Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sindiket perisian tiruan masuk jerat KPDNKK

Posted: 20 Feb 2014 11:02 AM PST

Shah Alam: Tindakan sindiket perisian tiruan yang selama ini menggunakan Internet untuk berurus niaga akhirnya terjerat apabila seorang anggota penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyamar sebagai pelanggan kononnya untuk mendapatkan perisian berkenaan.

Sindiket yang selama ini berselindung di sebalik urus niaga melalui rangkaian jalur lebar itu dikesan sejak beberapa bulan lalu sebelum aktiviti mereka terbongkar dalam satu serbuan di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di bandar raya ini, Selasa lalu.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Negeri Othman Nawang berkata, sindiket terbabit mungkin menyangka tindakan mereka berurus niaga melalui Internet mampu mengelak daripada ditahan, namun anggapan itu nyata meleset.

Menurutnya, sindiket berkenaan lazimnya menjadikan beberapa laman sesawang popular sebagai medium mendapatkan pelanggan dan menghantar barang yang dipesan melalui pos.

Foto

OTHMAN (dua dari kiri) bersama pegawai penguat kuasa menunjukkan DVD perisian komputer palsu yang dirampas.


Dalam serbuan jam 3 petang itu, KPDNKK menahan seorang lelaki dan merampas 150 salinan perisian tiruan bernilai lebih RM150,000 di Seksyen 13, di sini,


Lelaki berasal dari pantai timur itu kini direman tiga hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan dan minimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Kejayaan itu hasil risikan dan maklumat yang diterima daripada cawangan syarikat gergasi Microsoft Corporation (Microsoft) sebelum seorang pegawai Bahagian Penguatkuasa Shah Alam menyamar sebagai pembeli dan memesan perisian tiruan melalui portal yang diiklankan," katanya, semalam.

Othman berkata, melalui pembelian secara tunai, pelanggan perlu mengambil barang di tempat yang dijanjikan penjual dan hasil penyamaran anggotanya, KPDNKK menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan merampas perisian tiruan yang diletakkan dalam but keretanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

17 tahun guna MyKad palsu

Posted: 20 Feb 2014 10:59 AM PST

Putrajaya: Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya menahan seorang lelaki warga Filipina yang menggunakan MyKad palsu sejak 17 tahun lalu, di satu kawasan penempatan di Bandar Country Homes, Rawang awal pagi semalam.

Lelaki berkenaan diberkas dalam satu serbuan Ops ID dijalankan sepasukan 13 penguat kuasa JPN Putrajaya selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaannya Wan Zakaria Wan Awang berkata, dalam operasi sama, seorang lagi pekerja warga Filipina turut diberkas kerana memiliki resit kad pengenalan sementara palsu.

Beliau berkata, kedua-dua mereka didapati melanggar kesalahan di bawah Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 Pindaan 2007 yang boleh membawa hukuman tiga bulan tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

"Serbuan itu dilakukan selepas kami menerima maklumat daripada penduduk setempat yang mendakwa wujud pekerja asing di beberapa projek perumahan di kawasan itu yang menggunakan MyKad palsu.

"Siasatan awal mendapati, seorang daripada mereka didapati menggunakan MyKad palsu itu sejak tahun 1997," katanya, semalam.

Katanya, operasi sama turut memeriksa 30 pekerja asing bagi mengesan kes penyalahgunaan MyKad palsu.

Wan Zakaria berkata, kedua-dua mereka dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi semalam sebelum dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Flat Pelangi, Damansara, pasukan sama menahan dua warga Indonesia masing-masing seorang lelaki dan wanita selepas didapati menggunakan MyKad milik orang lain dan Mykad palsu.

Wan Zakaria berkata, kedua-dua mereka ditahan di sebuah rumah di flat berkenaan dan mendapati mereka melanggar kesalahan di bawah peraturan sama di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Kami juga memeriksa lebih 10 pekerja asing yang menetap di flat sama, " katanya.

Katanya, kedua-dua warga Indonesia itu turut dihadapkan ke mahkamah sama sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Halau ayah keluar rumah

Posted: 20 Feb 2014 10:57 AM PST

Ampang: Dia bukan saja mengugut dengan menghayun tukul besi untuk mencederakan ayahnya yang berusia 70-an, malah warga emas itu akhirnya dihalau daripada rumah pusaka yang diduduki sejak sekian lama.

Itu perbuatan zalim seorang lelaki berusia 30-an yang terdesak mendapatkan wang bagi melangsaikan hutangnya dengan ceti haram atau along.

Sumber polis berkata, dalam kejadian yang berlaku jam 11 pagi Ahad lalu, suspek turut menghalau kakaknya yang turut tinggal di rumah sama yang terletak di Kampung Pandan, di sini.

Menurutnya, mangsa bersara daripada perkhidmatan kerajaan sejak setahun lalu dan dia yang sudah kematian isteri tinggal di rumah pusaka berkenaan bersama keluarga anak perempuannya.


"Suspek yang belum berkahwin turut tinggal di rumah itu. Pada hari kejadian suspek tiba-tiba naik berang dan menghalau ayah serta kakaknya keluar dari rumah," katanya.


Sumber itu berkata, mangsa cuba menenangkan anaknya dan meminta mereka berbincang secara baik namun, suspek enggan berbuat demikian sebaliknya mengambil tukul besi dan mengugut untuk mencederakan ayahnya itu.

"Lelaki itu mendesak bapa dan keluarga kakaknya keluar dan mengancam mahu membelasah mereka dengan tukul besi berkenaan jika arahannya tidak diterima.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

3 sahabat terhumban ke laut

Posted: 20 Feb 2014 10:56 AM PST

Kota Kinabalu: Kegembiraan tiga sahabat yang dalam perjalanan pulang selepas selesai menjamu selera bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala dua lain cedera selepas kenderaan dinaiki terhumban ke laut dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephen, Likas, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi, mangsa, Alvinuslan Madayau, 17, yang duduk di bahagian penumpang belakang dipercayai tercampak keluar sebelum terjatuh di atas tebing batu pemecah ombak manakala kenderaan terbabit terhumban ke laut.

Dua lagi rakan mangsa, Eyad Azli, 20, yang juga pemandu kenderaan dan penumpang hadapan, Mohd Abdul Halim Abdul Rabak, 21, hanya cedera ringan apabila sempat keluar dari kenderaan yang tenggelam dan berenang ke tebing.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Taman Jaya Diri, Sepanggar selepas selesai menikmati makan malam di sebuah restoran di bandar raya.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan Honda Civic yang datang dari bandar raya menuju ke Sepanggar dipercayai hilang kawalan lalu terhumban ke laut.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati Honda Civic itu hilang kawalan ketika melalui selekoh berhampiran lampu isyarat lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban.

"Mangsa yang duduk di belakang dikatakan tercampak keluar ditemui berlumuran darah di atas tebing batu pemecah ombak oleh orang ramai.

"Dua lagi rakan mangsa dapat menyelamatkan diri sebaik kenderaan mereka mulai tenggelam dan dimasuki air," katanya, semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar pengguna jalan raya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan, namun seorang daripadanya disahkan sudah meninggal dunia.

"Mangsa maut akibat parah di kepala manakala dua lagi mangsa menerima rawatan di HQE dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Foto

KENDERAAN yang dinaiki mangsa terhumban ke laut selepas hilang kawalan, pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Tetap kena hukuman apabila balik Malaysia

Posted: 20 Feb 2014 10:55 AM PST

Ipoh: Pasangan di negara ini yang bernikah di negara jiran seperti di Selatan Thailand, tetap berdepan tindakan undang-undang apabila cuba mendaftarkan pernikahan itu di negara ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusof Husin berkata, pasangan yang melakukan 'kahwin senyap' atau 'kahwin lari' jelas melakukan kesalahan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang boleh diambil tindakan penalti, denda atau penjara.

"Pasangan terbabit tetap boleh didakwa di Mahkamah Syariah Negeri Perak atas kesalahan nikah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"Jika didapati bersalah, pasangan terbabit boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali. Namun, semua hukuman berkenaan bergantung kepada keputusan mahkamah," katanya.


Menurutnya, pernikahan di sempadan masih belum diiktiraf sepenuhnya walaupun pasangan itu mempunyai sijil nikah dan surat daripada Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand.


"Pengesahan perkahwinan perlu dibuat di Mahkamah Syariah di negara ini. Ini penting untuk mengetahui sama ada pernikahan dilakukan di negara berkenaan sah atau tidak terutama dari aspek rukun nikah.

"Malah, saya bimbang jika ada pasangan yang berkahwin kurang dari jarak 90 kilometer dari wali sekali gus menyebabkan perkahwinan tidak sah," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

No comments:

Post a Comment