Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Johor DT tak mahu sumpah

Posted: 10 Feb 2014 09:12 AM PST

Nusajaya: Tiada keperluan bagi pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) untuk mengangkat sumpah dengan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden perbalahan yang berlaku di terowong pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, sebaliknya mereka mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan yang tidak berat sebelah bagi menyelesaikan isu yang berlaku ketika masa rehat aksi pusingan kedua Piala FA itu.

"Lebih baik sekiranya soal permainan tidak dicampur adukkan dengan agama kerana kita sedia maklum bola sepak sukan yang subjektif. Sekiranya ia berlaku (angkat sumpah dengan al-Quran), tidak mustahil keputusan pengadil nanti, perlu angkat sumpah juga.

"Bagi saya keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi kemenangan 3-0 kepada Johor DT itu dibuat dengan adil. Tapi, pada masa sama, saya mahu mengingatkan penyokong supaya tidak membesarkan isu ini bagi mengelak keadaan yang tidak tenteram.

Foto

ZULKURNAIN (kiri) menyampaikan cek kepada atlet Sukan Para ASEAN Nasharuddin Mohd, semalam.


"Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kita tunggu dulu siasatan terperinci pihak polis dan saya yakin keputusan itu nanti tidak akan berat sebelah," katanya mengulas saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said agar pemain T-Team dan Johor DT bersumpah mengenai kejadian itu.


Ahmad Said yang kecewa dengan keputusan FAM itu, mahu mendapatkan penjelasan sebenar daripada pengurusan dan pemain T-Team yang menyaksikan insiden itu dan meminta mereka bersumpah al-Quran di depannya.

Zulkurnain ditemui selepas menyerahkan insentif kepada atlet Johor yang mewakili negara ke Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2013 di Nay Pi Taw, Myanmar. Seramai 60 atlet dan pegawai sukan Johor yang menyertai kejohanan itu menerima insentif berjumlah RM138,700.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penyokong pasukan Johor DT supaya tidak terlalu taksub dan fanatik terhadap pasukan mereka hingga mengenepikan soal adab serta tatasusila bagi mengelak berlakunya kekecohan serta pergaduhan sesama penyokong.

"Sebelum bermulanya Liga Malaysia 2014 lagi Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) sudah memberi amaran keras kepada penyokong Johor supaya menjaga adab mereka sepanjang menyaksikan perlawanan.

"Saya amat bersetuju dengan saranan itu dan berharap penyokong Johor menjaga nama baik negeri selain menjadi contoh kepada penyokong lain. Ia penting bagi mengelak berlakunya kekecohan yang akhirnya membantutkan hasrat kerajaan negeri dalam melahirkan masyarakat berbudi pekerti menerusi sukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Tagih pengalaman

Posted: 10 Feb 2014 09:05 AM PST

Kuala Lumpur: Prestasi semasa penyerang tempatan pada permulaan kempen Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini mencetuskan kebimbangan buat jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee yang bakal mengumpul pemain bagi sesi latihan pusat pertama tahun ini pada 16 Februari.

Dengan carta liga penjaring terbanyak dikuasai sepenuhnya penyerang import setakat ini, Kim Swee mengakui kemungkinan beliau terpaksa mengambil kira faktor pengalaman pemain di pentas antarabangsa dalam pemilihan kali ini walaupun prestasi semasa menjadi kriteria utama pemilihannya.

"Mungkin ada beberapa posisi pemain akan dipilih berdasarkan prestasi semasa dan ada juga posisi seperti serangan saya terpaksa memilih pemain atas faktor pengalaman. Bagi saya tidak ada penyerang (tempatan) yang benar-benar menyinar dalam liga dan ada juga yang jarang beraksi," katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas lima perlawanan Liga Super, aksi penyerang tempatan seperti Mohd Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Mohd Azamuddin Akil, Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Fakri Saarani kurang menyerlah apabila hanya mengumpul satu gol dan ada daripadanya sekadar menjadi pemain simpanan.

Foto

MOHD Safee Sali

Foto

NORSHAHRUL


Mungkin penyerang tempatan dari Liga Perdana bakal menjadi pilihan pengendali negara seperti Bobby Gonzalez dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Baddrol Bakhtiar, Mohammad Khyril Muhymeen Zambri (Kedah) dan Rozaimi Abd Rahman (Sabah) namun malangnya Rozaimi kini dilaporkan mengalami kecederaan.


Kim Swee yang menafikan sudah mengeluarkan senarai penuh 25 pemain bagi latihan pusat skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 1 Mac ini dan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman (15 Mac) seperti yang tersebar di laman Facebook berkata, beliau akan cuba mempersiapkan pasukan biarpun terpaksa mengumpul pemain secara berperingkat.

"Saya akan mengeluarkan senarai pemain selewat-lewatnya Khamis ini dan saya percaya walaupun pemilihan ini mengambil kira prestasi semasa pemain atau pengalaman bersama pasukan kebangsaan, pasti akan timbul juga pertikaian. Sebagai jurulatih saya akan cuba mengumpul pemain terbaik untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan.

"Walaupun saya akan memanggil pemain pada 16 Februari ini, namun tidak semua pemain dapat bersama kerana ada pemain yang beraksi dalam suku akhir kedua Piala FA pada 18 Februari.

"Pemain Selangor dan Kelantan pula terpaksa saya lepaskan sementara ketika latihan pusat itu nanti kerana mereka mempunyai tugasan bersama pasukan masing-masing dalam Piala AFC pada 25 dan 26 Februari. Jadi ini sedikit menyukarkan saya dalam mengadakan latihan pusat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

FAM, FA perlu kerjasama tangani gejala 'hooligan'

Posted: 10 Feb 2014 09:01 AM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Negeri (FA) disarankan agar dapat berkerja sama dalam membantu menangani gejala samseng bola sepak atau budaya 'hooligan' yang kini menjadi penyakit penyokong bola sepak tempatan.

Bekas pemain kebangsaan era 70an dan 80an, Hassan Sani menggesa agar FAM mengambil serius dan bertindak pantas mengawal masalah ini kerana ia mampu merencatkan kehangatan sukan paling popular itu.

"FAM kena cepat bertindak. Nanti takut tidak ada penyokong yang mahu datang ke stadium kerana bimbangkan keselamatan diri mereka. Jika dibiarkan nanti, mesti stadium kosong dan hilanglah kemeriahan liga bola sepak negara.

"Dulu pada zaman saya memang ada penyokong yang fanatik, tapi tidaklah sampai bergaduh hingga mencederakan pihak lain.

Foto

HASSAN Sani


"Penyokong kenalah berdisiplin dan profesional. Menang atau kalah itu adat pertandingan, jadi terimalah dengan semangat kesukanan. Saya minta FAM segera mencari jalan agar senario seumpama itu tidak berulang lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.


Nada yang sama juga dikongsi seorang lagi bekas tonggak utama pasukan negara Bakri Ibni yang pernah menjulang nama Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 bagi layak ke Olimpik 1980 Moscow.

"Memang sedih bila saya dapat tahu sudah ada budaya tidak sihat seperti itu di kalangan penyokong-penyokong. Saya pun pelik dan hairan dengan segelintir penyokong yang suka ikut trend barat.

"Kita ada budaya kita sendiri yang lebih sopan dan baik. Saya ingin mencadangkan kepada FAM supaya mengadakan anugerah penyokong paling berdisiplin bagi setiap perlawanan liga tempatan.

"Saya tahu anugerah seperti itu memang sudah ada, tetapi ia dinilai untuk setahun. Apa kata kalau dibuat setiap perlawanan di stadium masing-masing. Manalah tahu daripada inisiatif itu boleh mendidik penyokong lebih berdisiplin setiap kali hadir ke stadium," katanya.

Katanya lagi, semua pihak terutamanya FAM serta FA dan kelab penyokong masing-masing perlu duduk semeja dan berbincang mencari jalan keluar agar isu penyokong biadap ini dapat dibendung daripada terus merebak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Tak rela diratah

Posted: 10 Feb 2014 08:42 AM PST

Kuala Lumpur: Pengendali FELDA United, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu menjadi mangsa ketiga Sarawak di Lembah Klang apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Dua kemenangan lawan menewaskan Selangor dan PKNS FC minggu lalu sudah cukup untuk membuatkan Irfan Bakti berwaspada terhadap kemampuan anak buah Robert Alberts yang memburu kemenangan ketiga di Lembah Klang.

"Bukan saja kami bersedia terutamanya dalam menghadapi set piece yang mereka bakal lakukan, saya juga sudah memikirkan cara mengatasinya termasuk cuba memperlahankan corak permainan mereka yang sememangnya laju terutama di bahagian sayap.

"Saya mengharapkan kemenangan aksi pertama ini tanpa mengira berapa jumlah jaringan selain tidak boleh melepaskan sebarang jaringan yang bakal memberikan kelebihan kepada lawan untuk aksi kedua di Sarawak nanti," katanya.

Foto

PENGALAMAN pemain seperti Shukor (kiri) penting buat FELDA.


Tiga jaringan Sarawak ketika menewaskan Selangor (1-0) dan PKNS (2-0) hadir menerusi lontaran jauh pemain pertahanan Ronny Harun.


"Saya mengharapkan pengalaman beberapa pemain senior mampu membimbing pemain muda dalam pertemuan penting ini bagi menghadirkan keputusan yang positif," katanya.

Peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang walaupun Sarawak beraksi di Liga Super kerana FELDA United dibarisi beberapa pemain berpengalaman yang mungkin boleh mengubah perlawanan termasuk Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Ngap Sayot yakin benteng kental

Posted: 10 Feb 2014 08:41 AM PST

Kuching: Benteng pertahanan kebal menjadi pertaruhan Sarawak bimbingan jurulatih Robert Alberts apabila turun menentang FELDA United pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium MBPJ malam ini.

Barisan pertahanan yang dikawal Ronny Harun, Gabor Gyepes, Ramles Lai Ban Huat dan Mohd Hairol Mokthar ternyata liat untuk ditembusi pemain lawan, diharapkan dapat membantu mengekalkan rentak kemenangan selepas menyingkirkan Selangor pada pusingan kedua Piala FA dengan jaringan 1-0 dan PKNS 2-0 dalam saingan Liga Super Jumaat lalu.

Gyepes yang menggembirakan Alberts bukan saja bertindak cemerlang sebagai pemain pertahanan tapi turut berupaya menjaringkan gol apabila merembat masuk lontaran Ronny ketika menentang PKNS.

Alberts menyifatkan Gyepes pemain paling cemerlang dalam skuad Ngap Sayot, malah antara pertahanan terbaik dalam Liga Super musim ini.

Mengenai pertemuan malam ini, Alberts berkata, walaupun keletihan tapi beliau tetap positif pemainnya mampu mencipta kemenangan sebagai bekalan untuk menghadapi suku akhir kedua di Kuching nanti.

Katanya, hanya kemenangan malam ini boleh memberi harapan untuk pasukannya melangkah ke separuh akhir.

Pasukan Ngap Sayot berkampung di Semenanjung sejak 3 Februari lalu dan hanya akan kembali ke Bumi Kenyalang esok kerana terpaksa bermain tiga perlawanan iaitu dua perlawanan Piala FA dan satu Liga Super.

Alberts berharap pemainnya akan mengekalkan tempo permainan seperti dipamerkan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Selain Muamer Salisbasic dan Shahrol Saperi yang masih cedera serta Sani Anuar Kamsani yang digantung perlawanan akibat menerima kad merah, Alberts dijangka mengekalkan barisan pemainnya yang beraksi Sabtu lalu.

Foto

GYEPES (kanan) pemain harapan Alberts singkir serangan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Tak bermusuh lagi

Posted: 10 Feb 2014 08:39 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama bermusuhan di atas gelanggang, pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei serta jaguh China Lin Dan akan digandingkan buat kali pertama sepanjang karier mereka pada satu perlawanan pertunjukan bersempena pembukaan pusat latihan badminton di Lingshui, China, Ahad ini.

Pada perlawanan itu, Chong Wei-Lin Dan akan menjadi gandingan beregu menentang pasangan dari China Cai Yun dan Fu Haifeng.

Chong Wei yang masih segar dengan kejuaraan ke-10 Terbuka Malaysia bulan lalu mengaku teruja dengan jemputan khas daripada Persatuan Badminton China itu dan menganggapnya sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan sukan itu seluruh dunia.

"Pada perancangan awal, sepatutnya saya dan Lin Dan akan bertemu Taufik (Hidayat) serta Chen Long. Tapi oleh kerana Taufik ada komitmen lain, gandingan mereka ditukarkan kepada Cai Yun-Fu Haifeng.

Foto

WEI Feng (tiga dari kiri) melakukan ujian dan dipantau Jurulatih Teh Seu Bock (kiri) ketika sesi latihan penilaian tahap kecergasan di kompleks Sukan Bukit Kiara, semalam.


"Saya bersetuju untuk hadir kerana ia sebahagian usaha saya untuk meningkatkan lagi sukan badminton di seluruh dunia.


"Bukan di China saja, jika ada yang menjemput saya untuk perlawanan pertunjukan selepas ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk datang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Chong Wei berkata, berbeza dengan perlawanan tegang membabitkan dirinya serta Lin Dan sebelum ini, kali ini pemain nombor satu dunia itu mahu membina gandingan terbaik bersama musuh ketatnya itu.

"Saya juga mahu melihat sendiri pusat latihan di sana kerana saya difahamkan sangat bagus.

"Rasanya kita juga kena fikir seperti itu. Apapun saya akan melihat sendiri cara mereka menguruskan pusat latihan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Razie terpaksa pulang awal

Posted: 10 Feb 2014 08:37 AM PST

Kuala Lumpur: Muhammad Razie Abd Rahim terpaksa menamatkan karier awal bersama Dabur Mumbai Magicians yang beraksi di Liga Hoki India apabila akan kembali ke tanah air hari ini selepas ditimpa kecederaan serius di bahagian bahu kiri.

Pakar pukulan sudut penalti negara itu yang sepatutnya berkhidmat bersama kelab itu sehingga hujung bulan ini, dinasihatkan pengurusan skuad hoki senior negara untuk pulang ke Malaysia lebih awal dalam usaha mempercepatkan proses rawatannya bagi membolehkan Muhammad Razie beraksi pada saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 13 Mac depan di Ipoh, Perak.

Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Mohd Johari Abdul Aziz mengesahkan mengenai kepulangan pemain berusia 27 tahun itu selepas dimaklumkan sendiri pengurus pasukan kebangsaan George Koshy.

"Pihak pengurusan kebangsaan berpendapat tidak ada gunanya Razie kekal di India sebab dia pun tak akan dapat bermain bagi baki aksi liga.


"Selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan kelab di sana, Razie dibenarkan pulang lebih awal," katanya.


Johari berkata, pihaknya masih belum dapat mengetahui secara jelas tahap kecederaan bekas kapten negara itu sehinggalah pertahanan negara itu pulang ke Malaysia.

"Sebaik tiba di sini, dia akan melakukan rawatan lebih lanjut di ISN (Institut Sukan Negara). Selepas itu barulah akan buat keputusan sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau tidak," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dharma Raj Abdullah kurang senang dengan kecederaan terbaru yang menimpa anak buahnya itu dan memberi bayangan Razie mungkin terpaksa diketepikan daripada saingan Piala Sultan Azlan Shah.

Razie ditimpa kecederaan itu ketika beraksi bersama pasukannya menentang Ranchi Rhinos, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Hafizh teruja mula aksi musim 2014

Posted: 10 Feb 2014 08:36 AM PST

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak sabar memulakan aksi musim 2014 dengan menyertai sesi ujian pra-musim rasmi yang bermula di Valencia, Sepanyol hari ini.

Selepas mencapai pelbagai kejayaan memberangsangkan musim lalu, pelumba Program Pembangunan Bakat Petronas itu akan beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Sebagai persediaan awal menghadapi perlumbaan, pelumba berusia 20 tahun itu turut menjalani latihan fizikal dan mental sepanjang dua bulan lalu.

"Kami baru memperoleh jentera Moto2 Kalex 2014 minggu lalu dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum perlumbaan pertama di Qatar.

Seluruh pasukan bekerja keras bagi memastikan jentera dapat disiapkan sepenuhnya untuk ujian pra-musim," kata pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia dalam kenyataan media, semalam.

"Banyak yang perlu dipelajari tahun ini memandangkan di kalangan pelumba Moto2, kebanyakannya sudah beraksi lebih dari tiga tahun dalam kelas ini.

"Mereka lebih berpengalaman dan sudah biasa dengan keadaan litar, ini memang satu kelebihan besar buat mereka," katanya.

Foto

HAFIZH meneliti jenteranya.


Bagaimanapun, Hafizh Syahrin yakin mampu merapatkan jurang antaranya dan pelumba lain dengan sokongan padu pihak pengurusan dan krew pasukan.

"Beraksi untuk musim penuh pertama bukanlah mudah, namun saya akan berusaha berada dalam kelompok 20 pelumba teratas.


Saingan musim ini juga cukup panjang, ada 19 perlumbaan kesemuanya dan tidak mustahil saya mampu melakukan kejutan nanti," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Motorsports Anita Azrina Abdul Aziz yakin dengan keupayaan pelumba muda yang dikembangkan bakatnya melalui Program Pembangunan Bakat Petronas sejak berusia 13 tahun.

"Perjalanan karier Hafizh selama ini cukup baik dan berjaya mencapai sasaran ditetapkan Petronas.

Sepanjang tahun lalu, Hafizh meraih tujuh kedudukan podium di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV malah berjaya menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan," katanya.

Menurut Anita Azrina, musim pertama buat Hafizh Syahrin semestinya sesuatu yang mencabar dan pihaknya bagaimanapun, tidak meletakkan sebarang sasaran luar biasa.

"Kami percaya Hafizh mampu memberikan saingan kompetitif kepada pelumba terbaik dunia.

Kami juga percaya dengan sokongan padu peminat, bukan anya di Malaysia malah di seluruh dunia, Hafizh pasti akan melakukan yang terbaik dan membanggakan kita semua," kata Anita Azrina.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Awang bikin panas

Posted: 10 Feb 2014 08:35 AM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus 'panas' apabila salah seorang daripada empat naib presidennya, Datuk Awang Sham Amit mengumumkan hasrat meletak jawatan pada mesyuarat Ahli Majlis badan induk berkenaan yang berlangsung hujung minggu lalu.

Tindakan dilakukan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA) itu susulan sindiran pedas Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail kononnya beliau mahu mencabar kepimpinan ketika ini.

"Saya kecewa apabila berulang-kali disebut seolah-olah mahu mencabar jawatan tertinggi PSM. Jadi jika saya menjadi penghalang dan memecah-belahkan PSM, saya sedia berundur dan saya sudah menyatakan hasrat itu dalam mesyuarat berkenaan, kini terpulang kepada mereka untuk menentukannya.

"Beliau (Ahmad) menggambarkan seolah-olah saya mahu menjadi Timbalan Presiden dan Mohd Shapian Ali yang ketika ini menjadi orang nombor dua PSM bakal mengambilalih pucuk pimpinan. Terus-terang saya katakan, saya tidak berminat untuk dua jawatan tertinggi ini kerana berada jauh di Sabah," kata Awang Sham yang memegang jawatan berkenaan sejak 2008.


Jawatan yang disandang Ahmad sejak 2003, panas susulan desakan berterusan disuarakan segelintir bekas pemain negara dan peminat sepak takraw yang mahukan perubahan pucuk pimpinan PSM selepas kegagalan berterusan dialami skuad negara di pentas antarabangsa.


Malah secara kebetulannya, penggal 2010-2013 sudah berakhir dengan PSM dijangka melakukan mesyuarat agung untuk pemilihan tiga tahun seterusnya selepas Sukan Asia di Korea Selatan pada Oktober ini.

"ASTAKA bergabung dengan PSM dengan tujuan membangunkan sepak takraw, berharap dapat tunjuk ajar, bantuan dan sebagainya namun kami dianggap sebagai duri dalam daging," katanya.

Menurutnya, Ahmad tidak perlu gentar sekiranya ada pihak yang mahu mencabar kepimpinannya.

"Apa yang mahu bising sekiranya beliau merasakan mempunyai sokongan yang kuat. Apa nak takut apa yang perkatakan orang luar kerana nasib mereka (kepimpinan PSM) ditentukan oleh pihak perwakilan yang boleh mengundi," jelasnya.

Katanya, mesyuarat berkenaan sepatutnya menjadi jalan untuk membincangkan masalah pencapaian skuad negara yang lemah dan peminat marah terhadap PSM kerana mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

KL Saracens idam juara keseluruhan

Posted: 10 Feb 2014 08:33 AM PST

Kuala Lumpur: Kelab Ragbi KL Saracens memasang impian besar dalam Kejohanan Ragbi Bintang Antarabangsa 10 Sebelah KLS kali ketujuh di Bukit Kiara Equestrian Club Kuala Lumpur, dengan menyasarkan untuk menyapu bersih semua kategori dipertandingkan.

Kejohanan pada 15 dan 16 Februari itu sebelum ini dikenali sebagai BRC International 10s, adalah antara kejohanan ragbi peringkat bawah umur terbesar pernah dianjurkan di Asia Tenggara dengan lebih 2,300 pemain remaja mengambil bahagian setiap tahun.

Uniknya penganjuran kali ini membabitkan hampir 10 kategori bawah umur, bermula dari peringkat umur 7 sehingga 18 tahun.

Paling mencuri tumpuan apabila penganjur berjaya menarik minat 156 penyertaan pasukan dari seluruh negara dan beberapa kelab luar negara seperti Hong Kong, Singapura, Sri Lanka, Macau, Thailand, Indonesia dan kelab dari negara Teluk, Dubai.

Ketua jurulatih KL Saracens Mohamed Tharmizy Abd Razak berkata, pasukannya mampu menjuarai kesemua kategori dipertandingkan pada kejohanan dua hari itu nanti berdasarkan keputusan cemerlang diraih dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kami meletakkan harapan tinggi pada edisi kali ini dengan misi mahu bergelar juara keseluruhan.

Melihatkan kepada kejayaan kami sepanjang tahun lalu, kami yakin impian itu bukan mustahil.

"Cabaran tetap ada daripada pasukan lain seperti Hong Kong FC dan Singapore Dragons & Tanglin RC, namun kami mengambil pendekatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya tidak nampak misi itu memberi tekanan kepada anak buah saya, bahkan mereka lebih bersemangat untuk merealisasikan sasaran itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukannya di Padang Latihan Pulapol, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Buat pemain remaja KL Saracens berusia 15 tahun kelahiran England Owen Goulding, dia berazam mahu mempamerkan permainan terbaiknya pada kejohanan itu dengan membantu pasukannya muncul juara.

"Saya amat meminati pemain ragbi skuad England Jonny Wilkinson.

Saya ingin bermain sepertinya dan kejohanan ini peluang terbaik saya untuk menonjolkan bakat," katanya.

Untuk rekod, KL Saracens adalah juara bertahan musim lalu dalam kategori 16 dan 18 tahun.

Foto

PEMAIN KL Saracens gigih berlatih menjelang perlawanan sebenar.


Juara setiap kategori akan membawa pulang piala iringan berserta pingat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

No comments:

Post a Comment