Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan sampai FIFA masuk campur

Posted: 09 Feb 2014 11:00 AM PST

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Dr Peter Velappan mengingatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya segera menangani kekecohan 'di luar padang' bagi mengelak campur tangan badan induk bola sepak antarabangsa FIFA.

Beliau berkata, bola sepak Malaysia ketika ini mula mendapat perhatian masyarakat luar, namun malangnya ia terkenal atas perkara yang tidak elok akibat beberapa insiden pergaduhan pemain dan penyokong yang sudah bertindak seperti samseng bola sepak.


Malah campur tangan orang luar dalam hal ehwal FAM baginya dilihat sebagai senario yang tidak sihat dan boleh mengundang campur tangan FIFA jika tidak diselesaikan dengan bijak.

"FAM perlu mendapat semula kuasa mereka untuk menguruskan bola sepak di Malaysia, sekarang ini banyak sangat campur tangan ahli politik, MB (Menteri Besar) dan juga kerabat diraja dalam bola sepak. Malah insiden pergaduhan penyokong juga semakin teruk dan jika ketika ini ia hanya membabitkan penyokong Johor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Perak, tidak mustahil ia merebak ke negeri lain pula. Lebih membimbangkan jika ia akan menjadi ikutan golongan remaja yang menjadi generasi masa akan datang.


"Biasanya FIFA akan memantau dulu situasi ini, jika FAM tidak boleh menguruskan bola sepak mengikut undang-undang dan semangat sukan ini, barulah mereka akan masuk campur. Bagi saya ini satu cabaran besar buat FAM," katanya kepada Arena Metro semalam.


Tidak sampai dua bulan Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung, pelbagai insiden yang tidak diingini berlaku bermula dengan kejadian pergaduhan di dalam terowong permainan pada aksi pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan T-Team membabitkan pemain import dan pegawai kedua-dua pasukan di Larkin pada 1 Februari lalu.

Foto

PAGAR besi kawat tidak mampu meleraikan pergaduhan antara penyokong.

Ia tidak berakhir di situ apabila kedua-dua pasukan saling mempertahankan kebenaran yang menyaksikan keputusan FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT dipertikaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.


Belumpun reda isu itu, masalah keganasan penyokong pula menjadi-jadi kali ini membabitkan pergaduhan antara peminat Pahang dan Johor DT selepas tamat aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu yang mengakibatkan ada penyokong mengalami kecederaan.

Velappan yang berkhidmat dengan FAM selaku Penolong Setiausaha Agung sebelum menyertai AFC berkata, FAM perlu lebih tegas bagi mengelak badan induk itu terus diperlekehkan.


"FAM perlu mengenakan syarat kepada semua persatuan negeri dan kelab supaya mematuhi peraturan, berikan mereka masa tiga bulan untuk memastikan tiada lagi kekecohan atau campur tangan luar. Jika mereka gagal maka FAM boleh singkirkan penyertaan mereka.


"FAM satu ketika dulu persatuan terbaik di Asia, negara lain menjadikan kita contoh dari segi pengurusan dan penganjuran kejohanan seperti Pestabola Merdeka, jadi mereka perlu lakukan sesuatu untuk memperbaiki imej itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Wenger 'sakit kepala'

Posted: 09 Feb 2014 08:24 AM PST

Liverpool: Banyak persoalan yang perlu dijawab Arsenal selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dimalukan 5-1 di Liverpool kelmarin dan pengurus Gunners, Arsene Wenger mengakui beliau kini berdepan pelbagai kritikan keras.

Pengendali Perancis itu tidak mampu menyembunyikan rasa terkejutnya dengan prestasi dipamerkan pemain Arsenal dalam perlawanan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu menjulang kejuaraan liga musim ini.


"Malam ini, banyak soalan yang perlu kami jawab dan bukan mudah bagi saya mencari jawapan kepada setiap persoalan itu," kata Wenger "Pertahanan kami sangat buruk dan Liverpool beraksi cemerlang serta berjaya mengambil setiap peluang atas kelemahan kami." -Agensi Hanya penyokong kami yang memainkan peranan mereka sedangkan kami tidak berupaya melawan.

"Aksi pemain saya tidak cukup meyakinkan. Saya sendiri berasa bersalah dan kini perlu mencari jawapan terhadap semua pertanyaan yang bakal dihulurkan banyak pihak. Pasti ramai yang mahu tahu mengapa aksi kami begitu buruk." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

AKSI BERTARAF DUNIA

Posted: 09 Feb 2014 08:24 AM PST

Pengurus Liverpool Brendan Rodgers menyifatkan persembahan pasukannya sebagai 'bertaraf dunia' dan memuji Raheem Sterling kerana sumbangan pemain bawah 21 tahun England itu ketika menewaskan Arsenal 5-1 semalam.

"Persembahan kami begitu mengujakan. Cara kami menekan dan mendapatkan bola begitu luar biasa. Ia membuat kami berasa selesa.


" Saya tidak fikir ada pemain sayap yang lebih baik daripada Sterling di England ketika ini, dia begitu cemerlang," kata Rodgers.

Bagaimanapun pengurus Liverpool itu masih belum yakin kemampuan anak buahnya untuk merampas Piala Liga Perdana Inggeris musim ini.


Skuad Anfield itu mendahului lawan 4-0 dalam masa 20 minit separuh masa pertama permainan aksi yang membuatkan mereka kini hanya ketinggalan enam mata berbanding pendahulu baru, Chelsea.


Awal minggu lalu, Liverpool kembali menduduki kelompok empat teratas liga, kedudukan paling baik untuk ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Ya," kata Rodgers ketika ditanya Liverpool masih belum mampu menamatkan kemarau 24 tahun pasukannya untuk menjulang gelaran liga. "Anda hanya perlu lihat hala tuju pasukan kami, inilah petanda dan buktinya.


"Kami memang mengancam musim ini. Paling utama kami konsisten dan mempamer kualiti baik dalam usaha menamatkan musim di kedudukan tertinggi yang mampu kami capai.

Tapi kami tidak mengenepikan peluang pasukan lain. Anda perlu lihat kedudukan kewangan kukuh yang ada pada Manchester City serta pemain yang tidak Arsenal turunkan ketika menentang kami.


"Kami akan tumpukan perhatian dan mahu mencabar liga musim ini. Pemain sudah mempamer aksi hebat dan kami menaruh harapan dapat mengekalkan rentak.


"Hari ini, kami cemerlang. Apa lagi yang mahu anda harapkan ketika menentang pasukan hebat dan ini petanda dan bukti yang mengatakan kami sudah semakin meningkat." Martin Skrtel meledak dua jaringan sambil Sterling dan Daniel Sturridge melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool.


Mikel Arteta menjaringkan gol sagu hati Arsenal pada perlawanan yang pastinya tidak mahu diingati Arsene Wenger. Mereka bakal berdepan Manchester United di Stadium Emirates, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

'City ibarat Jaguar'

Posted: 09 Feb 2014 08:21 AM PST

Pengurus Chelsea Jose Mourinho (gambar) tegas mengatakan Manchester City patut dilabel sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun pasukannya kini bergelar pendahulu buat kali pertama sejak September.

Chelsea membuktikan keupayaannya untuk turut sama mencabar dan kemenangan 1-0 ke atas City minggu lalu diteruskan lagi dengan kejayaan 3-0 ke atas Newcastle United, kelmarin.


Ketika Arsenal dibelasah 5-1 di Liverpool dan City tercicir mata gara-gara sekadar seri tanpa jaringan di Norwich City, Chelsea dinobatkan pendahulu dengan baki 13 perlawanan musim ini.

Begitupun, Mourinho yakin Chelsea tidak akan dapat menjuarai liga dan hanya menganggap pasukannya sebagai 'kuda kecil' selepas menang di City. Kelmarin, beliau tampil dengan nada lain.


"Saya mahu berhenti daripada bercerita berkenaan 'kuda kecil', tapi jangkaan saya terhadap peluang kami tetap tidak berubah," katanya.


"Manchester City boleh diibarat sebagai kereta Jaguar. Anda tidak boleh menggantung lesen 'L' di belakang sebuah Jaguar. Kami adalah kami dan kami sedar kedudukan kami. Impian kami musim ini hanyalah untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas.

"Saya bercakap dengan apa yang saya rasa. Setakat ini saya tidak akan mengubah jangkaan saya. Kami sedang bermain baik dan itulah yang kami lakukan sejak kebelakangan ini.


"Keputusan baik menentang pasukan hebat memang mengejutkan, tetapi ia bukan mustahil. Kami tidak mengimpikan keputusan sebegitu di Anfield nanti. Kekuatan serangan Manchester City adalah luar biasa dan justeru, sudah pasti anda terkejut apabila mendapat keputusan baik ketika menentang mereka." Chelsea meneruskan kehebatan mereka menerusi bantuan pemain sayap Belgium Eden Hazard yang dilihat semakin berbisa.

Dia menjaringkan dua gol ketika menentang Newcastle di Stamford Bridge sebelum melengkapkan hatrik pertama bersama kelab London itu menerusi penalti.


"Saya rasa prestasi Hazard tidak jauh berbeza dengan apa yang sering ditampilkan sebelum ini," kata Mourinho yang menyifatkan pemain berusia 23 tahun itu sebagai pemain muda terbaik dunia berdasarkan aksinya ketika menentang City.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Kecederaan pemain hantui Pellegrini

Posted: 09 Feb 2014 08:20 AM PST

Norwich, United Kingdom: Manuel Pellegrini menganggap kegagalan Manchester City untuk bergelar pendahulu Liga Perdana Inggeris disebabkan masalah kecederaan melanda beberapa pemain utamanya.

City sepatutnya mampu menamatkan cabaran hujung minggu sebagai pendahulu jika mereka mengatasi Norwich di Carrow Road, tetapi mereka gagal berbuat demikian apabila hanya seri tanpa jaringan.


Keputusan itu bermakna mereka tidak berupaya memintas Arsenal yang tewas 5-1 di Liverpool dan terpaksa berputih mata melihat Liga Perdana Inggeris kini diterajui Chelsea yang menang 3-0 ke atas Newcastle di Stamford Bridge.

Chelsea menang 1-0 di City Isnin lalu dan keputusan seri dengan Norwich bermakna pasukan yang sudah menghasilkan 68 gol sepanjang 23 perlawanan sebelum ini terlepas peluang keemasan untuk menduduki tangga teratas selain tidak mampu menambah jumlah jaringan.


Keputusan malam kelmarin juga bermakna buat kali pertamanya, City gagal menjaringkan gol bagi kali kedua berturut-turut sejak dua tahun lalu, tetapi Pellegrini memberi alasan perkara itu berlaku disebabkan ramai pemain utamanya cedera.


Sergio Aguero diketepikan akibat hamstring manakala Edin Dzeko dan Alvaro Negredo terpaksa diturunkan walaupun masih menanggung kesakitan.

"Semua orang bercakap mengenai berapa jumlah jaringan kami dan bagaimana kami terlepas gol apabila bertahan. Apa yang paling sukar sebenarnya ialah bagaimana mahu menjaringkan gol," kata Pellegrini.


"Dalam dua perlawanan terakhir ini, penyerang kami tidak cergas sepenuhnya dan dengan keadaan itu, sudah pasti kami tidak akan menang perlawanan.

"Kecederaan buku lali Dzeko belum pulih sepenuhnya. Itulah sebabnya mengapa dia hanya diturunkan selama 30 minit manakala Negredo berdepan masalah bahu, tetapi suka atau tidak kedua-duanya terpaksa diturunkan.


"Saya mengharapkan sesuatu daripada perlawanan ini dan itulah juga yang saya inginkan ketika menentang Chelsea. Hasilnya agak mengecewakan kerana dalam kedua-dua perlawanan itu, pemain kami bermain tanpa kecergasan penuh.


"Mungkin ia peluang yang baik buat kami, tapi hingga sekarang kami masih ketinggalan dua mata di belakang pendahulu." Masalah sama turut melanda bahagian tengah dengan Javi Garcia serta Fernandinho masing-masing diketepikan akibat cedera yang memaksa Yaya Toure bertindak membantu bahagian pertahanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Pemusnah!

Posted: 09 Feb 2014 08:19 AM PST

Pemain sayap Real Madrid, Gareth Bale melakar kecemerlangan pada perlawanan pertamanya sejak kembali daripada kecederaan apabila menjaringkan gol selain menjana gerakan gol kedua pasukannya ketika skuad Los Blancos itu kembali ke persada La Liga, kelmarin.

Kemenangan 4-2 Madrid ke atas Villarreal di Santiago Bernabeu sambil Atletico Madrid tewas 0-2 di Almeria membolehkan Real berada di puncak liga, tiga hari selepas mereka mengalahkan skuad bimbingan Diego Simeone itu dengan keputusan 3-0 pada aksi separuh akhir perptama Copa del Rey.


Bale membuka jaringan yang juga gol ke-11 peribadi musim ini sebelum melorongkan bola untuk membolehkan Karim Benzema menjadikan kedudukan 2-0.

Jese Rodriguez dan Benzema sekali lagi menggegar gawang lawan selepas rehat manakala Mario Gaspar serta Giovani Dos Santos menjaringkan gol saguhati buat Villarreal.


Real kini tidak tewas sepanjang 23 perlawanan iaitu sejak Oktober lalu dan Bale percaya keputusan itu membuktikan dia dan rakan sepasukannya sedang berada di kemuncak prestasi.


"Kami berjaya memperoleh tiga mata penting. Saya gembira dapat menjaringkan gol tapi apa yang paling penting pasukan kami menang dan kami berjaya meletakkan tekanan kepada pencabar utama kami," katanya.

"Kami sedang berada di kedudukan terbaik dan semua pemain dapat menumpukan perhatian setiap kali beraksi. Buktinya dapat dilihat menerusi keputusan yang kami raih." Pemain utama yang membolehkan Real mencatat rekod tanpa kalah pastinya pemain tengah Luka Modric dengan bekas pemain Spurs itu dipuji penonton yang berdiri sambil bertepuk tangan sebagai tanda penghargaan terhadap pemain itu.


Pengurus Real, Carlo Ancelotti berkata, Modric berhak mendapat pujian atas aksi hebatnya pada perlawanan itu tetapi pemain berasal dari Croatia itu enggan terbawa-bawa dengan semua pujian berkenaan.

"Terdapat tiga faktor paling penting buat kami. Selepas perlawanan menentang Atletico, kami sedikit kepenatan. Kami bermain baik dan menentang pasukan hebat seperti Villarreal.


"Saya gembira apabila penyokong menyebut nama saya. Ia sesuatu yang hebat dan saya rasa sangat dialu-alukan di sini. Tapi seperti yang saya katakan, apa yang penting ialah keputusan yang diperoleh pasukan. Kami akan terus berusaha keras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Higuain lebur ego Milan

Posted: 09 Feb 2014 08:17 AM PST

Milan: Gonzalo Higuain menjaringkan gol ke-11 dan 12 peribadi musim ini ketika Napoli menundukkan AC Milan 3-1 di San Paolo sekali gus membolehkan mereka menang buat kali pertama sepanjang empat perlawanan Serie A, kelmarin.

Napoli tunduk 2-3 di tangan Roma pada aksi separuh akhir pertama Piala Itali pertengahan minggu lalu dan Milan berjaya mengembalikan rentak kemenangan selepas sekadar seri pada dua perlawanan berturut-turut selain tewas 0-2 di tangan Atalanta minggu lalu.


Begitupun, semua kebimbangan mengenai kemungkinan Milan mencipta kejutan hilang begitu saja apabila Mario Balotelli digantikan ketika permainan berbaki 20 minit.

Milan yang tidak tewas sepanjang tiga perlawanan sejak Clarence Seedorf membimbing kelab berkenaan, mengejutkan tuan rumah apabila Adel Taarabt menjaringkan gol selepas tujuh minit dimasukkan.


Begitupun, cubaan Milan untuk menambah jaringan gagal apabila rembatan Gokhan Inler ditepis keluar manakala Higuain pula secara tiba-tiba mengejutkan pelawat menerusi gol pada minit ke-56 dan 82.


Jurulatih Napoli Rafael Benitez memuji aksi Higuain dengan berkata, "Saya bagaimanapun perlu memuji semua pemain, sudah tentu Higuain pemain yang boleh mengubah keputusan tapi dia juga mendapat bantuan rakan sepasukan." Kemenangan ke-14 Napoli itu membolehkan mereka mendahului tiga mata ke atas Fiorentina yang menewaskan Atalanta 2-0 tetapi anak buah Rafael Benitez itu masih ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Juventus. Manakala Milan kekal di tangga ke-10 liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Guardiola kritik padang

Posted: 09 Feb 2014 08:17 AM PST

Berlin: Pasukan di tangga ketiga Borussia Dortmund tidak mampu merahsiakan kegembiraan apabila menang besar 5-1 di Werder Bremen ketika pendahulu Bundesliga, Bayern Munich tetap unggul di Nuremberg dan sukar dijinakkan mana-mana pasukan.

Bayern kekal 13 mengatasi pasukan lain dalam saingan Bundesliga ketika jaringan Mario Mandzukic dan Philipp Lahm memastikan kelab Bavaria itu menang 2-0 ke atas Nuremberg.


Ia menambah rekod tanpa kalah Bayern kepada 45 perlawanan sejak Oktober 2012 dan tidak pernah tewas di tempat lawan sejak 29 perlawanan lalu.

Tetapi kemenangan Bayern ke atas Nuremberg kelmarin bukan sesuatu yang mudah dan jurulatih Pep Guardiola (gambar) tampil dengan kritikan keras terhadap keadaan padang di Stadium Grundig yang dianggap merosakkan hantaran anak buahnya.


"Sekarang saya sedar mengapa Bayern hanya menang sekali dalam tempoh enam tahun di Nuremberg," kata Guardiola.


"Nuremberg beraksi agresif dan menarik. Mereka mencipta dua atau tiga peluang untuk menjaringkan gol.

"Selepas kami mengatasi mereka dengan 2-0, keadaan menjadi lebih mudah. Tapi keadaan padang merosakkan permainan dan ia tidak sesuai dengan corak permainan kami.


"Itulah sebabnya mengapa kami bermain dengan corak hantaran jauh tapi saya terpaksa memuji sikap pemain saya." Walaupun permukaan padang dianggap buruk, Bayern tetap menguasai perlawanan dan statistik menunjukkan mereka mendominasi 60 peratus permainan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Dua pemain Itali buat AS terkedu

Posted: 09 Feb 2014 08:16 AM PST

Cleveland: Juara bertahan, Itali beroleh kelebihan satu perlawanan berbanding Amerika Syarikat selepas Karin Knapp dan Camila Giorgi (gambar) mengatasi lawan masing-masing di suku akhir Piala Fed, kelmarin.

Pemain nombor 40 dunia, Knapp menewaskan Christina McHale 6-3, 3-6, 6-1 pada perlawanan pembukaan yang berlangsung selama dua jam 14 minit.


"Ia cukup hebat," kata Knapp. "Saya sangat gembira. Aksi saya cukup menjadi." Camila Giorgi yang menduduki senarai ke-84 dunia, menundukkan pemain di ranking ke-37 dari AS, Madison Keys 6-2, 6-1, pada perlawanan yang mengambil masa sejam itu.

"Sudah tentu kemenangan ini menyeronokkan. Apatah lagi ia hadir pada penampilan pertama saya di kejohanan ini," kata Giorgi.


"Saya bermain baik. Semua pukulan saya menjadi. Memang seronok dapat bermain seperti ini." Madison dilihat langsung tidak berupaya untuk bangkit ketika menentang Camila.


Madison, 18, akan menentang Knapp pada perlawanan timbal balik hari ini manakala acara beregu akan menampilkan gandingan Itali, Nastassia Burnett dan Alice Matteucci yang bakal menentang Alison Riske serta Lauren Davis.

Knapp menang ke atas satu-satunya pemain berpengalaman AS pada saingan Piala Fed, McHale.


Skuad AS tidak menurunkan Serena Williams dan Sloane Stephens manakala Itali tidak menampilkan Sara Errani serta Flavia Pennetta.

Itali yang mahu menang buat kali kelima sepanjang sembilan edisi Piala Fed, menewaskan skuad wanita AS pada final 2009 dan 2010 serta perlawanan pembukaan tahun lalu.


Walaupun AS masih memegang rekod 9-3 sepanjang pertemuan kedua-dua negara itu, mereka masih gagal menewaskan Itali sejak 2003.


Pemenang separuh akhir akan bertemu sama ada Sepanyol atau Republik Czech di separuh akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

Phinney ungguli Jelajah Dubai

Posted: 09 Feb 2014 08:15 AM PST

Dubai: Pelumba Amerika Syarikat Taylor Phinney (gambar) dinobatkan pemenang Jelajah Dubai selepas mengatasi rakan sepasukannya di BMC, Steve Cummings dengan kelebihan 15 saat.

Kehebatan Phinney tidak mampu disangkal walaupun pelumba Jerman, Marcel Kittel mengatasi pelumba lain di tiga peringkat perlumbaan sebelum ini.


Phinney berjaya mengekalkan pendahuluan ke atas Cummings dengan Lasse Hansen dari Denmark menduduki tempat ketiga, 17 saat di belakang Phinney yang mencatat sembilan jam 31 minit.

Phinney berkata, kemenangan itu membolehkannya mencatat penanda aras baru di dalam kariernya.


"Saya seronok. Saya berharap perlumbaan ini akan terus diadakan dan saya mahu menjadi salah seorang pelumba yang menaikkan nama jelajah ini," katanya.


"Memang hebat rasanya dapat menang pada edisi pertama." Catatan Kittel sepanjang perlumbaan sejauh 123 kilometer itu ialah dua jam, 41 minit dan sembilan saat, mengatasi pelumba Australia Mark Renshaw dan pelumba Itali Andrea Guardini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

No comments:

Post a Comment