Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kalau dah kaki tipu

Posted: 07 Feb 2014 12:34 PM PST

Kuala Lumpur: Pengalaman bersama seorang suami warga Nigeria dan tiga teman lelaki dari negara sama membolehkan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun pakar dalam teknik penipuan 'African Scam'.

Difahamkan, wanita yang berstatus janda anak tiga itu pernah ditahan bersama teman lelakinya seorang lelaki warga Nigeria bulan lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis sebelum menyertai sindiket lain pula.

Sumber polis berkata, lebih mengejutkan wanita berkenaan menjadi dalang utama bagi menipu mangsa terutama wanita tempatan dengan menyamar sebagai pegawai kastam dan imigresen.

"Dengan pembabitannya dalam sindiket African Scam sejak bercinta dengan tiga teman lelaki warga Nigeria itu, dia sudah memperoleh keuntungan antara RM1.2 dan RM2 juta.

Foto

ABD Jalil menunjukkan pasport seorang anggota sindiket African Scam.


"Wanita itu yang pakar dalam teknik penipuan juga dijadikan ejen perkhidmatan kurier bagi anggota sindiket, malah sanggup bercinta dengan dua lelaki warga Nigeria lain dalam tempoh sama bagi membolehkan dia memperoleh keuntungan lebih," katanya.


Sumber berkata, pembabitan wanita itu secara aktif dalam kegiatan African Scam terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan bantuan Pasukan Khas JSJK menyerbu beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, semalam.

Mengulas lanjut mengenai sindiket berkenaan, Timbalan Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, sindiket berkenaan yang dianggotai lima lelaki Nigeria dan 10 warga tempatan termasuk tujuh wanita itu ditumpaskan selepas seorang wanita warga Singapura membuat laporan ditipu RM550,000 sejak enam bulan lalu.

Beliau berkata, mangsa berusia 60 tahun itu yang juga seorang ahli perniagaan di Johor Bahru berkenalan dengan seorang daripada suspek yang menyamar sebagai lelaki warga Ireland melalui laman sosial Facebook sejak Julai lalu.

"Selepas menjalin persahabatan, lelaki itu yang kononnya sayang dengan mangsa menyatakan niatnya untuk menghantar hadiah mengandungi wang tunai 750,000 pound sterling (RM4,089,719.78) kepada mangsa.

"Seperti yang dijanjikan, pada 21 Ogos lalu, mangsa menerima e-mel kononnya daripada Jabatan Kastam yang bungkusan berkenaan sudah tiba di Malaysia, tetapi mangsa diminta membuat pembayaran cukai kastam dan eksais untuk mendapatkan bungkusan berkenaan," katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang percaya pada lakonan anggota sindiket itu membuat 12 transaksi ke atas empat akaun bank tempatan dalam tempoh enam bulan membabitkan kerugian RM550,000 dan akhirnya tersedar dirinya tertipu sebelum membuat laporan polis pada 21 Januari lalu.

Susulan laporan polis dibuat mangsa, Abdul Jalil berkata, JSJK Bukit Aman membuat intipan dan serbuan di beberapa kawasan di Lembah Klang sebelum menahan semua suspek termasuk tujuh wanita tempatan.

"Semua suspek berusia 25 hingga 40 tahun. Bersama mereka, polis turut merampas 14 buku akaun simpanan pelbagai bank, 21 kad ATM, 10 telefon bimbit dan sebuah komputer riba dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

"Sebaik ditahan, kelima-lima lelaki warga Nigeria itu mendakwa memasuki negara ini menggunakan visa pelajar dan selain mendakwa wang penipuan itu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan selebihnya dihantar pulang ke negara asal mereka," katanya.

Siasatan mendapati, lebih RM1.2 juta sudah dimasukkan ke dalam akaun wanita itu (dalang).

Beliau berkata, salah seorang wanita tempatan yang ditahan itu didapati menjadi dalang utama dalam sindiket berkenaan dan dia juga adalah teman wanita kepada salah seorang lelaki Nigeria terbabit.

"Wanita berkenaan boleh dikatakan pakar dalam penipuan jenis ini berikutan memiliki rekod jenayah lampau membabitkan jenayah penipuan selain pernah ditahan bersama teman lelaki lain dalam Ops Tiong.

"Kita mendapati lebih RM1.2 juta sudah dimasukkan ke dalam akaun wanita itu selepas bergiat dalam sindiket ini," katanya.

Abdul Jalil berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan suspek sudah mengaut lebih RM7.8 juta dalam tempoh dua tahun membabitkan ramai mangsa di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Telan racun lepas bercerai

Posted: 07 Feb 2014 12:30 PM PST

Gua Musang: "Selama 20 tahun berkahwin kami kerap berbalah, malah dia pernah mengungkapkan perkataan mahu membunuh saya. Dia panas baran dan sudah beberapa kali saya menuntut cerai daripadanya," kata Nisah Drani, 38, bekas isteri seorang lelaki yang menelan serbuk dipercayai racun sehingga tidak sedarkan diri selepas mereka bercerai, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi di Taman Bunga Tropika, di sini, lelaki berusia 53 tahun itu kini bertarung nyawa selepas dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Nisah yang mempunyai empat anak berusia 10 hingga 19 tahun hasil perkongsian hidup dengan lelaki itu berkata, sebelum kejadian, mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang untuk menyelesaikan kes tuntutan perceraiannya pada jam 8.30 pagi dan bekas suami melafazkan cerai terhadapnya di mahkamah berkenaan.

Katanya, ketika di rumah pada jam 3 petang, bekas suami yang bekerja sebagai pemandu lori tidak berpuas hati apabila berulang kali bertanya sama ada dia benar-benar mahu bercerai sedangkan lafaz cerai sudah diungkapkan di mahkamah.

"Saya hanya berdiam diri kerana tidak mahu berbalah.

Tiba-tiba dia mengambil sebilah pisau dan cuba mengelar muka saya, tetapi dihalang anak lelaki sulung.

"Lelaki itu kemudian mengambil botol mengandungi serbuk dipercayai racun dan terus menelan serbuk berkenaan.

Foto


Tidak lama kemudian, dia rebah sebelum saya menghubungi Hospital Gua Musang (HGM) yang menghantar ambulans bagi membawa bekas suami ke hospital," katanya.


Menurutnya, dia dimaklumkan bekas suami kemudian dirujuk ke HRPZ II kerana kerana keadaannya agak kritikal.

Katanya, dia segera membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

"Walaupun sudah bercerai, saya tetap sedih dengan apa yang berlaku dan tetap melawatnya di hospital," katanya.

Sementara itu, jurucakap IPD Gua Musang mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Caruman tergadai

Posted: 07 Feb 2014 12:28 PM PST

Banting: Seorang lelaki sanggup mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya sebanyak RM50,000 bagi dilaburkan dalam perniagaan emas dimiliki seorang lelaki hampir dua tahun lalu namun pulangannya hanya bertahan tiga bulan sebelum syarikat serta pemilik syarikat terbabit lesap sehingga kini.

Mangsa tidak lagi mengharapkan wangnya itu dikembalikan sebaliknya berharap lelaki yang mempermainkan perasaan kerana tergamak menipu wang hasil titik peluhnya sepanjang memerah keringat sebagai pekerja kilang itu dibawa ke muka pengadilan.

Adzahar Musa, 56, berkata, dia juga sangat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap penipu berkenaan bagi mengelak mereka seusia dengannya terus menjadi mangsa.

"Sebenarnya pelbagai usaha sudah saya lakukan namun semuanya menemui jalan buntu.

"Saya sudah penat ke sana ke mari meminta bantuan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah ini namun selepas hampir dua tahun usaha itu hanya sia-sia kerana ia masih tidak dapat diselesaikan.

"Saya sudah tidak tahu mahu meminta bantuan sesiapa lagi kerana apa yang saya harapkan sekarang supaya si pelaku diheret ke mahkamah," katanya.

Menurutnya, walaupun menyesal kerana terpedaya dengan pujuk rayu 'pengarah' terbabit sehingga sanggup memberikan semua wang simpanan KWSP begitu saja, tiada apa yang boleh dibuatnya lagi dan kini pada usianya, dia terpaksa bekerja sebagai tukang kebun dengan bayaran RM300 sebulan untuk membiayai empat anak yang masih bersekolah.

Adzahar berkata, dia terbabit dalam pelaburan emas itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa pengarah syarikat pelaburan emas yang dipercayai berasal dari sebuah negeri di pantai timur daripada seorang rakan pada Jun 2012.

"Saya tertarik dengan program pelaburan emas yang diterangkan sehingga pada 13 Jun 2012 saya melabur sebanyak RM20,400 dengan pulangan dijanjikan sebanyak RM1,800 sebulan.

"Bulan pertama saya menerima pulangan seperti dijanjikan menyebabkan sekali lagi termakan pujukan pengarah itu untuk menambah pelaburan dan pada 20 Julai, saya memasukkan RM30,000 ke dalam akaun pengarah terbabit untuk menambah pelaburan dan dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus keuntungan daripada jumlah pelaburan.

"Namun, saya hanya menerima pulangan dua kali sahaja iaitu pada 16 Ogos sebanyak RM1,980 dan 20 September RM2,087 dan sehingga kini tiada lagi bayaran dilakukan.

"Pengarah terbabit juga sudah menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi menyebabkan saya membuat laporan polis pada 4 Mac tahun lalu," katanya.

Katanya, sebelum menghilangkan diri, pengarah itu menghantar SMS menyatakan pelbagai alasan mengapa dia tidak dapat membayar pulangan pelaburannya.

"Selain membuat laporan polis, pelbagai usaha sudah saya lakukan termasuk meminta bantuan guaman tetapi sehingga kini saya masih menemui jalan buntu," katanya.

Foto

ADZAHAR menunjukkan rekod transaksi wang yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

Rimbunan jaya

Posted: 07 Feb 2014 12:25 PM PST

Jasin: Usaha kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat menerusi projek Rimbunan Kaseh di Serkam, di sini, dilihat amat berjaya.

Projek dengan peruntukan RM24 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM3 juta oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu memberi pendapatan bersih sebanyak RM1,500 sebulan kepada 97 peserta projek terdiri daripada penerima zakat kategori asnaf miskin.

Peserta Norisham Seman, 35, berkata, program Taman Rimbunan Kaseh perlu diteruskan pada masa akan datang bagi membantu mengubah nasib golongan memerlukan sepertinya.

"Jika dulu dapat saja gaji sebagai pengawal keselamatan sekolah sebanyak RM1,000 sebulan, saya perlu membelanjakannya untuk persekolahan tiga anak terlebih dulu dan membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan. Baki wang yang dibelanjakan barulah dapat digunakan untuk membeli barangan dapur dan keperluan lain.

Foto

NAJIB memetik buah tembikai susu 'Rock Melon' sambil diperhatikan Idris.


"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu meringankan bebanan saya sekeluarga. Saya kini mampu meraih pendapatan bersih sebanyak RM1,500 sebulan dan kehidupan semakin ceria," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Taman Rimbunan Kasih di Serkam, di sini, semalam.


Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Mantan Ketua Menteri Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Seorang lagi peserta Sham Arifin, 45, berkata, dia dan keluarga amat gembira kerana berpeluang mengikuti program ini.

"Sebelum ini saya bekerja dengan sebuah syarikat dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Berbekalkan wang itu saya gunakan membayar sewa rumah sebanyak RM250 selain perlu menanggung dua anak masih bersekolah kerana isteri tak kerja," katanya.

Sham berkata, sepanjang dia menjadi peserta projek itu, kehidupannya bersama keluarga menjadi lebih baik dan teratur.

"Sepanjang menjadi peladang di sini, saya banyak didedahkan dengan ilmu pertanian moden yang tidak pernah diceburi. Ia mengubah keluarga kerana kami kini rajin bercucuk tanam meskipun hanya di hadapan rumah," katanya.

Semua peserta projek turut diberikan kediaman lebih sempurna yang mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air selain ruang tamu luas dan selesa dengan kos sewa RM100 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

'Pejabat' 60m atas pokok

Posted: 07 Feb 2014 12:23 PM PST

Kuantan: Walaupun ia satu pekerjaan berisiko, namun demi kesinambungan hasil hutan negara, kakitangan di bawah Unit Perolehan Biji Benih (Teknik Memanjat Pokok) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu memanjat pokok balak yang berketinggian puluhan meter bagi mendapatkan benih semaian selain memangkas dan menebang pokok.

Hanya menggunakan seutas tali selain beberapa peralatan tambahan seperti tali pinggang khas (harness), penarik (single rope technique) dan kekunci (karabiner) mereka sudah terlatih untuk memanjat pokok yang mencapai ketinggian lebih 60 meter.

Sejak ditubuhkan 18 tahun lalu kini terdapat seramai 20 kakitangan yang terbabit dengan memanjat pokok dan rata-rata mereka berpengalaman luas menjalankan tugas berkenaan.

Penubuhan unit itu hasil cetusan idea pengurusan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang mendapat sokongan padu daripada Bantuan Teknik Jerman (GTZ) yang berkongsi kepakaran termasuk menyediakan latihan.

Foto

KEMAHIRAN tinggi dan pengalaman perlu ada pada setiap pemanjat.

Foto

MOHD Amidun (kiri) menunjukkan cara sebelum memanjat.


Seorang kakitangan Mohd Amidun Abdul Taib, 48, dihantar ke Jerman terpilih mengikuti kursus asas memanjat selama sebulan kendalian juara lima kali sukan memanjat pokok dunia Bernd Strasser.


Bagi Mohd Amidun, pengalaman dimiliki kini dikongsi dengan kakitangan lain sebagai usaha memperluaskan lagi kemahiran memanjat bagi kemudahan JPNP.

Bagaimanapun, katanya, hanya Unit Memanjat dan Fenologi Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau, di sini, dan Pusat Perolehan Biji Benih Lentang, Bentong saja yang aktif menjalankan tugas mencabar itu.

Menurutnya, tidak semua individu mampu memanjat pokok yang ketinggiannya mencecah puluhan meter, risikonya tinggi dan macam-macam boleh berlaku sama ada terjatuh dan disengat tebuan atau penyengat.

"Selain kecergasan dan semangat kental pada individu terbabit, kelengkapan memanjat termasuk peralatan keselamatan juga berada dalam keadaan terbaik bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Tali dan peralatan yang digunakan hanya boleh bertahan dalam tempoh tertentu saja bergantung kepada kekerapan digunakan, selepas itu peralatan berkenaan perlu dilupuskan," katanya.

Dia berkata, kos peralatan memanjat lengkap termasuk topi keselamatan, kasut dan sarung tangan yang diimport mencecah antara RM20,000 dan RM50,000 bergantung kepada jenama dan kualiti.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

No comments:

Post a Comment