Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misbun calon pilihan BAM

Posted: 14 Feb 2014 09:53 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek antara calon pilihan yang ingin dipujuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan.

Pemilihan Misbun itu dibuat selepas badan induk negara berkenaan terpaksa menolak calon sebelum ini iaitu bekas jaguh perseorangan Denmark Morten Frost Hansen.

Antara yang menyebabkan BAM terpaksa melupakan Frost adalah permintaan gaji terlalu tinggi iaitu kira-kira RM100,000 sebulan yang dimahukan oleh juara Seluruh England empat kali itu.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan yang dipengerusikan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kelmarin.

Foto

MISBUN (kanan) bertanggungjawab bina karier cemerlang Chong Wei.


Turut hadir, jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei yang mewakili pemain.


Menurut sumber, kegagalan mendapatkan Frost mendorong BAM untuk mencari calon pengganti lain dan antara yang menjadi pilihan adalah Misbun.

Namun usaha untuk mendapatkan Misbun bukan mudah dan atas faktor itu, BAM mungkin memerlukan bantuan pihak luar bagi memujuk bekas jurulatih negara itu.

Misbun cukup dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab membina karier cemerlang Chong Wei.

Bagaimanapun beliau membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan pada 2011 kerana dikatakan sudah tidak senang dengan pengurusan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Laluan sukar bukan alasan

Posted: 14 Feb 2014 09:44 AM PST

Kuala Lumpur: Goh V Shem tidak mahu laluan sukar yang bakal diharungi bersama Lim Khim Wah pada saingan Terbuka Jerman bermula 25 Februari ini, menjadi alasan kepada mereka untuk pulang lebih awal.

Sebaliknya dia serta Khim Wah yang masih segar dengan kemenangan pada saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan lalu, tetap meletakkan sasaran tinggi iaitu untuk mara sekurang-kurangnya ke saingan separuh akhir pada saingan itu.

Kedua-dua mereka dilihat berada pada kemuncak prestasi tetapi undian Terbuka Jerman seolah-olah tidak memihak kepada mereka apabila terpaksa melalui laluan berliku sekiranya mahu merealisasikan impian mara ke separuh akhir.

"Bukan pada saingan suku atau separuh akhir, bagi saya seawal pusingan pertama lagi laluan kami berdua tidak mudah.

Foto

V SHEM (kiri) letak sasaran tinggi.


"Kekuatan mental memainkan peranan utama. Kami perlu kuat menghadapi cabaran ini kerana lawan pasti sentiasa mencari kelemahan kami berdua selepas memenangi Terbuka Malaysia.


"Kami perlu lebih konsisten dan cuba untuk mengurangkan kesilapan sama terutama ketika Terbuka Malaysia lalu," katanya.

Pada pusingan pertama, V Shem-Khim Wah dijangka tidak berdepan masalah menghadapi pasangan Hong Kong Chan Yun Lung-Lee Chun Hei tetapi Michael Fuchs-Johannes Schoettler dari Jerman yang mempunyai rekod lebih baik berbanding pasangan negara itu dijangka menanti mereka pada pusingan kedua.

Seandainya melepasi rintangan di pusingan kedua, beregu nombor tiga dunia dari Jepun Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dijangka menanti mereka di suku akhir dan sekiranya berjaya melakukan kejutan, lawan seangkatan mereka dari Indonesia Angga Pratama-Ryan Agung Saputra mungkin bakal ditemui pada saingan separuh akhir.

V Shem berkata, dia serta Khim Wah tidak pernah memandang mudah saingan Terbuka Jerman meskipun tumpuan lebih terarah kepada saingan Seluruh England.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Razie masih buntu

Posted: 14 Feb 2014 09:43 AM PST

Kuala Lumpur: Perasaan berbelah bahagi. Itu yang menghimpit pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abd Rahim ketika ini yang disahkan perlu menjalani pembedahan di bahagian baru kirinya selepas melakukan pemeriksaan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) semalam yang mungkin memusnahkan impiannya beraksi pada saingan Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei ini.

Ketika doktor yang merawatnya mencadangkan pembedahan dilakukan pada Selasa ini, Muhammad Razie masih buntu sama ada mahu menjalani pembedahan itu atau sebaliknya.

"Doktor cadangkan saya lakukan pembedahan sebab kalau tak lakukan sekarang, kecederaan ini mungkin berterusan pada masa depan.

"Tapi kalau tanya diri sendiri, saya memang tak pasti lagi nak lakukan pembedahan ini atau tidak.

Foto

RAZIE (kanan) masih belum putuskan mahu bedah atau tidak.


"Sebab itu apabila saya tanya kepada doktor berapa lama diperlukan untuk pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan ini, beliau beritahu mungkin memakan masa antara tiga hingga empat bulan," katanya.


Bagaimanapun doktor yang turut merawat Datuk Lee Chong Wei ketika jaguh perseorangan negara itu mengalami kecederaan di buku lali kanan sebelum saingan Sukan Olimpik 2012 di London itu mencadangkan kepada Muhammad Razie menjalani kaedah rawatan stem cell sebagai usaha mempercepatkan proses pemulihannya.

"Tapi saya perlu mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk pengurus pasukan dan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara) sebelum membuat keputusan muktamad," katanya.

Pemain pertahanan negara itu mengalami kecederaan berkenaan ketika turun beraksi bersama kelab Liga Hoki India, Dabur Mumbai Magicians berdepan Rachi Rhinos, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Sasar tangga pertengahan Liga Queensland

Posted: 14 Feb 2014 09:25 AM PST

Bukit Jalil: Jurulatih Datuk Ong Kim Swee tidak meletakkan sasaran tinggi pada penyertaan pertama skuad Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia bermula Mac depan apabila hanya mengharapkan pasukan yang baru dibentuk itu dapat menamatkan saingan sekurang-kurangnya di pertengahan liga.

Katanya, penyertaan skuad bawah 23 tahun itu lebih kepada program pendedahan bagi persediaan ke Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, September ini namun itu tidak bermakna beliau tidak memberi penekanan kepada soal kemenangan dalam 26 perlawanan yang bakal diharungi.

"Penyertaan Harimau Muda ke Liga NPL adalah untuk pendedahan tapi saya tetap mahukan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan. Saya berharap pasukan ini boleh menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di pertengahan liga dan jika mereka boleh menduduki kelompok lima pasukan terbaik, itu satu bonus," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pasukannya mengalahkan pasukan Liga FAM Kuala Lumpur 2-0 pada aksi persahabatan semalam.

Selepas kehilangan beberapa pemain kerana faktor umur dan penghijrahan ke pasukan lain seperti kapten Mohd Irfan Fazail, Mohd Fadhli Shas, Izham Tarmizi Roslan dan A Thamil Arasu, Kim Swee terpaksa mengumpul pemain baru dengan mengadakan sesi pemilihan pemain.

Foto

PEMAIN Harimau Muda A, Mohd Ferris Danial Mat Nasir (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur pada perlawanan persahabatan di Padang MSN, Bukit Jalil.


Sebelas pemain baru kini dalam penilaian pengendali berusia 43 tahun itu kerana beliau hanya akan membawa 25 daripada 28 pemain dalam skuad ke Australia pada 28 Mac ini.


Harimau Muda A akan turun pada perlawanan pertama Liga NPL pada 8 Mac ini dan akan bersaing dengan 13 pasukan lain sehingga tamat musim pada Ogos depan.

Kim Swee mengakui masih banyak kelemahan dalam pasukannya selepas melihat aksi anak buahnya menundukkan Kuala Lumpur semalam.

"Pada separuh masa pertama saya menurunkan pasukan kedua Harimau Muda A tahun lalu dan apabila saya keluarkan mereka pada separuh masa kedua, pasukan ini gagal mengekalkan rentak permainan. Namun ada peningkatan dari segi persefahaman pemain berbanding ketika menentang Melaka (minggu lalu) tapi saya masih belum berpuas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Azizul intai podium

Posted: 14 Feb 2014 09:22 AM PST

Kuala Lumpur: Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Cali, Colombia menjadi pengukur terhadap kemampuan jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang.

Menyedari bukan mudah untuk dirinya mengulangi pencapaian merangkul pingat perak acara pecut pada 2009 dan keirin 2010, Azizul bagaimanapun tetap positif untuk melakarkan sesuatu buat negara.

Dia yang kini giat berlatih di pangkalan latihan negara di Melbourne bersama-sama John Beasley berkata, persiapan kali ini agak berbeza kerana fokus utama adalah temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Namun Kejohanan Dunia tetap diberi keutamaan yang dijadikan landasan buat Olahragawan Negara 2010 itu untuk memantapkan dan mempersiapkan diri sebelum beraksi di kedua-dua temasya utama itu.

Foto


"Kejohanan tahun ini semuanya amat penting. Namun saya juga mempunyai sasaran sendiri di Cali. Pertama sekali saya perlu melangkah ke final acara keirin dan selepas itu barulah saya menyusun strategi untuk menaiki podium.


"Saya harap sangat dapat menjejakkan kaki ke podium sebab sudah lama tidak berbuat demikian selepas kali terakhir 2010," katanya.

Mengulas mengenai acara pecut Azizul berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana sedar cabaran semakin sukar dengan adanya ramai pelumba berbakat.

Namun dia tidak akan menyerah kalah dan akan cuba mempamerkan kayuhan terbaik untuk mara ke peringkat tertinggi.

"Tahap persaingan sekarang sukar diduga. Cabaran yang perlu dihadapi sangat sengit. Jika dulu sesetengah negara hebat dalam acara pecut, tapi sekarang ini saya perlu berdepan dengan cabaran dari semua negara.

"Jadi saya perlu berhati-hati dan tidak boleh memandang ringan dengan semua cabaran itu," kata Azizul.

Azizul antara wakil negara yang akan mengibarkan cabaran bersama-sama Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet di Kejohanan Dunia itu selepas Josiah Ng ditimpa kemalangan yang memaksanya berehat lama daripada menyertai pertandingan kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Nakagami inspirasi Azlan

Posted: 14 Feb 2014 09:21 AM PST

Kuala Lumpur: Azlan Shah Kamaruzaman menjadikan rakan sepasukan, Takaaki Nakagami sebagai inspirasi dan sumber rujukan menghadapi sesi ujian pramusim kedua di Litar Jerez, Sepanyol, 18 Februari ini.

Pelumba Honda Team Asia itu percaya tunjuk ajar Nakagami menjadi jalan terbaik untuknya merebut mata kejuaraan lantaran rakan sepasukannya itu pernah menjejakkan kaki di podium bersama jentera Kalex musim lalu, jentera sama digunakan Azlan musim ini.

Pandangan ini timbul selepas Azlan menamatkan sesi ujian pramusim pertama dengan catatan terbaik 1 minit 36.955 saat untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan sambil Nakagami yang menggunakan jentera edisi 2014 mencatat masa ketiga terpantas, 1:35.337s.

Esteve Rabat dari pasukan Marc VDS Racing Team yang turut menggunakan jentera edisi 2014 mengungguli catatan terpantas Moto2 dengan masa 1:35.155s.

"Nakagami beraksi dalam kelas Moto2 sejak ia mula diperkenalkan pada 2011 dan sebelum itu, dia beraksi selama dua musim di dalam kelas 125GP.

Dia begitu berpengalaman menggunakan jentera Kalex malah pernah menaiki podium, jadi sudah tentu saya berharap dapat mengikut jejak langkahnya.

Sasaran saya adalah untuk sentiasa mengutip mata kejuaraan pada musim ini," kata Azlan, pelumba tunggal pasukan Honda Team Asia musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Ini tidak adil!

Posted: 14 Feb 2014 09:17 AM PST

Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat bantahan terhadap tuan rumah Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dikatakan menggunakan lima perenang kebangsaan Indonesia sebagai atlet mereka atas tiket program pertukaran pelajar.

Timbalan Pengarah Pusat Sukan UPM Dr Hanafiah Ayub berkata, pihaknya membuat bantahan itu berikutan ada kelemahan di dalam peraturan SUKIPT yang harus diteliti kembali agar selari dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Walaupun ini hanya sekadar kejohanan sukan, kami mahu peraturan itu mengikut seperti apa yang ada dalam AUKU. Peraturan sedia ada jelas mempunyai kelemahan hingga menimbulkan rasa tidak senang kami berikutan terlalu ramai atlet luar yang mewakili sesebuah institusi itu.

"Di manakah semangat SUKIPT yang asal? Kita mahu lahirkan lebih ramai atlet tempatan daripada kalangan pelajar IPT (institut pengajian tinggi) untuk dijadikan platform buat mewakili negara suatu hari nanti.

Foto

SIMAN Sudartawa (kanan) rangkul emas 50 meter kuak lentang lelaki.


"Tapi apabila ramai atlet luar yang bertanding atas tiket pertukaran pelajar, sudah tentu tertutup terus peluang anak muda tempatan untuk menunjukkan bakat mereka," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.


Menurutnya, pihaknya mahu perkara ini diambil serius Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya bagi SUKIPT yang akan datang, isu seperti itu tidak lagi timbul.

"Kalah dan menang adat pertandingan. Cuma yang saya mahukan, agar peraturan pertandingan itu dikaji semula dan biarlah atlet tempatan saja yang mengambil bahagian," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan SUKIPT Abdul Malik Ghani berkata, pihaknya memang ada menerima bantahan daripada kontingen UPM, tetapi menolaknya atas alasan sudah memaklumkan status atlet program pertukaran pelajar itu ketika taklimat wakil kontingen dan mesyuarat pengurus sukan.

"Kami memang menerima bantahan itu baru-baru ini dan memutuskan untuk menolaknya. Ingin saya jelaskan di sini, apa jua keputusan peraturan semuanya berdasarkan proses yang dipersetujui semua pihak sebelum kejohanan ini berlangsung.

"Namun saya akui memang ada sedikit kelemahan yang harus kita perbaiki selepas ini. Mungkin selepas selesai SUKIPT ini, kami akan mengadakan post-mortem dan cuba perbaiki segala kelemahan agar temasya akan datang lebih lancar," katanya.

Sebelum ini UPM mempertikaikan status pendaftaran atlet renang UiTM dengan mempersoalkan tarikh sebenar mereka menjadi pelajar universiti berkenaan yang secara tidak langsung membantu pasukan renang UiTM mendominasi pingat emas acara berkenaan.

Lima atlet Indonesia itu membabitkan Alexis Wijaya Omar, Denis Josua Tiwa, I Gede Siman Sudartawa, Kathriana Mella Gustianjani dan Mutia Setradarma.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Konsert Ramli bantu dana MU

Posted: 14 Feb 2014 09:15 AM PST

Melaka: Penyanyi rock terkenal Datuk Ramli Sarip menyokong pembangunan bola sepak di Malaysia dan rantau ini menerusi pembabitan simbolik beliau dalam Konsert 'Blues Buat Teman' di Hotel Hatten, Bandar Hilir pada 15 Mac depan.

Program bertujuan mengisi dana pasukan Melaka United (MU) yang beraksi di Liga FAM itu turut menjadi pentas buatnya menasihatkan peminat supaya tidak terbabit dengan gejala kurang sihat serta isu pergaduhan.

Ramli berkata, beliau kesal dengan insiden yang merugikan semua pihak selain menyebabkan kecederaan ketika sebahagian daripada mereka tidak bersalah namun terpalit dengan isu berkenaan.

Beliau juga mengharapkan kelab penyokong menubuhkan yayasan kelab sendiri dalam membela ahli mereka jika ditimpa musibah dalam kejadian tidak diingini.

Foto

RAMLI (kanan) menerima baju Melaka United daripada Yusoff di Hotel Hatten, Bandar Hilir.


Menurutnya, pihak berkenaan perlu memberi perlindungan kepada penyokong termasuk insuran kemalangan dalam memastikan mereka sentiasa terbela dalam apa juga keadaan.


Sementara itu, Timbalan Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, penganjuran konsert anjuran Kelab Penyokong Tuah Troopers berkenaan bertujuan mempromosi pembangunan dan perkembangan bola sepak negeri itu yang sudah lama tersisih daripada liga utama negara.

Beliau berkata, pembabitan Ramli sekali gus memberi impak besar terhadap menarik minat penyokong kembali ke stadium sepanjang aksi liga dan mengisi kantung persatuan terbabit.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron bakal menjadi tetamu istimewa selain kehadiran pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan bola sepak MU.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Rantai Rangel

Posted: 14 Feb 2014 09:11 AM PST

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) perlu memastikan kelibat penyerang sensasi Selangor, Paulo Rangel (gambar) harus 'diikat' seandainya tidak ingin impian kemenangan di laman sendiri terlepas begitu saja apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Larkin, malam ini.

Aksi Johor DT-Selangor sememangnya menjadi perbualan hangat membabitkan kedua-dua penyokong dengan rekod pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak kepada skuad Gergasi Merah, namun itu mungkin cerita lama.

Yang pasti kemenangan amat ditagih skuad Harimau Selatan bimbingan Cesar Ferrando Jiminez, bukan saja bagi memastikan maruah tidak tercalar kerana memiliki pemain berkualiti sebaliknya perlu bangkit memperbaiki kedudukan liga selepas hanya berada di tangga ke-10 dengan empat mata.

Malah Jiminez sendiri yakin kemenangan 3-1 ke atas Kedah pada suku akhir pertama Piala FA, Selasa lalu memberi semangat baru buat pemain kembali mempamerkan aksi terbaik walaupun kemungkinan kehilangan Pablo Aimar yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Foto


"Kami sudah harungi Piala FA dan catat kemenangan. Saya mahu lupakan kemenangan itu kerana aksi menentang Selangor amat penting untuk mencari tiga mata memandangkan kedudukan Johor DT dalam saingan liga agak tertekan.


"Saya percayakan pemain. Mereka mempunyai sikap positif yang mampu meningkatkan kembali prestasi permainan dan tidak mustahil peluang catat kemenangan agak cerah, namun saya tidak mahu terlalu selesa sebaliknya perlu berwaspada.

"Selangor ada Paulo Rangel dan saya harus pastikan benteng pertahanan Johor DT tidak leka dan mengawasi pergerakannya dengan rapi," katanya.

Yang pasti pertembungan kedua-dua pasukan itu ibarat buku dengan ruas kerana bakal mempamerkan corak permainan pantas dan agak menarik apabila Mohd Amri Yahyah dan Mahali Jasuli bakal diturunkan menentang pasukan lamanya, Selangor.

Namun di sebalik kerancakan aksi kedua-dua pasukan yang bakal menghiburkan ribuan penyokong Johor DT dan Selangor, persoalan mula timbul sama ada mutu pengadilan akan berada di tahap memuaskan dan mampu mengadili perlawanan itu dengan cukup profesional.

Apapun persoalan pasti terletak kepada kredibiliti dan kebijaksanaan pengadil untuk mengadili perlawanan itu tanpa prejudis atau berat sebelah memandangkan aksi yang menarik mampu terjejas dengan mutu pengadilan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Tebus kecewa Piala FA

Posted: 14 Feb 2014 09:09 AM PST

Kuala Terengganu: Skrip kemenangan perlu diterjemahkan pemain Terengganu apabila melayani kunjungan Pahang malam ini sebagai pemangkin semangat selepas terkulai dalam saingan Piala FA.

Pemain sayap Terengganu, Mohamad Ashari Samsudin berkata, selain mahu mengintai kedudukan teratas liga, Terengganu mahukan tonik berharga untuk beraksi cemerlang dalam saingan liga yang masih panjang.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, Terengganu yang kini mengumpul tujuh mata hasil empat perlawanan tidak ada pilihan melainkan perlu menang untuk mengelak keciciran mata.

"Kemenangan malam ini amat penting buat Terengganu sebagai pembakar semangat selepas gagal meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala FA.

"Selepas mendapat teguran daripada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) berhubung prestasi tidak menentu, kini kami bersemangat untuk memburu kemenangan ketiga.

"Bagaimanapun saya turut mengingatkan diri dan rakan sepasukan supaya memperagakan aksi konsisten serta terbaik selain tidak melakukan kesilapan mudah dalam misi melakar kemenangan," kata pemain kelahiran Marang itu.

Sementara itu, jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim mengharapkan pemainnya tidak lagi mengulangi 'penyakit' hilang fokus pada minit terakhir perlawanan sebaliknya terus bersaing hingga ke wisel penamat untuk mengutip tiga mata di laman sendiri.

Selain itu, jurulatih berpengalaman itu berharap barisan pemain import dapat mempamerkan aksi lebih mantap bagi membantu pasukan mencapai kejayaan.

"Saya yakin berdasarkan prestasi semasa selain sikap positif pemain, Terengganu mampu menyaingi lawan dalam misi menambah koleksi mata apatah lagi beraksi di laman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

No comments:

Post a Comment