Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Nahas kereta curi

Posted: 10 Feb 2014 10:12 AM PST

Shah Alam: Dua penyamun berputih mata apabila kereta yang baru disamun mereka terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 16, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek dikatakan baru saja menyamun sebuah kereta PERODUA Myvi milik seorang lelaki yang baru selesai membeli barangan di sebuah pasar raya berhampiran.


Suspek yang dipercayai berusia 20-an menaiki dua motosikal bersama dua lagi rakannya menghampiri mangsa yang sedang memasukkan barangan ke dalam keretanya.

Difahamkan, sebaik tiba di hadapan pasar raya itu, suspek terus mengacukan parang dan merampas kunci kereta milik mangsa sebelum melarikan kereta berkenaan menghala ke Lebuhraya Persekutuan.


Namun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta yang dinaiki suspek merempuh sebuah bas kerana gagal mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, susulan kemalangan itu, kereta yang disamun itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, namun semua suspek berjaya melarikan diri.

Foto

KEADAAN kereta yang dicuri suspek selepas berlanggar dengan sebuah bas.

"Siasatan lanjut ke atas kereta berkenaan, polis menjumpai dua topi keledar serta sebilah parang milik suspek," katanya ketika dihubungi.


Azisman berkata, usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

700 panik pusat beli-belah berasap

Posted: 10 Feb 2014 10:09 AM PST

Kuala Lumpur: Seramai 700 pekerja dan pengunjung sebuah pusat beli-belah di Kepong, di sini panik apabila tingkat 12 bangunan itu terbakar menyebabkan mereka bergegas melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi, tingkat 12 yang menempatkan asrama pekerja itu terbakar menyebabkan ia musnah sama sekali.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kepong Pegawai Bomba Tertinggi (PBT) Mohd Fuzi Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7.01 malam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba, api sudah marak bagaimanapun tiada mangsa yang terperangkap kerana pekerja dan pengunjung sempat menyelamatkan diri.


"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terbabit dalam operasi ini adalah BBP Jinjang, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail, Sri Hartamas dan Sentul.


"Seramai 21 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi ini dan api dapat dikawal 27 minit kemudian. Api padam sepenuhnya jam 8.08 malam," katanya selepas tamat operasi malam tadi.

Mohd Fuzi berkata, punca dan anggaran kerugian masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Kadar majikan gagal carum KWSP menurun

Posted: 10 Feb 2014 10:09 AM PST

Kuala Lumpur: Kadar jumlah majikan yang tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menurun kepada 1.21 peratus pada suku tahun keempat 2013.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata, penurunan itu disebabkan penguatkuasaan tegas selain usaha KWSP meningkatkan kesedaran majikan mengenai kepentingan mencarum untuk kebajikan pekerja mereka.


"Pada suku tahun tersebut, 122 majikan yang tidak mencarum didenda RM208,550 berbanding 125 majikan pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2013.

"Majikan terbabit didenda kerana tidak membayar caruman bulanan sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan. KWSP memandang serius kesalahan ini kerana kami komited untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan ahli KWSP," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Menurutnya, walaupun majoriti majikan yang berdaftar dengan KWSP mengambil berat dan berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan pekerja mereka, namun masih terdapat majikan yang tidak mengendahkan tanggungjawab mereka di bawah Akta KWSP 1991.


Nik Affendi berkata, KWSP mengambil langkah tegas terhadap majikan yang gagal mencarum untuk pekerja mereka termasuk mengemukakan nama pengarah syarikat terbabit kepada jabatan imigresen bagi menghalang mereka daripada meninggalkan negara.

Dalam pada itu, KWSP menggesa semua ahlinya supaya sentiasa menyemak penyata KWSP masing-masing bagi memastikan caruman majikan telah dibayar mengikut ketetapan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Bangunan dibaik pulih terbakar

Posted: 10 Feb 2014 10:08 AM PST

Kuantan: "Saya cuba memadamkan kebakaran di sebuah unit rumah tingkat lima bangunan itu selepas melihat api keluar dari bilik air, namun tidak berdaya kerana asap tebal.

"Rakan saya membuka bumbung bagi membolehkan asap keluar, tetapi api terus marak dan dalam keadaan kelam-kabut untuk menyelamatkan diri, kedua-dua tangan tersentuh kayu yang terbakar menyebabkannya melecur," kata Fazly Erwan Kamaruddin, 27, saksi kebakaran bangunan blok D Kuarters Institusi Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, di sini, petang semalam.


Kebakaran jam 3.30 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung blok berkenaan musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian blok berkenaan sudah dikosongkan untuk dalam proses dibaik pulih. Fazly yang juga pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan berkata, sebelum kejadian dia bersama tiga lagi rakannya mengukur bumbung di blok E untuk menjalankan kerja membaik pulih bumbung blok itu.

"Selepas selesai mengukur bumbung blok E kami ternampak asap keluar daripada bumbung blok bersebelahan dan kami terus menaiki tangga untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati bumbung di bilik air di satu unit rumah blok berkenaan terbakar.


"Oleh kerana api marak terlalu cepat kami terus keluar menyelamatkan diri kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk dan terus menghubungi bomba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Difahamkan lima blok di kuarters berkenaan sudah dikosongkan dan kerja membaik pulih bumbung yang rosak dan bocor giat dijalankan memandangkan ia diduduki semula pada April ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba Ghazali Ismail berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu jam 3.36 petang dan tiga jentera dengan kekuatan 28 anggota terus bergegas ke tempat kejadian.


Katanya, sebaik tiba pihaknya melihat bumbung tingkat lima blok berkenaan mula dijilat api dan ia marak terlalu cepat berikutan keadaan cuaca yang berangin menyebabkan bomba menggunakan jentera Turn Table Ladder (TTL) untuk memadamkan kebakaran.

"Api dapat dikawal sepenuhnya 28 minit kemudian dan kami masih menyiasat punca kebakaran kerana blok berkenaan tidak mempunyai bekalan elektrik bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada keadaan cuaca panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Aku 'dimadu' isteri

Posted: 10 Feb 2014 10:07 AM PST

Kuala Lumpur: Remuk redam hati seorang suami apabila isteri yang disangkanya membuat lawatan kerja, rupa-rupanya lari mengikut bekas teman lelaki selepas hubungan mereka terjalin semula menerusi laman sosial facebook (FB).

Lebih mengejutkan, wanita berusia 29 tahun itu turut melarikan wang berjumlah RM50,000 milik suaminya, selain mengugut akan membunuh diri jika dia membuat laporan polis.

Suami terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 30, berkata, isterinya meninggalkan rumah pada 5 Februari lalu dengan alasan mengikuti lawatan kerja ke Perak bersama rakan sekerja selama tiga hari.

"Bagaimanapun, selepas tiga hari dia masih tidak pulang ke rumah. Bimbang dengan keselamatannya, saya menghubungi beberapa rakan sekerjanya, namun terkejut apabila mereka memberitahu isteri saya memohon cuti seminggu.


"Mereka juga memberitahu tiada sebarang lawatan kerja di Perak dilakukan pihak syarikat sebagaimana yang dikatakan isteri saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

No comments:

Post a Comment