Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pengadil sebut 'L****U Lu'

Posted: 16 Feb 2014 08:49 AM PST

Petra Jaya: Ibarat menjerut leher sendiri begitulah nasib bakal diterima pengadil, Sukri Abdul Rahman apabila Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) membuat laporan kepada FAM berikutan tindakannya mengeluarkan kata lucah ke atas seorang pemain Sarawak, kelmarin.

Sukri menyebut perkataan Hokkien 'L****U Lu' kepada pemain tengah Joseph Kalang Tie sejurus tamat perlawanan yang menyasikan skuad Bujang Senang menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Negeri.

Menurut Joseph, insiden itu berlaku ketika dia mahu bersalaman dengan pengadil perlawanan sebaik tamat permainan.

"Sebaik bersalam dengannya (Sukri), saya mahu mendapat penjelasan mengenai keputusan pengadilan yang mengecewakan sepanjang perlawanan namun dia tiba-tiba mengeluarkan perkataan lucah itu. Saya terkejut dan bertanya kenapa bercakap seperti itu namun dia hanya berdiam diri.

Foto

JOSEPH (tiga dari kiri) dilayang kad kuning oleh Sukri.


"Kalau saya yang mengeluarkan perkataan itu kepada dia atau pemain lain atau pegawai perlawanan, sudah tentu saya akan dikenakan tindakan.


"Malah dua pembantu pengadil juga mendengar perkataan lucah itu, tapi berdiam diri apabila saya cuba bertanya kepada mereka.

"Saya tahu dia tertekan, tapi sebagai pemain saya ada hak untuk meluahkan kekecewaan terhadap keputusan yang dibuat. Saya bukan mahu menyalahkan dia, tapi kita ada hak (untuk meluahkan rasa tidak puas hati)," katanya.

Kata Joseph lagi, walaupun tertekan sekali pun pengadil tidak sepatutnya mengeluar perkataan lucah itu bukan saja kepada dirinya malah pihak lain.

Perlawanan yang menyaksikan Bujang Senang melakarkan kemenangan kedua berturut-turut itu dibayangi 10 kad kuning termasuk satu kad merah ke atas Junior Eldstal selepas menerima kad kuning kedua.

Sarawak kini menduduki tangga ketiga liga selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan berkongsi mata dengan Kelantan - satu mata di belakang pendahulu, Terengganu.

Sementara itu, jurulatih Sarawak Robert Alberts akan membawa perkara itu kepada pengurusan FAS untuk tindakan selanjutnya.

Beliau jelas terkilan mengenai tindakan membabitkan pengadil berkenaan.

"Perkara ini akan saya bawa kepada FAS dan mereka akan mengadakan mesyuarat untuk tindakan susulan. Tugas saya hanya melaporkan perkara ini kepada mereka (FAS) dan saya tidak mempunyai hak terhadap tindakan selanjutnya.

"Bagi saya, dalam perlawanan seperti ini, pengadil perlu bijak mengawal emosi dan bukannya bertindak seumpama itu. Ia amat memalukan apatah lagi perkara itu membabitkan pemain saya.

"Saya hanya mengetahui apabila dia (Kalang) datang kepada saya dan memaklumkan pengadil mengeluarkan perkataan lucah ke atasnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

ATM tak cergas

Posted: 16 Feb 2014 08:43 AM PST

Kuala Lumpur: Faktor kecergasan antara punca utama skuad The Gladiators gagal menyekat aksi bertenaga anak buah Fandi Ahmad seterusnya mensia-siakan peluang mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan LionsXII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang berkesudahan tewas 2-1, kelmarin.

Jurulatih ATM, B Sathianathan kecewa dengan prestasi sebahagian besar tonggak utamanya yang hilang punca pada babak kedua akibat kurangnya kecergasan hingga mengganggu konsentrasi pasukan walaupun pada awalnya mendahului lawan.

"Kita tidak bermain seperti kebiasaan.

Apa yang saya nampak, pemain kurang cergas dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

Ini merupakan satu kerisauan pada saya.

Foto

PENJAGA gol ATM Syed Adney gagal menghalang percubaan pemain LionsXII Afiq Yunos (dua dari kanan).


"Kalau kita hendak bertanding dengan pencabar dalam Liga Super seperti Selangor, Johor DT dan Pahang, kita perlu cergas selama 90 minit masa perlawanan dan faktor itu amat penting sekali dalam bola sepak moden.

"Selepas perlawanan malam tadi (malam kelmarin), saya telah berikan cuti selama tiga hari kepada pemain.


Naik sahaja daripada cuti nanti, saya akan kaji semula bentuk latihan pasukan dan akan lebihkan kepada sudut kecergasan," katanya.

Menurut bekas jurulatih Harimau Malaya dan Kelantan itu, rehat panjang Liga-M selama dua minggu dalam memberi laluan kepada persiapan skuad negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia, memberikan kesempatan kepadanya buat mengasah taring pasukannya.

"Tempoh rehat ini akan saya gunakan sebaiknya agar kita mampu beraksi di tahap sebenar.

Bukan itu sahaja, tempoh ini juga baik untuk pemain yang cedera untuk pulih dan kembali ke dalam pasukan," katanya.

ATM terpaksa melupakan sementara khidmat pertahanan kental K Rueben yang mengalami kecederaan UCL dan perlu berehat selama lima bulan.

Terbaru, pemain lincah sayap Christie Jayaselan serta tonggak pertahanan kanan Mohd Riduwan Ma'on turut berada dalam senarai kecederaan ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Jiminez kekal relevan di Larkin

Posted: 16 Feb 2014 08:42 AM PST

Johor Bahru: Kredibiliti Cesar Ferrando Jiminez membimbing Johor Darul Ta'zim (DT) mengharungi kempen Liga M masih relevan dan sudah menunjukkan peningkatan dengan corak permainan kemas.

Kemenangan 4-1 ketika membelasah Selangor di Stadium Larkin, kelmarin sudah cukup menggambarkan kesebelasan Johor DT mula menunjukkan keserasian dengan corak taktikal pengendali dari Sepanyol itu.

Walaupun ada desas-desus mengaitkan kedudukan Jiminez bakal diambil alih Bojan Hodak, senario itu tidak harus berlaku memandangkan bekas pengendali Valencia dan Atletico Madrid itu berjaya membentuk skuad Harimau Selatan berdisiplin dan komited sepanjang 90 minit perlawanan.

Malah ketika latihan persiapan menjelang suku akhir kedua Piala FA menentang Kedah di Stadium Darulaman malam esok, pemain begitu ceria dan bersemangat serta mengikut setiap arahan Jiminez.

Mengulas kemenangan itu, Jiminez gembira dengan komitmen barisan pemainnya yang mengikut setiap arahan taktikal terutama merantai pergerakan Paulo Rangel daripada melakukan gerakan berbahaya.

"Pemain beraksi konsisten bukan saja pada babak pertama, malah di babak kedua sehingga sukar buat pemain Selangor mencari gol malah apa yang dipamerkan mereka amat meyakinkan.

"Lebih membanggakan apabila pemain tidak beraksi dengan atas status nama mereka sebaliknya membentuk corak permainan berpasukan yang saya terapkan sepanjang latihan dan mereka tahu apabila beraksi di padang keutamaan lebih kepada semangat berpasukan," katanya.

Jiminez juga memuji Mohd Amri Yahyah yang sentiasa menjadi duri dalam daging buat skuad Gergasi Merah apabila sentiasa menjadi pencetus gerakan berbahaya skuad Harimau Selatan.

"Bukan saja Amri malah setiap pemain menunjukkan karakter terbaik dan sewajarnya sikap profesional harus diteruskan untuk kejayaan bukan kepada saya, tetapi lebih kepada pasukan," kata Jiminez.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Johor Fan Club, kelab penyokong rasmi Johor DT, Azman Jalil berharap tidak timbul isu yang digembar-gemburkan berhubung pertukaran jurulatih dan mahu Jiminez dikekalkan.

"Biarlah Jiminez terus membimbing Johor DT kerana saya nampak perubahan ketara dengan corak permainan lebih tersusun malah kita ada misi penting iaitu Piala FA dan berharap pasukan meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian pengendali dari Sepanyol itu," katanya.

Foto

AMRI (kiri) jadi duri dalam daging buat skuad Red Giants.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Formasi 4-4-2 TRW berkesan

Posted: 16 Feb 2014 08:40 AM PST

Kota Bharu: Pengurus Azman Ibrahim melaung amaran bahawa skuad The Red Warriors (TRW) sudah kembali ke tahap sebenar apabila membenam T-Team 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Kemenangan itu selepas menewaskan PKNS FC 3-2 dalam saingan suku akhir pertama Piala FA, 11 Febuari lalu membuktikan aksi gergasi Pantai Timur itu lebih menyengat apabila jurulatih Steve Darby menggunakan formasi 4-4-2.

Azman berkata, formasi itu secara tidak langsung membentuk persefahaman lebih tinggi di kalangan pemain.

Katanya, pujian juga harus diberikan kepada pemain muda Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, 22, yang mempamer aksi cemerlang dan berani membawa masuk bola ke kubu lawan bagi memberi ruang kepada penyerang melakukan penyudah.

"Saya gembira kerana pemain sudah kembali kepada persembahan sebenar malah mencapai keserasian selain ditambah dengan kesungguhan pemain dan perubahan formasi yang dilakukan jurulatih.

"Saya jangka persembahan TRW akan terus meningkat untuk mencabar Pahang, Lions XII, Selangor dan ATM," katanya.

Bagaimanapun, Azman berkata, persediaan Kelantan beraksi pada suku akhir kedua Piala FA menentang PKNS FC esok mungkin terjejas selepas penyerang, Ahmad Shakir Ali mengalami kecederaan selain beberapa tonggak menerima kad kuning.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Norhafiz puas atasi Kedah

Posted: 16 Feb 2014 08:39 AM PST

Seremban: Selepas kehilangan mata apabila dikecewakan Sabah Isnin lalu, Negeri Sembilan berjaya bangkit dengan persembahan lebih baik untuk menewaskan Kedah 1-0 dalam saingan Liga Perdana, Jumaat lalu, biarpun beraksi di gelanggang lawan.

Kemenangan itu sekali gus memperbaiki kedudukan skuad Hoben Jang Hoben dalam carta liga apabila kini menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 10 mata.

Bagi kapten Norhafiz Zamani Misbah, kemenangan itu amat bermakna kerana dapat mengelak pasukan berdepan situasi sukar dalam memberikan saingan dengan pasukan lain.

Katanya, bukan tugas mudah beraksi di gelanggang lawan lebih-lebih lagi berdepan Kedah, sebuah pasukan berpengalaman dan belum tewas.

"Sememangnya kemenangan ini amat bermakna selepas tewas kepada Sabah, kami berjaya bangkit dengan persembahan lebih baik hasil semangat juang tinggi setiap pemain.

"Biarpun kemenangan itu tipis, ia merealisasikan hasrat pasukan untuk tidak kehilangan mata dalam setiap perlawanan bagi memudahkan laluan menjuarai liga musim ini," katanya semalam.

Menurut Norhafiz, biarpun mempamerkan persembahan bertahan, mereka berjaya mencipta beberapa peluang jaringan, tetapi gagal diterjemahkan.

Namun pujian harus diberikan kepada Effa Owona kerana berjaya memastikan pasukan pulang dengan tiga mata berharga.

Katanya, kemenangan ke atas Kedah bukan saja mampu menyuntik keyakinan pemain malah memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta untuk bersaing dengan PDRM yang kini mendominasi carta liga.

"Melihat kepada senario saingan ketika ini, semua pasukan memiliki kelebihan, namun PDRM, Pulau Pinang dan FELDA United FC antara pasukan yang mantap dan Negeri Sembilan perlu meningkatkan lagi persembahan bagi menyaingi kehebatan mereka," katanya.

Foto

NORHAFIZ (kanan) gembira Negeri Sembilan bangkit selepas tewas kepada Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Benteng hilang fokus

Posted: 16 Feb 2014 08:37 AM PST

Melaka: Kekalahan tipis 1-2 DRB Hicom kepada Pulau Pinang pada saingan Liga Perdana Jumaat lalu mampu dielakkan jika barisan pertahanan kekal fokus sepanjang babak kedua perlawanan.

Jurulatih DRB Hicom G Torairaju berkata, selepas mendahului 1-0 pemain kelihatan yakin mengawal rentak mahupun menambah jaringan namun sebaliknya lawan bangkit untuk menyamakan kedudukan dan akhirnya memenangi perlawanan.

Katanya, selepas penjaga gol utama Mohamad Jibrail Kamaron terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada m-65, benteng mula goyah ditekan tuan rumah.

"Gol penyamaan Harimau Kumbang menerusi sepakan percuma antara faktor kebangkitan lawan untuk bertindak lebih garang.

Kesilapan benteng menyebabkan tuan rumah memperolehi sepakan penalti untuk gol kedua yang menjadi faktor kekalahan keempat setakat ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Helang Merah ratapi kekalahan

Posted: 16 Feb 2014 08:36 AM PST

Alor Setar: Kedah bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila kecewa lagi apabila tumbang 0-1 kepada Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana selepas tewas pada saingan Piala FA, Selasa lalu.

Setelah kapten Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainol diketepikan kerana menerima kad merah Piala FA, tonggak pertahanan Adam Griffith dan penyerang Khyril Muhymeen mengalami kecederaan.

Kehilangan empat pemain utama itu menjejaskan rentak kedah di Stadium Darulaman, kelmarin.

Menurut jurulatih David Mitchel, kegagalan pemain simpanan untuk menyempurnakan tugas mereka seperti yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

"Saya tidak boleh salahkan pemain simpanan kerana inilah perlawanan pertama mereka dan beraksi di bawah keupayaan sebenar.

"Kekurangan pemain simpanan yang mampu mengambil alih tugas pemain utama mengakibatkan Kedah kehilangan tiga mata berharga.

"Apa yang memuaskan hati saya ialah kesungguhan dipamerkan pemain untuk memburu kemenangan namun persembahan mereka tidak cukup untuk menewaskan barisan mantap Negeri Sembilan," kata David.

Kedah akan turun melayani pasukan pilihan Liga Super, Johor Darul Takzim (DT) pada suku akhir kedua Piala FA malam esok.

"Lawan memiliki kelebihan dua gol dan saya tahu ini tugas sukar.

"Apapun saya perlu menyusun strategi baru dan berharap pemain terus fokus serta beraksi bermati-matian untuk mencari tiga gol untuk layak ke separuh akhir.

"Dalam bola sepak, tiada yang mustahil dan saya sendiri belum mengaku kalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Penonton diseru penuhi stadium

Posted: 16 Feb 2014 08:36 AM PST

Sungai Petani: Pasukan Helang Merah mampu membuat kejutan untuk melangkah ke suku akhir apabila menerima kunjungan Johor DT pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Pada perlawanan di Stadium Larkin, Johor Bahru, sebelum ini skuad bimbingan Cesar Ferrando Jiminez menang 3-1.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau melihat kesungguhan dimiliki pemain mampu mencipta kejutan.

Beliau yakin dengan keazaman tinggi pemain dan sokongan padu penyokong memenuhi stadium tidak mustahil Kedah mampu membuat kejutan.

Katanya, Kedah sudah pasti mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri dan pemain mampu beraksi lebih baik di hadapan penyokong sendiri.

"Saya yakin dengan sokongan peminat akan menyuntik semangat kepada pemain untuk beraksi lebih baik.

"Jika ketika menentang Perlis, jumlah penonton lebih 14,000 orang, saya yakin jumlah itu akan bertambah berdepan Johor DT.

"Pada masa sama, saya juga berharap suasana perlawanan akan terkawal tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini...

nama kita pun Kedah Darulaman, jadi faham-fahamlah sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Lukman gah layak

Posted: 16 Feb 2014 08:04 AM PST

Kuala Lumpur: Sesuatu yang langsung tidak dijangka oleh Lukman Hakim Ramlan apabila melakarkan kejutan dengan menjadi atlet olahraga pertama melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan 18 September hingga 27 Oktober ini.

Melakarkan lompatan sejauh 7.53m Lukman melepasi syarat kelayakan 7.52m untuk layak secara merit ke temasya kedua terbesar itu ketika beraksi dalam acara lompat jauh pada temasya Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT).

Ditanya sama ada atlet yang mengambil jurusan Diploma Sains dan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sememangnya meletakkan sasaran untuk ke Sukan Asia Lukman, 19, berkata, dia langsung tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya memikirkan untuk membuat yang terbaik berdasarkan tahap kemampuannya yang berlatih secara bersendirian.

Namun usaha keras selama dua bulan berlatih tanpa bimbingan jurulatih membuahkan hasil dan membuktikan sekiranya ada usaha pasti beroleh kejayaan.

Foto

LUKMAN (kanan) dan Cai Lin ceria bersama trofi masing-masing pada majlis penutupan SUKIPT 2014.


"Sebelum ini saya berlatih di bawah bimbingan jurulatih Zainal Abas tapi selepas kembali ke UiTM, saya terpaksa berlatih sendiri.


"Alhamdulillah sudah rezeki saya dan akhirnya berjaya memenangi emas untuk UiTM dan paling tidak sangka menjadi atlet pertama melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia," katanya yang mencatatkan rekod peribadi terbaik 7.27 meter ketika memenangi perak di Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang.

Mengulas mengenai rancangannya selepas ini, Lukman berharap dia diberikan peluang oleh Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menjalani latihan lebih sistematik.

Malah dia sanggup menangguhkan pelajaran dan memberi tumpuan kepada latihan agar persembahannya di Sukan Asia memberi impak berkesan.

"Saya amat berharap MSN atau KOM mempunyai perancangan untuk saya. Jika boleh saya mahu pergi lebih banyak kejohanan lagi dan diberi peluang berlatih di luar negara bagi meningkatkan teknik lompatan," katanya.

Kejayaan Lukman itu membolehkannya dia dinobatkan olahragawan SUKIPT yang menutup tirai temasya semalam dan olahragawati menjadi milik perenang elit negara, Khoo Cai Lin.

UiTM dinobatkan juara keseluruhan SUKIPT dengan pungutan 64 emas, 44 perak dan 34 gangsa.

Tempat kedua, Universiti Putra Malaysia (53 emas, 31 perak, 35 gangsa) dan ketiga Universiti Malaya (16 emas, 11 perak, 17 gangsa).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Lin Dan 'kalah' jua

Posted: 16 Feb 2014 08:03 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama berdepan badi kekalahan, akhirnya Datuk Lee Chong Wei berjaya juga 'menewaskan' jaguh China Lin Dan menerusi satu perlawanan pertunjukan bersempena pembukaan pusat latihan badminton di Lingshui, China, semalam.

Pada perlawanan itu, Chong Wei yang menyatakan kesediaan untuk hadir selepas mendapat jemputan khas daripada Persatuan Badminton China, beraksi dua perlawanan.

Pada perlawanan pertama, pemain nombor satu dunia itu digandingkan dengan Lin Dan menentang juara dunia lima kali Cai Yun-Fu Haifeng yang menyaksikan Chong Wei-Lin Dan tewas 18-21.

Namun perlawanan kedua menyaksikan pertukaran gandingan dengan Chong Wei bersama Cai Yun sementara Lin Dan-Fu Haifeng.

Chong Wei-Cai Yun beraksi cemerlang apabila berjaya menewaskan Lin Dan-Fu Haifeng dengan keputusan 21-19.

Semalam juga adalah aksi pertama Lin Dan selepas kali terakhir beraksi di halaman sendiri dengan menewaskan Chong Wei di pentas final Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos tahun lalu.

Penampilan Lin Dan itu juga adalah amaran untuk Chong Wei kerana bekas pemain nombor satu dunia itu dijangka akan kembali aktif beraksi di pentas antarabangsa selepas ini sekali gus mencerahkan peluangnya untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

No comments:

Post a Comment