Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hasrat Syamim tak kesampaian

Posted: 13 Feb 2014 10:41 AM PST

Kuala Lumpur: Hasrat penyerang muda negara Mohd Syamim Yusof untuk kembali semula bersama skuad kebangsaan mungkin tidak menjadi kenyataan selepas ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dharma Raj Abdullah memutuskan untuk tidak menerima kemasukan semula pemain berusia 22 tahun itu.

Syamim yang sebelum ini menarik diri daripada skuad kebangsaan dengan alasan untuk berehat seketika bagaimanapun mengubah keputusan selepas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memintanya untuk kembali semula ke dalam skuad negara.

Namun Dharma yang dihubungi semalam menegaskan, beliau tidak akan menerima semula kemasukan bekas penyerang skuad remaja itu kerana menganggap Syamim seperti sudah hilang semangat dan kesungguhan untuk bermain.

"Sebenarnya saya tidak berminat untuk bercakap tentang Syamim. Dia kena tunggu panggilan untuk skuad baru bila saya akan mengumumkan senarai panggilan baru. Saya tak nampak dia ada dalam 30 pemain yang ada sekarang.

Foto

SYAMIM (tengah) terpaksa menunggu untuk kembali sarung jersi kebangsaan.


"Lagipun dalam pasukan sekarang, prestasinya masih jauh ketinggalan daripada pemain lain. Kalau dia nak menyamai prestasi rakan sepasukan lain mungkin mengambil masa.


"Peluang diberikan kepadanya untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah tetapi dia nampak mempamer prestasi hambar (ketika sesi latihan).

"Jadi lebih baik dia berehat dan bila sudah sedia untuk beraksi, barulah datang semula," katanya.

Dharma berkata, beliau tidak bermaksud untuk menamatkan karier Syamim, sebaliknya menegaskan peluang sentiasa terbuka untuk pemain itu pada masa depan tetapi tidak untuk tempoh terdekat ini.

Jelas pengendali yang baru menggantikan Paul Revington itu lagi, kes Syamim diharap memberi pengajaran kepada pemain lain termasuk yang berstatus bintang supaya sentiasa komited sebaik mendapat panggilan negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Harimau Malaya lonjak ranking

Posted: 13 Feb 2014 10:35 AM PST

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak negara melonjak empat anak tangga ke kedudukan 150 berbanding bulan lepas dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) semalam.

Kedudukan terkini itu menyaksikan Malaysia yang dikendalikan sementara Datuk Ong Kim Swee berkongsi tempat bersama Singapura dan Liechtenstein selain turut setanding dengan beberapa negara lain seperti Guyana dan India (kedua-duanya 154) serta Puerto Rico (157).

Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan keenam di belakang Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (143), Thailand (147) serta Singapura (150).

Di peringkat Asia, Malaysia turut naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-29 daripada 46 negara.

Foto

SKUAD negara kini di tangga ke-150 dunia.


Skuad Harimau Malaya dijangka menentang Filipina dalam aksi persahabatan, 1 Mac ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum berdepan Yaman pada perlawanan terakhir kumpulan D, kelayakan Piala Asia 2015 di UAE, empat hari kemudian.


Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,506 mata manakala Jerman dan Argentina masing-masing mengekalkan kedudukan kedua dan ketiga terbaik dunia.

Jerman dan Agentina mengumpul 1,314 mata dan 1,255 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

AIA taja Tottenham

Posted: 13 Feb 2014 10:33 AM PST

Hong Kong: Rezeki buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur (Spurs) apabila syarikat insurans terkemuka AIA Group Ltd (AIA) bersetuju menjadi penaja utama kelab itu untuk tempoh lima tahun bermula musim depan.

Ini bermakna bermula musim 2014/15 hingga 2018/19, nama AIA akan tertera di bahagian depan jersi Spurs dalam semua kejohanan termasuk EPL.

Musim ini AIA turut menaja Spurs tapi hanya membabitkan Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa.

Ketua Eksekutif AIA, Mark Tucker mengumumkan penajaan itu pada satu majlis di Hong Kong semalam.

Hadir sama Pengerusi Spurs, Daniel Levy.

Tucker berkata, pihaknya bersetuju melanjutkan tajaan itu dalam konteks lebih besar berikutan kejayaan kerjasama musim ini.

"Spurs memiliki ramai peminat di Asia dan kami berharap dapat membantu mengukuhkan pengaruh kelab itu di rantau ini.

"Ia boleh dilakukan kerana kami beroperasi di 17 negara Asia Pasifik (termasuk Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Levy berkata, pihaknya gembira AIA bersetuju mengekalkan komitmen dengan kelab itu untuk tempoh lima tahun lagi selepas tajaan awal musim ini.

"Kami berkongsi aspirasi sama di Asia, rantau yang menyaksikan pertumbuhan pesat bagi kami," katanya.

Kedua-dua pihak juga bersetuju mengadakan program latihan remaja di beberapa negara operasi AIA termasuk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Mahu Darren, Wei Feng konsisten

Posted: 13 Feb 2014 10:32 AM PST

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara Tey Seu Bock berharap dua pemain perseorangan Chong Wei Feng serta Liew Daren konsisten sekiranya diberi peluang beraksi dalam kejohanan yang berlangsung secara berturut-turut.

Seu Bock yang turut bertanggungjawab melatih pemain perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei berkata, sekiranya mereka mencapai tahap seperti itu, ia sudah cukup melegakannya selepas Chong Wei sudah menyatakan hasrat untuk bersara hujung tahun ini.

Wei Feng dan Daren ketika ini dilihat belum cukup bersedia mengambil tempat yang bakal ditinggalkan Chong Wei, tetapi Seu Bock enggan memberi terlalu banyak tekanan kepada mereka.

"Bukan semua pemain boleh terima tekanan.

Chong Wei umpamanya memerlukan masa beberapa tahun untuk konsisten.

"Yang penting mental dan corak permainan mereka berdua perlu lebih positif," katanya.

Seu Bock berharap Wei Feng serta Daren dapat mencontohi pemain seperti Chong Wei yang mampu kekal konsisten apabila beraksi pada saingan yang berlangsung secara berturut-turut.

"Untuk kekal konsisten seperti Chong Wei dalam saingan yang berturut-turut bukan senang.

Sebagai contoh mungkin seseorang pemain itu kalah di final tetapi apabila hendak beraksi pada satu lagi perlawanan selepas itu, adakah mereka boleh kekal konsisten dengan prestasi sedia ada atau sebaliknya.

"Sebab masih ramai pemain yang tidak boleh mengekalkan prestasi sama seperti Chong Wei, Lin Dan dan Chen Long," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

UPM tambah dua lagi pingat emas

Posted: 13 Feb 2014 10:31 AM PST

Shah Alam: Universiti Putra Malaysia (UPM) menambah dua lagi pingat emas dan satu gangsa melalui acara lawan pedang pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

Husnul Ariq Bakri yang memperolehi pingat emas dalam kategori individu lelaki, mengalahkan atlet dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Muhammad Rahmat Mohd Nor dengan mata 15-5.

"Perasaan saya smemangnya gembira kerana pasukan UPM menaruh harapan tinggi kepada saya, jadi lepas menang tadi saya berasa sedikit lega," kata Husnul Bakri.

Bagi kategori individu wanita Foil, pingat emas dimenangi oleh Natasha Ezzra Abu Bakar dari UPM.

Pingat perak pula milik Anis Syaqireen Jamarudin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pingat gangsa milik Ivy Cheah Hsio Yong dari UPM.

Sementara itu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, atlet lelaki UPM nyata mendominasi acara menembak apabila meraih dua pingat emas dalam acara 10m air pistol individu dan berpasukan, semalam.

Penembak elit kebangsaan, Jonathan Wong Guanjie dan Liew Tack Fai berjaya meraih pingat emas dan perak apabila masing-masing mencatat 195.4 mata dan 182.2 mata, manakala penembak pelapis negara, Jasmi Mohammad Zin mendapat pingat gangsa dengan 165.4 mata.

Gandingan mantap Jonathan, Tack Fai dan Jasmi turut memastikan pingat emas buat UPM dalam acara berpasukan dengan mengutip 1,674 mata, menumpaskan trio dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pasukan UniSZA merangkul pingat perak selepas mengutip 1,629 mata manakala UiTM menerima gangsa dengan catatan 1,586 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

'Amri lagi bahaya'

Posted: 13 Feb 2014 10:30 AM PST

Kuala Lumpur: Johor Darul Takzim (DT) dilihat pasukan cukup lengkap dengan kehadiran dua pemain import bertaraf bintang dari Argentina Pablo Aimar dan Luciano Figueroa namun bagi S Kunanlan dia lebih bimbangkan ancaman bekas rakan sepasukannya Mohd Amri Yahya dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos esok.

Bagi sayap lincah Selangor itu, Amri yang kini menjadi perancang serangan skuad Harimau Selatan itu mampu menjadi duri dalam daging bagi Selangor yang bertandang ke Larkin dalam misi memburu kemenangan bagi mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga.

"Amri penyerang yang cukup bahaya. Kami perlu memberi perhatian kepadanya kerana dia sudah lama beraksi dengan Selangor sebelum ini dan sedikit sebanyak tahu kelebihan dan kelemahan kami. Namun kami kini dibimbing jurulatih baru (Mehmet Durakovic) dan beraksi dengan corak permainan baru. Kami berharap dapat meraih keputusan yang baik ke atas JDT (Johor DT).

Amri, 33, menyertai Johor DT pada awal musim ini selepas mewakili Red Giants selama 12 tahun dengan rekod 109 gol dalam 226 perlawanan, satu pencapaian yang boleh dianggap lagenda bagi pasukan itu.

Foto

AMRI (kiri) mampu jadi duri dalam daging buat skuad Selangor.


Biarpun Johor DT berbelanja besar mendapatkan ramai pemain baru, namun Selangor yang dikendalikan bekas pemain Durakovic lebih menyerlah di awal musim apabila mengutip sembilan mata selepas empat perlawanan untuk menerajui liga.


Pastinya Selangor sekali lagi mengharapkan sentuhan berbisa penyerang import dari Brazil Paulo Rangel yang kini mendahului carta penjaring terbanyak liga selepas mengumpul lima gol.

Kunanlan yang turut disenaraikan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee berkata, kemampuan mereka untuk mencabar kejuaraan musim ini bakal teruji dalam pertemuan dengan Johor DT.

"Mereka bermain dengan baik di tempat sendiri, tapi kami tidak rela kedudukan kami dalam liga dirampas pasukan lain. Bagi saya satu mata sudah cukup di sana tapi kalau menang, ia bonus buat kami," kata katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Sathia tak lena tidur

Posted: 13 Feb 2014 10:29 AM PST

Kuala Lumpur: Pengendali ATM, B Sathianathan nyata tidak tidur lena memikirkan masalah kecederaan yang kini menghantui pasukannya dalam rangka persiapan bertemu juara bertahan Liga Super Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Jelas pengendali berusia 55 tahun itu, beliau terpaksa mengetepikan beberapa tonggak utama akibat kecederaan teruk yang dialami para pemainnya dan tempat mereka bakal diisi oleh pemain yang banyak memanaskan bangku simpanan sebelum ini.

"K Rueben mengalami kecederaan UCL.

Dan dia memerlukan tempoh pemulihan yang agak lama.


Begitu juga dengan Cristie Jayaseelen yang mengalami kecederaan.


Cuma kecederaannya tidak seteruk Rueben.

"Memang memeningkan saya untuk senaraikan pemain terbaik bagi menentang Lions XII.

Mereka sebuah pasukan yang bagus dan bijak mengambil peluang dalam situasi bola mati.

"Jadi ketiadaan Rueben sedikit merancatkan perancangan saya.

Tetapi inilah peluang kepada pemain-pemain lain untuk tunjukkan kebolehan mereka nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukannya di Stadium Mini Pengkalan Tentera Udara Subang, kelmarin.

The Gladiators yang kini menghuni tangga kedua dengan mengumpul tujuh mata dan hanya dibezakan dua mata dibelakang pendahulu Selangor dalam carta Liga Super, bakal turun dengan misi meraih tiga mata penuh.

"Sudah semestinya saya mahukan kita menang kerana kita bermain di tempat sendiri.

Berdasarkan rekod pertemuan menentang mereka di Selayang, memihak kepada kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Nwakamae mahu terus 'mengganas'

Posted: 13 Feb 2014 10:28 AM PST

Kuantan: Persembahan yang semakin mantap pada saingan Piala FA bertemu PDRM Selasa lalu menjadi petanda awal permata hitam Pahang, Dickson Nwakamae akan 'mengganas' selepas ini.

Walaupun gandingan bersama Matias Conti di bahagian serangan masih di anggap longgar, keserasian pasti dapat dibentuk dalam tempoh terdekat apabila masing-masing memahami corak permainan diperlukan.

"Selepas mengalami kecederaan paha kiri pada perlawanan Piala Sumbangsih, saya terpaksa berehat panjang hingga menjejaskan persiapan pasukan menghadapi saingan Liga Super dan Piala FA.

"Namun, kini saya benar-benar cergas dan bersedia untuk menggempur kubu lawan pada setiap perlawanan bagi membalas kepercayaan diletakkan jurulatih (Ronald Smith) yang agak kecewa apabila saya terpaksa berehat panjang.

"Saya berharap peminat Tok Gajah dapat memberikan sedikit waktu pada saya untuk mengembalikan prestasi sebenar dalam usaha meletakkan pasukan pada kedudukan terbaik," katanya semalam.

Menurut pemain kelahiran Nigeria itu, keyakinannya kini sudah kembali terutama selepas beraksi pada perlawanan dengan PDRM, walaupun gagal menjaringkan gol namun sudah cukup dapat mencemaskan benteng pertahanan lawan.

Dickson berkata, dia yakin persefahaman dengan Conti akan lebih mantap dalam beberapa perlawanan akan datang, musim pertama bergandingan bukan penghalang untuk mereka menyerlah.

Dia seronok bersama Pahang yang membariskan ramai pemain terbaik seperti Azamuddin Akil, R Surendran, Razman Roslan, Jalalludin Jaafar, R Gopinathan dan Shahrizan Salleh.

"Sokongan Damion Stewart, Zeeshan Rehman dan Conti (Matias) akan menjadi pelengkap kepada kekuatan Tok Gajah musim ini yang memburu kejuaraan Liga Super, Piala FA dan mengekalkan Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Perak idam gegar Kuching

Posted: 13 Feb 2014 10:27 AM PST

Ipoh: Sikap positif dalam perebutan kesebelasan permulaan pasukan menyakinkan jurulatih Abu Bakar Fadzim terhadap keupayaan pasukan The Bos Gaurus memberi saingan kepada tuan rumah, Sarawak dalam pertemuan mereka di Kuching, malam esok.

"Pemain menunjukkan kesungguhan serta keinginan tinggi untuk menghadapi pertemuan di Stadium Negeri yang menjadi gelanggang keramat Sarawak.

"Saya berharap sikap itu berkekalan sehingga tamat perlawanan.

Mereka tahu dan insaf dengan apa yang berlaku kepada kami di sana tahun lalu dan tidak akan membiarkan mereka dipalit arang lagi," katanya selepas latihan petang semalam.

Menurutnya jika untuk pertemuan dengan Kelantan pada 8 Februari lalu pasukan The Bos Gaurus menjalani latihan di Daerah Manjung, kali ini latihan di adakan di Tanjong Malim.

"Perubahan tempat ini memberi kesan positif kepada pemain kerana menikmati kelainan dalam persekitaran.

"Mereka juga berpeluang bermain dua perlawanan pemanas badan yang memanfaatkan mereka selain sekadar berlatih,"katanya.

Menurut Abu Bakar dalam dua perlawanan itu anak buahnya menundukkan MASUM UPSI 3-0 dan pasukan Liga Selangor, Proton 6-0.

"Bukan keputusan perlawanan yang penting tetapi disiplin dan perwatakan pemain semasa perlawanan yang mahu dilihat.

"Setakat ini tiada sebarang masalah kerana Perak tiada nama-nama besar dalam pasukan.

Semua pemain sama sahaja.

Foto

PEMAIN Perak, Eliel Da Crus (kiri) bakal jadi duri dalam daging Sarawak.


Justeru masing-masing sanggup bekerja keras demi kejayaan pasukan,"katanya.

Bagi menghadapi pertemuan dengan pasukan Bujangg Senang itu, beliau tidak dapat menurunkan dua awang import, Kyaw Zayar Win dan Martin Kafando kerana penggantungan dan kecederaan.

"Kami biasa bermain tanpa mereka ketika menentang Kelantan di Ipoh, Sabtu lalu dan berjaya melepasi ujian.

"Saya berharap kemampuan pasukan berkekalan dalam pertemuan dengan Sarawak nanti,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

Negeri Sembilan tekad jerat Kedah

Posted: 13 Feb 2014 10:25 AM PST

Seremban: Selepas dikecewakan Sabah dan merekodkan kekalahan pertama musim ini Isnin lalu, Negeri Sembilan bertekad bangkit dengan persembahan tersusun bagi merealisasikan kemenangan apabila turun menentang Kedah, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Darulaman, malam ini.

Biarpun mengakui bakal berdepan tugas berat lebih-lebih lagi Kedah antara pasukan berpengalaman dan kini belum kalah, namun skuad Hoben Jang Hoben tetap yakin mereka mampu melakukan kejutan ke atas pasukan Hijau Kuning itu.

Perancang tengah Abd Halim Zainal berkata, dia dan rakan-rakan sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dengan sasaran memastikan tiga mata berharga mampu dibawa pulang ke Seremban, malam ini.

"Kami akan turun sebagai sebuah pasukan mantap bagi menyaingi kehebatan Kedah yang kini belum tewas.

Saya yakin melalui komitmen tinggi semua pemain, kami mampu melakukan kejutan di gelanggang lawan itu.

"Saya juga percaya, jurulatih V Sundramoorthy sudah merencanakan strategi terbaik dalam misi melakar kejutan dan memerangkap Kedah dan apa yang penting kami perlu memberikan persembahan lebih baik dan melupankan kekalahan kepada Sabah tempohari," katanya semalam.

Abd Halim yang dijangka bergandingan dengan S Sivanesan dan K Nanthakumar, mungkin terpaksa bekerja lebih keras untuk memastikan dapat berfungsi dengan baik kerana sebarang kelemahan di bahagian itu sudah pasti akan menyukarkan jentera serangan untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Namun bagi pemain berusia 26 tahun yang juga anak jati Negeri Sembilan itu mengakui sudah bersedia untuk melaksanakan tugas diarahkan Sundramoorthy kerana tidak pasukan dikecewakan buat kali kedua dalam kempen musim ini.

"Kami perlu mengutip sebanyak mungkin mata pada pusingan pertama ini dengan memastikan setiap perlawanan disudahi dengan kemenangan kerana saya menjangkakan pusingan berikutnya nanti lebih sukar dan mencabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/14

No comments:

Post a Comment