Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gan bakal milik TRW

Posted: 19 Feb 2014 12:37 PM PST

Kuala Lumpur: Hajat Kelantan sebelum ini yang kempunan mendapatkan sentuhan pemain kacukan Australia dan Malaysia, Brendan Gan, bakal menjadi kenyataan apabila jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) dibuka sebulan, bermula 23 Mac nanti.

Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata, segala urusan dokumentasi pendaftaran Brendan Gan hampir selesai dan pihaknya hanya menunggu tarikh jendela perpindahan itu dibuka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


"Segala urusan untuk membolehkannya memiliki pasport Malaysia termasuklah temu duga serta perkara berkaitan, mengikut seperti yang dirancang. Brendan akan memperoleh pasport Malaysia bulan ini dan pendaftaran dengan FAM akan dilakukan pada tingkat perpindahan kedua nanti. "Apa yang FAM mahukan kita sudah lakukan. Saya harap semuanya dapat diselesaikan dan tidak lagi timbul apa-apa kerumitan selepas ini," katanya ketika ditemui Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi suku akhir Piala FA, malam kelmarin.

Brendan sebelum ini dihalang FAM daripada didaftarkan sebagai pemain tempatan The Red Warriors (TRW) kerana pihak Jawatankuasa Status FAM lebih memilih taraf kewarganegaraan seseorang pemain berbanding taraf kerakyatan, Disember lalu.


Pemain memulakan karier senior bersama Sutherland Sharks, diikuti Sydney FC untuk tempoh empat tahun dan kemudian menyertai Bonnyrigg White Eagles pada saingan 2011 hingga 2012 sebelum berpindah ke Sabah.

Foto

Brendan Gan

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

City rebah di Etihad

Posted: 19 Feb 2014 12:10 PM PST

Manchester, England: Barcelona semakin hampir memusnahkan impian Manchester City meraih kegemilangan Eropah apabila mereka menguasai pertembungan perlawanan pertama, pusingan kedua Liga Juara-Juara dan berhak menang 2-0 di Stadium Etihad, awal pagi semalam.

Dianggap perlawanan terbesar dalam sejarah City, semuanya tidak menjadi buat pasukan kendalian Manuel Pellegrini apabila selepas 53 minit pertahanan Martin Demichelis dibuang padang sesudah menjatuhkan rakan senegara Lionel Messi.


Messi menyempurnakan sepakan penalti itu untuk meletakkan Barca di depan.

Ia gol pertama dijaringkan Messi pada perlawanan Eropah di England sekali gus mencetus kemenangan pertama juara Sepanyol itu di England bagi pertandingan Eropah selepas enam perlawanan.


Gol terakhir mereka hadir pada minit terakhir apabila Dani Alves menyambut hantaran pemain gantian Neymar dan melepaskan rembatan di celah kelangkang Joe Hart untuk menyukarkan laluan City bagi perlawanan kedua 12 Mac ini.


Barca, dengan barisan serangan diketuai Messi, Andres Iniesta dan Alexis Sanchez, menguasai 20 minit pertama namun membenarkan City kembali seketika kemudian menguasai semula selepas kad merah itu.

Jurulatih mereka Gerardo Martino berkata, beliau gembira dengan kemenangan itu namun tidak mengambil mudah perlawanan timbal balik.


"Saya belum begitu yakin bagi perlawanan kedua. Hasrat kami adalah untuk menang dan saya fikir ia keputusan yang adil.

"Tapi apabila kami membenarkan City menguasai bagi 10 minit pada babak pertama dan 10 minit pada babak kedua, mereka menyukarkan kami.


"Kami meraih kemenangan dinanti-nantikan di gelanggang lawan dan kini mahu mengulangi persembahan itu di halaman sendiri. Tapi City kalah kepada Bayern Munich pada peringkat kumpulan dan kemudian menang di laman lawan. Mereka pencabar yang amat berbahaya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Pellegrini berdepan penggantungan akibat salahkan pengadil

Posted: 19 Feb 2014 12:10 PM PST

Manchester, England: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mungkin berdepan tindakan penggantungan daripada UEFA selepas berang dengan keputusan pengadil ketika pasukannya tewas 0-2 kepada Barcelona pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Barcelona mendominasi perlawanan pertama pusingan kedua itu hasil jaringan penalti Lionel Messi pada separuh masa kedua dan gol saat akhir Dani Alves di Stadium Etihad dan Pellegrini menyalahkan pengadil Jonas Eriksson berikutan kekalahan pasukan bimbingannya itu. Pellegrini mendakwa Eriksson melakukan dua keputusan yang silap iaitu menghadiahkan sepakan penalti selain mempersoalkan mengapa pegawai dari Sweden itu diberi tanggungjawab mengendalikan perlawanan berkenaan.


Beliau turut berkata, Eriksson tidak sepatutnya diberi tanggungjawab itu kerana beliau sudah menerima kritikan Barcelona ketika kelab itu sekadar seri tanpa jaringan dengan AC Milan pada suku akhir Liga Juara-Juara musim 2011-2012.

Eriksson melayangkan kad merah kepada pertahanan City, Martin Demichelis kerana dilihat sengaja menjatuhkan Messi sekali gus menyaksikan Barcelona dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54.


"Sebelum insiden yang menyebabkan sepakan penalti itu, Jesus Navas dikasari ketika Eriksson hanya sejauh tiga meter daripada pemain itu. Pasti beliau dapat saksikan insiden itu dengan jelas.


"Pada awal saingan lagi saya dapat rasakan pengadil tidak memihak kepada kedua-dua pasukan. Sepakan penalti yang dihadiahkan kerana insiden membabitkan Martin Demichelis tidak wajar diberikan kerana ia berlaku di luar kotak penalti." Ditanya apakah yang dibincangkan dengan Eriksson selepas tamat perlawanan, Pellegrini berkata: "Hanya memberitahunya beliau berkuasa menentukan keputusan perlawanan. Beliau pasti sangat gembira kerana mempunyai kuasa seperti itu." Pengendali dari Chile itu kemudian menjelaskan: "Beliau tidak mengawal perlawanan. Beliau menentukan Barca menang sejak awal lagi.

"Saya rasa bukanlah satu keputusan yang tepat meletakkan seorang pengadil dari Sweden pada perlawanan penting ini, seorang pengadil yang sudah pun melakukan kesalahan sebelum ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

PSG memukau

Posted: 19 Feb 2014 12:09 PM PST

Leverkusen, Jerman: Zlatan Ibrahimovic meminta Paris St-Germain supaya menamatkan terus cabaran Bayer Leverkusen selepas kemenangan 4-0 di Jerman membantu mereka berada di ambang suku akhir Liga Juara-Juara.

Bintang Sweden itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada babak pertama ketika pendahulu liga Perancis itu bermaharajalela di BayArena pada perlawanan pertama, pusingan kedua, awal pagi semalam.


Bayer beraksi dengan 10 pemain bagi baki setengah jam terakhir apabila pemain yang ditugaskan mengawal Ibrahimovic, Emir Spahic dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Dua gol Ibrahimovic membolehkan dia mendahului sebagai penjaring terbanyak pertandingan itu dengan 10 gol dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara, satu gol di depan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.


Ia persembahan lima bintang dipamerkan PSG, namun Ibrahimovic berterus terang apabila ditanya jika pasukan dari Paris itu yang terbaik pernah diwakilinya.


"Saya bermain dengan pasukan fantastik sebelum ini jadi sukar untuk menyatakannya, anda mungkin memiliki pasukan hebat tapi tidak memenangi trofi, kami perlu melunaskan tugas ini dulu," kata penyerang berusia 32 tahun itu.

Pemain tengah, Blaise Matuidi meletakkan PSG di depan tidak sampai dua minit sebelum Ibrahimovic menyempurnakan sepakan penalti, kemudian menambah gol kedua apabila dia melakukan rembatan kencang menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat.


Pemain gantian Yohan Cabaye kemudian menambah gol keempat PSG sebelum wisel penamat untuk melengkapkan jaringan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Ramos miliki ramuan jinak Spurs

Posted: 19 Feb 2014 12:09 PM PST

Paris: Bekas pengurus Tottenham, Juande Ramos akan bertemu kembali kelab Liga Perdana Inggeris itu pada pusingan kedua Liga Europa awal pagi esok apabila Spurs berkunjung ke Ukraine untuk perlawanan pertama bertemu Dnipro.

Ramos membantu Tottenham meraih kejuaraan Piala Liga pada 2008, kali terakhir kelab London itu menjulang piala tetapi beliau kemudian dipecat selepas membimbing kelab itu kurang setahun.


Pengendali dari Sepanyol itu yang membantu Sevilla menjulang Piala UEFA sebanyak dua kali, pasti akan berasa bangga jika berjaya membimbing Dnipro melangkah lebih jauh.

"Spurs adalah pasukan yang hebat. Jelas sekali mereka pasukan pilihan dan kami mungkin tersingkir.


"Nilai seorang pemain Spurs mungkin sama dengan kos pasukan ini selama setahun. Anda boleh melakukan persiapan cukup rapi tapi Spurs juga masih mampu untuk menjaringkan empat gol.


"Sebab apa? Sebab mereka adalah sebuah pasukan yang lebih bagus daripada kami.

"Saya hanya dapat memberi tunjuk ajar dari luar padang tapi tidak mampu untuk menghalang pemain lawan," kata Ramos.


Spurs sedang bersaing untuk kelompok empat teratas saingan liga dan di sebalik perlu berkunjung ke Norwich tiga hari kemudian selepas mengharungi perjalanan jauh, pengurus Tim Sherwood menegaskan beliau tetap akan menyenaraikan barisan pemain terkuat untuk pertemuan dengan Dnipro.

"Saya gemarkan Liga Europa. Banyak perlawanan akan dilalui tapi tiada apa yang perlu dirisaukan." Swansea City meneruskan saingan di Eropah dengan menanti kunjungan kelab Serie A, Napoli ke selatan Wales. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Curitiba kekal pilihan FIFA

Posted: 19 Feb 2014 12:08 PM PST

Florianopolis, Brazil: FIFA melegakan Curitiba, salah satu bandar yang menganjurkan perlawanan Piala Dunia apabila menarik semula ancaman untuk membatalkan penganjuran acara berprestij di bandar itu kerana kelewatan kerja-kerja pembinaan.

Setiausaha Agung FIFA Jerome Valcke berkata, keputusan untuk mengekalkan bandar itu selepas proses pembinaan stadium Arena da Baixada yang mempunyai kapasiti 41,000 penonton, mengikut jadual yang ditetapkan.


Stadium itu yang akan menyaksikan empat perlawanan pusingan pertama termasuk pertemuan antara Sepanyol dan Australia pada 23 Jun, sebelum ini gagal memenuhi proses pembangunan yang ditetapkan oleh FIFA.

"Benar, Curitiba akan kekal sebagai salah satu daripada 12 bandar yang akan menganjurkan perlawanan Piala Dunia.


"Mereka perlu berdepan dengan jadual kerja yang tepat," katanya.


Sekiranya penyertaan bandar Curitiba dibatalkan, ia pasti memberi tamparan kepada Brazil yang sudah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menganjurkan Piala Dunia dan Sukan Olimpik Rio 2016.

Persediaan Brazil untuk kejohanan berprestij itu diselubungi dengan beberapa insiden kemalangan maut di tiga lokasi berbeza yang menyaksikan enam pekerja pembinaan maut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

'Saya akan tetap saman'

Posted: 19 Feb 2014 12:08 PM PST

London: Bekas pengurus Swansea, Michael Laudrup terus mengecam pemecatannya yang 'mengaibkan' dan 'menakjubkan' oleh kelab Liga Perdana itu ketika beliau berazam menyaman kelab Wales itu.

Dua minggu lalu, pemain legenda bola sepak Denmark itu disingkirkan Swansea, kurang setahun selepas mengemudi kelab itu menjuarai trofi utama sulung dalam sejarah mereka, Piala Liga Inggeris.


Ketika itu, Laudrup mengeluarkan kenyataan menerusi Persatuan Pengurus Bola sepak Liga England beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kelab selatan Wales itu.

Sejak itu beliau tidak memberi komen mengenai pemecatannya, namun kelmarin beliau memanggil satu sidang akhbar di sebuah hotel berdekatan Lapangan Terbang Heathrow di London untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya.


"Dari satu segi ia positif melihat semua reaksi dari kelab lain dan pengulas berkata 'apa kesalahan dilakukannya? Ia tidak seharusnya berlaku'," kata Laudrup.


"Anda boleh menyatakan anda tidak boleh hidup pada masa lampau, tapi tahun ini kami bersaing dalam Piala FA serta Liga Europa.

Foto

LAUDRUP membuat sidang akhbar di sebuah hotel berdekatan Lapangan Terbang Heathrow di London.

"Dua bulan terakhir kami tidak beraksi dengan baik, tapi anda masih mempunyai mata yang sama dengan 11 pasukan dan hanya tiga pasukan turun divisyen.


"Bagaimanapun, ia menjadi negatif buat saya kerana saya tidak boleh berkata apa-apa.

"Saya terpaksa menanti sembilan hari sebelum menerima surat yang menyatakan banyak mengenai perkara mengaibkan, yang tidak boleh saya dedahkan. Saya dihalang dan sudah tentu, Michael tidak bercakap jadi orang boleh membuat andaian. Lebih banyak khabar angin dan desas-desus berlaku." Laudrup menjelaskan beliau dipecat kerana "melanggar kontrak". - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Kem Fulham bergolak

Posted: 19 Feb 2014 12:07 PM PST

London: Fulham secara rasmi menyingkirkan pengurus Rene Meulensteen, penolong jurulatih Ray Wilkins dan pengarah teknikal Alan Curbishley hanya beberapa minggu selepas melantik mereka, umum kelab tercorot Liga Perdana itu semalam.

Kelab barat London itu terus bergolak apabila jurulatih pasukan utama Mick Priest dan Jonathan Hill meninggalkan pasukan berikutan pelantikan pengurus baru Felix Magath, Jumaat lalu.


Fulham turut mengumumkan pengganti dengan Tomas Oral dinamakan sebagai jurulatih pasukan utama dan Werner Leuthard kini bertugas memantapkan tahap kecergasan pemain.

"Saya amat terhutang budi dengan Rene, Alan dan Ray, selain Mick dan Jonathan, kerana komitmen mereka terhadap Fulham," kata pengerusi kelab Shahid Khan.


"Usaha mereka amat disanjung dan dihargai dan saya mendoakan kejayaan mereka selepas ini.


"Felix hadir di Fulham dengan keazaman dan keyakinan luar biasa dan saya tahu beliau gembira memiliki Tomas Oral dan Werner Leuthard membantunya meneruskan misi." Magath, 60, dinamakan sebagai pengurus sekalipun Meulensteen hanya diberi tugas itu Disember lalu selepas pemecatan Martin Jol, dengan pengendali dari Belanda itu awalnya menyertai pasukan pada pertengahan November untuk bekerja di samping warga senegaranya itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Gilap bakat 'Junior Golf'

Posted: 19 Feb 2014 12:07 PM PST

Shah Alam: Bagi melahirkan generasi baru dalam arena sukan golf, Koperasi Pembangunan Ekonomi Luar Bandar Malaysia (KODAR) menganjurkan Program Nasional 'Junior Golf' di 56 sekolah terpilih di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Program pembangunan sukan golf itu akan menjadi platform mencungkil bakat pemain di peringkat akar umbi, bermula dari sekolah rendah dan menengah yang bakal dilaksanakan secara berperingkat, Mac depan.


Pengerusi KODAR Nor Akmal Ibos berkata, program kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan badan organisasi sukan golf itu menerima peruntukan RM15 juta bagi menjayakan misi melahirkan pemain bertaraf bintang.

"Kita sudah berbincang dengan Bahagian Sukan KPM yang mempunyai 'slot' menerusi program satu murid satu sukan dan mereka bersetuju memperkenalkan golf sebagai antara pilihan sukan dalam kokurikulum sekolah.


"Jika golf tersenarai dalam kokurikulum sekolah, ia akan menjadi satu anjakan paradigma kerana memberi penekanan terhadap pengenalan sukan golf secara teknikal selain latihan insentif untuk murid terpilih," katanya. Menurutnya, setiap daerah akan membabitkan empat sekolah yang dipilih KPM dan sekolah berkenaan perlu mewujudkan kelab golf sendiri dengan keahlian 30 pelajar dan dua guru penyelia.


"Guru penyelia akan dilatih dalam prinsip asas sukan golf dan mereka perlu memastikan kelab itu bergerak aktif," katanya.

Katanya, pelajar juga akan dilatih sehingga mempunyai sijil kemahiran golf tahap 1,2 dan 3 dan seterusnya tenaga profesional bertauliah akan memantau bagi memastikan latihan mereka mengikut jadual ditetapkan tanpa mengganggu sistem pelajaran di sekolah.


Nor Akmal berkata, lima pemain yang melalui proses pemilihan Jawatankuasa Pemilih akan mewakili daerah manakala 10 yang terbaik peringkat negeri berpeluang melanjutkan pelajaran di Kolej Golf Profesional Karier (PGCC) Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

Veteran AFM FC tunjuk belang

Posted: 19 Feb 2014 12:06 PM PST

Melaka: Pasukan bola sepak veteran AFM FC berjaya mengatasi Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn (IPGTHO) Batu Pahat, 1-0 pada perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan Melaka, Paya Rumput baru-baru ini.

Perlawanan yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan semangat kesukanan tinggi dalam misi mendedahkan pemain mereka kepada saingan kompetitif.


Walaupun tewas, skuad pelawat tetap berpuas hati dengan keputusan berkenaan biarpun IPGTHO sebenarnya berpeluang mengikat pasukan tuan rumah, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Ketua pasukan IPGTHO Hasan Misran berkata, program terbabit mengisi kesempatan buat pemain pasukan itu berkenal lebih mesra dengan pemain AFM FC.


Katanya, perlawanan itu juga mendorong kaki tangan IPGHTO untuk aktif serta menyokong amalan gaya hidup sihat dan cergas.


"Selain perlawanan berkenaan, pasukan kami juga sering mengadakan perlawanan persahabatan di sekitar Seremban, Negeri sembilan dan Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi dan Muar di Johor.

"Sokongan pengurusan IPGTHO membolehkan pasukan kami sering mengadakan perlawanan persahabatan tanpa mengira pasukan mana sekalipun," katanya selepas perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/20

No comments:

Post a Comment