Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bieber, rakan hisap ganja dalam pesawat

Posted: 06 Feb 2014 11:22 AM PST

Los Angeles: Juruterbang Justin Bieber terpaksa memakai topeng oksigen ketika penerbangan dari Kanada ke New Jersey kerana bintang remaja itu dan rombongannya menghisap ganja.

Menurut laporan NBC News dan media Amerika Syarikat lain, jet peribadi penyanyi berkenaan dipenuhi dengan asap ganja.


Bieber, bapanya dan 10 lagi ahli rombongannya juga dikatakan bertindak di luar kawalan apabila mengganggu kru dan tidak menghiraukan teguran juruterbang hingga anak kapal terpaksa berlindung di kokpit. Juruterbang berkenaan kemudian mengenakan topeng oksigen untuk mengelak daripada asap ganja kerana bimbang gagal melepasi ujian dadah.

Menurut laporan berkenaan, pihak berkuasa kastam dan pentadbiran penguatkuasaan dadah AS memeriksa pesawat itu di Teterboro, New Jersey ketika kabinnya masih dipenuhi asap ganja.


Bagaimanapun, tiada ganja ditemui dalam pesawat itu atau dalam bagasi Bieber.


Ketika disoal pihak berkuasa, Bieber mengaku menghisap ganja di dalam pesawat tetapi dia, bapa dan beberapa rakannya dibebaskan kerana kru pesawat enggan membuat laporan untuk mendakwa mereka.

Foto

BIEBER

Insiden itu berlaku Jumaat lalu apabila bintang remaja itu dan rakannya dalam penerbangan ke New York untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Amerika Super Bowl. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Minum air kencing sendiri

Posted: 06 Feb 2014 11:21 AM PST

London: Seorang lelaki merakamkan dirinya menelan tiga ikan emas hidup-hidup dalam pertandingan 'NekNominate' yang kini menjadi kegilaan di Internet.

Lelaki itu yang dipercayai berasal dari Derby dilihat minum air menjijikkan iaitu campuran arak, telur mentah, minyak enjin dan air kencingnya sendiri di dalam gelas bersaiz besar. Dalam video itu, dia dilihat memakai hanya seluar dalam dan tali leher kupu-kupu sambil tersenyum kepada kamera yang merakamkannya.


Aksinya itu dipuji penonton, malah mereka bersorak memberi sokongan.

Seorang daripada mereka berkata: "Sudah agak, mesti kamu boleh lakukannya. Ikan itulah senjata rahsia kamu!" Sementara itu seorang lagi mengakui hampir termuntah melihat aksi lelaki terbabit dan menggelarnya yang paling teruk disaksikan setakat ini.


Pertubuhan RSPCA sebelum ini mengutuk trend yang dianggapnya dahsyat dan gila selepas menerima pelbagai aduan mengenai pengguna Internet menelan ikan hidup yang dirakamkan dan dimuat naik ke pelbagai laman web. "Trend terbaru ini amat mengejutkan dan kami bimbang dengan jumlah laporan diterima mengatakan ia turut membabitkan haiwan. Lebih teruk lagi, mungkin ramai lagi di luar sana yang melakukan lebih teruk kepada haiwan namun tidak dilaporkan.


"Tindakan memakan haiwan hidup dan memuat naik aksi itu di Internet bukannya jenaka biasa. Ia perbuatan yang tidak dapat diterima kerana memberi mesej bahawa tidak salah bertindak kejam terhadap haiwan asalkan untuk hiburan," kata saintis hidupan liar Nicola White.

"Kami menggesa orang ramai tidak melakukan kekejaman seperti itu dan melaporkan kepada kami jika mengetahui sesiapa mengambil bahagian," kata saintis hidupan liar Nicola White.


NekNominate adalah trend baru yang melihat pengguna Internet merakamkan diri mereka minum minuman beralkohol dalam kuantiti banyak selain melakukan pelbagai perkara pelik lain.

Baru-baru ini dua pemuda di Ireland maut ketika melakukannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Nafi Tom Cruise curi skrip

Posted: 06 Feb 2014 11:17 AM PST

Los Angeles: Peguam Tom Cruise semalam mencemuh kes saman AS$1 bilion (RM3.32 bilion) yang mendakwa penerbit filem mencuri hasil kerja seorang penulis skrip bagi menerbitkan filem blockbuster "Mission: Impossible".

Timothy Patrick McLanahan mendakwa filem 2011 "Mission: Impossible Ghost Protocol" itu diterbitkan berdasarkan skrip ditulisnya pada 1998 bertajuk "Head On" yang gagal menembusi Hollywood.

Menurutnya dia menyedari skrip filem terbabit ditulis semula dan diterbitkan secara haram ketika menonton filem berkenaan.

Bagaimanapun peguam Cruise, Bert Fields menolak dakwaannya.


"Tom Cruise tidak pernah mencuri apa pun daripada sesiapa. Kes saman aneh terhadap 13 individu ini akan ditolak mahkamah," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Mayat terbiar 8 tahun

Posted: 06 Feb 2014 11:16 AM PST

Sydney: Mayat seorang wanita tua terbujur di kediamannya selama hampir lapan tahun sebelum rangkanya ditemui, satu inkues dimaklumkan semalam.

Kes itu digelar oleh media tempatan sebagai 'wanita yang dilupakan Sydney.'

Mayat Natalie Wood yang meninggal pada awal 2004 hanya ditemui polis pada Julai 2011.

Dia dipercayai jatuh di bilik tidurnya dan gagal untuk bangun.


Pegawai kanan polis Andrew Wills memberitahu mahkamah Natalie tinggal bersendirian.


"Dia mengutamakan privasi dan akan membuka pintu hanya bila mengenali ketukan seseorang," katanya.

Jiran tetangga memberitahu polis, mereka menyangka Natalie sudah berpindah dan kediaman itu kosong.

Natalie tidak menulis wasiat dan kakak iparnya Enid Davies serta empat lagi sepupunya kini membuat tuntutan harta peninggalannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Penggal kepala bayi sebelum minum darah

Posted: 06 Feb 2014 11:16 AM PST

New Delhi: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati kerana memenggal kepala seorang bayi sebelum meminum darahnya.

Kejadian berlaku dua tahun lalu di perkampungan Kalakuri di Bankura, Bengal Barat, lapor media. Lakshmi Kanta Sarkar ditemui di tempat pemujaan dekat kawasan kubur sedang meminum darah dari kepala bayi yang terputus yang digantung di dahan pokok oleh sekumpulan penduduk kampung.


Penduduk kemudian membelasahnya hingga parah dan polis terpaksa campur tangan sebelum dia ditangkap, lapor The Times of India. Sarkar dijatuhkan hukuman mati selepas 17 saksi memberi keterangan terhadapnya di mahkamah daerah Sulagna Dastidar di Bankura.

Walaupun kanibalisme dan pengorbanan darah atas nama ilmu hitam jarang berlaku di India, tetapi terdapat kes sama yang dikesan sejak beberapa tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Singapura bantah nama 'Usman Harun'

Posted: 06 Feb 2014 11:14 AM PST

Singapura: Singapura menyuarakan kebimbangannya terhadap rancangan Indonesia menamakan kapal laut mereka sempena anggota marin yang dihukum bunuh kerana mengebom sebuah kompleks pejabat ketika hubungan kedua-dua negara tegang pada 1960-an.

Kementerian Luar Singapura semalam berkata, kebimbangan itu dinyatakan menteri mereka, K Shanmugam kepada rakan sejawatannya dari Indonesia, Marty Natalegawa.


"Dalam lawatan Shanmugam ke Jakarta minggu ini dia menyatakan kebimbangan kerajaan terhadap kesan rancangan itu kepada perasaan warga Singapura, terutama keluarga mangsa," kata kenyataan itu. Insiden berkenaan merujuk kepada serangan bom di tengah Singapura pada Mac 1965 sebagai antara usaha Presiden Sukarno melancarkan konfrontasi bersenjata terhadap Malaysia yang baru dibentuk.

Tiga orang terbunuh dan 33 lagi cedera.


Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia ketika itu.


Dua tentera laut Indonesia dihukum mati selepas mahkamah mensabitkan kesalahan ke atas mereka. Kementerian Luar Singapura berkata, dua anggota tentera laut terabbit didapati bersalah oleh mahkamah.

Selasa lalu akhbar harian Kompas melaporkan Jakarta bercadang menamakan kapal tentera laut mereka yang baru dibaik pulih sebagai KRI Usman Harun - merujuk kepada Osman Mohamed Ali dan Harun Said yang dihukum mati pada 17 Oktober 1968. Osman dan Harun adalah anggota Komando Kor Operasi (kini dikenali sebagai Kor Marin) yang ditugaskan menyelinap ke Singapura. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Jupe gembira Dewi Perssik dihukum

Posted: 06 Feb 2014 11:13 AM PST

Jakarta: Penyanyi dan selebriti kontroversi Julia Perez (Jupe) menyambut baik hukuman Mahkamah Agung terhadap Dewi Perssik selepas didapati bersalah mengasarinya pada 2010.

Peguam Jupe, Malik Bawazir berkata, ketetapan hakim semalam membuktikan undang-undang ditegakkan tanpa memilih bulu. "Akhirnya Jupe mendapat keadilan di mahkamah," katanya.


Malik juga menyarankan Dewi Perssik yang terkenal dengan aksi Goyang Gergaji - segera menjalani hukuman ditetap mahkamah. Penghakiman semalam adalah lanjutan daripada pergaduhan cakar-mencakar antara Jupe dan Dewi Perssik ketika mereka terbabit dalam penggambaran filem Arwah Goyang Karawang. Kedua-dua mereka kemudian membuat aduan kepada polis. Pada 2013 Jupe dipenjara selama tiga bulan.

Sementara itu Dewi Persik berkata, dia lebih daripada sedia untuk menghabiskan masa tiga bulan dalam jel seperti dikehendaki hakim Mahkamah Agung. "Sedangkan mati saya tak gentar, apa lagi untuk dipenjara," katanya. Dewi atau nama sebenarnya Dewi Murya Agung bergaduh dengan Jupe apabila mereka dikehendaki berlakon bergaduh.


Bagaimanapun pergaduhan itu tidak terkawal dan kedua-dua mereka benar-benar berkelahi. - Agensi

Foto

DEWI Perssik

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Thailand cari penyelesaian masalah tak dapat mengundi

Posted: 06 Feb 2014 11:12 AM PST

Bangkok: Pegawai pilihan raya Thailand semalam bertemu untuk mencari penyelesaian mengatasi masalah pengundian tidak dapat dijalankan akibat gangguan penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand, Puchong Nutrawong berkata mesyuarat semalam membincangkan hampir semua isu berbangkit, seperti proses pilihan raya dan pengundian awal yang terganggu pada 26 Januari lalu.


"EC turut membincangkan apa yang perlu dilakukan di kawasan pengundian yang terjejas akibat calon gagal mendaftar diri," katanya.

Thailand mengadakan pilihan raya umum 2 Februari lalu walaupun dibantah banyak pihak, termasuk pegawai kanan EC.


Pembangkang, Parti Demokrat pula mencabar pelaksanaan pilihan raya itu. Kemungkinan besar keputusan pengundian akan memihak kepada Yingluck Shinawatra dan membolehkan dia kembali dilantik ke jawatan perdana menteri. Pengundian di sesetengah daripada 28 daerah mengundi kebanyakannya di selatan yang menjadi kubu kuat Parti Demokrat gagal dijalankan kerana calon tidak dapat mendaftar kerana penunjuk perasaan menghalang laluan masuk ke pusat penamaan calon. Penyokong pembangkang masih menghalang sebahagian daripada Bangkok dalam usaha terbaru mereka untuk menyingkirkan Yingluck. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Tubuh pasukan khas buru, tahan 19 pemimpin PDRC

Posted: 06 Feb 2014 11:11 AM PST

Bangkok: Menteri Buruh Chalerm Yoobamrung semalam berkata, dia akan menubuhkan 12 pasukan bertindak khas untuk mengesan dan menangkap 19 pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) yang dikehendaki pihak berkuasa.

Semua mereka kini mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah kelmarin. Antara mereka ialah pemimpin tertinggi PDRC, Suthep Thaugsuban yang mengetuai gerakan "melumpuhkan Bangkok" sejak bulan lalu. Chalerm yang juga Pengarah Pusat Pengekalan Keamanan Dan Ketenteraman Awam berkata, setiap satu pasukan itu disertai seorang pesuruhjaya dan timbalan pesuruhjaya polis.


"Kami tidak akan bertindak ke atas penunjuk perasaan ketika cuba menahan pemimpin PDRC," katanya.

Sementara itu Mahkamah Jenayah semalam meluluskan waran tangkap pemimpin PDRC yang mengetuai protes di Chaeng Wattana, Luang Pu Buddha Issara.


Sami Buddha itu dikehendaki polis kerana menghalang pengundian awal di Thailand pada 26 Januari lalu.


Mahkamah mengeluarkan waran itu selepas berpuas hati dengan bukti dikemuka polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Serangan 5 hari ragut 246 nyawa

Posted: 06 Feb 2014 11:11 AM PST

Beirut: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan sekurang-kurangnya 246 termasuk 73 kanak-kanak maut dalam tempoh lima hari selepas tentera Syria menggugurkan bom tong di kawasan yang dikuasai puak penentang di Aleppo.

Menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, ratusan penduduk juga cedera dalam serangan yang menggunakan bahan letupan kontroversi itu.


Akibatnya, ribuan penduduk di kawasan itu terpaksa berpindah bagi menyelamatkan diri, termasuk menyeberangi sempadan ke Turki.

Serangan bom tong terbaru bermula Sabtu lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 85 maut dalam hanya sehari.


Aleppo yang dulu pernah menjadi hab ekonomi Syria kini terbahagi dua dengan kerajaan menguasai bahagian barat manakala pemberontak di timur sejak 2012.


Serangan terbaru menyusuli serangan darat di pinggir bandar berkenaan dalam usaha menawan semula Aleppo sepenuhnya.

Foto

SEORANG penduduk mencari barangan yang boleh diselamatkan selepas kediamannya musnah dalam serangan bom tong di Aleppo, semalam.

Setakat ini kejayaan tentera kerajaan melihat lapangan terbang antarabangsa Aleppo dibuka semula selepas setahun ditutup. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

No comments:

Post a Comment