Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'FAM perlu pembaharuan'

Posted: 23 Feb 2014 10:16 AM PST

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk seorang presiden baru mengemudi tampuk pemerintahan FAM apabila jawatan itu dipertandingkan pada kongres badan induk itu pada 25 Mei depan.

Bukan bermaksud menidakkan sumbangan presiden ketika ini iaitu Sultan Ahmad Shah, namun bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, situasi semasa sememangnya memerlukan satu pembaharuan dalam kepimpinan bola sepak di negara ini.


Annuar berkata, sekiranya semua pihak mahukan perubahan, maka beliau mencabar calon-calon yang berkelayakan serta berkaliber supaya tampil ke depan dan tidak hanya terus menerus menyalahkan presiden sedia ada kerana baginda berada di tampuk kepimpinan kini juga adalah kerana mendapat sokongan daripada ahli gabungan FAM.

"Sebenarnya daripada segi statut FAM, memang daripada dulu pun jawatan ini (presiden) dipertandingkan, masalahnya ramai yang takut nak tawarkan diri.


"Saya fikir untuk kali ini, harap ada keberanian daripada pihak badan gabungan, tak memadai dengan hanya mengeluh sepanjang masa.


"Kalau ada yang berkemampuan, mereka harus dicalonkan. Bola sepak Malaysia kini perlukan satu lonjakan yang besar.

Foto

TUNKU Ismail layak jika menjadi presiden yang baru.

"Masanya sudah sampai, bercakap pun sudah lama dan macam-macam yang sudah kita lalui. Tapi kalau sampai pemilihan kita balik kepada cara lama, maka tidak akan ada apa-apa perubahan," katanya ketika ditemui pada majlis jersi AFC untuk pasukan Kelantan, semalam.


Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menghormati sumbangan besar yang sudah dicurahkan oleh Sultan Ahmad Shah, tetapi beliau juga percaya Presiden FAM itu sudah bersedia untuk membuka laluan kepada calon-calon baru.

Ditanya siapakah calon yang beliau rasakan layak untuk mengambil alih jawatan itu, Annuar secara terbuka menyebut beberapa, antaranya termasuklah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


"Saya rasa jawatan ini harus dipegang oleh salah satu presiden badan gabungan. Presiden PBNJ boleh, Presiden Sabah (Persatuan Bola Sepak Sabah), Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Presiden Kuala Lumpur (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur)," katanya.


Annuar tidak layak untuk bertanding pada Kongres FAM untuk penggal 2014-2018 kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan sejak April 2012 kerana mengkritik skuad negara bimbingan Datuk K Rajagobal ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Los Blancos pintas Barca

Posted: 23 Feb 2014 09:57 AM PST

Madrid: Real Madrid melonjak tiga mata di puncak La Liga apabila Barcelona mengalami kekalahan kedua liga dalam empat perlawanan sesudah ditundukkan Real Sociedad 1-3, awal pagi semalam.

Terdahulu, Madrid mudah membenam Elche 3-0 di Santiago Bernabeu termasuk satu rembatan jarak jauh Gareth Bale yang memukau penonton.


Barcelona hadir pada perlawanan itu dengan penuh keyakinan selepas menundukkan Manchester City pada perlawanan Liga Juara-Juara Selasa lalu, namun ketinggalan apabila Alex Song menampan masuk hantaran silang Sergio Canales ke gawangnya sendiri.

Lionel Messi menyamakan kedudukan tidak lama kemudian dengan rembatan leret kaki kiri.


Namun dua gol dalam tempoh 15 minit pertama babak kedua dari Antoine Griezmann dan David Zurutuza membolehkan Sociedad melakar kemenangan.


"Kami tidak berasa selesa dan tidak banyak memegang bola, kekuatan sebenar kaki. Ia membenarkan mereka mencipta peluang," kata pertahanan Barca, Gerard Pique.

Foto

BALE (kanan) sumbang satu gol untuk Real.

"Kini kami berehat seminggu dan memikirkan apa kesilapan kami. Ia tidak membimbangkan, kami hanya perlu menumpukan kepada perlawanan berikutnya." Real Madrid tidak perlu bimbang ketika gol daripada Asier Illaramendi dan Isco selain gol menakjubkan Bale memberikan mereka kemenangan ke-15 dalam 16 bagi semua pertandingan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Jaringan Nainggolan julang Roma

Posted: 23 Feb 2014 09:56 AM PST

Rome: Pemain kebangsaan Belgium, Radja Nainggolan meraih gol sulungnya buat AS Roma mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bologna sekali gus merapatkan jurang di belakang pendahulu Serie A kepada enam mata, awal pagi semalam.

Kemenangan ke-17 Roma meletakkan mereka di tangga kedua namun dengan kurang beraksi satu perlawanan, anak buah Rudi Garcia berharap Torino mampu mengejutkan pendahulu Juventus lewat malam tadi.


Bologna menang hanya satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dan menerima kunjungan Roma di Stadium Dell'Ara sebagai bukan pilihan selepas hanya menewaskan Giallorossi dua kali dalam 12 perlawanan terakhir.

Garcia kehilangan Francesco Totti, Douglas Maicon, Federico Balzaretti dan Dodo bermakna Rodrigo Taddei dan pemain muda Alessio Romagnoli bermain di benteng pertahanan manakala pemain tengah Belanda, Kevin Strootman bermula di bangku pemain simpanan.


Nainggolan menampan masuk dari jarak dekat umpanan Miralem Pjanic selepas Gervinho melorongkan bola kepada pemain Bosnia itu di sayap kiri pada minit ke-37. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Rooney ledak gol ke-300

Posted: 23 Feb 2014 09:55 AM PST

London: Wayne Rooney mengaku lega dapat fokus kepada bola sepak semula selepas penyerang Manchester United itu menyumbang satu gol ketika pasukannya menang 2-0 di Crystal Palace awal pagi semalam sekali gus meraikan kontrak yang baru ditandatanganinya bersama kelabnya itu.

Jumaat lalu, Rooney menyambung kontrak baru dengan gaji bernilai £300,000 (RM1.6 juta) seminggu yang menyaksikannya akan terus berada di Old Trafford hingga Jun 2019.


Kontrak baru itu juga menyaksikan Rooney muncul pemain menerima gaji paling tinggi pada saingan Liga Perdana Inggeris dan penyerang England itu membuktikan dia adalah aset berharga untuk United apabila meledak gol kedua ketika menewaskan Palace di Selhurst Park.

United mencatat kemenangan hasil sepakan penalti Robin van Persie pada minit ke-62 sebelum Rooney menjaringkan gol kedua menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol Palace, Julian Speroni enam minit kemudian.


Rooney meraikan gol ke-300 pada saingan liga untuk United dengan penuh bergaya dan pemain berusia 28 tahun itu menyatakan dia berasa lega kerana dapat menamatkan semua spekulasi berhubung masa depannya selepas laporan awal sebelum ini mendakwa dia mahu meninggalkan United.


"Kontrak baru ini amat penting. Ia sudah dipersetujui sejak sebulan lalu.

Foto

MOYES (kiri) bersama Rooney ketika majlis menandatangani kontrak baru penyerang itu.

"Saya berusaha melakukan yang terbaik untuk pasukan dan membantu mereka mencatat kemenangan.


"Sama ada saya menandatangani kontrak baru atau tidak, saya sentiasa memberikan komitmen 100 peratus dan inilah yang saya lakukan hari ini.

"Biasanya saya serahkan kepada orang ramai menilai prestasi saya menerusi aksi di atas padang." Kemenangan pertama United dalam empat perlawanan itu melonjakkan kelab kendalian David Moyes itu ke tangga keenam liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Giroud tetap berbisa: Wenger

Posted: 23 Feb 2014 09:55 AM PST

London: Arsene Wenger menegaskan beliau tidak pernah meragui kemampuan Olivier Giroud untuk bangkit semula selepas penyerang Arsenal itu melalui detik sukar minggu lalu.

Giroud memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga serta kelabnya selepas menjadi tumpuan media berikutan kontroversi di luar padang.


Wenger menggugurkan penyerang itu bagi dua perlawanan terakhir, namun selepas diletakkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan kelmarin, penyerang Perancis itu menjaringkan dua gol ketika Arsenal menang 4-1 ke atas Sunderland sekali gus menyaksikan Gunners hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Chelsea.

"Saya tidak pernah meragui kekuatan karakter dimilikinya. Memanglah kita semua mahu dia kembali semula bersama kelab yang dibuktikannya hari ini dengan menyumbang dua gol.


"Satu menerusi gol menarik sementara satu gol lagi menerusi kesilapan pemain Sunderland. Dia juga menjadi perancang kepada gol yang lain," kata Wenger.


Wenger juga menganggap kemenangan itu berjaya meningkatkan semula keyakinan anak buahnya selepas tewas kepada Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu.

Kemenangan 2-0 Bayern pada perlawanan pertama di Stadium Emirates menyaksikan Arsenal berdepan tugas sukar jika mahu merealisasikan impian ke suku akhir apabila bertemu lawan sama pada perlawanan timbal balik di Allianz Arena, bulan depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Day tiada masalah mara final

Posted: 23 Feb 2014 09:54 AM PST

Marana, AS: Jason Day dan Ernie Els tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Match Play Dunia WGC-Accenture di Marana, Arizona tetapi pemain Amerika Syarikat, Rickie Fowler dan pemain Perancis, Victor Dubuisson terpaksa bekerja keras sebelum menempah laluan sama semalam.

Day, pemain Australia menewaskan bintang Afrika Selatan, Louis Oosthuizen 2 dan 1 untuk menjadi pemain pertama layak dalam kelompok empat terakhir di Dove Mountain manakala pemain veteran Els mara dengan mengatasi Jordan Spieth 4 dan 2.


Fowler pula menempah tiketnya dengan menewaskan rakan senegara, Jim Furyk yang bangkit daripada ketinggalan 3 down selepas 12 lubang untuk mendahului 1 up selepas 16 lubang sebelum keletihan manakala Dubuisson mengatasi pemain Ireland Utara, Graeme McDowell dengan 1 up.

"Jim mula bangkit ketika perlawanan semakin sukar dan saya pula perlu bersabar," kata Fowler, pilihan ke-53 dalam kalangan 64 peserta kejohanan itu.


"Saya memaksanya melakukan beberapa birdie. Saya sedar pastinya sukar baginya untuk terus bermain seperti itu.


"Saya melakukan beberapa hayunan hebat. Memang seronok meraih kemenangan, tidak kiralah bagaimana ia berlaku." Day yang tewas kepada pemain AS, Matt Kuchar pada separuh akhir tahun lalu akan menentang Fowler, 25, dalam pertembungan pemain muda manakala Dubuisson, 23, akan menentang Els, 44.

Dubuisson yang tidak pernah bermain golf dalam format matchplay sehinggalah minggu ini dalam kejohanan WGC, bangkit daripada ketinggalan 2 down selepas aksi tiga lubang menentang McDowell dengan lima birdie pada 12 lubang berikutnya untuk mengawal permainan.


"Saya bermain dengan baik hari ini," kata Dubuisson, pemain nombor 30 dunia yang menjadi tumpuan selepas menjuarai Jelajah Eropah buat pertama kali di Terbuka Turkish Airlines, November lalu ketika Tiger Woods dan juara Terbuka AS, Justin Rose turut bertanding. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Venus bersinar kembali

Posted: 23 Feb 2014 09:54 AM PST

Dubai: Venus Williams membenam pemain Perancis, Alize Cornet 6-3, 6-0 pada final Kejohanan Dubai kelmarin sekali gus membolehkan pemain Amerika itu meraih gelaran perseorangan pertama sejak 2012.

Juara tujuh gelaran Grand Slam itu tidak berdepan masalah mengetepikan Alize yang menyingkirkan adiknya Serena pada separuh akhir Jumaat lalu lantas menafikan pertembungan pertama adik beradik itu pada final dalam tempoh lima tahun.


"Saya fikir perbezaan antara saya dan Serena adalah setiap pukulan balas saya masuk gelanggang," kata Venus yang bergelut dengan prestasi sejak didapati mengalami penyakit mudah letih pada 2011.

"Memenangi semua gelaran Grand Slam itu, bermain dengan bersungguh-sungguh dan mara ke final banyak kali, ia memang menguji kekuatan mental jadi saya fikir saya sudah kembali ke arah itu," katanya.


Venus, 33, bermula dengan teruk pada 2014 apabila terkandas pada pusingan pertama Terbuka Australia dan lebih mengecewakan di Doha dua minggu lalu.


Dia tidak kalah sebarang set di Dubai dan mengalahkan lima pemain yang lebih tinggi ranking berbandingnya termasuk bekas pemain nombor satu dunia Ana Ivanovic dan Caroline Wozniacki.

Kemenangan itu akan menyaksikan Serena melonjak dari tangga ke-44 dunia kembali ke kelompok 30 terbaik buat kali pertama sejak Mei 2013.


"Saya tidak berhasrat mengulangi apa yang saya lakukan sebelum ini kerana saya sudah melakukannya. Saya hanya mahu meningkat dan menjadi Venus yang lebih pintar." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Tuah REM FC A

Posted: 23 Feb 2014 09:47 AM PST

Kuala Lumpur: Skuad REM FC yang mempertaruhkan lima pasukan pada penyertaan kali ini membuahkan hasil apabila REM FC A gah mencipta sejarah tersendiri dengan menjuarai kategori Terbuka Wanita selepas menumpaskan Phoenix TGF A 1-0 di final Karnival Futsal Harian Metro edisi Lembah Klang di Uptown Sports Bandar Baru Bangi, semalam.

Kapten REM FC A, Nur Syuhada Kamaruzaman meluahkan rasa syukur hasil kemenangan yang diraih pasukannya.


"Kemenangan ini hadir hasil kerja keras semua rakan sepasukan. Kami bermain dengan begitu disiplin dan mengikut segala arahan jurulatih.

"Pihak lawan juga bagus, mungkin nasib lebih memihak kepada kami hari ini (semalam)," katanya.


Sementara itu, jurulatih REM FC A, Mohd Fairuz Mohamed Redzuan berkata, beliau secara peribadi berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak didiknya dalam kejohanan kali ini.


"Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini. Mereka sudah berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi pertandingan ini.

Foto

PASUKAN REM FC A ceria bersama hadiah dimenangi selepas berjaya menewaskan pasukan Phoenix TGF A pada perlawanan akhir.

"Jadi bagi saya mereka berhak menang dan saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain saya," katanya.


Selaku juara, REM FC A membawa pulang RM3,000 berserta medal dan hadiah iringan manakala Phoenix TGF A menerima RM2,000 berserta medal dan hadiah iringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Farid Ashraf wira Kartallar SC

Posted: 23 Feb 2014 09:46 AM PST

Kuala Lumpur: Kartallar SC dinobat juara kategori Lelaki Bawah 17 Karnival Futsal Harian Metro edisi Lembah Klang selepas membenam RG Juniors 1- 0 pada final di Uptown Sports Bandar Baru Bangi, semalam.

Sentuhan penyerang pasukan Kartallar SC, Farid Ashraf Kamarozaman nyata menjadi duri dalam daging buat RG Juniors dengan gerakan lincahnya yang sering mengucar-kacirkan benteng lawan.


Menurut pemain yang pernah menimba ilmu bola sepak di kelab terkemuka Eropah, Bayern Munich pertengahan tahun lalu banyak membantu meningkatkan permainannya.

"Ilmu yang saya dapat ketika di Bayern Munich dulu banyak membantu saya dalam menambah skil dan keyakinan diri.


"Bagi saya kemenangan ini bukan disebabkan saya semata-mata, tetapi kami bermain sebagai satu pasukan.


"Saya gembira atas kemenangan ini. Kami bermain dalam satu unit dan sikap tidak berputus asa kawan-kawan banyak membantu," katanya.

Berikutan kemenangan itu, Kartallar SC meraih RM2,000 berserta pingat dan hadiah iringan manakala RG Juniors menerima RM1,500 berserta pingat dan hadiah iringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Pemain harap futsal terus diadakan

Posted: 23 Feb 2014 09:46 AM PST

Kuala Lumpur: Sebahagian besar pemain yang terbabit dalam Karnival Futsal Harian Metro edisi Lembah Klang yang berlangsung di Uptown Sports Bandar Baru Bangi semalam mengharapkan pertandingan seumpama itu dapat dianjurkan secara lebih kerap lagi selepas ini.

"Saya dengar ini adalah satu-satunya yang dianjurkan oleh Harian Metro untuk tahun ini. Khabar itu memang tidak menggembirakan kami sebagai pemain futsal.


"Kami mengharapkan Harian Metro akan meneruskan penganjuran pertandingan futsal seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Ia bukan disebabkan hadiah wang tunai lumayan, tapi pada kami futsal Harian Metro adalah pentas untuk pemain amatur mengasah bakat," kata Siti Nur Atiqah Rashid yang beraksi bersama skuad REM FC B.


Pandangan itu turut dikongsi peminat futsal, Mohd Rashid Razali, 36, yang jarang terlepas menyaksikan setiap pertandingan futsal anjuran akhbar nombor satu negara itu.


"Bagi saya, pertandingan seperti ini patut diteruskan kerana ia boleh melahirkan lebih ramai bakat.

"Memang banyak pertandingan lain, tapi pertandingan yang dianjurkan Harian Metro mendapat liputan meluas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

No comments:

Post a Comment