Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


27 kali duduki ujian

Posted: 24 Feb 2014 01:47 PM PST

Dubai: Seorang lelaki warga India terpaksa bersusah-payah selama empat tahun untuk memperoleh lesen memandu di Emiriah Arab Bersatu.

Kini, dia bercadang untuk menerbitkan filem mengenai kesusahan yang dihadapinya itu. Selepas menghabiskan hampir Dh40,000 (RM35,747) untuk mengambil ujian memandu sebanyak 27 kali, termasuk terpaksa menangguhkan perkahwinannya, Namsheed Muringolihas akhirnya berjaya mendapatkan lesen memandu pada 18 Februari lalu.


Namsheed, 28, berkata, dia bertukar jurulatih sebanyak 13 kali dan pernah tidak menghadiri upacara pengebumian ahli keluarganya sepanjang tempoh empat tahun itu. "Saya tidak pernah berputus asa. Selepas setiap kali gagal, saya kumpulkan wang untuk menjalani ujian berikutnya," katanya.

Namsheed memberitahu dia tidak dapat bercakap dan menggeletar seluruh tubuh setiap kali menjalani ujian memandu. "Malah, pada 18 Februari lalu, ketika saya mengambil ujian memandu buat kali ke-27, bapa tunang saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di India. Tumpuan saya terganggu, tetapi saya berjaya lulus.


"Saya bertunang dengan Shabeena pada Ogos 2012. Tetapi perkahwinan kami terpaksa ditunda kerana saya mahu mendapatkan lesen memandu terlebih dulu.


Kini, saya boleh pulang dan berkahwin dengan senang hati," katanya.

Foto

NAMSHEED

Namsheed yang berasal dari Kasargode, Kerala sebelum ini berniat untuk mendermakan sejumlah wang jika berjaya lulus ujian memandu.


"Sebelum ini, apabila gagal dalam bidang muzik dan filem, kawan-kawan mengejek saya. "Bila percubaan saya untuk mendapatkan lesen memandu juga mengambil masa yang lama, saya sekali lagi menjadi bahan gurauan.

"Namun, kini semua kawan mengucapkan tahniah kepada saya. "Mungkin saya akan menghasilkan filem berdasarkan pengalaman saya untuk mendapatkan lesen memandu.


"Tetapi sebelum itu saya perlu tunaikan hajat yang dibuat dan mendermakan wang untuk tujuan kebajikan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Gagal setubuh mayat

Posted: 24 Feb 2014 01:38 PM PST

Phnom Penh: Seorang lelaki yang cuba berasmara dengan mayat selepas menggali kuburnya ditahan apabila tertidur dalam keranda bersama mayat itu.

Polis Kemboja semalam mengesahkan penahanan lelaki berusia 47 tahun itu yang dikenali sebagai Chin Chean.


Dia ditahan apabila penduduk kampung melihat kakinya terjulur keluar dari kubur seorang remaja perempuan. Penduduk kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarga remaja itu. Chin memberitahu polis, dia mula menggali kubur itu pada jam 10 malam, sehari selepas dia menghadiri acara pengebumian remaja perempuan berusia 17 tahun itu.

Akhbar Cambodia Daily melaporkan Chin mengakui dia cuba berasmara dengan mayat remaja itu, tetapi disebabkan kerandanya terlalu kecil menyebabkan dia tidak dapat berbuat demikian. Dia kemudian tertidur di atas mayat remaja itu. "Penduduk melihat kakinya terjulur keluar dari kubur kira-kira jam 6 pagi sebelum memaklumkan kepada keluarga terbabit," kata Keo Vutha, ketua polis kampung an Prey Poun, yang terletak 190 kilometer ke tenggara Phnom Penh. "Kami tidak pasti sama ada dia mengenali remaja itu ketika mangsa masih hidup," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Dua ditahan laku seks dengan lembu

Posted: 24 Feb 2014 01:38 PM PST

New York: Seorang peladang dari Herkimer County, New York kebingungan apabila lembu ternakannya tiba-tiba berkelakuan pelik.

Disebabkan haiwan itu turut gagal menghasilkan susu yang banyak berbanding biasa, peladang terbabit memasang kamera pengawasan berhampiran ladangnya. Dia terkejut ketika memeriksa rakaman kamera itu apabila melihat dua lelaki cuba mengadakan seks dengan ternakan miliknya, lapor CNYCentral.com.


Peladang yang tidak mahu dikenali itu kemudian menghubungi pihak berkuasa. Susulan daripada itu, dua lelaki berkenaan, Michael Jones, 35, dan Reid Fontaine, 31, ditahan atas tuduhan salah laku seks terhadap haiwan.

Pihak berkuasa berkata, Fontaine cuba melakukan seks dengan beberapa lembu, manakala Jones merakam adegan berkenaan.


Kedua-dua lelaki itu bukan yang pertama dituduh cuba melakukan seks dengan lembu.


Pada 2008, tukang cuci warga Brazil Ferreira Paraizo dituduh mengadakan seks dengan 400 lembu. Paraizo mendakwa, dia lebih suka berasmara dengan haiwan daripada manusia.

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan pada 2011, Jurnal Perubatan Seks mendapati lelaki yang cenderung mengadakan seks dengan haiwan berisiko menghidap kanser zakar sekali ganda berbanding mereka yang melakukannya dengan kaum sejenis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Buruh mati tersimbah 13 tan cecair logam panas

Posted: 24 Feb 2014 01:37 PM PST

Tokyo: Seorang buruh terbunuh selepas 13 tan cecair logam yang dilebur terjirus ke seluruh tubuhnya.

Kazuki Tada, 23, sedang bekerja pada Sabtu lalu di bawah bekas besar mengandungi logam aloi yang sudah dipanaskan pada suhu 1,300 darjah Celsius di tapak pembinaan Nippon Denko di barat daya Jepun. Polis berkata, bekas yang tergantung di udara itu menjadi tidak seimbang lalu menyebabkan cecair itu jatuh ke atas tubuh Tada.


Siasatan terhadap kejadian itu masih dijalankan, kata jurucakap polis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Budak mangsa ketiga bom

Posted: 24 Feb 2014 01:37 PM PST

Bangkok: Seorang budak berusia enam tahun menjadi kanak-kanak ketiga terbunuh dalam keganasan politik yang melanda Thailand.

Kanak-kanak itu mati selepas cedera dalam serangan bom tengah hari kelmarin di kawasan beli-belah berhampiran lokasi penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul.


Adik lelakinya berusia empat tahun dan seorang wanita turut terkorban dalam letupan yang menyebabkan darah membasahi jalan raya di kawasan menempatkan gerai, hotel mewah dan pusat beli belah utama. Sebelum ini, seorang budak berusia lima tahun ditembak mati oleh orang tidak dikenali ketika perhimpunan penunjuk perasaan antikerajaan di Trat, wilayah timur Thai.

Kematian tiga kanak-kanak yang mengejutkan itu mendapat kritikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon.


Dalam kejadian kelmarin, polis berkata, penyerang menggunakan pelancar bom jenis M79 untuk menyasarkan orang ramai.


Sementara itu, seorang anggota polis juga mati semalam, hampir seminggu selepas ditembak di kepala ketika kejadian berbalas tembakan dengan penunjuk perasaan.

Foto

KUMPULAN antikerajaan membawa bendera Thailand ketika menunjuk perasaan di perkarangan Kementerian Luar di Bangkok, semalam.

Enam orang termasuk dua polis terbunuh dalam kejadian itu.


Jumlah kematian terbaru itu menjadikan angka korban sepanjang empat bulan tunjuk perasaan antikerajaan diadakan kepada 21 orang. Keganasan itu turut mencederakan 700 yang lain.

Kebanyakan keganasan berlaku di Bangkok.


Krisis melanda Thailand ketika ini adalah terburuk sejak tunjuk perasaan Baju Merah yang menentang kerajaan pimpinan Parti Demokrat pada 2010 mencetuskan rusuhan dan rampasan kuasa tentera meragut 90 nyawa.


Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dalam akaun Facebooknya mengecam serangan hujung minggu itu disifatkannya sebagai 'keganasan untuk kepentingan politik' dan berkata, kematian kanak-kanak terbabit sungguh menyedihkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Yingluck 'hilang'

Posted: 24 Feb 2014 01:35 PM PST

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra yang menjadi sasaran tunjuk perasaan antikerajaan dipercayai tidak berada di Bangkok.

Beliau sebaliknya dikatakan berada 150 kilometer ke utara bandar raya berkenaan. Pejabat Yingluck berkata demikian semalam tanpa mendedahkan lokasi sebenar perdana menteri itu.


Kali terakhir Yingluck dilihat di Bangkok ialah minggu lalu dan dijangka berada di bandar berkenaan untuk sebutan kes rasuahnya Khamis ini.

Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul memberitahu wartawan, mesyuarat Kabinet berkemungkinan diadakan di luar Bangkok hari ini.


Beliau bagaimanapun berkata, tidak tahu di mana Yingluck ketika ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Berunding selesai krisis: Prayuth

Posted: 24 Feb 2014 01:35 PM PST

Bangkok: Panglima Tentera Thai Prayuth Chan-ocha semalam berkata, tentera tidak bercadang untuk campur tangan dalam krisis politik yang melanda negara itu.

Beliau sebaliknya mendesak kerajaan dan penunjuk perasaan mengadakan dialog bagi mengakhiri krisis berkenaan.


Dalam kenyataan yang disiarkan menerus televisyen, beliau menyatakan, banyak kumpulan terbabit dalam tunjuk perasaan kali ini berbanding pada 2012.

Prayuth juga mengaku sukar mengenal pasti mereka. "Semakin hari semakin banyak keganasan berlaku dan ia tidak boleh dikawal. Apabila ini berlaku, negara ini akan musnah dan tiada siapa yang menang atau kalah," kata panglima tentera itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Anggota kanan pemisah ditahan

Posted: 24 Feb 2014 01:35 PM PST

Manila: Tentera Filipina semalam menahan seorang anggota kanan kumpulan pemisah selatan Filipina.

Bagaimanapun, penahanan itu dilihat bakal menjejaskan perjanjian damai yang bertujuan mengakhiri pemberontakan yang mergut lebih 10,000 nyawa sejak sedekad lalu.


Wahid Tundok, anggota kanan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), diiring pengawal bersenjata selepas ditahan di sekatan jalan raya dengan kerjasama polis dan tentera berhampiran Cotabato.

Pihak berkuasa berkata, Wahid mempunyai waran tangkap atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan pembakaran walaupun MILF berkata, dia aktif membantu proses perdamaian dan sepatutnya dijanjikan imuniti oleh kerajaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Tentera Myanmar latih sami guna senjata

Posted: 24 Feb 2014 01:34 PM PST

Yangon: Kumpulan hak asasi manusia semalam mempersoalkan pembabitan kerajaan Myanmar, khususnya tentera negara itu dalam keganasan terhadap penduduk Islam Rohingya di negara berkenaan.

Ia berikutan tersebar gambar menunjukkan tentera melatih sami Buddha negara itu mengguna senjata api.


Ketua Persekutuan Persatuan Rohingya Dr Thahir Muhammad Arakani berkata, latihan menembak yang dijalani sami berkenaan mencetuskan persoalan dan mencurigakan. "Gambar itu menyebabkan kami meragui usaha kerajaan mewujudkan keamanan dan kestabilan. "Selama ini, kerajaan tidak pernah melatih sami menggunakan senjata api," katanya.

Thahir juga menyatakan kebimbangan kemungkinan latihan itu menandakan akan berlaku keganasan besar-besar yang baru terhadap penduduk Islam Myanmar.


Menurut laporan, latihan ketenteraan yang dijalani sami berkenaan dilakukan di sebuah kampung di wilayah Shan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Yanukovich diburu

Posted: 24 Feb 2014 01:34 PM PST

Kiev: Presiden Ukraine yang disingkirkan, Viktor Yanukovich disenarai sebagai individu dikehendaki pihak berkuasa negara itu kerana dipercayai melakukan pembunuhan massa.

Pemangku Menteri Dalam Negara, Arsen Avakov semalam berkata, kes mengenai dakwaan terhadap Yanukovich itu sudah dibuka secara rasmi. "Yanukovich dan individu lain yang bertanggungjawab dalam kejadian itu sudah diumum sebagai orang yang dikehendaki," katanya dalam akaun Facebook. Yanukovich, 63, melarikan diri dari Kiev menaiki helikopter Sabtu lalu, tiga hari selepas rakyat Ukraine bangkit menentang kerajaannya dan lebih 80 orang terbunuh dalam konflik berkenaan.


Avakov berkata, setakat semalam Yanukovich berada di wilayah Crimea yang menyokong Russia. Pergerakan Yanukovich dilaporkan tidak menentu.

Sejak Sabtu lalu, Yanukovich dan ketua pentadbirannya, Andriy Klyuev meninggalkan Kiev untuk ke Kharkiv di timur Ukraine sebelum menuju kubu kuatnya di Donetsk.


Bagaimanapun, pengawal sempadan menghalang Yanukovich dan Klyuev meninggalkan negara itu, memaksa mereka menukar haluan ke semenanjung Crimea. Berdasarkan kenyataan Avakov, Yanukovich melarikan diri ke lapangan terbang tentera di Belbek, Crimea sebaik saja mengetahui dia disingkirkan daripada jawatan presiden secara rasmi. Yanukovich kemudian berpindah ke lokasi lain apabila mendapat tahu pegawai tertinggi Kementerian Dalam Negara dan pasukan keselamatan Ukraine sedang menunggunya di situ. Di sebuah kediaman persendirian di wilayah Balaclava, dia mengumpul pengawal keselamatannya dan memberi pilihan sama ada menyertainya atau berpisah. "Yanukovich juga membebaskan dirinya daripada kawalan keselamatan rasmi kerajaan," katanya. Sesetengah pengawal keselamatan itu kemudian meninggalkan Yanukovich dan menyerahkan senjata mereka kepada pihak berkuasa Crimea. "Dengan baki pengawal keselamatan yang ada, Yanukovich ditemani Klyuev melarikan diri dengan tiga kereta ke destinasi tidak diketahui.


"Semua sistem komunikasi dengan mereka terputus," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

No comments:

Post a Comment