Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Atlet Tionghua negara mahu setangkas kuda

Posted: 30 Jan 2014 09:35 AM PST

Kuala Lumpur: Atlet berketurunan Tionghua mahu menjadikan Tahun Kuda pada kalendar masyarakat Cina tahun ini untuk mereka turut menjadi tangkas seperti haiwan itu dalam menghadapi kejohanan terutama di peringkat antarabangsa.

Bagi atlet wushu negara Diana Bong Siong Lin, beliau berharap Tahun Kuda akan memantapkan lagi persembahannya terutama bagi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang dijadual bermula 19 September ini.

"Kalau boleh saya tidak ingin mengulangi kesilapan sama ketika beraksi di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China yang menyebabkan saya terlepas pingat. Saya tidak berani letakkan sasaran tinggi, namun saya akan beri persembahan terbaik," katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut mulai hari ini, anak jati kelahiran Kuching itu memilih menyambutnya secara sederhana bersama keluarga selain berusaha mengurangkan perbelanjaan terutama dalam membeli pakaian baru.

Foto

ATLET negara (belakang dari kiri) Khoo Cai Lin, Daniel Bego, Christina Loh, Ooi Tze Liang serta (depan dari kiri) Phoon Eyin, Tai Cheau Xuen, Diana Bong dan Leong Mun Yee gembira meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Foto

ATLET menggaul 'yee sang' meraikan sambutan Tahun Baru Cina walaupun sibuk menjalani latihan di MSN, Bukit Jalil, semalam.


"Saya ingat tak akan beli pakaian baru tahun ini kerana baju tahun lalu masih elok dan apa yang lebih penting saya dapat bersama keluarga," katanya.


Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Doha 2006 ini berkata, sekembalinya daripada cuti, dia akan meneruskan sesi latihan bagi proses pemulihan otot.

"Menjadi rutin bagi atlet wushu atau sukan lain untuk berehat bagi proses pemulihan dalam masa singkat selepas beraksi di kejohanan besar. Saya perlu mulakan latihan pada tahap satu terlebih dulu sebelum bersedia menghadapi kejohanan selepas ini," kata Diana yang meraih dua emas menerusi acara nanquan dan nandao.

Berkongsi harapan sama ialah atlet lontar peluru Jackie Wong Siew Cheer yang berharap kehadiran Tahun Kuda mampu melonjakkan semangat bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Komanwel yang dijadualkan bermula 23 Julai ini.

Pemenang gangsa Sukan SEA Myanmar ini berkata, kuda yang disebut 'ma' dalam bahasa Mandarin juga membawa maksud pantas mampu menjadi azimat terbaik untuknya mempelajari teknik lontaran baharu bagi memperkemaskan lagi persembahannya.

"Saya baru belajar beberapa teknik baru dalam melakukan lontaran dan harap dapat menguasai teknik itu sebelum Terbuka Hong Kong atau Terbuka Taiwan pertengahan tahun ini," katanya yang pulang ke kampung halaman di Sarikei untuk menyambut tahun baru. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

SCK tampil dua muka baru

Posted: 30 Jan 2014 09:33 AM PST

Kuala Lumpur: Barisan pelumba baru menjadi taruhan pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Dalam misi mempertahan gelaran juara pasukan terbaik CP130, pasukan yang dikendali Soong Chee Kieong itu bakal mendapatkan khidmat dua pelumba berpengalaman iaitu Mohd Zamri Baba dan Ahmad Fazrul Sham.

Kedua-dua pelumba itu akan mengisi tempat kosong yang ditinggalkan Mohd Affendi Rosli dan Elly Idzlianizar Ilias dengan kedua-duanya bakal bergandingan dengan Norizman Ismail dan Mohd Fitri Ashraf Razali. Keempat-empat pelumba itu akan beraksi dalam kategori CP130.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, Soong Chee Kieong berharap barisan pelumba baru ini akan membawa tuah buat pasukannya yang sudah menempa pelbagai jenis kejayaan sepanjang pembabitan mereka dalam kancah Cub Prix.

Foto

CHEE Kieong (kanan) memberi angpau dan buah limau kepada pelumba SRC, semalam.


Antaranya, kem ini pernah bergelar Juara Anugerah Berpasukan CP130 selama tiga tahun berturut-turut (2011-2013) dan mereka juga memenangi gelaran juara Expert individu tiga kali menerusi Norizman Ismail (2005, 2011) dan Azlan Shah Kamaruzaman (2012).


Selain itu, antara pelumba SCK Racing yang pernah bergelar juara termasuk Rid
wan Bakri (WIRA) dan Affendi Rosli yang menjuarai kategori Novis pada 2007. Lebih membanggakan lagi, Affendi turut muncul juara keseluruhan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS pada 2009.

"Kami amat gembira sekali dengan kehadiran Zamri serta Fazrul dan sudah tidak sabar untuk memulakan saingan musim baru. Kami percaya kehadiran mereka akan membawa nafas baru buat pasukan ini dan lebih manis berita gembira ini hadir ketika sambutan Tahun Baru Cina," kata Chee Kieong.

"Walaupun mereka boleh dikatakan agak 'senior', kedua-dua pelumba ini masih dahagakan kemenangan dan saya percaya kehadiran mereka baik untuk pasukan ini, sekali gus mendorong mereka memberikan aksi terbaik pada setiap pusingan."

Menurutnya, walaupun Zamri dan Fazrul memacu jentera Yamaha sejak permulaan karier mereka, ia tidak menjadi masalah. Sebaliknya, beliau menganggap pengalaman mereka boleh digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi prestasi jentera Honda.

"Ramai beranggapan mereka akan mengalami kesukaran menyesuaikan diri apabila beralih jentera namun ini tidak benar sama sekali. Setiap jentera mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri dan saya percaya kemahiran Zamri dan Fazrul boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan Honda.

"Cuba lihat pelumba Moto2 negara, Azlan Shah. Sebelum bersama kami, dia hanya pernah memacu jentera Yamaha tapi menggunakan kemahiran itu untuk merangkul gelaran juara 2012 bersama Honda.

"Tidak dinafikan sedikit masa diperlukan sebelum mereka benar-benar serasi bersama jentera baru. Saya berharap mereka bersabar dan menganggap segala halangan yang ditempuhi sebagai cabaran baru buat pembangunan karier mereka," katanya yang juga bekas pelumba itu.

Sementara itu, Zamri berkata, dia sudah berlumba bersama Yamaha selama 10 tahun namun masih belum berjaya memenangi gelaran juara CP130/ Expert.

"Hakikat itu mendorong saya untuk melakukan sedikit perubahan kepada karier saya dengan beralih pasukan dan jentera. Moga-moga impian saya boleh dicapai bersama SCK Racing.

"Pada masa sama, saya amat berterima kasih kepada Chee Kieong kerana memberi peluang ini. Saya turut teruja akan digandingkan dengan rakan sepasukan baru, Norizman, Fazrul Sham dan Fitri Ashraf. Saya percaya kami boleh bekerja-sama dengan baik sekali," katanya.

Dalam pada itu, Chee Kieong turut mendedahkan pasukannya bakal menggunakan jentera baru bagi memberikan saingan kepada pasukan lain.

Bagaimanapun, setakat ini jentera itu masih belum diuji kemampuannya di atas litar berikutan kesibukan melakukan persiapan menyambut Tahun Baru Cina, namun beliau yakin kemampuannya untuk tampil kompetitif.

"Selain pelumba, kami akan menggunakan jentera baru bagi menghadapi saingan Cub Prix musim ini. Ia model terbaru Honda Dash 110. Setakat ini tidak banyak dapat diperkatakan kerana kami belum melakukan ujian litar tapi berdasarkan ujian dyno dan data asas musim lalu, kami percaya ia boleh membantu pelumba menjadi pencabar utama secara konsisten apabila musim baru bermula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Pahang tekad benam LionsXII

Posted: 30 Jan 2014 09:24 AM PST

Kuantan: Sudah melupakan dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super, Pahang kini mahu memastikan kemenangan apabila bertemu LionsXII pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar, malam esok.

Jurulatih pasukan, Ronald Smith berkata, walaupun skuadnya gagal mempamerkan prestasi meyakinkan terutama ketumpulan barisan serangan tetapi beliau tetap percaya mengenai tentangan sengit yang bakal dipersembahkan bagi menyekat tuan rumah daripada mencapai kemenangan.

"Kami akan memberi tekanan kepada lawan sambil mengharapkan pemain dapat beraksi dengan lebih baik dan memanfaatkan segala peluang yang ada.

"Dua kekalahan lalu tidak harus memberi tekanan sebaliknya mereka diharap menebus kesilapan itu dengan mencatat kemenangan ke atas LionsXII," katanya semalam.

Foto

SMITH (tengah) ada strategi ampuh tewaskan LionsXII.


Dalam pada itu, penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil mengakui perasaan cemas memang dihadapi tetapi tidak bermakna mereka berada prestasi tidak meyakinkan pada tiga perlawanan Liga Super ketika ini.


Justeru, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu percaya nasib belum lagi menyebelahi skuad Tok Gajah itu seperti dipersembahkan ketika perlawanan menentang Selangor dan Sime Darby FC.

"Saya akui memang cemas tapi percaya nasib belum lagi memihak kepada Pahang selepas kami gagal mempamerkan prestasi meyakinkan dalam dua perlawanan lalu.

Bagaimanapun, Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex percaya Pahang akan kembali bangkit terutama melakar kemenangan serta dapat melakukan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Johor DT waspada ancaman T-Team

Posted: 30 Jan 2014 09:23 AM PST

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) harus berwaspada dengan corak permainan pantas T-Team seandainya impian melangkah ke suku akhir tidak tersekat apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam esok.

Skuad Harimau Selatan yang turun berbekalkan misi memburu kejuaraan Piala FA untuk menempatkan diri dalam kancah Piala AFC musim depan, perlu berdepan ujian getir kerana T-Team menjadi pasukan pertama menewaskan Johor DT 1-0 pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Apapun pengendali Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez tampak yakin namun tetap berhati-hati apabila berdepan anak didik Mohd Azraai Khor Abdullah yang ingin menidakkan harapan mereka.

"Mungkin Aidil Zafuan (Abdul Radzak) tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami kecederaan paha kanan namun saya mempunyai pengganti mengisi kekosongan tempatnya dengan kemungkinan menurunkan sama ada S Subramaniam atau Mohd Fadhli Shas.

"Pemain yang akan mengisi kekosongan Aidil Zafuan perlu beraksi lebih 100 peratus malah yang lain juga harus bekerja keras.

"Piala FA amat penting bagi Johor DT, kita perlu menang kerana sebagai finalis musim lalu, sasaran utama kali ini menjuarai piala itu bagi memburu slot ke Piala AFC musim depan.

Saya yakin pemain akan memberi persembahan terbaik," katanya.

Sememangnya Jiminez perlu berwaspada dengan corak permainan T-Team yang dianggap `pembunuh senyap' sejak dibimbing Mohd Azraai kerana pasukan itu mempunyai barisan mantap serta bijak menyusun strategi.

Barisan tengah Harimau Selatan sekali lagi menjadi tumpuan bukan saja bagi menyekat gerakan pasukan kelab dari Pantai Timur itu malah perlu bijak mengatur strategi ampuh dengan kelibat Pablo Aimar menjadi taruhan terbaik sambil dibantu Shakir Shaari.

Yang pasti, JDT akan turun habis-habisan bukan saja mahu mencari kemenangan sebaliknya membalas dendam kekecewaan selepas tumpas 1-0 kepada T-Team pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Zayar Win tak bersalah!

Posted: 30 Jan 2014 09:22 AM PST

Ipoh: Perak mendakwa pemain tengah, Kyaw Zayar Win yang dilayangkan kad merah ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium MP Selayang, Selasa lalu tidak bersalah.

Justeru pengurus pasukan Bos Gaurus, Datuk Azhar Ahmad meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya meneliti semula keputusan yang dibuat demi mengembalikan integriti sukan itu

Zayar Win digantung dua perlawanan serta didenda RM1,500 kerana mengutip kad merah pada minit ke-89 perlawanan yang menyaksikan Perak tumpas 0-1 itu.

Azhar berkata, beliau diarahkan kepimpinan negeri supaya membuat rayuan kepada FAM terhadap hukuman penggantungan itu.

Foto

ZAYAR Win (kanan) digantung dua perlawanan serta denda RM1,500.


"Secara peribadi saya rasa Zayar Win tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia jatuh selepas ditampar pemain lawan dan bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum mengemukakan pertanyaan kepada pengadil, Shamsuddin Ibrahim. Sebaliknya dia pula yang dilayangkan kad merah.


"PAFA bukan hendak mencari salah pengadil atau mengecam pegawai perlawanan. Sebaliknya kami mahu mencari keadilan serta melaporkan kepincangan itu kepada FAM seperti yang dimahukan badan induk bola sepak negara itu.

"Saya yakin pegawai FAM yang berwibawa mampu membuat keputusan rasional. Jadi jika berlaku sebarang kesilapan saya berharap mereka akan mengubahnya demi memperbetulkan keadaan," katanya.

Selain kontroversi kad pemain tengah itu, Azhar berkata gol Juan Manual Arostegui pada minit ke-18 itu juga meragukan dan berharap jawatankuasa berkenaan akan membuat penilaian.

"Biarlah mereka yang arif dan berwibawa membuat keputusan mengenai gol itu. Ada pelbagai andaian mengenainya setakat ini.

"Jika ada kesilapan pengadil biarlah jawatankuasa itu membuat pembetulan. Dengan cara ini pengadil kita akan dapat diperbetulkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Melaka mahu naik taraf lampu limpah

Posted: 30 Jan 2014 09:20 AM PST

Melaka: Perbadanan Stadium Melaka (PSM) bercadang menaik taraf lampu limpah Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, dalam memastikan stadium berkenaan menepati spesifikasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan perlawanan dilangsungkan pada waktu malam.

Pengerusi PSM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, buat masa ini tahap kecerahan lampu limpah stadium itu tidak memenuhi tahap kecerahan sekurang-kurangnya 1,000 laks seperti ditetapkan FAM.

untuk perlawanan Liga Malaysia diadakan pada sebelah malam.

"Tahap kecerahan lampu limpah Stadium Hang Jebat ketika ini sekitar 800 laks, ia perlu dinaik taraf untuk membolehkan perlawanan dilangsungkan pada waktu malam.

"Kami masih menunggu laporan daripada kontraktor dilantik bagi menilai peruntukan diperlukan untuk menggantikan lampu limpah di stadium ini dengan kosnya dianggarkan mencecah RM3.2 juta," katanya.

Beliau berkata, jumlah besar itu juga akan diteliti sama ada dengan hanya menukar saja unit lampu yang tidak berfungsi dianggarkan mencecah RM600,000 atau sebaliknya.

Katanya, buat masa ini, saingan Melaka United di pentas piala FAM yang bermula Mac akan dilangsungkan pada sebelah petang di venue terbabit manakala saingan Piala Presiden dilangsungkan di Stadium Hang Tuah.

Dua pasukan Liga Perdana menjadikan Stadium Hang Jebat sebagai gelanggang tuan rumah pada musim ini termasuk KL SPA dan DRB Hicom yang beraksi pada sebelah petang.

Setakat ini, KL SPA menggunakan venue terbabit ketika berdepan UiTM FC dan DRB Hicom bertemu Kedah FA dan kedua-dua pasukan akan bertembung di gelanggang berkenaan 7 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Amaran awal Politeknik Pahang

Posted: 30 Jan 2014 09:19 AM PST

Kelantan: Aksi bersemangat menjadi kelebihan kepada pasukan Politeknik Pahang untuk menjulang kejuaraan Kejohanan Futsal Politeknik 2014 di Real 7 Futsal, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Pada saingan akhir, skuad bimbingan Mohd Zamri Sa'at yang dilihat pasukan bukan pilihan menewaskan Politeknik Melaka 2- 0 untuk membawa pulang piala iringan, pingat dan set jersi.

Kejohanan anjuran Politeknik Kota Bharu itu menghimpunkan 13 politeknik seluruh Malaysia yang bertujuan mengeratkan hubungan di kalangan pemain selain sebagai usaha mencungkil bakat baru, seterusnya terpilih ke peringkat kebangsaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengajian Politeknik Kamaruddin Hamzah.

Mohd Zamri berkata, pasukan Politeknik Pahang dihasilkan daripada gabungan pemain Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Muadzam Shah dan Politeknik Metro Kuantan yang hanya sempat mengikuti latihan dalam tempoh beberapa minggu saja.

Namun menurutnya, dengan semangat juang tinggi serta kerja keras pemain impian menjulang kejuaraan sulung musim ini akhirnya menjadi kenyataan yang melakar sejarah manis pasukan Politeknik Pahang.

"Rekod cemerlang pasukan Politeknik Melaka yang sebelum ini beberapa kali menjulang kejuaraan kejohanan futsal politeknik ternyata tidak menjejaskan tumpuan barisan pemain saya yang begitu yakin dapat menjinakkan lawan.

"Saya berharap kejayaan kali ini memberi gambaran awal kekuatan sebenar pasukan Politeknik Pahang yang akan bersaing dalam Kejohanan Futsal Liga Institut Pengajian Tinggi (IPT) edisi 2014, Mac depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

'Tunggu saja hasilnya nanti'

Posted: 30 Jan 2014 09:17 AM PST

Kuala Lumpur: "Tunggu saja masanya untuk dia mencapai kemuncak prestasi terbaik."

Demikian pandangan Zulkifli Sidek selaku jurulatih serta ayah pemain perseorangan negara, Zulfadli (gambar) yang tetap yakin anaknya akan meraih kejayaan lebih besar dalam tempoh setahun dua dari sekarang.

Sekalipun ada yang menganggap prestasi Zulfadli semakin merudum sejak merangkul gelaran juara remaja dunia serta Asia tiga tahun lalu, Zulkifli yang melatih anaknya tanpa bernaung dengan mana-mana persatuan tidak mahu ambil pusing segala kritikan itu.

Sebaliknya beliau yang menjadi tunjang utama di sebalik kejayaan Zulfadli mahu pengkritik atau peminat yang gusar dengan masa depan pemain berusia 21 tahun itu supaya menantikan saja hasilnya tidak lama lagi.

Foto


"Saya faham dengan segala kritikan itu, malah saya sendiri sedar mengenainya.

"Tapi sebagai jurulatih dan bapa kepada Zulfadli yang selalu meluangkan masa bersamanya, saya tahu di mana tahap prestasinya sekarang.

"Orang luar mungkin melihat pencapaiannya di beberapa kejohanan tidak memberangsangkan, tapi pada saya aksi Zulfadli semakin kemas dan prestasinya sedang meningkat naik ketika ini," katanya.

Zulkifli memberi contoh kemampuan anaknya itu mara ke saingan suku akhir Grand Prix (GP) Emas di India, baru-baru ini yang di luar daripada sasarannya sendiri.

"Itu antara peningkatan corak permainan Zulfadli yang saya maksudkan. Dia memerlukan selangkah demi selangkah untuk mencapai tahap permainan lebih baik.

"Begitulah juga yang pernah dilalui jaguh badminton kita Datuk Lee Chong Wei. Dia juga naik ketika usianya hampir sama dengan Zulfadli ketika ini," katanya yang sudah menyusun jadual pertandingan yang akan disertai anaknya sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Madzli sedia curah ilmu

Posted: 30 Jan 2014 09:16 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas kapten skuad hoki negara, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor mengaku mungkin tidak mampu lagi mengerah kudrat beraksi pada semua saingan sepanjang tahun ini, tetapi pemain berusia 35 tahun itu masih cukup teruja untuk tampil beraksi di Piala Dunia serta Sukan Asia.

Dia yang dipanggil semula menyertai skuad negara tahun lalu selepas menyatakan komitmen untuk bersara, menganggap keputusan itu bukanlah mudah baginya yang pernah beraksi pada Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur, namun Madzli tetap menerima tawaran bekas pengendali Paul Revington dengan niat membantu barisan pemain muda.

Kini di bawah bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah, Madzli tidak terlalu mengharap menjadi tonggak sebaliknya dia yang sudah melengkapkan kursus kejurulatihan tahap satu, menyerahkan segala-galanya kepada pengendali itu.

"Bila saya kembali semula ke skuad kebangsaan, saya memang berasa agak ketinggalan dengan barisan pemain muda. Lagipun sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan hoki moden pantas.

Foto

MADZLI (kanan) tidak terlalu berharap jadi tonggak utama pasukan.


"Tapi matlamat saya bukanlah mendapatkan tempat saja dalam skuad negara. Saya juga mahu membantu pemain muda beraksi lebih baik pada masa akan datang.


"Soal terpilih atau tidak untuk beraksi itu terpulang kepada jurulatih. Tapi saya pasti teruja jika diberi peluang beraksi pada Piala Dunia dan Sukan Asia," katanya.

Kali terakhir dia melakukan penampilan bersama skuad negara pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland yang ketika itu di bawah bimbingan Tai Beng Hai sebelum mengumumkan untuk bersara.

Madzli menolak panggilan pertama Revington pada Oktober 2012 sebelum bersetuju kembali semula pada Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Jonathan idam aksi Sukan Asia 2014

Posted: 30 Jan 2014 09:15 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas menempah tiket ke Sukan Komanwel 2014 Julai ini, penembak elit negara, Jonathan Wong Guanjie kini mengintai peluang ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Penembak berusia 22 tahun itu, bagaimanapun berkata, dia perlu mengharungi beberapa kejohanan kelayakan dalam tempoh terdekat bagi mencerahkan peluang beraksi buat pertama kali pada Sukan Asia.

Buat permulaan, dia akan bersaing pada Kejohanan Air Gun Asia Ketujuh di Kuwait, Mac ini.

"Pencapaian saya memang meningkat sejak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember lalu berikutan penggunaan pistol baru dan bimbingan jurulatih baru, Zamil Ahmad Murad.


"Kehadiran jurulatih baru ini akan menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan untuk memberi aksi terbaik di Kuwait," katanya.


Menyentuh mengenai sasaran peribadinya tahun ini, Jonathan berkata, dia hanya menyasarkan mengekalkan persembahan cemerlangnya selain memberikan fokus sepenuhnya terhadap pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Jonathan yang meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga di Melaka, berharap kehadiran Tahun Kuda dapat menyuntik semangat untuk meraih lebih banyak kejayaan tahun ini.

"Setiap tahun saya akan balik ke Melaka dan beraya bersama keluarga. Memang meriah sebab saudara mara dari Singapura juga akan turut pulang untuk melawat datuk yang tinggal bersama keluarga saya," katanya.

Sukan Komanwel akan bermula dari 23 Julai hingga 3 Ogos manakala Sukan Asia 19 September hingga 4 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

No comments:

Post a Comment