskan kempen Liga Perdana mereka kerana skuad Reds mempunyai kekuatan sama dengan pasukan pencabar kejuaraan yang lain.

Jaringan Alex Oxlade-Chamberlain dan Lukas Podolski menafikan peluang Reds melangkah ke suku akhir ketika Arsenal berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-5 dalam perlawanan Liga Perdana awal bulan ini hasil kemenangan 2-1 di Stadium Emirates Ahad lalu.


Namun biarpun mereka terpaksa melupakan satu kejuaraan, Gerrard menegaskan Liverpool harus fokus dalam misi mereka meraih gelaran. Mereka kini hanya ketinggalan empat mata dengan pendahulu liga Chelsea.

Menjelang kunjungan Swansea ke Anfield Ahad ini, Gerrard menyuarakan keyakinan Liverpool boleh menewaskan mana-mana pasukan jika mereka beraksi pada tahap sebenar.


"Tidak ada apa yang perlu dikesalkan. Kadang kala anda tidak dapat apa anda sepatutnya dapat dalam perlawanan itu dan ini antara contohnya," katanya.


"Kami perlu terus berusaha, lupakan segala kekecewaan dan bersedia untuk menghadapi Swansea Ahad ini.

Foto

GERRARD (kanan) jaring gol tunggal Liverpool ketika menentang Arsenal.

"Dengan cara permainan yang kami pamerkan ketika ini, kami boleh menyaingi mana-mana pasukan. Kami amat mengancam apabila melancarkan serangan dan kami mencipta banyak peluang untuk memenangi perlawanan." Pemain tengah England itu menjangkakan Liverpool akan bangkit segera dan yakin kegagalan dalam kempen Piala FA tidak akan menjejaskan misi mereka memburu kejuaraan.


"Ramai orang mula memberi tumpuan apabila kami berada di kelompok atas liga ketika ini," jelasnya. "Kami perlu segera bangkit kerana itulah yang dilakukan pasukan terbaik selepas kalah.

"Mereka (pemain) tidak berasa kecewa, mereka fokus untuk kembali ke landasan kemenangan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Sagbo penyelamat Hull

Posted: 18 Feb 2014 09:50 AM PST

Brighton, England: Yannick Sagbo menjaringkan gol penyamaan lewat permainan membantu Hull City mengelak daripada diaibkan pada pusingan kelima Piala FA apabila seri 1-1 dengan pasukan Liga Kejuaraan Brighton, awal pagi semalam.

Skuad Liga Perdana kendalian Steve Bruce itu hampir tersingkir selepas Leonardo Ulloa menghadiahkan Brighton gol pembukaan di Stadium Amex.


Bagaimanapun Ulloa sepatutnya boleh menutup segala peluang Hull sekiranya tandukannya menepati sasaran sebelum tamat babak pertama.

Bagaimanapun penyerang Ivory Coast, Sagbo yang menyertai Hull dari kelab Perancis, Evian tahun lalu menyumbat gol ketiga peribadinya musim ini untuk menyelamatkan maruah Hull sekali gus menempah pertemuan ulangan di Stadium KC.


Pemenang pertemuan ulangan itu nanti akan berdepan Sunderland yang dikendalikan oleh bekas pengurus Brighton, Gus Poyet pada suku akhir.


Brighton melakukan tujuh pertukaran manakala Hull enam ketika kedua-dua pasukan memberi keutamaan kepada kempen liga mereka.

Dengan Brighton hanya beberapa minit untuk melangkah ke suku akhir Piala FA sejak 1986, Sagbo meranapkan harapan mereka apabila dia tenang melepaskan rembatan selepas menerima hantaran lintang Sone Aluko. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

'Manchester milik City'

Posted: 18 Feb 2014 09:49 AM PST

Manchester, England: Manuel Pellegrini mendakwa Manchester City sudah mengambil alih daripada Manchester United sebagai kelab terbesar di bandar raya itu musim ini.

"Jika kami mengambil kira musim ini saja, hanya ada satu kelab di Manchester iaitu kami, tapi anda tidak boleh lupa apa yang dilakukan United sebelum ini.


"Kami menyasarkan untuk terus meningkat dengan memenangi beberapa trofi, bukan setakat di peringkat kebangsaan tapi trofi antarabangsa.

"Kami bertarung merebut trofi kejuaraan tahun ini.


"Namun kami perlu bersabar kerana anda tidak boleh mengubah pasukan dalam tempoh sehari.


"Kami perlu mengekalkan falsafah mengenai corak permainan dan kerana itu anda memerlukan masa," kata pengendali berusia 60 tahun dari Chile itu.

Impian City memburu kejuaraan tersentak apabila mereka tumpas di tangan Chelsea dua minggu lalu dan kemudian seri tanpa jaringan di Norwich.


City kini di tangga ketiga Liga Perdana, tiga mata di belakang pendahulu Chelsea sekalipun bermain kurang satu perlawanan.

Namun mereka meraih semula keyakinan apabila membalas dendam dengan mengalahkan Chelsea untuk mara ke suku akhir Piala FA hujung minggu lalu selain mara ke final Piala Liga menentang Sunderland.


Sebagai perbandingan, United di tangga ketujuh Liga Perdana, 15 mata di belakang Chelsea dan sekalipun mereka masih bersaing dalam Liga Juara-Juara, mereka tersingkir awal daripada Piala FA selain kecundang pada separuh akhir Piala Liga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Kedudukan Meulensteen jadi tanda tanya

Posted: 18 Feb 2014 09:49 AM PST

London: Alan Curbishley dan Ray Wilkins sudah meninggalkan Fulham namun ketua jurulatih, Rene Meulensteen masih belum terbatal kontraknya.

Pelantikan mengejut Felix Magath sebagai pengurus pasukan utama Jumaat lalu menyebabkan kedudukan Meulensteen tergugat selepas hanya 75 hari.


Ketua jurulatih itu mendakwa dalam perbualan radio bahawa Ketua Eksekutif, Alistair Mackintosh memberitahunya beliau sudah dilepaskan namun difahamkan beliau masih belum meninggalkan kelab barat London itu.

Bagaimanapun, perkara sama tidak berlaku terhadap pengarah teknikal pasukan utama, Curbishley dan penolong pengurus, Wilkins yang difahamkan meninggalkan kelab itu selepas berbicara dengan Magath.


Curbishley, 56, dibawa masuk bekerja di samping Meulensteen sehari menjelang Krismas, manakala Wilkins, 57, menyertai staf kejurulatihan pada 30 Disember lalu.


Magath tidak berminat berbicara mengenai masa depan Meulensteen, sebaliknya lebih suka fokus dengan keyakinannya pasukan tercorot Fulham boleh mengelakkan turun divisyen.

"Kami mengikat perjanjian malam Jumaat lalu, jadi masa terlalu suntuk untuk memikirkan perkara ini," jelasnya.


"Saya hanya memperuntukkan masa untuk bekerja dengan pemain dan menyediakan pasukan bagi perlawanan paling penting Sabtu ini. Kami akan menyatakan mengenai perkara ini selepas itu." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Gunners idam bedil Bayern

Posted: 18 Feb 2014 09:46 AM PST

London: Arsene Wenger menegaskan Arsenal tidak perlu gerun terhadap Bayern Munich ketika mereka bersiap sedia berdepan penyandang juara Liga Juara-Juara itu pada perlawanan pertama pusingan kedua, awal pagi esok.

Hanya 12 bulan selepas mereka tersingkir daripada pertandingan kelab elit Eropah itu di tangan kelab gergasi Jerman, anak buah Wenger berpeluang membalas dendam selepas diundi bertemu Bayern di peringkat sama.


Arsenal gagal memberi cabaran bermakna pada perlawanan pertama musim lalu apabila Bayern, ketika itu dikendalikan Jupp Heynckes, melakar kemenangan 3-1 di utara London.

Namun Gunners bangkit dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan kedua dan hampir mencatat kebangkitan menakjubkan sebelum terkandas menerusi peraturan gol di tempat lawan.


Kini Bayern, yang diuruskan bekas bos Barcelona, Pep Guardiola, dilihat pasukan yang lebih mantap musim ini berbanding tahun lalu apabila mereka memenangi Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman.


Kelab Bavaria itu akan hadir di Stadium Emirates dengan rekod 46 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Bundesliga.

Foto

WENGER (kanan) memantau latihan pemainnya.

Mereka mengungguli divisyen utama Jerman dengan 16 mata, membolehkan mereka fokus sepenuhnya terhadap usaha mempertahankan Liga Juara-Juara yang dimenangi selepas menundukkan Borussia Dortmund di Stadium Wembley tahun lalu.


Namun Wenger tetap optimis dan pengurus Gunners itu percaya pengalaman pertemuan musim lalu akan mematangkan pemainnya yang berazam menamatkan penguasaan Bayern.

"Saya fikir kami lebih mengenali mereka, pemain secara individu," ujarnya.


"Kami berada dalam keadaan lebih bagus kerana tahun lalu ia hadir selepas kekecewaan kalah kepada Blackburn dalam Piala FA untuk bermain menentang Bayern tiga hari kemudian amat sukar buat kami.


"Kini kami lebih bersedia secara mental berdepan perlawanan sebegini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Seedorf tagih tuah San Siro

Posted: 18 Feb 2014 09:46 AM PST

Milan: Jurulatih AC Milan, Clarence Seedorf menjangkakan saingan sengit Atletico Madrid menerusi kunjungan mereka ke San Siro bagi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Seedorf mengambil alih kelab gergasi Itali itu berikutan pemecatan bekas pengendali Massimiliano Allegri awal bulan lalu.


Namun selepas tiga kemenangan dalam lima perlawanan liga dan tersingkir pada suku akhir Piala Itali di tangan Udinese, pengendali berusia 37 tahun dari Belanda itu yang menghabiskan 10 musim penuh kejayaan di kelab itu masih belum selamat.

Atletico yang menyaingi Barcelona dan Real Madrid di puncak La Liga, menjadi pilihan untuk menang sebelum aksi perlawanan kedua di Vicente Calderon dua minggu lagi sekali gus menguatkan hasrat mereka ke suku akhir.


Bagaimanapun, Seedorf, satu-satunya pemain yang memenangi trofi kelab paling berprestij di Eropah itu bersama tiga kelab berbeza Ajax, Real Madrid dan dua kali dengan Milan teruja dengan cabaran itu.


"Ini satu lagi peluang terbaik untuk terus melangkah setapak dalam pertandingan ini," jelas Seedorf.

"Atletico bermain secara tersusun, mantap dan memiliki penyerang hebat.


"Tapi saya tahu kami akan meningkatkan permainan bagi Liga Juara-Juara dan saya tidak sabar untuk kembali ke San Siro yang banyak menyaksikan detik manis dalam pertandingan ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Pemain perlu tahan panas: Hodgson

Posted: 18 Feb 2014 09:45 AM PST

Rio de Janeiro: Jurulatih England Roy Hodgson berkata, pasukannya perlu mengatasi bahang Piala Dunia apabila mereka berdepan Itali dalam cuaca panas Amazon di Manaus 14 Jun ini.

Hodgson dikritik media Brazil dan ahli politik Manaus apabila beliau melahirkan hasrat mahu mengelakkan gelanggang di bandar raya itu sebelum undian Piala Dunia Disember lalu.


Sejak itu, bekas jurulatih Inter Milan, Liverpool, Fulham dan Switzerland itu berjaya membina semula hubungan diplomatik, mengirim surat kepada Datuk Bandar Arthur Virgilio menjelaskan kunjungan itu akan menjadi "kemuncak" buat pasukan England.

Selepas berjaya meredakan ketegangan politik Hodgson berkata, England kini perlu memastikan kempen Piala Dunia mereka bermula dengan mantap tidak kira panas atau sebaliknya.


Walaupun ketika musim sejuk Brazil, kelembapan di wilayah Amazon boleh mencecah 95 peratus dan suhu meningkat melebihi 30 selsius, namun Hodgson mengakui masalah itu dihadapi kedua-dua pasukan.


"Ia panas di sini, tapi Piala Dunia dilangsungkan ketika musim panas. Ia panas pada 2010 di Afrika Selatan dan lebih panas lagi di Amerika pada 1994," jelasnya yang menjadi jurulatih Switzerland pada USA '94.

"Tapi ia sesuatu yang harus anda hadapi dan tangani," kata Hodgson selepas kunjungan ke Sungai Amazon dan Arena Amazonas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Usia bukan penghalang

Posted: 18 Feb 2014 09:44 AM PST

Dubai: Serena Williams yang tidak bermain selama sebulan sejak cedera belakang pada Terbuka Australia, menafikan usia semakin menjejaskan kariernya.

Pemain nombor satu dunia berusia 32 tahun itu kembali lebih awal daripada jangkaan untuk beraksi pada Terbuka Dubai minggu ini, menyatakan dia "menggunakan tiket wild card untuk melihat tahap kecergasannya." Perbezaan amat ketara ketika ini berbanding pramusim apabila jurulatihnya Patrick Mouratoglou berasakan Serena mungkin akan memenangi semua empat gelaran Grand Slam pada 2014, sekali gus ia mencetus persoalan sama ada usia menjadi penghalangnya.


"Tidak, tidak sama sekali," jelasnya kerana menganggap makna usia sudah berubah buatnya dengan tidak ramai pemain muda tampil dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Mungkin generasi saya bermain lebih lama berbanding sebelum ini. Mungkin generasi berikutnya lebih cepat. Siapa tahu.


"Teknologi semakin baik, kasut semakin bagus, raket lebih baik, peralatan juga lebih bagus. Banyak perkara berbeza boleh dilakukan di gimnasium, jadi anda boleh memiliki karier yang lebih lama.


"Anda tidak bermain tenis dan kemudian ke bar selepas itu.

Foto

Serena Williams

"Saya tidak tahu jika generasi lama melakukannya. Ia jelas berbeza." Serena bagaimanapun menjelaskan kejohanan itu hanya sekadar untuk menguji tahap kecergasannya ketika ini.


"Saya tidak cuba mencari alasan. Saya akan cuba melakukan yang terbaik minggu ini dan sama ada menang atau tidak, saya tetap akan bertanding. Saya tidak berasa tertekan jadi saya hanya akan keluar dan melakukan yang terbaik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

Del Potro boikot Piala Davis

Posted: 18 Feb 2014 09:43 AM PST

Buenos Aires: Bekas juara Terbuka AS, Juan Martin del Potro menegaskan dia tidak akan beraksi pada Piala Davis buat Argentina tahun ini berikutan perbalahan dengan persekutuan negaranya.

"Saya tidak akan bermain sepanjang musim Piala Davis 2014," kata pemain berusia 25 tahun itu dalam satu kenyataan.


"November lalu, saya menghantar surat meluahkan rasa tidak puas hati dengan hipokrasi berkaitan Piala Davis. Sejak itu tiada sebarang perubahan. Malah ia semakin buruk," jelas Del Potro, kini pemain nombor lima dunia.

Argentina bergelut berikutan ketiadaan pemain terbaik mereka apabila kalah pada pusingan pertama di tangan Itali dan berdepan perlawanan play-off September ini bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam kumpulan elit dunia.


Del Potro tidak mewakili negaranya pada Piala Davis sejak kalah pada separuh akhir kepada Republik Czech pada 2012.


Dia merungut persekutuan tenis Argentina tidak menghormatinya dan gagal mengambil kira permukaan gelanggang digemarinya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/19

No comments:

Post a Comment